WADI RIDHUAN duduk bersendirian di ruang
tamu. Kepalanya ligat memikirkan kata-kata Farha pagi tadi.
Memang niatnya ikhlas mahu memperisteri Farha tetapi dia
tidak yakin ibu dan ayahnya akan menerima Farha sebagai
menantu kerana kedudukan mereka tidak setaraf.
Mampukah ibu dan ayahnya berhadapan dengan orang
di sekeliling andainya mereka bermenantukan orang gaji? Wadi
Ridhuan mengeluh berat.
“Mak tengok Wadi muram saja. Kenapa?” Mak Hendon
tiba-tiba muncul. Apabila dilihatnya Wadi Ridhuan duduk
berseorangan di situ, timbul rasa hatinya ingin bertanya.
“Tak ada apa-apa, mak.”
“Mustahil tak ada apa-apa. Mak kenal Wadi bukan
sehari dua. Tapi dah 28 tahun. Marilah berbincang kalau ada
apa-apa masalah,” gesa Mak Hendon sambil mengukir senyum.
Wadi Ridhuan mendongak, memandang kepada Mak
Hendon yang masih berdiri. Apabila melihat pada wajah sang
tua itu, timbul rasa ketenangan. Ingin sahaja dia meluahkan apayang sedang terbuku di hati. Mahu sahaja dia menceritakan akan
peristiwa pada malam dia menodai Farha tanpa disengajakan
kerana terpengaruh dengan alkohol.
“Betul mak. Tak ada apa-apa,” jawabnya ringkas untuk
mengelak daripada terus diasak dengan bermacam soalan lagi.
“Apa nak buat. Orang tak nak cerita. Siapalah mak ni,
kan? Hanya tukang masak dan tukang mengasuh Wadi semasa
Wadi masih kecil saja dan bukannya mengasuh Wadi bila Wadi
dah besar panjang macam ni,” Mak Hendon sengaja berdialog
simpati semata-mata mahu memancing Wadi Ridhuan untuk
meluahkan sesuatu kepadanya.
Apabila mendengarkan kata-kata itu, Wadi Ridhuan
tersenyum tiba-tiba. Dipegangnya tangan Mak Hendon supaya
Mak Hendon melabuhkan duduk di sisinya. Mak Hendon hanya
menurut.
“Kenapa mak cakap macam tu? Saya tak sukalah,”
bahu Mak Hendon dirangkulnya kemas.
“Apa lagi yang mak boleh cakap? Wadi tak nak cerita
apa-apa pada mak sedangkan mak tahu sangat Wadi sekarang
ada masalah,” sanggah Mak Hendon.
“Saya, saya...” Wadi Ridhuan meraup wajah.
Perlakuannya itu menimbulkan rasa curiga di hati Mak Hendon.
“Tergagap pula anak mak ni. Masalah besar sangat, ya?”
Duga Mak Hendon.
“Saya tak sengaja,” jawab Wadi Ridhuan. Ternyata,
jawapan yang diberikan itu adalah tergantung. Tidak tahu di
mana hujung dan di mana pula pangkalnya.
“Tak sengaja apa?” Soal Mak Hendon dengan wajah
berkerut.
“Saya, saya... telah memperkosa seorang perempuan,”
Wadi Ridhuan menarik nafas lega seketika selepas meluahkan
masalah kepada Mak Hendon. Akan tetapi, luahannya itu hanya
sekerat. Tidak diceritakan pula perempuan manakah yang
dimaksudkannya itu.
“Wadi jangan nak main-main, ya. Mak tahu, Wadi suka
bergurau dengan mak. Tapi, kenapa Wadi sanggup bergurau
perkara macam ni?”
“Saya tak bergurau. Semuanya betul,” Wadi Ridhuan
menongkat dagu. Sepasang matanya direnung ke lantai. Luahan
hatinya boleh pula dianggap sebagai gurauan oleh Mak Hendon.
