DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 24 June 2016

Perangkap Dua Hati - Bab 12

HARI ini ibu dan ayah Nuh Qays akan
berangkat untuk mengerjakan umrah. Pada masa yang sama,
kesihatan Nuh Qays tidak memberangsangkan namun
digagahi juga kerana hari ini merupakan hari yang sangat
sibuk sekali. Dia mahu menyiapkan kerjanya sebelum dia
menghantar ibu dan ayahnya ke lapangan terbang petang
nanti.
“Assalamualaikum Encik Kamal,” sapa Nuh Qays di
corong telefon. Dia tidak larat hendak pergi ke bilik kerja
Encik Kamal kerana kepalanya rasa berdenyut yang amat
sangat.
“Waalaikumsalam, Nuh.”
“Saya dah hantar dokumen Alam Jaya ke bilik Tuan
Haji Yusuf but he’s not around yet. Saya nak minta tolong
Encik Kamal, kalau Tuan Haji dah sign dokumen tu, harap
Encik Kamal pegang dulu dokumen tu or you pass it to
someone you trust. Dokumen tu sangat confidencial. Later
saya ada meeting dengan client kita, so tak dapat nak tunggu
sehingga Tuan Haji datang.” jelas Nuh Qays.
“Insya-Allah, itu pun kalau saya sempat. Saya kena
balik awal hari ni, sebab petang ni saya nak berangkat ke
Mekah.”
Terkejut Nuh Qays mendengar kata-kata daripada
Encik Kamal.
“Nak berangkat umrah petang nanti? Samalah
dengan ibu dan ayah saya. Ini mesti penerbangan yang sama
ni. Asal tak ambil cuti Encik Kamal?”
“Saya risau kerja belum selesai lagi. Kalau
dokumen Alam Jaya tu dah disain, sedap juga rasa hati ni.
Saya akan suruh Zulaikha pegang dokumen tu. Ini bukan
saya tak percaya dengan Afiah cuma saya dah biasa serahkan
dokumen penting pada Zulaikha. Jadi nanti, awak minta saja
dokumen tu pada Zulaikha, ya? Esok penyerahan dokumen tu
pada Alam Jaya kan?”
“Ya, esok saya sendiri akan ke Putrajaya. Saya tak
kisah sebenarnya. Janji dokumen tu sampai ke tangan saya
nanti. Okeylah Encik Kamal, saya kena pergi dulu. Dah
kesuntukan masa ni, nanti kompelin pula klien kita.
Assalamualaikum.”
“Ya, ya. Waalaikumsalam,” jawab Encik Kamal.
Nuh bergegas mengambil kunci keretanya. Dia
sudah terlambat! Sebaik saja sampai ke pintu, langkahnya
terhenti. Kepalanya ibarat berpusing-pusing, dia menekan
kepalanya yang sakit itu. Dia selalu begini apabila demam
datang menyerang. Nuh Qays memejamkan mata untuk
meredakan kesakitan, kalau dia terus berjalan, takut pengsan
pula nanti. Dia mengorak langkahnya kembali bila sakit
kepalanya sedikit reda.
“ZULAIKHA, awak pegang dokumen Alam Jaya ni ya. Nanti
Nuh akan ambil daripada awak. Saya tak tahu bila, sebab
sekarang dia sibuk tapi mungkin hari ni juga dia akan ambil
daripada awak, esok dia sendiri akan hantar dokumen ni
ke Putrajaya,” arah Encik Kamal. Dokumen Alam Jaya itu
diserahkan kepada Zulaikha sebaik saja Tuan Haji Yusuf
menandatanganinya.
“Baik, Encik Kamal.”
Qisya Zulaikha menyimpan dokumen itu ke dalam
begnya. Dah Encik Kamal tak tahu bila Nuh Qays hendak
mengambil dokumen itu, lebih baik dia membawa dokumen
itu bersama-sama dengannya. Takut nanti, bila dia dah balik
rumah, Nuh Qays pula hendak mahukan dokumen itu.
“Anyway, selamat berangkat ke tanah suci Encik
Kamal. Semoga dipermudahkan segala urusan nanti. Saya
doakan semoga Encik Kamal dan isteri selamat sampai ke
Mekah dan selamat kembali ke Malaysia juga.”
