DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Monday, 14 January 2019
Bisikan Rindu Semalam - Bab 1
“CINTA!!!” Suara Puan Raziah bergema
kuat. Bergegar rasanya rumah batu setingkat itu. Geram
sungguh dia dengan perangai Cinta Arissa; satu-satunya anak
perempuan yang dia ada. Matahari sudah mencanak tinggi
pun masih lagi tidak sudah-sudah buat tahi mata.
Senyap.
“Eeiii... ni yang aku geram ni. Matahari dah tegak
atas kepala pun tak reti nak bangun lagi. Memang nak kena
budak ni!” Puan Raziah terus membebel kecil sambil langkah
diayun laju menuju ke bilik Arissa.
Sebaik sahaja pintu bilik ditolak, darah Puan
Raziah semakin mendidih. Naik semput nafasnya melihat
pemandangan yang ‘indah’ di dalam bilik tidur anak gadisnya
itu. Kain baju kotor berlonggok di atas lantai. Kulit kacang
dan kuaci bersepah di sana sini. Novel-novel juga bersepah
di atas lantai. Sah! malam tadi anak gadisnya itu studi novel
sampai ke subuh. Sakit rasa matanya memandang. Sakit lagi
rasa di hati!
Matanya beralih pula pada katil Arissa. Tu dia!
Bukan main bahagia lagi anak gadisnya nan seorang itu.
Tidur terbongkang tidak sedar dunia. Puan Raziah urut
dada. Kalau ikutkan hatinya yang sedang panas, mahu
dilipat-lipat saja anak gadisnya itu biar jadi kuih lipat. Umur
sudah menjangkau ke usia 25 tahun, tetapi perangai tidak
semenggah mengalahkan budak sekolah menengah!
Puan Raziah menarik nafas dalam-dalam.
Perlahan-lahan nafas yang ditarik tadi dilepaskan. Sudah
macam orang mahu beranak saja gayanya. Kalau dengan
Arissa ni, memang selalu bikin hati dia panas. Kenapalah anak
dia nan seorang ini tidak serupa dengan anak orang lain?
“Cinta... bangun Cinta...” Lembut suara Puan
Raziah. Lembut yang dibuat-buat sebenarnya. Kalau ikutkan
rasa, mahu dipiat-piat saja telinga capang anak gadisnya itu.
Biar makin capang! Betullah agaknya telahan orang tua-tua
dahulu. Kata mereka, kalau sesiapa yang bertelinga capang
ini memang degil orangnya. Sekarang memang sudah
terbukti. Cinta Arissa, anaknya itu memang degil tahap dewa.
Nauzubillah...
Arissa masih kaku. Suara Puan Raziah yang
beralun-alun lembut memanggil namanya itu bagaikan
melodi indah baginya. Terasa tidurnya makin lena.
Puan Raziah mula hilang sabar.
“Cinta Arissa!!!” tempik Puan Raziah betul-betul di
tepi cuping telinga anaknya.
“Arrrgghhh!!!” Arissa terlompat. Rasa macam
hendak pecah gegendang telinganya dek suara petir Puan
Raziah. Matanya terkebil-kebil. Sesaat, dua saat... barulah dia
bersuara. “Kenapa ni mama? Ada perompak ke ma?” kalut
Arissa bertanya. Hujung jari kelengkengnya sudah mengorek
lubang telinganya yang terasa berdengung.
‘Adoi... kalau pekak, mahunya jatuh saham aku ni!’
sempat lagi hatinya mengomel.
“Haah, perompak!” Puan Raziah menjawab geram.
Boleh pula Arissa buat riak blur.
“Mana?” Terus cerah biji mata Arissa. Bersungguh
anak matanya fokus kepada Puan Raziah.
Puan Raziah menjegilkan biji matanya kepada Arissa
sambil giginya dikacip rapat, tanda geram.
Gulp!!! Liur Arissa tertelan sendiri. Okey, sekarang
dia dah faham!
“Apa mama ni... kalau Cinta mati tak sempat nak
mengucap tadi, macam mana?” Arissa merengek manja.
Selimut ditarik semula.
