TIARA merenung telefon mainan arwah Chi Cha
yang sudah remuk dan pecah. Sejak dia balik dari tempat kerja
tadi, hanya itu sahaja yang Tiara mampu buat. Sebagaimana
remuknya telefon mainan itu, begitu jugalah perasaan Tiara
waktu ini.
“Kurang ajar punya orang!” naik turun dada Tiara
apabila teringat tentang lelaki berjaket hitam yang telah
merosakkan kenangan terakhir bersama arwah anaknya
itu. Ternyata kehadiran lelaki berjaket hitam itu semakin
menambahkan lagi rasa bencinya terhadap kaum itu.
“Kak Tiara,” tegur Fairuz.
Tiara mendongak muka ke bingkai pintu. Fairuz
sedang berdiri tegak di celah pintu sambil memandang sayu
ke arahnya.
“Boleh Fairuz masuk?”
“Masuklah.”
“Kak, Fairuz nak minta maaf pada kakak sebab tak
jaga Chi Cha baik-baik. Sebelum arwah jatuh dalam bilik air
tu, dia ada minta tolong dengan Fairuz untuk mandikan dia.
Chi Cha cakap dia panas. Tapi Fairuz tak layan sebab waktu
tu Fairuz ada banyak kerja sekolah nak kena buat. Fairuz
tak tahu pula Chi Cha masuk dalam bilik air dan main-main
dalam tu.”
“Sudahlah tu Fairuz, benda dah nak jadi. Lagipun
dah ajal dia,” Tiara cuba menahan air mata tetapi jatuh juga.
Dia terus menyapu air mata itu dengan selimutnya.
“Tapi Fairuz rasa bersalah sangat pada kakak. Selama
ni kakak bekerja kuat untuk tolong keluarga ni. Tapi kami
semua tak jaga Chi Cha elok-elok,” Fairuz menonyoh matanya
yang berair. Dia sebenarnya rasa malu dan bersalah terhadap
kakak tirinya itu. Sampai bila-bila pun perasaan bersalah
itu tak mungkin akan hilang. Apatah lagi, kerana kelekaan
dan kecuaiannya itulah menjadi penyebab pemergian adik
mereka.
“Fairuz tak payahlah rasa bersalah. Yang mengambil
nyawa Chi Cha tu, Allah Yang Maha Esa. Pemilik sebenar adik
kita tu. Kakak dah reda dengan pemergian Chi Cha, Fairuz.
Jadi tak usahlah Fairuz fikir lagi. Ajal ni, tak kira tempat
mahu pun waktu. Kalau sudah tarikh dan masanya tak kiralah
dalam keadaan dan situasi apa sekalipun, Chi Cha tetap akan
pergi. Biarpun waktu itu dia dalam pelukan kakak sekalipun,”
ujar Tiara perlahan.
“Memang betul cakap kakak tu. Tapi Fairuz tetap rasa
menyesal dengan perangai Fairuz waktu tu. Kak, kalau ada
apa-apa yang Fairuz boleh buat untuk tebus balik kesilapan
Fairuz tu, kakak cakaplah. Fairuz akan ikut cakap kakak.”
Tiara merenung Fairuz yang tertunduk. Adik tirinya
itu sedang diselubungi rasa bersalah yang teruk.
“Hurm… kalau macam tu, tolong kakak gamkan
balik telefon mainan ni,” luah Tiara. Dia kasihan melihat
keadaan Fairuz. Namun dia tidak boleh biarkan Fairuz
terus-terusan begitu.
Fairuz menoleh ke arah telefon mainan yang sudah
remuk dan pecah. Dahinya berkerut-kerut memandang alat
mainan itu.
“Ini ke telefon yang Chi Cha cakap tu kak?” Fairuz
masih ingat kali terakhir dia melihat Chi Cha buat perangai
semata-mata mahukan telefon mainan itu.
“Kakak tak ingat langsung telefon ni ada bawah seat
motosikal kakak. Sebenarnya Chi Cha yang nak kakak simpan
bawah seat tu sebab dia tak mahu telefon mainan dia ni basah
kena hujan. Dia cakap kalau kena hujan tak boleh guna lagi,”
terang Tiara sambil tersenyum.
