“BETUL ke gelang tangan kau jatuh, Tiara?”
Yana tertunduk-tunduk mencari gelang tangan emas milik
Tiara.
“Betullah. Aku ingat lagi. Masa aku ikat rantai tayar
motosikal aku tu, ada lagi tapi….” Tiara berdiri tegak dengan
wajah serius. Sahlah gelang dia jatuh tadi. Dia yakin lelaki
berjaket tadilah punca gelang tangannya itu terjatuh. Tapi,
sama ada lelaki tadi yang mengambil gelang itu ataupun
tidak, Tiara tidak pasti.
“Macam mana ni, Tiara? CCTV tu pun tak menghala
ke tempat ni. Kalau tak, boleh juga kita tengok siapa yang
ambil gelang tangan kau tu.”
“Tak apalah Yana. Dah tak ada rezeki aku agaknya,”
Tiara akhirnya mengakhiri pencariannya. Tak guna dia
mencari benda yang tak mungkin lagi dia dapat.
“Kau orang buat apa ni?” soal Hisham yang tiba-tiba
muncul. Sudah lama dia menunggu agar sama syif dengan
Tiara, dan akhirnya termakbul juga hasratnya itu. Kalau
nak harap Tiara yang satu syif dengan dia, memang tak ada
peluanglah. Pekerja separuh masa seperti Tiara dan Yana
memang diletak pada syif malam sahaja.
“Ge….”
“Tak ada apalah. Cuma nampak katak besar aje tadi,”
cepat-cepat Tiara memangkas cakap Yana. Malas dia hendak
bercerita tentang kehilangan gelangnya itu kepada sesiapa.
Yana memandang Tiara dengan wajah hairan. Apa
salahnya jika Hisham tahu? Kan lebih elok kalau ramai
yang tahu. Sekurang-kurangnya senanglah orang hendak
membantu.
“Hurm… ingatkan apalah tadi. Errr… Tiara, kau dah
nak balik ke?” Hisham teringin hendak berbual-bual dengan
Tiara lebih lama.
“Aku balik dululah Tiara,” Yana yang boleh membaca
air muka Hisham terus meminta diri. Di tempat kerja, semua
orang tahu Hisham sukakan Tiara. Tetapi Tiara tidak pernah
memberi tindak balas. Yana mengeluh dalam diam. Dia
terus berjalan ke arah motosikalnya dan tidak beberapa lama
kemudian, deruan enjin motosikalnya memecah kesunyian.
Tinggallah Tiara dan Hisham masing-masing
berdiam. Tiara memandang Hisham sepintas lalu. Kali ini
rasanya dia perlu berterus terang sahaja kepada Hisham.
“Hisham, sebelum kau nak cakap apa-apa ni, lebih
baik aku jelaskan satu perkara pada kau,” luah Tiara.
Hisham menelan air liurnya. Dia seakan sudah boleh
membaca ayat apa yang akan keluar dari mulut Tiara.
“Hisham, aku suka berkawan dengan kau. Sebab tu
aku tak kisah kau usik aku selama ni. Tapi aku minta maaf
sebab rasa suka aku pada kau tu tak lebih sebagai seorang
rakan sekerja. Aku harap kau faham,” jelas Tiara. Dia yakin
Hisham dapat mendengar kata-katanya itu dengan jelas
kerana hanya mereka berdua sahaja di situ.
“Tapi….”
Tiara menoleh ke arah Hisham apabila terdengar
temannya itu bersuara.
“Tak apalah Tiara. Kalau kau dah cakap macam tu,
aku terima ajelah. Walau bagaimanapun, aku tetap berharap
kau akan buka pintu hati kau untuk aku suatu hari nanti,”
luah Hisham sambil berlalu pergi. Dia sebenarnya sudah
malu hendak menghadap wajah Tiara.
Tiara hanya dapat melepaskan satu keluhan kecil.
Tanpa membuang masa, dia terus menunggang motosikalnya
dan pulang ke rumah.
‘Aku tak mungkin bercinta lagi, Hisham. Aku malas
nak dengar perkataan tu dan malas nak fikir pasal tu lagi.
Dosa aku yang dulu tu pun mak aku tak maafkan aku lagi. Ini
pula nak cari dosa baru. Aku rela tak bercinta lagi kalau mak
aku nak aku hidup macam tu. Yang utama bagi aku sekarang
ni ialah keampunan mak aku. Selagi mak aku tak maafkan
dosa-dosa aku tu, aku tak akan buka pintu hati aku ni buat
sesiapa pun.’
