DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 27 June 2016

Ivy Raihana - Bab 14

USAI solat subuh, Ivy tidak kembali tidur seperti
kebiasaannya. Katil yang berselerak dikemas rapi kemudian
jendela di dalam biliknya dibuka luas-luas membiarkan
angin sejuk masuk. Mata terpejam dan nafas ditarik
dalam. Menikmati kesegaran suasana pagi di kampung.
Memandangkan hari ini dia cuti, dia bercadang untuk
mengemas rumah Nek Munah sampai licin. Biar terbuntang
mata Nek Munah melihat cucunya yang rajin ni. Hati Ivy
berbisik nakal.
Selesai mengemas bilik, Ivy keluar mengemas di
ruang tamu pula. Tak ada apa sangat yang perlu dikemaskan
pun, rumah Nek Munah bukan bersepah sangat. Cukup
sekadar menyapu habuk sajalah. Selesai tugasnya di ruang
atas, Ivy bergerak ke dapur. Dari tadi dia dengar neneknya
berperang di dapur seorang diri. Entah apa agaknya yang
nenek dia masak hari ini.
“Masak apa tu, nek?” soal Ivy sambil melangkah
turun ke ruang dapur.
Nek Munah menoleh ke arah Ivy seketika. “Siapa
yang tegur nenek tadi?”
Ivy tarik muncung. Itu nak perli dialah tu. “Tangga
tu yang tegur nenek.” Jawab Ivy lalu melabuhkan duduk di
atas kerusi.
Terlepas ketawa di bibir Nek Munah. “Awal pula
bangun hari ni?” sindir Nek Munah. Sindir-sindir manja saja.
“Tak tidur lepas subuh tadi, nek.” Ivy kenyit mata ke
arah Nek Munah. Kemudian matanya terarah pada hidangan
di atas meja. “Nasi lemak pagi ni, nek?”
“Iye, kan hari ni Ivy tak kerja. Nenek masak yang
berat sikit. Boleh makan sampai kenyang.” Ivy tersenyum
mendengar jawapan Nek Munah. Ini yang buat dia sayang
dekat nenek dia ni. Nek Munah memang dah tahu sangat
dengan selera dia. Suka manjakan dia dengan makanan. Itu
yang buat Ivy sayang nak tinggalkan Nek Munah seorang diri.
Untuk kepentingan perut sendiri rupanya.
Nek Munah menghampiri Ivy dengan sepinggan
kuih ketayap yang baru siap. “Nah, kuih kegemaran kamu.”
“Waa, nenek... sedapnya.” Tidak tertelan air liur
melihat kuih kegemaran di atas meja. Kan dah cakap, Nek
Munah memang suka manjakan dia dengan makanan. “Tapi
banyak sangat ni nek, mana mampu Ivy nak habiskan semua.”
“Ala makan je dulu.” Kata Nek Munah dengan tangan
sibuk menyendukkan nasi ke dalam pinggan Ivy. Kemudian
mereka hanya diam menikmati sarapan pagi.
“Nek...”
“Hurm...”
“Yang nenek pergi kenduri dua bulan lepas tu
kenduri apa ye, nek?” soal Ivy tiba-tiba.
Nek Munah memandang ke arah cucunya. “Kenduri
yang mana?”
“Ala nenek ni. Yang kenduri dekat rumah Fayed tu
la.”
“Ooo... Kenduri doa selamat sempena Fayed balik
kerja dekat sini.”
“Sebelum ni Fayed tinggal dekat mana?” soal Ivy
penuh minat. Sudah lama dia ingin bertanyakan tentang
Fayed tapi selalu lupa. Memandangkan hari ni dia tak dapat
nak buat operasi, jadi lebih baik dia menemu ramah neneknya
tentang Fayed. Orang cakap kalau tak nampak muka, dengar
nama saja pun jadilah. Naa... kau dah kenapa Ivy?
Nek Munah memandang ke arah Ivy, lama. “Nak
merisik tentang Fayed ke?” soal Nek Munah dengan penuh
tanda tanya.
“Erk!!!” Ivy tercengang. Lupa pula yang dia pernah
kantoi dengan Nek Munah pasal si Fayed ni. Itu la, teruja
lebih bercerita dengan Aieen tentang Fayed sampaikan
terlupa yang Nek Munah ada sama dalam kereta.
Ivy menggaru pelipis manakala Nek Munah pula
sudah tarik senyum. “Fayed sambung belajar dekat Kanada
dekat lima tahun. Awal tahun hari tu dia balik Malaysia.” Jelas
Nek Munah.
