DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Akad Kedua - Bab 10

SELESAI makan malam, Dhia mengemas dapur.
Setelah dipastikan semuanya kemas dan tersusun, Dhia
mengorak langkah keluar dari dapur dan terus menuju ke
bilik tidur. Namun, dipanggil oleh ibunya semasa melintasi
ruang tamu.
“Awal lagi, Dhia dah nak masuk tidur ke?” tanya
Hajah Sakinah yang duduk di lantai sambil melipat kain.
Mendengar pertanyaan maknya itu, terus Dhia melabuhkan
duduknya di kusyen.
“Haah mak. Letih sangatlah,” jawab Dhia ringkas.
Matanya juga sudah kuyu. Kalau disuakan bantal, mesti
sudah berdengkur tidak ingat dunia.
“Kalau macam tu, takpelah. Pergilah tidur,” ujar
Haji Rahman. Hasratnya yang mahu berbincang dengan Dhia
nampaknya terpaksa ditunda terlebih dahulu. Kesian pula
melihat anaknya yang baru sahaja sampai selepas maghrib
tadi.
Wajah mak dan ayahnya dilihat silih berganti.
Seperti ada sesuatu yang mahu mereka perkatakan.
“Mak dengan ayah ada perkara penting nak bincang
dengan Dhia ke?” soalnya ingin tahu.
“Ada tu, memanglah ada. Tapi, esok ajelah kita
bincang. Kamu kan letih. Balik kerja terus drive berjam-jam
balik ke sini,” balas Hajah Sakinah. Lagipun, tiada apa yang
perlu digesa-gesakan.
“Tak payahlah tunggu esok. Nanti Dhia asyik teringat
pulak perkara yang nak dibincangkan tu. Takpe, Dhia boleh
tahan lagi ni,” kata Dhia yang bersungguh-sungguh mahu
tahu. Dia yakin, pasti ada sesuatu yang penting. Kalau tidak,
mana mungkin ayahnya menyuruh dia pulang. “Beritahulah,
perkara apa yang ayah dan mak nak bincangkan tu?”
Kelihatan Dhia sudah memasang telinga mahu
mendengar. Begitu juga Haji Rahman yang sudah siap
menyusun ayat untuk memberitahu Dhia.
“Begini... kalaulah ada orang datang nak meminang
Dhia, Dhia setuju tak?” tanya Haji Rahman, straight to the
point.
Dhia tiba-tiba menekup mulutnya, lalu ketawa
terbahak-bahak. Kalau tidak ingat dirinya yang sudah besar,
hendak saja dia berguling-guling di lantai.
“Eh, boleh pulak dia gelak. Ingat kita buat lawak
antarabangsa ke ni?” Hajah Sakinah bersuara.
Dhia berhenti ketawa. Namun masih ada senyuman
di wajahnya yang merah akibat sakan ketawa.
“Takdelah... mana ada orang nak datang meminang
Dhia selain Epol tu, mak. Dia aje pernah buat kerja gila tu,”
ujar Dhia yang terasa lucu.
“Gila apanya? Kamu tu yang tak betul. Ada ke patut
tolak lamaran Epol tu dulu. Sekarang, kan dah melepas.
Padan muka!”
“Sudahlah... tak payah kita nak ingatkan benda yang
dah lepas. Itu namanya tak ada jodoh,” nasihat Haji Rahman
yang sentiasa kelihatan tenang.
Nafas ditarik dalam dan dihembus keluar melalui
mulut. Dhia membuka mata dan memandang wajah ayah dan
maknya.
“Okey, kita serius. Siapa yang ada hati nak meminang
Dhia ni?” soal Dhia. Kini wajahnya lebih serius, seolah-olah
sedang membincangkan hal negara.
“Tan Sri Junaidi. Dia nak hantar rombongan
meminang Dhia untuk anak lelaki dia, Hasbi Khuzairy,”
beritahu Haji Rahman.
Anak mata Dhia terus memandang ke atas.
Seolah-olah sedang cuba mengingati sesuatu.
“Tan Sri Junaidi yang nak beli tanah pusaka tu ke?”
teka Dhia.
Haji Rahman menganggukkan kepala.
“Dia kenal ke dengan Dhia ni mak, ayah? Tup-tup
teringin nak ambil jadi menantu. Biar betul?” tanya Dhia
kerisauan. Dia sendiri pun sudah lupa raut wajah Tan Sri
Junaidi.
