HAMPIR sebulan berlalu dari hari Qairina
muncul semula, hidup Qisya Zulaikha seakan-akan terancam.
Tidak cukup bersemuka, Qairina pasti akan
menghubunginya. Qisya Zulaikha benar-benar hairan,
macam mana Qairina tahu nombor telefonnya pula? Ahh..!
Pasti wanita itu menyiasatnya dengan lebih terperinci lagi.
Perempuan seperti Qairina tidak akan pernah tenang jika
melihat Qisya Zulaikha senang.
“Senyumlah dengan sepuasnya sebab lepas ni aku
akan pastikan, kau tak akan tersenyum lagi, walau sedikit
pun!” Mati senyuman Qisya Zulaikha sebaik saja mengangkat
panggilan telefon itu. Dia menoleh sekeliling. Tidak ada pun
kelibat Qairina. Ifa yang leka menjamu makanan tengah hari
itu juga perasan akan perubahan di wajah Qisya Zulaikha.
“Kak Rina dekat mana ni?” tanya Qisya Zulaikha.
Telefon bimbit dialihkan ke telinga kanan yang ditutupi oleh
shawl itu.
“Kau tak perlu tahu aku dekat mana. Yang penting
aku akan perhatikan kau, hari demi hari. Once aku nampak
kau jumpa Diyad, kau akan tahu nasib kau lepas ni.”
“Tolonglah Kak Rina, apa yang Kak Rina sangkakan
tu memang tak pernah berlaku. Tak pernah dan Insya-Allah
saya akan cuba hindarkan di masa hadapan juga. Tapi saya
mohon sangat, jangan ganggu saya lagi. Jangan datang ke
tempat kerja saya lagi. Saya merayu sangat-sangat.” Qisya
Zulaikha terdengar Qairina ketawa besar dan dia yakin
ketawa Qairina itu hanya dibuat-buat.
“Ini permintaan budak-budak ke apa ni? Kau ingat
aku akan terima rayuan kau tu setelah apa yang dah kau
buat? Kelakar kau ni kan? Nak kata naif, tak adalah sangat,
kalau tak, takkan kau pandai goda Diyad kan...”
“Tapi saya tak goda dia! Tak pernah terlintas di
fikiran saya nak dekati dia. Bukan saya yang terhegeh-hegeh
jumpa dia. Harap maklum Kak Rina,” jawab Qisya Zulaikha
tegas walaupun perasaan gerun itu tetap ada untuk Qairina.
Dia sudah lelah sebenarnya dengan sikap Qairina itu.
“Wah! Dah pandai menjawab ya, bagus! Kita
tengoklah nanti, sejauh mana kau boleh hidup senang.”
Terus Qisya Zulaikha menekan butang merah. Tidak dapat
dibendung lagi perasaan geram dengan sikap Qairina yang
suka mengancam dirinya itu.
Sebaik saja Qisya Zulaikha memutuskan talian, Ifa
meneruskan niatnya. Dia ingin tahu siapa gerangan yang
menghubungi Qisya Zulaikha itu. Sudah banyak kali dia
perasaan akan kedatangan seorang wanita. Setiap kali Qisya
Zulaikha berjumpa dengan wanita itu pasti mood Qisya
Zulaikha berubah mendadak.
“Nantilah aku ceritakan dekat kau. Aku tak ada
mood nak cakap tentang dia,” jawab Qisya Zulaikha.
Peristiwa itu menerjah di minda Qisya Zulaikha.
Bukan hanya peristiwa itu tapi semua benda yang berkaitan
dengan Qairina ibarat bermain di mindanya. Manakala
beberapa hari yang lalu pula Izdiyad datang ke pejabatnya.
“Ikha, ada lelaki datang nak jumpa kau,” beritahu
salah seorang pekerja.
“Siapa?”
“Entah, dia kata, tak payah tanya siapa dia. Kau
pasti kenal dia.” Berkerut dahi Qisya Zulaikha. Siapa pula
yang hendak berjumpa dengannya? ‘Takkan Qairina hantar
seorang lelaki untuk berjumpa dengannya pula?’ Teka Qisya
Zulaikha.
