Kampung Gelam Tikus...
“PAGI-PAGI macam ni, lebih elok kalau
kita tersenyum dan banyak bersyukur,” tegur Ustaz
Muiz kepada Karim. Pagi itu dilihatnya Karim berwajah
muram seperti orang yang dibungkus masalah. Dia ikut
terkesan.
“Ada hal saya nak beritahu ustaz ni. Sepanjang
malam saya tak dapat tidur.” Karim yang sedang
memandu, menjawab tanpa menoleh.
“Kenapanya?”
Karim meraup muka yang terasa kebas. Segala
yang dilihat pada malam tadi terulang semula satu per
satu.
Ustaz Muiz sekadar memerhati gelagat Karim
dengan ekor mata. Dia bersedia untuk mendengar.
Malah dia juga bersedia untuk membantu Karim yang
sudah dianggap seperti saudaranya sendiri meskipun
Karim bukan berasal dari Kampung Gelam Tikus.
Hanya setelah berkahwin dengan orang
kampung itu, barulah mereka menyewa di rumah milik
Ustaz Muiz. Sementara Ustaz Muiz tinggal di rumah
pusaka yang hanya bersebelahan. Malah antara rumah
mereka berdua tidak dibina pagar pemisah.
“Semalam... saya... ke sana.” Salim menelan air
liur.
“Ke mana?” tanya Ustaz Muiz. Dia masih gagal
meneka apa yang sedang bermain dalam fikiran Karim
saat itu.
“Selepas kita balik tu, saya keluar semula. Saya
ke rumah Salim.”
“Ada jumpa Salim?” Ustaz Muiz baru faham.
Karim menggeleng.
“Saya tengok dari jauh saja, ustaz. Tak nak saya
pergi dekat.”
“Ada yang tak kena?” Kata-kata Karim menarik
perhatian Ustaz Muiz. Dia yakin tindakan Karim pasti
bersebab.
“Ustaz... daripada apa yang saya nampak
semalam, aliran tu bercampur hal-hal khurafat...”
Karim menceritakan segala kejadian yang telah dilihat.
Tidak ada satu pun yang ditinggalkan.
Ustaz Muiz beristighfar dalam hati. Kalau benar
bagai yang diceritakan, dia benar-benar kesal perkara
seumpama itu berlaku di kampungnya. Dia juga resah
memikirkan anak-anak muda yang sudah terpengaruh
dan menjadi ahli aliran seni bela diri yang terpesong
daripada akidah. Hal itu perlu disekat.
“Selepas kuliah duha nanti, kita jumpa tok imam
dan tok empat. Kita tak boleh nak bertindak sesuka
hati. Ini melibatkan orang kampung. Silap bertindak
terputus pula silaturahim,” katanya kemudian.
KULIAH DUHA yang disampaikan oleh seorang
ustaz jemputan baru sahaja selesai. Perkara yang
dibincangkan pada hari itu ialah mengenai pertarungan
antara yang hak dan yang batil. Ramai yang hadir.
Setelah jemputan dan kariah pulang, Ustaz
Muiz mengajak Imam Daud dan Tok Empat Abu duduk
berbincang di serambi.
“Daripada apa yang diceritakan oleh Karim, apa
yang dilakukan Salim itu tidak selaras dan bersesuaian
dengan syariat Islam. Minum darah haiwan tak ada
dalam mana-mana kitab hadis apatah lagi dalam
al-Quran.” Ustaz Muiz membetulkan letak cermin mata
yang dipakai. Kopiah putih yang selalunya tidak lekang
daripada kepalanya diletakkan ke atas riba.
Imam Daud termenung. Tok Empat Abu
berkerut dahi. Berita yang dibawa Ustaz Muiz pagi itu
amat memeranjatkan.
“Aku memang tahu hal Salim buka gelanggang
tu, tapi aku belum sempat nak melihatnya. Cuma anak
aku, Samad ada pergi belajar dengan Salim. Tak pula
diceritakan apa yang dia buat di sana. Nantilah aku
tanyakan.” Tok Empat Abu bersuara.
“Kalau... benar seperti yang dikhabarkan oleh
Karim, maknanya sudah jadi tanggungjawab kita
untuk menghalang dan memberhentikan semua tu.
Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar itu satu
kewajipan seperti yang difirmankan Allah dalam surah
Al-Imran ayat 104 yang bermaksud: Dan hendaklah
ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada
kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang
baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan
mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang
berjaya.”
