MALAM itu, selesai saja makan malam bersama
mamanya, Arissa terus berkurung di dalam bilik. Sejujurnya,
dari petang tadi lagi perasaannya terusik ganas. Siapa sangka,
setelah bertahun lamanya dia cuba melenyapkan wajah lelaki
itu, hari ini mereka bertemu semula. Sungguh tidak kuat
rasanya untuk dia hadap semua ini.
Tidak cukup dengan itu, dia dikejutkan pula
dengan kehadiran anak kecil yang comel dan petah
bercakap. Bertambah-tambah terkejut apabila anak kecil
itu memanggilnya dengan panggilan ‘mama’. Di mana
ibu kandung anak kecil itu sebenarnya? Kenapa anak
kecil itu seolah-olah tidak pernah mengenali siapakah ibu
kandungnya?
Terbayangkan saja wajah Hariz pada petang tadi,
debaran di dadanya tiba-tiba saja menggila. Abang sepupunya
itu nampak lain benar berbanding 7 tahun yang lalu.
Wajahnya nampak bertambah matang dan kacak. Tubuhnya
juga semakin sasa dan tegap. Hanya satu hal yang tidak
pernah berubah; tutur katanya masih lembut seperti dulu.
Senyumannya juga masih lagi bergula. Renungan mata
redupnya juga masih lagi mampu menggetarkan jiwa.
Ya Allah, memang Arissa tidak mampu menepis
bayangan Hariz ketika ini. Sesaat pun dia tidak mampu!
Apa yang pernah mereka lalui suatu masa dahulu seakan
kembali subur dalam lipatan memorinya. Seakan terasa-rasa
hangatnya sentuhan Hariz. Seakan terasa-rasa bibir hangat
lelaki itu menyentuh bibirnya. Biarpun sudah bertahun-tahun
lamanya, rasa itu tidak pernah mahu hilang.
“Ya Allah... ampunkan dosa kami. Ampunkan kami
kerana bertuankan nafsu. Ampunkan kami ya Allah, kerana
berajakan hasutan syaitan.” Arissa sebak. Air jernih mula
meluncur di pipi gebunya perlahan-lahan. Dia dihimpit dosa
silam.
PETANG ITU... 7 tahun yang lalu... semuanya seakan basah
semula di kotak memorinya.
“Cinta, jom kita berteduh dekat pondok ni dulu.
Hujan lebat ni.” Hariz menarik tangan Arissa ke arah pondok
kayu yang berada di tengah-tengah sawah padi. Keadaan di
sekeliling menjadi gelap tiba-tiba. Guruh pula berdentum
kuat menggegarkan gegendang telinga.
“Abang! Cinta takut...” Arissa memeluk kejap tubuh
Hariz. Tubuh yang tadinya dingin dek baju yang sudah lencun
disirami hujan menjadi hangat sedikit demi sedikit.
“Err... jangan takut, abang ada.” Suara Hariz sudah
bergetar lain macam. Seumur hidupnya, tidak pernah dia
dipeluk begitu oleh seorang perempuan. Dalam keadaan
hujan yang lebat pula. Sungguh jiwa remajanya saat itu
berkocak ganas. Deru nafas Arissa yang berhembus hangat
di wajahnya juga memang betul-betul menguji iman di dada.
Sekali lagi guruh berdentum kuat. Tapi kali ini
diiringi dengan suara kilat yang memetir ganas.
“Arrghh!!!”
Arissa terus menyembamkan wajahnya ke dada
Hariz. Tangannya pula memeluk kemas tubuh lelaki itu. Dia
benar-benar ketakutan.
“Syyyhhh... Cinta, jangan takut. Abang ada.” Hariz
berbisik lembut di telinga Arissa. Debaran di dadanya semakin
menggila. Keadaan sekeliling sudah gelap walaupun jam baru
menunjukkan ke angka 5.30 petang.
Arissa panggung kepala. Mata mereka bertemu lama.
Tiba-tiba saja dadanya berdebar-debar.
“Itulah... tadi abang dah cakap, jangan ikut abang,
tapi degil nak ikut jugak. Nak tangkap belalanglah, apalah...
sekarang, dah terperangkap dekat sini. Hmmm...” gumam
Hariz perlahan sambil tangannya mengelus lembut seulas
bibir merah basah milik Arissa. Beberapa kali liur ditelan.
