DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 6

TENGKU Harith merengus kasar. Nafasnya
tertahan-tahan. Wajah mamanya dipandang dengan riak
menyinga marah. Kemudian muka papanya pula dijeling
tajam.
“Rith tak mahu! Rith takkan setuju kahwin dengan
perempuan kolot tu! Dasar perempuan kampung! Perempuan
murahan aje dia tuu... Berlakon baik semata-mata nak
kahwin dengan orang kaya-raya! Rith kenal sangat dengan
betina macam tu, papa... Kenapa papa sanggup jadi bodoh
kerana diperbodohkan oleh perwatakan palsu dia tu? Papa ni
buta ke apa?!” bentak Tengku Harith kasar. Dia bangun
berdiri sambil mundar-mandir di hadapan mama dan
papanya di ruang tamu rumah mereka.
“Kamu jangan nak bersikap kurang ajar! Papa tak
kira! Kamu suka atau tak, kamu kena kahwin dengan Balqis!
Setuju atau tak, dialah yang akan jadi bini kamu nanti!”
tempelak Tengku Ismail lantang. Dadanya juga kini
berombak kerana terlalu marah. Tengku Salmah mengusap-
usap belakang suaminya sambil beristighfar panjang.
Bimbang penyakit jantung suaminya menyerang lagi.
“Betul tu, Rith! Jangan kurang ajar dengan mama
dan papa... Dengarlah kata kami ni...” sampuk Tengku
Salmah pula. Wanita tua itu sudah sebak apabila
mengenangkan sikap Tengku Harith yang begitu kurang ajar.
Seingatnya, dia dan suami tidak pernah mengajar anak
lelakinya itu menjadi seperti itu! Tengku Ismail cuba
bersabar apabila ternampak jelingan tajam Tengku Harith
yang mencerlung ke arah Tengku Salmah.
“Papa dengan mama ni tak habis-habis nak
kongkong hidup Rith! Rith nak buat apapun tak boleh! Apa
yang Rith suka, apa yang Rith nak buat dalam hidup Rith ni
dah terbatas sekarang ni! Rith dah cuba ikut kata mama dan
papa dengan berkelakuan baik tapi ini pula yang papa dengan
mama balas atas sikap baik yang Rith tunjukkan
kebelakangan ni? Papa boleh suruh Rith buat apa saja, tapi
jangan suruh Rith berkahwin dengan betina miskin tu!”
Begitu angkuh dan ego sekali kata-kata Tengku Harith.
“Jadi selama ni kamu tu hanya pura-pura berubah
jadi baiklah?! Kamu ni memang jenis anak yang tak
mengenang jasa ibu bapa! Tak sedar diri tu dah derhaka
dengan ibu bapa! Tengoklah perangai kurang ajar kamu tu...
mama dengan papa tak pernah ajar kamu berperangai
macam ni! Kamu memang jenis yang tak sedar diuntung!”
jerit Tengku Salmah pula. Sambil itu, dia terus mengusap
belakang suaminya, ingin menenangkan lelaki itu.
“Mama dengan papa tak boleh paksa Rith kahwin
dengan betina tu! Suruhlah Rith buat apa-apapun, asalkan
jangan suruh Rith kahwin dengan perempuan kampung tak
tahu malu tu... Rith takkan biarkan dia menang dan jejakkan
kaki dalam keluarga kita ni!!” Tengku Harith masih berdegil.
“Kamu jangan sampai papa buatkan wasiat papa tu,
satu sen pun kamu tak dapat harta papa! Kamu pergilah
hidup merempat kat tepi jalan lepas papa dah mati nanti!
Agaknya kalau papa dah mati barulah kamu nak puas hati?
Macam tu?! Kalau papa mati tak bermenantukan Balqis, papa
takkan wasiatkan harta-harta papa ke atas nama kamu! Anak
kurang ajar! Tak sedar diri tu dah derhaka sebab kurang ajar
dengan ibu bapa sendiri...” Perit terasa di dada Tengku Ismail
lalu dia terus memegang dadanya. Berkerut dahinya kerana
menahan kesakitan di dalam dada.
“Abang! Abang okey? Abang sabarlah... jangan
marah-marah lagi...” tangis Tengku Salmah. Air matanya
bercucuran ketika ini. Sakit hatinya melihatkan perangai
kurang ajar anak lelakinya, ditambah pula kepiluan kerana
risaukan suaminya di kala ini.
Tengku Harith terdiam tanpa kata. Dia berfikir
dengan ligat lalu merengus kasar. Kenapalah papanya begitu
berani menyuruh dia berkahwin dengan perempuan seperti
Balqis? Entah apalah ubat yang Si Balqis tu dah berikan
