Misi Memujuk Hati Si Bunga Melur #1...
HANTAR bunga.
Loceng pintu berbunyi berdeting-deting. Kening
sedikit dikerutkan. Butang pembesar suara ditekan.
“Ya?”
“Ini rumah Cik Jasmine Hannah James Abdullah?”
Amboi! Nombor Mykad tak nak sebut sekali ke?
Jasmine pandang muka budak penghantar barang itu tanpa
perasaan.
“Ya. Ada apa?”
“Ada kiriman bunga untuk cik. Saya perlu
tandatangan cik di borang ni.” Papan klip borang untuk
ditandatangani disuakan ke skrin lubang digital.
Daun pintu terkuak luas. Bagai hendak jatuh rahang
ke lantai melihat besarnya jambangan indah tersebut.
Jambangan tersebut dipenuhi dengan bunga melur dan
mawar putih yang mengelilingi sekuntum mawar merah.
Sekeping kad terselit di ikatan reben menarik perhatian
Jasmine.
Bibir dicebikkan. Parap 'YD' sudah cukup buat
Jasmine faham siapa gerangan pengirim bunga tersebut.
'Sorry, konon! Ingat aku budak-budak ke? Lepas
kau buat aku marah, kasi aje gula-gula, aku boleh berhenti
nangis? Boleh buat aku lupa kesedihan aku? Boleh tebus
penghinaan yang aku rasa? Sorryyy!'
Jambangan bunga yang hampir sebesar tubuh
sendiri dipeluk erat. Berkaki ayam Jasmine berjalan menuju
ke pintu rumah si pengirim bunga. Butang loceng ditekan
geram. Jasmine siap berkhayal suis loceng itu muka Yusuf.
Huisy! Semakin bersemangat Jasmine menunjal-nunjal suis
tersebut.
Tidak sampai beberapa minit, wajah Yusuf terpacul
di muka pintu.
“Oit! Berlubang jugak dinding aku. Tak tumpul jari
ke kau tekan loceng?”
“Diamlah! Nah! Ambil balik!!!”
“Oofff!” Mujur tidak masuk ke rongga mulut.
Tersentak Yusuf dengan tindakan pantas Jasmine. Belum
sempat dia hendak protes, telinga menangkap dentuman
pintu, dan kelibat Jasmine sudah tidak kelihatan. Keluhan
kecil dilepaskan. Telefon bimbit dicapai dari dalam poket jean
lusuh.
Abang dah hantar bunga. Dia tak
suka pun!
Baik tukar jantina! Nak ngurat pun
tak pandai
Cakap elok sikit ya. Cepatlah!
Sekarang nak buat apa pulak?
Okey... kalau Kak Hannah tak suka
bunga, hantarlah coklat ke, teddy
bear ke. Pompuan memang cepat
leleh dengan benda-benda macam
ni!
Kalau tak jalan jugak, abang potong
elaun bulanan!
Kejam!
Misi #1? Gagal!!!
Misi Memujuk Hati Si Bunga Melur #2...
HANTAR COKLAT dan teddy bear.
Loceng pintu berdenting. Yusuf kerut dahi. Wajah
budak penghantar penuh di atas skrin. Cepat-cepat pintu
dibuka.
“Kenapa?” Mata terus tertumpu kepada gubahan
coklat Godiva dan patung beruang berwarna putih di
kedua-dua tangan budak muda itu.
“Cik kat rumah depan tu minta tolong hantar
barang-barang ni ke rumah encik.”
“Tapi, saya bayar awak untuk hantar barang kepada
dia.”
Si budak penghantar sudah mula garu kepala.
Yusuf mengeluh kecil. Mata dilirik ke pintu rumah
Jasmine.
“Cik tu dah pergi encik. Siap dengan beg pakaian, dia
cakap dia tak boleh lama-lama, dia nak pergi kerja. Sebab tu
saya turutkan aje.”
Hmm... Jasmine bertugas agaknya. Lagi dua tiga
hari barulah dapat jumpa kalau macam itu. Yusuf geleng
kepala. Siapa nak makan coklat ni? Patung beruang comel
direnung dalam.
'Padan muka kau, Yusuf!!!'
Misi #2? Pun gagal.
Misi Memujuk Hati Si Bunga Melur # 3
JADI PAK pacak!
'Okey, kalau perkiraan budak tu tepat... 5, 4, 3, 2, 1...'
Yusuf menanti penuh harapan.
Ting!!!
Pintu lif terbuka lebar.
“Assalamualaikum!”
Terhinggut kedua belah bahu Jasmine. Langsung
tidak menyangka pada waktu seawal ini Yusuf sudah tegak
berdiri di hadapannya. Mata melayang jelingan tajam kepada
Yusuf yang tersengih-sengih.
Bam!!!
