DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 5

SYED Wafi duduk di atas motosikalnya sambil
memandang tepat ke arah seorang gadis. Gadis bertubuh
kecil dan lebih rendah daripadanya lengkap berpakaian
seragam berwarna biru itu sedang melangkah laju menuju ke
arah tempat letak motosikal. Syed Wafi mengerling deretan
motosikal yang terparkir. Sah! Gadis itu menunggang salah
sebuah motosikal di situ. Semakin gadis itu menghampiri
tempat itu, semakin jantungnya berdegup laju dan darahnya
mula gemuruh.
‘Cis! Dah kenapa dengan aku, ni? Kenapa aku rasa
macam pelik ni?’ Syed Wafi meramas-ramas jari-jemarinya.
Syed Wafi merenung betul-betul wajah gadis
berpakaian seragam itu. Dia tidak berani meluru kerana
bimbang tersalah orang. Kepastian itu perlu demi air
mukanya. Kalau dia main sergah saja, takut pula tersalah
orang. Syed Wafi memerhati dengan penuh teliti dan
akhirnya.... ‘Sah! Dialah orangnya. Jaga kau!’
Tiara meraba-raba ke dalam beg galas mencari
kunci motosikalnya. Setelah berjaya mencapai kunci, Tiara
terus menghidupkan enjin motosikal. Namun tiba-tiba
dia mematikan semula enjin motosikalnya lalu membuka
tempat duduk. Ada sesuatu di bawah tempat duduk itu yang
membuatkan hati Tiara tidak senang.
“Ya Allah,” Tiara mengeluarkan plastik merah yang
berisi telefon mainan berwarna merah jambu. Gambar Dora
dan monyetnya terpampang di hadapan telefon mainan itu.
‘Sampai sudah pun Chi Cha tak dapat main telefon
mainan ni. Chi Cha, kakak minta maaf dik. Kalaulah kakak
ingat, bolehlah adik main telefon ni.’ Tiara mencangkung di
tepi motosikalnya kerana tidak mampu menahan sebak dan
tangis.
“Bangun!” jerkah Syed Wafi sambil mencekak
pinggangnya.
Tiara betul-betul terkejut mendengar pekikan suara
seorang lelaki. Cepat-cepat dia menyapu air matanya dan
bangun menghadap lelaki itu. Berkerut dahi Tiara apabila
melihat lelaki bertopi keledar bertulis Arai sedang bercekak
pinggang di hadapannya.
“Kenapa ni?” soal Tiara tidak faham.
“Kenapa kau tanya? Hei! Aku yang patut tanya kau,
tahu tak!”
Tiara tidak faham dengan isi percakapan lelaki
tersebut. Dia menggenggam kuat telefon mainan arwah
Chi Cha. Dalam hati, Tiara agak takut namun dia cuba
memberanikan diri. Manalah tahu kalau lelaki ini mabuk
seperti lelaki yang pernah ditumbuknya dulu.
“Kenapa kau tumbuk muka aku hah?”
Berkerut dahi Tiara mengimbas kembali mana-mana
kejadian yang menyebabkan dia menumbuk seorang lelaki.
Dia merenung wajah lelaki di hadapannya.
“Rupanya…,” luah Tiara perlahan.
Syed Wafi menggenggam penumbuknya kuat-kuat.
Giginya dikacip beberapa kali. Sungguh dia geram dan sakit
hati. Matanya besar dan bulat merenung tajam pada telefon
mainan yang sedang dipegang oleh gadis di hadapannya.
Tiba-tiba….
“Ah?” Tiara terkejut dan tergamam apabila lelaki
berjaket hitam itu tiba-tiba merampas telefon mainan yang
dipegangnya. Darahnya menyirap dan serta-merta naik ke
muka. Kalaulah darah itu boleh terkeluar melalui liang roma,
agaknya sudah lama terpancut-pancut membasahi bumi.
“Bagi balik!” tegas, namun perlahan suara Tiara.
