BERITA tentang pertunangan Anatasya
yang akan berlangsung dalam masa dua minggu lagi
tersebar luas dalam kalangan pekerja di hospital. Mawaddah
dan Alialah antara yang paling kecoh. Apatah lagi apabila
kedua-duanya sudah tahu bahawa Naqiu sebenarnya adalah
bekas kekasih Anatasya.
Tersengih-sengih kedua-duanya memandang
Anatasya yang baru melintas di depan mereka.
“Bergosip eh?” Tegur Anatasya dengan wajah purapura
serius. Sedangkan dalam hati dia sudah tahu apa yang
baru saja diborakkan oleh mereka berdua.
Alia dan Mawaddah tersenyum-senyum.
“Tasya, aku betul-betul tak percayalah. Ruparupanya,
Encik Naqiu tu bekas kekasih kau dulu! Kenapa
tak cakap masa aku kenalkan kau dengan dia hari tu?
Pandai eh kau orang berlakon…” Alia mencebik tak puas
hati.
“Aku malaslah nak ungkit cerita lama. Yang lepas
tu biarlah lepas,” kata Anatasya sepi. Matanya fokus pada
kertas di dalam fail di tangan.
Mawaddah memaut bahu Anatasya. “Tapi sekarang
ni… yang lepas tu akan menjadi sesuatu yang baru. Kan?”
Alia mengangguk sebelum mereka sama-sama
ketawa. “Tahniah untuk kau, Tasya! Tak sangka aku, nak
tunang dah kau, kan? Padahal dulu bukan main lagi
keluarkan statement tak nak kahwin. Semua lelaki
samalah, tak boleh dipercayailah… Alih-alih, kau nak
kahwin dengan orang lelaki juga, kan?” Dan mereka
ketawa lagi.
Anatasya tahu niat Alia cuma untuk bergurau.
Tetapi entah kenapa dia rasa tersindir. Nafas dihela kasar.
“Aku ada kerja, mintak diri dulu.” Tanpa memandang
kedua-duanya, dia menyambung langkah yang terbantut
tadi.
Alia dan Mawaddah saling berpandangan. “Aku
salah cakap ke?” Tanya Alia dengan riak wajah takut-takut.
Mawaddah jongket bahu. “Entah. Kau ni…
suka-suka aje cakap macam tu!” Marahnya sambil
menolak bahu Alia.
“Eleh cakap aku konon. Yang kau gelak sekali tadi
kenapa?” Bidas Alia. Tak pasal-pasal dia seorang yang
disalahkan.
Mawaddah buat muka tak bersalah.
MELIHAT Anatasya duduk berseorangan di kantin, Rusdi
perlahan-lahan mendekati. Dia menarik kerusi lalu duduk
di depan gadis itu. Anatasya yang ralit mengacau air di
dalam cawan mendongakkan kepala. Terus dipaksa bibir
mengukir senyuman untuk lelaki itu.
Mengenangkan dirinya bakal menjadi tunangan orang
tak lama lagi, dia jadi makin tidak selesa dengan Rusdi.
“Saya mengganggu awak ke?” Tanya Rusdi. Wajah
Anatasya direnung dengan hati yang sayu. Dia tahu
Anatasya bakal bertunang. Sejak mendapat berita itu,
hatinya jadi tidak keruan.
Anatasya menggeleng. “Taklah…”
Rusdi mengangguk. Nafas dihela perlahan-lahan.
“Saya dengar… awak dah nak bertunang. Betul ke?”
Biarpun sudah tahu jawapannya, dia tetap mahu
mendengar jawapan itu dari mulut Anatasya. Tidak
disangka, gadis yang selama ini selalu dingin dengannya
rupa-rupanya sudah berpunya. Dalam diam merancang
untuk bertunang. Patutlah tidak pernah sekali pun
Anatasya memberinya harapan. Rupa-rupanya, memang
dia tidak seharusnya berharap untuk memiliki gadis itu.
Anatasya mengangguk dengan senyuman pahit.
“Bila majlis?” Soal Rusdi dengan hati yang pedih.
“Dua minggu lagi.” Anatasya menjawab perlahan.
Air di dalam cawan dihirup perlahan.
“Ohh… Kalau macam tu, saya ucap tahniah,” balas
Rusdi. Memujuk hati untuk ikhlas dengan sebaris ucapan
yang dilafazkan itu.
Hati Anatasya tersentuh mendengar ucapan itu.
Dia tahu Rusdi hampa. Dia sedar Rusdi kecewa. Tetapi apa
lagi yang boleh dia lakukan? Kalau pun dia tidak bersama
Naqiu, dia tetap tidakakan menerima Rusdi. Itu hakikatnya.
