DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 15

TERASA sejuk tangannya saat sebentuk cincin
belah rotan disarung kemas pada jari manisnya. Anatasya
tunduk mencium tangan Mak Cik Shima. Terasa
kepalanya diusap lembut. Waktu itu, rasa sebak tidak
dapat dibendung lagi. Kolam matanya berkaca-kaca.
Teringat akan arwah ibu yang telah lama pergi
menghadap Illahi. Alangkah indahnya perasaan
sekiranya arwah ibu masih ada dan menyaksikan majlis
pertunangannya ini.
“Tasya…” Lembut Shima memanggil. Risau pula
dia apabila terdengar esakan halus Anatasya.
Anatasya mengangkat kepala. Hujung jarinya
menyapu air mata di pipi. “Sabar, sayang…” Bahu gadis
itu diusap-usap perlahan, faham dengan apa yang
bergolak di jiwa Anatasya.
Anatasya memalsukan seulas senyuman kala
lensa kamera terhala ke wajahnya. Dari jauh, dia dapat
melihat Naqiu sedang merenungnya. Dibetulkan duduk
yang tiba-tiba terasa kekok. Ketika lelaki itu datang
menghampirinya untuk bergambar, Anatasya merasakan
jantungnya berdegup kencang tanpa arah. Nafas ditarik
dalam-dalam. Naqiu tidak boleh tahu perasaannya ketika itu.
“Thanks, sayang… for this lovely day,” bisik
Naqiu rapat di telinga Anatasya. Ucapan yang luhur untuk
gadis itu seorang.
Anatasya terpaku tanpa kata. Senyuman Naqiu
buat rakaman kamera dipandang sekilas. Hatinya
tersentuh. Benarkah lelaki itu gembira dengan
pertunangan ini? Benarkah lelaki itu mencintainya?
Benarkah?
Anatasya tertunduk. Air jernih di birai mata
dikesat lagi.
“Senyum, sayang…” pinta Naqiu lembut. Dia
tersenyum manis.
Anatasya memaksa bibir untuk tersenyum.
Melihat ketenangan yang terpancar pada wajah lelaki itu,
hatinya terasa dingin. Ya Allah… apa maksud semua ini?
ORANG ramai yang memenuhi kawasan rumah Anatasya
mula beransur pulang. Begitu juga dengan ahli keluarga
pihak lelaki. Anatasya di biliknya sedang termenung.
Merenung cincin pertunangan yang tersarung kemas
pada jari manisnya. Tiba-tiba, setitis air mata gugur
mengenai cincin itu.
“Tasya!”
Anatasya berpaling. Kelihatan Sarah sedang
tercegat di depan pintu biliknya. Anatasya bangkit dan
meluru ke arah Sarah yang baru tiba. Sarah memeluk
tubuh Anatasya erat. Membiarkan Anatasya menangis
semahunya di bahunya.
“Sorry lambat. Aku baru balik kerja. Kau okey?”
Tanya Sarah perlahan.
Anatasya mengangguk dalam tangisan. “Aku
tak sangka… sekarang aku dah jadi tunang dia. Kenapa
semua ni mesti jadi, Sarah?” Tangis Anatasya sayu.
Sarah mengusap-usap belakang Anatasya.
“Sabar, Tasya. Jangan menangis macam ni. Insya-Allah
aku yakin… semuanya akan okey. Bukan ke dulu kau
selalu cakap kat aku, semua yang terjadi tu atas izin
Allah? Kalau dah memang jodoh kau dengan dia, kau
tetap akan kahwin dengan dia juga nanti.” Lembut suara
Sarah meresap masuk ke lubuk hati Anatasya yang
paling dalam.
Anatasya mengangguk. Menyedari kebenaran
kata-kata Sarah. Dia tidak berhak mempertikaikan
ketentuan Allah. Segala yang terjadi pasti bersebab.
Dan dia harus yakin akan ada hikmah yang tersembunyi
di sebalik semua ini.
“Sarah…”
“Ya?” Sarah meleraikan pelukan. Sepasang mata
Anatasya yang basah itu direnung dalam-dalam.
Anatasya menghembus nafas lemah. “Aznur?”
Nama yang meniti di bibir Anatasya itu
membuatkan Sarah mengeluh panjang. “Entahlah, Tasya…
Aku masih tak tahu mana dia sekarang,” jawabnya penuh
rasa hampa.
“Kalau dia tahu hari ni aku bertunang dengan
Naqiu, macam mana?” Berkaca mata Anatasya membalas
renungan Sarah.