“Ambil ni!” dengan segala perasaan tidak puas hati
dan marah, Syed Wafi tiba-tiba membaling telefon mainan
itu jauh ke tengah lebuh raya. Dia tersenyum sinis kerana
berjaya membalas dendamnya.
Tiara terjegil besar melihat telefon mainan itu
melantun-lantun di atas jalan. Hatinya hancur berkecai
apabila sebuah kereta datang dan meremukkan mainan
itu. Tanpa membuang masa, Tiara terus melangkah ke tepi
lebuh raya dan merenung telefon mainan yang sudah tidak
berfungsi. Air mata mengalir laju di pipi. Tiara menoleh ke
arah lelaki yang sudah siap berada di atas motosikal besarnya.
“Padan muka kau! Nasib baik tu telefon mainan aje.
Baru puas hati aku! Esok-esok kau belilah balik telefon mainan
yang tak seberapa tu, ya.” Syed Wafi terus menghidupkan enjin
motosikalnya. Dia sudah bersiap sedia hendak meninggalkan
kawasan rehat sebelah tol itu. Namun….
Tiara berlari selaju yang boleh ke tengah lebuh
raya. Sudah tidak dipedulikan lagi hon-hon kenderaan yang
berbunyi kuat memberi amaran kepadanya. Selagi dia tidak
dapat mengutip kembali telefon mainan Chi Cha, hatinya
tidak puas. Dia tidak sanggup membiarkan telefon mainan
itu berkecai di atas jalan.
Entah kenapa bayangan Chi Cha merengek mencari
telefon mainan itu tiba-tiba muncul. Waktu ini Tiara hanya
menyerah takdirnya kepada Allah. Jika dia mati kerana
dilanggar kereta atau apa sahaja kenderaan yang tiba, dia
reda. Dia lebih rela pergi menemui Chi Cha daripada terus
hidup sengsara tanpa anaknya itu. Tiara mengutip kembali
telefon mainan yang sudah pecah dan berlari semula ke tepi
lebuh raya.
“Kau dah gila ke hah!” jerkah Syed Wafi sambil
berdiri tegak di hadapan Tiara.
Pang!!!
Tiara terus berlalu setelah menghadiahkan sebuah
penampar ke pipi lelaki berjaket hitam. Tanpa berpaling, Tiara
terus menunggang motosikalnya meninggalkan pekarangan
tempat letak kenderaan. Beberapa orang pekerja tol yang
memanggil namanya langsung tidak dihiraukan.
Syed Wafi hanya mampu memerhati gadis yang
baru terselamat daripada maut itu berlalu. Pipi yang baru
ditampar kuat itu langsung tidak terasa sakit. Sakit hatinya
lebih teruk daripada pipinya. Dia pelik, kenapa ada gadis yang
rela mempertaruhkan nyawa semata-mata kerana telefon
mainan yang tidak sampai sepuluh ringgit itu?
SYED WAFI terlentang di atas katil. Tapak tangannya
menggosok-gosok pipi kiri. Masih berbirat kulit pipinya itu
hingga kini. Kesan lima jari pun mula terbentuk pada kulit
pipinya yang putih.
“Hari tu dia tumbuk muka aku, hari ni dia tampar
aku pulak.” Syed Wafi menggeleng kepalanya. Sungguhpun
begitu dia masih belum dapat memahami tindakan gadis tadi.
“Dah gila! Dah miskin sangat agaknya kut. Beli
ajelah yang baru. Bodoh!” luah Syed Wafi geram.
“Syed Wafi!”
Syed Wafi yang terkejut terus bangun. Wajahnya
betul-betul berubah keruh apabila melihat Datin Sharifah
tiba-tiba terjengul di muka pintu bilik. Apalah yang umi dia
nak bebel lagi ni?