Ustaz Muiz memandang wajah Imam Daud
dan Tok Empat Abu. Dua wajah tua yang tenang dan
mendamaikan hati. Wajah yang selalu ditatap untuk
meleraikan rasa rindu kepada ayahnya sendiri. Dia
faham kedua-duanya sudah berumur dan sesetengah
masalah itu tidak larat lagi ditangani. Maka timbul rasa
tanggungjawab dalam hatinya.
“Sekiranya ada izin imam dan tok empat,
biarlah saya yang pergi berjumpa dengan Salim. Biar
saya bertanya sendiri pada dia dan sekiranya ada khilaf
daripada pihak kita, biarlah saya yang meminta maaf,”
katanya dengan lembut.
“Itulah yang sebaiknya,” balas Imam Daud dan
dipersetujui oleh Tok Empat Abu.
Belum sempat mereka menyambung
perbincangan, berlari seorang remaja lelaki ke situ.
“TOK! TOLONG! Tolong datang ke rumah Aman, tok!”
Adam termengah-mengah di kaki masjid. Bajunya
basah dengan peluh.
Karim dan Ustaz Muiz paling dahulu menerkam
ke tangga. Imam Daud dan Tok Empat Abu bangun
perlahan-lahan lalu mendekati mereka bertiga.
“Kenapa, Adam?” Karim pegang lengan Adam.
“Aman... mak dia suruh panggil tok imam.”
Adam menjawab bersulam tarikan nafas yang
putus-putus. Ternyata dia benar-benar penat berkejar
ke situ dengan tubuhnya yang besar dan baju yang
basah lencun.
“Kenapa dengan Aman?” Ustaz Muiz terkejut
apabila nama itu disebut. Baru malam tadi mereka
berjumpa dan berbual.
Adam angkat bahu. Matanya terkebil-kebil.
“Kalau macam tu, marilah kita ke sana dulu.”
Ustaz Muiz turun lalu menyarung selipar.
Begitu juga dengan semua yang ada di situ. Dapat
dirasakan ada sesuatu yang buruk sedang menimpa
Aman. Oleh kerana rumah Aman tidak jauh dari situ,
mereka hanya pergi dengan berjalan kaki.
Setibanya di hadapan rumah Aman, kesemuanya
terkedu.
Dalam masa yang sama, Salim terdengar bisikan
di telinga. Dia bingkas bangkit lalu meluru ke tanah.
DI BAWAH terik matahari, Aman sedang berpencak
silat seorang diri. Dia hanya berseluar putih tanpa
berbaju. Mukanya merah padam. Matanya merah dan
asyik melingas ke serata arah. Ibu Aman pula duduk
menangis di atas tangga.
Ustaz Muiz cuba menghampiri tetapi Aman
sentiasa mengelak. Apabila Ustaz Muiz terus mencuba,
Aman terus melompat ke atas pokok kelapa di tepi pagar
dengan sekali lompatan sahaja.
“Tingginya!” Karim melihat dengan kekaguman.
Semua yang ada di situ tercengang melihat Aman yang
bertenggek seperti seekor beruk.
Ustaz Muiz dan Imam Daud saling berpandangan.
Melalui lirikan mata, mereka sama-sama setuju yang
Aman sedang kesurupan. Sikap dan keupayaan Aman
sudah keluar daripada kebiasaan seorang manusia.
Aman dikuasai jin yang merusuh tanpa diketahui sebab.
Tok Empat Abu dan Karim pula pergi
bertanyakan hal itu kepada ibu Aman.
“Tiba-tiba dia mengamuk. Habis barang dalam
rumah dibaling,” cerita ibu Aman sambil menyapu air
mata. Kesusahan hidup sebagai ibu tunggal bertambah
sukar dengan gelagat Aman yang sebegitu.
“Apa puncanya, kak?” tanya Karim.
“Kebelakangan ni kakak tengok dia malas solat,
malas mengaji. Ke masjid pun tak nak pergi. Menolong
langsung tak. Kerjanya tidur saja sampai ke petang.
Malam bangun, pergi bersilat.”
“Selepas tu?” Karim menyampuk.
“Selepas solat duha tadi, kakak mengaji
dekat katil dia. Tiba-tiba dia melompat bangun dan
mengamuk. Hampir lagi al-Quran tu ditendangnya,
mujur akak sempat angkat. Tak cukup mengamuk di
rumah, dia bersilat pula dekat tanah. Kakak tak tahu
nak buat apa. Tu suruh Adam panggil tok imam.”
Karim dan Tok Empat Abu terdiam.