“Astaghfirullahalazim, Wadi!” Mak Hendon segera
bingkas. Pengakuan yang termuntah keluar dari mulut Wadi
Ridhuan itu benar-benar membuatkan dia terperanjat besar.
“Saya tak sengaja. Sumpah saya tak sengaja,” Wadi
Ridhuan mengangkat muka. Wajah Mak Hendon dicari. Apabila
melihat pada reaksi wajah kecewa si ibu tua itu, Wadi Ridhuan
menunduk semula.
“Boleh pula Wadi cakap tak sengaja?” Berlapis-lapis
dahi Mak Hendon apabila mendengar pengakuan berani mati
itu.
“Betul, mak. Saya tak sengaja. Masa tu saya... saya
mabuk...”
“Apa? Ma... mabuk?” Mak Hendon menyoal lagi.
Wadi Ridhuan mengangguk.
Kepala yang tertunduk itu benar-benar mengecewakan
Mak Hendon. Manakan tidak, anak asuhannya itu sudah banyak
kali melampaui batas agama. Sudahlah memperkosa, ditambah
pula dengan meminum arak. Dengan tidak semena-mena, air
matanya jatuh menitik.
“Siapa perempuan tu? Di mana dia tinggal?” Soal
Mak Hendon lambat-lambat. Ingin juga dia tahu siapakah
gerangannya gadis malang itu. Laju sahaja jarinya menyeka air
mata yang sedang tumpah.
“Dia... dia tinggal tak jauh. Hari-hari dia ada depan
mata saya. Depan mata kita semua,” jawab Wadi Ridhuan
dengan cara yang memaksa Mak Hendon berfikir.
“Mak tak faham...”
“Apa lagi yang mak tak faham? Perempuan itu adalah
Farha, mak. Farha!” Tiba-tiba suaranya meninggi. Berkali-kali
wajahnya diraup, menyesali perbuatannya yang tidak bermoral
itu.
“Ya Allah, Wadi! Kenapa Farha? Kenapa dia? Kasihan
dia!”
“Bukankah tadi saya dah kata yang saya tak sengaja?
Mak kenalah faham...” nada suaranya sudah bergetar. Sebak
tiba-tiba bertandang.
Suasana menjadi sunyi tiba-tiba. Pengakuan Wadi
Ridhuan sebentar tadi sudah memberikan jawapan kepada Mak
Hendon kenapa sejak sehari dua ini sikap Farha tiba-tiba sahaja
berubah.
Farha yang dia kenali adalah seorang gadis yang
cukup ceria sejak bekerja di villa mewah itu. Akan tetapi, sejak
kebelakangan ini Farha lebih banyak mendiamkan diri daripada
bergurau senda dengannya seperti selalu.
“Itulah kesannya kalau kita minum air yang
memabukkan tu. Kita orang Islam, nak. Janganlah buat perkara
yang ditegah agama. Wadi dah nampak apa kesannya sekarang
ni, kan? Farha yang jadi mangsa,” Mak Hendon kembali
melabuhkan duduk sambil sebelah tangannya menggosok
belakang Wadi Ridhuan secara berulang-ulang.
Dia faham benar, Wadi Ridhuan kini sedang dihantui
kekesalan yang tiada tolok bandingnya. Daripada air wajah Wadi
Ridhuan, hati tuanya mengerti akan kekesalan itu.
“Saya mahu tebus kesalahan saya. Saya nak ambil
Farha jadi isteri saya yang sah,” luahnya lagi. Perasaannya
benar-benar lega apabila dapat meluahkan segala rasa hatinya
yang sarat dihujani bebanan.
“Ubah dulu sikap Wadi tu sebelum ada keinginan
untuk mendirikan rumahtangga. Lepas ni, tolonglah jangan
teguk walau setitik pun air syaitan tu. Berdosa besar...” nasihat
Mak Hendon.
