“KAU dipecat! Esok jangan datang kerja
lagi!” jerit Datin Zairiah kepada Balqis.
Hampir berterabur isi dulang yang ditatangnya.
Hampir menitis air matanya ketika itu. Jika dia dipecat, di
mana lagi harus dia mencari duit untuk menampung
perbelanjaan keluarga? Bukan senang untuk mendapat
pekerjaan pada zaman sekarang ini. Ubat-ubatan ibunya,
siapa yang boleh berikan dia duit untuk menanggung semua
itu? Balqis mula resah. Apa salah dia sehingga dia dipecat?
Balqis tidak faham. Setahunya, dia tidak pernah melanggar
peraturan atau berbuat sesuatu yang tidak disukai
majikannya.
“Tapi, kenapa Datin? Apa salah saya? Biar saya
perbetulkan... Saya minta maaf kalau saya ada buat kesalahan
atau buat sesuatu yang Datin tak suka. Tolonglah jangan
pecat saya. Di mana lagi saya nak cari makan kalau Datin
pecat saya?” rayu Balqis sambil meletakkan dulang berisi
minuman tadi ke atas meja, bimbang terlepas dari tangannya.
“Kau tu perempuan tak tahu malu! Tak sedar
diuntung!” hambur Datin Zairiah lagi. Balqis mulai pelik dan
kaget. Kenapa Datin Zairiah berkata begitu? Kenapa?
“Kenapa Datin cakap saya macam tu? Apa salah
saya? Biar saya betulkan. Tolonglah jangan pecat saya... Saya
merayu kepada Datin!” rayu Balqis lagi. Air mata mula
bergenang di dalam matanya.
“Kau tanya kenapa?! Kau buat laki aku gila bayang
dekat kau, kau boleh tanya lagi kenapa?! Kau tu dasar
perempuan murahan! Betina jalang, menggoda suami orang!
Kalau kau dah kebulur duit sangat, pergilah jadi pelacur! Ada
hati nak goda laki aku, rampas dia dan nak cepat jadi kaya!
Hei, sedarlah diri tu sikit... berlakon alim pakai tudung
labuh, tapi macam pelacur aje aku tengok! Jijik aku dengan
kau ni... Heee!” caci Datin Zairiah tanpa memikirkan
perasaan Balqis.
Dia terlalu sakit hati. Dia mengesyaki suaminya
mempunyai hubungan dengan Balqis. Cara pandangan
suaminya, cara bercakap dan sehingga tiap-tiap malam
mengigau nama Balqis. Dia sudah tidak tahan lagi dengan
semua itu. Bila sahaja suaminya keluar ke pejabat, dia
mengambil kesempatan itu untuk memecat Balqis.
“Astaghfirullahal’azim, Datin. Saya bukan
perempuan macam tu. Percayalah kepada saya, Datin.
Kesiankanlah saya. Mana lagi saya nak cari duit kalau Datin
berhentikan saya? Saya tak pernah goda suami Datin, apa lagi
nak merampas dia daripada Datin. Memanglah saya ni miskin
dan perlukan duit, tetapi saya tidak sehina itu sampai nak
merampas suami orang. Datin, bagilah saya peluang.
Percayakan la saya...” rayu Balqis dengan tangisan berlagu
pilu. Ya Allah, dugaan apakah ini? Bantulah hamba-Mu ini...
doa Balqis dalam hati.
“Sudah! Aku tak mahu dengar celoteh kau lagi! Kau
ingat aku senang nak percayakan kau? Manusia zaman
sekarang ni, mana boleh percaya sangat! Pandai kau berlakon
sedih semata-mata nak mendapatkan simpati aku? Aku tak
perlukan pembantu rumah lagi! Kau boleh berambus... Nah,
ini gaji kau untuk bulan ni!” ucap Datin Zairiah sambil
mencampakkan satu sampul berwarna putih ke arah Balqis.
