KEMPUNAN tidak dapat berenang petang
semalam, Olynn turun ke kolam renang apabila terik
matahari sudah kurang menyengat. Sesampai saja di tepi
kolam, matanya terbuka luas. Tengku Budriz ada di dalam
kolam bersama Rose Maria yang seksi berbikini dan juga
Juwita dengan swimming suit warna terang.
‘Ada rakaman ke petang ni? Mana tahu ada rakaman
spesial ke?’ Mata Olynn meliar ke serata kawasan kolam
renang, tercari-cari abang cameraman.
“Awak cari apa?”
Tersentak Olynn. Tiba-tiba sahaja Tengku Budriz
berdiri di sebelahnya dengan badan yang basah.
“Err... Tengku, terkejut saya. Sekarang ni ada
rakaman ke?” Segan mahu tengok badan Tengku Budriz
yang separuh bogel, Olynn kalihkan mata ke arah lain. Selain
daripada swimming suit, mujurlah Olynn memakai seluar
renang labuh hingga ke betis dan menyarungkan t-shirt
putih di luarnya menutupi baju renang berwarna hitam.
“Tak ada, hanya santai-santai. Juwita interkom bilik
saya tadi, ajak mandi di kolam. Awak nak mandi jugak?”
“Er... tak apalah. Saya tak nak ganggu.”
“Siapa kata awak nak ganggu kami. Jom.”
Olynn tidak sempat mengelak. Tengku Budriz cekup
pergelangan tangannya dan tarik Olynn terjun ke kolam.
Burrr!!! Olynn tenggelam ke dasar kolam sekali
gus bersama-sama Tengku Budriz. Tergapai-gapai tangan
Olynn mahu naik ke permukaan dengan segera. Tengku
Budriz hampiri Olynn dan tolak badannya naik. Timbul
saja, cepat-cepat Olynn lepaskan diri dari pegangan Tengku
Budriz.
“Sorry.” Ucapnya sepatah.
Olynn mencemik. Dah buat, baru nak minta maaf?
Olynn toleh kepada Rose Maria dan Juwita. Dengan wajah
masam, mereka merenung keduanya dengan tajam. Aduh!
Dia tidak mahu dibenci sesiapa. Tanpa berlengah, Olynn
berenang ke tepi dan naik ikut tangga besi. Tuala dicapai,
sarungkan selipar dan mahu pergi dari situ secepat mungkin.
“Ailyn… nak ke mana tu?” Tengku Budriz melaung
dari dalam air.
“Balik bilik. Saya rasa saya tak patut ada di sini. Tak
kena masa dan tempat.”
Dengan badan yang masih lembab serta berselimut
dengan tuala, Olynn tutup pintu semula setelah selamat
masuk ke dalam bilik. Marsha yang sedang menonton TV
palingkan leher ke arahnya.
“Aik, kata nak mandi pool? Cepatnya naik?”
“Mandi kejap aje. Tak syok, Juwita dan Rose Maria
ada mandi sama dengan… er… Tengku Budriz.” Olynn
bohong sedikit. Takkanlah Olynn mahu bercerita yang dia
dan Tengku Budriz sama-sama terjun ke kolam?
“Aduh, ruginya I tak turun sama. Tengku Budriz ada
lagi ke kat sana?”
“Ada. Kenapa tanya? You nak pergi ke?”
“Mestilah!”
“Lebih baik jangan.”
“Why?”
“Juwita dan Rose Maria, macam tak suka aje I datang
situ?”
“Perasaan you aje kut, atau you cemburu?” Marsha
buka almari dan capai swimming suit. Dia ke bilik air.
Nah! Seorang lagi dengan gaya seksi akan menyertai
Tengku Budriz di kolam renang. Ahhhh! Biar sajalah! Buat
apa nak peduli? Err... betul ke dia tak peduli?
MENGENAKAN SELUAR palazo kembang warna hitam dan
blaus berwarna kuning air. Rambut Olynn tocang ekor kuda
dan sudah siap disolekkan oleh jurumekap. Mereka semua
ke tepi kolam renang untuk barbeque dinner dan seterusnya
acara penyingkiran pertama bakal berlangsung di situ juga.
