DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 14

“Apakah kau dah tak sepertiku. Rasa hari-hariku
tak menentu. Bagaikan lilitan terikat dijantungku.
Terasa sungguh”
(Aku Rindu Sayang Kamu – Black)

GELAGAT seorang pelancong asing yang
keciciran barang dirakam dari jauh. Melalui lensa telefoto
yang boleh zoom subjek dari jarak jauh itu banyak aksiaksi
candid diperolehi. Aisara rasa bebas dan puas dapat
mengetik kamera di tangannya sesuka hati. Apa saja yang
dirasa menarik, akan dirakam. Sesekali dia memaksa
Melisa menjadi model di hadapan kameranya, Melisa yang
sudah biasa beraksi tidak kaku seperti kayu lagi. Aksinya
setaraf model profesional.
“Cik Ai, jomlah balik. Nanti kita lewat masuk
mesyuarat,” ajak Melisa sambil melihat jam di tangannya.
Beg yang berisi sebuah lagi kamera bersama beberapa buah
lensa tambahan disandang kemas. Tali dari beg tangan
Aisara yang turut disandangnya dibetulkan ke bahu,
agar tidak melorot ke lengan. Agak berat juga membawa
semua itu ke sana ke mari. Namun tubuh kurus Melisa masih
mampu menampung.
“Alah, sekejap lagilah. Banyak sangat bahan menarik
saya nak rakam ni,” bantah Aisara masih berdegil mahu
merakam aksi dua orang anak kecil yang berlari-lari di
celah-celah gulungan kain ela dalam sebuah kedai kain.
Melisa duduk mencangkung. Dua jam mengikut
Aisara berjalan tanpa henti membuat dia kelelahan. Menyesal
pula rasa hati kerana tidak mengikut nasihat doktor tadi. Kalau
bercuti pasti dah selamat dia berehat di apartmennya. Tetapi
tidaklah pula dia tahu Aisara akan membuat aktiviti luar hari
ini.
“Cik Ai, jomlah kita balik pejabat,” desaknya lagi.
Aisara menurunkan kamera dari muka. Dia
memandang Melisa yang sedang mencangkung itu. ‘Hish, aku
memang pantang betullah orang merengek-rengek macam
budak kecik ni,’ gumamnya.
“Awak ni lembik betullah. Perempuan zaman sekarang
kena cergas. Bangun,” arahnya geram melihat Melisa
semakin tidak bermaya.
Melisa menarik nafas dan berdiri semula. Perutnya
yang sakit tadi kembali meragam. Inilah akibat memakan
makanan yang tersimpan lama dalam peti sejuk tengah malam
tadi. Andai dirajinkan sedikit dirinya ke mana-mana restoran
pasti tidak begitu jadinya. Benda sudah jadi, kesal pun tidak
berguna.
“Cik Ai, kalau tak nak balik lagi, kita berhentilah
sekejap?” pintanya lemah. Perut yang sakit seperti sudah
meminta tubuhnya merehatkan diri seketika. Berpeluhpeluh
dahinya.
Muka Aisara masam dan mulutnya diherotkan ke
kiri. Pantang betul apabila konsentrasinya terganggu.
“Kamu ni memang menyusahkan betullah,” bebelnya
seraya menjeling begang sebelum meliarkan mata
memerhati keadaan sekeliling. “Kita pergi kafe sana tu,”
arahnya sambil menunding ke seberang jalan. Dahinya
berkerut melihat wajah Melisa.
‘Tadi kata boleh bekerja, sekarang dah nak mati pula!’
gumamnya.
Kerana perutnya sudah semakin sakit terpaksa Melisa
menurut. Dia tidak mahu banyak bercakap lagi.
Sebaik lampu pejalan kaki berwarna hijau, mereka
terus melintas ke seberang jalan. Aisara melangkah laju ke
hadapan meninggalkan Melisa jauh sedikit di belakangnya.
Langkah Melisa semakin perlahan. Dia tidak larat lagi. Dia
mendongak ke langit, silau dari pancaran cahaya matahari
yang memanahi wajahnya membuatkan dia gelap mata.
Tubuhnya terhoyong-hayang sedikit.
“Cik Ai...” panggilnya lesu.