“Okey, terima kasih Nita.”
Sampai saja di lobi pejabat, Qisya Zulaikha
mengecilkan matanya melihat gerangan yang setia
menantinya itu. Dia cuma nampak belakang lelaki itu,
hatinya berdebar. Takkan Abang Diyad?
“Err..” Tidak tahu bagaimana hendak menyapa
Izdiyad. Hatinya gusar, teringat ugutan Qairina tempoh hari.
Matanya memerhatikan sekeliling, hanya beberapa orang
pekerja di syarikat itu saja yang ada di lobi.
Izdiyad menoleh. Dia tersenyum memandang Qisya
Zulaikha.
“Hai..” sapa Izdiyad.
“Ada apa yang boleh saya bantu?”
“Hei.. Kenapa formal sangat ni? Abang nak ajak
Ikha lunch out.” Pertama kali datang berjumpa dengan Qisya
Zulaikha setelah dia balik dari outstation. Hatinya membuakbuak
ingin berjumpa Qisya Zulaikha dan hari ini, sampailah
hajatnya menatap wajah manis itu.
“Maaf, saya tak boleh. Saya harap lepas ni, Abang
Diyad jangan jumpa saya lagi.”
“Ikha, kenapa ni?”
“Tolonglah, saya tak nak perkara dulu berlaku lagi.
Tolong jangan jumpa saya lagi lepas ni. Saya hormat Abang
Diyad sebab abang senior saya dulu. Tapi saya tak nak hanya
kerana Abang Diyad, saya dicemuh dan dimalukan sekali lagi.
Tak terlintas di fikiran saya nak dekati Abang Diyad. Jadi, saya
harap Abang Diyad faham situasi saya.”
Izdiyad menghampiri Qisya Zulaikha tapi dengan
pantas dia bergerak beberapa tapak ke belakang.
“Kenapa Ikha cakap macam tu dekat abang? Rina
ada jumpa Ikha ke?”
“Abang Diyad fikirlah sendiri. Tapi kali ni, saya
tegaskan di sini, saya tak nak jumpa Abang Diyad lagi dan
saya harap, Abang Diyad juga akan buat begitu.” Selepas
berkata sebegitu, Qisya Zulaikha meninggalkan Izdiyad yang
terpinga-pinga. Dia tidak peduli lagi, rasa hormat terhadap
Izdiyad sudah luntur hanya disebabkan Qairina.
“Ikha!” panggil Izdiyad. Matanya tidak lepas
memandang kelibat Qisya Zulaikha yang semakin
menghilang itu. Dia menggenggam kuat tangannya. Qairina
sudah menghidu tentang kemunculan Qisya Zulaikha.
Mungkin Qairina datang berjumpa Qisya Zulaikha ketika dia
outstation, teka Izdiyad.
Izdiyad tergelak sinis, pandai benar Qairina
berlakon. Menganggap seperti tidak berlaku apa-apa. Wanita
itu langsung tidak mengungkit tentang Qisya Zulaikha. Jika
itu yang Qairina mahukan, dia juga akan meneruskan
lakonan ini. Tidak akan dipeduli permintaan Qisya Zulaikha
itu. Hatinya benar-benar ingin mendekati Qisya Zulaikha.
Tidak kira jika Qisya Zulaikha menggelarnya bermuka
tembok sekalipun, apa yang penting, dia akan dapat wanita
itu.
Qisya Zulaikha sudah tidak tahan dengan semua ini
lantas dia nekad ingin berjumpa dengan Encik Kamal. Dia
mahu ditukarkan ke cawangan lain, iaitu di Johor Bahru.
“Zulaikha, kenapa tiba-tiba ni?” Qisya Zulaikha
gelisah bila Encik Kamal bertanya tentang itu.
“Saya tak tahu nak kata apa Encik Kamal. Yang
boleh saya katakan, semua ni adalah disebabkan hal peribadi
saya. Maaf jika Encik Kamal merasakan saya tak dapat nak
bahagikan antara masalah peribadi dengan kerja.”
