DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 January 2019

Bisikan Rindu Semalam - Bab 6

“BIRD...” Tangan Arissa menuding lurus ke
arah burung murai yang sedang bertenggek pada dahan
rambutan di tepi laman rumah. Pipi Izzara dicium sekali.
Tidak puas. Dicium lagi dan lagi. Perasaannya terasa damai
dan lapang. Patutlah ada golongan bijak pandai berkata,
apabila kita mencium anak kecil, maka akan gugurlah
dosa-dosa kecil kita.
“No, mama. That's not a bird...” Bibir mungil itu
membalas sambil tersengih kecil.
“Hah?” Arissa kerut dahi. Mata Izzara yang bersinar
galak itu disorot dalam. Salah ke dia cakap tadi? Kalau bukan
burung apa pula?
“Itu burung.” Izzara sudah ketawa mengekek. Lucu
barangkali melihat wajah blur Arissa.
Kening Arissa bercantum. Beberapa saat kemudian...
“Ooo... dah pandai kenakan mama ya?” giat Arissa
setelah tersedar dirinya dipermainkan. Pinggang Izzara
digeletek laju, membuatkan anak kecil itu semakin galak
ketawa.
“Mama, I am sorry...” Berkali-kali Izzara memohon
maaf sambil ketawa mengekek kerana Arissa sejak tadi tidak
henti-henti menggeletek pinggangnya.
“Mama tak kira, mama nak geletek jugak!” Arissa
pun turut ketawa sama. Entah kenapa dia dengan begitu
mudah dapat menerima kehadiran Izzara dalam hidupnya.
Keletah anak comel itu sentiasa mencuit hatinya. Setiap kali
bibir mungil itu memanggil dia dengan panggilan mama,
setiap kali itulah juga perasaannya rasa terbuai indah.
Terasa kasihnya dengan mudah saja tertumpah
kepada Izzara. Padahal, sebelum ini dia tidak sukakan
budak. Melihat ragam anak-anak jirannya saja sudah cukup
membuatkan dia rasa menyampah.

“PELIK MAK su tengok perangai Cinta tu.”
Tersentak Hariz.
Mata yang tadinya tidak lepas-lepas menyorot ke
arah Arissa dan Izzara yang berada di hujung laman sana
terus berlari laju ke arah Puan Raziah. Ibu saudaranya itu
sudah tersenyum manis. Dulang berisi seteko kopi panas dan
sepiring kek coklat terletak di atas meja rehat yang berada di
anjung rumah.
“Pelik kenapa mak su?” soal Hariz turut
menghulurkan senyum. Puan Raziah satu-satunya ibu saudara
yang dia ada. Mamanya mempunyai tiga orang adik-beradik.
Yang sulung lelaki. Tetapi sudah meninggal dunia semasa
berusia belasan tahun lagi kerana demam panas. Sekarang
tinggallah mamanya dan Puan Raziah sahaja.
“Yalah... selalu tu, dia bukan suka sangat dengan
budak-budak. Dengan Rania, adik kamu tu... kalau tak ada
benda penting dia nak tanya, tak adanya dia nak menegur.
Tapi dengan Izzara ni, pandai pula dia melayan.” Puan
Raziah menuang kopi panas ke dalam cawan lalu disuakan di
hadapan Hariz .
“Terima kasih, mak su.”
“Minumlah Hariz. Makan kek tu. Ini ajelah yang ada.
Kek ini pun Cinta yang buat semalam.”
“Mak su tak minum sekali?” Hariz berbasa-basi.
Cawan kopi diangkat dan disisipkan ke mulut. Seteguk kopi
panas sudah melalui kerongkongnya. Terasa nikmat.
“Minumlah dulu. Nanti-nanti mak su minum.” Puan
Raziah tersenyum lembut sambil menyorot diri Hariz. Anak
saudaranya itu nampak lain benar berbanding 7 tahun yang
lalu. Semakin kacak dan matang. Tutur katanya juga nampak
lebih sopan dan tersusun. Yalah, mana tak matang kalau dah
jadi ayah orang, kan?
