DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 9

“Sesuatu yang tak disangka. Sering kali mendatangi
kita. Itukah suratan dalam kehidupan atau hanya satu
kebetulan...”
(Suratan Atau Kebetulan – Kenny Remy Martin)

PANJANG leher Mak Cik Min menjengah ke
halaman rumah sebaik melihat sebuah kereta mewah
berhenti di situ. Dia menjenguk-jenguk ingin melihat siapa
yang berada dalam kereta itu. Lambat sangat orang di
dalamnya mahu keluar, dia menyarung selipar dan meluru
mendapatkan kereta itu sambil memegang senduk di
tangan.
‘Orang kaya mana pulak yang sesat depan rumah
aku ni?’ tanya hati Mak Cik Min. Dia mengaru kepala.
Bagaikan hendak terjerit sebaik terlihat anak daranya yang
keluar dari kereta mewah itu. ‘Masya-Allah, biar betul! Dah
kaya ke anak aku ni? Kerja apa dia buat ni?’ gumam Mak
Cik Min. Dia tidak percaya.
“Laa... kamu ke Ros? Emak ingat siapa tadi.”
Rosmaria diterpa. Gembira bukan main melihat anaknya
pulang. Kereta mewah itu dibelek. Perasaan bangga
berputik dalam hatinya. Namun cemas juga jika perkerjaan
tidak elok yang dilakukan Rosmaria di Kuala Lumpur,
sehingga mampu membawa pulang kereta semahal itu.
Dahi Rosmaria berkerut. Malu melihat telatah ibunya
itu. Kalau ya pun suka janganlah tunjuk perangai gelojoh
dengan kereta tu.
“Mak sihat?” soal Rosmaria berusaha merai tangan
ibunya.
“Sihat,” jawab Mak Cik Min ringkas. Matanya
melirik kepada anak muda yang baru keluar dari bahagian
tempat duduk pemandu pula. ‘Mak aiii... putihnya, cina ke
mat salih ni?’ gumamnya lagi. Kejutan demi kejutan anak
gadisnya bawa balik. Hatinya sedikit lega. Pasti kereta itu
bukan milik Rosmaria kerana anaknya itu tidak keluar
dari tempat duduk pemandu. Apalah yang difikirkan bukanbukan.
Rosmaria perasan dengan kelakuan ibunya itu.
“Ni bos Ros, mak. Dia ada urusan di JB ni. Jadi
dia tumpangkan Ros,” beritahunya menyembunyikan hal
sebenar.
Amirul mengiakan dengan senyuman.
Mendengar perkataan bos, mata Mak Cik Min terkelipkelip.
“Ooo... bos. Baiknya hati bos. Terima kasihlah
encik, dah hantar anak mak cik balik,” ucap Mak Cik Min
penuh hormat. Senduk di tangan disorok ke belakang. ‘Hish,
compang-camping aku macam ni, Ros ni bawak balik bos
dia pulak. Segan aku,’ gerutu Mak Cik Min tidak puas hati
dengan penampilan diri.
Amirul segan dihormati sedemikian.
“Tak payahlah nak berencik-encik, mak cik. Panggil
saja saya Amirul,” ujarnya cuba beramah-mesra.
Rosmaria mengukir senyum sumbing buat Amirul.
Lemah lututnya. Fikirnya tadi selepas turun dari kereta, Amirul
akan terus pergi. Tetapi diterpa ibunya pula. Aduhai...
“Amirul? Ooo... jemputlah masuk,” pelawa Mak Cik
Min penuh mesra.
“Terima kasih,” ucap Amirul sambil membuntuti dua
beranak itu dari belakang.
“Mak tak kerja ke?” tanya Rosmaria separuh berbisik
kerana kehairanan ibunya ada di rumah pada hari itu.
“Abang sepupu kamu datang... baru balik dari UK.
Ada urusan kat sini, saja dia singgah lama sikit. Itu yang
mak cuti,” beritahu Mak Cik Min.
“Siapa?” soal Rosmaria tak pasti sepupunya yang
mana bertandang ke rumah itu kali ini. Maklumlah,
keluarga ibunya itu besar, adik-beradiknya ramai.
Sepupunya pula memang ramai yang merantau dan belajar
di luar negara. Sepupu anak daripada isteri atuknya yang
pertama ke yang kedua?
