DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 15 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 10

Imbang badan lalui titi,
Bibir bergerak buat kiraan;
Bersabarlah aduhai hati,
Supaya jauh dari pertengkaran.

SELESAI urusan bersama klien VIP di Putrajaya,
aku ke Big Apple Donuts & Coffee sebelum singgah sebentar
di butik Hai’Dar. Tangan yang menyentuh pemegang pintu
lantas aku tarik semula memandangkan ada seorang lelaki
sudah menolak pintu kaca itu dari dalam.
Bagi memberi laluan kepadanya, aku mengundur ke
belakang dan membawa diri sedikit ke tepi. Keluar saja lelaki
itu, seluas alam rahangku terbuka.
Zarr Iskandar!
Aku hanya berdiam. Kelu lidah sesaat dengan
pertemuan yang tidak disangka-sangka ini. Lagipun, aku
ingatkan dia mahu menegur, tapi tak sangka dia blah macam
tu aje. Dia tak perasankan aku ke?
Aku buka mulut mahu memanggilnya. Tapi, tak jadi
bila melihat Zarr berjalan begitu laju bersama telefon pintar
melekap di telinganya. Sikit pun tak pandang ke kiri dan
ke kanan. Apatah lagi belakang. Kalau dia kalih sah-sahlah
nampak aku. Hairan. Apa dia buat dekat butik ni?
Menjunjung persoalan itu, aku angkat kaki masuk
ke dalam.
“Danny, xiawu hao (Danny, selamat petang).”
“Ha luo, Dinda xiaojie! Xiawu hao. Ni cang li lai?
(Helo, Cik Dinda! Selamat petang. Dari mana ni?”
“Putrajaya. Jumpa klien. Very important person.”
Ayat terakhir itu ditekan. Kemudian, aku sengih dituruti
Danny.
“Oh... Wo neng bang ma? (Ada apa yang boleh saya
tolong?)”
“Haidar you zai ma? (Haidar ada tak)?”
“Errr, yo... you zai (Ada).” Dalam gagap, Danny aku
lihat terangguk-angguk kepalanya.
“Okey, I pergi jumpa dia kejap.”
“Cik Dinda, tunggu!”
Danny menahanku di tangga. Aku jongketkan
sebelah kening kepadanya.
“Dui bu qi (Maaf), tapi you tak boleh jumpa dia.
Sebab bos baru aje cakap pada I, dia tak nak jumpa sesiapa.
Dia sangat sibuk sekarang ni.”
“Tapi, tak lama pun. I janji naik jumpa dia sekejap
aje. Nak hantar ni.” Kotak Big Apple aku angkat tunjuk pada
Danny. Haidar memang suka sangat donat.
“Ruguo shi zheyang, wo hui gei ta shi me?” (Kalau
macam tu apa kata I tolong bagi pada dia, boleh?).”
Aku kerutkan dahi. Pelik dengan situasi yang
jarang-jarang berlaku ini. Eh, tak... yang tepatnya, tak pernah
terjadi.
Sebelum ini sesibuk mana pun Haidar di butik, tak
ada masalah jika aku yang datang mahu berjumpa dengannya.
Danny tak akan halang.
Tapi, hari ni... berbeza. Atau sebenarnya Haidar
tengah sibuk di atas buat hal lain? Sibuk menggatal dengan
perempuan lainkah?
Hah, boleh jadi! Mungkin sebab itu Danny begitu
gigih untuk cover line.
Tu dia, fikiran negatif aku dah mula berfungsi!
Lagipun, manusia ni kita tak boleh letak kepercayaan seratus
peratus. Biar sepuluh peratus ada rasa curiga juga.
“It’s okay. Xiexie Danny. Mei guanxi (Terima kasih.
Tak apa). I rasa lebih baik I naik bagi sendiri pada dia. You pun
mesti sibuk dengan kerja, kan? So, excuse me.”
Selamba saja sebelah kaki aku angkat letak di atas
anak tangga pertama. Saat itu juga kedua tangan Danny lurus
menghalang jalan aku.
“I’m so sorry, miss. I can’t let you.”
Melihatkan riak Danny yang nampak
bersungguh-sungguh memaksudkannya, aku bertambah
curiga. Mengeluh kecil, kakiku dibawa turun semula. Tak
putus asa, aku bergerak ke kiri laju-laju. Danny sepantas kilat
ikut ke kiri. Aku gerak ke kanan pula. Dia ikut juga. Serupa
main galah panjang sudah.
Ah, tak boleh jadi ni. Aku kena guna taktik kejam
nampaknya. Apa ya? Fikir, Dinda. Fikir... Hah!
“Danny, zip seluar you tak tutup!”
“Hah???”
Saat pandangannya jatuh ke seluarnya, aku segera
pijak kaki yang berkasut kulit itu sekuat hati.
“Arghhh!” Danny menjerit.
Semua staf butik yang ada, aku lihat sudah terbeliak
biji mata memandang ke arah kami berdua.
Aku menekup mulut. Acah-acah tak sengaja
menghentak tumit halus sepanjang lima inci yang dipakai
sebentar tadi.
“Opps! Sorry, Danny.”
Lalu, cepat-cepat aku memanjat tangga
meninggalkannya terlompat-lompat sambil menyumpah
seranahku dalam bahasa ibundanya.
Huh, ini Nur Adindalah. Jangan dibuat main. Lagi
dilarang lagi bikin dia panasaran tau!