Jiwa remajanya mula bergelora ganas. Betullah kata orang,
apabila duduk berdua, pasti akan ada yang ketiga.
Arissa terkedu. Sentuhan lembut Hariz di bibirnya
membangkitkan gelora rasa di jiwa remajanya. Terus
perasaannya terbuai sama. Tanpa mereka sedar, bibir mereka
sudah bertemu. Hangat. Saat itu, syaitan-syaitan pasti sedang
bergembira. Bersorak, bertampar sesama sendiri.
Tangan Hariz terus merayap lembut ke tempat yang
tidak sepatutnya. Mereka benar-benar dibuai nafsu. Sentuhan
lembut Hariz itu membuatkan Arissa terus lemas.
Seketika kemudian...
“Abang, tolong jangan buat macam ni...” lembut
Arissa menolak. Dalam rasa berahi, perasaan takut lebih
menguasai dirinya.
“Cinta... abang sayangkan Cinta.” Tangan Hariz
semakin meliar. Semakin Arissa menolak, semakin dia
berkeras. Leher Arissa mula diratah rakus.
Arissa semakin ketakutan.
“Abang, tolonglah abang. Kenapa abang jadi macam
ni? Cinta merayu pada abang.” Sedaya yang mungkin Arissa
menolak tubuh Hariz yang semakin menghimpit dirinya.
“Abang sayangkan Cinta,” pujuk Hariz lembut.
Sekali lagi bibir Arissa ditakluki. Tapi kali ini secara paksa.
Dia sudah benar-benar tenggelam dalam godaan nafsu.
“Abang!!!” Sekuat hati Arissa cuba menolak tubuh
Hariz. Namun, tubuh lelaki itu sedikit pun tidak berganjak.
Tiba-tiba...
Tang!!! Sekali lagi kilat memetir ganas, sehingga
menampakkan percikan api. Arissa terus bertempik kuat.
Spontan tangannya menolak tubuh Hariz dengan sehabis
tenaga, menyebabkan tubuh lelaki itu terdorong jauh ke
belakang.
Hariz tersentak.
“Astaghfirullahal’azim...” Wajah diraup berkali-kali.
Mata menyorot tepat pada wajah Arissa yang sudah lencun
dengan air mata. Kaku dan bisu. Hanya mutiara jernih saja
yang tidak henti-henti mengalir di pipi gebunya.
“Ya Allah... apa yang dah aku buat ni?” Hariz
terduduk lemah di lantai pondok. Bergetar rasa seluruh
tubuhnya. Sekejap tadi dia hampir-hampir meragut kesucian
Cinta Arissa. Dia hampir merogol adik sepupunya itu. Ya!
Perkara itulah yang hampir terjadi tadi.
Tangisan Arissa makin kuat. Dia juga ketakutan.
Kalaulah sebentar tadi kesuciannya diragut oleh Hariz,
apakah yang akan terjadi pada masa depannya? Tentu
semuanya musnah. Bukan salah abang sepupunya seorang.
Salah dia juga!
“Cinta... maafkan abang. Sumpah! Abang tak ada
niat langsung nak sentuh Cinta. Abang tak sedar! Abang...
abang tak tahu. Benda ni jadi dengan tiba-tiba aje. Abang
berjanji, abang akan bertanggungjawab dengan semua ni,”
bersungguh-sungguh Hariz cuba meyakinkan Arissa.
Arissa masih tersedu. Perasaan takut masih lagi
menyelubungi diri.
“Cinta...”
“Abang jangan rapat! Abang jangan cari cinta lagi!”
Sepantas kilat Arissa berlalu dari pondok kayu itu, meredah
hujan yang masih membadai. Bunyi guruh dan kilat tidak lagi
menakutkannya saat ini. Apa yang dia tahu, dia mahu segera
pergi dari situ.
“Cintaaaaa!!!” Suara Hariz terus bergema bersama
guruh di dada langit.
Arissa menyentuh kedua belah pipinya. Ya Allah, dia
menangis lagi. Sakitnya kenangan lalu. Sampai ke saat ini, ia
masih basah dalam memorinya.
Hariz penipu! Selepas seminggu kejadian hitam
itu, Arissa dikhabarkan tentang pemergian lelaki itu ke
luar negara. Tercapai juga hasrat Mak Ngah Roza dan Pak
Ngah Nordin mahu melihat anak lelaki tunggal mereka
melanjutkan pelajaran ke negara orang.