Sambil itu, dia memegang tudung labuh yang dipakai oleh
Balqis lalu ditarik kemudian dihumbankan Balqis ke arah
pintu rumah.
Jatuh terlentang Balqis ketika itu. Betapa hinanya
dia rasa. Betapa kejamnya setiap orang yang melayannya.
Kerja yang halal dikatakan seperti kerja seorang pelacur.
Balqis menangis teresak-esak sambil berjalan longlai keluar
dari rumah banglo tersebut. Dia terduduk seketika di
hadapan pagar rumah banglo tersebut, mengenang nasib
dirinya. Air mata tidak henti-henti mengalir.
Puas menangis, dia bangun kemudian berjalan
longlai ingin melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan.
Tiba-tiba…
Piingggg! Sebuah Porsche hampir-hampir
melanggar Balqis. Kerana terlalu terkejut, Balqis jatuh
terduduk lalu pengsan di situ juga. Tengku Harith yang
memandu kenderaan tersebut terus memberhentikan kereta
kemudian meluru keluar.
Lama juga dia berfikir sambil merenung tubuh
Balqis yang sedang terbaring lesu di tengah jalan itu. Nak
tolong ke tak? Ah, menyusahkan betullah! Rungut Tengku
Harith dalam hatinya. Lama berfikir, tiba-tiba sahaja Tengku
Harith mendapat satu idea. Inilah masanya untuk dia
berlakon baik di depan papanya. Supaya papanya percaya
yang dia sudah berubah. Tengku Harith tersenyum lebar
sambil mengangguk-angguk. Tubuh kecil Balqis diangkatnya
memasuki perut kereta. Dia melarikan kereta mewahnya
selaju yang mungkin, ke sebuah hospital swasta.
TENGKU Ismail menepuk lembut bahu Tengku Harith
sambil tersenyum lebar. Dia bangga dengan tindakan pantas
anak lelakinya itu.
“Baguslah tu, Rith. Papa bangga dengan Rith.
Baguslah kalau kita sentiasa ada rasa tanggungjawab macam
ni...” ujar Tengku Ismail dengan senyuman yang tidak sudah.
Dia memandang wajah mulus Balqis yang kelihatan
lembut. Gadis itu masih tidak sedarkan diri. Sebenarnya, dia
berkenan dengan Balqis. Tampak sesuai dengan Tengku
Harith. Jika dijodohkan anak lelakinya dengan Balqis, dah
tentu hidup Tengku Harith akan lebih sempurna.
Tengku Ismail kenal Balqis, gadis bertudung labuh
itu. Dia pernah terserempak dengan gadis itu ketika ke
masjid beberapa bulan yang lepas di bulan Ramadan. Rajin
benar gadis itu ke masjid menunaikan solat terawikh, setiap
malam di bulan Ramadan. Bukan itu saja, Balqis akan
mengaji al-Quran setiap kali selepas menunaikan solat
terawikh. Ramai jemaah di masjid tersebut yang selalu
memuji-muji akan keperibadian Balqis.
Tengku Ismail tersenyum-senyum penuh makna,
membuatkan Tengku Harith berasa pelik. Seketika, Tengku
Ismail akan melirik ke arah Balqis kemudian melirik ke arah
dia. Ada apa-apa ke ni? Tengku Harith berasa tidak sedap hati
dengan papanya yang kelihatan seperti merencanakan
sesuatu dalam diam.
Lamunan Tengku Ismail dan Tengku Harith tibatiba
terhenti serentak apabila ternampak pergerakan pada
tubuh Balqis. Gadis itu sudah sedarkan diri. Balqis membuka
matanya lalu wajah kedua-dua insan yang kini berhadapan
dengannya dipandang lama. Dia mengamati wajah-wajah
tersebut, ternyata dia tidak langsung mengenali mereka.