“Mak su sihat? Dah lama ke mak su balik menetap
dekat sini?” Sepotong kek coklat disua ke mulutnya. Dia
tersenyum lagi. Sedap. Sesekali matanya berlari juga ke arah
Arissa di hujung laman sana. Rasa cemburu pula melihat
senyuman yang bergayut di bibir gadis itu. Kenapa Arissa tak
boleh senyum begitu apabila berdepan dengannya?
“Tak adalah lama sangat. Dalam 2 tahun. Lepas mak
su pencen, terus balik ke sini. Kebetulan pula ada penduduk
kampung nak jual tanah ni. Mak su beli dan buat rumah ni.
Hujan emas di negeri orang, Riz... baik lagi negeri sendiri.
Ya tak?”
“Betullah tu, mak su. Hmm... Arissa memang tak
ada buat apa-apa ke? Maksud Hariz, sebelum ni dia buat
apa?” Merah wajah Hariz saat bertanyakan tentang Arissa.
Tangannya spontan naik melurut rambut di kepala. Berharap
sangat mak sunya tidak perasan dengan rona wajahnya yang
sudah berubah itu.
Puan Raziah tersenyum nipis. Melihat tingkah Hariz
saja sudah cukup membuatkan hati tuanya faham apa yang
tersirat dalam hati anak saudaranya itu.
“Kenapa Hariz tak tanya dia sendiri?”
Hariz tunduk wajah. Alah, kalaulah dia boleh
berterus terang dengan mak sunya tentang sejarah silam
mereka, tapi... bukankah Allah sedang menutup aib mereka,
kenapa harus dia sendiri yang membukanya?
“Seganlah, mak su. Cinta pun macam malu-malu
saja nak berbual dengan Hariz.” Senyuman tawar dikoyak
sejenak. Mata berlari semula ke laman sana, mencari seraut
wajah yang sangat dirindu selama ini.
“Alah, apa yang nak dimalukan Hariz oiii... bukan
orang lain pun. Dulu masa budak-budak, kamu berdua bukan
main rapat lagi. Macam belangkas. Berkepit saja ke hulu ke
hilir. Sekarang nak malu pulak.” Puan Raziah tergelak halus.
Cawan kopi dicapai lalu dibawa ke mulutnya. Seteguk kopi
yang sudah suam melalui tekaknya. Segar.
“Dulu lain, mak su. Sekarang lain.” Hariz membalas
perlahan.
“Yalah, dulu masing-masing budak lagi, kan?
Sekarang dah dewasa. Hariz sendiri pun dah ada anak.
Tentulah keadaannya sudah tidak sama,” akur Puan Raziah
bersama senyuman kelat di bibirnya.
Terkilan juga dia melihat Hariz pulang bersama
anak kecil. Dari dulu lagi dia dengan kakaknya memang
berangan-angan untuk berbesan. Memanglah orang cakap
tak elok kalau kahwin sesama saudara. Tak berkembang
keturunan. Tapi, tidak salah juga di sisi agama. Rasulullah
SAW sendiri berkahwin dengan sepupu baginda yang bernama
Zainab.
“Itulah, mak su. 7 tahun bukan suatu jangka masa
yang pendek. Semuanya dah berubah.” Hariz telan liur.
Matanya mencari pula wajah permata hatinya, Izzara. Melihat
anak comelnya itu asyik ketawa semenjak tadi membuatkan
hati lelakinya disapa hiba. Jadi betullah kata uminya, selama
ini Izzara rindukan sentuhan seorang ibu.
Puan Raziah tersenyum tawar. Ringan saja mulutnya
mahu bertanyakan tentang ibu kandung Izzara. Tetapi apabila
dia fikirkan balik, rasa tidak tergamak pula mahu bertanya.