Tetapi tidak dipedulikan Aisara yang sedang
asyik merakamkan aksi beberapa orang pencuci cermin
bangunan di hadapannya. Aisara kalau sudah gila melayan
hobinya itu bukan pedulikan orang lain lagi.
“Awak ni lembablah,” keluhnya lalu berpusing ke
belakang.
Melisa tiada, sebaliknya kumpulan orang ramai
yang berasak-asak seperti mengerumuni sesuatu yang
kelihatan. Aisara memandang ke kiri dan kanan, tiada juga
bayangan Melisa. Sangkanya pasti Melisa turut serta dalam
perkumpulan tu. Dengan wajah menyirap kelompok orang
yang berkumpul itu dihampiri. Laju sekali langkahnya
dengan gaya garang. Sebaik tiba dia meninjau-ninjau di
celah-celah orang ramai. Wajah Melisa tidak juga ditemui.
Seorang demi seorang ditolak ke tepi untuk mencari
laluan. Sampai di tengah kerumunan itu dia terlihat sekujur
tubuh seorang perempuan sedang terbaring atas pangku
seorang lelaki. Lelaki itu memanggil-manggil nama perempuan
itu sambil menepuk perlahan pipinya. Aisara membongkok
sedikit untuk melihat wajah perempuan yang terlindung
oleh hadapan topi lelaki itu.
“Mel? Melisa?” Aisara terkejut. Mustahil katakatanya
beberapa minit lalu benar-benar buat Melisa mati?
Wajahnya pucat. Namun hatinya sedikit pelik mendengar
suara lelaki itu menyebut perlahan nama Melisa. Eh, tetapi
siapa lelaki itu? Ada pula orang yang kenal Melisa di situ.
Lelaki bertopi yang memangku Melisa terus
mendongak.
Kejutan Aisara menjadi dua kali ganda.
“Kau!” Dalam terkejut sempat dia menjeling dan
merengus.
“Tolonglah!” arah RY bengis bercampur cemas.
Aisara menjeling lagi. Mahu tidak mahu dia menurut.
Semua peralatan yang dibawa Melisa dikutipnya dan RY
dibiarkan mencampung tubuh Melisa untuk dibawa ke pusat
rawatan berhampiran.
Sementara doktor memberi rawatan kepada Melisa di
dalam bilik khas mereka menunggu di luar.
Aisara diam membatu. RY pula sudah beberapa
kali menjeling kepadanya, seperti ada perkara yang terbuku
di hati mahu disuarakan.
“Bos apalah awak ni agaknya. PA dah sakit pun nak
paksa buat kerja juga. Dahlah tu, kerja yang tak berkaitan dengan
pejabat pulak tu,” rungut RY.
Aisara menjeling geram. Kalau diikutkan hati mahu
saja dia angkat kaki dan beredar dari situ. Tetapi keadaan Melisa
masih belum jelas.
“Manalah aku tahu dia nak sakit,” balasnya yang
terlupa Melisa kurang sihat.
“Kalau tak tahu dia sakit pun, janganlah bagi kerja
yang melampaui kemampuan. Ni tak buat pekerja macam
hamba,” hambur RY lagi seperti sengaja memerli Aisara.
Aisara panas hati. Mulalah bom atomnya meletus.
“Bila aku buat dia macam hamba? Aku bayar dia
jadi PA aku, untuk kesanggupan berkhidmat 24 jam. Aku
boleh arah dia bila-bila aku suka. Yang kau sibuk kenapa?
Bukan duit kau yang bayar gaji dia,” tempelak Aisara kasar.
Dia mula terasa RY begitu menyibuk. Selalu sangat nak
masuk campur dengan urusannya.
Kelantangan suara Aisara mengundang kehadiran
seorang jururawat ke situ.
“Maaf. Tolong jangan buat bising kat sini.”
Aisara dan RY saling menjeling, menunjukkan rasa
tidak puas hati yang masih membungkam di dada mereka.
“Maaf,” ucap RY kepada jururawat separuh usia itu.
Jururawat itu kembali ke kaunter tempat dia bertugas.
Kaunter yang terselindung di sebalik tembok batu tempat
RY dan Aisara berada.
Kedengaran pula telefon bimbit berbunyi. Terkialkial
Aisara mencari dan memeriksa beg tangan besar
yang dibawanya. Telefon bimbitnya yang mana satu berbunyi.