Fairuz juga turut tersenyum, cuba menyembunyikan
perasaan sedihnya. Selepas Chi Cha pergi, dunia ini terasa
sangat sunyi dan sepi. Biasanya jika Tiara pergi kerja,
tinggallah dia dan Chi Cha di rumah. Tetapi kini hanya dia
seorang diri di rumah. Tiada lagi gelak tawa adik kecil yang
disayanginya itu.
“Sekejap ya kak. Fairuz pergi ambil tape dengan
gam,” Fairuz terus bangun dan meluru ke biliknya.
“Hmmm… Fairuz, Fairuz.” Tiara menggeleng kepala
sambil menutup mulut yang sudah beberapa kali menguap.
Setiba Fairuz di bilik Tiara, dia terus mengambil
telefon bimbit dari atas katil lalu mula mencantum satu per
satu bahagian yang pecah.
“Kalau kakak nak tidur, kakak tidurlah. Biar Fairuz
yang gam telefon ni.”
“Isy, tak apalah. Kita buat sama-sama.”
“Kakak jangan risaulah. Pintu bilik tu Fairuz akan
biar ternganga luas-luas. Lagipun esok kan kakak nak pergi
kerja. Tidurlah sementara Fairuz pasang benda ni.”
Tiara yang sudah tidak dapat menahan mata,
mengangguk perlahan. Dia akur dengan permintaan Fairuz.
FATIMAH MENGUTIP semua pakaian arwah Chi Cha lalu
memasukkannya ke dalam kotak. Mainan Chi Cha juga turut
dikutip bersama lalu dimasukkan semuanya ke dalam kotak.
“Mak buat apa ni?” tegur Tiara dengan wajah
berkerut.
“Kau tanya mak buat apa? Kau tak nampak ke?”
Tiara memerhati ruang biliknya yang dipenuhi
beberapa buah kotak. Bergemuruh darah Tiara melihat
perbuatan emak. Sampai hati emak mahu membuang segala
kenangannya dengan arwah anaknya itu.
“Mak, kenapa sampai macam ni sekali mak nak
hukum Tiara, mak? Tak cukup lagi ke Chi Cha dah tak ada
dekat dunia ni?” Tiara cuba mengambil kotak-kotak itu
namun terus dirampas Fatimah.
“Kau ni memang anak tak kenang budilah Tiara!
Kau nak bela budak tu aku bagi. Kau nak usung dia ke rumah
aku ni pun aku benarkan. Sekarang ni kau nak simpan lagi
barang-barang dia? Eh! Tiara... kau tahu tak yang aku dari
dulu lagi tak suka budak tu!”
“Mak? Sampai hati mak cakap macam tu pada arwah
Chi Cha. Dia tak berdosa mak. Tiara ni yang dah salah dengan
mak!”
“Huh! Kau ingat aku nak terima kau balik ke Tiara?
Budak tu ada kat dunia ke, dah meninggal ke, aku tetap
takkan maafkan salah kau tu.”
Tiara terkebil-kebil dan mengalah. Dia mengangguk
kepalanya perlahan-lahan sambil melangkah kaki keluar
dari pintu bilik. Biar berpuluh kali Tiara minta ampun maaf
terhadap dosa dan salahnya, emak tetap akan ulang ayat itu.
Entah sampai bila baru emak akan memaafkan salahnya.
Tiara berlalu ke ruang tamu dan membiarkan sahaja
emak memulakan kerja pembersihannya itu. Biarlah emak
mahu mencampak ke mana pun baju dan barang anaknya
itu. Namun nama Chi Cha tetap tak dapat dihakis dari
ingatannya. Tiara bukan kenangkan Chi Cha kerana Khalid.
Namun kerana kehadiran Chi Chalah Tiara boleh berubah.
Berubah menjadi manusia yang tahu apa itu dosa.
Tiara menapak keluar dari rumah. Kasut jenama
Converse yang sering dipakai untuk ke tempat kerja disarung
lalu diikat kuat. Tiara sudah lewat untuk ke tempat kerja.