Adoi! Pening kepala dibuatnya setiap kali
berkumpul. Terasa keliru kerana tidak tahu hendak
panggil nama atau gelaran dan masalah tidak kenal juga
sering timbul. Inilah akibat keluarga terlalu besar. Tidak
guna perancang keluarga! Entah yang mana adik dan pak
cik pun tidak boleh hendak dibeza. Mahu dipanggil nama
kerana usia orang itu lebih muda, tapi diberitahu yang itu
pak ciknya. Huhuhu... Pitam.
“Anak Mak Long kamu yang nombor dua tu,” jelas
Mak Cik Min.
Rosmaria tersenyum nipis. Tahulah dia itu sepupu
daripada anak isteri pertama datuknya. Mujur saja dia
jenis mesra alam. Maka, hampir separuh daripada ahli
keluarga ibunya dikenali. Kalaulah tidak bersikap
ramah-tamah, bertanya itu dan ini memang alamatnya dia
jadi Patung Cendanalah, disisih. Mereka yang lain akan
fikir dia orang luar. Biasa orang luar saja yang malu-malu
ke rumah orang lain. Tetapi dia balik rumah atuk dan
nenek-nenek sendiri, redah sajalah.
“Ooo... Abang Fazli?” sebut Rosmaria gembira.
Abang sepupunya yang pemalu dan pendiam. Agaknya setelah
lama merantau ke negara orang masih pemalu lagi ke dia?
Hehehe... tidak sabar dia mahu menyakat. Sebaik masuk
saja ke ruang tamu Rosmaria terpandang Fazli yang
sedang asyik dengan komputer ribanya. Aii, tekun dan
sibuk nampak.
“Assalamualaikum?” sapa Rosmaria. Wah, tidak sabar
hendak tengok senyum simpul abang sepupunya itu.
Fazli angkat muka. Memandang siapa yang memberi
salam.
“Waalaikumsalam,” jawabnya. Ternyata riak wajahnya
selamba saja. Tiada lagi senyum simpul seperti masa lalu.
Rosmaria sedikit hampa. Fazli dah berubah. Dulu
asal ditegur saja, Fazli akan tersenyum simpul, pemalu sangat.
Ramai yang suka mengiatnya. Fazli pula mengambil
langkah selamat dengan menguncikan diri dalam bilik.
Tetapi sekarang masa dan pengalaman hidup sudah
mematangkan lelaki tampan di hadapannya itu. Tak
seronoklah...
“Li, ni anak mak su, ingat tak? Yang tu bos dia,”
beritahu Mak Cik Min memperkenalkan anak dan tetamunya.
Rosmaria dipandang sekilas sebelum memandang Mak Cik Min.
“Dah lama tak jumpa, tak berapa ingatlah,” akui
Fazli jujur sambil bertukar senyuman dan menyambut salam
yang dihulur Amirul.
Rosmaria muncung bibir.
“Mana abang nak ingat orang. Masa orang selalu
balik kampung raya, abang balik sesekali aje, sibuk dengan
kerja. Bila orang sekolah menengah abang lagi tak balik
kampung. Pindah oversea,” protesnya.
Mak Cik Min menggeleng. Tidak sabar-sabar
Rosmaria mahu menerjah sepupunya itu. Tiba-tiba
hidungnya terhidu bau sesuatu yang kurang enak di dapur.
Dia menepuk dahi.
‘Ya, Allah... habis kering kuah aku,’ getusnya dalam
hati lantas tanpa berlengah Mak Cik Min terus meluru ke dapur.
Terpinga-pinga mereka melihat gelagatnya tetapi apabila bau
hangit turut menyapa hidung, barulah mereka faham kenapa
Mak Cik Min begitu.
Rosmaria sedikit menggeleng dengan telatah ibunya.
Fazli hanya tersengih.
‘Tak selesalah pulak aku dengan dia ni, banyak tanya.
Aku ingat rumah ni dah cukup aman,’ keluh hati Fazli.
Rosmaria memandang Amirul. “Awak, duduklah borak
dulu. Saya nak masuk dapur kejap.”
Amirul mengangguk faham.
Setelah Rosmaria ke dapur, dua orang lelaki itu hanya
berdiam. Tidak tahu apa yang mahu mereka bualkan.
