DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 3

Gosok gigi jangan dilupa,
Sudah malam masuk beradu;
Walau kita baru berjumpa,
Tapi hati masih merindu.

AKU tiba di butik aku, Butik Adinda Wedding
Wear. Jadi janganlah merasa pelik apabila ada nama ‘Adinda’
di situ. Semua ni terhasil atas berkat kesabaran dan kegigihan
aku bekerja sebagai penolong pereka pakaian pengantin dulu.
Dan sekarang, sudah lima tahun butik aku berjaya beroperasi
di Jalan Bukit Bintang ini.
Hah, jangan fikir Haidar seorang saja cekap bermain
gunting. Bakal bini dia ni pun apa kurangnya. Cuma dia lebih
popular daripada aku. Balik dari luar negara terus meletup!
Mungkin sebab rekaan dan target pelanggannya lebih kepada
selebriti dan golongan elit kut. Jadi tak hairanlah cepat saja
namanya dikenali.
Tambahan pula, banyak jenis rekaan pakaian yang
lelaki itu turut ketengahkan dalam industri ini. Seperti
busana perkahwinan, tradisional, dan sekarang yang
terbaharu pakaian siap dipakai.
Aku?
Tipulah kalau kata tak mahu mencuba yang lain,
kan? Tapi, setakat ini biarlah aku hanya meletakkan fokus
pada rekaan busana perkahwinan terlebih dahulu. Itu pun
dah tak menang tangan dibuatnya.
“Good morning, everyone!”
“Morning, boss!”
Itu Joy. Orangnya seceria nickname dia juga. Kalau
sekali tengok serupa perempuan. Bila dua kali tengok,
jelas-jelas jantan, okey! Banyak pelangganku yang pertama
kali masuk ke sini tertipu dengan rambut rebonding paras
bahu dia yang cantik berkilat itu.
“Pagi, bos!” balas Noni pula. Bergegas dia bangun
tatkala aku berjalan ke arahnya yang sedang duduk di kerusi
kaunter. Alat kawalan jauh dicapai dan dia terus mematikan
TV.
Haih, pantang ada peluang sikit, memang
menghadap TV sajalah dia tu. Ingatkan drama Melayu aje dia
layan. Kartun pun dia hentam tengok juga.
“Noni, baju Butik Debar Bridal Sense ada yang dah
siap. Nanti masukkan ke dalam garment bag,” arahku.
“Kak Maya nok maghi ambil baju-baju tu sendiri ke,
bos?”
“Haah, pagi ni dalam pukul 9.30 macam tu.”
“Hah, okey, okey. Lening gop saya pergi urus karang.”
Noni bergerak masuk ke dalam bilik penyimpanan pakaian
pelanggan. Manakala aku menyambung langkah menuju ofis.
“Eh, bos! Kata tak datang butik hari ni sebab nak
balik kampung, kan? Tak jadi ke?” soal Luna, pembantuku
sebaik saja aku melintas di hadapannya yang baru keluar dari
bilik menjahit. Kemudian ikut berjalan denganku.
“Jadi. Mungkin petang nanti kut. Sebenarnya saya
terlupa yang tiga hari lepas Kak Maya ada telefon saya sendiri
cakap nak berjumpa hari ni. Nak bincang tentang rekaan
baru dan ambil baju-baju yang dia minta kita buat dua bulan
lepas.”
“Oh...”
“Pukul 11 kita pergi Anggun Tekstil. Dan macam
biasa, semak baik-baik rekod material untuk setiap baju klien.
Saya tak nak satu pun tertinggal. Nanti mengganggu kerja
kita pula.”
“Noted, boss!”
Aku tarik senyum. “Dah, pergi sambung buat kerja.”
Setelah Luna berlalu pergi, aku memulas tombol
pintu pejabat dan melangkah masuk ke dalam. Menghempas
punggung di atas kerusi, beberapa hasil lakaran busana yang
separuh siap diambil. Lalu, dibelek satu per satu.
Harap-harap sempatlah nak sudahkan rekaan-rekaan
ni. Kerana sekarang hanya tinggal beberapa bulan saja nak
masuk bulan Disember. Bermakna sebulan sebelum itu mesti
semua klien akan datang mengambil baju mereka.