“Insya-Allah. Semoga dipermudahkan Zulaikha.
Terima kasih ya. Tak nak kirim apa-apa?” tanya Encik Kamal.
“Tak payahlah Encik Kamal. Semoga Encik Kamal
dan isteri mendapat umrah yang mabrur.”
“Amin. Dan saya doakan nanti supaya Zulaikha
cepat dapat jodoh. Nak tunggu anak-anak saya, memang
lambat lagilah. Semuanya belum habis belajar lagi.”
Qisya Zulaikha tersenyum nipis. Jodoh? Tidak tahu
bila dia akan mendapat jodohnya.
“Lambat lagilah Encik Kamal. Mister Right pun
belum ada lagi.”
“Mana tahu Mister Right tu dah ada di depan mata,
kita tak tahukan? Jodoh pertemuan itu ditentukan oleh-Nya.
Cepat atau lambat, kenal atau tidak dengan pasangan hidup
kita tu, yang penting jodoh yang diredai-Nya.”
Qisya Zulaikha mengerutkan dahi, tiba-tiba saja
Encik Kamal mengungkit tentang jodoh dan lelaki tua itu
seperti serius mengatakannya.
“Faham Encik Kamal. Insya-Allah, kalau dah
memang jodoh saya, saya tak akan tolak. Dahlah cakap
tentang jodoh ni. Encik Kamal tak nak balik ke? Nanti lewat
pergi airport.”
“Allah! Lupa saya. Inilah akibat bila dah leka
berbual. Okey, jangan lupa serahkan dokumen tu pada Nuh,
ya. Saya jalan dulu, Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Tergeleng-geleng Qisya
Zulaikha dengan sikap Encik Kamal yang mudah lupa itu.
“MAAF ibu, ayah. Abang lewat sikit.” Tercungap-cungap Nuh
Qays. Dia sudah terlewat setengah jam kerana perbincangan
tadi tergendala seketika kerana kliennya mengalami masalah.
Sepatutnya dia menemani ibu bapanya sebelum berangkat.
“Tak apa, abang. Ayah dan ibu faham.”
“Kaka tak datang ke?” Mata Nuh Qays liar melihat
sekeliling. Lapangan terbang sedikit sesak, dipenuhi oleh
jemaah umrah dan sanak saudara. Bukan saja jemaah umrah
malah, ada juga yang hendak melancong ke negara lain.
“Dia dah ada tadi tapi terpaksa pergi sebab dia ada
fashion show. Dia kena hadir,” jawab Puan Nurain. Nuh Qays
mendengus kasar. Ahh..! Qairina memang begitu, selalu
mementingkan perkara lain daripada keluarga sendiri.
“Tak apalah, janji abang ada.” ujar Puan Nurain lagi
seraya mengusap lembut lengan Nuh Qays. Dia nampak
wajah Nuh Qays yang tidak puas hati dengan Qairina.
“Eh... Kenapa badan abang macam panas ni?
Tengok, abang dah berpeluh. Abang demam ke?” Puan
Nurain terus melekapkan telapak tangannya ke dahi Nuh
Qays. Wajahnya mempamerkan kerisauan.
“Ibu jangan risau. Abang okey, sebenarnya cuma
letih sikit. Lepas ni, eloklah nanti. Abang nak ibu fokus pada
yang satu ni dulu. Jaga diri ibu dekat sana, jangan jauh dari
ayah,” pesan Nuh Qays. Dia tidak mahu ibunya risau tentang
dirinya. Nanti hilang pula konsenterasi ibunya untuk
mengerjakan ibadah umrah.
“Ayah, bila dah sampai sana, terus call abang.”
“Jangan risau, ayah akan terus call abang. Jangan
lupa tengok-tengokkan Kaka juga, ya. Tak jumpa pun tak apa,
tengokkan dari jauh saja.”
“Ya, nanti abang tengok-tengokkan dia. Pak ngah
mana ayah?” Nuh Qays mencari kelibat pak ngah dan juga
isteri. Suami isteri itulah yang menemani ibu dan ayahnya
mengerjakan umrah.