Mata Balqis tertancap kepada lelaki kacak di
hadapannya. Anak mata coklat lelaki itu ternyata sedang
menjamah wajahnya sedari tadi. Dada Balqis tiba-tiba terasa
berdebar pada ketika itu juga. Saat pandangan matanya
bertaut dengan pandangan lelaki itu. Jantung Balqis
berdegup hebat, lalu dia tertunduk malu. Sungguh tampan
lelaki itu sehingga mampu membuatkan sesiapa sahaja yang
memandang terus terpaut, termasuklah Balqis sendiri. Entah
mengapa, perasaannya berbunga-bunga tatkala matanya
bertentangan dengan mata lelaki kacak tersebut.
Pertama kali dia rasa begini bila berhadapan
dengan seorang lelaki. Perasaan macam ni tiba-tiba sahaja
hadir, membuatkan Balqis bingung. Tiada lelaki lain sebelum
ni yang dapat mengocakkan perasaannya sampai macam ni.
Jantungnya laju berdegup, begitu juga wajahnya kini sudah
membahang hebat penangan daripada renungan lelaki kacak
tersebut. Ya Allah, benarkah perasaan ni? Atau ini hanya
mainan perasaanku? Atau mainan syaitan? Nauzubillah...
Tetapi Balqis masih lagi seorang yang sedar diri.
Siapalah dia jika hendak digandingkan dengan lelaki sekacak
itu. Dia tahu dia tidak layak. Balqis tidak mahu perasaannya
ini bertukar impian pula. Dia tidak mahu sesekali memasang
impian untuk memiliki lelaki itu. Perasaan ini perlu aku
buang jauh-jauh! Balqis bermonolog sendirian dalam
hatinya. Dia memendamkan perasaan lalu menanam
perasaan itu sedalam-dalamnya ke lubuk hatinya. Tetapi,
Balqis masih tertanya-tanya.
Siapakah lelaki tua di hadapannya ini? Dan
siapakah pula gerangan lelaki kacak itu agaknya? Berbadan
tinggi lampai, berkulit cerah, berwajah seperti kacukan dan
berpenampilan kemas seperti orang kaya-raya. Begitu juga
lelaki tua di hadapannya ini, berpakaian kemas dan bersih.
Mata Balqis terarah lagi ke halaman wajah lelaki kacak tadi.
Memang memukau sesiapa sahaja perempuan yang
memandang. Kacaknya! Puji Balqis dalam hati.
“Balqis, kan?” tegur Tengku Ismail berserta sebuah
senyuman manis. Dia sudah lama tahu nama Balqis. Ternyata
gadis itu terpana mendengarkan Tengku Ismail yang tiba-tiba
menyebut namanya seolah-olah mengenali dirinya. Balqis
berwajah hairan, begitu juga Tengku Harith. Terkejutnya dia
bila papanya tiba-tiba sahaja meneka nama gadis itu dengan
yakin sekali. Pandangan Tengku Harith tertumpu kepada
wajah papanya yang berubah ceria itu.
“Macam mana pak cik tahu nama saya?” soal Balqis
lembut, penuh kesopanan. Kedengaran Tengku Harith
mendengus kasar sambil menghalakan pandangannya ke
wajah Balqis pula. Dia benar-benar terkejut bagaimana
papanya boleh meneka dengan betul nama gadis itu. Dia juga
bengang dengan Balqis kerana memanggil papanya dengan
gelaran ‘pak cik’.
“Hei! Suka hati kau aje panggil papa aku tu pak cik.
Kau ingat dia ni kelas pak cik-pak cik kampung kat tepi jalan
tu ke? Panggil dia Tengku Ismail.. Tengku! Faham?” Tengku
Harith bersuara lantang, dengan perasaan bongkaknya.
Balqis tergamam mendengar kata-kata Tengku Harith itu.
Tidak dia menduga, lelaki itu akan berkata begitu.
“Rith! Kamu diam! Jangan cakap kurang ajar
macam tu dengan orang...” Tengku Ismail melenting sambil
menggeleng-geleng kepalanya lemah. Masih susah nak
berubah sepenuhnya perangai anak lelakinya itu.