Berdentum bunyi pintu dihempas hampir
memekakkan telinga. Yusuf mengurut belakang tengkuk.
'Jasmine... Jasmine... Apa lagi yang boleh aku buat
ni?' Yusuf merenung pintu rumah Jasmine.
Perlahan Jasmine menyandarkan tubuh yang letih
di belakang pintu. Perjalanan berbelas jam sambil bekerja
di udara bukan mudah. Melayan kerenah penumpang yang
cerewet sangat-sangat menguji kesabarannya. Apatah lagi
saat hati memang tidak senang. Fikiran pula asyik terganggu
dengan apa yang berlaku dalam hidupnya sejak akhir-akhir
ini.
Jasmine curi-curi memandang melalui lubang
intai pintu. Yusuf masih setia berdiri di depan rumahnya.
Wajahnya suram.
'Macam mana dia tahu aku pulang hari ini, eh?
Hmmm... takde lain, Melati Azzahrah! Pandai budak tu
jadi pengintip.' Patutlah beria-ia benar hantar WhatsApp
tanya tentang jadual bertugasnya. Ada udang di sebalik batu
rupanya!
Bibir mengoyak senyum nipis. Langsung dia tidak
menyangka Yusuf bersungguh-sungguh untuk meminta
maaf. Memanglah hatinya sakit saat mendengar kata-kata
Yusuf tempoh hari. Tapi, menjadi seorang Jasmine, tidak
sukar untuk memaafkan dan melupakan sesuatu, mahupun
seseorang. Hatinya memang lembut. Terlalu lembut,
hinggakan dia seakan pasti, suatu hari nanti dia akan lebih
terluka kerana kelemahannya yang satu itu.
Loceng pintu tiba-tiba berbunyi. Mengintai melalui
lubang di pintu rumah, wajah Yusuf yang sedang menayang
barisan khazanah mutiaranya terpacul jelas.
“Siapa?” Butang pembesar suara ditekan.
Yusuf ketap bibir. 'Nak balas dendamlah tu!'
“Takpe. Aku faham mata kau masih kabur-kabur
sebab mengantuk, kan? Tu sebab tak nampak muka aku yang
handsome ni.”
“Perasan!” Jasmine juling mata ke atas.
“I brought you breakfast. Potongan buah-buahan
segar, sandwic tuna, freshly brewed coffee. Semuanya
homemade tau. Subuh lagi aku dah bekerja keras. Jom piknik
kat taman.” Bakul piknik yang berhias dengan bunga mawar
putih diangkat sejajar dengan pandangan Jasmine.
“Kau tak kerja ke hari ni?”
Yusuf tahan senyum. Jasmine sudah mahu berbual
semula. Ini petanda yang bagus!
“Masih awal. Sempat lagi. Jomlah Jas. Aku betul-betul
nak minta maaf. Aku tahu aku keterlaluan tempoh hari.
Maafkan aku, ya?”
Jasmine pejam mata rapat-rapat.
“Kau tak payah nak minta maaf, sebab apa yang kau
cakap memang betul.” Perlahan suara Jasmine kedengaran di
telinga, membuatkan Yusuf semakin dihimpit rasa bersalah.
“Aku minta maaf sebab masuk campur dalam hal
peribadi kau. Tapi as a friend, aku cuma nak kau tahu satu
perkara. Tak pernah terlambat untuk berubah. Dato’ Adam
tu tak sesuai untuk kau. Perempuan baik untuk lelaki yang
baik, Jasmine.”
Daun pintu dikuak luas. Jasmine berdiri tegak di
hadapan Yusuf.
“Perempuan baik untuk lelaki yang baik? Aku ni
perempuan macam mana, Yusuf? Perempuan yang tak baik,
kan? Bukankah itu maknanya aku cuma sesuai dengan lelaki
yang tak baik? Macam Adam?”
Soalan Jasmine membuatkan Yusuf terdiam
membisu seketika.
“Jasmine...”
“Pernah tak kau terfikir kemungkinan yang mana
aku juga tidak gembira dengan kehidupan ini? Yang aku juga
punya harapan untuk menjadi seorang perempuan yang baik,
yang ditakdirkan menjadi tulang rusuk seorang lelaki yang
baik?”
“Sebab itu aku nak kau berubah. Tinggalkan Dato’
Adam. Kau seorang perempuan yang baik, yang cuma
membuat pilihan yang salah. Dia tak bagus untuk kau. Kau
masih muda, bijak, cantik. Cari lelaki yang boleh membimbing
kau semula ke jalan yang benar, Jas.”
“Semuanya bukan semudah seperti yang kau sangka,
Yusuf. Aku dengan Adam, kami berdua... it's complicated,
aku...”
“Bukankah aku dah bagi amaran jangan cari dan
ganggu Hannah lagi, Yusuf!!!”