Perasaan ingin tahu itu dipendamkan saja. Biarlah dulu.
Lambat-laun dia akan tahu juga nanti.
“Hmm... mak su nak pergi bagi itik makan dekat
belakang rumah. Hariz pergilah berbual-bual dengan Cinta.
Tapi jangan duduk dekat sangat. Banyak mata-mata dekat
kampung ni yang memandang. Nanti bimbang jadi umpatan
orang. Tapi yang paling kita takutkan, mata yang dekat atas
sana tu. Maha Melihat!” Jari telunjuk Puan Raziah sudah
tegak ke atas. Bibirnya tersenyum lebar. Dia terus bingkas
bangun daripada kerusi dan berlalu.
Hariz mengangguk lemah.
‘Ya, mak su! Disebabkan mata yang di atas sana
Yang Maha Melihat itulah sampai ke hari ini jiwa saya rasa
dibebani dosa. Allah, betapa hinanya rasa diri ini!’ hati Hariz
berbisik sendiri. Nafas panjang dilepaskan bagi melepaskan
lelah perasaan.
“Zara, nak ikut tok ma tak?” Sekali lagi suara mak
sunya menjamah telinga, membuatkan Hariz terus menoleh
ke arah Izzara.
Serentak dengan itu juga matanya bersabung tepat
dengan anak mata Arissa. Terus bibir lelakinya mengukir
senyum. Tapi sayang, Arissa langsung tidak membalas. Malah,
adik sepupunya itu hanya merenungnya dengan riak tanpa
perasaan.
Liur Hariz tertelan sendiri.
“Pergi mana tok ma?” petah Izzara bertanya. Dia
sudah berlari mendapatkan Puan Raziah.
“Bagi itik makan dekat reban belakang rumah.
Mahu?” Kepala Izzara diusap lembut.
“Duck? Yeaayy... Jom!” Izzara melompat kesukaan.
Tangan Puan Raziah ditarik laju agar segera berlalu ke
belakang rumah. Nampak sangat dia teruja mahu melihat
itik-itik di reban.
Tergeleng-geleng kepala Hariz melihat telatah
Izzara. Semenjak mereka pulang ke Malaysia, Izzara kelihatan
lebih ceria. Lega rasa hatinya melihat perkembangan positif
Izzara. Jika tidak, anak comelnya itu asyik memberontak saja
semasa mereka berada di negara orang. Semuanya tidak kena.
Naik pening kepala dia dibuatnya.
Hariz bingkas bangun. Langkahnya diatur kemas
ke arah Arissa. Ada debar dalam dada yang tidak dapat
dipadamkan. Sukar benar dia mahu membuang rasa itu.
Namun, langkah tetap diatur kemas.
“Boleh abang duduk?” sapa Hariz lembut saat dia
sudah berdiri betul-betul di hadapan Arissa.
Senyap.
Arissa tidak membalas. Wajah dipalingkan ke arah
lain. Matanya tiba-tiba saja berkaca. Dadanya pula sesak tanpa
diundang. Setiap kali dia berdepan dengan Hariz, itulah yang
dia rasa. Namun, dalam kepayahan dia cuba juga mengawal
rasa.
Dalam hati yang berat, punggungnya dikalihkan
juga ke hujung kerusi batu, memberi ruang kepada Hariz
untuk melabuhkan duduknya di situ.
Hariz melepaskan senyum. Saat dia melabuhkan
duduknya di situ, dada Arissa menjadi semakin sesak. Bau
haruman daripada tubuh Hariz seakan menekan-nekan
perasaannya. Bau yang sudah bertahun lama tidak dihidu.
Tetapi sesaat pun tidak pernah lupus dari ingatannya. Bau
itu menggamit sejuta perasaan rindu yang sukar untuk
diungkapkan dengan kata-kata. Allah... terasa berdosanya dia!