Tiara menunggang motosikalnya perlahan pulang
ke rumah. Dia tahu sejak dari dulu lagi Hisham menyimpan
perasaan terhadapnya. Dan kerana itulah dia tidak mahu
terlalu rapat dengan Hisham. Tiara hanya menegur Hisham
apabila ada keperluan sahaja. Jika tidak ada perkara yang
hendak dibualkan, Tiara lebih suka menutup mulut.
Setibanya Tiara di pekarangan tempat letak
motosikal di bawah flat, Tiara terpandangkan seseorang.
‘Pak Cik Salleh tu,’ bisik Tiara dalam hati. ‘Hai,
tak balik rumah lagi ke orang tua ni?’ Tiara menggeleng
kepalanya. Seteruk mana pun bapa tirinya itu bekerja,
selewat mana pun Salleh balik, tetap juga tidak membawa
hasil. Salleh kerjanya hanya bawa teksi. Kerja pula tak jauh
mana. Kadang-kadang ikut mood. Kalau hari ini dia rajin,
maka bergeraklah teksi sewanya itu. Tetapi kalau dia malas,
maka terbongkanglah di rumah menonton televisyen. Tiara
menghela nafas lemah.
Tiara bukan tidak suka dengan Salleh, tetapi sikap
Salleh itu yang Tiara kurang berkenan. Cerewet Salleh itu
kalau bab makan memang buat Tiara sakit hati. Makan mahu
yang sedap-sedap tetapi bab cari duit semuanya digalas Tiara
seorang diri. Entah ke manalah hilangnya duit gaji Salleh
selama ini. Asal hujung bulan sahaja minta kepadanya.
Tiara tidak menghiraukan Salleh yang sedang
bersembang dengan dua orang lelaki di tepi teksinya. Lif yang
sedia terbuka terus dimasuki.
“Mak tak pernah nak marah pak cik tu! Orang tua tu
malas kerja mak buat tak tahu saja. Tapi aku…” Tiara geleng
kepala. Mana boleh dia bandingkan dirinya dengan suami
emaknya itu. Dia dibenci emak tetapi pak cik... emak sayang.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Tiara terus meluru ke
biliknya.
“Ya Allah,” Tiara menutup pintu biliknya perlahan.
Dia terduduk lemah di atas katilnya. Almari baju arwah
anaknya sudah tiada lagi di tempatnya. Semua mainan Chi
Cha dan baju-bajunya sudah licin dikaut emak. Tak ada satu
pun yang emak tinggalkan.
Tiara geleng kepala lalu menangis teresak-esak.
Mulanya Tiara fikir dia kuat menerima situasi itu, namun
ternyata sukar dan memeritkan. Malam itu, Tiara terlentok
bersama juraian air mata yang tidak henti-henti. Satu per
satu kenangan bersama Chi Cha datang mencuit perasaannya.
Sudah tidak terfikir lagi oleh Tiara akan kerja barunya esok
pagi.
SYED WAFI menarik keluar seutas gelang tangan emas
dari poket jaketnya. Tertera huruf ‘T’ pada loket berbentuk
hati yang tergantung pada gelang tangan itu. Syed Wafi
mengayun-ayun gelang tangan itu di hadapan matanya.
“‘T’ ni pangkal nama dia ke? Hurm… confirmlah
ni!” Syed Wafi sangat yakin dengan tekaannya. Dia bersandar
sambil menyilangkan kaki di sisi motosikal besarnya. Lampu
kelap-kelip yang terpancar dari dalam pub menaikkan lagi
seri gemilap gelang tangan itu.
“Hoi hoi hoi, bro. Apa hal kau duduk bertenggek
dekat sini ni, hah? Dekat dalam tu, kawan-kawan kita semua
dah tunggulah. Jomlah!” Khalid terhuyung-hayang datang
merempuh Syed Wafi dengan tiba-tiba.
Akibatnya, gelang tangan yang dipegang Syed Wafi
tiba-tiba tercampak jatuh.
“Isy! Apa hal kau ni, hah? Kalau dah mabuk tu
duduk diam-diam ajelah!” marah Syed Wafi. Cepat-cepat
Syed Wafi mencari gelang tangan yang terjatuh di tepi tayar
motosikalnya. Mujurlah dia dapat menjumpai semula gelang
tangan itu. Kalau tidak, mahu sahaja dia debik muka Khalid.