kepada papanya? Adakah papanya sudah disihir oleh betina
tak tahu malu itu sampaikan papa sanggup berdegil mahu dia
berkahwin juga dengan Balqis? Dia sudah tidak punyai
pilihan lain lagi. Dia terpaksa juga menurut kata ibu bapanya.
Tengku Harith mencemik sambil berpeluk tubuh. Langsung
tidak dihiraukan papanya yang kini sedang menahan
kesakitan di dada.
“Baiklah... Rith setuju kahwin dengan dia...”
Akhirnya Tengku Harith bersuara membuatkan Tengku
Ismail dan Tengku Salmah menarik nafas lega. Hanya dengan
berkahwin, mungkin anak lelaki mereka itu akan berubah.
Dan gadis seperti Balqis la satu-satunya harapan mereka
supaya gadis itu berjaya merubah Tengku Harith kembali ke
pangkal jalan.
Balqis termenung. Dia teringatkan kembali aktivitinya
setiap malam sejak tiga hari lepas. Tiga hari berturut-turut
Balqis melakukan solat sunat istikharah memohon petunjuk
daripada Allah SWT mengenai jodoh yang terbaik buatnya
di antara Tengku Harith dan Ustaz Amirul. Doa Balqis pada
setiap malam, semoga Allah menunjukkannya siapakah yang
terbaik untuk dirinya, agamanya serta akhiratnya.
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk
daripada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan
kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat
agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku
tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan
aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya
Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini iaitu mana
satukah antara perkahwinan dengan Tengku Harith bin
Tengku Ismail atau dengan Muhd Amirul Ammar bin Muhd
Syazlan lebih baik dalam waktu yang dekat mahupun yang
akan datang, maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah
ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam
menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini
buruk bagiku dalam waktu yang dekat mahupun yang akan
datang, maka jauhkanlah urusan itu daripadaku dan
jauhkanlah aku daripadanya, serta tetapkanlah yang baik itu
bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian,
jadikanlah aku orang yang reda dengan ketetapan tersebut...
Aminn...” Masih terngiang-ngiang doa yang dibacakan oleh
Balqis selepas menunaikan solat sunat istikharah.
Dengan kuasa Allah SWT, setelah bersolat, Balqis
terus nyenyak tidur lalu bermimpikan petunjuk yang Allah
SWT tunjukkan kepadanya. Pelik bin ajaib! Wajah Tengku
Harith sahaja yang muncul di setiap mimpinya pada tiga
malam berturut-turut itu. Fahamlah Balqis bahawa jodoh
terbaik buatnya adalah Tengku Harith. Benarlah tindakan
ibunya berjanji kepada Tengku Ismail. Dan benarlah perasaan
berbunga-bunga yang Allah SWT timbulkan dalam hati
Balqis ketika pertama kali matanya memandang Tengku
Harith. Rupa-rupanya semua ini memang sudah ditakdirkan
oleh Allah SWT, bahawa Tengku Harith la yang bakal menjadi
suaminya. Cinta pandang pertama yang dikurniakan oleh
Allah adalah benar. Balqis kini lebih yakin untuk menerima
Tengku Harith sebagai suaminya. Ya Allah, peliharalah
rumah tanggaku kelak daripada niat jahat orang... Aminn.
Tetapi, mengapakah lelaki ego dan sombong seperti
itu yang telah ditakdirkan buatnya? Sedangkan Ustaz Amirul,
lelaki baik yang penuh keperibadian mulia itu bukanlah yang
ditunjukkan oleh Allah SWT kepadanya? Balqis sendiri tidak
tahu apa jawapannya. Allah sahaja Yang Lebih Mengetahui
segala yang ghaib. Segala-galanya yang Allah takdirkan,
sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Tetapi Balqis
masih panasaran. Mahukah Tengku Harith
memperisterikannya? Lelaki itu bukan sukakan dirinya pun...
Balqis menarik nafas panjang lalu dilepaskan. Sudahnya, dia
bangun menuju ke bilik ibunya.

No comments:

Post a Comment