Serentak Yusuf dan Jasmine menoleh ke arah
datangnya suara itu. Kelihatan Dato’ Adam dengan wajah
yang tegang sedang berdiri berhampiran dengan mereka
berdua. Jasmine mulai gelabah, dan Yusuf perasaan akan
perubahan riak wajah itu. Apakah sebenarnya yang berlaku
antara mereka dan akhirnya membawa kepada hubungan ini?
It’s complicated?
“Adam, I...”
“Tutup mulut you, Hannah! You dah terlalu banyak
bercakap. Dasar perempuan tak sedar diri!”
Melihat Jasmine yang hanya menundukkan
kepala selepas ditempelak Dato’ Adam, darah Yusuf mula
menggelegak panas.
“Kalau kau cakap elok-elok, tak boleh ke? Jangan
pandai cakap aje, kau tu lagi tak guna. Dah tua nak mampus,
ada hati nak dengan perempuan muda! Datin Mirrah dekat
rumah tu, kau nak buat apa? Pekasam?” marah Yusuf separuh
menjerit.
“Eh! Berapa kali aku nak cakap dengan kau, hah???
Jangan masuk campur hal aku dengan Hannah. Jangan dekati
dia lagi! Aku dah muaklah dengan kau, Yusuf. Satu lagi, kau
jangan sekali-kali guna nama Mirrah dalam hal ni. Cukup
dengan apa yang kau pernah buat dengan...”
“Sudah!” jerit Jasmine tiba-tiba. Serta-merta
menghentikan pertelingkahan yang sudah hampir
memuncak. Takut saja ada penumbuk yang melayang di
muka sesiapa.
Dato’ Adam menghela nafas panjang. Peluh yang
merecik di dahi dikesat dengan sapu tangan. Yusuf hanya
mampu mengurut belakang tengkuk. Beberapa saat lagi,
pertengkaran antara dia dengan Dato’ Adam pasti akan jadi
lebih buruk. Dia terfikir sekiranya Jasmine tidak mencelah,
sudah pasti semua sejarah silam akan tersingkap dari mulut
masing-masing. Kalau itu terjadi, apakah pandangan Jasmine
terhadapnya?
Ting!!!
Tiga pasang mata sekarang tertumpu pada susuk
tubuh tinggi lampai yang melangkah perlahan namun penuh
gaya ke arah mereka.
“Well... well... well... What do we have here? You
cakap you nak pergi meeting, ini ke tempat meeting you,
Adam?” soal Datin Mirrah sinis. Mata melotot tajam ke arah
Jasmine yang menikus di belakang Yusuf.
“Mirrah? You buat apa kat sini?” Mampus! Dato’
Adam sudah mula menggelabah. Isterinya itu memang
gila! Tindakannya selalu mengikut naluri, tidak pernah
menggunakan otak. Entah apa yang akan dilakukan oleh
isterinya itu kalau tahu hubungannya dengan Hannah.
“Jadi, memang betullah you ada simpan perempuan
kat sini? Ini ke perempuan simpanan you, Adam? Perempuan
yang buat you sampai sanggup habiskan beribu-ribu ringgit?”
Datin Mirrah mula mendekati Jasmine.
“Perempuan sial!” Sepantas kilat Datin Mirrah
mengayun kuat beg tangannya ke sisi kepala Jasmine.
Jasmine terus jatuh terjelepok ke atas lantai.
Kepalanya pening, telinganya berdengung, mata pula
berpinar-pinar.
Masih tidak berpuas hati dengan serangannya yang
pertama, Datin Mirrah sekali lagi ingin melibas Jasmine
dengan beg tangannya. Mujurlah kali ini ada tangan kekar
yang sempat menghalang.
“Sudah, Datin!”
Datin Mirrah mencerlung ke arah Yusuf. Merah
padam mukanya menahan marah.
“You jangan masuk campur, Yusuf! I nak kerjakan
perempuan merenyam ni. Berani dia ganggu rumah tangga
I!”
“Kalau kau pukul dia lagi, aku tak teragak-agak
panggil polis!”
Datin Mirrah jadi terkedu. Polis?
“Apa gunanya you bantu perempuan ni, Yusuf? Ini
tak ada kena-mengena dengan you!”
Tanpa menjawab pertanyaan tersebut, Yusuf
memapah Jasmine berdiri. Perlahan-lahan Yusuf
membawanya menuju ke pintu rumah Jasmine. Ada darah
mengalir di pelipis kiri Jasmine.
Datin Mirrah mula hilang sabar sekali lagi. Baru
sahaja hendak menerpa ke arah Jasmine, Yusuf terlebih
dahulu melelar lengan wanita itu dan menolaknya lembut ke
arah Dato’ Adam.