“Aman... turun...” pujuk Ustaz Muiz dengan
lembut dari bawah. Hanya dia seorang yang berani
mendekati Aman. Yang lain hanya memerhati dari jauh.
Tiba-tiba Aman memalingkan kepalanya ke
arah Ustaz Muiz lalu merenungnya dengan tajam.
Melihatkan keadaan itu, Ustaz Muiz bersedia. Seperti
yang diduga, Aman melompat lalu menerkam ke
arahnya tetapi sempat dielak.
Aman jatuh ke tanah dalam keadaan
duduk tercangkung seperti seekor beruk. Matanya
merenung buas ke arah Ustaz Muiz yang berdiri tegak
menghadapnya. Dia ingin menerkam lagi tetapi tidak
jadi apabila terdengar bacaan ayatul kursi daripada
Ustaz Muiz dan Imam Daud. Dia menutup telinga dan
terlompat-lompat sambil duduk persis monyet terkena
belacan.
Pada kesempatan itu, Ustaz Muiz mendekat
lalu memegang ubun-ubun Aman. Dibacakan ayat-ayat
rukyah. Imam Daud juga terus melaungkan azan.
Aman terduduk. Dia tidak mencangkung
lagi, sebaliknya perlahan-lahan berlunjur kemudian
terlentang ke belakang. Dia menggelupur kesakitan.
“Huh! Huh!” Kukunya mencakar-cakar tanah.
Giginya diketap kuat. Matanya buntang tidak berkelip.
Dia benar-benar marah.
Ustaz Muiz bangun untuk menukar posisi. Sedih
hatinya apabila melihat Aman begitu. Baru hendak
meneruskan bacaan, dia ditempik dari belakang.
“Ke tepi!”
Semua yang ada di situ menoleh.
TANPA MEMPEDULIKAN semua mata yang
memandang, Salim mara mendekati Aman yang masih
terlentang di tanah. Sementara Budin berdiri tidak
jauh daripada Tok Empat Abu. Sebaik sahaja tiba, dia
duduk mencangkung dan membaca jampi serapah.
Tapak tangan diletakkan di atas perut Aman. Dengan
sekali pukulan di bahagian perut, Aman terduduk dan
tersedar.
Ustaz Muiz berdiri bulu roma. Hanya dia yang
mampu melihat seekor beruk hitam keluar dari tubuh
Aman, lalu lari ke hutan berhampiran. Dia yakin itulah
jin yang merasuk Aman sejak tadi.
Setelah tenang, dia bangkit berdiri. Ditariknya
tubuh Aman supaya bangun namun tangannya direntap
Aman dengan kasar. Aman mendekati Salim lalu
tunduk mencium tangan. Salim meletakkan tangan
kiri di kepala Aman lalu membaca jampi sebelum
menghembus sebanyak tiga kali.
Setelah itu kedua-duanya berpisah. Aman terus
naik ke rumah tanpa mempedulikan ibunya dan semua
yang ada di situ.
Salim merenung tajam Ustaz Muiz. Mujurlah
Suci Giring cepat memberi isyarat. Kalau tidak, pasti
lebur salah satu pendampingnya.
“Jangan ganggu anak buah aku,” katanya.
“Ada salah faham di sini,” balas Ustaz Muiz
dengan tenang meskipun dia dapat membaca
kemarahan yang terpancar melalui air muka Salim.
Dia tidak faham kenapa Salim marah apabila dia cuba
membantu Aman yang kesurupan.
“Faham atau tak, jangan cuba
memandai-mandai. Dia tanggungjawab aku. Engkau
jangan masuk campur.”
Salim menahan geram. Kalau dikutkan hati
mahu dia mengajar Ustaz Muiz yang tidak faham bahasa
itu sampai lembik.
“Seorang Muslim adalah saudara orang
Muslim lainnya. Dia tak boleh menzaliminya dan tak
boleh membiarkannya diganggu orang lain. Dia wajib
menolong dan membela.” Ustaz Muiz bertegas dengan
pendiriannya.
“Beri saja ceramah engkau tu di masjid,” balas
Salim dengan kasar dan terus berpaling pergi. Kalau
dia terus berada di situ, dia bimbang Ustaz Muiz akan
menjadi mayat.
Kesemua yang ada hanya memandang Salim
dan Budin meninggalkan rumah Aman dengan langkah
laju. Setelah mereka pergi, Karim, Tok Empat Abu dan
Imam Daud datang mendekati Ustaz Muiz.
No comments:
Post a Comment