Sarah menggenggam jari-jemari Anatasya.
“Insya-Allah takkan jadi apa-apa. Kita sama-sama dah
dewasa. Dah boleh nilai mana baik dan mana buruk.
Kalau pun Aznur tahu, aku yakin dia takkan marah
membabi buta,” ujarnya cuba menenangkan hati
Anatasya. Dia juga merasai apa yang Anatasya rasa
saat itu.
Anatasya diam. Benarkah begitu? Jika benar,
dia hanya mampu berdoa semoga Aznur tetap boleh
memaafkannya andai berita pertunangannya ini sampai
ke pengetahuan gadis itu apabila mereka bertemu satu
hari nanti.
“AKU rasa kau kenal aku lagi, kan?” Sarah bertanya sambil
melabuhkan duduk di depan Naqiu yang sedang
merenungnya tanpa kelip. Dia yang menelefon lelaki
itu dan menyatakan hasrat mahu bertemu kerana ada
perkara penting yang perlu dibincangkan.
Naqiu mengangguk. “Kenal. Kau Sarah… kawan
baik Tasya…” balasnya dengan lagak tenang.
“Baguslah kalau kau tahu aku ni kawan baik Tasya.
Jadi maknanya kau sedarlah yang aku tak nak tengok
kawan baik aku sedih lagi sebab kau…” tekan Sarah serius.
Dia mahu berdepan dengan Naqiu, mahu melihat sendiri
sejauh mana kesahihan yang lelaki itu sudah berubah
menjadi lelaki yang lebih baik.
Naqiu tersenyum nipis. “Kau tak payahlah risau.
Aku dah janji dengan dia yang aku takkan sia-siakan dia
lagi,” ujarnya bersama keyakinan yang bukan sedikit.
“Dulu pun kau janji juga. Janji yang kononnya kau
nak bahagiakan dia. Lepas tu, apa yang tinggal? Nothing!”
Ungkit Sarah.
Terus mati senyuman di bibir Naqiu. Tajam
renungannya merenung wajah Sarah. Sebentar kemudian
dia menghembuskan nafas panjang sambil tersandar di
kerusi. “Aku tahu aku dah buat salah. Tulah kesalahan
paling bodoh yang pernah aku buat. Sebab tu sekarang aku
nak tebus balik semua tu. Aku tak minta banyak. Aku cuma
minta Tasya bagi aku peluang kedua. Biar aku buktikan
yang aku betul-betul sayang dia.”
“Betul kau sayang dia?” Tekan Sarah lagi belum
puas hati.
“Betul. Mungkin dah terlambat kalau aku mengaku
sekarang, tapi tolonglah percaya… aku tak tipu…” luah
Naqiu penuh perasaan.
Hati Sarah disentuh perasaan terharu mendengar
luahan Naqiu itu. Dia dapat melihat sinar keikhlasan dari
sepasang mata milik Naqiu. “Betul kau tak tipu, kan?”
“Aku berani bersumpah!” Naqiu mengangkat
tangan kanannya. Berikrar.
Sarah tersenyum. “Baguslah. Lega aku dengar…”
Naqiu mengerutkan muka. Tadi bukan main lagi
garang wajah gadis di depannya itu. Sekarang senyum
sampai nampak gigi.
“Sorrylah kalau tadi aku serius sangat. Bukan
apa… aku cuma nak pastikan yang kau tak menipu,” jelas
Sarah sambil tersengih. “Tapi ingat, kalau kau sia-siakan
kawan baik aku tu, aku berani jamin yang kau akan hilang
Tasya sampai bila-bila!” Sarah separuh mengugut. Sekadar
untuk menyedarkan Naqiu agar tidak mensia-siakan
Anatasya lagi.
Naqiu mengangkat tabik. “Baik, bos!” Sekejap saja
dia sudah mesra dengan Sarah.
Sarah ketawa kecil.
“Sebenarnya, aku dah mula sedar yang aku dah
hilang orang yang paling aku sayang lepas Aznur serang
aku dulu.” Naqiu membuka cerita tiba-tiba.
Sarah mengerutkan muka. Tidak faham. “Aznur
serang kau? Bila? Kenapa aku tak tahu pun?” Bertalu-talu
soalan yang diajukan. Aznur serang Naqiu? Biar betul!
Naqiu turut mengerutkan muka. “Kau tak tahu?
Aikk… bukan kau dengan Tasya ke yang suruh dia serang
aku?”
“Aku dengan Tasya suruh dia serang kau? Apa kau
mengarut ni? Kau tahu tak, Aznur dengan Tasya perang
besar lepas kau jalinkan hubungan dengan Tasya?”