RY memerhati gelagat Aisara. Dalam hati, dia
merasakan betapa leceh menjadi seorang perempuan.
Telefon saja sudah lebih dari satu, dengan iPad lagi. Itu
belum masuk alatan make-up dan pelbagai aksesori lain.
Semua perkara jika boleh hendak disumbat ke dalam
beg tangan dan diusung ke sana, ke mari.
“Helo, ya saya tahu. Awak tunggu sekejap...” jawab
Aisara tegas kepada si pemanggil. Dia berjalan merapati
RY yang sedang duduk di atas kerusi ruang menunggu
itu. Badannya dibongkokkan sedikit ke depan dan jari-jari
tangan disilangkan.
“Aku nak balik pejabat, ada mesyuarat lagi 10
minit. Kau kalau nak tunggu Melisa, tunggulah,”
beritahu Aisara tidak boleh terus berada di situ.
“Senang betul cara kau lepas tangan.” RY bersuara lagi.
Aisara menarik nafas geram. Ada-ada saja tuduhan
RY kepadanya.
“Siapa yang suruh kau bertanggungjawab? Aku
nak balik pejabat sebab ada mesyuarat. Kalau kau tak ada
pun, aku boleh aje tinggal pesan dengan nurse untuk
tengok-tengokkan Melisa. Lepas waktu pejabat aku
datanglah sini balik. Aku cuma tak nak kau tercari-cari
aku kalau aku blah macam tu aje,” marah Aisara dari suara
yang tertahan di celah gigi. Puas hatinya dapat melepaskan
apa yang terbuku di dada. Paling tidak nada suaranya yang
geram itu tidak mengundang kehadiran jururawat sekali lagi.
RY memandang telefon bimbit di tangan Aisara.
Sepantas kilat dia merampas.
Aisara sedikit terkejut dan tergamam.
Telefon bimbit bertukar tangan dan melekap ke
cuping telinga RY.
“Helo, siapa ni?” tanya RY tegas.
“Zetty. Saya RY... awak beritahu semua yang terlibat
dengan mesyuarat petang ni, mesyuarat dibatalkan. Cik
Aisara ada hal kecemasan,” arahnya mudah. Panggilan
ditamatkan dan telefon bimbit dikembalikan ke tangan
Aisara semula.
Menjeling mata Aisara. RY baru membuat keputusan
untuk dirinya? Dia tidak percaya. Dia pengarah syarikat
tetapi langsung tidak ada kuasa penuh dalam syarikat.
Dirinya tidak ubah macam pak turut yang terpaksa
menurut segala perintah. Dia sudah tidak tahan lagi.
Punggungnya dihempas atas kerusi plastik yang jaraknya
selang empat kerusi daripada RY. Wajahnya masam
mencuka menahan perasaan marah yang meluap-luap
dalam hati.
Melihat doktor keluar dari bilik rawatan bersama
seorang jururawat. RY menerpa.
“Macam mana dengan Melisa, doktor?”
Aisara memerhati. Malas untuk menyibuk. ‘Sibuk
sangat! Macamlah itu bini dia,’ gerutu hati Aisara.
“Encik, ahli keluarganya?” tanya doktor muda itu.
Pantas RY menggeleng.
“Dia pekerja saya,” beritahunya kemudian.
Doktor itu mengangguk sebagai tanda faham.
“Dia keracunan makanan. Saya sudah beri suntikan.
Sekarang dia tidur,” jelas doktor berbangsa Cina itu.
“Boleh kami melawat dia?” pinta RY sambil sempat
menoleh kepada Aisara yang duduk buat-buat tidak peduli.
“Ya, boleh,” jawab doktor itu memberi kebenaran.
“Terima kasih, doktor.”
Doktor itu membalas dengan senyuman dan berlalu
pergi.
RY memandang ke arah Aisara.
Aisara benci dengan pandangan itu. Pandangan yang
membawa maksud dia harus menuruti RY masuk ke dalam
dan melihat keadaan Melisa. Entah kenapa takdir seperti
selalu mendekatkan mereka, Aisara tidak tahu. Dalam
terpaksa dia melangkah menuruti RY dari belakang.

No comments:

Post a Comment