DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 5

“Silap aku juga kerana jatuh cinta. Insan sepertimu
seanggun Bidadari...”
(Mengintai Dari Tirai Kamar – EXIST)

“ENTAH apa perempuan terhormat tu nak
agaknya. Paksa-paksa aku balik rumah ni!” rungut Aisara
sebaik enjin kereta dimatikan. Badannya yang masih penat
terus saja diheret ke situ. Dia hilang sabar menerima
panggilan bertalu-talu sejak di lebuh raya tadi. Ingatkan
sebaik melarikan diri dari kesibukan kerja dia boleh
berlapang fikiran. Tetapi ada saja yang menjadi beban.
Aisara turun dari kereta. Matanya memerhatikan
halaman banglo mewah peninggalan Tan Sri Megat Izzuddin
itu. Dia merengus. Berat kakinya hendak melangkah masuk.
Kalau ikutkan hati memang malas dia hendak balik ke situ.
Tetapi kenangan indah bersama insan yang paling dia
hormat dan sayang masih terpahat di situ. Bayangan
ayahnya bermain di mata, mulalah saat-saat indah bersama
menyentuh perasaan. Walaupun hatinya tidak suka semua itu
terungkit, tetapi mindanya mula memutar kenangan.
“PUTERI kena ambil tahu. Tak boleh lepas tangan. Daddy
nak Puteri jadi iron lady,” pujuk Tan Sri Megat Izzuddin.
“No, daddy. Business never in my dreams,” rayu
Puteri. Dia mahu memilih sesuatu yang lain. Cukuplah
ayah dan kakaknya saja terjebak dalam dunia rumit tu.
“Cubalah dulu. Daddy percaya, anak daddy ni hebat.”
Tan Sri Megat Izzuddin tak mahu mengalah dari memujuk.
Puteri buat muka lemah dan manja. Hatinya
serba salah. Sudah berkali-kali ayahnya merayu. Mungkin
dia kena beralah untuk sekali itu. Duduk dalam pejabat
saja pun.
Nafas berat dihembuskan.
“Okey,” setujunya dengan muka monyok.
Tan Sri Megat Izzuddin tersenyum. Kedua-dua
tangannya didepakan. Menanti tubuh Puteri untuk didakap
dengan penuh kasih sayang.
Aisara tersenyum lemah. Dia bahagia dimanja
begitu. “Daddy...” keluhnya hari ini. Dia rindu semua itu.
Satu lagi kenangan menerjah minda. Dia memang boleh
jatuh sakit jika kerap balik ke situ. Dia tidak boleh hidup
dalam realiti. Sebab tu dia berpindah keluar.
“SAYANG, baju ni kan cantik. Kainnya tak panas. Daddy
beli khas untuk Puteri,” beritahu Tan Sri Megat Izzuddin.
Baju kurung sifon turquoise berbatu merah itu
Puteri pandang. ‘Not bad,’ desis hatinya. Cantik. Tetapi
naluri barat yang sudah sebati terpupuk dalam dirinya
menolak. Dia rasa tidak mooden kalau ke majlis kahwin
berbaju kurung.
“Daddy, please...” rayunya tetap mahu berskirt seperti
kebiasaannya.
Tan Sri Megat Izzuddin menggeleng. Anak itu
harus berubah mengikut suasana tempat tinggalnya. Mereka
bukan di Australia lagi. Mereka sudah pulang ke Malaysia
dan akan tinggal di situ selamanya. Dia tidak mahu Puteri
menjadi cemuhan kaum keluarga.
“Percayalah pada pilihan daddy ni. Puteri akan
nampak macam bidadari nanti. Mesti ramai yang mencuri
pandang,” pujuknya. Anak gadisnya yang satu ini memang
suka dipuji-puji dan dimanja. Kalau mahu bercakap
dengannya juga tidak boleh meninggi suara, lagi teruk
perangai dibuatnya nanti. Diplomasi penting untuk
menangani jiwa sensitif Puteri.
Puteri muncung bibir. Dia cuba pujuk dirinya.
Rasanya dia boleh anggap baju kurung itu macam pakai
dress kut.
“Cubalah.” Tan Sri Megat Izzuddin menghulurkan
baju itu.
Puteri garu kepala. Diambil juga dan dicuba. Yes!
Dia memang suka dengan potongan baju kurung moden tu.
Simple.
“Pandai daddy pilih baju,” pujinya dengan senyuman
malu-malu.
Tan Sri Megat Izzuddin tersenyum.
BIBIR Aisara ukir senyuman nipis. Memang dia punya
seorang ayah yang sangat baik. Hari ini baju kurung antara
pakaian yang selesa digayakan.
