SYED Wafi merenung lama ke dalam cermin.
Berkerut-kerut dahinya apabila melihat warna biru
kehitaman di kiri pipi. Dia cuba menekan bahagian biru itu
dan akibatnya....
“Argh! Apa hal dengan pipi aku ni? Hesy! Siapa pulak
yang dah debik muka macho aku ni? Kurang ajar betullah!
Siapa yang berani buat benda jahat macam ni, hah?” Syed
Wafi cuba mengingati kembali kejadian yang dilaluinya
malam tadi. Namun satu pun dia tidak ingat dari mana dia
mendapat cop mohor itu.
“Wafi!!! Cepat turun! Sarapan!!!”
Syed Wafi menghembus nafas sambil tangan pantas
melilit tali leher pada kolar baju.
“Sarapan! Sarapan! Sarapan! Dah tak ada benda lain
ke nak dibuat? Tak ada selera betul nak makan pagi-pagi ni!”
bebel Syed Wafi. Namun dia cepat juga melangkah keluar dari
bilik. Dia tak suka dilaung-laung begitu. Malu pada anak-anak
buahnya.
Tiba di meja makan, seluruh mata memandang pelik
ke arahnya. Syed Wafi buat tidak tahu, dia terus menarik
kerusi dan duduk menyantap apa sahaja yang terhidang.
Biarpun tekaknya memang tidak suka betul dengan sarapan
pagi tetapi demi mengambil hati umi, Syed Wafi terpaksa
juga melantak banyak-banyak.
“Balik lewat malam, lepas tu mabuk! Berjalan pula
dah macam zombi patah kaki, apa nak jadi dengan kamu ni
hah, Syed Wafi?” hambur Datin Sharifah dengan ton suara
yang agak tinggi sambil merenung anak bongsunya dengan
pandangan yang tajam dan penuh rasa marah.
Syed Wafi meneguk air oren yang manis. Tapi entah
kenapa rasa manis itu tiba-tiba bertukar kelat tak tentu
pasal. Mungkin disebabkan radiasi yang terpercik daripada
kemarahan umi itu.
“Apa nak jadi dengan Wafi ni, hah? Dah besar
panjang pun buat perangai macam tu. Tak malu ke minum
minuman haram tu? Kita ni orang Islam, tahu tak? Tak takut
dosa ke? Nak masuk neraka!” Datin Sharifah tidak mampu
lagi menahan kemarahannya.
“Sebab dia tak takut dosalah tu umi. Kalau dia takut,
tak adalah dia langgah air kencing syaitan tu,” tambah Syed
Waris.
“Huh!” Syed Wafi berdengus. Dia menjeling tajam ke
arah Syed Waris. Abang sulungnya itu sedang sedap menyuap
bihun goreng ke dalam mulut. ‘Sekali aku sumbat mulut dia
tu dengan gelas ni baru tahu! Sedap aje mengata aku.’ Marah
Syed Wafi dalam hati.
Datin Sharifah menoleh ke arah Dato Syed Wali yang
diam dan asyik makan tak henti-henti. Dia menarik muka
masam dengan sikap suaminya itu. Memang tak membantu
langsung! Bukan mahu menegur anak yang makin sesat itu.
“Tu, pipi tu! Kenapa pula boleh lebam macam tu?”
soal Datin Sharifah.
Syed Wafi menyentuh pipi kirinya.
‘Kalaulah Wafi tahu kenapa pipi ni boleh lebam
macam ni, tak adalah Wafi duduk bersenang-lenang
menghadap makanan yang membosankan ni umi. Awal-awal
lagi Wafi dah cari orang yang bertanggungjawab membuat
cop mohor ni.’ Jawab Syed Wafi dalam hati.
“Bagi kahwin aje Wafi ni, umi. Biar dia
bertanggungjawab sikit,” celah Sharifah Sufiah. Kak ngah
Syed Wafi.
Syed Wafi tiba-tiba bangun dari kerusi. Memang dia
tak sangka kak ngahnya akan berikan cadangan mengarut
begitu.
Datin Sharifah menjeling tajam ke arah Syed Wafi.