Aku mencapai pensel, memulakan tugas.
Menceburkan diri dalam dunia rekaan pakaian
ini tidak boleh hanya tahu menjahit. Melukis dan melakar
wajib dimahirkan juga. Tak kira menghasilkannya sesuatu
gambaran rekaan itu dengan tangan atau menggunakan
bantuan komputer.
Ingat lagi masa di universiti. Masa semester pertama
aku tak reti melukis dan aku hampir berputus asa dibuatnya.
Setakat lukis orang lidi cekaplah. Tapi, orang putih ada
kata; practice makes perfect. Jadi, lama-lama tangan sudah
lembut nak melukis. Hati pula mula syok. Hah, sekarang
siapa sangka? Sketchbook dan aku serupa isi dengan kuku.
Berpisah tiada!
Lagu Faded kedengaran. Tanda ada panggilan masuk.
Tanganku yang bergerak tangkas melakar segera terhenti.
Mata aku menjeling dada skrin yang menyala-nyala. Melihat
nama si pemanggil.
Bibirku mengoyak senyum. Dalam hati yang
berbunga, panggilan video daripada Haidar, terus aku sambut.
“Hai! Awak dah ada di airport ke ni?” duga aku apabila
ternampak orang lalu-lalang menarik bagasi di belakangnya.
“Yup. Saya baru aje sampai ni.”
“Dengan Olive?”
“Siapa Olive?”
Opps! Terlepas pula. “No... I mean Olivia. Awak
dengan dia berdua aje ke di sana?” Aku teka aje. Padahal aku
tak nampak pun perempuan tu di situ.
“Mestilah tak, sayang. Danny dan team saya pun ada
sekali ni. Kejap ya, saya tunjuk dekat awak.”
Haidar memusingkan telefonnya. Maka terhiaslah
di skrin telefon aku dengan wanita-wanita cantik berkaki
panjang ada menunggu di situ bersamanya. Termasuk Olivia.
Sekarang baru aku nampak perempuan tu.
Tak lama, Haidar membawa kamera tala ke mukanya
kembali.
“Ramainya pergi,” kataku.
“Dah namanya pun event besar, mestilah ramai.
Sekarang saya pergi dengan diaorang semua atas urusan kerja.
Nanti dah kahwin kita pergi berdua pula tau. Honeymoon di
Paris. Mesti seronok, kan sayang?”
Belum sempat aku nak balas usulannya itu, tiba-tiba
Olivia muncul di skrinku. Sedap dia datang menyendeng di
bahu Haidar.
“Ayuhlah Haidar, kita udah mau depart ni. Kamu
ngobrol apa lagi sih? Sampai sana nanti juga bisa telefon dia,
kan? Ayolah.”
Aku gigit-gigit bibir bawah. Panasnya hati aku
tengok dia ni! Meliuk-lentok kepala tu. Macam daun kelapa
ditiup angin aje. Lantaklah Haidar nak cakap apa pun dengan
tunang dia. Kisah pula hang.
Dasar penyibuk! Pendengki!
Haidar menjauhkan diri daripada Olivia.
“Sorry, sayang.”
“Tak apa. Bukan salah awak pun. Nanti awak hati-hati
tau bila dengan Olivia tu. Saya percayakan awak, tapi bukan
dia. Gedik semacam aje. Menyampah pula saya tengok!”
Haidar gelak-gelak. Eh, lawak ke pesanan aku tu?
“Saya tengah serius ni, Tengku Haidar!”
“Ya, tahu. Saya cuma suka aje bila tengok muka
cemburu awak. Janganlah marah.”
Aku lihat Haidar menunduk melihat sesuatu.
“Saya dah nak kena pergi ni. I’ll message or call you
later, alright?”
“Okay, good luck! I will miss you. And you better do
the same.” Aku naikkan satu jari.
“I will. Don’t you worry. You’re always on my mind.
Oh ya, sayang... Jangan lupa kirim salam dekat Tok Suri dan
abah tau. Cakap maaf juga sebab saya tak dapat nak ikut awak
balik ke sana hari ni.”
“Insya-Allah. Have a safe flight. Bye!”
“Bye! Jaga diri. I love you.”