Baru sahaja dia mahu merebahkan tubuhnya semula
di atas katil, telinganya sudah ditarik kuat. Terteleng terus
kepalanya.
“Aduh! Sakitlah mama. Ampun maaaaa...” Macam
hendak tercabut telinga Arissa dipulas oleh Puan Raziah.
“Padan muka! Hah, eloklah sangat! Matahari dah
mencanak naik atas kepala, kamu masih membuta. Ternak
tahi mata! Anak dara apa macam ni?” bebel Puan Raziah
bersama mata yang sengaja dijegilkan. Selimut yang
membaluti tubuh Arissa direntap kasar.
“Apa mama ni? Main kasar nampak!” Bibir Arissa
sudah memuncung. Geram kerana lenanya diganggu oleh
Puan Raziah.
“Kalau nak tengok mama main kasar lagi, silalah
baring semula.”
“Yalah! Orang bangunlah ni. Baru nak lena, dah
kena kacau! Malam tadi orang tidur lambat, tahu tak?” Arissa
merungut-rungut sambil kaki mula menjejak lantai.
Puan Raziah bercekak pinggang.
“Mama peduli apa! Mama tak suruh kamu baca novel
tu sampai ke subuh. Kalau lambat tidur sebab bertahajud
tidak apalah jugak.”
Bibir Arissa mencebik. Tangan mencapai tuala mandi
yang tersidai di penyangkut baju. Bebelan Puan Raziah cuma
masuk ke telinga kanan dan keluar di telinga kirinya sahaja.
“Ini! Lepas mandi nanti tolong kemas semua ni.
Mama tak nak tengok macam ni. Bila lagi kamu ni nak
berubah, Cinta? Kalau macam inilah perangai kamu, mama
nak nikahkan kamu cepat-cepat. Biar suami kamu aje yang
layan perangai luar alam kamu ni!”
“Mama ni bisinglah. Tahulah mama tu guru besar
pencen. Tak payahlah nak garang sangat. Cinta rasa, elok
mama sajalah yang nikah. Kalau mama ada suami baru, tak
adalah hari-hari kerja nak membebel dekat Cinta aje.” Tidak
mahu kalah, bebelan mamanya dijawab. Tersenyum lebar dia
melihat mata Puan Raziah yang sudah membuntang bulat.
Geram gamaknya.
“Ya Allah... sabar ajelah aku dengan budak ni!”
Puan Raziah urut dada. Tidak tahu bagaimana lagi dia
mahu berdepan dengan perangai Arissa. Mungkin semua
ini berpunca daripada dia juga. Dia terlalu manjakan anak
gadisnya nan seorang itu.
Arissa ketawa mengekek. Suka sangat dapat
mengusik mamanya.
“Kalau kamu nak sangat pak tiri, mama boleh
carikan. Nanti mama carikan pak tiri yang perut buncit, gigi
rongak, kening lebat... dan yang miang-miang sikit! Mahu?”
gertak Puan Raziah dengan wajah geram. Bukan main lagi
Arissa mengusiknya.
“Eee...” Arissa pejamkan matanya rapat-rapat.
Bergerak-gerak bahunya membayangkan itu semua. Geli!
“Hah, tahu pun tak nak. Pergi mandi sekarang!”
Tangan Puan Raziah sudah menepuk kuat punggung Arissa.
“Aduh! Mamaaaa... apa main tepuk buntut ni? Ini
aset mahal, tahu tak?” Muncung Arissa panjang semula. Laju
saja tangannya menggosok punggung yang terasa perit dek
tepukan kuat mamanya tadi.
“Padan muka!” Kini tiba giliran Puan Raziah pula
yang ketawa mengekek.
“Malaslah nak layan mama. Mandi lagi bagus.”
Menonong saja Arissa keluar dari biliknya menuju ke bilik air
yang terletak di bahagian dapur.
Tergeleng-geleng kepala Puan Raziah. Namun
begitu, bibirnya terukir senyuman bahagia. Hanya Cinta
Arissa satu-satunya anak yang dia ada. Arissalah kekuatannya.
Anak itulah racun dan penawarnya. Selama ini dia kuat
kerana anak gadisnya itu.