Sakit betul hatinya dengan tindakan Khalid tadi.
Khalid yang masih terhuyung-hayang sedikit
terkejut dengan suara garang Syed Wafi. Biarpun kepalanya
sedikit pening tetapi dia dapat melihat dengan jelas seutas
gelang emas yang dipegang oleh Syed Wafi.
“Sorrylah bro. Eh, jomlah masuk. Lily tu dah lama
tunggu kau kat dalam. She missed you like crazy, crazy,”
Khalid terus merangkul tengkuk Syed Wafi dan menarik
temannya itu masuk ke dalam kelab malam.
Syed Wafi tersenyum lucu mendengar nyanyian
mabuk temannya. Tanpa menolak, Syed Wafi terus mengayun
langkahnya memasuki kelab malam. Dari kejauhan Syed
Wafi sudah nampak kelibat gadis yang disebut namanya oleh
Khalid tadi. Syed Wafi tersenyum dan terus mendekati Lily.
“Hai…” Syed Wafi merangkul pinggang ramping
Lily dan terus mengucup pipi gadis itu.
Lily rasa seronok dan teruja dengan layanan Syed
Wafi terhadapnya. Tetapi dia tetap menyembunyikan rasa
gembira itu. Dia mahu mendengar permohonan maaf
daripada Syed Wafi terlebih dahulu. Sejak beberapa hari lalu
Syed Wafi langsung tidak muncul. Malah apabila dia cuba
menghubungi lelaki itu, Syed Wafi langsung tidak menjawab
panggilannya.
“Wafi, I missed you.” Lily meletakkan kedua belah
pergelangan tangannya di atas bahu Syed Wafi. Dia merenung
tepat wajah Syed Wafi yang licin dan putih.
Syed Wafi menyelak lembut rambut Lily yang
terjuntai jatuh lalu menyelitnya ke telinga Lily. Bau minyak
wangi Lily kuat menusuk masuk ke rongga hidungnya. Waktu
ini tak ada perkara lain yang dia inginkan daripada gadis itu.
Tubuh ramping Lily yang rapat bergesel dengan tubuhnya itu
membuatkan dia hilang arah.
“You nak I buat apa?” bisik Syed Wafi ke telinga Lily
sambil tersenyum penuh makna. Sempat dia mengerling
Khalid yang memandang ke arahnya. Temannya itu
menunjukkan tanda bagus kepadanya dengan menggunakan
ibu jari tangan.
“Apa kata kita minum-minum dulu. After that, you
can do anything you wish honey,” balas Lily perlahan ke
cuping telinga Syed Wafi. Suaranya yang manja dan menggoda
itu diharap berjaya menggoyahkan nafsu Syed Wafi .
Syed Wafi tersenyum dan terus menarik Lily ke
dalam rangkulannya. Malam itu seperti biasa, Syed Wafi
menyerahkan dirinya kepada gadis yang dikenalinya sejak
dua tahun lalu... Lily, pelajar kolej swasta yang dikenalinya di
kelab malam itu. Anak orang kaya dan berpengaruh. Namun
entah di mana silapnya, Lily hanyut seperti dia juga. Setiap
malam, mereka pasti menghabiskan masa bersama tanpa
memikirkan dosa dan pahala.
Syed Wafi dan Lily tenggelam jauh ke lembah
hitam berkarat. Meninggalkan agama yang dianuti secara
keturunan, melupakan segala ilmu akidah dan akhlak yang
selama ini menjadi ajaran dan pegangan. Menurut semua
bisikan syaitan durjana yang tak ada lain kerjanya kecuali
menyesatkan keturunan Adam.
Syed Wafi tak pernah kisah, tak pernah hairan
dengan semua itu. Yang penting, dia mahu relakskan
otaknya. Merehatkan tubuh badannya yang keletihan kerana
kerja yang tak habis-habis di pejabat. Dan insan yang mampu
membuang semua penat jerih itu tak lain dan tak bukan
hanyalah Lily seorang.
Setelah puas melayan teman-teman dan meneguk
minuman keras tanpa rasa bersalah, akhirnya Syed Wafi
dan Lily keluar dari kelab malam itu. Biarpun jam sudah
menunjukkan angka 2.30 pagi. Namun jalan-jalan di kota
masih lagi sibuk. Bagaikan tak akan berpenghujung malam
itu.
No comments:
Post a Comment