DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 4

Tunduk wajah mata bertemu,
Sejenak diri menjadi kaku;
Lelaki kacak pandang tak jemu,
Siapa dia di depan aku?

PAGI-pagi lagi di rumah tok dah penuh dengan
kaum wanita. Aku pun tidak ketinggalan. Bersingsing lengan
baju sampai ke paras siku membantu apa yang patut. Bila nak
dekat-dekat jadi bini orang ni kenalah rajin-rajinkan diri sikit.
Kenduri apa? Kenduri tahlil untuk arwah tok wan
dan mama aku.
Ya, mama sudah meninggal dunia. Ketika aku masih
kecil. Kata tok, raut wajah mama saling tak tumpah seperti
aku. Cantik! Eh, terperasan pula.
Tapi, perangai aku... kata tok, nauzubillah! Jauh beza
sungguh dengan arwah yang lembut dan mendengar kata.
Tengah hari, majlis dimulakan oleh kaum lelaki.
Agak ramai yang datang kerana penduduk kampung sebelah
turut dijemput. Ruang tamu rumah yang luas itu penuh
dengan tetamu.
“Mak ngah... laparlah,” rengek Noah sambil
menarik-narik baju kurung kapasku.
“Yalah, yalah.” Pinggan yang sedang dilap aku letak.
Kasihan pula pada Noah. Dah jam 12 tengah hari, memang
haruslah perut boyot itu minta diisi.
“Jom, kita makan dekat dalam.” Tangan dia aku tarik
lembut masuk ke dalam rumah ikut pintu belakang.
“Noah... Noah kan dah sekolah. Kata kat ibu dah ada
girlfriend lagi. Noah makan sendiri. Kenapa kacau mak ngah
ni?” tegur Kak Naura sebaik saja dia masuk ke ruang dapur.
“Tak nak. Noah nak mak ngah yang suapkan juga.
Ibu janganlah beritahu Putri. Nanti Noah malu.”
Masam mencuka saja muka si anak tayang. Si ibu
pula hanya menggelengkan kepala.
“Eee, dah ada girlfriend tak beritahu mak ngah pun.
Tak padan dengan kecik. Gatai hang noh!” Hidung Noah aku
tarik sekali lalu. Geram!
“Nanti mak ngah Dinda kahwin dengan Pak Ngah
Haidar, Noah pula nak kahwin dengan Putri.” Noah menayang
barisan gigi depannya yang kecil-kecil.
Aku buat-buat terperanjat. “Kita bersanding empat
orang?”
“Haah. Noah dengan Putri nanti nak pakai baju
pengantin warna pink. Mak Ngah Dinda kena pakai warna
lain tau?”
“Kenapa pink? Selalunya lelaki kan tak suka warna
pink. Noah suka warna tu ke?”
“Tak suka pun. Putri yang suka sangat warna tu. Jadi
Noah kena suka jugalah. Kalau tak dia tak nak kahwin dengan
Noah.”
Aku hanya menarik senyum lucu dengan balasan itu.
Tangan kiri naik semakkan rambut dia.
“So manly anak fruit mak ngah ni. Dah, sekarang
sambung makan. Suap sendiri ya? Noah dah basuh tangan,
kan tadi?”
“Dah!”
“Petang nanti Noah nak ikut mak ngah pergi kubur
tok ma tak?” soalku tatkala dia sedang berselera makan.
“Nak, nak!” jeritnya dan aku ukir senyum.

