KERETA Persona putih milik Puan Raziah
berhenti betul-betul di tengah halaman rumah Wan Kalsom.
Bersebelahan dengan kereta Proton Saga putih milik Mak
Ngah Roza. Arissa menjenguk kepala ke luar tingkap kereta.
Tak ada orang pun. Mama cakap ada majlis makan-makan.
“Jom, turun.” Puan Raziah sudah menanggalkan
tali pinggang keledarnya dan membuka pintu kereta untuk
turun.
Namun, Arissa masih lagi membatu di kusyen
penumpang. Hatinya terasa berat mahu melangkah turun dari
kereta. Kalau ikutkan kepala batunya tadi, memang dia tidak
mahu datang. Tapi, melihat mamanya bersungguh-sungguh
merayu, tidak sampai pula hatinya mahu membantah.
“Mama cakap ada majlis makan-makan. Tak ada
orang pun?” Naik berkerut kening Arissa.
“Ini, mak ngah dah sampai.”
“Mama cakap jemput ramai orang. Kalau Cinta
tahu macam ni, Cinta tak datang pun tak apa.” Arissa sudah
menarik muncung. Kedua belah tangannya naik berpeluk
tubuh. Geram.
“Wan tak ajak ramai. Mak ngah satu keluarga.
Jiran-jiran tepi rumah saja. Okeylah tu, kan? Kita buat
makan-makan sikit. Kalau nak buat kenduri besar-besaran,
kita tunggu Cinta kahwin nantilah.” Puan Raziah tergelak
kecil. Dapat juga dia mengusik Arissa. Selalunya, dia saja
yang terkena.
“Apa? Cinta kahwin?” Bulat mata Arissa.
Makin galak Puan Raziah ketawa.
“Ma... stop it, okey? Sebelum Cinta kahwin,
Cinta akan carikan suami untuk mama dulu,” cebik Arissa
sambil berpeluk tubuh. Dia masih tetap membatu di kerusi
penumpang.
“Dahlah... jangan nak cakap banyak. Cepat turun.”
Puan Raziah sudah membuka pintu kereta di sebelah Arissa
dan menarik tangan anak gadisnya itu supaya turun dari
kereta.
“Mama ni kejam tau!” membebel-bebel Arissa. Tapi
dalam mulut bising membebel, kaki melangkah juga.
Masuk saja ke dalam rumah, Mak Ngah Roza dengan
anak perempuan bongsunya sudah siap menghidangkan
makanan di atas lantai berlapikkan tikar plastik bercorak
bunga-bunga. Beberapa orang jiran tetangga Wan Kalsom
sudah berada di situ, duduk bersembang dengan Wan
Kalsom. Puan Raziah dan Arissa bersalaman dengan mereka
semua.
“Baru sampai Ziah? Dah besar anak dara kau ya
Ziah,” sapa jiran Wan Kalsom saat Puan Raziah berjabat
tangan dengannya.
Arissa hanya melemparkan senyum.
“Haah... dah besar dah Peah. Nak kahwin pun dah
boleh ni.” Puan Raziah masih belum puas mengusik Arissa.
Kata-kata Puan Raziah tadi disambut gelak tawa
mereka yang berada di situ. Merah padam wajah Arissa.
“Mama ni, dari tadi tak habis-habis lagi,” rungut
Arissa perlahan. Tapi jelas di pendengaran mereka yang
berada di situ.
“Haah, dah boleh kahwin sangat tu. Jadi menantu
mak ngah pun tak apa. Boleh kan, mak?” Nampaknya Mak
Ngah Roza pun sudah tumpang sekaki menyakat Arissa.
Makin merah pipi Arissa dibuatnya. Jadi menantu
mak ngah? Menantu dengan anak yang mana? Ligat otak
Arissa berfikir.
“Wan setuju aje. Lagi wan suka kalau betul-betul
kahwin. Mana anak teruna hang, Roza?”