Patutlah petang tadi ada beberapa orang petugas sedang
menyiapkan tempat pemanggang.
Malam ini tiada penonton atau penyokong yang
hadir. Hanya terdapat krew-krew yang bertugas, para finalis
dan juga Yang Mulia Tengku Budriz sendiri.
Olynn, Lyana dan Mila duduk semeja. Marsha duduk
semeja bersama dengan Rose Maria dan juga Juwita. Oh!
Lepas mandi di kolam renang petang tadi, mereka sudah jadi
geng rupa-rupanya.
Dan juga, hanya Nizar Nasrin menjadi pengacara
tanpa ditemani Wan Saleha.
“Cute jugak kan, Nizar tu? Kalau I kalah, tak dapat
Tengku Budriz, I tackle Nizarlah. Boleh tak gitu?” Olynn
dan Lyana ketawa dengan seloroh Mila. Kemudian, mereka
memberi perhatian kepada Nizar Nasrin yang segak sambil
memegang mikrofon. Bersedia untuk berucap.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu
kembali di rancangan Pilihan Hati. Saya Nizar Nasrin,
bersiaran dari pool side Awana Genting Hotel & Golf Resort.
Seperti yang kita lihat, sekarang ini para finalis sedang
menjamu selera dengan hidangan barbeku di tepi kolam
renang. Dalam gelak ketawa, dalam riang, masing-masing
sebenarnya sedang berdebar-debar kerana sebentar lagi,
penyingkiran pertama akan berlangsung. Bagaimana caranya
dan siapakah antara dua belas finalis yang bakal tersingkir?”
Kamera dihalakan kepada para finalis seorang demi
seorang silih berganti.
“Hanya seorang peserta akan disingkirkan malam
ini. Jadi, kita tunggu sebentar lagi. Kembali selepas ini,”
sambung Nizar Nasrin lagi setelah jurukamera memberi
tumpuan kepadanya kembali.
“Cut!” pengarah melaung.
Nizar Nasrin serahkan mikrofon kepada seorang
krew dan dia ke tepi hidangan barbeku, kemudian duduk di
sebelah Tengku Budriz. Selesai makan, jurusolek kembali
menambah bedak ke wajah Nizar Nasrin sebelum dia
dihulurkan mikrofon semula.
Detik penyingkiran...
NIZAR NASRIN bersedia menunggu kamera difokuskan
kepadanya.
“Kembali ke rancangan Pilihan Hati. Para finalis
sekalian, sekarang tiba masanya yang ditunggu-tunggu.
Di sudut sana, Tengku Budriz sudah pun menanti dengan
jambangan bunga. Nama finalis yang bakal tersingkir, sudah
ada di tangan saya. Mari kita mulakan.”
Masing-masing terdiam. Olynn, Mila dan Lyana
berpegangan tangan.
“Ariana... sila bangun.”
Olynn tersentak. Takkanlah dia.
“Tahniah, awak selamat.”
Semua bertepuk tangan. Ariana duduk semula di
kerusi dengan menarik nafas lega.
“Yasmin, anda juga selamat dan masih kekal di
dalam rancangan ini.”
Yasmin yang baru hendak berdiri duduk semula.
Senyuman gembira terukir di bibirnya.
“Seterusnya... Mila.”
Tangan Mila sejuk bagai ais di genggaman Olynn.
Perlahan-lahan Mila bangkit dari kerusi.
“Mila... Apa perasaan awak sekarang? Gementar?”
Mila mengangguk laju. Olynn di sebelahnya
juga rasa berdebar-debar yang teramat sangat. Doanya
sungguh-sungguh, mudah-mudahan Mila tidak disingkirkan
awal.
“Tahniah! Awak tidak tersingkir malam ini.”
Yeahhhhhh!!! Olynn dan Lyana bertepuk tangan.
Agak kuat daripada yang lain-lainnya.
“Kita beralih kepada finalis yang lain. Dipersilakan
Rose Maria untuk berdiri.”
Rose Maria bangun dengan lagak diva. Memang
dia cantik mengenakan dress labuh bertali halus berwarna
merah garang. Terserlah lehernya yang jinjang dengan
mendedahkan bahunya yang berkulit mulus.