Semenjak itu, Arissa tidak pernah lagi mendapat
khabar berita daripada Hariz. Mamanya juga tidak pernah
bercerita apa-apa pun tentang abang sepupunya itu.
Disebabkan dia juga sibuk dengan persiapan menghadapi
peperiksaan SPM pada ketika itu, dia mengambil keputusan
untuk melupakan terus Hariz dari kamus hidupnya.
Tapi peristiwa lalu tetap tidak dapat dia lupakan.
Sehingga dia menolak setiap cinta yang dihulurkan oleh
mana-mana lelaki yang mahu mendampinginya. Dia rasa
tidak layak untuk dicintai. Malah mahu mencintai juga dia
tidak layak. Masih tebal rasa dosanya. Bertahun dia cuba
untuk melupakan segalanya. Namun, saat segalanya sudah
semakin kabur dari lipatan memori, hari ini sekali lagi
dia bertemu dengan Hariz. Kenangan lalu bagaikan digali
semula. Perasaannya hanya Allah saja yang tahu. Kenapa
harus ada rasa rindu?
Tok! Tok! Tok!
Lamunan Arissa tersentap. Cepat-cepat dihapus air
mata yang masih basah di pipi. Tidak sampai 5 minit, wajah
Puan Raziah sudah terpacul di muka pintu biliknya.
“Cinta?” sapa Puan Raziah sambil menapak masuk
ke dalam bilik Arissa.
“Hmm... mama,” jawab Arissa dengan suara sedikit
serak. Hidungnya yang terasa sedikit tersumbat itu ditenyeh
kuat dengan tapak tangan.
Puan Raziah kerut dahi. Pelik. Tidak pernah pula dia
nampak Arissa begini. Ada apa-apa yang tidak kena ke?
“Cinta okey ke tak ni?” Punggung dilabuhkan di
sebelah Arissa.
“Eh, okey mama. Apa pulak tak okeynya?” Arissa
buat-buat ketawa.
“Ya ke? Kenapa mama rasa Cinta pelik aje malam
ni? Selalunya masa-masa macam ni Cinta dah tercongok
dekat depan TV. Mata dengan hidung ni merah kenapa?”
Puan Raziah mengecilkan matanya, merenung Arissa dengan
pandangan penuh curiga.
“Betullah, ma. Cinta cuma penat sikit aje. Petang
tadi terpaksa melayan budak Izzara tu. Macam-macam pulak
songeh dia. Tubuh pun rasa macam nak demam ni.” Arissa
tersenyum nipis. Wajah comel Izzara terus menari di ruang
matanya. Comel dan lincah sekali anak kecil Hariz itu.
“Hmmm... dah makan ubat ke belum ni? Tapi kan,
mama pun hairan macam mana budak Izzara tu suka sangat
dengan Cinta. Siap panggil ‘mama’ lagi.”
“Entahlah, ma. Itu kalau ibu kandung dia dengar...
mahunya meraung setahun. Mana tidaknya, anak dia
pandai-pandai aje panggil perempuan lain ‘mama’.” Arissa
tergelak halus. Sedayanya dia berlagak biasa di hadapan
mamanya. Janganlah mamanya syak yang bukan-bukan.
“Hmm, ibu kandung dia dah tak ada.”
“Hah! Betul ke ni?” Terjeda Arissa. Tiba-tiba saja
perasaannya tercuit. Kalau betul begitu, kesiannya Izzara.
Patutlah anak comel itu tidak henti-henti memanggilnya
‘mama’.
“Mama pun tak pasti hal ni. Berat pulak mulut
mama nak bertanya kepada mak ngah. Selama ni pun, mama
tak tahu Hariz tu dah berkahwin. Sebab mak ngah memang
tak pernah bercerita tentang hal ni. Yang selalu dia sebut, nak
jodohkan Cinta dengan Hariz. Itu saja.” Tenang Puan Raziah
bercerita.
“Hah?” Sekali lagi Arissa terjeda. Kali ini wajahnya
terasa pijar. Tekak pula terasa kering tiba-tiba. Apa yang
mamanya merepek ini?
