TANGAN Arissa lincah saja bekerja di dapur.
Duduk di rumah Wan Kalsom ni mana boleh berkurung saja di
dalam bilik. Mahunya bernanah telinga dia nanti mendengar
bebelan Wan Kalsom. Bukan dia tidak kenal dengan perangai
neneknya itu, memang pantang kalau anak dara berat tulang.
Sambil mengacau sambal udang tempoyak di dalam
kuali, mulut Arissa tidak henti-henti menyanyi. Habis satu
lagu, dia sambung lagu lain pula. Matanya pula sesekali
mengintai kelibat Wan Kalsom melalui tingkap dapur.
Neneknya itu sedang ralit mengutip pucuk ubi kayu di
belakang rumah. Bibir Arissa tersenyum dengan sendirinya.
Penat-penat dia masak sambal udang, pucuk ubi kayu juga
yang dicari oleh Wan Kalsom.
“Wanginya bau! Masak apa ni?”
Terangkat terus bahu Arissa. Jantungnya pula
terasa sudah terasa melayang tinggi. Suara garau yang
menegur secara tiba-tiba dari belakang itu cukup mesra di
pendengarannya, membuatkan dadanya terus dipalu debar.
Arissa telan liur. Tubuh terasa keras membatu di situ.
Hariz menapak ke sebelah Arissa. Wajah Arissa yang
tunduk menekur lantai itu dijenguk. Saja mahu mengusik.
“Apa?” bentak Arissa keras. Wajahnya sudah terasa
panas. Malu apabila Hariz merenungnya begitu.
“Amboi! Garangnya...”
Hariz tergelak halus. Wajah Arissa yang sudah merah
itu direnung dalam. Berderau rasa darahnya.
Beberapa minit berlalu...
‘Astaghfirullahal’azim...’ Hariz beristighfar panjang
dalam hati. Cepat-cepat dialihkan pandangannya ke arah
lain. Semakin direnung Arissa, semakin mendalam pula
perasaannya terhadap gadis itu. Entah sejak bila perasaan itu
mula tumbuh, Hariz sendiri tidak sedar. Yang nyata, setiap
kali berdepan dengan Arissa, perasaan ingin memiliki gadis
itu semakin menebal.
Senyap.
Arissa panggung kepala. Berkerut dahinya melihat
wajah Hariz yang tadinya ceria sudah berubah keruh. Aik!
Apa kena ni? Tadi bukan main galak lagi lelaki itu mengusik.
“Abang kenapa? Okey tak ni? Izzara mana?” Akhirnya
Arissa tidak mampu menahan diri daripada bertanya. Api gas
dimatikan dan dia berdiri menghadap Hariz sambil berpeluk
tubuh. Perasaan malu yang menyelubungi dirinya sebentar
tadi sudah melayang pergi tatkala dia terpandangkan wajah
keruh abang sepupunya itu.
Hariz melakar senyum. Tapi nampak macam hambar
saja.
“Cinta dah buat dada abang sakit,” jujur Hariz. Diri
Arissa direnung tidak berkelip. Memanglah cantik! Alis mata
yang lentik, bibir yang merah merekah, mata bundar yang
bersinar jernih... Allah, sungguh indah ciptaan-Nya.
Arissa garu dahi. Okey! Dia langsung tidak faham apa
yang Hariz cuba sampaikan. Semuanya nampak kabur saja.
Sakit dada? Kenapa? Lelaki itu masih fikirkan kisah silam ke?
Bukankah mereka sudah sepakat tidak mahu mengungkit
lagi cerita lama. Masing-masing memang ada khilafnya.
“Cinta tak faham. Apa maksud abang ni?”
“Bila berdepan dengan Cinta, jantung abang ni rasa
sakit aje memanjang. Degupan jantung ni, laju lain macam
pula abang rasa.” Hariz jongket kening sambil tangannya
menjamah dada.