“Maaf Cik Rose Maria, anda terpaksa berhenti di sini
dan secara automatik tersingkir dari rancangan Pilihan Hati.”
Semua finalis terdiam termasuk Olynn. Nizar
Nasrin hulurkan tangannya dan Rose Maria capai tangan itu
lambat-lambat. Nizar Nasrin bawa Rose Maria kepada Tengku
Budriz yang sedang menunggu.
“Saya serahkan Cik Rose Maria kepada Yang Mulia
Tengku.”
Mereka berdiri bertentangan antara satu sama lain.
Jarak yang memisahkan, Olynn dan yang lain-lain tidak dapat
mendengar apakah ucapan terakhir Tengku Budriz buat
Rose Maria. Hanya boleh nampak, Rose Maria mengesat air
matanya dengan tangan. Tengku Budriz capai tangan Rose
Maria dan dibawa ke bibirnya. Olynn juga menahan sebak.
Walaupun Olynn tidak sempat berkenalan jauh dengan Rose
Maria, tapi kesedihan itu tetap ada.
KINI, TINGGAL lagi sebelas orang finalis. Selepas senaman
pagi, seperti biasa mereka bersarapan di Rajawali Coffee
House. Nampaknya cerita penyingkiran malam tadi yang
menjadi topik hangat diperbualkan.
“Tak sangka Rose Maria kena keluar dulu. Padahal,
episod pertama hari tu kan, Tengku Budriz pilih dia untuk
tanya soalan.” Lyana yang dulu memberi komen.
“Bukan dia sorang aje. Tengku pilih Ailyn jugak.
Tapi, I rasa semacam pulak. Apa kena-mengena soalan dia
dengan sate?” Mila pandang Olynn. Erk!!!
“Entah! Agaknya Tengku Budriz suka makan sate
kut,” Olynn tidak tahu mahu jawab apa. Kenangan makan sate
di Kajang bersama Budin, tidak perlulah Olynn bongkarkan
kepada sesiapa.
“Eh! I pun suka makan sate. So, I dengan Tengku
Budriz ada persamaan. Sukanya I!” Anne mencelah.
Olynn senyum tipis.
“Girls, attention please!” Suara lantang Encik Anwar
kedengaran.
“You only have thirty minutes left! Lepas ni, semua
dikehendaki naik ke bilik dan bersiap. Kita akan ke KLCC.
Masa untuk shopping!”
“Yeahhhhhh!!!” Semua bersorak kegembiraan.
Shopping? Perempuan mana yang tak suka?
Turun ke lobi, mereka diminta berkumpul semula.
Kelihatan Tengku Budriz dengan gaya santai, jean dan t-shirt
body fit berkolar menyerlahkan tubuhnya yang tegap. Lengan
sasanya jelas kelihatan. Di sebelah Tengku Budriz, Encik
Anwar tersenyum manis bak gula.
“Para finalis sekalian, saya ada satu surprise
untuk anda semua. Hari ini, Tengku Budriz akan memilih
salah seorang daripada finalis dan gadis yang bertuah akan
menemani Yang Mulia Tengku ke suatu tempat lain.”
Bulat mata kesemua finalis. Teruja dalam debar,
siapakah yang bakal menjadi pilihan Tengku Budriz.
“Silakan Yang Mulia Tengku Budriz,” Encik Anwar
menunduk ke arah Tengku Budriz.
“Salam semua dan selamat pagi. Actually, ini
hanyalah permulaan. Jangan risau jika anda tak terpilih hari
ini kerana sepanjang kita di sini, akan ada masa untuk anda
luangkan masa bersama saya. Saya harap di kesempatan
ini, kita boleh kenal lebih mendalam dan saya mahu lihat
keserasian antara saya dengan gadis yang bertuah untuk
keluar bersama saya. Jadi, untuk hari ini saya akan pilih...”
Pandangan Tengku Budriz jatuh pada setiap wajah
finalis satu per satu. Olynn hanya menentang matanya
sebentar, kemudian membuang pandang ke arah lain. Sedikit
pun Olynn tidak berharap Tengku Budriz memilihnya.