“I love you too.” Aku melambai-lambaikan tangan.
Haidar membalas dengan mencium skrin telefonnya sebelum
panggilan video itu dimatikan.
Seketika, dada skrin yang menunjukkan gambar aku
dan Haidar dipandang lama. Tak sedar keluhan kecil terlepas
dari bibirku kerana memikirkan Olivia sentiasa berpakaian
terbelah sana dan terbelah sini. Dan Haidar seorang lelaki.
Tahan ke kucing kalau tengok ikan di depan mata?
No! Sebelah pipi kutepuk-tepuk.
“Astaghfirullahalazim... Apa hang duk pikiaq yang
bukan-bukan ni, Dinda?” soalku kepada diri sendiri. Entah
syaitan pangkat apa yang dah menghasut fikiran aku ni.
Bukannya aku tak kenal Haidar sebelum ni. Kalau
dia tertarik dengan perempuan seksi, mesti dia tak putus
dengan Olivia dan pilih aku yang bertudung ni.
Tok! Tok! Tok!
Pintu pejabatku dibuka.
“Bos, Kak Maya dah sampai,” beritahu Luna.
“Suruh dia masuk.” Meletakkan kembali telefon
di atas meja, cepat-cepat aku menyusun kertas-kertas
lukisan yang berselerak. Duduk menegak. Bibir ditarik lebar
menyambut pelanggan tetapku itu.

MEMANDANGKAN SEBUAH kanopi sudah siap didirikan
di tengah-tengah halaman, aku memandu membawa Toyota
Vios TRD kesayangan ini parkir di bawah pokok ceri yang
rendang.
Dari butik terus bertolak balik ke kampung.
Walaupun letih yang amat sangat, nampak saja muka
Abang Dika dan abah duduk di meja batu, langsung hilang
semua rasa. Entah tengah sembang apalah dua beranak itu
waktu-waktu macam ni di luar rumah.
“Assalamualaikum?”
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah... selamat
sampai pun anak dara kesayangan abah ni.” Dari jauh abah
sudah menghulurkan tangannya.
“Rindunya dekat abah!” ucapku ketika memeluk
badan gempalnya. Hesy, geram. Rasa sebiji macam peluk
teddy bear!
“Mahunya tak rindu. Rasa-rasa abah dua bulan hang
tak balik sini. Sibuk sungguh tukang jahit ni noh,” perli abah
selepas pelukannya aku leraikan.
Aku sekadar menjuihkan mulut seraya menyambut
huluran tangan Abang Dika pula.
“Tok dah tidoq ka?” soalku separa berbisik.
“Tidoq apanya? Macam biasalah. Kalau nak kenduri,
ada saja kerja dia dekat dapuq tu. Duk buat apa pun tak tau.
Tak sudah-sudah. Hang pilah tengok sendiri,” balas Abang
Dika dan aku faham maksudnya.
Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah,
perlahan-lahan kakiku berjalan agar derap tidak kedengaran.
Sebab aku nampak Noah sedang lena di ruang tamu. Tak nak
kacau tidur anak kecil itu.
“Dinda...”
Langkahku tergam dek teguran itu. “Kak Naura tak
tidur lagi?” Suara aku perlahan.
“Nak tidur dah ni. Kakak nak panggil Abang Dika
kamu tolong angkat Noah masuk bilik kejap,” beritahu
Kak Naura. Tersenyum aje bibir itu sambil mengusap-usap
perutnya yang sudah membesar.
“Naura! Hang duk cakap dengan sapa tu? Ada orang
mai ka?”
Sayup aku dengar suara tok teriak dari arah dapur.
“Tak ada siapa datang, tok. Ni hah Din...”
“Syhhh...” Aku letak satu jari di bibir sendiri. Minta
Kak Naura tidak beritahu tok yang aku dah balik.
“Jaga-jaga. Jangan sampai masuk wad pula orang tua
tu nanti,” pesan Kak Naura. Seakan-akan tahu saja rancangan
yang ada dalam otak adik ipar dia ni.
Tersengih nakal, kakiku menyambung langkah. Beg
pakaian aku letakkan di tepi bilik sebelum berjalan masuk ke
ruangan dapur. Usyar-usyar tok yang sedang duduk bersila di
lantai mengeluarkan besen dan pinggan mangkuk dari dalam
kabinet.