“Itulah... ayah pun hairan. Katanya, dia jatuh hati
tengok Dhia walaupun hanya beberapa saat bersua muka.
Bergunung-gunung dia puji Dhia. Macam dah kenal setahun,”
ujar Haji Rahman.
“Jadi, apa jawapan Dhia?” Hajah Sakinah meminta
jawapan.
Dhia mengalihkan pandangan meminta jawapan
kepada Wana yang dari tadi diam membisu menghadap
laptopnya. Wana sekadar mengangkat kedua-dua belah
bahunya.
'Isy, ada adik sorang pun tak membantu!' keluh hati
Dhia.
“Dhia kan dah serahkan semuanya pada ayah dan
mak untuk buat keputusan. Baik bagi mak dan ayah, baik
jugaklah buat Dhia.” Dhia cuba mengingatkan ayah dan
maknya.
“Yalah. Kalau ikut kami, memang kami rasa baik
sangatlah. Tapi, kami tetap nak tanya Dhia. Apa pun jawapan
Dhia, kami terima. Mak dan ayah tak nak paksa tau,” balas
Hajah Sakinah. “Dan anak Tan Sri tu sebenarnya…” Tiba-tiba
Hajah Sakinah memandang suaminya.
Haji Rahman menganggukkan kepala seolah-olah
memberi izin kepada isterinya untuk meneruskan kata.
Hajah Sakinah melemparkan semula pandangan
kepada Dhia. Tanpa menunggu dengan lebih lama, dia
menceritakan segala apa yang telah diceritakan oleh Tan Sri
Junaidi kepada dia dan suaminya.
Dhia hanya mendiamkan diri sepanjang mendengar
cerita itu. Namun, riak di wajahnya sedikit berubah. Seperti
terkejut dengan apa yang telah didengarinya.
“Macam mana ek? Erm, nantilah Dhia beritahu
jawapan pada mak dan ayah. Bagi Dhia fikir dulu. Blur pulak
kepala ni tiba-tiba. Rasa macam dah tak boleh nak fikir,”
balasnya ringkas. Matanya yang tadi layu sudah segar-bugar
dek cerita yang disampaikan.
“Yalah. Dhia ambillah masa untuk berfikir. Fikir tu
pulak, biarlah baik-baik,” pinta Hajah Sakinah. Sayu saja dia
melihat anaknya itu.
Dhia angguk dan terus meminta diri untuk ke bilik.
“Kinah rasa Dhia setuju tak?” tanya Haji Rahman
kepada isterinya.
“Entahlah abang. Bila kita cerita semua tu, terus
muka Dhia berubah. Ingatkan dia terus nak cakap tak setuju,
tapi nak fikir dulu pulak.”
“Apa pun, terima ajelah keputusan Dhia nanti.
Kahwin ni tak boleh paksa-paksa. Nanti lain pulak jadinya,”
ujar Haji Rahman. Baginya, perkahwinan bukan untuk
dinikmati sehari dua, tapi sampai ke akhir hayat. Jika
tiada kerelaan, maka tiadalah keikhlasan dalam sesuatu
perhubungan itu.
“Ha Wana... kemas-kemas barang ni nak ke mana?”
tanya Hajah Sakinah sebaik sahaja melihat Wana menutup
laptop dan memasukkan semua kertas-kertas ke dalam
sebuah fail.
“Nak masuk tidurlah mak, takkan nak pergi kahwin
pulak.” Terus Wana bangun dengan wajah selamba.
“Amboiii… tengok tu ha? Bukan main lagi jawapan
dia,” kata Hajah Sakinah, lalu kepalanya digeleng-gelengkan
beberapa kali.
“Sejak bila pulak anak kita yang ini tidur awal,
Kinah? Katanya ada penyakit susah tidur malam. Apa dia
selalu cakap tu? Somalia? Inemia?” soal Haji Rahman.
“Insomnia la bang,” kata Hajah Sakinah.
“Eh, eh... bilik kamu sebelah sana, bukan sebelah
situ!” laung Hajah Sakinah kepada Wana yang sedang berjalan
ke arah bilik kakaknya.
Wana menoleh ke arah kedua orang tuanya. Senyum
kambing diberikan.
“Erm... nak jumpa Kak Dhia sekejap,” beritahu
Wana.
Pintu bilik diketuk sekali, lalu segera tombol pintu
dipulas. Sambil memeluk fail dan laptopnya, Wana melangkah
masuk.