Kalau dia terus bersoal jawab dengan emak berkaitan baju
arwah Chi Cha, tak semena-mena tapak tangan emak nanti
akan naik ke mukanya. Tiara bukan takut tapak tangan
emak, tapi Tiara malu kalau Fairuz melihat pergaduhan
anak-beranak yang sudah sekian lama itu.
Sebaik sahaja tiba di tempat letak motosikal di
kawasan rehat sebelah tol, Tiara terpandang seseorang.
Dengan tiba-tiba matanya rasa sakit dan terbakar seperti
api. Dia langsung tidak memandang wajah lelaki yang
sedang merenung tajam ke arahnya itu. Buat apa dia hendak
memandang muka lelaki yang menyakitkan hati itu? Dengan
selamba Tiara terus mengunci tayar motosikalnya dengan
rantai.
“Motosikal kapcai macam ni pun nak bergari-gari
jugak? Siapalah yang nak curi? Nak pandang pun tak lalu!”
Huh! Tiara berdengus kasar. Sakit telinganya
mendengar kata-kata lelaki berjaket hitam itu. Mahu rasa
pelempang lagi gamaknya ni! Namun Tiara tetap berlagak
bersahaja.
“Hei! Berani kau sepak muka aku!” Syed Wafi
tiba-tiba merentap lengan Tiara sekuat hatinya. Dia tiba-tiba
meradang kerana permohonan maaf yang ingin didengari
langsung tidak keluar dari bibir gadis tol itu. Rasa sakit
kerana penumbuk dulu pun masih belum dilupakan, inikan
pula pelempang semalam.
“Kau ni nak kena apa lagi, hah!” jerkah Tiara.
Dengan sekuat hati dia merentap pergelangan tangannya.
Dendam dan benci Tiara terhadap lelaki berjaket hitam itu
makin membuak-buak. Nasib baiklah hari masih terang.
Kalau tidak, sudah lama dia terajang lelaki itu sekuat hatinya.
Syed Wafi terkejut. Bukan kerana suara gadis itu,
Tetapi kekuatan luar biasa gadis itu. Ingatkan dialah lelaki
gagah lagi kacak pada abad ini. Tetapi ada lagi wanita yang
lebih kuat daripadanya. Sudahlah kuat, cantik pula tu.
Sememangnya, Syed Wafi masih belum berpuas
hati dengan gadis itu kerana penumbuk dan pelempang yang
diterimanya. Tetapi pada ketika ini ada perkara lain yang Syed
Wafi hendak tahu. Dia ingin tahu tentang telefon mainan itu.
Dia ingin tahu kenapa begitu berharga telefon mainan itu
kepada gadis tol berkenaan. Bukan dia mahu jaga tepi kain
orang, tetapi kerana hal itulah dia tidak nyenyak tidur. Dan
perkara itu begitu merunsingkan dan mengganggu hidupnya.
Syed Wafi memandang gadis tol yang gagah perkasa
berjalan melintasi kaunter-kaunter tol tanpa menoleh ke
arahnya.
“Dia tu, memang teruk betullah! Sudahlah tumbuk
pipi aku, siap bagi pelempang lagi, tak tahu pulak nak minta
maaf. Tadi dia jerkah aku bukan main kuat lagi. Tapi sekarang
ni, bukan main terkedek-kedek berjalan. Dia tak tahu ke yang
dia marah ni siapa sebenarnya, hah?” Syed Wafi menjeling
tidak puas hati. Namun sebelum dia berganjak dari tempat
itu, Syed Wafi terpandangkan sesuatu.
“Apa tu?” Syed Wafi menghampiri motosikal kapcai
yang siap berantai. Berkerut-kerut dahinya ketika dia
mengangkat sesuatu yang jatuh di sisi tayar motosikal itu.
Syed Wafi memandang ke arah kaunter-kaunter tol. Tanpa
membuang masa dia terus meninggalkan kawasan tol itu dan
terus pulang ke rumahnya.
No comments:
Post a Comment