“Jantung? Sakit? Lagilah Cinta tak faham.” Makin
berlapis pula kerutan di dahi Arissa. Entah apa kenalah
dengan Hariz sekarang ini. Apa yang keluar daripada mulut
dia tu, semuanya kedengaran pelik saja. Renungan mata dia
juga, lain macam sangat. Kalau macam inilah gayanya, Arissa
pun boleh sakit.
“Kalau abang cakap... sekarang ni abang tengah cuba
pikat Cinta, macam mana?”
“Hah?” Melopong mulut Arissa. Wajah terasa panas
semula. Apa kena dengan lelaki ni?
“Abang tak bergurau. Abang memang tengah cuba
nak pikat Cinta,” tegas Hariz.
Arissa jeda. Degupan jantungnya semakin hilang
tempo. Hatinya pula tidak henti-henti berbisik. ‘Okey! Aku
nak jawab apa ni? Sebenarnya, apa yang tidak kena dengan
dia ni? Ya Allah...’
“Err... abang jangan mengarut, boleh tak?” Arissa
telan liur. Tapi macam tak tertelan saja. Dia terus menapak ke
meja makan. Terus melabuhkan punggungnya di situ. Jag air
putih ditarik dan dituang isinya ke dalam gelas. Sekali teguk
saja, air putih itu sudah licin melalui tekaknya.
“Abang tak mengarut, Cinta. Kalau Cinta sudi,
malam ni juga abang suruh umi masuk meminang. Ataupun
kita tak payah bertunang. Terus kahwin aje.”
Berkerut kening Arissa.
“Abang, malam tadi tidur tak basuh kaki, erk?
Sebab tu cakap yang bukan-bukan!” Arissa menjeling Hariz
sekilas. Dia nampak lelaki itu tersenyum dan mula menapak
ke arahnya. Cepat-cepat dipalingkan mukanya ke arah lain.
Saat ini, nafasnya bagaikan tersekat. Deria baunya pula,
dapat menghidu dengan jelas bau haruman dari tubuh
Hariz. Sah! Abang sepupunya itu sudah berdiri betul-betul di
belakangnya.
“Abang basuhlah. Siap ambil wuduk lagi.” Kerusi di
sebelah Arissa ditarik dan terus dilabuhkan duduknya di situ.
Arissa mencebik.
“Cinta, abang memang ikhlas dengan niat abang.
Sikit pun tak main-main.” Hariz bersuara semula.
Senyap.
Beberapa saat begitu, Arissa mula bersuara.
“Ikhlas itu tak boleh diukur dengan tutur kata,
abang. Jangan sebab rasa bersalah dengan sejarah silam tu,
abang paksa diri abang untuk bertanggungjawab. Cinta tak
nak abang rasa macam tu. Biarlah lelaki yang ingin berada di
samping Cinta ikhlas menerima Cinta seadanya. Sayangkan
Cinta, bukan sebab nak tebus dosa. Kalau abang rasa bersalah
pada Cinta, lupakanlah saja rasa tu. Sebab Cinta dah maafkan
abang dan Cinta tak nak ingat apa-apa lagi pasal tu. Lagipun
tak ada apa-apa yang terjadi pada hari tu.”
Arissa telan liur lagi. Tiba-tiba saja suasana menjadi
tegang. Sumpah! Hatinya melonjak suka mendengar
pengakuan yang terbit daripada bibir Hariz itu. Tetapi hatinya
tetap berperang ganas dengan akalnya, membuatkan dia
menyangkal segala rasa yang berdetik di hati.
“Tak! Bukan sebab abang rasa bertanggungjawab.
Tapi sebab Cinta dah lama ada dalam hati abang. Dari
dulu-dulu lagi. Dari zaman kita budak-budak lagi.”
Arissa tergelak halus. Kemudian, dia mencebik pula.
“Abang tipu! Kalau Cinta dah lama ada dalam hati
abang, kenapa abang jatuh cinta dengan perempuan lain?
Kenapa abang kahwin dengan perempuan lain?”