“Tahu tak betapa ayunya gadis Melayu dalam baju
kurung? Aurat dan urat terjaga tanpa terdedah sana sini
berbanding baju barat yang suku bogel tu. Lebih banyak
bahagian tubuh yang disembunyikan, lebih tinggi nilai
seorang wanita. Buka hanya untuk lelaki yang bergelar
suami.”
Kata-kata itu pula singgah dalam mindanya. Dia
mengeluh.
‘Pergilah, pergilah... jangan menyampuk,’ marah
hatinya. Asyik-asyik hal berkaitan Alif yang ingin dilupakan
itu terseret sama.
Gambar Tan Sri Megat Izzuddin yang terpampang
dalam bingkai di atas almari hiasan menenggelamkan
suara Alif dari mindanya. Aisara sedar bahagianya sudah
tertanam dalam kenangan. Gelagat ayahnya meluangkan
masa berkongsi cerita perjalanannya ke tempat-tempat
menarik sewaktu melakukan lawatan perniagaan pula
berputar.
“KALI ni daddy melawat kilang barangan kraf kita kat
China. Semuanya lancar. Daddy bawakan Puteri dua ekor
Teddy Bear saiz gergasi. Ada dalam bilik,” beritahu Tan Sri
Megat Izzuddin sebaik Puteri yang baru balik dari bermain
tenis itu mendapatkannya. Berjam-jam dia tunggu
kepulangan anak itu. Rindu betul hati tuanya mahu
menatap wajah manja tu.
Puteri yang sudah duduk atas riba ayahnya kerut
dahi. Teddy Bear? Dia mana suka benda-benda macam tu.
Dia takut patung tu hidup malam-malam nanti. Aduh,
fobia dari siri dogeng masa kecil dulu terbawa ke dunia
dewasanya.
“Tak naklah daddy benda macam tu. Puteri nak
loket Jade. Ada?” beritahunya sambil memeluk bahu
ayahnya dan merapatkan kepala mereka.
Tan Sri Megat Izzuddin menepuk tangan Puteri
beberapa kali. Dia mengangguk.
Puteri tersenyum dan mencium pipi ayahnya.
Indah dia rasa selalu dimanja dan disayang macam itu
walau sudah besar panjang.
“SEKARANG anak daddy ni yang banyak buat lawatan
perniagaan, tapi tak boleh nak kongsi cerita dengan siapa siapa,”
bisiknya hiba.
Masih ada peristiwa yang tidak mahu lepas
daripada ingatan Aisara. Hari dia dipaksa bertunang. Hanya
kerana kegilaannya merosakkan barang hantaran yang
sudah siap digubah Puan Sri Marina, dia ditampar seenak
rasa. Dia benci perempuan terhormat itu mengasari dan
memaksa dirinya. Benci! Hatinya membara tiba-tiba.
Sebahagian lagi kenangan menyapa, membuatkan
perasaannya reda semula. Tangan kasar yang tetap lembut
mendakap tubuhnya bagaikan terasa semula tika itu.
Ciuman hangat yang menyingahi dahinya demi
meredakan esak tangis yang tidak mahu reda dulu, seolaholah
masih hangat dirasakan. Dia tertunduk di situ.
“Daddy...” rintih Aisara pilu. Dadanya menjadi sebak.
Bibir diketap. Mata dipejamkan sesaat. Dia menarik nafas
panjang menahan tangis.
‘Dahlah tak payah nak menangis, daddy dah tak
ada. Dia tak boleh dengar pun,’ ejek perasaannya menyentak
kewarasan diri. Terus saja Aisara mencari kelibat Puan Sri
Marina. Kelihatannya perempuan terhormat itu sedang
duduk tersandar di sofa panjang. ‘Senang hati nampaknya.’
Aisara mendapatkannya.
“Puan Sri nak apa beria-ia suruh aku balik malam malam
macam ni?” terjahnya dan terus duduk.
Puan Sri Marina kerut dahi. Sakit hati mendengar
Aisara membahasakan diri sebagai aku dan memanggil
gelaran pangkal namanya. Namun dia masih mengawal
riak muka seolah-olah hatinya tidak terasa dengan
kelakuan Aisara. Ego.
“Kamu pergi mana? Kenapa tinggalkan syarikat
tak berpesan?” selidiknya. Risau tindakan Aisara
menghilang secara tiba-tiba akan menjadi alasan untuk
RY mengambil alih syarikat mereka. Hah, barulah putih
mata. Dari senang-lenang, jadi papa kedana.
Aisara herotkan bibir. “Syarikat tu aku punya,
suka hati akulah,” jawabnya mendatar. Pantang betullah
kalau ada orang lain cuba masuk campur segala
urusannya. Cukuplah kalau perempuan terhormat itu
tahu yang dia belum mati untuk menguruskan
kepentingan mereka.