“Hmmm... Cinta masih marahkan abang ke?” soal
Hariz lembut setelah hampir 5 minit membisu. Sorotan
matanya jatuh lurus kepada Arissa yang langsung tidak
menoleh kepadanya. Benci sangat gamaknya Arissa kepada
dia.
“Abang tahu Cinta marahkan abang. Hari ni abang
bagi peluang pada Cinta untuk luahkan apa saja yang terbuku
di hati Cinta tu. Nak marahkan abang ke, nak maki abang ke...
abang terima semuanya.” Sekali lagi Hariz muntahkan kata.
Memancing Arissa untuk bersuara.
“Tak ada sebab saya nak marahkan awak. Tapi... awak
ni memang degil, kan? Berapa kali saya nak cakap, jangan
panggil saya Cinta! Kenapa susah sangat nak faham ni?” bidas
Arissa perlahan. Tapi cukup keras nada suaranya di telinga
Hariz.
Mata mereka bertemu tepat. Merenung dalam antara
satu sama lain. Sesaat kemudian, senyuman lembut sudah
berlari di wajah Hariz. Rambutnya dikuak lembut ke belakang
sambil nafas ditarik dalam.
Arissa pegun. Melihat saja senyuman lembut yang
bergayut di bibir lelaki itu membuatkan hatinya terus disapa
bayu. Damai dan tenang. Cepat-cepat dia mengawal rasa.
‘Kenapa dengan kau ni, Cinta? Kenapa dengan hati
kau ni, hah? Jangan mudah sangat nak mengalah okey!
Takkan dengan sebuah senyuman saja hati kau dah lebur?
Kemarahan yang bertahun lamanya kau pendam, takkanlah
terpadam macam itu saja? Tak semudah itu, Cinta!’ hati
Arissa terus berperang sendiri.
“Abang tak sangka, 7 tahun abang tinggalkan negara
ni, 7 tahun abang tinggalkan Cinta, segala-galanya sudah
berubah. Cinta dah lain sangat sekarang ni. Abang tahu,
abang pernah buat silap pada Cinta. Tapi percayalah, abang
betul-betul menyesal.” Hariz telan liur. “Kalaulah abang
boleh undur masa, abang tak akan buat benda bodoh yang
akan menghantui hidup abang selamanya. Abang akan jaga
Cinta dengan sepenuh hati abang. Sebab...” Kata-kata Hariz
mati di situ. Tubuhnya disandar rapat pada kerusi batu.
“Sebab apa?” laju Arissa bertanya. Kini wajah Hariz
sudah disorot dalam.
Hariz tersenyum kelat. Liur ditelan lagi. Untuk
yang ke berapa kalinya dia tidak pasti. Memang sudah tidak
terhitung dengan jari.
“Sebab abang sayangkan Cinta.” Senafas saja Hariz
menutur kata. Sudah cukup membuatkan dada Arissa terasa
sakit. Macam kena tumbuk.
“Sayang?” Bibirnya sudah tersenyum sinis. Terasa
kelakar pula dengan perkataan sayang yang terbit daripada
mulut Hariz itu.
“Ya, sayang...”
“Sayang yang macam mana?”
“Sayang pun ada yang macam mana ke?” Hariz
tersenyum senget.
“Abang!” Keras suara Arissa.
Bulat mata Hariz merenung ke mata Arissa. Jeda.
Lambat-lambat bibirnya mengukir senyuman manis.
“Akhirnya... dapat juga abang dengar perkataan
keramat tu. Abang ingatkan Cinta dah tak sudi nak panggil
abang dengan panggilan tu.”
“Tak payahlah nak suka sangat!” bentak Arissa
semakin keras. Wajahnya dipalingkan ke lain. Bibir diketap
kuat. Hesy, kenapalah mulut dia boleh tersasul panggil Hariz
dengan panggilan itu? Terasa macam nak tampar saja mulut
sendiri!
“Mestilah abang suka. Abang rindukan Cinta. Rindu
sangat-sangat! Abang tak pernah lupakan Cinta.”