“Terima kasih,” ujar Anatasya perlahan. “Saya
doakan… doktor jumpa dengan gadis lain yang lebih baik
lepas ni.” Dia cuba untuk tersenyum meskipun kelihatan
tawar. Rusdi berhak mendapatkan gadis yang lebih baik
daripada dirinya. Dia bukanlah gadis yang baik
seperti yang disangka lelaki itu selama ini.
Takkan ada gadis sebaik awak di hati saya,
Tasya… bisik hati Rusdi. Namun hanya dia dan Allah saja
yang mendengar bisikan itu. Walaupun kecewa, dia sedar
dia harus menerima semuanya.
Anatasya memandang jam tangan. “Saya ada kerja.
Saya… minta diri dulu.” Anatasya meminta diri dan
segera bangun.
Rusdi mengangguk tanda mengerti. Langkah Ana
tasya yang semakin menjauh diperhati dengan hati yang
berantakan. Ya Allah… kuatkanlah aku untuk menerima
kekecewaan ini. Hatinya berbisik lagi.
PERSIAPAN pertunangan berjalan dengan baik. Shimalah
yang banyak menguruskan semua perkara dengan campur
tangan Hamdan dan Harun. Naqiu juga tidak kurang
membantu. Sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke
Kuala Terengganu demi memastikan segala-galanya
berjalan lancar nanti.
Anatasya?
Gadis itu lebih senang bersikap lepas tangan.
Persiapan pertunangan hanya dibuat endah tak endah
saja. Cuma sesekali apabila Mak Cik Shima mengajaknya
keluar untuk membeli barang persiapan dan juga
berbincang tentang majlis yang bakal berlangsung,
terpaksalah Anatasya menunjukkan muka.
Walaupun hatinya masih tidak dapat menerima
Naqiu, itu tidak bermakna dia harus tunjuk sikap kurang
ajar kepad Mak Cik Shima. Apatah lagi apabila melihat
kesungguhan orang tua itu untuk bermenantukan dia,
dia jadi tidak sampai hati mahu menghampakan Mak Cik
Shima.
“Tasya, cantik tak baju ni?” Shima berpaling
memandang Anatasya yang seakan jauh berkhayal.
Tadi selepas selesai membeli sedikit lagi barang untuk
pertunangan Anatasya dan Naqiu, dia mengajak bakal
menantunya itu membeli-belah di Pavillion. “Tasya!”
Panggilnya sekali lagi.
Anatasya terpinga-pinga sebentar. “Err… apa dia,
mak cik?” Aduh, menyesal pulak berkhayal jauh sangat tadi.
Anatasya memarahi diri sendiri.
“Mak cik tanya… okey tak baju ni? Kalau mak cik
pakai masa majlis tunang Tasya nanti okey?” Shima
tersenyum menayangkan baju kurung berwarna lilac
di tangannya.
Anatasya memandang baju kurung itu sebelum
bibirnya tersenyum. Senyuman yang dirasakan tawar tanpa
perisa. Entah kenapa, hatinya jadi sayu mendengar
perkataan ‘tunang’ itu. Kenapa dia tidak merasakan
perasaan teruja yang sepatutnya dialami pasangan kekasih
yang lain untuk bergelar tunang? Oh, lupa pula. Dia dan
Naqiu bukannya bercinta sekarang. Tidak seperti lima
tahun yang lalu.
“Lawa, mak cik. Kalau dengan mak cik, memang
sesuai sangat,” jawab Anatasya ikhlas. Baju kurung di
tangan Mak Cik Shima itu memang cantik pada pandangan
matanya.
Shima tersenyum lagi. “Elok dah ni. Warna tema
baju tunang Tasya pun lilac, kan?”
Soalan itu membuatkan Anatasya terdiam. Betul
ke? Kenapa dia tidak ingat? Ahh… Tasya, tolonglah
fokus! Dia memarahi diri sendiri dalam hati. “Aah,
sesuailah tu…” balasnya perlahan.
Shima kembali memandang baju kurung di
tangan. “Mak cik nak pergi cuba baju ni. Tasya tunggu
kejap ya?” Kemudian dia terus menghilang ke dalam bilik
persalinan.
Anatasya hanya memandang dari jauh. Dapat dia
lihat cahaya kegembiraan di wajah Mak Cik Shima.
Sejujurnya, dia sendiri sudah jatuh sayang kepada wanita
itu. Wanita yang mengandungkan dan melahirkan Naqiu ke
dunia ini. Ya Allah… permudahkanlah semuanya, bisik
hatinya.
Tidak lama kemudian Shima keluar semula. Puas
hati dengan baju itu, dia terus membuat bayaran sebelum
sama-sama melangkah keluar dari kedai itu bersama
Anatasya.