“Zulaikha ada terasa hati dengan saya ke? Mungkin
saya ni terlalu bagi banyak kerja pada Zulaikha.”
“Tak Encik Kamal. Bukan disebabkan itu. Bagi saya,
Encik Kamal merupakan salah seorang ketua yang saya
hormati. Saya harap Encik Kamal faham dengan situasi
saya.”
Encik Kamal mengeluh, baginya Qisya Zulaikha
ibarat seperti anaknya. Selalu saja mendengar kata, membuat
kerja dengan cekap dan teratur. Dia amat bersyukur dapat
setiausaha seperti Qisya Zulaikha. Isterinya juga menyayangi
Qisya Zulaikha kerana dia pandai membawa diri dan
menyesuaikan diri bila berada di mana-mana.
“Macam ni Zulaikha, saya amat terkejut dengan
permintaan kamu ni. Bukan saya nak halang Zulaikha
berpindah ke cawangan lain cuma saya berharap sangat agar
permohonan ini ditangguhkan. Saya dah biasa dengan cara
Zulaikha bekerja. Kalau boleh, tunggu sehingga saya bersara,
boleh Zulaikha? Hanya tinggal setahun saja lagi untuk saya
bersara jika di panjangkan umur. Anggaplah ini bukan
permintaan seorang ketua tapi ibarat permintaan seorang
ayah.”
Menitis air mata Qisya Zulaikha. Terharu dengan
kata-kata Encik Kamal itu. Jika bukan disebabkan masalah
yang melanda dirinya ini, dia tidak akan memohon untuk
ditukarkan kerana dia sudah selesa bekerja dibawah
pimpinan Encik Kamal. Encik Kamal seperti abahnya. Suka
menyakat dirinya dan dilayan seperti anaknya sendiri. Begitu
juga dengan Puan Hayati, isteri Encik Kamal, begitu baik
dengannya.
“Saya... Saya..”
“Apa kata Zulaikha bercuti beberapa hari,
tenangkan fikiran dulu. Mungkin ketika bercuti tu, Zulaikha
fikirkan balik tentang hal ini. Saya harap sangat-sangat
Zulaikha menarik balik permohonan ini.”
“Tapi Encik Kamal... Sa..” ketukan pintu
menghentikan perbualan mereka.
Nuh Qays menjengulkan diri. Salam dihulurkan.
“Sorry kalau saya mengganggu. Nak discuss dengan
Encik Kamal.”
“Oh yes Nuh, lupa saya. Masuk, masuk,” pelawa
Encik Kamal.
“Encik Kamal, saya keluar dulu.” Qisya Zulaikha
ingin mengundurkan diri tapi sebaik saja dia mengorak
beberapa langkah, Encik Kamal bersuara.
“Saya harap Zulaikha mempertimbangkan lagi
permohonan tadi tu,” pinta Encik Kamal. Qisya Zulaikha
hanya mengangguk perlahan. Dia meninggalkan tempat itu
tanpa memandang Nuh Qays.
Mata Nuh Qays menyoroti pemergian Qisya
Zulaikha. Dia hairan bila memandang wajah Qisya Zulaikha
yang keruh dan mata wanita itu sedikit merah.
“What’s wrong?” tanya Nuh Qays. Tidak kisah jika
Encik Kamal mengatakan dia seorang yang sibuk hendak
mengetahui hal orang lain, yang penting dia ingin tahu apa
sebenarnya yang Qisya Zulaikha bincangkan tadi.
“I don’t know, Nuh. Zulaikha minta ditukarkan ke
cawangan kita di Johor. Saya tak dapat nak lepaskan dia sebab
dialah pekerja saya yang sangat berdedikasi sepanjang saya
bekerja ni. Dia juga ibarat anak, yang mendengar kata bila
ditegur.”
Berkerut dahi Nuh Qays bila mendengar
perkhabaran itu. Rasa marah membuak pada dirinya. Ini tak
lain tak bukan, pasti disebabkan Qairina.
“Ada dia beritahu alasan dia nak tukar tu? Betul
kata Encik Kamal tu, susah nak dapat pekerja yang dedikasi,
yang sudah tahu macam mana cara kita bekerja.”