Sesekali Amirul mencuri pandang muka Fazli. Dia mati
kutu tanpa sebarang topik yang hendak dibualkan. Apabila
Fazli menyedarinya Amirul mengalihkan pandangan.
‘Sibuk sangat bekerja sampai tak boleh layan tetamu
sekejap,’ gerutu hati Amirul kebosanan.
‘Aii, budak ni asyik pandang-pandang aje. Ada yang tak
kena ke?’ bisik hati Fazli.
Mana boleh jadi mereka yang tidak bisu berbicara
melalui telipati saja. Tidak tahan begitu Amirul memecah
kesunyian.
“Maaf kalau saya bertanya?” pintanya sopan.
Fazli memandang Amirul. Komputer riba terus
ditutup. Kerjanya sudah selesai.
“Abang ni macam saya biasa tengoklah. Kita pernah
jumpa kat mana-mana ke sebelum ni?” Amirul yakin seperti
pernah melihat iras wajah Fazli. Tetapi tidak pasti di mana dan
bila.
Fazli tersenyum.
“Dalam mimpi agaknya,” guraunya. Seingatnya
mereka memang tidak pernah berkenalan. Mungkin saja
pelanduk dua serupa.
Amirul ketawa kecil mendengar jawapan itu.
“Saya salah oranglah agaknya.” Pandai saja Fazli
mengenakannya.
“Abang kerja kat mana?” Amirul merancakkan
perbualan, mengelak suasana menjadi sepi dan bisu. Paling
tidak mulutnya tidak terasa pahit-pahit kelat kerana mereka
hanya diam membisu.
“Embassy,” jawab Fazli ringkas.
“Ooo... Saya pengurus kafe aje,” beritahu Amirul tanpa
perlu ditanya.
“Tadi kata bos...” Fazli cuba mengingati nama
sepupunya tadi. Alamak dia lupalah pula.
“Ya, saya bos kecil kat tempat Ros kerja.” Amirul
merendah diri.
“Oh, bos besarnya siapa?” usik Fazli.
Amirul tersengih.
Fazli tersenyum. Dia tahu Amirul dan sepupunya
itu bukan sekadar bos dan pekerja. Mereka ada hubungan
hati. Dia pun pernah melalui usia-usia seperti mereka.
Pernah bercinta dan kecewa dan bercinta lagi dan...
Argh, malas dia hendak fikir kisah silam yang sudah
tenggelam dan menjauh di dasar hati. Yang penting
kehidupan hari ini, esok dan hari-hari yang seterusnya.
Tiada guna melayan perasaan dan mengenang masa lalu.
Hanya akan merosakkan jiwanya saja. Kononlah tu cuba
memujuk diri yang terkecewa, sedangkan siang dan malam
jiwanya masih bercelaru mahukan kehadiran isterinya
kembali.
“Abang bercuti ke kat JB ni?”
“Nak kata bercuti tu tak juga. Sebab ada kerja sendiri
yang nak diuruskan. Jadi tak cutilah.” Sukar pula Fazli
hendak menjelaskan kedudukan dirinya. Jika tugasnya
dengan kedutaan memang dia sedang bercuti. Tetapi tugas
dengan hobinya masih berjalan berterusan tanpa henti. Itu saja
penglipur laranya kini.
Amirul angguk kepala mendengar penjelasan itu.
Matanya yang liar memerhati ruang tamu terhenti pada kamera
DSLR di meja kecil bersebelahan Fazli.
“Itu kamera abang?” arah matanya masih tertumpu
kepada apa yang dimaksudkan.
“Abang suka ambil gambar ke?” Ringan lagi mulutnya
bertanya.
Fazli menoleh ke sebelah kanannya.
“Ha’ah,” akuinya ringkas. Dari usia remaja lagi dia
sudah meminati fotografi. Cuma di masa lalu kehidupannya
agak susah. Kepayahan untuk memiliki kamera sendiri juga
sukar dicapai, apa lagi yang berkualiti tinggi. Sekarang dia
sudah berkemampuan dan bangga dapat memenuhi hobi
kesukaannya itu tanpa kekangan masalah kewangan.
“Kakak saya pun suka fotografi,” beritahu Amirul.