Perlahan-lahan Tengku Budriz maju di hadapan
finalis yang berdiri paling hujung. Tengku Budriz berjalan
melepasi Mila, Athirah, Lyana yang berdiri di sebelah Olynn
dan berhenti lama di depan Olynn.
Olynn diam menunduk ke lantai, tidak berani
memandang wajah Tengku Budriz. Sedetik… dua detik…
tiga detik... Olynn menunggu sambil menahan nafas.
‘Tolonglah... jangan sebut nama aku. Jangan
bawa aku pergi.’ Bukan seawal ini. Olynn tidak mahu
kawan-kawannya berfikir yang bukan-bukan lagi.
“Ariana!”
Hah? Olynn terpinga-pinga saat Tengku Budriz
melangkah setapak lagi dan menyebut nama gadis di sebelah
kirinya. Olynn toleh ke sisi. Tengku Budriz hulurkan tapak
tangan dan Ariana letakkan jari-jemarinya dengan senyuman
lebar. Tengku Budriz kenyitkan matanya kepada Olynn
sebelum dia bawa Ariana pergi.
‘Ceh!!! Terkena aku.’ Olynn ketap bibir.
Seterusnya, baki sepuluh orang lagi finalis diminta
menaiki bas persiaran ke Kuala Lumpur. Olynn duduk di
sebelah Lyana manakala Marsha hilang lagi di kerusi belakang
bersama Juwita.
“Ailyn, mati-mati I ingat Tengku Budriz nak pilih
you tadi.”
Olynn senyum tipis kepada yang bersuara.
“Dia buat trick. Saja nak bagi I suspens tu.” Ujar
Olynn bagi menyedapkan hati Lyana dan juga gadis lain yang
pasang telinga mendengar perbualan mereka.
“You berdebar-debar tak tadi?”
“Fuh!!! Tak tahu nak cakap macam mana.”
“Oh… alangkah seronoknya dapat berdua-duaan
dengan Tengku Budriz. I harap lepas ni, I pulak yang Tengku
pilih.” Lyana bersungguh-sungguh dengan kata-katanya.
“Tadi kan, Tengku Budriz ada cakap… semua finalis
ada peluang.” Olynn cuba untuk gembirakan hati Lyana,
namun hatinya tetap terusik.
‘Kalau kau nak tahu Lyana, aku dah pun berdua-duaan
dengan Tengku Budriz. Bukan sekali. Malah, sudah tiga kali.’
KEMBALI KE Awana semula, tangan para peserta sarat
dengan pelbagai barangan. Banyak sungguh yang mereka
perolehi semasa di sana. Kesemuanya fully sponsored. Kasut
sukan, dua pasang baju sukan, sweater, topi dan beg galas
kecil. Juga, telefon pintar jenama ASUS dihadiahkan kepada
mereka setiap seorang.
Ahhhh!!! Letih dan lesu badan Olynn. Seharian dia
berjalan di KLCC sambil melayan kerenah Mila dan Lyana
yang rambang mata untuk memilih pakaiannya. Marsha
belum lagi naik ke bilik sejak mereka sampai di Awana Resort
tadi. Entah ke mana dia menghilang. Biarkanlah! Bukan
urusan dia nak masuk campur hal orang lain.
Makan malam tadi pun, dia makan sedikit saja. Usai
solat isyak, Olynn baring di katil dengan telekung masih di
tubuhnya. Sunyi sungguh dirasakan. Dia rindukan Nadia,
Farah dan Dayana, teman serumahnya. Hendak telefon, terasa
malas pula mahu bangun dari perbaringan. Mata dipejamkan
sebentar. Niatnya sekejap lagi mahu bangun semula dan
mengemas barang-barang yang dibawa balik tadi.
Baru hendak melayan mimpi, handphone dalam beg
silang Olynn menjerit nyaring. Serta-merta Olynn terjaga.
“Hello, assalamualaikum.” Olynn menjawab lemah.
Suara pun agak serak. Kepala masih lagi pening-pening lalat.
“Olynn… awak okey?”