“Ini tak, tiap-tiap malam minggu Wadi keluar. Balik
pula dalam keadaan yang tak sepatutnya. Yang jadi penunggu
setia untuk buka pintu, Farhalah orangnya. Bila tiap-tiap
kali dia yang ada depan mata dalam keadaan Wadi mabuk
macam tu, bukan ke ada makhluk ketiga yang akhirnya boleh
menyesatkan?” Sambung Mak Hendon lagi sekadar memberi
peringatan.
“Saya kesal, mak. Saya kesal dengan apa yang dah saya
lakukan pada diri saya. Saya tak terfikir pula, orang lain juga
boleh jadi mangsa,” dia mengangkat muka. Wajah tua Mak
Hendon ditenungnya agak lama.
“Erm... yang dah lepas itu, biarkan sajalah. Sekarang
ni, mak rasa lega sikit sebab Wadi dah mula sedar, apa yang
Wadi lakukan selama ni adalah salah.”
“Mak kena tolong saya,” pintanya dengan reaksi wajah
seperti berharap. Dia sedang memikirkan cara untuk memujuk
Farha supaya menerima lamarannya. Dia sudah nekad yang dia
mahu berubah. Mungkin Farha adalah perempuan yang benarbenar
sesuai untuk menjadi pembimbing kepadanya nanti.
Walau tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa.
“Tolong apa?”
“Tolong pujuk Farha supaya terima lamaran saya. Pagi
tadi saya dah beritahu dia tapi dia menolak. Dia kata, saya tak
ada adab sebab melamar dengan cara macam tu,” keluhnya
dengan bicara Farha yang masih terngiang-ngiang di cuping
telinga.
“Wadi lamar dia macam mana?” Soal Mak Hendon
ingin tahu.
“Saya pakaikan dia rantai emas peninggalan arwah
nenek dan beritahu padanya mengenai hajat saya untuk jadikan
dia sebagai isteri. Tapi dia marah-marah saya. Macam-macam
yang dia kata.”
“Rantai peninggalan arwah Wan Chom?” Duga Mak
Hendon. Masih dia ingat pada rantai peninggalan arwah nenek
Wadi Ridhuan itu. Seutas rantai pusaka turun temurun nenek
moyang mereka yang asalnya berketurunan raja.
Wadi Ridhuan sekadar mengangguk. Mak Hendon
menggeleng lalu tersenyum sedikit. Kini, barulah dia yakin
bahawa Wadi Ridhuan bersungguh-sungguh benar mahu
memperisteri Farha.
Kalau tidak, masakan Wadi Ridhuan begitu bersedia
untuk memakaikan rantai pusaka itu kepada Farha. Wadi
Ridhuan pernah menyatakan hasrat di hadapannya untuk
memberikan rantai itu kepada perempuan yang benar-benar
layak untuk dijadikan isteri. Dan Farha, adalah orangnya.
“Cubalah fikir elok-elok. Manalah si Farha tu nak jadi
isteri Wadi kalau di hadapan mata dia sendiri pun dah nampak
keburukan yang Wadi tunjukkan selama ni? Dah dua tahun dia
kerja di sini. Dia dah tahu baik buruk sikap Wadi tu. Di tambah
lagi, Wadi sudah memperkosanya. Mahu ke dia?”
“Mahu atau tak, dia mesti kahwin dengan saya.”
“Eh, budak ni. Mana boleh main paksa-paksa Farha
pulak kalau dia tak mahu?”
“Kalau dia mengandungkan zuriat saya macam mana?
Bukankah saya juga yang akan bertanggungjawab nanti?
Adalah lebih baik kalau kami disatukan sekarang. Taklah nanti
tergopoh-gopoh nak kahwin last minute kalau saya dapat tahu
dia mengandung pulak.”
“Kalau dia tak mengandung, macam mana?”
“Kalau dia tak mengandung sekalipun, saya tetap nak
nikah dengan Farha. Ini keputusan muktamad saya.”
Masing-masing mendiamkan diri selepas berlakunya
sedikit pertikaman lidah tanpa henti sebentar tadi. Mak Hendon
melepaskan keluhan panjang. Nampaknya Wadi Ridhuan sudah
nekad.
