DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 23 June 2016

Kau Princess Aku Okay! - Bab 5

Raysha menyalami Puan Soraya, isteri Encik
Syazlan. Pejam celik, pejam celik, sudah seminggu dia tinggal
di Malaysia. Sekali sahaja dia berjumpa dengan Hakimy.
Keesokan harinya, apabila dia mula bekerja, bayang Hakimy
langsung tidak kelihatan sehingga hari ini.
“Auntie…” tegur Raysha sebelum menyalami
dan memeluk Puan Soraya yang tersenyum mesra.
Kadang-kadang Puan Soraya seakan-akan mengingatkan dia
kepada arwah mummy. Senyuman yang lembut dan penuh
dengan sifat keibuan.
“Kakak!” Sofiyya Merican sabar menunggu giliran
untuk bersalam dan memeluknya.
Aduhai… rindunya dia kepada Sofiyya walaupun
baru dua bulan tidak berjumpa. Sofiyya baru sahaja habis
SPM dan sedang menunggu tawaran universiti. Anak-anak
Encik Syazlan yang lain pula tidak berada di Malaysia. Soleha
Merican mengikut suaminya bekerja di Amsterdam manakala
Sohana Merican pula sedang menyambung pelajaran di Rusia
dalam bidang kedoktoran.
“Sara sihat kakak?” soal Sofiyya, girang. Dia tarik
Raysha duduk di sebelahnya.
“Sama sihat macam Piyya juga. Cuma mungkin
rindukan arwah atook dia. Asyik tanya aje mana atook dia,”
ucap Raysha. Kesian Sara. Dia juga teramat rindukan arwah
daddy. Disebabkan pelat, panggilan atuk bertukar menjadi
‘atook’, nenek menjadi ‘neyneck’.
“Nanti bila uncle free, biar Atook Syazlan dan
Neyneck Soraya lawat dia kat Melbourne tu,” sampuk Encik
Syazlan tersenyum. Dia sendiri tahu betapa rapatnya arwah
dengan anak-anak dan cucu tunggalnya itu.
“Auntie Piyya pun nak ikut,” sampuk Sofiyya teruja.
“Dah nak masuk U, ada hati nak ikut papa, mama
jalan-jalan lagi?” sampuk Puan Soraya sambil tergeleng.
“Biarlah! Bukan takde cuti. Kan kakak?” Lengan
Raysha dipeluk.
Raysha tarik sengih. Dia mengusap lembut rambut
hitam Sofiyya yang ikal mayang itu. Kadang-kadang cemburu
juga melihat rambut Sofiyya itu. Dia selalu merasakan
rambut hitam berkilat itu lebih cantik. Kalaulah rambutnya
juga berwarna hitam seperi daddy...
Puan Soraya dan Encik Syazlan tergeleng. Faham
sangat dengan perangai manja Sofiyya apabila bersama
dengan Raysha dan kakak-kakaknya yang lain.
“Uncle nak naik solat dulu. Esha duduklah berborak
dengan Piyya ya,” kata Encik Syazlan dan terus masuk ke
dalam biliknya di tingkat atas.
“Auntie nak pergi panaskan lauk kejap. Kita tunggu
anak saudara auntie sekejap ya. Lepas tu kita makan sekali,”
ujar Puan Soraya pula.
“Biar Esha tolong.” Bukan Raysha tidak biasa ke
dapur.
“Isy, tak payahlah Esha. Bukan nak buat apa pun.
Semua dah ada. Auntie nak panaskan aje. Nanti busuk pula
baju Esha tu.” Puan Soraya menggeleng dan terus melangkah
pergi ke dapur.
Sofiyya bangun membuka televisyen.
“Kenapa kakak tak nak duduk sini? Piyya ada la
kawan. Lagipun rumah ni mana ada orang lelaki. Papa aje
pun,” ucap Sofiyya tidak berpuas hati. Dah puas pujuk, Raysha
langsung tidak mahu.
“Kakak tak selesalah nanti Piyya.”
“Ala… kita kan dah macam saudara.” Sofiyya sudah
memuncungkan mulut.
Raysha ketawa.
“Ala… kalau Piyya sekeluarga pergi London pun,
bukan pernah tidur rumah kakak, kan? Uncle kata tak selesa.
Samalah macam kakak juga,” beritahu Raysha lembut.
Sofiyya tarik sengih. Betul juga.