“Akak, boleh masuk tak?” tanya Wana sebaik pintu
dibuka.
“Aik, bukan Wana dah masuk ke tu?” tanya Dhia
kembali. Sedikit pun dia tidak memandang adiknya.
Wana mencebik bibir. Selepas meletakkan laptop
dan failnya di hujung katil, terus dia melompat naik ke atas
katil kakaknya. Ditenung wajah kakaknya agak lama. Entah
apa yang discan.
“Apasal tengok akak macam tu? Ada yang tak kena
ke?” soal Dhia yang masih ralit membaca novel. Dia dapat
rasakan Wana sedang merenungnya.
Wana menegakkan badannya dan bersandar di kepala
katil seperti kakaknya.
“Urm... memang! Memang ada yang tak kena,”
balasnya yang sedang memeluk tubuh sambil kaki disilangkan.
“Apa yang tak kenanya?” tanya Dhia sekali lagi.
“Hah! Dekat sini.” Lurus sahaja jari Wana
menunjukkan ke arah kepala kakaknya. “Otak akak macam
ada yang tak kena. Mungkin... tengah fikirkan masalah besar,”
sambung Wana lagi.
Dhia mengangkat wajah. Wana menaik dan
menurunkan kening beberapa kali setelah dipandang oleh
kakaknya.
“Masalah apa pulak ni? Pandai-pandai dia aje. Otak
dia yang bermasalah, kata orang pulak,” bidas Dhia. Novel
yang dipegang ditatap semula. Dibiarkan sahaja adiknya yang
berada di sebelah.
“Akak...” panggil Wana lembut.
“Erm...” Dhia menyahut.
“Akak!” Kali ini kuat Wana memanggil. Sakit hati
pulak rasanya apabila tidak dihiraukan.
“Apa?” Segera Dhia menoleh.
“Akak tengah fikirkan perkara yang mak dan ayah
beritahu tadi, kan?” soal Wana.
Dhia menelan liur. Masih cuba untuk berselindung.
“Takdelah. Tak nampak ke akak tengah buat apa ni?”
Dhia menunjukkan novel yang sedang dibacanya.
“Akak ni memang failed tau berlakon! Dari tadi adik
tengok akak baca muka surat yang sama aje. Lagi satu, tadi
akak cakap kat mak dengan ayah yang akak letih. Kenapa tak
tidur? Boleh pulak baca novel,” sindir Wana. Geram dengan
sikap kakaknya yang masih tidak mahu berterus terang.
Sedangkan dia sendiri sudah tahu, dengan hanya melihat
seraut wajah kakaknya yang seperti sekarang ini.
Novel ditutup. Memang Dhia tidak dapat
menyembunyikan apa yang sedang dia fikirkan sekarang ini.
Ternyata, Wana seorang adik yang sangat memahami. Apa
yang dikatakan oleh Wana memang tidak dapat disangkal.
Benar, memang itu yang sedang meruntun fikirannya.
“Tak tahulah, akak perlu tanya Wana atau tak. Tapi,
akak rasa... akak perlu jugak tanya. Memandangkan adik akak
ni pun dah besar dan dah boleh faham... jadi, apa pendapat
adik?” tanya Dhia dengan harapan Wana dapat membantunya
dalam membuat keputusan.
“Pendapat yang macam mana?” soal Wana kembali.
Masih tidak faham.
“Maksud akak, kalau Wana di tempat akaklah. Wana
akan setuju atau tak?”
“Ee, mestilah tak setuju! Gila apa nak bertunang dan
berkahwin dengan lelaki yang sendiri tak pernah kenal?” kata
Wana, yakin.
Dhia terdiam. Cuba mencerna kata-kata Wana itu.
Betul jugak. Takkan dia hendak bertunang dengan orang
yang dia sendiri tidak kenal. Nama dia, asal usul dia, sikap dia
dan semualah!
“Tapi, itu jawapan adik kalau adik di tempat akak.
Adik rasa, akak tak kisah kan kalau tak kenal dengan lelaki
tu sekalipun?”
“Entahlah,” balas Dhia ringkas. Dia masih
memikirkan kata-kata adiknya sebentar tadi.
“Aik, entah pulak? Habis tu sebelum ni, akak berani
pulak serah bulat-bulat pada mak dan ayah untuk buat
keputusan? Nasib baik tau, mak dengan ayah mahu lagi
tanya akak. Kalau tak? Urm... kahwinlah dengan duda tu,”
ujar Wana. Novel yang dibaca oleh kakaknya diambil dan
dibelek-belek.