“Ooo...” Ivy angguk tanda faham kemudian dia hanya
diam menikmati makanan yang masih berbaki.
“Tak nak tahu ke Fayed tu dah berpunya ke belum?”
soal Nek Munah.
Pantas Ivy angkat kepala memandang ke arah Nek
Munah. “Nenek tahu ke?” soal Ivy dengan mata terbuntang.
Wah... ini sudah bagus. Nenek dia sudah terlebih update pula.
Laju Nek Munah menggeleng. “Nenek tak
tahu.” Jawab Nek Munah dengan senyuman yang cuba
disembunyikan. Jelas kelihatan riak teruja di wajah cucunya
tadi. Ivy ni memang betul-betul sukakan Fayed ke? bisik hati
kecil Nek Munah.
Bahu Ivy melurut ke bawah. “Nenek ni, buat suspend
sajalah.” Kuih ketayap dicapai dan disumbatkan ke dalam
mulut. Kembali merudum semangat dia untuk mengenali
Fayed dengan lebih dekat.
“Malam tadi ayah kamu telefon.” Nek Munah
mengalihkan topik perbualan mereka.
“Ayah cakap apa?” soal Ivy acuh tak acuh. Sejak dia
mula kerja di kedai bunga Kak Liza, hubungan dia dengan
Tuan Ilias sedikit dingin. Dia tahu yang ayahnya tidak suka
dengan kerja yang dia lakukan sekarang. Tetapi dia juga
tidak berminat untuk bekerja dekat syarikat ayahnya. Duadua
keras kepala, dua-dua ego. End up, ayah dia sudah tidak
menghubungi dia lagi.
“Ayah kamu tanya khabar kamu dengan nenek.”
Jawab Nek Munah ringkas.
“Kenapa ayah tak call tanya Ivy sendiri?” Kadang
terasa juga bila ayahnya lebih senang bertanya khabar tentang
dia daripada neneknya.
“Ada kamu telefon ayah kamu tu, tanya khabar dia
sihat ke tidak?” soal Nek Munah pula. Ivy menggeleng lemah.
“Jangan kamu harapkan ayah kamu Ivy sedangkan kamu
sendiri langsung tak telefon dia untuk bertanya khabar. Siapa
yang patut hubungi siapa sebenarnya?” soal Nek Munah.
Sungguh dia tidak suka dengan apa yang terjadi sekarang.
Terbuktilah Ivy ikut perangai Ilias, keras kepala.
Nek Munah bangun dari duduknya. “Nenek nak
ke belakang sekejap. Nanti jangan lupa telefon ayah kamu
tu.” Usai berkata Nek Munah terus melangkah keluar
meninggalkan Ivy sendirian.
Sampai bila, Ivy? Sampai bila tak nak cakap dengan
ayah? bisik hati kecil Ivy. Tanpa membuang masa tangannya
mencapai telefon di sebelah dan nombor telefon Tuan Ilias
dihubungi. Waktu sekarang mesti ayahnya sedang berehat di
rumah.
“Assalamualaikum...” Kedengaran suara Tuan Ilias
memberi salam. Tanpa teragak-agak Ivy menjawab salam
ayahnya itu.
“Ayah sihat?” soal Ivy perlahan.
Lama Tuan Ilias diam sebelum menjawab... “Sihat.
Ada apa Ivy call ayah?”
Ivy menarik nafas dalam. “Ayah... I’m sorry.” Kata
Ivy perlahan.
“What for?”
“Sebab degil, tak ikut cakap ayah.” Jawab Ivy tanpa
berselindung. Memang itu kenyataannya. Dia memang
seorang yang degil dan keras kepala. Juga tidak suka dipaksa.
Kedengaran Tuan Ilias mengeluh perlahan. “Macam
mana kerja? Tak penat ke? Susah tak?” soal Tuan Ilias.
Terbias senyuman di bibir Ivy. Dia dapat rasa yang
hati ayahnya sudah mula lembut. “Okey ayah, tak adalah
susah mana. Penat tu biasalah. Semua kerja pun penat.”
Jawab Ivy.
“I just want the best for you Vy. I want the best for
my little princess. Sebab itulah ayah nak Ivy kerja dengan
ayah.”
“Ini pun dah cukup baik untuk Vy ayah. Ivy suka buat
semua ini. Kalau ayah nak yang terbaik untuk Ivy, tolong
izinkan Ivy lakukan apa yang Ivy nak. Please, ayah.” Rayu Ivy.