“Aqi tu mak cik tengok macam dah tak sabar
sangat nak langsungkan perkahwinan dengan Tasya. Dia
cakap tak nak tunang lama-lama. Nak kahwin terus dengan
Tasya.” Shima membuka cerita tiba-tiba. Ada tawa kecil
mengiringi kata-katanya. Walaupun Naqiu pernah
melakukan kesalahan besar dalam hidupnya, tetapi dia
dapat melihat keikhlasan anaknya itu untuk memperisterikan
Anatasya.
Anatasya tersenyum pahit. Apa yang dirasakan saat
itu, tidak usahlah diceritakan kepada Mak Cik Shima. Dia
yakin orang tua itu tidak akan faham perasaannya.
Shima mencapai tangan Anatasya dan
menggenggamnya dengan erat. “Mak cik doakan nanti
Tasya dengan Aqi hidup bahagia sampai bila-bila.
Mak cik tahu betapa sayangkan Aqi dengan Tasya. Dia
sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan Tasya. Itu
menjadi bukti yang dia betul-betul cintakan Tasya…”
Kata-kata itu meresap jauh ke dalam hati
Anatasya. Tidak dapat dinafikan, hatinya bergetar dengan
luahan penuh harapan Mak Cik Shima itu. Tetapi itu cuma
sekejap saja. Kenangan lama yang masih belum pudar
di ingatan bagaikan kembali tertayang di mata.
Menghambatnya dengan rasa benci yang tak berkesudahan
terhadap Naqiu.
Anatasya menghela nafas. Tiba-tiba, dia rasa takut
kalau-kalau impian tinggi Mak Cik Shima itu tidak akan
pernah menjadi kenyataan.
“HAI, Aqi!” Sapaan mesra itu mengejutkan Naqiu. Dia
berpaling. Jelas di matanya Zerra sedang menghampirinya
dengan lenggok yang cukup menggoda. Dia kembali
menoleh ke arah Mimi. Setelah menyerahkan fail di
tangan kepada gadis itu, dia terus melangkah masuk
ke dalam bilik pejabatnya.
Zerra mengikut di belakang.
“What are you doing here?” Tanya Naqiu sambil
melabuhkan duduk di kerusinya. Tidak berminat melayan
Zerra, tetamu yang tak diundang itu.
Zerra duduk di depan Naqiu. “You ni… selalu aje
dingin dengan I. I tahulah you dah nak bertunang…”
Suaranya meleret sekali seakan-akan menyindir.
Naqiu mengangkat muka memandang Zerra.
“Mana you tahu?”
Zerra menyandar tenang di kerusi. “KL is not that
big, honey…” Kaki disilangkan sambil tersenyum manja
merenung wajah Naqiu.
Naqiu kembali tunduk menyambung kerja.
“So… bila you nak tunang? Tak nak invite I?”
Tanya Zerra. Masih berusaha menarik perhatian Naqiu.
Jari-jemarinya yang runcing itu bermain-main di hujung
meja Naqiu.
“Next two weeks, kat Kuala Terengganu. Kalau you
rasa nak datang, datanglah.” Acuh tak acuh Naqiu
mempelawa.
Zerra mencebik. Orang Terengganu? Mesti
kekampungan gadis pilihan Naqiu itu. Kenapalah Naqiu tak
pandang gadis cantik dan seksi macam dia? Apakah dia
tidak cukup menarik jika dibandingkan dengan bakal
tunang Naqiu itu?
“I tak pernah dengar you ada kekasih. Tiba-tiba,
nak bertunang. Atau… perempuan tu pilihan orang tua
you?”
Naqiu merenung tajam wajah Zerra. “Tak kisahlah
sama ada dia pilihan orang tua I atau bukan, itu bukan
urusan you. Satu yang I nak you tahu, I cintakan dia.
Jadi I harap you jangan ganggu I lagi lepas ni.” Naqiu
bingkas menghampiri pintu. Daun pintu dikuak luas-luas,
mengisyaratkan agar Zerra segera meninggalkan
pejabatnya.
Zerra menahan perasaan. Dia tersenyum sambil
melangkah mendekati Naqiu yang berdiri di tepi pintu.
Tangannya kini menjalar di lengan lelaki itu. Naqiu
menepis pantas. “Keluar sekarang,” arah Naqiu. Walaupun
nadanya perlahan, tetapi kedengaran cukup tegas.
Zerra merengus. Hilang senyumannya tadi. “Fine.”
Dia menjeling tajam sebelum terus mengangkat kaki.
Naqiu menutup pintu biliknya rapat-rapat. Nafas
dihela perlahan. Semoga selepas ini, dia bebas daripada
gangguan Zerra yang amat merimaskan itu.
No comments:
Post a Comment