“Tapi janji dengan Piyya… nanti kalau Piyya nak
tidur dengan kakak kat hotel tu, kakak bagi boleh? Piyya
bawa kakak jalan-jalan pusing Malaysia!” Bersemangat sekali
Sofiyya.
“Reti ke memandu?”
Sofiyya tarik sengih.
“Bukan ujian memandu hari tu, Piyya gagal lagi
ke?” soal Raysha tersengih. Memang dia dan Sofiyya selalu
berhubung melalui Facebook ataupun WhatsApp. Cuma sejak
datang ke Malaysia, dia hanya berhubung melalui Facebook
kerana telefon bimbitnya tertinggal di London. Mengamuk
Daniel apabila mengetahuinya.
“Takpe... Piyya ada ramai cousins. Kak Tasha, Kak
Nad… Abang Iqram. Semua boleh drive. Selama ni pun, kalau
Piyya takde transport, diaorang yang tolong.”
“Ramai betul cousins Piyya.” Dia baru tahu hal itu.
“Kakak janganlah sedih. Cousins Piyya… cousins
kakak juga. Nanti Piyya kenalkan ya? Lepas ni, Abang Iqram
nak datang bagi novel Kak Tasha yang berlambak kat rumah
tu. Eh, Abang Aidan sihat? Abang Dash? Kak Haven?”
Raysha tersentak.
“Kenapa kakak?” Pelik Sofiyya melihat wajah Raysha
yang bertukar keruh.
“Dash dan Haven sihat aje. Cuma Dash busy sikit
lepas jadi doktor.”
“Abang Aidan?” Sofiyya pelik kerana sejak akhir-akhir
ini jarang Raysha bercerita tentang Aidan. Selalu saja soalan
berkaitan Aidan akan dipandang sepi.
“Kami dah putus.”
“Hah?” Sofiyya betul-betul terkejut.
“Dah dekat sebulan lebih. Lepas Uncle Meor passed
away.”
“Kenapa?” Terkejut besar Sofiyya. Rasanya langsung
tiada apa yang kurang pada Aidan. Memang Aidan nampak
sangat sempurna. Sekali pandang dah nampak seperti Mark
Harmon pun ada. Cuma Aidan tua hampir sepuluh tahun
daripada Raysha. Jauh juga perbezaan umur mereka berdua.
Raysha tarik sengih. Hambar. Malas dia hendak
bercerita panjang lebar. Yang pasti, mereka berdua memang
sudah berpisah. Rasanya antara salah satu sebab dia boleh
terlupa membawa telefon bimbitnya juga disebabkan dia
mengelak daripada menerima panggilan atau mesej Aidan.
Sofiyya memandang lama wajah Raysha. Dia tahu
Raysha dan Aidan mula bercinta beberapa bulan selepas
Raysha bekerja di Mega Hotels and Resorts. Aidan merupakan
pengurus di bahagian Raysha bekerja. Malah Encik
Ebrahim pun merestui hubungan mereka. Bila pula mereka
memutuskan hubungan?
“Bulan lepas kami putus Piyya. Takde jodoh kut,”
jawab Raysha tanpa mahu mengulas panjang lebar. Kepada
Daniel dan Dash juga dia memberi jawapan yang sama.
“Takpelah kakak. Takde jodoh, kan? Hmm… kakak
bolehlah berkenalan dengan Abang Iqram.” Sofiyya kenyit
mata. Sengaja mahu menceriakan semula suasana. Dia
ketawa pula apabila melihat wajah merah Raysha.
Raysha tampar lengan Sofiyya. “Tak payah nak
menggada-ada ya! Kakak ni bukan tua sangat pun.”
“Eh… Kak Soleha umur 23 dah kahwin tau kakak.
Sekarang ada dua orang anak dah. Agaknya kalau kakak
kahwin tahun ni, tahun depan bolehlah Piyya dapat anak
saudara mata biru. Sara dah mata hijau. Best betul kahwin
dengan caucasian ni. Rambut warna blond. Mata boleh ada
macam-macam warna.”
“Tak payah nak merepek sangat Piyya. Nanti Piyya
dapat sambung oversea, carilah sendiri suami caucasian,”
giat Raysha dan terus mencubit pipi tembam Sofiyya.
“Siapalah nak Piyya ni kakak. Gelap. Pendek. Gemuk
pulak tu.” Sofiyya tarik muncung.
Raysha ketawa. Dia terus peluk Sofiyya. Pipi mereka
sengaja dilagakan.
