DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 30 June 2019

Lara Wirang - Bab 6

PUKUL 4 pagi. Suasana begitu tenang.
Ustaz Muiz sedang khusyuk membaca al-Quran selepas
bersolat sunat tahajud bersama Sufiya. Selesai sahaja
surah Al-Jinn, Ustaz Muiz kembali berdiri untuk
mendirikan solat sunat taubat bersendirian.
Segala kelakuan suaminya, diperhatikan Sufiya
dengan teliti. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu
fikiran suaminya. Sejak petang semalam, suaminya
lebih banyak bermenung dan mendiamkan diri di
dalam bilik.
“Abang...” tegur Sufiya ketika suaminya sudah
selesai berdoa dan berwirid.
Ustaz Muiz menoleh lalu tersenyum.
“Maafkan segala salah silap Sufiya pada abang.
Maafkan kalau ada apa-apa yang terkurang dalam
layanan dan bakti Sufiya sebagai seorang isteri.” Sufiya
tunduk mencium tangan suaminya dengan setulus
hati. Mungkin ada kesilapan yang tidak dia sedari.
“Kenapa pula tiba-tiba minta maaf? Sufiya pun
tahu abang selalu memaafkan Sufiya. Abanglah yang
mungkin ada kekurangan dalam menjaga hak-hak
Sufiya kebelakangan ini. Abang semakin kerap keluar
rumah dan meninggalkan Sufiya keseorangan.”
Ustaz Muiz memegang ubun-ubun Sufiya.
Direnung wajah isterinya yang manis dan mendamaikan
hati. Tindakan Sufiya itu agak mengejutkan.
Sufiya menggeleng. Tiada sebarang kekurangan
pada dirinya. Segalanya mencukupi, cuma air muka
suaminya seperti menyembunyikan sesuatu.
“Abang seperti ada masalah. Kalau Sufiya
penyebabnya, tolonglah terangkan supaya Sufiya
faham.”
Ustaz Muiz ketawa kecil.
“Maafkan abang kalau terbawa-bawa soal kerja
ke dalam rumah kita. Tiada salah dan kurangnya Sufiya
dalam melayani abang.”
Sufiya mengurut dada.
“Abang tak mahu berkongsi dengan Sufiya?
Kalau Sufiya tak mampu memberi jalan keluar pun,
sekurang-kurangnya ada telinga yang mendengar.”
“Tak mengapalah, sayang. Maafkan abang
kerana buat Sufiya risau. Marilah kita memperbaharui
wuduk. Kemudian dirikan solat witir dan berzikir. Pada
waktu-waktu sebelum masuk waktu subuh ini, setiap
perkataan yang diucapkan sangat bernilai harganya.
Janganlah kita sia-siakan.”
Sufiya sekadar mengangguk dan bangun
menuju ke bilik air. Sambil melangkah, sempat dijeling
wajah suaminya yang kembali khusyuk menyambung
zikir. Dia berdoa semoga suaminya diberikan ketabahan
dan kesabaran. Dia tahu suaminya sedang diuji.

SELEPAS BERSARAPAN di rumah, Ustaz Muiz
menunggang motosikal bersendirian ke rumah Salim.
Dia ingin melihat keadaan Salim dan juga meminta
maaf atas segala apa yang berlaku semalam. Sewaktu
dia tiba, pintu hadapan rumah Salim sudah terbuka
tetapi rumah senyap sunyi.
“Assalamualaikum!” laung Ustaz Muiz selepas
mematikan enjin motosikal. Tidak perlu menunggu
lama, wajah Budin tersembul di muka pintu. Sebaik
sahaja ternampak wajah Ustaz Muiz, laju sahaja kakinya
turun ke tanah.
“Engkau nak apa lagi? Tak puas hati lagi dengan
apa yang engkau buat semalam?” bentak Budin dengan
muka yang merah padam.
“Budin... aku datang ni nak melawat Salim.
Macam mana keadaan dia? Aku juga datang nak minta
maaf,” jawab Ustaz Muiz tanpa rasa takut.
“Minta maaf? Eh! Abang aku muntah darah tau!
Engkau ingat benda tu perkara kecil ke?”
Ustaz Muiz terdiam seketika.
“Macam mana keadaan dia sekarang? Kalau
belum elok, biar aku yang hantar dia ke hospital,”
katanya.
Semena-mena terdengar suara orang ketawa
dari belakang. Ustaz Muiz menoleh.
“Siapa yang engkau nak hantar ke hospital,
Muiz?” Salim melangkah perlahan dari belakang rumah.
Tubuhnya masih basah dengan embun. Wajahnya
tampak lebih segar-bugar berbanding semalam.
Ustaz Muiz membalas dengan senyuman.
Lapang hatinya apabila melihat Salim sihat seperti
sediakala, cuma dia juga melihat sesuatu yang berbeza.
Kini di samping Salim ada 7 makhluk hitam, bukan 6
seperti semalam. Ketujuh-tujuhnya mengikut ke mana
sahaja Salim bergerak dan yang ke-7 itu yang paling
besar dan tinggi. Matanya juga berapi.
Tahulah dia, keadaan semakin rumit.
“Syukurlah kalau engkau sudah sembuh.
Aku datang untuk melihat keadaan engkau dan juga
meminta maaf atas apa yang berlaku semalam,” katanya
dengan tenang meskipun berwaspada.
“Orang seperti engkau hanya tahu berlagak
baik. Berlagak suci di mata masyarakat. Hakikatnya hati
engkau lebih busuk daripada bangkai. Tak boleh lihat
aku lebih sedikit, cepat engkau datang nak membunuh
aku. Tapi, Muiz... ini Salim. Tok Guru Aliran Suci
Giring. Adakah engkau fikir aku akan tewas di tangan
engkau?” balas Salim sambil menjeling sinis.
Merah padam muka Ustaz Muiz. Tuduhan
Salim benar-benar mencabar kesabarannya, namun
cepat dialih dengan bacaan zikir. Dia beristighfar dan
bertaawwuz. Dia tahu dia tidak boleh terbawa-bawa.
Yang akan mengalahkan dia bukan Salim, tetapi
hasutan syaitan yang mengapi-apikan.
“Aku bukan datang sebagai musuh. Aku datang
sebagai saudara seagama. Kalau apa yang aku lakukan
semalam melukakan tubuh badan dan hati kau,
sekali lagi aku minta maaf. Tetapi sebagai orang yang
diamanahkan untuk menyelesaikan hal ini, sekali lagi
aku minta engkau tinggalkan aliran kebatinan ini yang
jauh menyimpang daripada syariat Islam. Berhenti dan
bertaubatlah sebelum terlambat.”
Sekali lagi Salim ketawa terbahak-bahak.
Begitu juga dengan Budin.
“Baliklah, Muiz. Ramai lagi orang kampung
yang boleh engkau tipu dengan ceramah agama engkau
tu. Di sini tak ada tempat untuk engkau berceramah.
Tapi aku juga nak beri engkau amaran. Kalau sekali
lagi engkau masuk campur dengan urusan aku, engkau
tanggunglah akibatnya. Jangan kata aku tak beri engkau
amaran,” bidas Salim.
Oleh kerana Salim tetap berkeras dan tidak
mahu menerima nasihat, Ustaz Muiz membuat
keputusan untuk meninggalkan tempat itu. Dia akan
cuba cara lain.

DARI RUMAH Salim, Ustaz Muiz menunggang
motosikal ke tapak madrasah. Dia ingin melihat
kerja-kerja pembersihan tanah yang sepatutnya sudah
dimulakan pada hari itu. Belum sempat sampai, dia
diteriak Karim yang duduk bersarapan di Warung Pak
Tam. Ustaz Muiz terus berpatah balik ke situ.
“Ustaz ke mana pagi-pagi ni?” tegur tok imam
yang ada bersama Karim di situ.
“Baru nak ke tapak madrasah.” Ustaz Muiz
mengambil tempat duduk di sebelah tok imam.
Karim memesan segelas teh kosong untuk
Ustaz Muiz.
“Tadi saya ke rumah ustaz, tapi Kak Sufiya kata
ustaz dah keluar sejak awal pagi.” Karim berkerut dahi.
Ustaz Muiz bergumam seketika.
“Ustaz ke rumah Salim ya? Macam mana
dia?” Karim menambah. Setelah mengenali lelaki itu
bertahun-tahun, dia sudah dapat mengagak. Hati lelaki
itu tidak tahu erti dendam dan kebencian. Adakalanya
dia sendiri pun hairan.
“Alhamdulillah. Dah sihat.” Itu saja yang keluar
daripada mulut Ustaz Muiz. Apa yang baru berlaku
membuatkan dia sedih sedikit. Bukan kerana hal itu
gagal diselesaikan dengan cara yang baik, akan tetapi
dia sedih kerana gagal membuka mata Salim. Namun
dia tahu dia telah berusaha. Petunjuk dan hidayah itu
tetap milik Allah.