Dia sudah penat bergaduh dengan ayahnya.
Sekali lagi kedengaran Tuan Ilias mengeluh. “Ayah
ikut cakap Ivy sebab ayah sayangkan Ivy, sangat-sangat.”
Ivy meloncat gembira. “Thanks, ayah!” Jerit Ivy
sekuat hati.
“Tapi kalau Ivy rasa nak berubah angin, tangan ayah
sentiasa terbuka untuk menerima Ivy di sini.” Sambung Tuan
Ilias lagi.
“Thanks, ayah! Thanks so much! You are the best
father in the world!” Jerit Ivy lagi. Terasa ringan kepalanya
bila masalah di antara dia dan ayahnya selesai. Rasa bebanan
yang bertimbun seperti baru saja diangkat dan dicampakkan
ke dalam laut. Betullah orang cakap, kalau kita degil dengan
kedua ibu bapa kita, hidup memang tak senang. Rasa terbeban
sangat.
“Ya... Ya... Now I’m the bestlah sebab ikut cakap Ivy.
Kalau tidak, I’m the worst father in the worldlah, ye?” Usik
Tuan Ilias.
“Ayah...”
Tuan Ilias ketawa. “Ayah gurau saja. Ni nenek buat
apa? Ivy tak tolong nenek ke dekat sana?”
“Nenek ada dekat luar. Ivy baru siap mengemaslah
ayah. Tinggal dengan nenek mana boleh berlagak diva. Nanti
kena piat telinga.” Adu Ivy manja.
Tuan Ilias ketawa lagi. “Memang patut pun nenek
piat telinga Ivy tu. Budak degil.”
“Degil ikut perangai ayah juga.”
“Eh, budak ni. Dahlah , ayah nak keluar date dengan
mama. Nanti kirim salam nenek.”
“Untung la... Alright, ayah. Kirim salam mama juga.”
Ivy tarik senyum setelah menamatkan perbualan dengan
Tuan Ilias. Ah sungguh dia rasa lebih tenang sekarang. Tiada
lagi salah faham di antara dia dengan ayahnya.
“Nenek, ayah kirim salam.” Jerit Ivy. Entah Nek
Munah dengar ke tidak. Matanya kembali tertancap pada kuih
ketayap yang masih banyak di dalam pinggan. “Hurmm... Aku
nak buat apa ye dengan kau, kuih?” Ivy mengetuk dagunya
dengan jari telunjuk.
Ting! Idea sudah mari. “Sebab aku tengah happy
sekarang, apa kata aku share kau dengan orang lain.” Kedua
belah keningnya diangkat tinggi.
Pantas Ivy berjalan ke arah pintu dapur. Kelihatan
Nek Munah sedang terbongkok-bongkok di bawah pokok
rambutan. Entah apalah yang neneknya sedang lakukan tu.
“Nek, kalau Ivy bagi dekat kawan Ivy sikit kuih tu, boleh tak?”
jerit Ivy di depan pintu dapur.
Nek Munah bangun berdiri tegak. “Bagilah Ivy.”
Jawab Nek Munah sebelum kembali membongkok.
“Terima kasih, nenek. Ivy nak keluar sekejap tau.”
Jerit Ivy lagi.
“Ye, jangan lama sangat.” Balas Nek Munah tanpa
memandang ke arah Ivy. Tanpa membuang masa Ivy terus
bergerak mengisi kuih ke dalam bekas. On with the next
mission!
IVY BERDIRI tegak di hadapan pagar rumah dua tingkat
itu. Ivy si kamikaze. Orang dulu-dulu cakap, kalau tak dapat
tengok muka orangnya, dapat tengok atap rumah pun jadilah.
Inilah yang Ivy sedang lakukan sekarang. Dapat tengok rumah
Fayed je bibir dah merekah dengan senyuman. Dia pernah
datang ke sini dulu jadi tidak susah untuk mencari rumah ini.
Agak-agak kalau Nek Munah tahu dia ke sini kena pancung
ke tidak dia nanti? Tanpa teragak-agak Ivy menekan loceng di
tepi pintu pagar. Seketika kemudian pintu pagar itu terbuka
dan kelihatan seorang gadis berjalan ke arah Ivy.
“Ye, cari siapa?”
“Err... Puan Fadhilah ada?” soal Ivy perlahan.
“Umi ada dekat dalam. Kakak ni siapa ye?” soal Fatin
sambil melirik ke arah Ivy atas bawah. Cantik pula kakak ni.