“Dahlah, abang! Tak payah nak duga hati Cinta lagi.
Abang tahu tak, selama 7 tahun ni, hidup Cinta langsung tak
tenang. Tidur malam Cinta selalu saja tak lena. Semuanya
sebab apa yang pernah abang buat dulu. Diri ni, rasa berdosa
sangat! Sampaikan nak sambut cinta daripada insan bernama
lelaki pun rasa tak layak. Cinta dah penatlah abang! Cinta tak
nak ingat apa-apa lagi pasal kisah silam tu. Kalau boleh, Cinta
tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan abang.” Hati Arissa
bergetar hebat. Walaupun dia terasa macam nak meraung
tika ini, sekuat hati rasa itu ditahan.
“Tak payah terima cinta daripada lelaki lain. Abang
tak akan benarkan! Cinta Arissa akan menjadi milik abang.
Abang akan angkat Cinta untuk menjadi suri di hati abang.
Abang akan cintai Cinta dengan seluruh nafas abang. Abang
akan jaga Cinta dengan sepenuh nyawa abang. Memang itu
yang abang impikan dari dulu. Kita lupakan kisah silam!
Kita mulakan cerita baru.” Bersungguh Hariz menutur kata.
Biarlah dia berterus terang. Memang dari zaman mereka
budak-budak lagi, dia sudah menyimpan hati terhadap adik
sepupunya itu.
Air mata gugur juga di pipi Arissa. Cepat pula
tangannya menyeka. Tidak mahu air jernih itu terus
mencemari pipi mulusnya. Tidak mahu nampak lemah di
hadapan lelaki itu.
‘Arggh, lelaki! Mudah benar mengucap kata sayang,’
hatinya berperang.
“Cinta...”
“Dahlah abang! Senangnya abang cakap, kan?
Macam mana dengan Izzara dengan mama kandung dia?
Kalau betul abang dah lama sayangkan Cinta, kenapa abang
kahwin dengan perempuan lain? Mana mama kandung
Izzara? Kenapa tak bawa balik sekali?” tebak Arissa dengan
senyuman mengejek.
Diam sejenak.
Hariz nampak tenang walaupun diasak dengan soalan
bertubi-tubi Arissa. Senyuman sinis yang Arissa lemparkan
sedikit pun tidak menjadi kudis di hatinya. Malah dia jauh
lebih bersyukur kerana Arissa sudi berdebat dengannya.
Sumpah dia boleh jadi gila kalau Arissa terus membisu.
Sekali lagi mata Arissa dicari.
“Izzara bukan anak kandung abang. Izzara cuma
amanah yang dititipkan oleh seseorang kepada abang.”
“Apa maksud abang?” Arissa nampak bingung. Jelas
dia terkejut dengan pengakuan Hariz tadi. Tak mungkin! Dia
yang salah dengar agaknya.
“Masa abang dekat luar negara dulu, abang berkawan
rapat dengan seorang pelajar perempuan berbangsa Perancis.
Namanya Jane. Jane banyak tolong abang masa abang dekat
sana dari segala segi. Bila abang kesuntukan duit, dia selalu
bagi abang pinjam duit. Bila abang sakit, dia yang bersusah
payah menjaga dan menghantar abang ke klinik. Abang juga
rapat dengan keluarga dia. Bila tiba cuti semester, abang
selalu bertamu di rumah keluarganya. Pendek kata, Jane dan
keluarganya memang baik. Tapi...” Hariz berhenti seketika
mencari nafas.
“Tapi apa?” Akhirnya Arissa tidak mampu lagi
menampung perasaan ingin tahu. Mata Hariz ditentang
dalam. Terasa lama sangat masa yang diambil oleh abang
sepupunya itu untuk menyambung cerita.
“Dia terlanjur dengan teman lelaki dia. Lelaki tu
suami orang dan tak nak bertanggungjawab. Jane hilang
arah selepas tu. Dia jadi penagih tegar alkohol. Sampaikan
satu tahap, dia cuba nak bunuh anak yang berada dalam
kandungannya. Abang tak sanggup tengok dia jadi macam tu.