“Memanglah semua akak serah pada mak dan ayah.
Tapi, tak sangka pulak yang nak ditunangkan dengan akak tu
berstatus duda,” kata Dhia. Terfikir jugak dia, macam mana
ayah dan mak boleh terima anaknya untuk ditunangkan
dengan lelaki yang pernah berkahwin?
“Dah tu, kenapa tak cakap terus aje tadi yang akak
tak setuju? Boleh pulak nak fikir-fikir. Buat sakit otak aje.”
“Sebab akak tak naklah hampakan mak dengan ayah.
Mereka sendiri cakap mereka setuju. Cuma tunggu jawapan
akak aje,” jawab Dhia yang tidak mahu menghampakan
harapan kedua orang tuanya yang sudah lama menunggunya
untuk berkahwin.
Wana memusingkan sedikit tubuhnya ke arah Dhia.
“Takpe... adik rasa, mak dan ayah dah ready dengan
jawapan akak. Mereka akan lebih kecewa kalau tengok akak
tak bahagia nanti. Jadi, akak kenalah buat keputusan yang
terbaik untuk diri akak. Yang nak kahwin tu akak, kan?”
nasihat Wana.
Dhia terus tersenyum. Rambut adiknya
digosok-gosok.
“Dah macam pakar motivasilah adik akak ni,”
katanya.
“Tapi kan Wana... punca lelaki tu bercerai, kesian
kan? Mesti dia sedih,” tutur Dhia yang juga merasa simpati
dengan apa yang menimpa lelaki itu.
“Itulah, sedih jugak. Tapi, geram pun ada. Tak
sangka ada perempuan macam tu dalam dunia ni. Siapalah
agaknya dia. Memalukan kaum aje. Piiirah! Boleh blahlah
perempuan macam tu.”
Dhia tiba-tiba tersenyum sendiri. Ada sesuatu yang
bermain dalam kotak fikirannya dan terus tersangkut dalam
hati.
“Akak rasa mesti lelaki tu baik. Macam-macam isteri
dia buat, tapi dia sabar aje.”
Wana membulatkan matanya.
“Mana akak tahu lelaki tu baik? Kita dengar cerita
di sebelah pihak aje tau. Betul ke tidak, kita sendiri tak pasti.
Akak tu kenal pun tidak, apatah lagi berjumpa. Dah dapat rasa
yang dia tu baik?” Hairan betul dia dengan sikap kakaknya
yang senang sangat percayakan orang.
Dhia merebahkan tubuhnya. Selimut yang
membaluti kakinya tadi kini ditarik sampai ke paras pinggang.
“Erm... mungkin inilah yang dikatakan jodoh.
Strong instinct. Akak rasa macam tertarik tau,” ujar Dhia.
Terus terlopong mulut Wana. Betulkah apa yang dia
dengar ini?!
“Jodoh? Akak terima ke?” Wana meminta kepastian.
Didekatkan lagi wajahnya untuk melihat muka kakaknya
yang menghadap ke arah bertentangan.
“Aik, dah tidur?” tanya Wana sendiri.
“Sudahlah... akak nak tidur ni. Sebelum keluar,
tolong tutup lampu bilik ya. Terima kasih.” Pesan Dhia
dengan mata yang sudah pun dipejamkan.
Wana mendiamkan diri. Takut untuk mendesak
kakaknya. Nanti, tidak pasal-pasal dapat penampar maut.
Selepas mengambil barangnya dan menutup lampu,
Wana keluar dari bilik. Pintu ditutup perlahan agar tidak
mengganggu tidur kakaknya yang keletihan.
Dhia membuka mata setelah pasti Wana sudah
betul-betul keluar dari kamarnya. Biliknya kini sudah
gelap gelita, cuma ada sedikit cahaya bulan menyelinap
masuk melalui tingkap. Sukar untuknya melelapkan mata.
Perasaannya sudah mula berbelah bahagi.
'Kenapa susah untuk aku buat keputusan? Bukan
ke kalau dah tak mahu tu cakap aje tidak. Kenapa sewaktu
Epol datang meminang aku dulu, senang aje aku tolak? Ke
memang aku ni dah terdesak nak kahwin?' Dhia bermonolog
sendiri.

No comments:

Post a Comment