Macam best je bila pandang lama-lama.
“Akak cucu Nek Munah, datang bawa kuih yang Nek
Munah buat untuk Puan Fadhilah.” Ivy menghulurkan bekas
ditangan.
“Ooo... cucu Nek Munah. Jemputlah masuk, akak.
Saya Fatin, anak umi yang bongsu.” Fatin menarik tangan
Ivy untuk masuk ke dalam rumah.
“Eh, tak apa. Dekat sini saja.” Ivy menolak tangan
Fatin yang menarik tangannya untuk masuk ke dalam.
Peramah betul Fatin ni, berbeza dengan Fayed yang suka buat
muka stone tu.
“Alaaa... masuklah dulu akak, jumpa dengan umi.”
Ajak Fatin lagi.
“Err...” Jantung Ivy mula berdegup kencang.
Kalau masuk dalam kemungkinan besar dia akan jumpa
dengan Fayed. Dia tak nak macam tu, dia belum bersedia.
Perancangan awal dia hanyalah untuk menghantar kuih
kepada Puan Fadhilah saja. Plus, nak tengok rumah Fayed,
bukan Fayed. Diulang, bukan nak jumpa dengan Fayed.
“Urmm... tak apalah Fatin, lain kali ye akak masuk
dalam?”
“Lain kali tu entah bila la, akak. Jom la, jangan
segan. Nek Munah tu dah macam nenek Fatin juga tau.
Kawan baik umi kut. So, akak bolehlah jadi kawan baik Fatin
pula.” Kata Fatin dengan nada yang riang. Entah kenapa hati
dia betul-betul terpikat saat melihat wajah Ivy tadi. Terpikat
untuk dijadikan kawan.
“Tapi...” Ivy cuba mencari alasan tetapi langsung
tidak terlintas di fikirannya sekarang.
“No buts! Come lets go...” Sekali lagi Fatin menarik
tangan Ivy untuk masuk ke dalam rumahnya.
Setelah masuk ke dalam rumah Puan Fadhilah, mata
Ivy mula melilau melihat keadaan sekeliling. Suasana sepi
langsung tidak kelihatan penghuni di dalam rumah tersebut.
“Akak duduk sekejap, Tin panggilkan umi.” Kata
Fatin dan Ivy hanya angguk saja. “Oh ye, nama kakak
siapa ye?” soal Fatin sebelum sempat kakinya melangkah
meninggalkan Ivy.
“Nama kakak Ivy.” Jawab Ivy dengan senyuman yang
kekok.
“Okey, Kak Ivy tunggu sekejap, ye?” Laju kaki Fatin
bergerak ke arah dapur mencari uminya. Seketika kemudian
Fatin keluar bersama Puan Fadhilah dan Farah. Mereka
semua tersenyum ke arah Ivy.
“Cucu Acik Mun, ye?” soal Puan Fadhilah. Pantas Ivy
bangun untuk bersalam dengan Puan Fadhilah dan Farah.
“Ye, puan.” Jawab Ivy.
“Eh, apa pula puan? Panggil Acik Fad je.” Kata Puan
Fadhilah mesra. Fatin dan Farah pula hanya ketawa.
“Nama kakak, Kak Farah. Anak sulung Acik Fad.”
Farah mencelah.
“Ouh... Saya Ivy, cucu Nek Munah.” Kata Ivy dengan
senyuman segan. Sekarang baru nak segan. Masa nak buat
tadi tak terfikir pula tentang segan ni semua.
“Jom duduk bersembang dengan kami. Ke dah nak
balik dah?” soal Puan Fadhilah.
“Err...” Tiba-tiba Ivy jadi teragak-agak pula. Kalau
boleh nak saja dia pecut keluar dari rumah ni sekarang.
Menyesalnya datang sini walaupun Puan Fadhilah dengan
anak-anak menerima baik kedatangan dia. Macam mana
kalau Fayed nampak dia dekat sini nanti. Ivy mengetuk kepala
sendiri. Kenapa sekarang baru kau nak fikir pasal itu semua
Vy? bisik hati kecilnya.
“Duduklah dulu Ivy, sembang-sembang dengan
kami. Nek Munah tu pun bukan orang lain dengan kami.
Kawan rapat umi ni ha.” Kata Farah pula. Ivy hanya mampu
tersengih, tak tahu nak cakap apa lagi dah.