Disebabkan rasa kasihan yang menebal dan rasa terhutang
budi dan tanggungjawab seorang kawan, abang selamatkan
dia.”
Hariz telan liur. Wajah Jane kembali tertayang di
ruang matanya.
Makin tebal kerutan pada dahi Arissa. Cerita yang
baru disampaikan oleh Hariz tadi terasa semakin kusut.
Boleh percaya ke? Habis tu, di mana perempuan itu sekarang?
Kenapa dia tidak ikut sama ke sini? Tapi betullah, kalau
diperhatikan wajah Izzara, memang langsung tidak ada mirip
wajah Hariz. Logik juga kalau Izzara itu bukan anak kandung
Hariz.
“Lepas tu apa jadi? Di mana dia sekarang?” Arissa
sekali lagi hilang sabar.
“Selepas dia peluk agama Islam, kami berkahwin.
Tamat saja pengajian, abang terus menetap dekat sana.
Sebab... umi dengan abah abang menentang perkahwinan
kami. Masa tu abang bimbang umi dengan abah tak dapat
terima kehadiran Izzara. Abang juga malu nak berdepan
dengan Cinta.”
“Abang sayangkan dia?”
Lambat-lambat Arissa nampak abang sepupunya itu
mengangguk kepala.
Perasaan Arissa terhenyak. Entah kenapa dia rasa
kecewa yang amat. Padahal sebelum ini, dia memang sudah
menjangkakan semua ini. Selama ini pun dia tidak pernah
menaruh apa-apa harapan lagi terhadap Hariz. Bertahun
sudah dia memujuk hatinya untuk melupakan lelaki itu.
Tapi, apabila sebentar tadi Hariz bersungguh
meluahkan isi hatinya, harapan yang layu dulunya
berkembang semula. Namun sekarang, sekali lagi jaring
angannya berkecai. Kali ini, sakitnya lebih dalam. Arghh...
lelaki, mudahnya mengungkap kata sayang!
“Dahlah abang, pergilah pada keluarga abang.
Jangan kacau hidup Cinta lagi. Kisah kita tak pernah wujud!”
Arissa bingkas bangun dan ingin berlalu dari situ.
“Cinta!”
Langkah kaki Arissa terhenti. Dia jeda di situ.
Namun tidak pula menoleh kepada Hariz. Kolam matanya
mula terasa penuh.
“Ibu kandung Zara dah meninggal masa lahirkan
Zara. Komplikasi jantung. Sebab tu Zara rindukan perhatian
seorang ibu. Sebab tu dengan mudah saja dia panggil Cinta,
‘mama’. Sejak kecil, abanglah papa dan abanglah mama dia,”
lemah suara Hariz terlantun. Ada getar juga dalam suaranya.
Sebak barangkali.
Setitis air jernih mula menjamah pipi Arissa.
Walaupun ditahan sekuatnya, ia tetap juga gugur setitis demi
setitis.
‘Allah... kasihannya anak itu. Aku faham apa yang dia
rasa ya Allah. Sebab aku juga merasai hal yang sama. Cuma
cerita kami berbeza,’ hati Arissa berbisik hiba.
“Mama...” suara halus itu menyapa. Cepat-cepat
Arissa kesat pipi dan berpaling. Tubuh genit itu sudah berlari
anak mendapatkannya dan terus memeluk erat pahanya.
Sekali lagi dia jeda. Pandangan matanya terus
bersabung dengan pandangan mata Hariz. Mata lelaki itu
nampak berkaca. Sudahnya, lelaki itu tunduk menekur tanah.
Arissa telan liur. Kolam matanya terasa penuh
semula. Lambat-lambat tangannya naik mengusap kepala
Izzara. Kasihnya terasa semakin subur buat anak comel itu.

No comments:

Post a Comment