Dia tiba-tiba menarik lengan Syed Wafi kuat dan menyuruh
anaknya duduk semula.
“Apa ni umi? Wafi nak pergi kerjalah,” luah Syed
Wafi lembut.
“Duduk dulu. Nak pergi kerja apa pula? Hari ni kan
hari Ahad.”
Erk? Syed Wafi tergamam sambil mulutnya terbuka
kecil. Malunya dia waktu itu hanya dia sahaja yang tahu.
“Itulah, mabuk lagi! Hari pun dah lupa. Lepas
ni, nama pun kau dah tak ingat lagi agaknya. Hai… Wafi,
Wafi....” Syed Waris mengunyah roti bakar perlahan-lahan.
Mulanya dia hendak tergelak melihat reaksi Syed Wafi, tetapi
demi mempertahankan kemarahan umi, dia pendam sahaja
geli hatinya itu. Lucu betul dengan riak wajah Syed Wafi tadi.
Syed Wafi membungkam dan diam. Dia merenung
meja makan yang penuh dengan pelbagai hidangan. Anak-anak
buahnya yang masih kecil makan tidak henti-henti. Setiap
kali umi membebel, mereka memandang ke arahnya.
‘Dia orang ni mesti pandang rendah dekat aku,’ bisik
Syed Wafi.
“Wafi, dengar sini umi nak cakap. Kalau Wafi tak
berhenti buat perangai buruk macam tu lagi, umi akan
kahwinkan Wafi dengan gadis pilihan umi!” Datin Sharifah
nekad dengan keputusannya.
Seluruh ahli keluarga yang sedang berselera
menjamu sarapan pagi tercengang dan memandang ke arah
Datin Sharifah.
“Umi? Apa ni umi? Tak baik umi buat macam tu,
Wafi bukan bagi masalah pada syarikat pun. Abi, apa ni abi?”
Syed Wafi masih tidak percaya dengan keputusan Datin
Sharifah. Dengan kepala tergeleng-geleng Syed Wafi menarik
nafas lemah.
TIARA DUDUK bersandar di atas katil. Sambil merenung
keluar tingkap, air matanya terus mengalir.
‘Kenapa bukan aku yang mati? Kenapa? Kalaulah aku
mati waktu tu? Ya Allah, tolonglah aku Ya Allah, tenangkanlah
hatiku. Hilangkanlah rasa rindu ini, hilangkanlah ingatanku
kepada Batrisya. Aku tak mahu ingat pada dia, aku tak
sanggup menangis dan menyeksa rohnya.’ Tiara menekup
mukanya dengan bantal.
Tiba-tiba bahu Tiara diusap lembut oleh seseorang.
Tiara mengangkat wajahnya dan merenung wajah orang yang
sedang cuba memujuknya.
“Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Dalam
kesedihan pasti akan hadir kegembiraan, kerana sebuah
musibah lahirnya sebuah hikmah. Setiap dugaan yang
menimpa bukanlah bertujuan meruntuhkan ketakwaan
sebaliknya demi memperkuatkan lagi keimanan. Redalah
dengan setiap kejadian barulah jiwa akan mendapat
ketenangan.”
Tiara terkedu mendengar kata-kata penuh hikmah
dari bibir mak su.
“Tiara tak kuat mak su, Tiara tak cukup alim nak jadi
orang yang sabar dan reda.”
“Orang alim memang punya sifat sabar dan reda
yang tinggi. Tapi sebagai makhluk Allah, kita semua dituntut
untuk jadi manusia yang begitu. Tak salah Tiara nak ingat
dan rindu pada adik, tapi biarlah memberi manfaat kepada
rohnya. Banyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Itu
sahaja yang boleh Tiara lakukan untuk roh dia. Kalau Tiara
betul-betul sayangkan Chi Cha dengarlah nasihat mak su ni.
Kita semua tak pernah lupakan Chi Cha.”