OMG! INI bilik kerja Pengarah Kreatif ke tempat meletupkan
bom lama?
Berantakan!
Haidar memanggungkan kepala. Wajahnya pucat
lesi seperti hilang darah dalam badan. Terkesiap dengan
kedatangan aku barangkali.
“Hi... What brings you here?” Seakan terpaksa saja
bibir itu menarik senyum buat aku. Tangannya aku lihat
kalut-kalut naik mengejapkan tali leher. Blazer bercetak
signature Hai’Dar pada tubuh pula diraba-raba seperti ingin
memastikan kekemasan.
“Surprise! Saja nak jumpa. Rindu. Ni... saya ada
belikan donat kegemaran awak.”
“Oh, thanks.”
Aku meletakkan kotak donat di atas meja kaca yang
wujud di tengah-tengah antara sofa di situ.
“Bos!” Muncul Danny di ambang pintu dengan muka
kecut. Terengah-engah nafasnya. Apa yang dia cemaskan
sangat entah.
“It’s okay, Danny. Tolong suruh Lily buatkan air dan
hantar ke sini,” arah Haidar dalam nada suara yang baik.
“Ba... baik bos.”
Aku senyum segarit apabila pandangan Danny
jatuh di mukaku. Lelaki sebaya Haidar itu tidak membalas.
Sekadar menunduk sedikit kepalanya sebelum berlalu keluar.
Terenjut-enjut saja dia berjalan.
Eh, marah ke? Itulah, siapa suruh hang halang aku?
Kan dah dapat sakit.
Melabuhkan duduk di depan Haidar, aku menongkat
dagu memandangnya. Muka dan senyuman yang dia tayang
saat ni nampak tak manis langsung! Senang kata muka itu
begitu tegang ditarik garis-garis kerisauan.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soalnya.
“Haidar, are you okay?”
“Huh? Oh, yeah... I’m great!” kata Haidar pantas.
Namun, sedikit gugup membawa ingatanku pada tanda-tanda
orang menipu.
Satu; gugup dan gementar. Menunjukkan seseorang
itu sedang cuba menutup sesuatu.
Dua; orang yang menipu tidak akan berani membalas
pandangan.
Untuk itu, aku merenung jauh ke dalam mata Haidar
tanpa berkelip. Jelas dia melarikan anak matanya. Kemudian,
jari telunjuk mula naik menggaru-garu puncak hidung.
Hah!
Tiga; menyentuh hidung.
Itu, termasuk dalam tanda-tanda orang sedang
menipu juga.
“Betul ni tak ada apa-apa? Bukan apa, nampak
macam awak sedang risaukan sesuatu aje.”
“Betul, sayang. Adalah sikit saya runsing pasal projek


