DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 13

KHALID berjalan terhuyung-hayang memasuki
biliknya. Ruang rumah yang gelap-gelita itu menyukarkan
lagi pandangannya.
“Argh!!!” Tiba-tiba Khalid tersungkur apabila
kepalanya bagai dipukul kuat dari belakang.
“Apa hal ni abang?” Lyana cepat-cepat menekan
suis lampu meja apabila terdengar suara Khalid menjerit.
Wajahnya jelas bimbang.
Khalid berusaha bangun sambil meraba-raba
belakang kepalanya.
Lyana menggeleng kepala melihat keadaan suaminya
yang sudah terbaring di atas katil. Seperti biasa dialah yang
akan menukarkan pakaian Khalid. Naik sakit dan pening
kepalanya apabila terhidu bau minuman keras yang melekat
pada baju itu.
Lyana mengambil sebesen air suam lalu diletakkan
ke atas lantai. Sehelai tuala bersih dicelupkan ke dalam besin
itu. Kemudian perlahan-lahan dia mengelap tubuh Khalid
yang melekit. Setelah selesai, dia menyarung baju tidur pula
ke badan Khalid. Kalau dia tidak berbuat demikian, pasti dia
tidak mampu hendak tidur di sebelah Khalid.
“Kenapa abang boleh jadi macam ni? Kenapa abang
buat Lya macam ni?” perlahan suara Lyana mengutarakan
soalan itu.
‘Ya Allah, janganlah Engkau biarkan aku seorang diri
dengan tidak meninggalkan aku zuriat, dan Engkau jualah
sebaik-baik yang mewarisi.’ Lyana menyapu kedua tapak
tangannya ke muka. Setiap masa doa itulah yang dipanjatkan
kepada Yang Maha Esa. Dia berharap suatu hari doanya itu
akan termakbul dan diangkat Tuhan. Dia tidak kisah dengan
cakap-cakap keluarga mentua mahupun rakan-rakan. Dia
percaya yang berhak memberi atau tidak itu adalah Allah.
Begitu jugalah dengan hal suaminya. Setiap kali dia melihat
Khalid pulang dalam keadaan mabuk, dia berharap Allah akan
membuka pintu hidayah buat suaminya.
“Hmmmm… apa lagi yang sayang buat tu? Silaulah
mata ni. Tutuplah lampu tu. Meh tidur dengan abang,” Khalid
yang tersedar kerana cahaya lampu meja menyuluh wajahnya
terus merangkul Lyana ke dalam pelukannya.
Lyana cuba menahan air matanya yang ingin
mengalir. Sudah menjadi tabiat Khalid menggauli dia dalam
keadaan mabuk. Mungkin dengan cara itulah Khalid akan
lupa siapa yang digaulinya itu. Lyana sedar, jika Khalid
tidak minum dan mabuk, suaminya itu tidak mungkin akan
menyentuhnya.
“Sinilah!” marah Khalid apabila Lyana asyik
mengelak daripadanya.
Lyana mengerling ke arah Khalid yang menjegil
dengan mata yang merah. Kalau ikutkan hatinya yang marah,
mahu rasanya dia menendang Khalid biar jatuh ke bawah
katil. Tetapi apa gunanya jika dia yang akan dapat dosanya.
“Kenapa? Kau tak suka ke!” jerkah Khalid.
“Kenapa abang buat macam ni pada Lya? Abang tak
kasihankan Lya ke?” perlahan suara Lyana namun sangat
jelas.
“Kau diam! Dah kira baik aku nak jamah tubuh kau
ni!” Khalid tidak menghiraukan tangisan Lyana yang makin
menjadi-jadi. Padanya tidak ada beza dia melayan lembut
atau kasar. Yang penting waktu ini dia dapat memuaskan
nafsunya.
TIARA MENGACAU perlahan-lahan air susu panas di dalam
mug hitam tertulis nama Syed Wafi di tepi. Hari-hari dia
akan ke bilik pantri itu seawal pagi kerana mahu menyiapkan
sarapan buat Syed Wafi. Masa mula-mula dulu, dia akan
siapkan sepiring kuih-muih buat Syed Wafi, namun dua
tiga hari lalu Syed Wafi hanya mahukan susu panas sahaja.
Katanya dia takkan makan kerana dia kurang berselera sejak
kebelakangan ini.
Pagi tadi Tiara bangun awal kerana mahu bertemu
emak dan menjelaskan segala salah faham emak semalam.