“Sihat? Wah!” kata Karim.
Tok imam menoleh ke arah Karim sebelum
menoleh semula ke arah Ustaz Muiz.
“Kenapa dengan Salim? Sakit ke?”
Pertanyaan itu membuatkan Karim tersenyap.
Ustaz Muiz pula menelan air liur. Melihatkan kerisauan
yang terukir pada wajah tok imam, dia jadi tidak sampai
hati membiarkan orang tua itu terus tertanya-tanya.
Akhirnya dia berterus terang. Diceritakan akan kejadian
semalam dan apa yang baru berlaku tadi.
“Jadi apa pendapat kamu dalam soal ini?”
“Kita nasihatkan jemaah supaya mengawasi
ahli keluarga masing-masing. Jangan sampai terlibat
dengan aliran itu. Mereka perlu diberi penerangan
supaya tak terpengaruh. Kita harap apabila gelanggang
persilatan mereka tak dapat sambutan, segalanya akan
berkubur begitu saja. Perihal Salim, saya akan cuba
memujuknya lagi.” Ustaz Muiz meluahkan pendapatnya
satu per satu.
“Yang belum terlibat tu mungkin senang kita
nak pujuk. Tapi yang dah jadi ahli tu, nampaknya susah
sikit. Tengoklah Aman semalam,” sampuk Karim.
“Kita mesti berjumpa dengan mak ayah
budak-budak tu. Terangkan betul-betul apa masalahnya.
Kita harap budak-budak tu mahu dengar kata mak ayah
masing-masing,” balas tok imam setelah terdiam lama.
“Kita minta tolong dengan tok empat dan
ahli jawatankuasa kampung. Masalah ini masalah kita
semua,” Ustaz Muiz bersuara.
Kesemua yang ada bersetuju. Tanpa mereka
sedar perbincangan mereka diikuti oleh seorang lelaki
tua yang duduk di sebuah meja secara diam-diam. Dia
beredar sejurus Ustaz Muiz meninggalkan tempat itu
bersama Karim.

DI RUMAH Salim, kedengaran ketawa yang
bertingkah-tingkah. Budin, Salwa dan Salim ketawa di
serambi kerana mengenangkan apa yang baru berlaku
tadi.
“Pucat mukanya bila nampak abang,” kata
Budin. Geli hatinya apabila teringatkan wajah Ustaz
Muiz. Dalam masa yang sama agak terkejut dengan
keberanian lelaki itu datang ke situ setelah apa yang
berlaku.
“Baru dia tahu, yang nak dilanggar ni bukan
pokok jagung. Tapi tualang bertunjang tujuh alam.
Setakat tiupan sepoi-sepoi bahasa tu, daun pun tak
terselak,” balas Salim dengan dada yang berdebar-debar.
Dia amat gembira kerana mampu membuktikan
yang dirinya bukan calang-calang orang. Meskipun
dia tahu kalau bukan kerana bantuan tok gurunya,
dia mungkin lumpuh sampai mati. Belebat angin
yang dihantar semalam memang itulah tujuannya,
tetapi sayang benteng pertahanan Ustaz Muiz mampu
mengempang. Itu juga menjadikan dia tambah
tercabar. Bukan sembarangan orang juga yang mampu
membalikkan belebat itu. Dia yakin Ustaz Muiz tinggi
ilmu di dada. Itu menjadikan dia rasa tercabar.
“Harap dia serik lepas ni.” Salwa menyampuk
perbualan itu.
“Orang macam tu mana tahu serik,” bidas
Salim. Dia yakin Ustaz Muiz tidak akan berhenti setakat
itu.
Budin mengeluh.
“Kalau dia datang lagi, memang nak cari maut,”
katanya.
“Maut itu mudah. Sengsara itu yang payah,”
balas Salim penuh makna.
Dia tetap tidak akan melepaskan Ustaz Muiz
dengan mudah setelah apa yang berlaku semalam.
Maruahnya telah tercalar di hadapan beberapa pasang
mata. Semua itu akan ditebus.
“Dengarnya sekarang dia sibuk nak bina
madrasah,” cerita Budin. Dia pun baru tahu daripada
orang kampung yang dia jumpa semasa pergi mengail.
“Di mana dia nak buat tu? Tak sudah-sudah nak
menonjolkan diri,” balas Salim acuh tak acuh. Dia buka
gelanggang, Uztaz Muiz buka madrasah.
“Di kebun dia tu. Yang bersempadan dengan
tanah Ustaz Majdi.”