Tersentak Hariz. Sungguh dia tidak menyangka
Arissa akan menembak dia dengan soalan yang begitu.
“Abang tak tahu macam mana nak yakinkan Cinta.
Tapi, abang memang tak tipu. Takkanlah Cinta tak boleh rasa
cara layanan abang pada Cinta selama ni? Hari tu...” Hariz
berhenti di situ. Nafas cuba diatur agar bertenang.
Arissa panggung kepala. Matanya kini lurus ke dalam
anak mata Hariz.
“Hari tu... takkan Cinta tak boleh rasa...”
“Abang! Tolonglah!” Suara Arissa bergetar. Matanya
sudah mula berair. Cepat-cepat dipalingkan wajahnya ke arah
lain. Memang hatinya dapat merasakan semua itu. Layanan
Hariz ‘petang itu’ penuh dengan kelembutan. Sampaikan dia
kalah dengan godaan syaitan.
‘Astaghfirullahal’azim,’ laju hati Arissa beristighfar.
“Maaf...” Kendur suara Hariz. “Abang tak ada niat
nak mengungkit. Setiap kali abang teringatkan semua tu,
percayalah... abang rasa jijik dengan diri sendiri. Abang cuma
nak yakinkan Cinta. Kenapa Cinta nak mengelak daripada
abang? Kenapa Cinta macam nak larikan diri daripada abang?
Kenapa Cinta nak menafikan apa yang hati Cinta rasa?”
bertalu-talu soalan Hariz utarakan.
“Apa yang hati Cinta rasa?” laju Arissa menoleh.
Nafas ditarik dalam-dalam, cuba menahan rasa debaran yang
mula mengganas di dada.
“Abang yakin Cinta faham apa yang abang
maksudkan.”
Arissa tunduk semula. Ya! Dia faham sangat apa yang
Hariz maksudkan. Dia bukanlah naif sangat soal hati dan
perasaan. Tapi bukankah ikutkan hati itu mati? Ikut rasa pula
akan binasa? Arrghh...
“Buat masa sekarang ni, Cinta tak nak abang cakap
pasal ni,” putus Arissa.
Terdengar keluhan kecil terbit daripada mulut Hariz.
‘Kenapa Cinta? Kenapa?’ jeritan batinnya bergema
kuat. Tapi lain pula yang terucap di bibir merahnya.
“Tak apalah. Abang akan tetap tunggu Cinta. Abang
sanggup tunggu selama mana pun. Abang akan pastikan Cinta
tetap menjadi milik abang.” Perlahan suara Hariz menjamah
telinga Arissa. Tetapi kedengaran cukup tegas.
Semakin sesak dada Arissa.
‘Apa yang aku perlu buat Hariz? Untuk menolak kau,
aku tak mampu, kerana aku yakin masih ada lagi sisa rindu
semalam dalam hati aku ni untuk kau. Tapi untuk terima kau,
hati ni langsung tak kuat. Rasa dikhianati bila teringat kau
pernah dimiliki oleh perempuan lain. Rasa dipersiakan bila
kau menyepi bertahun lamanya daripada aku!’
Suasana menjadi bungkam tiba-tiba. Baik Arissa
mahupun Hariz, hanya membisu tanpa kata. Masing-masing
sedang berperang ganas dengan perasaan sendiri.
“Riz, bila kamu sampai?”
Sapaan Wan Kalsom yang tiba-tiba saja di muka
pintu dapur menyentap lamunan mereka berdua. Serentak
mereka menoleh ke arah pintu. Wan Kalsom sudah terpacak
di situ bersama secekak pucuk ubi di tangan.
“Wan, banyaknya pucuk ubi. Sedap tu cecah dengan
sambal belacan.” Hariz bangkit daripada kerusi untuk
bersalam dengan Wan Kalsom. Pertanyaan neneknya tadi
tidak pula dijawab.