Namun kata bapa tirinya, emak tak berapa sihat hendak
bangun awal. Dia mahu melihat keadaan emak tetapi bapa
tirinya menghalang. Tetapi mungkin betul juga tindakan bapa
tirinya itu kerana jika dia menjenguk emak, mungkin orang
tua itu akan mengamuk dan naik darah lagi terhadapnya.
Bertambah teruklah darah tinggi emak.
‘Hurm… mak, mak. Sanggup mak halau Tiara keluar
dari rumah tu mak. Tiara menggeleng kepalanya.
“Hai sayang!”
Tiara yang asyik mengelamun terkejut besar apabila
tubuh Khalid rapat di belakangnya. Entah bila pula Khalid
masuk ke bilik itu.
“Khalid? Kau dah gila ke!” Tiara cuba melepaskan
rangkulan tangan Khalid di pinggangnya. Namun kekuatan
Khalid sungguh luar biasa. Naik susah Tiara hendak bernafas.
Biarpun sedaya upaya cuba melawan, Tiara tetap tidak
berdaya. Dia mula menangis dan terasa mahu menjerit kuat.
“Tiara, sanggup awak jual mahal dengan saya, ya?
Awak cakap apa dengan Wafi tu? Awak getik nak pandang
lelaki dalam bangunan ni ya? Hai… dulu bukan main awak
layan saya….”
“Khalid! Baik kau lepaskan aku sebelum aku
menjerit!”
“Jeritlah kalau awak berani. Awak ingat ada orang
nak percaya cakap awak ke? Awak tu baru dua tiga hari kerja
dekat sini, Tiara. Awak pun tak tahu orang dekat sini akan
percaya cakap siapa,” Khalid cuba mencium pipi Tiara yang
putih bersih namun….
“Kurang ajar!!!”
Buk!!!
Tiara cepat-cepat berlari keluar dari bilik pantri itu
dan masuk ke dalam tandas wanita.
“Kau buat apa ni Khalid!” Syed Wafi mencekak leher
Khalid sekuat hatinya. Tidak peduli lagi pada rayuan Khalid
agar melepaskannya. Perbuatan terkutuk Khalid itu memang
tidak boleh dimaafkannya. Mujurlah dia terniat mahu
menjenguk Tiara di bilik itu. Kalau tidak habislah!
“Wafi, sorry Wafi. Aku tak sengaja. Tolong lepaskan
aku,” rayu Khalid bersungguh-sungguh.
“Tak sengaja kau cakap! Kau dah gila ke hah! Tak
Khalid, aku takkan bagi muka dengan kau! Sini, ikut aku
ke pejabat HR sekarang! Huh!” Syed Wafi yang meradang
terus menarik kolar baju Khalid di hadapan beberapa
orang staf yang baru masuk ke tempat kerja. Mereka semua
terpinga-pinga kehairanan.
Khalid yang minta dilepaskan langsung tidak terlucut
dari tangannya. Dia boleh bertolak ansur jika wanita tadi
orang lain. Tetapi bukan Tiara. Melihat Tiara membonceng
di belakang Hisham pun dia sudah mahu mengamuk. Inikan
pula Khalid yang cuba buat perkara tidak senonoh begitu. Dia
takkan lepaskan sahaja perkara itu. Kalau ikutkan hatinya
yang sedang menggelegak itu, mahu sahaja dia mencampak
Khalid dari atas bangunan 20 tingkat itu. Biar Khalid berkecai,
terburai hingga tinggal cebisan.
Usai menghumban Khalid ke Jabatan Sumber
Manusia, Syed Wafi terus meminta setiausaha abang longnya
itu mencari Tiara di tandas wanita. Hari ini kes Khalid
cuba mengganggu Tiara heboh satu bangunan. Pergi ke
mana ceruk ada sahaja yang berbisik tentang hal itu. Yang
tidak tahu apa-apa sibuk mengorek hingga ke dasar. Yang
sudah nampak dengan mata sendiri tak berhenti menjadi
menyampai berita bergerak.
Kesudahannya, Khalid dibawa ke balai polis untuk
disoal siasat. Syed Wafi yang menjadi saksi utama juga turut
ke balai bagi membantu siasatan. Sahabat yang selama ini
menjadi teman ke mana sahaja, baik dalam hal baik atau
buruk kini sudah terputus hubungan. Mujurlah Tiara tidak
mahu buat apa-apa dakwaan dan mahu kes itu selesai begitu
sahaja. Kalau tidak pasti sudah ke lokap Khalid pada pagi itu.