Belum sempat Salim berkata, Salwa sudah
menyampuk. Ada seorang lelaki tua yang membawa
sebuah beg masuk ke halaman rumah mereka.
“Abah... ada orang datang,” katanya.
“Masuk,” arah Salim kepada Salwa.
Salwa terus angkat punggung dan masuk ke
dalam rumah. Tinggal Salim dan Budin menyambut
seorang lelaki tua yang tidak pernah dikenali.

SALIM DAN Budin memandang deretan-deretan cincin
yang disusun di atas tikar. Batu-batunya besar dan
pelbagai warna. Ada yang berbentuk empat segi. Ada
yang bulat seperti bulan purnama. Ada yang lonjong
dan hitam pekat. Di tepinya pula seorang lelaki tua yang
memperkenalkan dirinya sebagai Pak Akub.
“Kalau Pak Akub boleh mencadangkan kepada
anak, Pak Akub cadangkan cincin ini.” Sebentuk cincin
berbatu merah dihulurkan kepada Salim.
Cincin itu diambil Salim tanpa sebarang niat
untuk membelinya. Dia sekadar suka melihat dan juga
mendengar celoteh penjual yang adakalanya tersirat
seribu cerita dan ilmu mistik. Kalau pandai bertanya
dan ambil hati, ada waktunya juga pelbagai petua
dan ilmu boleh didapati secara percuma. Apatah lagi
selalunya di sebalik setiap batu cincin ada usul dan
cerita yang menarik.
“Batunya bernama Pasung Kati. Khasiatnya
sangat banyak. Sebagai penangkal segala ilmu yang
ditujukan kepada si pemakai. Sebagai pelaris kalau
berjualan. Sebagai pemanis kalau ingin memikat.
Sebagai penunduk kalau ingin digeruni. Pendek kata
atas apa jua niat si pemakai.”
Salim sekadar terangguk-angguk. Batu
cincin itu dibelek-belek dan direnung. Mengikut
pengetahuannya cincin itu mempunyai khadam.
Khasiatnya juga amat menggiurkan, namun semua itu
belum mampu membuka hatinya untuk membeli.
“Tapi, anak... kalau tak silap mata hati Pak
Akub, kamu berdua ni dalam kesusahan. Ada sesuatu
yang menjadi keresahan. Bukan begitu?” Pak Akub
tersenyum nipis.
Mata Salim berhenti berkelip. Dia merenung
lama wajah Pak Akub yang tenang dan mendamaikan.
Cuba ditelah kemampuan orang tua berkopiah hitam
dan berbaju batik lusuh itu namun tidak terbaca
apa-apa. Mungkin orang tua itu memakai pendinding,
fikirnya.
Renungan Salim disambut Pak Akub dengan
ketawa kecil. Sambil mengutip semula cincin-cincin
yang disusun di tikar dia menyambung.
“Masalah anak berdua tak mampu diselesaikan
dengan cincin-cincin ini. Musuh kamu bukan tahap
kamu.”
“Apa yang Pak Akub tahu?” Tidak disangka
mulut Pak Akub sebegitu celopar. Rasa marah Salim
melonjak-lonjak. Ustaz Muiz bukan tahap dia?
“Aliran anak tu bukan sebarang aliran. Kalau
cukup ilmunya, anak mampu mengalahkan sesiapa
saja. Tapi sayang, anak belum mencapai tahap yang
sepatutnya.”
Air muka Salim berubah. Tok gurunya sendiri
belum pernah mengatakan hal itu secara berdepan.
Inikan pula Pak Akub, orang tua yang datang entah
dari mana. Tersirap darahnya, namun ditahan agar
tidak memukul sembarangan. Selagi Pak Akub tidak
melampaui batas, dia juga tidak mahu menunjuk
pandai. Bak kata orang tua, kuku jangan ditunjuk,
nanti dipotong orang.
“Tentu Pak Akub arif mengenai aliran Suci
Giring.” Dia cuba berlembut. Ingin diuji sejauh mana
pengetahuan Pak Akub mengenai aliran yang dibawa.
Setahunya, dialah orang pertama yang membawa aliran
itu ke Tanah Melayu.
“Bukan aliran Suci Giring saja. Ada banyak
aliran lain yang Pak Akub tahu. Tapi aliran Suci Giring
adalah yang terhebat. Sayangnya...”
“Sayangnya apa, Pak Akub?” Salim semakin
tidak sabar.
“Ilmu kebatinan anak belum putus. Masih ada
tingkat yang anak belum capai.”