“Tak tahulah mak. Tadi dia cakap nak ke pekan dulu.
Ada hal sikit katanya. Kita makan-makan dululah ya. Kalau
nak tunggu si Hariz tu, entah bila boleh makan.”
Dup!!! Macam hendak pecah rasanya dada Arissa.
Mendengar namanya saja sudah cukup membuatkan hatinya
sengsara. Apatah lagi apabila berdepan dengan lelaki itu
nanti. Berkali-kali Arissa telan liur.
“Cinta okey tak ni?” bisik Puan Raziah perlahan
di telinga anak gadisnya. Wajah Arissa yang nampak pucat
dengan tiba-tiba itu menimbulkan gusar di hatinya.
“Errr... okey, ma...” Arissa tersenyum kelat.
Berkali-kali dia beristighfar dalam hati, cuba untuk tenangkan
diri.
SATU JAM acara makan-makan berlangsung, kelibat Hariz
Ilman masih belum kelihatan. Semua jiran tetangga Wan
Kalsom juga sudah pulang ke rumah masing-masing. Sudah
letih menunggu gamaknya. Mulut Wan Kalsom pula tidak
henti-henti berbunyi dari tadi. Geram sungguh dia kepada
cucu lelaki tunggalnya itu.
“Budak bertuah! Orang buat makan-makan ni nak
raikan dia. Tapi dia sampai ke sudah tak muncul-muncul!”
Wan Kalsom mendengus kasar. Boleh nampak dadanya
berombak kencang menahan marah.
“Mak, sudah-sudahlah tu. Mak jangan marah-marah
macam ni, nanti naik pula darah tinggi mak tu,” Mak Ngah
Roza memujuk lembut. Lengan ibu kandungnya yang
berumur lewat 70-an itu dipeluk erat.
“Macam mana mak tak marah, semua orang tunggu
dia. Tapi sampai ke sudah tak nampak batang hidung. Sama
jugak macam abah dia. Asal saja orang nak buat makan-makan
sesama anak-beranak, mulalah sibuk. Kena pergi sanalah,
kena pergi sinilah!” Masih ada lagi sisa marah dalam nada
suara Wan Kalsom.
Puan Raziah dengan Arissa dari tadi hanya menjadi
pendengar setia. Sepatah pun mereka tidak menyampuk.
Silap sampuk nanti, lain pula jadinya. Siapa tidak kenal
dengan Wan Kalsom itu. Garangnya memang tak ingat!
Arissa menjeling sekilas ke arah adik sepupunya,
Rania. Tu dia! Dari awal dia sampai, sampailah sekarang, dia
nampak budak itu bukan main ralit lagi dengan telefon pintar
di tangan. Entah apa yang ditilik dari tadi pun Arissa tidak
tahu. Tanpa sedar, kepalanya tergeleng sendiri.
“Err... saya angkat semua ni masuk ke dapur dulu
ya?” celah Arissa tiba-tiba membuatkan semua mata kini
berpusat kepadanya.
“Haa... eloklah tu. Nanti Rissa basuh sekali
cawan-cawan tu ya?” balas Mak Ngah Roza. Lega rasanya
apabila Arissa menyelamatkan keadaan.
“Baik, mak ngah.”
Kening Puan Raziah sudah naik bertangkup. Mata
menyorot anak gadisnya tidak berkelip. Macam tidak percaya
pula dengan jawapan Arissa tadi. Di rumah tidak pernah pula
hendak menolong dia di dapur.
“Jangan tak percaya...” sempat lagi Arissa berbisik
di telinga mamanya sambil tergelak halus. Suka sangat dia
melihat riak terkejut Puan Raziah. Sebenarnya dia bukanlah
rajin sangat, tapi daripada dia sakit telinga mendengar
neneknya membebel tak henti-henti, inilah saja jalannya
untuk dia melarikan diri.
