DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 6

ANATASYA tetap tampil ceria keesokannya.
Dia tidak mahu masalah peribadi mengganggu kerjanya.
Apa saja yang terjadi, biarlah dia, Naqiu, Sarah dan Allah
saja yang tahu. Cuma yang dia harapkan, agar Naqiu
tidak menceritakan kisah silam mereka kepada orang
lain terutamanya kepada Mak Cik Shima. Dia tidak mahu
wanita itu berasa bersalah atas kesalahan anaknya
sendiri. Tetapi, mana mungkin lelaki itu mahu
bercerita jika itu hanya akan membuka aibnya
sendiri? Melainkan cerita itu ditukar kepada versi baru,
barulah lelaki itu akan bercerita.
Versi baru?
Serta-merta perut Anatasya terasa sebu.
Bagaimana kalau Naqiu mereka-reka cerita dan
menyebarkannya kepada semua orang? Mengenangkan
kemungkinan itu, Anatasya rasa takut. Takut sekiranya
namanya tercalar hanya kerana fitnah.
“Ya Allah, apa yang aku mengarut ni?”
Anatasya beristighfar dengan kepala tergeleng-geleng. Jauh
benar dia berkhayal sehingga sempat terbayangkan perkara
yang tidak sepatutnya.
“Tasya!”
Panggilan itu menyentakkan Anatasya. Spontan
dia berpaling ke belakang. Alia sedang tersengih sambil
menyandar di meja.
“Ada apa?” tanya Anatasya dengan muka berkerut.
Tangan mengurut dada, menghilangkan rasa terkejut.
“Kau tahu tak, hari ni Mak Cik Shima
keluar wad?” tanya Alia sambil berpeluk tubuh
memandang Anatasya.
“Oh… ya ke? Kenapa aku tak tahu pun?”
Bingung Anatasya menyoal.
“Kan aku dah bagitahu semalam. Kau tu…
asyik berkhayal aje. Mana nak masuk otak!” rungut Alia
dengan kepala tergeleng-geleng.
Anatasya menghela nafas. Dia akui memang
semalam fikirannya terganggu. Terganggu dek
kemunculan semula Naqiu. “Emm… bila dia keluar?”
Anatasya bertanya untuk mengalih tumpuan Alia tentang
apa yang terjadi semalam.
“Sekarang dia tengah kemas barang-barang
dah. Pergilah jumpa dia dulu…” Belum sempat Alia
menoktahkan ayat, Anatasya sudah berlalu pergi.
“Tasya!” Dia cuba memanggil namun Anatasya tidak
mempedulikan. Terus laju melangkah menuju ke arah
wad Mak Cik Shima. Alia mengeluh. “Aku baru nak
cakap anak lelaki Mak Cik Shima ada sekali…”
ANATASYA masuk ke bilik wad itu dengan sekuntum
senyuman di bibir. Namun senyuman itu mati ketika
pandangannya bertamu di wajah Naqiu yang sedang
membantu uminya mengemaskan barang-barang.
Isy! Macam mana aku boleh lupa pasal mamat
ni? Bebel hati Anatasya. Namun untuk berpatah balik,
sudah terlambat.
“Tasya, mak cik baru ingat nak pergi cari kamu
lepas ni. Mak cik dah nak balik dah ni,” ujar Shima mesra.
Anatasya memaksa bibir mengukir senyum,
hanya untuk Mak Cik Shima. Sedaya upaya cuba dielak
daripada bertentang mata dengan Naqiu. “Mak cik nak
Tasya tolong?”
“Tak payahlah, dah siap kemas ni. tinggal nak
angkat beg ni turun bawah aje. Ni Aqi dah ada… tak
payahlah Tasya tolong. Cuma mak cik nak ucapkan terima
kasih kat Tasya. Sepanjang mak cik kat sini, dah banyak
Tasya tolong mak cik. Susah nak cari jururawat yang
penuh tanggungjawab macam Tasya ni.” Melangit tinggi
pujian Shima kepada Anatasya.
Anatasya hanya menunduk dengan senyuman.
Segan menerima pujian tinggi sebegitu. Lebih-lebih lagi
di depan Naqiu. “Dah memang tanggungjawab Tasya, mak
cik. Kenalah tunaikan. Kalau tak nanti Allah marah,” bisik
Anatasya mengundang gelak kecil Mak Cik Shima.
Naqiu yang mendengar turut sama tertawa kecil.