Datin Sharifah menghampiri Syed Wafi di tepi
katil. Dia berdiri tegak sambil merenung wajah anaknya. Dia
perasan sebelah pipi Syed Wafi merah dan ada kesan tapak
tangan. Hurm… hari tu lebam, hari ni merah pula. Datin
Sharifah tergeleng-geleng.
“Kenapa dengan pipi Wafi tu?” soal Datin Sharifah
serius.
Syed Wafi terus meraba pipinya. Hurm… dah tahu
nak tanya lagi. Dua tiga hari lepas pun umi buat pipi dia ni
merah jugak. Syed Wafi menarik muka masam. Dia masih
berkecil hati dengan tindakan uminya itu. Tidak pernah umi
melempang mukanya selama ini. Kalau dia buat salah pun
umi hanya bebel saja. Tetapi semenjak dia kena tumbuk
dengan gadis tol itu, umi pun dah mula nak sentuh pipinya
juga.
‘Agaknya, virus budak tol tu dan terkena dekat umi
kut? Tapi budak tol tu memang nak mati dengan aku! Nantilah
kau budak tol! Kau jangan ingat kau lempang muka aku, aku
nak biar kau hidup tenang macam tu aje. Kalau ikutkan hati
aku ni, nak aje aku heret kau sampai tengah highway tu.
Tunjuk berani konon!’ bebel Syed Wafi dalam hati.
“Wafi! Umi tanya ni!”
“Huh?” terkejut Syed Wafi mendengar suara nyaring
Datin Sharifah. Terkebil-kebil matanya membalas pandang
mata umi.
Datin Sharifah duduk di sebelah Syed Wafi sambil
menghela nafas. Letih betul dia hendak melayan anak
bongsunya itu. Makin hari semakin pening kepala dibuatnya.
Jika Syed Wafi masih kecil, senang saja hendak mengajar.
Degil-degil sangat bagi rotan saja. Tapi sudah besar panjang
begini ni nak dibuat macam mana lagi?
Syed Wafi langsung tidak menjawab. Dia bukan
sengaja mahu biarkan umi ternanti-nanti jawapannya, tapi
dia tak ada kekuatan hendak memberitahu hal sebenar.
Kalaulah yang menumbuk dan melempang mukanya itu
lelaki atau teman-teman wanita di kelab malam, dia tak kisah
untuk bercerita. Tapi kali ini, memang dia sendiri tak duga.
Syed Wafi memang tak suka menipu umi tak kira
dalam apa jua hal sekalipun. Namun hendak berterus terang
tentang pergaduhannya dengan gadis tol itu, memang Syed
Wafi tidak sanggup. Buat malu muka saja. Dah kenapa pula
dia mesti berkait dengan budak tol bodoh tu? Mesti umi pelik
tak sudah-sudah nanti. Buat pening kepala aje kalau dia cakap
pun.
Sekian lama menunggu, akhirnya Datin Sharifah
mengalah. Dia tahu sangat perangai Syed Wafi. Kalau dah
diam macam tu, mesti Syed Wafi tak nak berkongsi.
“Hurm... baik. Kalau Wafi tak nak beritahu, tak
apa. Umi tak akan tanya lagi. Tapi umi nak pesan pada Wafi,
kalau Wafi betul-betul tak nak berubah dan buat perkara
yang sia-sia lagi, siaplah!” Datin Sharifah bangun dan terus
meninggalkan Syed Wafi seorang diri di dalam bilik.
Syed Wafi bangun dan berjalan ke balkoni. Kata-kata
umi tadi terngiang-ngiang di telinganya.
“Kenapa umi nak kisah sangat dengan hidup aku?
Tak puas hati dekat mana lagi dia dengan aku ni? Nak kata
aku ni suka buat masalah dalam keluarga ni, tak pun. Hal
peribadi aku pun nak masuk campur. Apa yang aku nak
buat, dengan siapa aku nak bergaul, biar aku sendirilah yang
tentukan. Kenapa umi sibuk nak kacau? Huh!” Syed Wafi
berdengus geram.

No comments:

Post a Comment