DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 1

Raysha menyeka air mata. Kubur daddy masih
merah. Sukar dia menerima kehilangan insan yang paling
disayanginya selama ini. Lama merenung setiap patah
perkataan dalam surat itu. Surat itu diberikan Uncle William
dan Auntie Anna yang juga rakan kongsi dan sahabat baik
daddy sejak zaman belajar lagi. Sukarnya untuk dia percaya.
Kenapa dia tidak pernah terfikir selama ini?
“Adik.”
Raysha berpaling. Dia menyeka air mata, sedaya
upaya menahan daripada menitik lagi. Berombak dadanya
menahan pilu yang mencengkam jiwa.
“Abang….” Raysha menggigit bibir.
Daniel mengeluh. Perlahan-lahan dia menghampiri
Raysha dan menariknya ke dalam pelukan. Dia sempat
mengerling kepada Dash dan Haven Grace yang duduk di sisi
adiknya. Mereka berempat berkawan baik sejak kecil lagi.
Dash dan Haven bukanlah adik-beradik kandung.
Mereka dilahirkan di Korea dan dijadikan anak angkat oleh
Uncle William dan Auntie Anna yang tidak mempunyai anak.
Haven tua dua tahun manakala Dash pula sebaya dengan
Raysha.
“Kenapa daddy rahsiakan?”
Daniel tarik nafas. Dia sendiri terkejut dengan surat
itu. Tidak tahu bagaimana mahu memberikan jawapan.
Terselit rasa marah. Terselit rasa tidak puas hati. Tetapi dia
faham kenapa daddy tergamak merahsiakannya selama ini.
Dia juga mempunyai anak. Dia faham perasaan seorang ayah.
Dia cuba berfikir positif. Setiap perkara yang berlaku ada
hikmah yang tersembunyi. Manusia hanya merancang, Dia
yang menentukan segala-galanya.
“I was so stupid, abang.”
Daniel melepaskan pelukan. Lama merenung mata
biru adiknya.
“Maybe he has his own reasons. Uncle Ebrahim
really loved you,” sampuk Dash sambil memegang tangan
Raysha.
Raysha mengangguk. Dia tersedu pula.
“Don’t be like this dear,” pujuk Haven. Dia berdiri
di sisi Daniel yang sudah memeluk bahunya. Walaupun
berlainan bangsa dan agama, mereka berempat memang
ibarat adik-beradik.
“They are in Malaysia. We are here, London,” ucap
Daniel.
Dash dan Haven mengangguk. Mereka juga tahu
berbahasa Melayu walaupun tidak fasih seperti Daniel dan
Raysha.
“Esha ada baca maklumat tu semua dulu. Tapi Esha
langsung tak terfikir,” bantah Raysha.
“Sudahlah. Yang penting sekarang… kita dah tahu
kan?” Daniel cuba menenangkan adiknya itu.
“Jadi, apa patut kita buat?” soal Raysha sambil
menyeka air matanya.
Dash pandang kakaknya dan Daniel. Kemudian dia
mengalihkan perhatian kepada Raysha. Dia terfikir sesuatu.
“Kau terima aje promotion kenaikan pangkat. Balik
Malaysia,” saran Dash.
“Good idea Doctor Dashiel William McCormick!”
sokong Haven.
Dash tarik sengih. Jarang sungguh kakaknya ini
hendak memujinya.
Raysha memandang abangnya meminta pendapat.
“Abang sokong! Abang kalau boleh memang nak balik
Malaysia. Tapi abang dah sebulan tak balik Melbourne. Lama
projek tu tanpa pemantauan abang….” Daniel tarik nafas. Dia
sekarang bertanggungjawab sepenuhnya pada syarikat arkitek
arwah daddy selepas dilantik menjadi Pengarah Urusan Meor
& McCormick Architects. Cuma sekarang selepas dia berjaya
mendapat projek di Melbourne, dia terpaksa berpindah ke
sana untuk tiga tahun. Urusan syarikat diserahkan kepada
Uncle William dan Haven.
“Esha faham.”
Dash memeluk bahu Raysha.
“Kau jangan risaulah Esha. Walaupun kau balik
sana, kita boleh keep in touch. Aku sentiasa sokong kau,”
ucap Dash. Dia pandang pula mata biru Raysha. Air mata itu
diseka.
“Abang sentiasa sokong Esha,” ucap Daniel.
“Me too.” Haven pegang tangan Raysha pula.
Beberapa bulan lepas, sebelum kematian daddy,
Raysha mendapat peluang kenaikan pangkat. Tetapi dia minta
ia ditangguhkan dahulu kerana daddy sedang sakit tenat.
Daddy sudah berada di final stage penyakit barah paru-paru.
Dia tidak tergamak meninggalkan daddy melawan penyakit
seorang diri dan abangnya pula berada di Melbourne.
Raysha mengeluh. Dia takut menghadapinya seorang
diri. Dia tidak kuat.

No comments:

Post a Comment