“Tapi, papa...”
“Tak ada tapi-tapi. Kamu diam, biar papa yang
bercakap... Hmmm... Maafkan anak pak cik ni, ya? Dia
memang macam ni. Tak berapa suka kalau dengan orang
yang dia tak kenal...” ujar Tengku Ismail. Matanya yang
terarah kepada Tengku Harith, dihalakan pula ke muka
Balqis yang sudah pucat lesi. Tentu gadis itu terkejut dengan
kata-kata anak lelakinya tadi.
“Tak apalah pak cik. Tak ada apa yang boleh saya
maafkan pun. Saya faham...” senyum Balqis. Tengku Ismail
mengangguk-angguk sambil membalas senyuman Balqis.
Cantik betul gadis ini bila tersenyum. Lesung pipit
yang terukir di kedua-dua belah pipi Balqis menaikkan seri
wajahnya yang ayu. Penampilan ringkas serta sopan gadis
bertudung labuh itu juga turut menambat hati Tengku
Ismail. Tengku Ismail sudah nekad, dia mahu menjadikan
Balqis sebagai menantunya. Dan keputusannya adalah
muktamad walaupun Tengku Harith membantah tidak mahu
mengahwini Balqis! Tengku Ismail tahu, Balqis mempunyai
keistimewaan yang tiada pada gadis-gadis lain. Hanya Balqis
yang mampu merubah perangai Tengku Harith yang semakin
hari semakin menjadi-jadi.
“Pak cik selalu ke Masjid Al-Ikhlas masa bulan
Ramadan, pergi solat terawih. Pak cik selalu nampak Balqis
kat sana. Orang-orang di masjid tu yang bagi tau pak cik
pasal Balqis...” Tengku Ismail senyum.
Tengku Harith di sebelah mencebik bibir.
Takkanlah papa jatuh hati dengan gadis kolot ni pula? Nak
berbini dua pula orang tua ni? Lagipun, setakat pergi ke
masjid tu apalah sangat? Perangai sebenar entah-entah lagi
teruk daripada orang yang tak pernah langsung jejak kaki ke
masjid! Cepat betul papa percayakan orang! Omel Tengku
Harith sendirian.
“Oh, begitu. Tapi, apa yang dia orang bagi tau pak
cik pasal saya ni? Saya ni bukan siapa-siapa pun, pak cik...”
getus Balqis dengan perasaan rendah diri.
Tengku Ismail hanya terdiam dalam senyum kecil.
Kepalanya terangguk-angguk. Berkenan sungguh dia kepada
Balqis. Keperibadiannya sungguh terserlah. Gadis ini perlu
direbut segera! Memang Balqis akan menjadi menantunya
sekiranya gadis itu setuju nanti.
“Tapi, macam mana saya boleh ada kat sini?” Balqis
kembali teringatkan dirinya. Dia cuba memikir, seingatnya
tadi dia dah dipecat oleh Datin Zairiah. Dan, ada sebuah
kereta yang tiba-tiba datang. Selepas tu, dia sudah tak dapat
mengingati apa-apa lagi.
“Anak pak cik ni tadi hampir-hampir nak langgar
Balqis. Dia yang bawakkan Balqis ke hospital ni...” balas
Tengku Ismail. Balqis tersenyum ikhlas sambil memandang
Tengku Harith yang sedang kaku berdiri di sebelah papanya.
Sikit pun lelaki itu tidak mahu membalas senyumannya,
membuatkan Balqis melarikan semula pandangan ke wajah
Tengku Ismail.
“Terima kasih sebab tolong saya. Saya kena balik ni,
pak cik. Mak saya mesti risaukan saya belum balik-balik...”
kata Balqis lemah.
“Tak apa, biar pak cik hantarkan, ya?” pelawa
Tengku Ismail seikhlas hatinya. Mata Tengku Harith sudah
membesar pada saat itu. Dia tidak puas hati.
No comments:
Post a Comment