Senyuman Anatasya terus memudar apabila terdengar tawa
halus itu.
“Jomlah, Aqi. Umi dah tak sabar nak balik rumah
ni,” ajak Shima tidak sabar-sabar.
Naqiu pantas mengangkat beg dan memimpin
tangan uminya untuk keluar dari wad. Anatasya
mengikut perlahan-lahan dari arah belakang. Sampai
di luar bilik wad, Naqiu sempat membisikkan sesuatu
ke mulut uminya. Shima pula dengan senang hati
bersetuju. Naqiu memimpin uminya duduk di bangku
sebelum menghampiri Anatasya yang baru saja keluar dari
bilik wad yang menempatkan uminya itu sebelum ini.
“Tasya, boleh abang cakap kejap dengan Tasya?”
pinta Naqiu. Wajahnya penuh mengharap.
Anatasya menghalakan pandangan ke arah lain.
Tidak mahu memandang wajah itu. Takut hati yang tidak
sekuat mana terus rapuh.
“Please…” rayu Naqiu.
Anatasya bagai tidak percaya mendengar suara
Naqiu selembut itu. Dulu memang suara itu sering
digunakan untuknya tetapi Anatasya sedar semua itu
hanya palsu. Tapi sekarang… kenapa suara itu bagai
tercipta khas untuknya?
“Tasya…”
Panggilan itu mematikan khayalan Anatasya.
Pantas Anatasya memarahi diri sendiri dalam hati kerana
terlalu jauh berangan. Dia menelan air liur sebelum
menjawab. “Apa lagi yang awak nak cakapkan?”
Dikuatkan hati untuk menentang renungan redup Naqiu.
“Tasya dah bencikan abang?” Sayu suara Naqiu
bertanya.
Anatasya memejam mata seketika. Jantungnya
mula berdegup tanpa arah. Bencikah dia pada lelaki itu?
Benarkah dia benci? Dia terus menyoal hati sendiri.
Soalan yang tidak pernah ada jawapan selama ini.
“Kalau abang mintak Tasya bagi satu lagi peluang
untuk abang, Tasya sudi?” pinta Naqiu. Anak mata
Anatasya direnung dalam-dalam. Dia tahu dosanya
terhadap Anatasya terlalu besar. Dan dia juga tahu
kebencian di hati Anatasya untuknya juga besar.
Tetapi sebesar itu jugalah harapannya untuk kembali
meraih cinta gadis itu.
“Semuanya dah berakhir. Saya rasa… tak perlulah
kita cakap pasal ni lagi, kan? Saya dengan hidup saya,
awak dengan hidup awak. Senang.” Anatasya mula
melangkah namun terhenti apabila terdengar namanya
dipanggil. Nada suara lelaki itu yang sayu benarbenar
meruntun hatinya. Ya Allah… kuatkanlah aku…
“Abang tahu abang salah. Tapi satu abang nak
Tasya tahu, abang masih cintakan Tasya. Tak boleh ke
Tasya buka hati Tasya untuk terima abang semula?” rayu
Naqiu. Sanggup merendahkan egonya sebagai seorang lelaki
demi kemaafan gadis yang sangat dicintainya itu.
Anatasya tersenyum pedih. Cinta? Apa
sebenarnya maksud cinta pada pandangan mata Naqiu?
Kepalanya tergeleng-geleng bersama sebak yang
menggunung. Kolam matanya sudah dipenuhi air.
Menanti masa untuk gugur membasahi pipi.
“Abang tahu abang dah buat silap terbesar dalam
hidup abang. Dan Tasya berhak untuk benci abang. Cuma
abang harap… Tasya boleh maafkan abang. Abang mintak
maaf dengan sepenuh hati abang…”
Anatasya memejam mata. Kata-kata itu
bagai meresap ke hatinya. Kenapa perlu Naqiu
mengucapkan kata-kata sebegitu? Adakah dia benar-benar
memaksudkannya? Sudah terlambat! “Dah terlambat…”
Perlahan dua patah perkataan itu dituturkan. Kemudian,
Anatasya melajukan langkah meninggalkan lelaki itu.
“TADI Aqi borak apa dengan Tasya? Umi tengok macam
serius aje…” Shima bertanya sambil berpaling ke arah Naqiu
yang tenang memandu.
Naqiu menoleh sekilas ke arah umi sebelum
mengukir senyuman manis. Hati yang terasa
pedih cuba untuk tidak dipamerkan pada riak wajah.