Puan Fadhilah menarik tangan Ivy untuk duduk di
sebelahnya. “Tak tahu pula yang Nek Munah ada cucu cantik
macam ni.” Kata Puan Fadhilah dengan senyuman di bibir
membuatkan Ivy bertambah segan.
“Ivy tinggal berdua dengan Nek Munah saja ke?” soal
Farah pula.
“Ye Kak Farah. Kami tinggal berdua saja. Ouh ye,
nenek ada buatkan kuih ketayap tadi.” Baru teringat tentang
kuih yang dia bawa.
“Nanti cakap terima kasih dekat nenek, ye? Acik
memang suka kuih ketayap. Anak-anak pun sama. Kan Farah,
Tin?” laju Farah dan Fatin angguk dan Ivy tersenyum senang.
“Kak Ivy kerja ke masih belajar?”
Ketawa Ivy mendengar soalan Fatin. “Kak Ivy dah
kerja dah Fatin.”
“Ooo ingatkan masih belajar, nampak macam muda
sangat.” Kata Fatin. Sungguh dia ingatkan yang Ivy masih
belajar tadi.
“Acik Mun ada juga cerita dekat acik yang dia tinggal
dengan cucu dia. Tapi tak tahu pula yang cucu Acik Mun ni
perempuan. Kenapa tak datang kenduri hari tu? Jadi, yang
Acik Mun tunggu hari tu, Ivylah ye?” soal Puan Fadhilah.
Sekali lagi Ivy tersenyum segan. Mesti Puan Fadhilah
tahu yang nenek dia terpaksa tunggu lama hari tu. “Haah,
nenek tunggu Ivy.”
“Laa, kenapa tak ikut nenek masuk hari tu?” soal
Puan Fadhilah lagi.
Ivy tayang sengih. “Segan la, acik. Ivy bukan kenal
sangat kawan-kawan nenek.”
“Nak segan apa? Bukan luar biasa sangat pun
kawan-kawan nenek Ivy ni.” Puan Fadhilah ketawa dengan
kata-kata sendiri. “Tin, pergilah buatkan air untuk Kak Ivy
ni.”
“Eh tak payahlah acik, Ivy sekejap saja ni.”
Tanpa mengendahkan larangan daripada Ivy, Fatin
terus bergerak ke dapur untuk mengambil minuman.
“Ivy ni anak kepada anak Acik Mun yang mana?”
“Yang sulung, acik. Ayah dengan mama ada dekat
Kuala Lumpur.”
“Ooo jauh juga. Tak sedih ke tinggal mama dengan
ayah dekat sana?” soal Puan Fadhilah lagi.
“Sedih juga. Tapi tak sampai hati pula nak biarkan
nenek tinggal dekat sini seorang diri. Ajak tinggal dekat KL
pun nenek tak nak. Jadi, Ivy buat keputusan untuk tinggal
dengan nenek dekat sini saja.”
“Acik Mun ada juga cakap dekat acik yang dia lebih
senang tinggal dekat sini. Sayang nak tinggalkan rumah
katanya. Orang tua Vy, memang macam tu. Lebih suka
tinggal di rumah sendiri.”
Ivy angguk setuju. “Itu la, acik. Sebab itulah kami
semua tak suka nak paksa-paksa nenek.”
“Tadi Ivy cakap dah kerja, kan? Kerja dekat mana?”
Farah mencelah.
“Ivy kerja dekat...” Belum sempat Ivy menghabiskan
bicara, kedengaran suara Fayed memanggil nama kakaknya.
“Apa pulalah masalah Yed tu. Farah naik atas kejap,
umi. Akak naik atas sekejap ye, Ivy?” kata Farah sebelum
berlalu ke tingkat atas.
Fatin keluar menghidangkan minuman manakala Ivy
pula sudah tidak senang duduk. Hati dia rasa tidak tenteram
bila mendengar suara jeritan Fayed itu tadi. “Urm acik, Ivy
minta diri dulu, ye? Dah lama sangat tinggalkan nenek dekat
rumah tu.” Ivy bangun dari duduknya.
“Eh kalau ye pun minumlah air ni dulu Ivy.” Pelawa
Puan Fadhilah.
“Haah Kak Ivy, minumlah air ni dulu.” Ivy sudah
serba salah. Bimbang kalau Fayed turun ke bawah dan
nampak dia di sini. “Err...”
“Buat apa dekat sini?” soal Fayed dengan suara yang
garau dari arah tangga.
Ivy sudah tercengang. Habis la...

No comments:

Post a Comment