Namun bagi pihak syarikat, kesalahan Khalid itu sangat berat
dan hukumannya berhenti kerja serta-merta.
Syed Wafi yang baru sahaja pulang dari balai polis
terus mencari Tiara di bilik rehat. Dia nampak dengan jelas
ketakutan yang masih bersisa di wajah bujur sirih itu.
“Kak Habsah, macam mana dengan Tiara?” bisik
Syed Wafi perlahan.
“Kakak rasa dia trauma lagilah encik. Tadi dia
menangis teruk dalam tandas. Kakak dah bagi dia ubat untuk
tenangkan diri. Sekarang ni dia macam dah okey sikit.”
“Erm… terima kasih kak. Kalau tak ada apa-apa lagi,
kakak bolehlah balik ke tempat kerja kakak.”
“Hurm… baiklah encik.” Habsah meninggalkan Syed
Wafi sendirian dengan Tiara. Dia sendiri tidak menyangka
Khalid sanggup buat perangai begitu. Bukan pekerja di situ
tidak kenal dengan Khalid. Perangainya baik dan lelaki itu
seorang pekerja yang bagus selama ini. Bukan tak ada pekerja
wanita yang cantik selain Tiara. Tetapi tak pernah Khalid
mengganggu.
Habsah menggeleng kepalanya. Pelik dengan
perangai manusia. Selama ini, Khalid nampak baik dan
sopan. Tapi hari ini lelaki sopan itu sudah jadi syaitan pula.
Syed Wafi melabuhkan punggungnya di hadapan
Tiara yang masih bersandar lemah di atas sofa. Air mata Tiara
mengalir perlahan ke tepi pipi. Syed Wafi kasihan, dia juga
sakit hati dengan apa yang berlaku tetapi dia tidak mahu
tunjuk di hadapan gadis ini. Pergaduhannya dengan Tiara
masih belum berkesudahan. Dan Syed Wafi tidak mahu Tiara
menuduhnya menggunakan kesempatan itu untuk berbaik.
“Tiara, kenapa awak biar Khalid tu peluk awak?
Awakkan kuat macam Badang selama ni? Kenapa tak belasah
aje Khalid tu?”
Tiara menjeling Syed Wafi tajam.
‘Ingatkan nak tanya aku ni okey ke tak? Ini tak. Dia
marah aku pulak! Macam ni punya orang pun ada ke?’ gumam
Tiara dalam hati. Air mata yang kian kering itu ditonyoh
kasar. Ah! Dia memang tak harapkan apa-apa daripada Syed
Wafi. Bukan Tiara tidak mahu bertumbuk dengan Khalid
sebenarnya. Tetapi kata-kata Khalid itu yang buat dia tak
berani mahu melawan. Siapalah yang mahu mendengar
cakapnya kalau Khalid pusing cerita? Tiara baru dua tiga
hari di Ibnu Holdings, sedangkan Khalid orang lama di situ.
Pastilah kelebihan berpihak kepada Khalid.
Tiara tiba-tiba bangun.
“Eh? Awak nak pergi mana ni?” soal Syed Wafi
terpinga-pinga.
“Nak masuk kerjalah. Nanti dituduh melepak pulak.”
Tiara terus meluru keluar dari bilik rehat itu dan kembali
semula ke mejanya. Syed Wafi yang berhenti di hadapan meja
itu pun dia tidak mahu pandang lagi. Adakah Syed Wafi fikir
dia lemah dan lembik kerana membiarkan Khalid sesuka hati
memeluk tubuhnya? Kalau lelaki seperti Khalid tu, dia boleh
lambung-lambung ajelah!
Namun jauh di sudut hati, Tiara bersyukur kerana
Syed Wafi yang muncul. Sekurang-kurangnya Syed Wafi
sendiri yang menjadi saksi perbuatan terkutuk teman baiknya
itu. Tetapi biarpun rasa lega kerana tidak perlu bertembung
muka dengan Khlaid lagi, Tiara tetap merasa bimbang.
Manalah tahu jika Khalid menyimpan dendam terhadap
dirinya. Kerana kejadian pagi tadi, Khalid yang sudah
bertahun berkhidmat di syarikat itu terus dibuang kerja.
Tiara berharap sangat semua itu hanya telahannya
sahaja. Dia berharap Khalid insaf dan memulakan hidup baru
di tempat lain. Dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang
Khalid ada, pasti mudah baginya memperoleh kerja yang
baru. Itulah harapan Tiara.

No comments:

Post a Comment