“Ibu dan ayah dah tahu tentang perkara ini?” Soal Mak
Hendon.
“Belum.”
“Kalau Wadi bersungguh-sungguh nak mendirikan
rumahtangga, ibu dan ayah mesti diberitahu cepat-cepat.”
“Saya risau kalau mereka tak setuju. Mak fahamfaham
sajalah sikap ibu tu macam mana. Terlalu pentingkan
soal taraf dan kedudukan je. Kalau dia tahu saya nak kahwin
dengan Farha, boleh ke dia terima?” Dia mengangkat muka
memandang ke arah Mak Hendon dengan harapan supaya Mak
Hendon dapat membantunya dalam hal itu.
“Mak tak pasti tentang perkara tu. Tapi, Wadi cubalah
dulu beritahu perkara ni pada dia. Manalah tahu kalau dia
setuju,” balas Mak Hendon. Dia mengharapkan agar Wadi
Ridhuan tidak ada perasaan risau untuk memaklumkan perkara
itu kepada Dato’ Wan Chik dan Datin Wasilah.
DATO’ Wan Chik begitu tekun sekali membaca akhbar sehingga
tidak menyedari wajah Wadi Ridhuan lain macam sahaja pada
pagi itu. Datin Wasilah pula sedang enak mengunyah kuih seri
muka hasil air tangan Mak Hendon yang bertungkus lumus
membuatnya sebaik sahaja selesai bersolat subuh tadi.
Wadi Ridhuan pula tidak menjamah apa-apa makanan.
Nasi goreng kegemarannya juga tidak disentuh. Daripada tadi
lagi dia asyik memikirkan cara untuk memberitahu hajatnya
mahu menjadikan Farha sebagai isteri kepada ibu dan ayahnya.
“Ibu, saya nak kahwin,” dia bersuara tiba-tiba.
Pandangan matanya hanya tertumpu ke dada meja. Tidak
berani pula dia mahu memandang ke arah si ibu di saat dia
menyatakan hasratnya itu.
“Kahwin? Oh, bagusnya!” Datin Wasilah segera
meletakkan kuih seri muka yang belum habis digigit ke atas
piring kecil. Segera perhatiannya beralih kepada Wadi Ridhuan
yang sedang duduk di sebelah.
“Siapa bakal calon menantu ayah tu?” Dato’ Wan Chik
tiba-tiba sahaja mencelah perbualan.
“Farha. Saya nak kahwin dengan Farha,” jawabnya
dengan lancar.
“Farha mana pulak ni? Setahu ibu, anak Datin Kesuma
yang selalu keluar dengan Wadi tu namanya Bella,” Datin
Wasilah berkerut dahi namun air wajahnya tetap ceria apabila
mendengarkan hasrat Wadi Ridhuan yang mahu berkahwin.
Dia langsung tidak menduga nama Farha yang
disebut anak lelakinya sebentar tadi adalah Farha, orang gaji di
rumahnya sendiri.
“Farha orang gaji kita,” jawabnya lagi dengan begitu
yakin tetapi masih lagi tidak berani untuk bertentang mata
dengan ibunya.
“Wadi jangan nak buat kelakar pulak pagi-pagi macam
ni,” nada suara Datin Wasilah kedengarannya sudah lain
macam.
“Saya serius, ibu. Dalam soal ni, tak mungkinlah saya
nak bergurau dengan ibu?” Kali ini, dia mengangkat muka. Ada
keberanian sedikit dia mahu bertentang mata dengan ibunya.
“Mustahil budak Farha tu pulak yang Wadi nak jadikan
isteri? Kenapa bukan Bella? Atau perempuan lain? Maksud
ibu, perempuan yang sama taraf dengan kita?” Datin Wasilah
menekankan suara seraya bingkas dari tempat duduk. Lagaknya
seperti tidak berpuas hati.
“Sebab saya cintakan dia.”
“Cinta? Sejak bila pulak Wadi rapat dengan dia? Ibu
langsung tak pernah nampak!” Tempelak Datin Wasilah dengan
air wajahnya yang sudah bertukar menjadi bengis.