“Not very specific cuma dia beritahu hanya kerana
masalah peribadi. Nantilah saya discuss dengan dia lagi. Saya
harap dia akan tukar fikiran lepas ni.”
Nuh Qays mengangguk perlahan, kalau hendak
diikutkan kata hati, mahu saja dia menerjah Qairina.
“Okay, shall we start now?” tanya Encik kamal.
“Yeah, sure.”
Dalam perbincangan itu, Nuh Qays tidak dapat
menumpukan perhatian sepenuhnya dengan apa yang Encik
Kamal katakan. Hatinya selalu saja menyeru nama Qisya
Zulaikha, dia risau jika Qisya Zulaikha semakin jauh darinya.
Tidak! Dia tidak akan biarkan semua itu berlaku. Tidak sama
sekali!
Sebaik saja selesai perbincangan dengan Encik
Kamal, dia melihat meja Qisya Zulaikha, tiada di situ. Ke
manalah perginya Qisya Zulaikha? Nuh Qays kembali semula
ke bilik kerjanya dan sebelum itu sempat berpesan kepada
Afiah, agar tidak ada sesiapa yang mengganggunya untuk
seketika kecuali ada hal yang mustahak.
“Bro, jom keluar makan.” Sapa Izdiyad di corong
telefon itu.
“Kau dekat mana ni?” tanya Nuh Qays malas.
“Aku baru balik outstation la. Jomlah, ajak Qisya
Zulaikha sekali.” Berubah terus wajah Nuh Qays bila Izdiyad
menyebut nama Qisya Zulaikha.
“Untuk apa?”
“Aku dah jumpa dia tadi, ajak dia lunch dengan
aku, tapi dia menolak. Kau ajaklah dia, kut dia mahu.
Manalah tahu kalau dia segan bila kau ajak dia, kau kan salah
seorang ketua dalam syarikat kau.” Nuh Qays mendengus
kasar.
“Aku tak nak masuk campur dalam urusan kau,
Diyad. Kau sedar tak yang Rina dah tahu tentang Qisya
Zulaikha? Dia serang Ikha dekat tepi jalan!”
“Aku tahu yang Rina dah tahu tentang kemunculan
Ikha. I will talk to her. Slow talk dengan Rina, nanti-nanti dia
akan terima juga Ikha tu. Jangan risaulah,” jawab Izdiyad
tanpa ada rasa bersalah.
Nuh Qays menarik kasar tali lehernya. Kalau Diyad
di depan mata sekarang ini, pasti penumbuknya akan
melayang ke muka Izdiyad.
“Aku tak dapat nak lunch dengan kau. Aku ada
lunch date with client. I’ve to go now.” Tanpa menunggu kata
jawapan daripada Izdiyad, Nuh Qays memutuskan talian. Dia
marah dengan sikap Izdiyad itu. Lelaki itu hanya tahu untuk
kepentingan diri sendiri. Tidakkah Izdiyad sedar bahawa
semua itu menyeksa hati dua wanita? Qairina dan Qisya
Zulaikha. Walaupun dia marah dengan perangai Qairina yang
panas baran dan kuat cemburu itu namun air dicincang tak
akan putus, Qairina tetap kembarnya. Mereka mempunyai
aliran darah yang sama. Dia tidak akan sedap hati bila
kembarnya sendiri dipermainkan.
Nuh Qays meraup wajahnya. Izdiyad
menghubunginya beberapa hari yang lalu yang membuatkan
dia tahu, Izdiyad pernah datang berjumpa dengan Qisya
Zulaikha. Perasaan cemburu telah menguasai hatinya ketika
itu. Ahh..! Pening dengan perangai orang sekelilingnya.
Sekarang Qisya Zulaikha sudah memohon untuk ditukarkan
ke cawangan lain. Dia berdoa agar Qisya Zulaikha tidak akan
berbuat demikian. Tidak mahu Qisya Zulaikha lari
daripadanya setelah lama dia mencari wanita itu.
No comments:
Post a Comment