Sarah menguatkan suaranya dengan mata membulat.
Naqiu tercengang-cengang. “Err… ya ke? Tapi…”
Serba salah dia dibuatnya.
Sarah mengeluh. Nampaknya, ada sesuatu yang
dia tidak tahu berkenaan Aznur dan Naqiu satu masa dulu.
“Bila Aznur serang kau?” Soalnya meminta kepastian.
“Hmm… sehari lepas aku dengan Tasya…” Ayat
Naqiu tergantung di situ. Tidak sanggup menyambungnya
lagi.
Kening Sarah terjongket. Waktu yang Naqiu
maksudkan itu, Aznur sudah pun pindah keluar dari rumah
sewa mereka. Sungguh dia tidak menyangka yang Aznur
pergi mencari Naqiu untuk membalas ‘dendam’ bagi pihak
Anatasya. Sudahnya, keluhan lemah terlepas dari mulut.
“Aku sangkakan kau dengan Tasya yang suruh dia
serang aku. Rupanya-rupanya, kau pun tak tahu apa-apa…”
keluh Naqiu pula. Teringat saat penumbuk Aznur melayang
ke mukanya. Ternyata, gadis itu punya penumbuk yang
boleh tahan kuatnya.
“Tapi baguslah juga. Kalau Aznur tak serang kau,
mungkin kau tak sedar sampai sekarang. Thanks to her!”
Balas Sarah. Kemudian dia tersengih lucu dan akhirnya
ketawa berdekah-dekah.
Naqiu turut mengukir senyuman.
ANATASYA menyedut minuman di depannya. Alia dan
Mawaddah yang sedang rancak menyanyah langsung
tidak dilayan. Otaknya sibuk memikirkan perkara lain
sehingga lawak bodoh yang dibuat kedua-dua rakannya itu
tidak dihiraukan. Malah, langsung tidak sedar yang mereka
berdua sedang membuat jenaka.
“Tasya dah tunang. Lepas ni bolehlah kita pergi try
Doktor Rusdi tu. Nak tak, Dah?” Alia menongkat dagu
sambil mengerdipkan mata ke arah Mawaddah. Gaya
perempuan gatal.
“Doktor Rusdi?” Mawaddah terkejut. “Tak naklah
aku. Dia tu nampak nerd sangatlah.” Tergeleng-geleng
kepalanya dengan bibir memuncung.
Ketawa Alia meledak mendengar ayat Mawaddah
itu. “Haahlah, kan? Doktor memang macam tu. Eh tapi, aku
rasa okey aje. Sesuai dengan kau,” ujarnya dan ketawa lagi.
Mawaddah menjelir. Dia berpaling memandang
Anatasya yang hanya diam. “Tasya, kenapa senyap aje ni?”
Tegurnya.
Anatasya tersentak. Terus terbang melayang
khayalannya tadi. “Hmm? Tak ada apalah,” dalihnya
dengan kepala tergeleng-geleng. Bibir dipaksa untuk
mengukir sebaris senyuman.
“Tasya tengah berangankan tunang dia kut,” usik
Alia dengan senyuman mengena.
Mawaddah tergelak. “Boleh jadi jugak tu. Tunang
dia kan handsome,” sahutnya. Seronok pula dapat mengusik
Anatasya. Selalunya, hanya gadis itu yang selalu
mengenakannya. Biar kali ini dia pula yang terkena.
“Muka handsome, tapi hati busuk buat apa?” ujar
Anatasya tiba-tiba.
Serentak Alia dan Mawaddah berhenti ketawa.
Masing-masing berkerut dahi. “Kenapa kau cakap macam
tu? Tak baiklah kau ni!” marah Alia.
“Entah. Aku tahulah kau anti dengan lelaki.
Tapi janganlah sampai tunang kau pun kau cop macam tu.
Tak baik tau?” sokong Mawaddah pula.
“Lepas ni kan kau dah nak kahwin dengan dia.
Takkanlah lepas kahwin nanti kau masih nak benci dengan
dia juga? Teruklah macam tu.” Alia terus-terusan memberi
nasihat.
Anatasya tayang muka kayu. Katalah apa saja,
hakikatnya Alia dan Mawaddah tidak pernah tahu apa yang
dirasakan selama ini. Sebuah rahsia yang tersimpan kemas
di sudut hati tidak akan dapat dibaca oleh sesiapa pun. Dan
biarlah semua itu terus kekal sebagai rahsia tanpa perlu
dibongkar kembali.

No comments:

Post a Comment