DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 27 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 7

ALIA menghirup air teh di dalam cawan
dengan penuh rasa nikmat. Lega kerana akhirnya dapat
juga membasahkan kerongkongnya yang sudah kering
kerana terlalu sibuk melayan kerenah pesakit. Begitulah tugas
seorang jururawat. Memerlukan tahap kesabaran yang
tinggi untuk berdepan dengan bermacam-macam jenis
sikap pesakit.
Alia menoleh apabila terasa ada seseorang sedang
berdiri di belakangnya. Memandang seraut wajah lelaki itu,
mendadak dia bangkit berdiri. “Encik Naqiu? Buat apa
kat sini?” Seingatnya, Mak Cik Shima sudah keluar wad dari
semalam lagi. Macam mana pula lelaki itu boleh ada di sini
lagi?
Spontan Naqiu meletakkan jari telunjuk di
bibirnya. Mengisyaratkan agar Alia jangan bising.
Alia terus menekup mulut. Namun otaknya penuh
dengan tanda tanya.
“Saya datang sini ada hal nak minta tolong
dengan awak. Boleh kan? Naqiu menyatakan tujuannya
datang ke situ.
“Err…” Alia teragak-agak. “Tolong apa, Encik
Naqiu?”
“Hmm… awak baik dengan Tasya, kan?” tanya
Naqiu. Sesekali dia menoleh ke belakang. Takut ada
telinga yang mencuri dengar.
“Tasya? Oh, maksud Encik Naqiu… Anatasya,
nurse kat sini tu? Yang saya kenalkan dengan
Encik Naqiu semalam tu?” Alia mahukan kepastian.
Setahunya, tiada lagi insan lain bernama Tasya di situ.
Naqiu pantas mengangguk.
“Hmm… baiklah jugak. Kenapa dengan dia?
Haa… Encik Naqiu nak ngurat dia eh?” Alia mengusik
dengan jari telunjuk menghala ke muka Naqiu.
Kemudian dia terkekeh sendiri.
“Kalau nak cerita sampai esok pun takkan habis.
Cuma sekarang… saya nak awak tolong saya satu hal.” Naqiu
memperlahankan suara. Bagai ada pakatan besar yang mahu
dibuat bersama Alia.
Alia mengerutkan wajah. Daripada bicara Naqiu,
bagai ada satu kisah antara dia dan Anatasya. “Tolong apa?”
“Tolong dapatkan alamat rumah Tasya untuk saya.”
“Hah? Alamat rumah?” Alia tercengang-cengang
beberapa saat. Pelik! Biasanya orang akan meminta
nombor telefon, tetapi lelaki itu meminta alamat rumah
pula. “Kalau macam tu apa kata Encik Naqiu minta
dengan Mawaddah aje sebab dia orang tinggal serumah.”
Mudah dia memberi jawapan.
“Tak, maksud saya… alamat rumah kat kampung
dia,” tekan Naqiu membetulkan ayatnya tadi. Dia menoleh
ke belakang apabila tiba-tiba ada seorang jururawat
melintasi pintu pantri. Mujurlah tidak masuk ke dalam.
“Alamat rumah kat kampung?” Alia makin
bingung. “Saya mana tahu! Lagipun, Encik Naqiu nak buat
apa dengan alamat rumah dia tu?”
“Sebab tulah saya nak awak tolong dapatkan.
Buatlah apa cara sekali pun, janji awak dapat alamat
dia. Awak nak berapa pun, saya sanggup bayar.” Sampai
begitu sekali Naqiu sanggup merayu. Katalah dia terdesak
sekali pun, hakikatnya dia memang betul-betul terdesak
sekarang ini.
“Err…” Alia terkaku sebentar. Terkejut
sebenarnya. Tidak menyangka pun ada juga.
“Boleh tak ni?” desak Naqiu tidak sabar. Dia
memandang jam tangan. Waktu untuk bertemu klien
sudah hampir tiba. Kerana itu dia tidak boleh berlama-lama.
Tambahan pula, Anatasya boleh muncul di situ bila-bila
masa saja.
“Hmm… boleh… Tapi Encik Naqiu kena bagi saya
masa…” Belum sempat Alia menghabiskan ayatnya, Naqiu
sudah menghulurkan sekeping kad kepadanya. Dia terus
menyambut tanpa bertanya apa-apa.
“Itu kad saya. Kalau awak dah dapat alamat tu,
hubungi saya cepat-cepat. Boleh, kan?” pinta Naqiu.
Wajahnya tampak sangat mengharap.
Alia tidak sampai hati untuk berkata tidak.
Sudahnya dia hanya mengangguk dengan harapan dia dapat
menunaikan permintaan Naqiu itu. Walau apa cara pun,
dia akan cuba membantu. Kalau dia terpaksa curi kad
pengenalan Anatasya sekali pun, dia sanggup! Tiba-tiba
tumbuh satu semangat dalam dirinya untuk membantu
Naqiu.
Barulah Naqiu mengukir senyuman. Senyuman
yang penuh kelegaan. “Thanks... Lepas awak dah dapat
alamat tu, saya akan bagi awak upah. Awak nak apa aje, just
name it. Thanks sekali lagi!” ucap Naqiu lagi sebelum terus
berpaling dan melangkah keluar dari bilik pantri itu.
Alia membaca tulisan yang tertera di atas kad
dalam pegangannya. “Peguam? Hmm… bertuah kau,
Tasya. Seorang doktor, seorang peguam… Kalau kau tak
nak, bagi kat akulah ajelah eh?” Dia tersengih sendiri.
“TASYA, Tasya… kampung kau kat mana eh?”
Anatasya yang baru membuka mulut menikmati
hidangan tengah hari terus terhenti pergerakannya.
Menoleh memandang Alia dengan dahi berkerut. “Hai… apa
kena kau ni? Tiba-tiba tanya kampung aku. Selama ni tak
pernah ambik tahu pun,” ujarnya bersama tawa kecil.
“Sebab selama ni aku tak pernah ambil
tahulah, sekarang ni aku nak sangat tahu!” Alia bijak
memberi alasan. Senyuman penuh gula tersungging di
bibirnya.
Anatasya buat muka. “Kampung aku kat Kuala
Terengganu.”
“Nama kampung?” Alia memulakan siasatan.
“Kalau aku sebut pun, bukan kau kenal…” balas
Anatasya malas mengulas lebih.
“Sebab aku tak kenallah, kau kena kenalkan kat
aku!” Alia masih belum putus asa. Memutar belit ayat agar
Anatasya sudi memberitahunya alamat rumah gadis itu.
Anatasya mengerutkan dahi. Terasa bagai ada
yang tidak kena. “Tak payahlah… bukannya kau nak pergi
honeymoon kat kampung aku pun…” usiknya lantas ketawa
bersama Mawaddah yang sedari tadi hanya diam menikmati
makanan.
“Tak adalah sampai nak pergi honeymoon.
Tapi takkanlah nak tahu pun tak boleh…” Alia
menarik muka. Pura-pura merajuk.
Anatasya tersengih. “Yalah, yalah… aku
bagitahu. Rumah aku terletak di 9102, Kampung Wakaf
Beruas, 20050 Kuala Terengganu, Terengganu Darul
Imannnn…” Sengaja dia meleretkan suaranya di hujung
ayat. Mawaddah di sebelah terus terkekeh-kekeh.
Alia terkebil-kebil. Tidak menyangka Anatasya
akan memberitahu alamatnya secara terang-terangan
begitu. Dan dia langsung tidak bersedia. “Eh, kejap,
kejap… Apa tadi? Boleh ulang balik tak?”
Muka Anatasya berkerut seribu. Pelik bertimpatimpa.
Kenapa Alia nampak beria-ia nak tahu alamat
rumahnya? Dengan sengih mengena, dia menjawab, “Maaf…
siaran ulangan berbayar…”
Dan tawa Mawaddah pecah berderai. Alia
memuncung. Anatasya bangun dari kerusinya.
“Makan cepat! Jom sambung kerja,” ujar gadis itu
lalu melangkah pergi.
Mawaddah menyudahkan suapan terakhir sebelum
terkocoh-kocoh mengikut langkah Anatasya meninggalkan
Alia dengan keluhan panjang.
“AWAK yakin ke ni?” Suara Naqiu jelas kedengaran ragu.
Alia mengeluh. “Saya pun tak pasti sangat.
Tapi rasanya dah betul kut tu,” balasnya separuh yakin.
Bersusah payah dia cuba mengingat kembali alamat
rumah Anatasya. Mahu bertanya lagi, takut mengundang
tanda tanya pada gadis itu. Lalu dia hanya menggunakan
skill mengingatnya yang sudah lama ditinggalkan
sejak zaman kampus. Harap-harap betullah alamat yang
diberikan kepada Naqiu itu.
“Hmm… okeylah, terima kasih banyak-banyak
sebab sudi tolong saya…” ucap Naqiu.
“Err… Encik Naqiu, upah saya?” Dengan tidak
malunya Alia bertanya.
“Biar saya pastikan dulu alamat ni betul.
Kemudian baru saya fikirkan pasal upah awak.
Anyway, thanks again. Bye.” Naqiu mematikan talian
tanpa mendengar balasan Alia. Alamat yang sudah
tercatat pada kertas di tangannya direnung. Harapharap,
betullah alamat yang diberikan Alia ini. Dia
sudah tidak mampu bersabar lagi. Dia tidak mahu
Anatasya jatuh ke tangan orang lain. Anatasya miliknya.
Sejak dulu, sekarang dan sampai bila-bila.
“TASYA? Tasya mana ni?” Azid merenung Naqiu dengan
muka berkerut-kerut.
“Alah… Tasya… Dian Anatasya, girlfriend aku
yang dulu tu…” Naqiu cuba meraih kembali ingatan
rakan baiknya itu tentang Anatasya.
“Kejap…” Azid diam sambil otaknya ligat
berputar. Membelek-belek ingatannya kalau-kalau ada
terselit nama Anatasya. Apabila otaknya sudah dapat
mengenal pasti, dia terus memetik jari. “Oh! Anatasya
yang…” Dia tidak meneruskan ayat sebaliknya
dipamerkan menerusi ekspresi wajah. Dia yakin Naqiu
faham.
Naqiu sekadar mengangguk. Tidak suka Azid
menyebut tentang hal itu.
“Akhirnya… Allah temukan juga kau dengan dia.
Alhamdulillah… Aku harap, kau tak ulang lagi kesilapan
dulu. Ingat sikit, Tasya tu baik. Tak sepatutnya kau buat
apa yang kau dah buat pada dia dulu.” Ikhlas Azid
memberi nasihat. Sebagai sahabat, dia tidak mahu Naqiu
mengulangi kesilapannya dulu.
Naqiu mengangguk. “Aku dah janji dengan
diri aku, aku takkan ulang lagi kesalahan dulu. Cuma
sekarang… aku takut kalau dia tak sudi terima aku
lagi. Bukan kalau, tapi aku yakin dia memang tak sudi
terima aku lagi.” Nada suaranya kedengaran sayu sekali.
Seakan-akan pasrah dengan nasib sendiri.
“Kau belum cuba, kan?”
“Aku dah minta maaf dengan dia. Usahkan maaf,
nak pandang muka aku pun dia tak ingin,” keluh Naqiu.
“Azid, besar sangat ke kesalahan aku dulu?” Dia bertanya
dengan wajah polos.
“Besar bagi seorang perempuan sebaik Tasya.
Sebab tu melibatkan maruah, harga diri dia sebagai seorang
perempuan,” tekan Azid. Menyedarkan Naqiu akan
hakikat itu.
“Tapi, aku masih ada peluang untuk dapat
kemaafan dia, kan?” tanya Naqiu lagi.
Azid tersenyum nipis. “Insya-Allah… Kalau
memang dah ditakdirkan Tasya tu jodoh kau, dia tetap akan
jadi milik kau. Berdoalah banyak-banyak… moga Allah buka
pintu hati dia untuk maafkan kau…”
Mendengar nasihat penuh ikhlas itu, Naqiu jadi
insaf. Ya, dia masih ada Allah. Kalau bukan pada Allah dia
meminta, siapa lagi?
Bunyi deringan telefon bimbit mengejutkan
Naqiu. Pantas dikeluarkan dari poket seluar. Berkerut
dahinya membaca nama di skrin.
“Siapa?” tanya Azid hairan melihat reaksi Naqiu itu.
Naqiu mengeluh panjang. “Zerra…” Kelat
mukanya menyebut nama itu.
Azid tertawa. Bukan dia tidak kenal siapa Zerra
yang dimaksudkan itu. Gadis yang dulunya menggunakan
khidmat Naqiu sebagai peguam untuk kesnya. Tetapi
setelah kes itu selesai, dia masih tetap mengganggu
Naqiu sampaikan rakannya itu naik muak. “Dia kacau kau
lagi?”
“Hmm… tak habis-habis lagi. Rimas aku!” Naqiu
mengeluh keras.
Azid menepuk-nepuk bahu Naqiu. “Nasib kaulah,
Aqi. Nasib baiklah kau bukan lagi Aqi yang dulu. Kalau tak,
memang Zerra tu dah jadi salah seorang daripada ‘koleksi’
girlfriend kau, kan?” Dia ketawa dengan kata-katanya
sendiri.
Naqiu tersenyum kelat. Ada benarnya kata Azid itu.
Tapi… ah, manusia boleh berubah. Kalau dulu dia jahat,
tak bermakna sekarang pun dia masih lagi jahat. Lantas,
panggilan Zerra itu dibiarkan senyap sendiri tanpa
langsung ada niat hendak menjawabnya.

No comments:

Post a Comment