Umi tidak perlu tahu soal itu. “Tak ada apalah, umi.
Borak-borak kosong aje…” dalihnya.
“Ya ke ni?” Shima bagaikan tidak percaya.
Teringat tadi gelagat kedua-duanya. Wajah kedua-duanya
kelihatan keruh. Entah apa yang dibualkan, dia sendiri
tidak tahu. Naqiu bukannya nak cerita kalau dia
tak tanya.
“Hmm…” Naqiu berdeham sekali. “Ya, umi.
Aqi cuma tanya khabar… Itu aje.” Dalam hati, dia
memohon ampun kerana terpaksa berbohong. Bukan
niatnya hendak menipu cuma dia perlukan masa untuk
semuanya dengan Anatasya.
Shima terangguk-angguk. “Orang lain kali
mintalah nombor telefon dia sekali. Nanti senang nak
contact.” Sengaja dia mengusik sambil tersenyumsenyum.
Naqiu tergelak kecil. Umi… umi... tak semudah tu
Tasya akan terima Aqi, bisik hatinya sendiri.
Sampai di rumah, abah Naqiu sudah sedia
menanti. Naqiu tersenyum melihat kemesraan di
antara orang tuanya itu. Sanggup abahnya itu menunggu
di rumah hanya untuk memasakkan hidangan
istimewa untuk uminya. Walaupun umur semakin
lanjut, kemesraan antara suami isteri itu masih tidak pudar.
Naqiu naik ke tingkat atas dan menghilangkan
diri di dalam bilik. Dia merebahkan badan di atas katil.
Mata dipejam rapat. Wajah Anatasya yang manis dengan
senyuman bagaikan bermain-main di ruang matanya.
Naqiu turut sama tersenyum. Namun senyumannya
memudar apabila bayangan wajah Anatasya yang manis
tersenyum tadi kini hilang, digantikan pula dengan wajah
gadis itu yang sedang menangis sayu.
Naqiu membuka mata. Hingga ke saat ini, setiap
patah kata yang diucapkan kepada Anatasya lima tahun yang
lalu masih segar dalam ingatan. Bukan saja kata-kata, tetapi
juga setiap perbuatannya. Dia tahu, kerana perbuatannya
itulah Anatasya merana. Hingga akhirnya membuahkan rasa
benci di hati gadis itu buat dirinya.
Naqiu bangkit daripada baringan dan duduk di
birai katil. Anak matanya lurus menatap bingkai gambar
yang terletak elok di atas meja di sisi katil. Bingkai gambar
itu dicapai. Wajah Anatasya yang manis tersenyum dengan
tanda ‘peace’nya mengundang senyuman pada bibirnya.
Bertahun-tahun gambar itu dalam simpanan, tidak pernah
sekali pun terdetik di hatinya untuk membuangnya.
Sebagaimana dia menyayangi Anatasya, begitu juga dia
menyayangi gambar itu.
Kalaulah umi melihat gambar itu di dalam
biliknya, apa agaknya reaksi orang tua itu? Memang sedari
dulu, Naqiu tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke
biliknya. Kerana itulah umi tidak pernah tahu kewujudan
gambar itu. Tangannya kini menarik laci meja di sebelah
katilnya itu pula. Sekuntum bunga ros merah yang dibuat
daripada kertas dicapai. Origami bunga ros. Siapa lagi yang
buat kalau bukan Dian Anatasya.
Naqiu tersenyum lagi mengingati saat-saat indah
mereka bersama. Lima tahun yang berlalu masih belum
cukup untuk memudarkan semuanya. Dan selama lima
tahun itu juga, dia menyimpan bunga ros origami itu.
Sedikit pun tiada kerosakan padanya. Cuma warna di
hujungnya saja sudah semakin memudar.
Naqiu meletakkan bingkai gambar di tangan
bersama bunga ros itu kembali di tempat asalnya
sebelum baring semula di atas katil.
Keluhan panjang terlepas dari mulutnya.
Dia tahu dia tidak boleh mengalah. Sikap dingin
Anatasya makin menaikkan semangatnya untuk
merebut hati gadis itu semula. Kalau dulu dia boleh, kenapa
tidak sekarang? Walaupun jalannya lebih berliku kini, Naqiu
yakin dia mampu membuat Anatasya jatuh cinta kepadanya
sekali lagi.

No comments:

Post a Comment