ENJIN KERETA aku matikan di sebelah kereta Persona.
Entah tetamu mana yang baru tiba ni. Noah dah melulu
keluar. Berlari dia menuju ke arah ibunya yang berada di
bawah kanopi. Nak minta airlah tu.
Kasihan, dahaga sungguh gamaknya. Tunggu aku
habis baca Yasin apa semua dulu mahu nak dekat sejam baru
boleh balik.
Aku berjalan mengikut langkah Noah. Sambil-sambil
itu terjeling-jeling juga mata ni pada lelaki yang sedang
berbual dengan Abang Dika di sebuah meja.
“Kak, siapa tu?” soalku sebaik berdiri di sebelah Kak
Naura. Mana tahu kakak ipar aku ni ada saudara atau kawan di
Kedah. Sebab aku tengok Noah dengan tak malunya selamba
badak aje tarik kerusi duduk di sebelah lelaki itu.
“Kawan abang kamu. Katanya dari Perlis hantar
mak dia balik semalam. Alang-alang dia nak balik KL hari ni,
jadi Abang Dika kamu suruh dia singgah sini makan kenduri
dulu,” beritahu Kak Naura sambil tangan sibuk mengatur
hirisan puding ke dalam piring.
“Nah, pergi bagi ni dekat dia. Kakak nak masuk
dalam kejap.”
“Dia?” Jari aku lurus tunjuk lelaki itu.
Kak Naura angguk.
“Dinda bagi? Kenapa pula?” Kening kutautkan di
tengah. Merasa pelik dengan Kak Naura. Bukannya jauh pun
kalau dia nak pergi bagi sendiri. Kira-kira lima tapak dari sini
aje. Dijamin, tak akan beranak di tengah jalan.
“Ya, kamu... Cepatlah! Kakak dah tak tahan nak
terkencing ni.” Berkeriut muka itu. Nampak sangat dah tak
sabar nak jumpa bilik air.
“Yalah, yalah!” Malas cakap banyak, piring itu
kusambut.
Abang Dika sengih sewaktu aku sedang berjalan ke
arah mejanya. Sampai di situ aku berdeham kecil beberapa
kali. Sebaik lelaki yang membelakangiku itu menoleh...
Zap! Tepat mataku ditikam oleh mata hitamnya.
Aku terkaku. Dengan jarak yang sebegini dekat,
tiba-tiba aku rasa iras wajah dia macam pernah tengok aje.
Tapi siapa ek?
Eh, mestilah muka dia familiar! Dah nama pun
kawan abang aku, kan? Pasti dia pernah ke sini dulu.
Tak tunggu lagi, cepat-cepat piring itu aku letak
di atas meja berhadapan dengannya. Lelaki itu tersentak.
Bagaikan baru tersedar daripada angan, aku lihat dia
cepat-cepat memutuskan tautan matanya.
“Errr, jemputlah makan.”
“Te... terima kasih,” ucapnya.
“Sama-sama.”
Aku hanya mengulum senyum melihat rona merah
di wajahnya. Malu ke?
Haih, takkan baru tahu nak rasa malu kut? Tadi
bukan cura-cura tilik anak dara orang sampai tak berkelip
mata tu tak rasa segan pula. Tahulah aku nampak lebih manis
daripada puding buah tu pun.
Dah-dah. Lebih baik aku masuk ke dalam sebelum
tok jerkah. Mesti banyak benda nak kena kemas. Sebelum itu
sempat aku lempar pandang sekilas pada Abang Dika. Bibir
itu menarik senyum lagi. Hairan, rajin pula dia senyum dekat
aku.
“Duk senyum-senyum... Buang tabiat ka apa?”
kataku, geram. Lalu, mengangkat kaki laju-laju pergi dari
situ. Dan jika tidak salah telinga ini dengar, Abang Dika dan
kawannya itu berdekah-dekah ketawa. Entah apa yang lucu
sangat. Huh!