Dahi Salim berkerut. Puas difikirkan apakah
maksud Pak Akub.
“Carilah malam Selasa Kliwon bertepatan
dengan bulan mengambang penuh. Pergi ke Gua
Sembunyi. Naiknya sebelum maghrib. Sampainya
mesti sebelum tengah malam. Kalau kamu bernasib
baik, kamu akan menemui sesuatu di sana.”
“Gua Sembunyi?”
Mata Salim berhenti berkelip. Apa yang
dikatakan oleh Pak Akub persis dengan apa yang
disuruh oleh tok gurunya senja semalam. Pergi ke
sana bukanlah susah kerana dia pernah ke situ untuk
bertapa beberapa tahun yang lalu sebelum disuruh
pergi ke tanah Jawa.
Gua itu sebuah gua batu kapur yang tertinggi di
Gunung Senandung. Terletak beberapa batu di sebelah
selatan kampung itu. Sebahagian daripada Banjaran
Titiwangsa.
Seperkara yang menarik tentang gua itu,
hanya manusia yang ada ilmu kebatinan sahaja yang
akan menemuinya. Ia tersembunyi daripada mata
manusia biasa. Sebab itulah dipanggil Gua Sembunyi.
Dia sendiri mampu sampai ke gua itu hanya dengan
bimbingan tok gurunya. Ada jampi serapah yang mesti
dibaca sebelum mula mendaki. Ada korban yang perlu
diberi di sepanjang pendakian dan ada mantera yang
perlu diratib hingga ke muka pintu gua.
“Anak berdua tentu belum tahu apa-apa kan?”
Kening Salim terangkat. Mulut Budin
terlopong.
Melihatkan reaksi Salim dan Budin, Pak Akub
pun menyambung.
“Di warung tadi, dah heboh orang kampung
bercakap.”
“Heboh? Pasal apa?” Salim terus menyergah.
Cemas hatinya kalau-kalau hal dia dikalahkan Ustaz
Muiz semalam mula diperkatakan orang kampung.
“Pasal persilatan yang kamu bawa inilah.”
“Siapa yang bercakap tu?” Budin pula bertanya.
“Pak Akub tak tahu nama dia. Tapi orangnya
kurus-kurus, pakai songkok putih kekuningan.”
“Ada janggut, kan? Pakai cermin mata,” sampuk
Budin.
Pak Akub angguk.
Salim bergumam. Siapa lagi kalau bukan Ustaz
Muiz. Dia dan Budin saling menjeling. Hal yang baru
sampai ke telinganya itu menambah panas di dada. Tak
habis-habis Ustaz Muiz cuba menjatuhkan air mukanya.
“Apa yang dia cerita pada orang kampung?”
Salim bertanya.
“Dia kata persilatan yang anak berdua bawa ni
menyimpang dari agama. Dia hasut orang kampung
jangan belajar. Juga halang anak-anak mereka daripada
datang ke sini.”
“Cis!” Salim menepuk lantai sampai bergegar.
Telinganya berdesing. Kepalanya pening seketika.
Tidak diduga sampai begitu sekali Ustaz Muiz cuba
menentangnya. Walhal selama ini dia dan Ustaz Muiz
jarang sekali bertegur sapa. Masing-masing buat hal
sendiri di kampung itu.
“Siapa anak muda tu? Nampak berilmu
orangnya.” Pak Akub menjeling sekilas lalu.
“Ah! Bukan sesiapapun. Cuma orang kampung
ni yang busuk hati,” jawab Budin sewenangnya.
Pak Akub terangguk-angguk.
“Tapi... ilmunya tinggi. Tak terlawan dek anak
berdua.”
Salim menarik nafas panjang. Pak Akub bagai
memerah limau ke atas luka. Kalau hilang sabar, mahu
dia menerajang lelaki tua itu sampai ke pokok pisang
yang banyak membarisi kawasan rumahnya.
“Sebab itu elok kalau anak ke Gua Sembunyi
sebelum terlambat. Kalau kalah, malu saja. Macam
mana nak angkat muka?” Pak Akub menutup bicara.
Dikutip semua cincin di atas lantai lalu dimasukkan ke
dalam beg lusuh yang dibawa. Dia meminta diri untuk
ke rumah lain pula.
Salim termenung. Rasa marahnya
terapung-apung. Hendak dilepaskan kepada siapa pun
dia tidak tahu. Jauh akalnya menerawang, sehingga
tidak sedar, Pak Akub menghilang hanya setelah
melangkah 7 tapak ke arah pagar.

No comments:

Post a Comment