I’M YOURS tu. Tiga orang yang terpilih tiba-tiba tarik diri
pula,” balasnya. Tepi pelipis diurut-urut.
Pun begitu langsung tak dapat buang rasa curiga yang
wujud dalam diri aku sejak melangkah masuk ke dalam butik
ini dan melihat ruang kerjanya yang berselerakan. Nak-nak
bila aku terserempak dengan Zarr di pintu keluar-masuk tadi.
“Oh ya, tadi masa saya nak masuk ke butik awak, ada
seorang lelaki berkemeja...”
“Oh! He’s my client.”
Laju Haidar memotong sedangkan aku tak tanya pun
siapa lelaki itu.
Tak sangka, ya? Rupa-rupanya manusia bernama
Zarr Iskandar juga berminat dengan sentuhan tangan Haidar.
Patutlah setiap petah bicaranya semasa di kampung hari tu
serupa kenal sangat dengan tunang aku.
“Klien? Ini bermakna awak rekakan baju pengantin
untuk dia?”
Dahi Haidar berkerut.
“Mana awak tahu dia nak kahwin?”
Aku tarik senyum.
“Sebenarnya kan...” Aku terdiam bila mendengar
bunyi vibrate dari iPhone Haidar. Secara tak sengaja, mataku
melorot jatuh pada skrin yang menyala-nyala itu.
Olivia???
Haidar menyambar telefonnya cepat. Ditolak
panggilan tersebut dan dibalikkan muka skrin ke atas meja.
“Kenapa dengan lelaki tu? Do you know him?”
“Dia...”
Damn it! Sekali lagi telefon itu bergegar.
“Sorry... I have to take this call.” Haidar bangkit
bersama iPhone itu dan aku menelan saja kata-kata yang
sudah berada di tekak.
Ya, aku faham mereka sering berhubung selama
ini kerana projek itu. Tapi, kalau dah Haidar menjawab
panggilan Olivia sampai kena menjauhkan dirinya daripada
aku bukankah itu mengundang curiga?
Tok! Tok! Tok!
Aku menoleh ke belakang.
Lily, pelajar praktikal itu tersenyum kepadaku
sebelum melangkah masuk ke dalam sambil menatang dua
biji muk dan diletakkan di atas meja kaca bersebelahan
dengan kotak donat.
“Terima kasih,” ucapku yang sudah biasa dengannya.
Sama juga seperti lain-lain staf tetap di butik ini.
“Sama-sama, Cik Dinda.”
Lily tidak terus keluar, malah dia bergerak mengutip
benda-benda yang berselerakan di lantai. Mungkin Danny
yang arahkan gadis itu untuk mengemas.
Aku bangun dan menjatuhkan lutut membantu.
Lebih tepat motifku ingin mencari tahu. Nak tanya Danny?
Mustahil lelaki mata sepet itu nak cerita. Tambah-tambah
selepas aku pijak kaki dia tadi.
“Boleh tak saya nak tanya awak sesuatu?”
“Tanya apa, Cik Dinda?”
“Apa sebenarnya yang dah berlaku dalam bilik ni?”
soalku perlahan.
Haidar memang sedang sibuk sekarang ni. Tapi, aku
pun seorang pereka juga. Jadi takkan dia buat kerja sampai
bilik serupa baru lepas dilanda Taufan Katrina? Mesti ada
sesuatu yang sudah terjadi ni.
Aku lihat geraknya terus kaku. Menelan liur, sekilas
Lily menjeling Haidar sekilas sebelum kalih memandang aku.
“Encik Haidar mengamuk tadi, Cik Dinda,” bisiknya.
“Hah? Dia mengamuk kenapa?”
Aku beriak terkejut. Biar betul? Selama ini tak
pernah pula aku tahu Haidar yang sentiasa nampak cool di
depanku itu panas baran orangnya.
“Tadi ada seorang lelaki datang sini jumpa dia.”
Tadi? Lelaki? Zarr Iskandarkah?
“Tak lama lepas tu kami semua dengar Encik Haidar
marah-marah. Saya ada dengar diaorang cakap pasal anak.
Ini bukan kali pertama tau, Cik Dinda. Dah tiga kali lelaki
tu datang sini! Dan tiga kali juga bos mengamuk,” ceritanya
penuh semangat sambil sesekali memandang ke luar.
“Mereka cakap pasal anak?”
Lily angguk-angguk.
Aku tak faham. Dah kenapa pula Haidar dengan Zarr
bercakap pasal anak dan bukan tentang busana perkahwinan?
“Lelaki kemeja putih yang baru keluar dari butik tadi
tu bukan klien bos awak ke? Tapi... takkanlah Encik Haidar
nak mengamuk dekat klien sendiri. Dia bukan macam tu.”
Memang Haidar yang kukenal bukan seperti itu.
Habis tu, tak akan dia tipu aku kut?
“Cik Dinda jangan cakap dekat bos tau apa yang saya
beritahu ni. Nanti rosak markah praktikal saya,” pinta Lily
dan aku angkat tangan sebagai tanda janji.
Buku dan majalah yang disusun Lily aku angkat.
Sewaktu mahu meletakkan barang tersebut di atas meja
tunang aku, kelihatan sesuatu yang nipis seperti kad terjelir
keluar dari salah sebuah buku itu.
Aku tarik dan dahi terus berkerut.