LEGA. ITU yang dapat aku rasakan sebaik badan ini dijirus
air. Sepetang kena kerah dengan tok kemas rumah, peluh
mencurah-curah dibuatnya. Dia libas jari tunjuk sana. Dia
libas jari tunjuk sini. Bila aku buat-buat tak dengar punggung
aku dicepuknya.
Usai membersihkan diri, pintu bilik air dibuka.
Baru saja keluar selangkah aku sudah terdorong ke belakang
semula. Terkejut melihat ada satu lembaga hitam di depan.
Nak menjerit, rasa tak terkeluar suara ni.
Bahana lantai yang licin, tiga kali juga aku ber‘shuffle’
di situ dengan tangan terkapai-kapai mahu mengimbangi
diri.
Ya Allah, tolong! Ini bukan masanya untuk aku buat
‘showdown’.
Tup-tup doa termakbul segera. Lengan terasa
dicengkam seseorang. Ditarik kuat sehingga aku melayang
ke depan dan...
Cup!
Mataku membulat. Oh, no! Apa ke jadahnya ni?
“Awak okey?” Nada si penyoal kedengaran cukup
cemas.
Aku? Angguk tidak, geleng pun tidak. Keras dalam
pelukannya. Senyap. Hidungku kembang kempis menghidu
haruman yang maha wangi datang dari tubuh itu.
Dup dap dup dap.
Ah, jantung dia! Dapat aku dengar pukulannya lebih
hebat daripada pukulan jantungku. Apakah sebab bibir aku
terkucup tepat di dada kirinya tadi?
“Sa... saya betul-betul tak sengaja.”
Saat suara garau itu menyapa lagi gegendang
telinga, terasa pelukan kejapnya di pinggangku terus longgar.
Namun, aku masih tidak bergerak. Sengaja membatukan diri
bagaikan Tugu Negara. Takut! Sebab nak kata suara abah,
bukan. Suara Abang Dika juga bukan! Habis tu suara jantan
mana ni?
Meneguk liur, aku mengangkat muka lambat-lambat.
Dengan kiraan 1, 2, 3... Okey Dinda, jerit!
“Tok! Ada orang minyak!!!”
Serentak dengan jeritanku, guruh di luar terus
membedil. Seakan memerli pula.
Tersedar rambutku yang terburai basah, cepat-cepat
aku tebar dengan kain tuala di atasnya. Mujurlah aku dah
pakai baju lengan panjang dan kain batik siap-siap di dalam
bilik air tadi. Kalau tidak, sah-sah lelaki paling bertuah pada
malam ini jatuh pada dia kerana dapat tengok tayangan siaran
langsung bertajuk ‘Tak Rela’ daripada aku.
Sungguh! Aku tak rela...
“Orang minyak? Mana dia?” soal tok, kalut sambil
menyingsing lengan baju Kedahnya sebaik menghampiriku.
Mata terjenguk kiri, kanan, atas dan bawah mencari orang
minyak itu. Lagak serupa mencari gaduh pun ada.
“Ni... tepi tok. Takkan tak nampak kut.” Jari aku
tunjuk-tunjuk lelaki berbaju kemeja dan berseluar hitam
yang berdiri di sebelah tok.
Eh, kejap! Terkelip-kelip mata aku memerhati wajah
lelaki itu. Kemudian, mulutku melopong.
“Hensem lagu ni hang panggil orang minyak?” Sama
sepertiku, tok membelek-belek muka lelaki itu.
“Dia terkejut agaknya tengok saya, tok,” balas lelaki
tersebut.
Pap! Punggung aku terasa ditampar.
“Yang mulut hang tu duk ternganga-nganga tengok
anak teruna orang ni pasai apa?”
Aku cepat-cepat tutup mulut. Mula menganalisis
lelaki itu dari atas sampai ke bawah.
“Teruna ka dia ni? Nampak serupa bapak orang saja,”
getusku perlahan.
Tok dekatkan mukanya dengan muka aku.
“Apa hang kata?”
“Dak aih! Mahunya Dinda tak jerit tadi tok? Tengok
tu... semua serba hitam dia pakai.”
Kepala lelaki itu terus tertunduk ke lantai.
Seolah-olah rasa bersalah.
Huh! Kalau ya, baguslah. Lain kali kalau dah tahu
ada orang dalam bilik air tunggu tepi sikit. Tercongok depan
pintu macam hantu dah kenapa? Lepas tu berlagak hero
sambut aku.
Gigi aku kacip atas dan bawah. Mata menjeling. Rasa
geram pula dengan kawan Abang Dika ni. Syoklah tu dapat
peluk aku.
“Amboi mulut hang... loklaq! Ni hang mandi ke dak
lagi?”
“Dah... Dinda nak balik biliklah ni. Nak solat
maghrib. Tapi duk rasa batai dah wuduk ni.”
Walaupun badan kawan Abang Dika itu berlapik
baju, mulutku yang tercium dada dia tadi aku tonyoh-tonyoh
sebelum sekali lagi kepala mendongak memandangnya.
‘Tunggu apa lagi? Sila tepi... sikit.’
Dia langsung menyengetkan badan membuka laluan.
Tak sangka dapat baca isyarat mata aku rupa-rupanya.
“Hah, lekaih pi masuk ambil wuduk tu. Sat lagi tok
hampaq kain sejadah dekat depan untuk hang nah?”
Aku julingkan biji mata ke atas. Rasa nak merangkak
keluar tahi telinga ni apabila dapat tangkap tutur kata tok
yang lembut amat dekat lelaki tu.
Eh, kejap! Langkah kuhenti. Tok yang sedang
melintas di hadapanku menjeling saja. Aku buat-buat tak
nampak dan terus menoleh memandang pintu bilik air yang
baru ditutup.
“Bukan sepatutnya kawan Abang Dika tu dah balik
KL ke petang tadi? Buat apa lagi dia dekat sini?” soalku pada
diri sendiri sambil menggaru-garu belakang telinga.

No comments:

Post a Comment