“Mereka makan dulu. Bukan abang tak tahu dengan
mereka tu, kerja nak makan aje. Nanti sibuklah nak cari
tandas bila dah dalam kapal terbang.” Tersenyum juga Nuh
Qays dengan kata-kata ayahnya itu. Memang dia sedia
maklum dengan perangai pak ngah suami isteri yang suka
makan tapi badan tak pula naik.
Sekejap-sekejap badan Nuh Qays terasa menggigil
kesejukan tapi dia cuba mengawal di hadapan ibu dan
ayahnya. Kepalanya pula sentiasa rasa berdenyut-denyut.
Rasa teruk betul demamnya kali ini. Peluh di dahi dilap
dengan pantas sebelum ibunya ternampak, dia tidak mahu
ibunya risau. Dia boleh jaga dirinya sendiri walaupun dia
selalu di sisi ibunya ketika sakit.
Setelah memastikan ibu dan ayahnya berlepas
masuk ke balai perlepasan, Nuh Qays bergegas meninggalkan
lapangan terbang. Dia mahu segera pulang ke kondominium
kerana dia sudah tidak tahan dengan sakit kepala yang
ditanggung olehnya, sehingga menyebabkan dia lupa satu
perkara penting.
“MANA Encik Nuh ni? Dah enam setengah ni, tapi batang
hidung tak nampak pun. Jadi ke tidak dia nak ambil dokumen
ni?” bebel Qisya Zulaikha sendiri. Sudah banyak kali matanya
melirik pintu lif yang berada di hujung sana dan berharap
Nuh Qays yang akan muncul.
“Mungkin dia ambil esok pagi kut. Lebih baik aku
balik rumah.” Putus Qisya Zulaikha. Dia mengemas meja
kerjanya dan mengambil beg tangannya yang besar itu. Dia
ingin memastikan dokumen Alam Jaya juga sudah
disumbatkan ke dalam beg tangannya.
Sampai saja di rumah, Qisya Zulaikha melihat mak
su sudah mengenakan telekung. Pasti mak su ingin ke masjid
berdekatan, bersolat dan mengaji di sana. Kalau dia tidak
letih, pasti dia akan menemani mak su.
“Dah nak pi masjid mak su?”
“Haah. Ikha tak nak ikut sekali?” tanya mak su.
“Ikha letih sangat hari ni mak su. Ikha solat di
rumah saja. Fiah dah ada?” tanya Qisya Zulaikha pula. Kalau
Afiah ada di rumah pasti dia akan mengurungkan diri di
dalam bilik.
“Baru saja dia keluar tadi. Mak su tanya, dia kata
ada urusan. Entah, urusan apa pula kali ni, nampak gelojoh
sangat dia tadi.”
“Okeylah kalau macam tu. Ikha masuk bilik dulu.
Nak mandi, badan dah melekit sangat ni. Bawa kereta elokelok
mak su,” pesan Qisya Zulaikha. Walaupun masjid
berdekatan dengan rumahnya namun dia memang tidak
senang hati jika mak su cuma berjalan kaki ke masjid. Guna
kereta lebih elok, selamat dan cepat sampai. Qisya Zulaikha
memandang mak su dengan penuh simpati, hanya kerana dia
dan Afiah, mak su mengabaikan zaman mudanya. Dulu mak
su pernah menolak pinangan seseorang untuk menjaga
mereka berdua dan sehingga mereka dewasa, mak su masih
keseorangan.
Selesai solat maghrib, Qisya Zulaikha
mengeluarkan novel pemberian Ifa daripada begnya. Sudah
lama juga dia tidak ada kesempatan untuk membaca novel.
Bila letih begini dan mata tidak dapat dilelapkan walaupun
seketika, ada baiknya dia membaca sesuatu. Dapat juga dia
merehatkan minda.
Dari sehelai muka surat, kini sudah menjadi suku
novel itu Qisya Zulaikha baca. Nampak sangat novel itu
menarik perhatiannya. Tapi tumpuannya terganggu bila
telefon bimbitnya berbunyi tanda ada pesanan ringkas
masuk. Bulat matanya membaca pesanan ringkas itu. Biar
betul!
Tolong hantar dokumen Alam Jaya ke rumah
saya. Ketua awak bagitahu saya yang
dokumen itu ada pada awak. Saya nak kan
malam ini juga – Nuh

No comments:

Post a Comment