Baru beberapa tapak Arissa menapak bersama
dulang yang penuh dengan gelas kotor di tangan, telinganya
sudah menangkap dengar bunyi enjin kereta mengaum kuat
di laman rumah Wan Kalsom. Entah siapa-siapa entah!
Tanpa mempedulikan itu semua, Arissa terus
menyambung langkah.
“CIK ADIK, minta lalu sekejap. Abang nak basuh tangan ni.”
Suara garau yang berada betul-betul di belakangnya
itu membuatkan tingkah Arissa terus mati. Span sabun
yang masih tergenggam kemas di tangan jatuh dengan
sendirinya ke dalam singki. Ya Allah... Suara itu! Walaupun
sudah bertahun lamanya, sedetik pun dia tidak akan dapat
melupakan suara garau itu.
Beberapa saat berlalu, Arissa masih kaku di situ.
Tidak menoleh, tidak juga berganjak. Hanya jantungnya saja
yang berdegup kencang saat ini.
“Adik?”
Suara garau lelaki itu bergema lagi, membuatkan
perasaan Arissa sekali lagi tersentak.
“Ma... maaf.” Hampir tenggelam suara Arissa. Dia
mengundur sedikit ke belakang, memberi ruang kepada
pemilik suara garau tadi untuk menapak ke singki. Wajahnya
ditundukkan saja memandang lantai. Tidak kuat untuk
berbalas pandang dengan lelaki itu.
Baru saja dia mahu membuka langkah untuk berlalu
dari situ...
“Tunggu! Kenapa tak basuh dulu sabun dekat tangan
tu?”
Spontan kepala Arissa terangkat. Pandangannya terus
bertembung dengan lelaki bersuara garau itu. Hariz... sebaris
nama itu sudah bergema kuat dalam hatinya, membuatkan
degupan jantungnya semakin kencang. Dadanya menjadi
semakin sesak.
Hariz juga nampak terkejut. Senyuman yang mekar
di bibirnya tadi terhapus perlahan-lahan. Sorotan matanya
sedikit pun tidak dapat dialihkan daripada merenung Arissa
di hadapannya.
“You're... Cinta Arissa, right?” bergetar suara garau
Hariz menyoal. Dadanya juga sudah mula berasa ketat.
Ya Allah, bertahun lamanya hidup dia dibayangi gadis itu,
akhirnya mereka bersua semula.
Arissa masih membisu. Hanya Allah saja yang tahu
apa yang terbuku dalam hatinya saat ini. Peristiwa bertahun
nan lalu kembali basah dalam memori, merobek setiap ruang
dalam hatinya. Pedih!
“Cinta...”
“Jangan panggil saya Cinta!” tegas Arissa. Tiba-tiba
saja dia naik angin. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Sesaat
pun tidak mahu bersabung mata dengan lelaki di hadapannya
kini. Rasa sakit hati sangat apabila namanya meniti di bibir
lelaki itu.
“Jadi... betullah awak ni Cinta Arissa, kan?” Hariz
masih belum berpuas hati. Dia bersandar tubuh pada kabinet
singki sambil matanya merenung dalam ke arah Arissa.
Walaupun susuk tubuh itu telah banyak berubah, namun raut
wajah itu masih iras dengan wajah Cinta Arissa 7 tahun yang
lalu. Dia yakin hatinya tidak menipu.
Arissa telan liur. Mata yang mula berkaca itu ditahan
sekuat hati. Janganlah dia menangis di sini.
“Cinta... please say something. Are you Cinta
Arissa?”
“Berapa kali saya nak cakap dekat awak, jangan
panggil saya Cinta!” suara Arissa semakin keras. Luka di
hatinya semakin basah.
“Ya Allah, Cinta... akhirnya abang jumpa jugak
dengan Cinta. Cinta tak ingat abang ke?”
Allah!!! Arissa rasa mahu menangis di situ. Kenapa
dengan Hariz ni? Berapa kali nak kena ulang ni? Jangan
panggil dia, Cinta!