“Ooo... ada kakak yang suka fotografi. Hobi ni seronok
bagi yang pandai menghargai seni. Sangat berbaloi
juga sebab boleh buat duit,” beritahu Fazli mula teruja
hendak berkongsi cerita hobinya. Tetapi mahu ke Amirul
mendengar? Kerana yang meminati fotografi itu kakaknya.
“Kakak saya ada dua orang. Seorang dah kurang
minat ambil gambar sejak kahwin. Seorang lagi memang
minat sangat. Tapi tak tahu sejak bila dia minat. Sebelum
ni dia tak minat. Mungkin bosan sebab tak ada boyfriend
lagi,” cerita Amirul. Terbayang pula wajah kedua-dua
orang kakaknya di mata. Daripada tidak ada topik hendak
disembangkan elok hobi kakak-kakaknya dikongsi.
Fazli tersenyum mendengar cerita Amirul.
“Seorang lagi tak kahwin lagi, ya? Bolehlah
kenalkan dengan saya,” selorohnya. Bukan hendak
mengurat. Sekadar menambah kenalan yang punya hobi
sepertinya.
“Kakak saya tu lain sikit, bang. Dia tak suka nak
kawan dengan lelaki. Dia suka duduk menyendiri. Tapi
kalau abang nak buat urusan business dengan dia
mengenai fotografi, boleh aje.” Amirul mengeluarkan
sesuatu dari dompetnya. Kad nama berwarna silver itu
dihulurkan kepada Fazli.
Mendengar perkataan business Fazli jadi semakin
bersemangat. Memang bersusun gambar yang sudah dirakam
dan disimpan dalam Pendrive, andai saja kakak Amirul sudi
membantu dirinya untuk menjual gambar-gambar itu, pasti dia
tidak menolak. Siapa yang tidak mahu duit? Duit hasil dari titik
peluh sendiri lagi, berkat dan halal. Gembira Fazli rasakan.
“CM? Apa maksudnya?” tanya Fazli sebaik melihat
huruf C dan M yang besar sebagai logo studio itu.
“Cinta Mati,” beritahu Amirul.
Fazli angkat kening. Apa ke pelik sangat nama studio
tu? Kad di tangannya dipandang lagi.
“Aii? Pendeknya nama kakak kamu.”
Amirul senyum tidak menjawab.
“Hurm... cakap pasal kakak saya, dia akan anjurkan
pameran fotografi tak lama lagi.” Rancangannya, kalau
Fazli berminat bolehlah dia cuba mendapatkan tempat,
walaupun tapisannya agak ketat. Setahunya setakat ini
permintaan tempat memang sangat mengalakkan dan
Aisara hanya akan memberi tempat kepada jurugambar
yang menghantar contoh gambar-gambar berkualiti sahaja.
“Bagus, satu kemajuan,” puji Fazli. Melihat
Amirul yang masih muda, fikirnya pasti kakak Amirul juga
tidak kurang beza usia. Mungkin sekitar 24 atau 25 tahun.
“Kalau abang nak, saya boleh cuba masukkan nama
abang dalam senarai pameran tu,” tawar Amirul.
“Mungkin lain kali. Saya dah masuk pameran
lain. Rasanya tak cukup masalah nak sediakan gambar yang
lain,” tolak Fazli beralasan. Dia tidak ke situ untuk pameran
fotografi semata. Ada hal lain yang dicari.
Kehadiran Rosmaria dari dapur mematikan perbualan
mereka. Teh panas dituang Rosmaria ke dalam cawan-cawan
kosong di hadapannya.
“Silalah,” pelawanya menghulurkan cawan yang berisi
air kepada Amirul.
“Sudi-sudikanlah. Rumah saya tak besar macam
rumah awak. Ada keropok goreng aje. Tak ada kek keju atau kek
coklat strawberi,” beritahu Rosmaria.
Fazli yang mendengar tersenyum. Adalah yang tak
kena dengan dua orang manusia ni.
Amirul tersipu malu. Tidak menyangka Rosmaria
masih mengambil hati dengan kata-kata ibunya.
“Abang... minumlah,” pelawa Rosmaria sekali lagi.
“Biarlah sejuk sikit,” beritahu Fazli. Matanya boleh
melihat asap nipis yang meruap ke udara dari dalam cawan teh
panas yang baru dihidang itu. Andai gopoh dia meneguk mesti
lidahnya akan melecur.

No comments:

Post a Comment