Kelopak mata Olynn terus saja terbuka lebar apabila
mendengar suara di talian itu.
“Tengku Budriz?”
“Erm... sayalah. Awak ada tunggu call daripada
orang lain ke?”
“Tak... tak... bukan macam tu. Sebenarnya tadi, saya
tertidur.”
“Oh... maaf, saya baru berniat nak ajak awak minum
untuk late supper.”
“Saya letih. Tengku tak puas-puas lagi dating dengan
Ariana ke?”
“Awak cemburu?”
Olynn ketawa perlahan.
“Tak... saya tak cemburu. Belum sampai tahap tu
lagi.”
“Atau awak sedih sebab saya tak pilih awak?”
“Tengku... saya tak bermaksud macam tu pun.”
Aduhai... payah sungguh nak buat si anak raja ini faham.
“Awak nak tahu kenapa saya tak pilih awak tadi?”
Nafas Olynn hela perlahan.
“Kalau Tengku nak beritahu, saya sedia
mendengarnya.”
“Tak boleh ke awak tunjukkan pada saya yang awak
teruja nak bersama saya?”
La... dia pula dipersalahkan? Sudah dijelaskan
sebelum ini, dia tidak mengharapkan apa-apa daripada
Tengku Budriz. Sebaliknya, Olynn lebih rela lelaki itu jadi
Budin yang sebenar, yang bertugas sebagai krew Nusa TV.
Bukannya Tengku Budriz hero pujaan Malaya ketika ini.
“Terlalu awal untuk saya beritahu apa yang ada
dalam hati saya. Maaf Tengku, saya terpaksa berhenti.
Roommate saya, Marsha dah bunyikan loceng. Selamat
malam, assalamualaikum.”
“Ailyn, please... don’t hang up.”
“Saya tak nak Marsha tahu Tengku call saya. Bye!”
Olynn putuskan talian dan bergegas ke pintu.
“Apasal lambat buka pintu?” Kelat wajah Marsha.
Olynn kerut dahi. Dah kenapa sorang lagi ni?
“Sorry, I tertidur.”
Marsha mendengus sambil mengerling tajam. Olynn
pelik. Apa yang tidak kena?
“I nak tanya you. Malam tu, you turun bawah, you
jumpa Tengku Budriz, kan?”
Olynn kehilangan kata-kata. Habislah! Bagaimana
Marsha boleh tahu?
“You tipu I, kan? You kata, you nak jumpa mamat
selekeh tu.”
“I tipu ke tidak, tak ada kena-mengena dengan
you. Tengku Budriz yang minta I jumpa dia,” Olynn
mempertahankan diri. Memang betul apa, Tengku Budriz
yang mahu dia turun berjumpa dengannya malam itu.
“Sekarang baru nak mengaku? You ni pandai sungguh
berlakon. Kat depan kita orang semua, bukan main selamba.
Tengoklah ni, berlagak baik. Sembahyang tak tinggal, tapi
kat belakang, you goda Tengku Budriz habis-habisan. Siap
menari lagi, berpeluk sakan sampai melekat.” Telekung di
badan Olynn ditarik-tarik.
Geram juga Olynn dengan tingkah Marsha.
“I tak sengaja okey! Ya... I yang menari dengan dia,
tapi bukan I yang peluk dia.”
“So sorry, I tak boleh terima alasan tak sengaja you
tu. Siaplah you! Nanti I report pada Encik Anwar. Biar you
yang kena kick next!”
“Suka hati youlah.” Olynn dah malas mahu melayan.
Dia lipat telekung, mahu masuk ke bilik air untuk cuci muka
dan gosok gigi.
“Anyway, I nak pindah ke bilik Juwita. I tak
nak berkongsi bilik dengan perempuan hipokrit macam
you! Pantas Marsha keluarkan beg besar dan sumbat
barang-barangnya ke dalam. Semuanya dilakukan dengan
kasar.
Olynn tidak pedulikan Marsha dan kunci pintu bilik
air. Dia pandang cermin besar di dinding. Haruskah dia terus
berada di sini kalau hanya untuk mencari musuh?
‘Aduh, susah sungguh kalau macam ni!’
No comments:
Post a Comment