“Haah, sedap ni! Nanti makan tengah hari dekat sini
aje. Sambal belacan wan dah buat tadi. Sambal tempoyak
udang pun ada tu. Arissa yang masak.” Wan Kalsom serahkan
pucuk ubi kepada Arissa.
Cepat-cepat Arissa menyambut dan bangkit daripada
kerusi. Tanpa menunggu arahan Wan Kalsom pun, dia sudah
faham. Tentu Wan Kalsom minta dia mencelur pucuk ubi itu.
Kakinya dibawa terus ke singki untuk mencuci pucuk ubi
sebelum dicelur.
“Hmm... sedap tu, wan. Tapi maaflah wan, Riz dah
janji dengan umi nak makan tengah hari dekat rumah. Kesian
pulak dekat umi. Beria-ia dia ke pekan cari lauk.”
Mendengarkan jawapan Hariz itu, perasaan Arissa
terus berasa hampa. ‘Aik! Apa kena dengan aku ni? Kenapa
aku nak rasa kecewa pulak ni?’
“Kalau macam tu, tak apalah. Malam nanti datang
makan malam dekat sini.”
Arissa pasang telinga. Dada rasa berdebar-debar
menantikan jawapan Hariz.
“Tengoklah, wan. Insya-Allah, kalau tak ada aral,
Riz datang malam nanti. Riz balik dulu, wan. Tadi umi yang
suruh datang jenguk wan dekat rumah ni. Manalah tahu ada
apa-apa ke. Tak tahu pula Arissa ni ada dekat sini temankan
wan.” Hariz menjeling kepada Arissa sekilas sebelum dia
bangkit daripada kerusi.
Dup!!! Jantung Arissa tiba-tiba berdegup kuat.
Mendengar saja namanya meniti di bibir Hariz, dadanya mula
terasa sempit. Kuat betul aura abang sepupunya itu.
“Hmm... mak su kamu ke Kuala Lumpur. Sebab tu
Arissa duduk dengan wan. Bimbang juga anak dara tinggal
sorang diri dekat rumah tu.”
“Ooo...” gumam Hariz. “Wan, Riz balik dululah ya.”
Tangan Wan Kalsom dicium.
“Aik, cepatnya nak balik,” giat Wan Kalsom. Salam
Hariz disambut juga.
“Takut Izzara tercari-cari pulak nanti. Dah balik
agaknya diaorang tu dari pekan.”
“Cinta... abang balik dulu ya?” lembut suara Hariz.
Matanya melekat sejenak pada sebatang tubuh milik Arissa
yang sedang membelakanginya. Adik sepupunya itu langsung
tidak menoleh. Tapi dia nampak kepala Arissa mengangguk
perlahan.
ANGIN PETANG di Taman Tasik Permaisuri masih bertiup
nyaman. Puan Raziah masih setia berdiri di tepi tasik,
merenung lepas ke dalam tasik yang luas. Tenang. Sesekali
air tasik nampak juga berkocak kecil. Mungkin akibat tiupan
bayu ataupun ikan-ikan kecil yang bermain di permukaan air.
Nafas dihela panjang. Terasa dadanya sedikit ketat.
Cara apa lagi yang harus dia guna? Takkan nak kena guna
media? Nanti kecoh pula. Argghh... kusut sungguh rasanya!
“Ziah, macam mana ni?” Puan Mahani memandang
lurus kepada sahabat baiknya itu. Dari tadi dia perhatikan
Puan Raziah. Nampak sangat sahabatnya itu sedang serabut.
“Aku tak tahu, Hani. Merata dah aku cari, tapi tetap
tak jumpa. Alamat rumah lama dia dulu, dah ada orang lain
tinggal. Aku buntu nak cari dekat mana lagi.” Puan Raziah
melepaskan keluhan berat.
“Apa sebabnya kau nak cari dia balik, Ziah? Buat apa
lagi kau nak cari lelaki tak guna tu? Berpuluh-puluh tahun
dah! Aku ingatkan kau dah lupakan dia.” Ada nada kurang
senang dalam suara Puan Mahani. Jujurnya, memang dia
tidak suka.