MASUK SAHAJA dalam perut kereta, aku keluarkan sekeping
gambar dari dalam beg tangan. Oleh kerana panasaran,
gambar lama tetapi berwarna ini aku ambil tanpa pengetahuan
Haidar.
Bukan itu maksudnya mencuri ke? Sebelah hatiku
yang baik berbisik.
Alah, pinjam aje. Nanti bagilah balik. Sekarang
izinkan aku untuk siasat dulu.
Bila ingat-ingat semula kan, beza sungguh gambar
keluarga ni dengan gambar keluarga yang selalu aku tengok
di dinding ruang tamu milik Tengku Sarah itu.
Aku tahu Tengku Sarah berkahwin dua kali. Pertama
dengan Tengku Habib. Kedua dengan Encik Lukman iaitu
kawan baik daddy Haidar sendiri.
Tengku Habib meninggal dunia dan Encik Lukman
pula bercerai hidup dengan Tengku Sarah. Kasihan... memang
tak panjang betul jodoh bakal mak mentua aku tu dengan
suami-suaminya.
Okey, berbalik pada gambar. Di sini ada wajah arwah
Tengku Habib, Tengku Sarah bersama seorang bayi di atas
ribanya.
Dan... Lelaki ni.
Hah, ini yang aku hairan! Siapa budak lelaki yang
berdiri di belakang Tengku Sarah dan arwah Tengku Habib?
Nak kata Haidar, bukan. Sebab dia tak ada lesung
pipit macam budak ni. Jadi, ini bermakna bayi di atas riba
Tengku Sarah tulah Haidar. Adakah budak lelaki ni Abang
Haidar? Tapi, Haidar tak pernah cakap apa-apa pun. Yang
aku tahu selama ni dia aje anak Tengku Sarah dengan arwah
Tengku Habib. Kalau ya itu abang Haidar, siapa dia? Dan di
manakah dia sekarang?


***BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN DISEMBER 2018***

1 comment:

  1. Mantap tulisannya. Jangan lupa baca punyaku di blogYANG MAHA SALAH ya .... Ada banyak cerpen dan puisi di sana

    ReplyDelete