Kepalaku bergeleng. Inilah maksud Abang Dika tadi
tu. Kami semua dah faham perangai tok. Kalau ada apa-apa
kenduri di rumah ni, tangan tok memang tak reti nak duduk
senyap. Ada saja benda nak dibuatnya. Biar dia tak tidur pun
tak apa.
Aku majukan langkah mendekati tok. Senyap-senyap
berdiri di belakangnya. Bibir tersengih sementelah jari mula
naik mengira 1, 2, 3... Okey, terjah!
“Tok!!!” Bahunya aku peluk kejap. “Muah!” Pipi dia
kucium pula.
“Nah, ambil hang!”
“Aduh!” Tak pula aku sangka tok akan mengayun
besen di tangannya ke belakang. Besen plastik aje kut!
Mungkin kerana tenaganya ketika melatah mengalahkan
Hulk, plastik pun aku rasa seperti tembikar dah. Sakit nak
mampus.
Tangan naik menggosok kepala laju-laju. Ini kalau
dalam cerita kartun, mesti dah timbul bintang. Tak pun ada
beberapa ekor burung berpusing-pusing di atas kepala.
“Hah, padan dengan muka hang! Perangai tu loklaq
sungguh. Suka buat orang terkejut. Bila nak serik pun tak
tau.”
Puk! Punggung aku tok tampar sekali.
“Tok... aset penting ni tau dak?”
Dari kepala, tangan aku turun menggosok punggung
pula. Pedih...
“Pungkoq pun tak ada isi. Aset apa ka benda?”
“Huh, taulah pungkoq kita ni tak segebu pungkoq
dia.” Panjang aku menjeling.
“Apa hang kata?”
“Hah? Errr... kata apa? Mana ada Dinda cakap apa-apa
pun.” Adoilah... rasa sengal lagi kulit punggung aku ni.
Tok bingkas bangun. Lehernya di panjang-panjangkan
ke arah ruang tamu.
“Tok cari apa?”
“Haidar. Hang balik ni dia ikut sekali dak?”
“Dak. Sekarang ni dia duk ada kat Paris nuh. Haidar
suruh cek kirim salam berserta maaf zahir dan batin saja kat
tok. Suraya pun sama.”
Aku menarik kerusi meja makan dan labuhkan
duduk. Tok mengambil tempat di sebelah selepas mulut itu
menyambut salam-salam yang dikirim.
“Habis tu, hang balik sorang-soranglah ni?”
Aku sengih aje.
“Bertuah punya cucu! Dah tu tak reti-reti nak balik
awai? Tengah-tengah malam baru nak sampai. Bahaya hang
tau dak bawa kereta kelam-kelam. Hang tu perempuan,
tengah berdarah manis pula. Duk tunggu hari saja nak
menikah. Apa-apa jadi sapa yang susah? Bla, bla, bla...”
Mula dah tok membebel. Aku tadah aje telinga
sambil tangan sibuk main buka tudung saji mencubit isi Ikan
Siakap Masak Tiga Rasa bawa ke mulut. Sedapnya! Ni mesti
Kak Naura yang masak.
“Hang dengaq dak ni?”
“Adoi!” teriakku.
Ya Tuhan, apa malang sangat nasib aku malam ni?
Asyik kena cepuk dengan tok aje. Mula-mula tadi kepala,
punggung dan sekarang tangan aku pula jadi mangsa dia.
“Hah, Dinda dengaq, tok. Dinda janji, lepas ni kalau
nak balik sini, Dinda bertolak dari sana pagi-pagi buta!”
balasku. Tangan kiri bergerak menggosok tangan kanan.
“Hang makan nasi dak lagi ni?” tanya tok tiba-tiba.
“Tak makan lagi. Tok, lapaq...” Aku buat muka sedih
sambil tangan menepuk-nepuk perut.
Tok menggelengkan kepala. Sesaat dia bangun tanpa
kata dan mula memanaskan nasi serta lauk untukku.
Garang-garang Tok Suri, siapa tak sayang cucu oi!

No comments:

Post a Comment