“Tak payahlah buat muka terkejut sangat. Macamlah
mama dengan mak ngah tak tahu, dulu masa kamu berdua
masih budak-budak, bukan main rapat lagi. Terutamanya
Cinta, kalau balik kampung, memang tak boleh nak
berenggang dengan Hariz.” Puan Raziah tersenyum lebar.
Teringat lagi waktu Arissa kecil-kecil dulu. Saat itu,
mereka masih belum menetap lagi di kampung ini. Pantang
ada cuti sekolah saja, Arissa pasti mengajak dia balik ke
kampung kerana hendak berjumpa dengan abang sepupunya,
Hariz.
Arissa telan liur. Kesat.
“Mama, tu cerita lamalah, ma. Sekarang
masing-masing dah dewasa. Lagipun jarak umur kita orang
jauh kut. Abang Hariz tu, 7 tahun lebih tua daripada Cinta.
Tak sesuai!”
“Okeylah tu. Buat apa kahwin dengan lelaki sama
baya? Dengan lelaki lebih muda pun jangan sesekali Cinta
bermimpi. Mama tak akan restu,” tegas suara Puan Raziah.
Tiba-tiba saja perbualan santai mereka menjadi serius.
“Mama, soal jodoh mana kita boleh halang.”
“Haah, betul! Kalau dah jodoh Cinta dengan Hariz
pun kita memang tak boleh nak buat apa-apa, kan?”
“Ma... tolonglah! Dia dah kahwin, okey? Dah ada
anak!” Arissa kerut kening. Ya Allah, apa kenanya dengan
mama dia ni? Kenapa tak habis-habis bercakap pasal kahwin
ni? Kalau dengan orang lain, dia boleh terima lagi. Ini, dengan
Hariz Ilman! Dadanya rasa macam hendak pecah dah.
“Mama rasa isteri dia dah tak ada. Kalau tidak,
masakan mak ngah dengan wan beria-ia nak jodohkan Cinta
dengan dia. Lagipun mama tengok Hariz tu macam sukakan
Cinta aje.”
“Mama, tolong jangan merepek boleh tak?” Makin
berkerut kening Arissa. Kepalanya mula berdenyut tiba-tiba.
“Mama tak merepeklah. Cara dia renung Cinta...
cara dia pandang Cinta... sesiapa yang tengok pun akan dapat
membaca apa yang tersirat dalam hati lelaki dia tu,” dengan
yakin Puan Raziah menutur kata. Dia pasti ada sesuatu yang
Arissa dan Hariz sorokkan. Cara kedua-duanya berbalas
renungan petang tadi nampak lain benar.
“Dahlah, mama keluarlah... Cinta dah mengantuk
ni. Nak tidur.” Arissa tersenyum kelat. Pipi mamanya dikucup
sesaat sebelum dia merebahkan tubuhnya ke atas katil dan
mengiring membelakangi Puan Raziah. Dia malas mahu
memanjangkan cerita sebenarnya. Terasa nafasnya semakin
semput apabila berbicara tentang Hariz.
“Hmm... yalah. Selamat malam.” Puan Raziah
membalas lemah. Menyorot seketika kepada Arissa, sebelum
berlalu meninggalkan bilik anak gadisnya itu.
HARIZ DUDUK bersandar di kepala katil. Semenjak petang
tadi perasaannya disapa resah. Pejam saja mata, bayang Cinta
Arissa yang muncul. Buka saja mata, bayang Cinta Arissa
juga yang muncul. Ya Allah, susah sungguh dia hendak
melenyapkan wajah perempuan itu dari ingatannya.
Hariz telan liur. Selepas 7 tahun, akhirnya mereka
bertemu kembali. Masing-masing dihantui kenangan silam.
Sungguh, Hariz dilanda perasaan bersalah. Rasa tidak
terampun dosa silamnya. Walaupun sudah beberapa kali dia
solat sunat taubat, tetapi kenangan hitam itu kadangkala tetap
datang bertamu. Bagaikan pita rakaman yang diulang tayang.
Akhirnya sampai ke saat ini, dia tidak mampu membuang
Arissa dari kamus hidupnya.
“Papa...” suara halus milik Izzara menyapa. Terus
lamunan Hariz berkecai.
“Sayang... datang sini!” Hariz tersenyum lembut
sambil mendepakan kedua belah tangannya kepada Izzara.
Tidak sampai 5 saat, tubuh anak kecil itu sudah berada dalam
pelukannya. Pipi anak kecil itu dicium bertubi-tubi.