Terkejut juga dia apabila sahabat baiknya itu
menelefon dan menyatakan hajatnya untuk datang ke Kuala
Lumpur semata-mata kerana ingin mencari bekas suaminya.
Untuk apa Puan Raziah menggali semula kisah silam,
sedangkan perbuatannya itu hanya akan merobek semula
parut lama.
Puan Raziah tersenyum kelat.
“Kalau ikutkan aku, nama dia pun aku tak nak ingat,
Hani. Tapi Cinta Arissa... dia dah besar. Hampir setiap kali
kami duduk berbual, dia mesti bertanyakan ayah kandungnya.
Apa aku nak jawab? Naik sebu perut aku ni. Tambah lagi,
lelaki tu tak pernah tahu tentang Cinta Arissa.”
Puan Raziah telan liur. Rumput di kaki dikuis dengan
hujung kasut. Mata tidak mampu memandang wajah sahabat
baiknya itu. Dari dulu lagi, kepada Puan Mahanilah tempat
dia bercerita dan mengadu. Sewaktu dia dibuang keluarga
dulu pun, Puan Mahanilah yang sudi memapahnya untuk
terus berdiri. Sekarang, sekali lagi dia menyusahkan sahabat
baiknya itu.
Puan Mahani diam. Tidak tahu mahu menjawab apa.
Betullah, tu. Kalau dia berada di tempat sahabat baiknya itu
pun dia tidak tahu mahu bagaimana.
“Hmm... sabarlah, Ziah. Aku tahu kau kuat. Allah
pun tahu kau kuat. Sebab itulah Dia uji kau dengan ujian
yang macam ni. Tugas kita sebagai hamba ni kena sentiasa
bersangka baik dengan ketentuan Dia.” Bahu Puan Raziah
disentuh lembut.
“Entahlah, Hani. Kadangkala aku terasa kalah
dengan semua ujian ni. Peritnya dicaci, sakitnya dikhianati...
Allah, hanya Dia saja yang tahu macam mana rasanya. Tapi
apa yang terjadi ni, memang ada hikmahnya. Aku semakin
dekat dengan Dia.”
“Sebab tu Allah uji kau. Sebab Dia sayangkan kau.
Sudahlah tu, kalau kali ni kau tak berjaya jejak lelaki tu,
mungkin ada sebabnya yang kita tak tahu. Tapi... Allah tu
Maha Tahu. Kau tabahlah, ya.” Sekuntum senyuman Puan
Mahani hulurkan kepada Puan Raziah. Nampak tersangat
ikhlas.
“Terima kasih, Hani. Dari dulu sampailah sekarang,
kau selalu ada di sebelah aku. Tak terbalas rasanya jasa
kau tu.” Senyuman kelat dikoyak. Tangan Puan Mahani
digenggam erat.
“Tak payahlah nak mengada-ada sangat! Macamlah
besar sangat jasa aku pada kau.” Ketawa Puan Mahani sudah
berlagu. Bahu Puan Raziah dirangkul erat. Mereka memang
rapat. Sudah macam adik-beradik rasanya.
“Haah, tak adalah besar sangat, kan?” Puan Raziah
mencebik. Ketawa mereka bersatu. Macam itulah jika dua
sahabat baik itu bertemu. Pasti ada saja adegan usik-mengusik
antara mereka.
“Jomlah, kita pergi makan. Perut aku ni rasa lapar
pulak. Lepas makan nanti aku hantar kau balik ke hotel, ya?”
tangan Puan Raziah sudah ditarik untuk beredar dari situ.
Puan Raziah hanya menurut. Sempat juga dia
melemparkan senyuman kepada anak muda yang sedang
memandang mereka dengan kening berkerut. Pelik
barangkali melihat kemesraan dua orang ‘mak cik’ yang
berjalan sambil berpimpinan tangan. Biarlah apa orang nak
fikir, asalkan mereka bahagia.
No comments:
Post a Comment