“Tolonglah jangan panggil saya Cinta. Panggil saya
Arissa!”
“Kenapa Cinta? Cinta marahkan abang sebab
peristiwa lama tu ya?”
Mata Arissa sekali lagi bertemu tepat dengan anak
mata Hariz. Tajam sekali renungannya.
“Tolong jangan sebut lagi pasal tu. Saya tak nak ingat
apa-apa lagi!”
“Tapi abang tak pernah lupa!”
Kata-kata Hariz menyentak tangkai hati Arissa.
Perasaannya semakin hebat berperang. Lelaki ini tidak
pernah lupa? Apa maksud dia?
“Setiap saat hidup abang dibayangi rasa berdosa.
Berdosa pada Dia. Berdosa pada Cinta. Abang... abang...”
kata-kata Hariz mati di situ. Kotak memorinya mula
mengimbau peristiwa 7 tahun yang lalu. Sesaat pun dia tidak
pernah melupakan peristiwa itu.
Arissa direnung Hariz dengan sepenuh hati. Adik
sepupunya itu tampak semakin cantik dan matang. Saat
anak matanya jatuh pada bibir merah basah milik Arissa,
perasaannya mula tidak menentu. Bergelora. Rasa berdosa.
Semuanya bercantum menjadi satu.
Bibir merah basah itu pernah dijamah suatu masa
dahulu. Hangatnya masih terasa sampai sekarang. Ya Allah,
jahilnya dia.
“Cinta, abang minta maaf.”
Hariz nampak mutiara jernih mula membasahi pipi
Arissa. Dari setitik menjadi bertitik-titik. Ya Allah, dia semakin
terhimpit dengan rasa. Rasa berdosa yang bertimpa-timpa.
Tubuh genit itu hampir-hampir diratahnya suatu ketika dulu
dek kerana terlalu ikutkan nafsu yang berajakan syaitan.
“Papa...”
Suara halus menyapa, menyebabkan perasaan
mereka berdua tersentap. Cepat-cepat Arissa menyapu air
matanya. Seorang budak perempuan yang comel berumur
dalam lingkungan 3 atau 4 tahun sudah memeluk paha Hariz
dengan erat.
Terjeda Arissa melihat itu semua. Sudah
berkahwinkah Hariz Ilman?
“Papa, is she my mama?” seulas bibir mungil milik
budak perempuan comel itu petah bertanya. Mata bulat dan
jernihnya merenung Arissa tanpa berkelip.
Sekali lagi Arissa terjeda.
“No. She is not.” Hariz mengangkat anak kecil itu
lalu mendukungnya.
“I think she is...” nada suara budak perempuan itu
seakan kecewa. Wajahnya seakan mahu menangis.
“No. She is not, honey...” sekali lagi Hariz
menidakkan. Pipi budak perempuan comel yang berada dalam
dukungannya itu dicium berkali-kali. Budak perempuan itu
menolak muka Hariz sambil ketawa mengekek.
“Would you like to be my mama?”
Pertanyaan spontan budak perempuan itu
menyentap perasaan Arissa. Dia terkejut. Matanya dan mata
Hariz bertembung lagi. Lama mereka saling berpandangan.
“Jom sayang, kita ke depan.” Sekali lagi pipi budak
perempuan itu dicium. Dia mula membuka langkah.
Arissa masih membatu. Belum habis lagi perasaan
terkejutnya. Kepalanya ditundukkan sambil bermain jari
sendiri. Berbagai persoalan berlegar di kepalanya. Semuanya
masih kusut.
“Cinta...” Langkah Hariz terhenti. Wajah Arissa
dicari semula.
Arissa memangku kepala.
“Kita belum selesai berbincang,” ucap Hariz sebelum
dia menghilang dari ruang dapur rumah Wan Kalsom.
Dada Arissa terasa semakin ketat. Kenapa semua ini
terjadi? Kenapa?
No comments:
Post a Comment