ARISSA KETAP bibir. Inilah janji Melayu. Kalau janji pukul 6
petang, pukul 6 pagi esok baru muncul. Eee... sakit sungguh
hati!
“Cinta!” Terkocoh-kocoh Lela berlari mendapatkan
Arissa. Seketika nafas ditarik panjang tatkala dia berdiri
betul-betul di hadapan Arissa.
“Kau apa hal? Berapa kali aku nak kena cakap,
jangan panggil aku Cinta! Panggil aku Arissa. Dahlah,
lambat!” bentak Arissa kegeraman. Batang kemuncup masih
lagi tersepit kemas di bibirnya.
“Apa salahnya aku panggil kau Cinta? Dah memang
nama kau Cinta!”
“Cinta tu hanya mama aku saja yang boleh panggil
tau! Special value kata orang. Lepas ni, kalau aku dengar kau
panggil aku Cinta lagi, siap kau! Kenapa lambat ni?” Arissa
merenung tajam Lela.
“Aku lambat sebab kena tolong mak aku jaga
kedailah! Bukan macam kau, anak derhaka!” bidas Lela
geram. Tak boleh lambat sikit. Bukan selalu pun dia lambat.
Selalunya dia aje yang jadi pak pacak di tepi bendang ini
menunggu Arissa.
“Amboi! Memang tak sayang mulut, kan?” Arissa
tayang penumbuk. Suka hati saja cakap dia anak derhaka.
Dialah anak yang paling baik dan sopan di abad ini tau!
“Haa... derhakalah tu! Mama kau minta tolong pergi
kedai pun malas.” Lela tidak mahu kalah.
“Itu bukan malaslah wei...”
“Habis tu?”
“Itu malu. Tahu tak, malu?” Arissa ketawa kecil.
“Eleh... menyampah!” Lela mencebik. Kalau
bercakap dengan Arissa memang tak pernah dia menang.
Tanpa dipelawa, Lela sudah melabuhkan duduknya di
sebelah Arissa. Di situlah saban petang mereka menghabiskan
waktu bersama. Kadangkala Lela tidak faham dengan perangai
Arissa ini. Orang lain habis saja belajar, berlumba-lumba
hendak cari kerja. Dia pula, boleh lagi bermalas-malas di
rumah.
“Yalah... kali ni aku bagi kau menanglah. Kenapa kau
lari macam nampak hantu tadi?” Arissa kerut dahi.
“Hah! Ya Allah... terlupa!” Lela tepuk dahi sendiri.
“Apa?”
“Ya Allah... Cinn... err.... Rissa, tadi aku nampak
pakwe kacak tau! Dia datang kedai aku beli barang.”
Arissa mencebik.
“Eleh... mata kau bukan boleh pakai sangat! Bidin
yang comot tu pun kau nampak kacak.”
“Ya Allah, sumpah! Yang ni memang kacak. Kau pun
kenallah.”
“Siapa?” Bulat mata Arissa. ‘Aku pun kenal?’ hati
sudah mula tertanya-tanya.
“Haaa... tahu pun nak tahu! Hmm... Hariz. Anak mak
ngah kau.”
“Hariz? Anak mak ngah?” Arissa kerut dahi. Macam
pernah dengar saja nama itu. Perlahan nafas dilepaskan.
Hmmm... mahunya tak kenal! Setiap waktu nama itulah yang
sentiasa bermain dalam fikirannya.
“Allah, satu-satunya anak muda dekat kampung kita
ni yang belajar dekat luar negara sana. Sepupu sendiri pun
tak kenal?” giat Lela dengan wajah pelik.
“Hmmm... Hariz Ilman? Anak Mak Ngah Roza?”
Dalam tekak saja suara Arissa terlantun. Kerutan pada
dahinya semakin berlapis.
“Hah, ingat pun kau! Ingatkan kepala otak kau ni
lembap.” Lela tunjal kepala Arissa. Macam biasalah kalau
mereka bergurau. Bergurau kasar.
Yang peliknya kali ini Arissa biarkan saja.
Langsung tidak melawan. Malah, Arissa nampak macam
bingung-bingung pula. Lela kerut dahi. ‘Apa kena dengan
minah sorang ni?’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment