DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 14

Balqis duduk bersimpuh di atas lantai
sambil memunggah baju-bajunya untuk disimpan ke dalam
almari pakaian. Wajahnya sugul sahaja. Dia masih
teringatkan wajah putih bersih ibunya ketika kali terakhir
bibirnya menyentuh kedua-dua belah pipi ibunya kelmarin.
Jasad kaku ibunya ketika itu kelihatan begitu berseri-seri.
Wajah ibunya yang seakan-akan bercahaya, memang seperti
di dalam mimpinya hari itu. Tanpa dipinta setitis air jernih
tumpah ke pipinya namun pantas diseka apabila ternampak
kelibat Tengku Harith yang sedang berjalan menghampirinya.
Tengku Harith menelan liur melihat keadaan Balqis
yang tidak bertudung itu. Terlalu lain sekali di matanya.
Leher jinjang dan rambut ikal gadis di hadapannya itu begitu
mempesonakan. Ditambah lagi dengan kulit putih gebu dan
bibir mungil yang merah seperti delima. Sungguh menawan.
Tersedar yang dia sudah berlebih-lebih menikmati keindahan
isterinya, Tengku Harith terus meraup wajahnya berkali-kali
dengan rasa kesal. Dia tidak patut menjadi lemah berhadapan
dengan perempuan yang cuba menggodanya demi
mendapatkan harta kekayaannya.
Memang perempuan itu sengaja membuka tudung
untuk menggoda aku, kan? Hah! Ingat aku nak tergoda
dengan betina macam kau? Jangan haraplah! Kata Tengku
Harith dalam hati. Dia terus menghampiri Balqis yang masih
duduk bersimpuh. Tengku Harith kini berdiri tegak sambil
menyandar pada dinding bilik berkenaan.
“Hah? Tadi kau menangis lagi? Apa kau dapat kalau
kau menangis pun? Kau sendiri yang cakap, kan. Perkara dah
berlaku mana boleh diulang semula. Lagipun mak kau dah
tak adalah! Kau buat apapun bukan boleh kembalikan dia
pun!” perli Tengku Harith, memulangkan paku buah keras.
Balqis hanya mendiamkan diri sambil terus
memunggah beg pakaiannya. Dia terharu juga sebenarnya
dengan kata-kata suaminya tadi. Sangkanya Tengku Harith
kini prihatin dengan nasibnya yang baru kehilangan ibu
tercinta dan lelaki itu sebenarnya ingin menenangkan
hatinya dengan berkata begitu. Mati-mati dia sangkakan
Tengku Harith sedang menasihatinya supaya tidak bersedih
lagi.
“Terima kasih sebab berikan nasihat untuk saya,
bang. Saya okey. Cuma sedih sikit aje... Jangan risaulah. Saya
akan terus tabahkan hati...” balas Balqis dengan senyuman
ikhlas meniti di bibirnya.
Wajah Tengku Harith terus menyinga saat
ternampak senyuman Balqis. Lain yang diharap, lain pula
yang berlaku! Ternyata Balqis langsung tidak makan saman
dengan segala tohmahan yang dia lemparkan kepada gadis
itu. Dari kelmarin lagi Tengku Harith menahan sabar,
sampailah majlis tahlil tamat. Dan sekarang, Balqis mahu
cabar dia lagi? Ini tidak boleh jadi!
Tengku Harith duduk bercangkung di hadapan
Balqis sambil cuba mencari wajah isterinya itu yang sedang
khusyuk menilik pakaian di dalam beg. Tiba-tiba sahaja
Balqis terperasankan renungan Tengku Harith lalu dia
mengangkat muka. Mata mereka kini saling berpandangan,
membuatkan jiwa Balqis tidak keruan. Tengku Harith juga
begitu. Mengapa agaknya ada perasaan halus yang kini terasa
bergayut di tangkai hatinya? Pantas Tengku Harith tersedar
lalu mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia cuba
bertenang lalu wajah bengis kembali dibuat. Dia pandang
kembali ke wajah Balqis yang beriak tenang itu.
“Hoi! Kau tak payah nak tunjuk baiklah! Kau
memang pandai berlakon, ya? Kau ingat tadi tu aku sengaja
bagi nasihat kat kau? Kau ingat aku prihatin dengan perasaan
sedih kau tu? Hei, betina! Kau tahu kan yang aku benci kau?!
Ni, kenapa kau nak terhegeh-hegeh simpan pakaian kau
dalam almari pakaian dalam bilik aku ni?!” bentak Tengku
Harith kuat sambil menarik kasar lengan isterinya yang
masih memegang sehelai pakaian. Balqis menyeringai
kesakitan sambil memandang tepat ke wajah Tengku Harith.
“Abang... kenapa ni? Kalau saya tak tinggal di sini...
di sisi abang... Kat mana lagi saya mahu tinggal, bang?” soal
Balqis lembut, suaranya cuba dikawal supaya tidak meninggi.
Dia sedar, dia sedang berhadapan dengan seorang insan yang
bergelar suaminya.
“Kau fikir, kau layak ke tidur sebilik dengan aku?
Tempat kau, kat tingkat bawah! Kat bilik orang gaji tu. Dan
aku takkan upah orang gaji. Kau jangan ingat bila dah
kahwin dengan aku, hidup kau senang-lenang tak payah buat
kerja sebab ada orang gaji yang akan tolong kau. Kau tahu
tak, sekarang ni, kaulah orang gaji dalam rumah ni? Kau
berambuslah pergi ke tingkat bawah sana! Jangan kau sekalikali
tidur sebilik dengan aku!” tengking Tengku Harith
sambil menolak kasar tubuh Balqis. Gadis itu kini teresak
kecil. Dia kesakitan kerana kesan cengkaman Tengku Harith
di lengannya tadi. Air mata mulai gugur.
“Abang, takkanlah saya tak boleh tidur di sini?
Tempat seorang isteri kan di sisi suaminya?” balas Balqis
dengan esakan. Tengku Harith puas hati melihat tangisan
Balqis yang sudah bergema.
“Kau jangan perasanlah! Kau tahu kan aku ni sejak
awal lagi tak pernah nak terima kau jadi isteri aku! Aku dah
warning kau awal-awal lagilah, betina! Kau yang terhegehhegeh
juga nak kahwin dengan aku ni. Dah tau pun perangai
aku ni macam ni, kau masih nak juga kahwin dengan aku.
Nasib kaulah! Baru padan dengan muka kau!” kata Tengku
Harith dengan jelingan maut. Tawa sinis meledak perlahalahan.
Balqis mengalirkan air mata lagi. Ya Allah, dugaan-Mu
terlalu hebat. Aku pohon kekuatan daripada-Mu..
“Abang, walau apa pun, kita ni suami isteri yang
sah. Saya akan cuba jalankan tanggungjawab saya sebagai
seorang isteri kepada abang. I’ll be there when you need me.
Dan saya hanya akan pandang abang seorang aje... Lelaki
dalam hidup saya, hanya abang seorang...” balas Balqis
lembut. Air mata kini sudah semakin reda bertali arus di
pipinya. Kering sudah air matanya, mungkin kerana
kekuatan yang Allah SWT telah timbulkan dalam dirinya.
“Kau ni tak faham, ke? Aku cakap, kau jangan tidur
sebilik dengan aku! Kau faham?!” tempelak Tengku Harith
lagi. Balqis menundukkan wajah seketika lalu
mengangkatnya semula. Wajah suaminya ditatap lagi.
“Baiklah, bang. Saya takkan bantah cakap abang.
Tapi nanti, kalau mama atau papa datang melawat kita, mesti
dia orang akan pelik bila tengok almari pakaian dalam bilik
ni tak ada pakaian saya, bang. Abang tak takut ke dia orang
perasan nanti?” soal Balqis lemah. Memang bernas sekali
soalannya itu. Tengku Harith mengerutkan dahi. Betul juga
kata betina ni!
“Kalau macam tu, baju-baju ni kau punggah masuk
dalam almari ni. Tapi, nanti kalau kau nak mandi atau tukar
pakaian, kau ambil siap-siap baju dalam almari ni dan pergi
mandi kat bilik air kat bawah sana! Kau jangan sesekali gatal
nak gunakan bilik air dalam bilik aku ni. Kau faham?!”
bentak Tengku Harith membuatkan Balqis terkedu tanpa
kata. Sayunya hati Balqis, hanya Allah yang mengetahui.
Sudahnya, Balqis hanya mengangguk-angguk lemah tanda
memahami arahan suaminya itu.
TENGKU Harith melangkah penuh bergaya memasuki
sebuah restoran mewah. Dia sudah kelaparan ketika ini.
Sambil melabuhkan punggungnya di kerusi, kepalanya
terjengul ke sana ke sini mencari kelibat Faiz. Manalah Faiz
ni agaknya? Selalu aje lambat! Rungut Tengku Harith dalam
hati. Tengku Harith memesan makanan dan juga minuman
lalu membuka lembaran akhbar yang baru dibelinya sebentar
tadi.
“Rith! Sorry la lambat!” tegur Faiz sebaik sahaja
ternampak Tengku Harith sedang khusyuk membaca akhbar.
Lelaki itu tidak mengendahkan Faiz. Dia meneruskan
bacaannya.
“Weh, takkanlah marah kut? Kau ni tak rocklah.
Aku lambat 10 minit aje kali ni... Sorry la, tadi kan… ada...”
Belumpun sempat kata-kata Faiz habis, Tengku Harith sudah
mendengus kecil sambil memandang wajah Faiz.
“Ada apa? Apa lagilah alasan kau kali ni, ya? Tak
apalah, aku tak kisah. Aku dah biasa dengan perangai kau
yang tak punctual. Dahlah, kau tak payah nak explain. Kau
nak makan apa ni? Tu, waitress kegemaran kau dah nak
datang ambil oder!” kata Tengku Harith dengan wajah
selamba. Faiz tersengih panjang, menampakkan barisan
giginya yang tersusun elok.
“Kau ni, Rith. Baguslah sebab akhirnya kau dah
faham juga dengan aku ni. Kaulah sahabat sejatiku...” balas
Faiz sambil terus tersenyum sumbing. Tengku Harith tidak
mengendahkan kata-kata Faiz, sebaliknya dia memberi
isyarat menyuruh Faiz bersedia kerana pelayan sudah datang
untuk mengambil pesanan.
Setelah memesan makanan dan minuman, Faiz
membetulkan duduknya sambil memandang pelayan tadi
dengan mata yang tidak berkelip. Memang cantik betul
pelayan itu. Dan memang sudah menjadi kegemaran Faiz
untuk merenung habis pelayan tersebut sehingga tersipusipu
malu gadis itu dibuatnya. Mengancam betullah minah
ni! Aku nak kena tanya nama dia ni... Faiz berkata-kata dalam
hatinya dengan senyum gatal. Tengku Harith sempat
menjeling Faiz di hadapannya. Dia meletakkan akhbar yang
dibacanya tadi lalu melipat kemudian diletakkan ke tepi
meja.
“Hoi! Amboi, amboi, amboi! Kau ni kalau dah
datang sini, tak asyik aje nak pandang-pandang, jeling-jeling
pelayan tu. Kau sukakan dia ke? Habis tu Sabrina kau nak
buang mana?” perli Tengku Harith sinis. Dia masih teringat
kata-kata Faiz yang kononnya tidak mahu berkahwin dengan
Balqis kerana tak sanggup meninggalkan kekasihnya Sabrina.
“Amboi, kau ni Rith. Bukan main lagi kau sejak dah
kahwin dan dah kerja kat syarikat papa kau ni, kan.
Bertambah longkanglah mulut kau sekarang ni. Berlagak
betul! Dengan kawan-kawan pun kau nak ungkit-ungkit,
perli-perli ke?” Faiz tersengih lagi apabila Tengku Harith
menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
Faiz tak kisah pun dengan jelingan Tengku Harith
itu. Dia sudah terbiasa dengan sikap Tengku Harith yang
sombong dan bongkak itu sejak mereka di bangku sekolah
lagi. Manalah ada orang lain yang tahan berkawan dengan
Tengku Harith lama-lama. Dia seorang sahaja yang selalu
menjadi sahabat baik kepada lelaki itu. Tetapi, walaupun
Tengku Harith ini seorang yang sombong serta bongkak, ada
satu sifat lelaki itu yang mengagumkan Faiz.
Tengku Harith ialah seorang yang pemurah.
Selalunya, lelaki itu akan berikan duit kepadanya sekiranya
dia tidak berduit. Maklumlah, keluarga Faiz adalah keluarga
orang susah. Faiz ingin menerima duit tersebut sebagai
pinjaman sahaja, tapi Tengku Harith berkeras suruh ambil
terus, tak payah nak pinjam-pinjam. Apabila ditanya kenapa
Tengku Harith hanya membantu dia seorang sahaja, lelaki itu
akan menjawab, kerana Faiz ialah sahabat baiknya yang
paling dia percaya. Faiz juga rapat dengannya. Sebab itulah
dia takkan teragak-agak untuk membantu sahabatnya itu dari
segi kewangan sekiranya Faiz memerlukan.
“Apa kau merepek ni?” bidas Tengku Harith
selamba. Lamunan Faiz terus mati. Dia kembali
mencerunkan pandangan ke halaman wajah Tengku Harith.
“Kau tu la! Sejak dah kahwin ni, bukan main lagi.
Best kahwin dengan Balqis? Kau kena layan dia elok-elok. Dia
tu macam budak baik aje aku tengok. Muka kesian betul!
Tambahan lagi, mak dia baru aje meninggal dunia. Kaulah
segala-galanya untuk dia sekarang ni...” kata Faiz dengan
wajah tidak bersalahnya. Tengku Harith tertekan mendengar
syarahan Faiz itu. Dia mendengus kecil, tidak senang dengan
kata-kata Faiz seketika tadi.
“Kau tahu kan yang aku tak sukakan Si Balqis tu?
Dia tu, nak ambil kesempatan aje kat aku ni. Aku paling
bencikan perempuan miskin macam dia tu. Nak ambil
kesempatanlah tu kat orang-orang kaya macam keluarga aku
ni! Muka tak boleh percaya langsung!” protes Tengku Harith
keras. Faiz sudah berkerut dahi mendengar.
“Habis tu, aku ni pun miskin juga! Orang tak
berduit. Kau boleh pula kawan dengan aku?” soal Faiz
dengan wajah dungu. Tengku Harith menggetap bibir sambil
melarikan pandangan entah ke mana.
“Kau tu lain. Kau kan kawan aku! Dah lama aku
kenal kau. Kau tu dah banyak tolong aku. Kau juga pernah
selamatkan aku masa aku hampir-hampir lemas kat sungai
dulu. Semua gara-gara betina-betina kampung gatal yang
ikut aku sampai balik sekolahlah! Sebab nak elak daripada dia
orang yang nak pegang-pegang aku, aku terjatuh pula kat
dalam sungai. Nasiblah kau ada dengan aku time tu! Sejak tu,
kau memang dah jadi sahabat paling aku percayai dalam
hidup aku ni. Aku terhutang nyawa dan aku berterima kasih
sebab kau sudi berkawan dengan aku ni lepas semua orang
pulaukan aku...” balas Tengku Harith panjang lebar. Faiz
tersentuh dengan ayat-ayat sahabatnya itu lalu tersengih
panjang.
“Kau ni, buat aku teringat zaman sekolah dulu!
Kaulah budak paling nakal kat sekolah tu. Aku ingat lagi
macam mana Cikgu Rosli, guru disiplin sekolah tu kejar kau
sampai keliling sekolah. Sebab kau pancitkan tayar kereta dia
aje... Kelakarlah!” Faiz tergelak-gelak, mengundang tawa
besar Tengku Harith. Ya, dia masih ingat lagi semua itu.
Dan selepas dia ditangkap oleh Cikgu Rosli, papa
dan mamanya diminta datang ke sekolah untuk menghadap
pengetua. Lepas sahaja balik dari sekolah, Tengku Harith
akan dileteri dan dipukul oleh papanya hanya kerana sikap
nakalnya yang tidak seberapa itu. Sikap papanya yang lebih
memihak kepada orang lain menyebabkan Tengku Harith
berasa tersisih. Apa jua yang dilakukannya, semua salah!
Semua tak kena pada pandangan papanya. Papanya itu
seakan-akan tidak mahu mempercayai dan yakin dengan
dirinya, membuatkan Tengku Harith terus-menerus
membuat onar. Serta-merta tawa besar Tengku Harith tadi
terhenti selepas dia mengingat kembali mengenai masa
silamnya. Lamunannya terhenti saat terdengar Faiz memetik
jari di depan mukanya.
“Hoi! Kau mengelamun apa tadi? Baru separuh
hari, dah rindukan isteri kau ke? Kau cakap tak suka?!” usik
Faiz dengan tawa kecil. Dia memandang wajah Tengku
Harith yang berubah masam.
“Kau jangan sebut pasal isteri aku boleh tak?” Kini
pandangan Tengku Harith mencerlung memandang ke wajah
Faiz yang masih tertawa kecil.
“Apa salah Balqis tu kepada kau? Kenapa kau cakap,
dia tu tak boleh percaya? Aku tengok muka dia tu, macam
orang baik-baik...” getus Faiz akhirnya, setelah tawanya reda.
Dia kini berwajah serius.
“Kau dah tertipu dengan rupa dan penampilan
luaran dia tu. Cuba kau fikir, logik ke perempuan macam
Balqis yang kononnya baik dan alim tu sanggup bersuamikan
aku yang macam ni? Dia siap nampak aku mabuk-mabuk
depan mata dia. Aku ada bawa perempuan seksi lagi tu, pergi
tayang depan dia. Dia langsung tak hairan. Dia tetap dengan
keputusan dia nak kahwin dengan aku! Kalau bukan kerana
tamakkan harta benda aku ni, apa lagi niat dia tu? Logik ke
perempuan baik macam dia tu nakkan suami perangai hantu
macam aku ni?” jelas Tengku Harith tentang pendapat dan
prasangkanya terhadap Balqis.
Faiz tergelak. “Tahu pun kau tu perangai macam
hantu ya?” Namun Faiz kini berkerut dahi pula, cuba
memproses apa yang disampaikan oleh sahabatnya seketika
tadi. Betul juga apa yang diperkatakan oleh sahabatnya itu.
Tetapi Faiz masih tidak dapat mempercayai bahawa perangai
Balqis seburuk yang disangka oleh Tengku Harith. Pada
pandangan Faiz, Balqis memang seorang gadis baik yang
ikhlas serta jujur. Dia dapat melihat sinar pada wajah putih
bersih gadis itu. Sungguh mulus.
“Kau tak boleh cakap macam tu juga. Kau belum
kenal dia. Nanti dah lama kau kenal dia, barulah kau tahu.
Aku rasa, dia mesti ada sebab tertentu kenapa dia berkahwin
dengan kau. Mungkin juga sebab nak turuti permintaan
terakhir arwah mak dia. Manalah tahu, kan?” teka Faiz.
Tengku Harith mencapai gelas berisi air sejuk lalu
diteguk laju. Dia tidak percaya, Faiz boleh memihak kepada
Balqis sampaikan sanggup membutakan mata. Apa agaknya
ilmu yang dipakai oleh Si Balqis itu sehinggakan semua
orang ingin mempertahankannya? Tengku Harith
meletakkan gelas air yang telah kosong dengan kasar ke atas
meja. Dia kembali menatap wajah Faiz di hadapannya dengan
pandangan tidak puas hati.
“Kau ni sejak hari tu lagi nak pertahankan betina
tak guna tu, apa hal? Kau sukakan dia ke? Suka sangat
dengan betina tu? Kalau kau suka sangat dengan dia, kau
cakap. Nanti lepas aku dah ceraikan dia, kau ambillah dia jadi
isteri kau...” gertak Tengku Harith keras. Wajah Faiz berubah
ketika itu. Dia tergeleng-geleng.
“Kau ni Rith. Jangan sampai cakap perkara ceraiberai
macam ni. Tak baik! Kau tu baru aje mendirikan rumah
tangga. Sepatutnya kau kena usahakan supaya rumah tangga
kau ni berhasil. Bahagia sampai ke anak cucu! Buangkanlah
prasangka buruk kau tu. Nanti memakan diri kau juga. Balqis
tu budak baik, aku tengok pun aku dah tahulah! Percayalah
cakap aku ni, Rith! Bagi isteri kau tu peluang...” balas Faiz
dengan ikhlas. Dia cuba memujuk hati Tengku Harith yang
kini sedang mendidih kepanasan.
“Ahh! Kau jangan nak cabar aku pula! Aku tetap
akan ceraikan dia suatu hari nanti, dalam masa terdekat ni.
Aku cakap, aku takkan sukakan dia. So, sampai mati pun aku
tak hendakkan betina tu! Kau faham?! Kau jangan nak sebutsebut
lagi pasal betina bodoh tu!” tempelak Tengku Harith
sehinggakan dua tiga orang yang berada di restoran
berkenaan sudah tertoleh-toleh ke arah meja mereka. Faiz
terdiam sambil meraup wajahnya.
“Okeylah! Suka hati kaulah! Aku pun malas nak
nasihat lagi. Kau tu, macam biasalah bukannya nak dengar
kata aku ni!” omel Faiz akhirnya. Dia tergeleng-geleng lagi
mengenangkan sikap Tengku Harith itu. Intan permata
sudah berada di depan mata pun masih tak nampak lagi!
Atau, berpura-pura tak nampak? Bingung Faiz memikirkan
perihal sahabatnya yang seorang ini.

No comments:

Post a Comment