“Papa... are you sad?” Mata jernih Izzara sudah
merenung ke dalam anak mata Hariz. Tangan kecilnya pula
sudah mengusap lembut pipi papanya.
“No, I am not.” Hariz mengusap kepala Izzara
penuh kasih. Sekali lagi pipi comel Izzara dicium mesra.
Anak kecilnya itu memang bijak. Petah pula berkata-kata.
Semenjak Izzara menjengah ke dunia, dialah papa dan dialah
mama kepada permata hatinya itu. Seluruh perhatian dan
kasih sayangnya tercurah kepada Izzara kerana dia tidak
mahu anak kecil itu berasa kekurangan kasih sayang walau
sedikit pun.
“Papa tipu. Zara nampak mata papa ada air tadi,”
tutur Izzara lancar. Jika dilihat daripada petahnya cara dia
bercakap, memang orang tidak akan percaya umurnya baru 4
tahun. Ditambah pula dengan tubuhnya yang tinggi. Nampak
seolah-olah dia 2 tahun lebih dewasa daripada usianya yang
sebenar.
“Taklah. Mana ada papa tipu. Tipu itu kan berdosa...”
Hariz lorek senyum.
“Haah, dosa. Nanti kalau tipu, masuk neraka.”
“Pandai pun anak papa ni.” Sekali lagi pipi Izzara
menjadi mangsa ciuman Hariz. Mengekek anak comel itu
ketawa.
“Papa, where is my mama?”
Tersentak Hariz. Pertanyaan polos Izzara itu
membuatkan senyuman di bibirnya mati serta-merta.
“Mama ada jauh sayang. Jauh sangat. Tapi, mama
selalu tengok Zara tau,” pujuk Hariz dengan mata berkaca.
Namun begitu, dia cuba juga untuk tersenyum.
“Jauh dekat mana, papa? Zara nak jumpa mama.
Zara rindu mama.” Mata jernih itu sekali lagi merenung
ke dalam anak mata Hariz. Kening halusnya nampak teduh
sedikit. Mungkin dia pelik melihat mata papanya tiba-tiba
saja berkaca.
“Dahlah... kita tidur ya. Zara nak tidur dengan papa
ataupun dengan tok wan?” pujuk Hariz lagi.
“Tak nak. Tok wan tidur dengan tok.”
Tersengih kecil Hariz.
“Kalau macam tu, Zara tidur dengan papalah.”
“Zara nak jumpa mama. Papa janji dengan Zara.”
Anak kecil itu terus berdegil.
Hariz garu kepala. ‘Ya Allah, apa aku nak buat ni?
Macam mana aku nak buat Izzara faham bahawa mamanya
telah tiada di dunia ni? Mampukah anak sekecil dia memahami
apa yang aku katakan nanti?’
“Papa janjilah, bawa Zara jumpa mama esok...”
Izzara terus merengek manja. Tubir matanya sudah basah.
Lengan Hariz digoyang laju.
“Mama dah tak ada dekat sini, sayang. Mama dah
pergi jauh sangat,” lembut suara Hariz memujuk. Tubuh kecil
Izzara sudah dipeluk erat. Anak kecil itu sudah menangis
teresak-esak.
“Papa tipu. Zara nak jumpa mama yang tadi tu. Zara
sayang mama. Dia baik,” ucap Izzara bersama tangis yang
tersekat-sekat.
“Mama tadi?” Kening Hariz berkerut. Terus wajah
Arissa menari di ruang matanya. Macam manalah dia boleh
terlupa?
“Ooo... Mama Cinta?”
Laju Izzara angguk kepala.
Bibir Hariz tersenyum nipis.
“Okeylah, esok kita pergi rumah mama ya.”
“Yeeaayy!!!” Izzara sudah melompat di atas katil.
Suka sangat apabila papanya berjanji mahu menunaikan
permintaannya.
“Hati-hati sayang. Nanti jatuh.” Tubuh Izzara dipaut
erat. Menahan anak kecil itu daripada terus melompat.
“Papa...”
“Hmm...”
Chup!!!
Satu ciuman melekat di pipi Hariz.
“I love you two, three, four... papa.”
“I love you five, six, seven... my dear.”
Kali ini pipi Izzara pula menjadi mangsa ciuman
Hariz. Bertubi-tubi.
No comments:
Post a Comment