Tiara menghembus nafas lemah. Sememangnya
semenjak melihat jenazah Chi-Cha dikebumikan tadi, Tiara
sudah reda melepaskan anaknya itu pergi. Dia tahu nyawa
setiap makhluk di atas muka bumi ini adalah milik yang Maha
Esa. Tiara tahu kematian itu lumrah kehidupan. Namun
bukan kematian Chi Cha yang membuatkan air mata Tiara
asyik tumpah dan mengalir tetapi kenangan bersama Chi Cha
itulah yang sedang mencarik perasaannya.
“Tiara, mak Tiara tak buat tahlil dekat rumah ni. Dia
cakap pak cik Tiara dah suruh orang surau tolong buatkan.
Tiara tak apa ke?”
Tiara tidak menjawab. Dia hanya mengangguk
kepalanya perlahan.
“Kalau macam tu, mak su dengan pak su nak baliklah
hari ni. Lagipun mak su tak boleh tinggal rumah lama-lama.
Kalau Tiara nak ikut mak su, jomlah.”
“Tak apalah mak su. Tiara tak sampai hati nak
tinggalkan rumah ni. Sebenarnya Tiara masih boleh rasa
kehadiran Chi Cha dalam rumah ni.” Tiara terpaksa menolak.
Kalau ikutkan hati yang sedih itu mahu juga dia beralih angin
buat sementara waktu. Tapi apa pula kata emak. Tiara tak
mahu emak naik angin.
“Kalau Tiara dah cakap macam tu, mak su tak dapat
buat apa-apalah. Cuma mak su nak pesan, kalau Tiara rasa
nak datang rumah mak su, Tiara datang aje. Jangan fikir
banyak ya?”
“Baiklah. Mak su, terima kasih sebab selama ni mak
su layan Chi Cha dengan baik. Dulu mak su pernah jaga Chi
Cha masa dia kecil. Sampai sekarang pun Tiara tak mampu
nak membalas jasa mak su tu.”
“Tiara, mak su ni mak saudara Tiara. Chi Cha tu dah
macam anak mak su jugak. Dah jadi tanggungjawab mak su
untuk jaga anak-anak saudara mak su. Tiara janganlah putus
asa. Yang dah pergi tu biarlah Allah yang uruskan. Kita yang
masih hidup ni kena teruskan langkah.”
Tiara hanya mengangguk lemah. Dia sudah tidak
mampu berkata-kata kerana terlalu letih dan tidak berupaya.
Badannya pun sudah semakin panas dan sakit-sakit.
Kerongkongnya makin kering dan ngilu. Tiara tahu tubuhnya
itu akan demam tidak lama lagi. Namun demi mak su, Tiara
tetap kuatkan diri. Tiara tidak mahu membiarkan mak su
melihat dia rebah dan terkulai di situ. Biarlah mak su pulang
ke rumah dahulu.
Mariam mengangguk dan mengusap bahu Tiara
perlahan. Lima tahun yang lalu, Chi Cha dilahirkan. Biarpun
dia dan suaminya berterusan memujuk agar Tiara membuka
mulut dan memberitahu siapakah lelaki yang sudah terlanjur
dengan anak saudara mereka itu, Tiara langsung mengunci
mulutnya. Hingga ke hari ini, tiada sesiapa pun tahu siapakah
lelaki yang sudah membuntingkan Tiara.
Kakak iparnya apatah lagi. Tubuh Tiara yang kurus
itu sudah diibaratkan seperti batang pisang. Setiap hari
dibalun kuat. Tak puas dengan batang paip, batang penyapu
pun dia sebat juga. Berhari-hari Tiara diikat di tiang seri
rumah tidak diberi makan minum. Semuanya gara-gara
mulut orang kampung yang tak henti-henti membuat fitnah
dan mengumpat.
Mariam tahu memang Kak Fatimah malu dan
kecewa terhadap Tiara. Namun kakak iparnya itu tak patut
menghukum Tiara seteruk itu. Hingga ke saat ini, Kak
Fatimah tak pernah memaafkan Tiara kerana kesilapan itu.
Mariam menghembus nafas sambil menggeleng kepala.
Hingga ke akhir hayat pun Batrisya tidak tahu siapa ayahnya.
Rahsia Tiara sudah terkubur bersama jasad anaknya itu.
No comments:
Post a Comment