“Orang yang buta hati aje tak nampak kecantikan
sebenar Piyya ni,” ucap Raysha ikhlas. Kemudian pipi tembam
Sofiyya dicuit geram.
“Ehem!”
Raysha tersentak. Matanya terbuntang.
“Abang!” Sofiyya menjerit.
Raysha berdiri. Tiba-tiba diserbu rasa malu yang
amat sangat. Baru sahaja dia hendak bermanja dengan
Sofiyya, sudah kena kacau. Sofiyya pula sudah menghampiri
lelaki yang masih terpacak di hadapan pintu utama. Kenapa
langsung tidak sedar apa-apa bunyi menandakan kedatangan
lelaki itu?
“Kakak… inilah satu-satunya abang sepupu Piyya.
Iqram Zafriel,” beritahu Sofiyya lantas menarik Iqram masuk
ke dalam rumah. Kotak yang penuh berisi buku dibiarkan
sahaja tersadai di tepi pintu.
Raysha tersenyum.
“Iqram.” Iqram menghulurkan tangan. Kekok dan
terkejut pun ada.
“Esha.” Pantas Raysha menyambut huluran tangan
Iqram sebelum matanya beralih kepada Sofiyya yang
tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Ehem! Sampai bila Abang Iqram nak salam tu?”
tegur Sofiyya. Bahu Iqram ditepuk lembut. Lagipun sudah
merah padam muka Raysha. Sebenarnya pertama kali Sofiyya
melihat Iqram selamba badak menyalami perempuan. Dia
sendiri terkejut beruk tadi. Selama ini bukankah Iqram
sangat menjaga bab-bab seperti ini?
Iqram garu kepala yang tidak gatal. Dia terus
melabuhkan punggungnya. Raysha kembali duduk. Sofiyya
mengambil tempat di sebelah Raysha.
“Mana Abang Iqram parking kereta?” Pelik Sofiyya.
“Hmm... hujung sana. Depan rumah Piyya ni dah
penuh kereta. Alang-alang Abang Iqram sampai tadi dah
azan, Abang Iqram terus masuk masjid. Jemaah sama-sama.
Sebab tu lambat sikit,” maklum Iqram. Matanya tidak
lepas memandang wajah Sofiyya dan Raysha silih berganti.
Kebetulan memang masjid dekat sahaja dengan rumah Encik
Syazlan.
Sofiyya memandang Iqram dan Raysha pula.
Perlahan-lahan dia tersenyum nipis. Macam ada sesuatu
sahaja? Otak kuning sudah merencana sesuatu. Tidak
pernah lagi dia melihat Iqram begitu gelabah berhadapan
dengan perempuan. Maklumlah, adik-beradik dan sepupunya
semuanya perempuan.
“Hmm… kakak dengan Abang Iqram borak dulu ya.
Mama ada kat dapur. Papa solat. Piyya naik atas hantar buku
kejap.” Tiba-tiba Sofiyya terlebih rajin.
Raysha terpinga-pinga. Dia tidak sempat hendak
menghalang, Sofiyya seperti lipas kudung sudah mengangkat
kotak sederhana besar ke biliknya di tingkat dua. Raysha
melepas pandang kepada Iqram yang turut terpinga-pinga.
“Hmm….” Iqram garu kepala yang tidak gatal.
Lengan baju kemeja yang memang sudah tersedia terlipat,
dilipatnya lagi. Nampak sangat dia tidak tahu skill berborak
dengan perempuan.
Raysha tersenyum.
‘Alahai… sengaja betul budak Piyya tu tinggalkan
aku dengan dia ni. Nak cakap apa?’ Akhirnya Raysha hanya
memandang TV yang sudah sedia terpasang.
“Hmm… I heard you can speak Malay.” Suara Iqram
mula kedengaran selepas beberapa kali berdeham.
Raysha angguk kepala. Bukan sejak tadi dia hanya
bercakap dalam bahasa Melayu ke? Kelakar pula rasanya cara
lelaki di hadapannya ini memulakan perbualan.
“I’m from London,” beritahu Raysha.
“Belajar mana cakap Melayu?”
“Daddy saya orang Melayu juga,” beritahu Raysha.
Dia melepas pandang wajah Iqram sebelum mukanya
diserbu rasa malu apabila menyedari mata redup Iqram tidak
habis-habis memandangnya. Jantungnya berdegup kencang.