“Wadi, kamu ni dah tak siuman ke?” Dato’ Wan Chik
kembali menyampuk sambil tangannya pantas meletakkan
akhbar ke atas meja.
Sepasang mata rapat dipejamkan. Cuba mencari ayatayat
yang sesuai untuk terus berbincang dengan kedua orang
tuanya yang dilihat sedang menunjukkan aksi tidak berpuas
hati.
“Wadi kamu dengar tak?” Datin Wasilah mengacip
gigi. Geram dengan sikap anaknya yang masih berdiam diri dan
tidak memberikan jawapan.
“Saya hanya mahukan persetujuan dari ibu dan ayah.
Perkara yang lain-lain, saya tak nak ambil tahu.”
“Kamu yakin benar kami berdua akan setuju? Tidak,
Wadi. Ibu tak setuju!” Bentak Datin Wasilah sambil menjegilkan
mata ke arah dapur dengan niat mahu memberi amaran kepada
Farha yang mungkin sedang mendengar perbualan mereka tiga
beranak.
Namun, kelibat gadis itu langsung tidak kelihatan.
Mungkin sedang berkemas di bahagian atas villa itu barangkali.
Yang ada hanya Mak Hendon seorang, mungkin terdengar
pertikaman lidah yang sedang berlaku.
“Kenapa pulak ibu tak setuju? Ibu sepatutnya gembira
sebab saya buat keputusan nak kahwin. Bukan ke dulu ibu yang
sibuk sangat suruh saya cari pasangan hidup? Sekarang, saya
dah jumpa dengan orangnya. Saya cintakan Farha. saya nak
kahwin dengan dia,” tegasnya. Kerusi yang didudukinya ditolak
perlahan ke belakang.
“Tapi kami tak suruh kamu cari pasangan hidup
dengan perempuan yang tak setaraf dengan kedudukan kita.
Jangan lupa, kita ni keturunan raja,” Dato’ Wan Chik mencelah
lagi tetapi nada suaranya lebih perlahan.
Wadi Ridhuan tersenyum sinis. Perkataan ‘keturunan
raja’ yang termuntah keluar daripada mulut ayahnya itu
membuatkan dia berasa jelek.
“Keturunan raja yang ke berapa pun kita tak tahu,
ayah. Tak payahlah ayah nak bangga sangat dengan keturunan
tu. Saya ni, entah generasi yang ke berapa dalam keturunan tu
pun saya tak tahu dan saya juga malas nak ambil peduli.”
“Wadi, kamu jangan biadab!” Tiba-tiba sahaja Dato’
Wan Chik melenting. Tertolak kerusi yang didudukinya itu
sehingga terbalik ke belakang. Marah benar dia dengan bicara
Wadi Ridhuan yang dianggapnya tidak sopan.
“Bukannya saya bermaksud nak bersikap kurang ajar
dengan ayah. Tapi, ayah fikirlah secara rasional soal keturunan
tu. Ia langsung tak menghalang untuk saya berkahwin dengan
sesiapa sekalipun.”
“Tapi ibu tetap tak setuju. Mana ibu nak letak muka
ni kalau saudara-mara kita tahu yang ibu bakal dapat menantu
seorang pembantu rumah? Fikirlah dulu sebelum Wadi buat
apa-apa keputusan. Jangan membelakangkan kami!” Semakin
keras kedengarannya intonasi suara Datin Wasilah. Marah
benar dia dengan keputusan nekad si anak.
Wadi Ridhuan tertunduk. Apakah perlu dia
menceritakan perkara sebenar? Kalaulah kedua orang tuanya
tahu mengenai kejadian dia memperkosa gadis itu, apakah pula
nanti penerimaan mereka? Wadi Ridhuan mati akal. Suarasuara
sumbang daripada kedua orang tuanya itu nampaknya
boleh mengeruhkan lagi keadaan.
No comments:
Post a Comment