“Tak ada kena-mengena? Kau lupa siapa perempuan
ni? Dia perempuan yang sama kau nampak dengan aku di
bilik hotel dulu. Dia teman wanita aku!” tempelak Yusuf.
“Bullshit! Ada yang tak kena di sini. Perempuan ni,
tinggal di rumah ni yang didaftar atas nama Adam. You ingat
I bodoh?” Mata Datin Mirrah terjegil keluar. Kedua tangan
mencekak pinggangnya yang masih lagi ramping.
“Memang rumah ni didaftarkan atas nama Dato’
Adam, tapi aku dalam proses nak membelinya untuk Jasmine.
Kebetulan aku tinggal di depan itu sahaja. Hari ni kami
berjumpa untuk selesaikan proses jual beli rumah ni.”
“I tak percaya.”
“Terpulang.” Jawab Yusuf tenang.
Datin Mirrah terdiam. Walaupun masih ada curiga,
namun lidahnya masih tidak dapat mengutarakan apa-apa.
“Maklumat yang kau dapat mungkin betul, tapi
sayangnya agak kurang tepat. Jasmine Hannah is mine.
Aku tak tahu mana kau dapat idea yang dia tu perempuan
simpanan Dato’ Adam. Sedangkan aku yang sebenarnya
punya hubungan dengan Jasmine. Now, please excuse me.
Aku kena rawat teman wanita aku. Tapi ingat satu perkara,
kau sentuh lagi Jasmine, hatta seurat rambut sekalipun, kau
akan terima surat daripada peguam aku. Kes ini akan jadi kes
polis, faham???” Dengan patah kata-kata itu, Yusuf berlalu
mendapatkan Jasmine.
Langkah kemudian terhenti seketika, kepala ditoleh
untuk mencari wajah Dato’ Adam yang serupa tiang, kaku
berdiri.
“Tolong bawa isteri kau pergi dari sini sebelum aku
panggil polis.”
“Sorrylah, abang. Nak buat macam mana, Melati ada
hal.”
“Alaa... datang sekejap aje. Jasmine tengah sakit tu.
Abang mana boleh temankan dia berdua aje.”
“Tak bolehlah abang. Hal penting ni. Abang buka
pintu luas-luas. Buka semua tingkap, semua pintu. Pendek
kata semualah! Takdenya pegawai pejabat agama nak datang
cekup kat situ. Kalau ada pun... ehem... Selamat pengantin
baru, abang! Hehe...”
Klik!
Yusuf renung telefon bimbitnya. Kurang asam
punya budak! Telefon disimpan ke dalam poket seluar.
Yusuf urut belakang tengkuk. Jasmine yang sedang baring
mengiring dipandang dengan penuh simpati. Tubuh itu
terhinggut-hinggut menahan esak.
“Jasmine... kau okey tak? Aku panggil doktor, ya?”
Geleng.
“Luka kau takdelah teruk sangat. Aku dah letak krim
antiseptik. Lepas kau makan paracetamol ni, kau rehatlah
dulu. Eh! Tapi, kau dah sarapan ke belum ni?”
Senyap.
“Oh! Nanti aku hantar bakul piknik tak jadi tu. Kau
sarapan ya? Aku balik dulu. Apa-apa hal, kau telefon aku tau.”
Senyap.
Yusuf menarik nafas panjang-panjang. Letih!
“Jasmine... dengar cakap aku, tinggalkan Dato’ Adam
sebelum hal menjadi bertambah buruk. Aku kenal sangat
dengan perangai Datin Mirrah. Dia takkan berhenti di sini
saja. Cari lelaki yang lebih pandai menghargai kau, Jasmine.
Yang boleh melindungi kau.”
Senyap.
Yusuf mengeluh. Punggung diangkat dari birai katil.
Sudah lama dia berada di rumah Jasmine. Takut nanti jadi hal
lain. Timbul masalah lain pula.
“Aku pergi dulu.”
“Kau takkan faham, Yusuf. Aku dah jauh terpesong.
Dah terlalu banyak aku termakan budi Adam. Tak ada apa yang
boleh aku buat untuk betulkan semua ni. Tak ada siapa yang
boleh selamatkan aku. Macam kau cakap tadi, perempuan
baik hanya untuk lelaki yang baik. Perempuan macam aku...”
Perlahan suara Jasmine menghentikan langkah
Yusuf.
“Perempuan macam kau juga punya harapan kalau
kau betul-betul mahu berubah. Kalau kau tekad mahu keluar
daripada cengkaman Dato’ Adam, izinkan aku jadi penyelamat
kau, Jas. Dail 911. Aku sedia membantu. Aku kan dah janji?
Kita sama-sama berusaha untuk menjadi yang lebih baik.”
Jasmine bangkit dari perbaringan.
“Maksud kau?”
“Kita kahwin.”
Jasmine terlopong.
No comments:
Post a Comment