“Ya ke? Kiranya awak ni mixed la ya?” soal Iqram
takjub. Rasanya macam pernah dengar sahaja? Eh, tidak
mungkin pula PRO yang pernah menjadi topik perbualan dia
dan Hakimy dulu berada di hadapannya kini. Aik, kecilnya
dunia?
Raysha mengangguk laju.
“Langsung tak nampak Melayu rupa awak ni.”
Raysha ketawa pula. Reaksi biasa apabila orang
mengetahui dia berdarah kacukan.
“Awak anak angkat tak rasmi pak su saya ke?” soal
Iqram. Dia ada mendengar Encik Syazlan bercerita tentang
kawan lamanya yang sama-sama membesar di rumah
anak-anak yatim dulu dan menetap di London.
“Yalah kut.” Raysha tersenyum. Memang sejak
mengetahui dia anak angkat Encik Ebrahim, hubungan dia
dengan Encik Syazlan bertambah rapat.
“Saya pun ada kawan.…”
“Hah, sampai dah!”
Pantas Iqram dan Raysha memandang suara yang
menegur.
“Baru balik kerja ke?” soal Encik Syazlan.
Iqram bangun menyalami bapa saudaranya. “Pagi
tadi Kak Tasha bagi novel tu. Kalau nak balik rumah dulu
tadi, memang tak sempat nak bagi malam ni sebelum dinner.
Jammed teruk betul sebab ada accident tadi,” maklum Iqram.
Encik Syazlan sudah melabuhkan punggung di
sebelah anak saudaranya itu.
“Pak su ada dengar juga tadi. Teruk ke accident tu?”
“Teruk juga.” Iqram kembali memandang Raysha.
‘Kenapa dengan aku ini?’
Encik Syazlan yang menyedari sudah tersenyum
simpul. Si ‘pemberi berita’ tadi ada memaklumkan sewaktu
dia menjenguk ke dapur. Elok sahaja Sofiyya mengacau
mamanya di dapur kerana tidak mahu menjadi ‘pengacau’ di
ruang tamu.
“Kalau Esha nak tahu… Kimy, Jimy dan Iqram ni
berkawan baik. Dah macam adik-beradik,” beritahu Encik
Syazlan. Paha anak saudaranya ditepuk lembut. Cuba
membawa Iqram ke alam realiti. Asyik merenung anak dara
orang, sampai merah padam muka Raysha.
“Kimy… Jimy?”
“Oh, Kimy… Executive Vice President kita. Esha
lupa ke? Jimy tu… adik kembar dia,” balas Encik Syazlan.
Raysha gigit bibir. Kecilnya dunia? Kenapa mesti
lelaki di hadapannya ini berkawan baik pula dengan kedua-dua
lelaki kembar itu?
Iqram mengangguk. Pelik juga dia melihat reaksi
terkejut Raysha.
“Anak saudara uncle ni dah tua terlajak. Umur dah
30 tahun. Tapi memilih sangat. Nak perfect. Kalau Esha
berminat, boleh isi borang jadi calon isteri Iqram. Nanti uncle
e-mel borang tu.” Selamba Encik Syazlan menyakat Iqram.
“Sebenarnya siapa yang suruh isi borang ni pak su?
Pak su tu ada tiga lagi tempat kosong, kan?” giat Iqram pula,
tidak mahu mengalah.
Encik Syazlan ketawa besar.
“Hesy, Esha ni dah macam anak pak su! Lainlah…
awak tu Iqram. Lain macam aje pak su tengok malam ni.”
Iqram tarik sengih. Obvious sangat ke? Bukan
dia tidak pernah berkawan dengan gadis berambut blond.
Malah sewaktu belajar, memang ramai aje. Cuma entahlah…
hatinya langsung tidak terbuka. Dia kembali memandang
Raysha yang tersenyum sahaja sejak tadi.
“Kimy pernah cerita pasal awak,” ucap Iqram.
“Apa lagi dia cerita?” soal Raysha ingin tahu.
“Awak cantik.”
“Hah?” Raysha terkedu. Mukanya yang memang
merah, bertambah merah.
“Kimy atau Iqram yang cakap?” Sengaja Encik
Syazlan mengusik Iqram yang sudah tersengih-sengih apabila
melihat wajah merah Raysha. Dia senang hati. Pertama kali
dalam seumur hidupnya, dia melihat Iqram naik bulu!

No comments:

Post a Comment