“Mummy tanya sebab RY asyik telefon cari kamu.
Paling tak pun cubalah tinggalkan pesan kat pejabat tu. Ini
tak hilang begitu aje,” tegur Puan Sri Marina masih lembut.
Aisara panas hati. “Lain kali kalau urusan berkaitan
syarikat, tak payahlah susah-susah suruh aku balik!” Aura
marahnya mula memancar.
“Hmm... kalau tak suka mummy campur urusan
syarikat tak apalah,” keluh Puan Sri Marina. Dalam hati
geram juga tengok sikap kurang ajar Aisara itu.
Aisara mencebik. ‘Perempuan terhormat ni baru
hari ni ke tahu aku tak suka orang masuk campur urusan
kerja aku? Walhal dulu lagi aku dah beritahu jangan
seorang pun ambil peduli tentang diri aku.’
“Mummy ada hal lain nak bincang dengan kamu.”
Bukan Puan Sri Marina sengaja hendak ungkit hal yang
sudah mereka persetujui sekian lama, tetapi naluri
keibuannya ingin juga melihat Aisara bahagia. Aisara pula degil.
Tak nak lepaskan masa lalunya.
“Mummy nak kamu kahwin dengan RY.”
Aisara buat muka kerek sebelum tersengih dan
menggeleng.
‘Gila apa dia nak kahwin dengan mamat tu?
Memang tidaklah puan sri oii... Perkahwinan dah jatuh ke
tangga terakhir dalam senarai terpenting hidup aku ni.’
“Aku tak nak.”
“Fikirlah dulu,” pujuk Puan Sri Marina. “Kalau
kamu kahwin dengan RY, senang sikit nak uruskan syarikat
tu.” Kalau Aisara setuju tidak payah lagi dia hendak buruk
sangka dengan RY yang difikir mahu membolot harta
keluarganya tu. Walau bahasanya selalu manis ketika
berbicara dengan RY tapi dia tidak pernah percayakan
pemuda itu. Bukan senang hendak membaca pemikiran
Puan Sri Marina. Kerana lain di bibir, lain pula dirancang
hatinya. Aisara yang sudah menjadi mangsanya saja
mengerti bahasa lidah yang manis bergula bercampur racun
berbisa itu.
Aisara menjeling ke tempat lain. ‘Kau janganlah
nak buat baik dengan akulah Puan Sri. Aku dah faham
permainan kau. Dalam baik kau nak kenakan aku.
Hipokrit!’ cemuhnya dalam hati.
“Puan sri lupa ke? Aku dah bersumpah takkan kahwin
sampai mati?”
Puan Sri Marina tarik muka.
Aisara tersenyum menyindir. Cari fasal lagi. Dia
tahu hati Puan Sri Marina berjaya disakiti.
“Bukan ke puan sri dah janji tak nak masuk
campur dengan urusan aku, kalau aku tunaikan
permintaan puan sri yang dulu. Jadi sekarang tak
payahlah susah-susah nak cari jodoh untuk aku. Aku bukan
remaja lagi yang puan sri boleh atur seenak rasa. Aku dah
besar, boleh jaga diri sendiri,” ungkitnya lemah-lembut.
Sengaja mahu menikam hati Puan Sri Marina supaya lebih
terluka.
Puan Sri Marina menghembus nafas berat. Dia
tidak boleh hendak sabar. Paru-parunya seperti
bermasalah pula mahu berfungsi. Dadanya rasa memberat.
“Salah ke kalau mummy nak yang terbaik
untuk kamu?” Kalaulah tenaga tuanya sama macam 30
tahun lalu, pasti rambut Aisara sudah disentap dan kepala
anak itu dihantukkan ke dinding bagi melampiaskan
marah. Tetapi apakan daya, masa sudah berlalu. Dia
semakin berusia dan Aisara sudah cukup dewasa.
Aisara buat muka mengejek. ‘Tercabar juga
kesabaran kau dengan aku, kan? Itulah, hati kau dah tua.
Perlukan kasih sayang anak-anak tapi kau tak sedar diri
jugak. Nak berlagak bagus aje sepanjang masa. Selalu
sangat fikir kau boleh kawal segalanya? Tapi kau silap.
Sekarang aku nak kau tengok aku balas balik semua yang
kau dah buat pada aku dulu. Bagus jugak daddy bagi aku
syarikat tu. Kau orang semua kena ikut apa aje aku
cakap,’ bisik hatinya berbaur dendam. Inilah yang
dinamakan hikmah selepas paksa diri terima wasiat itu. Dia
dapat kuasa! ‘Terima kasih daddy kerana tinggalkan
perisai yang kuat untuk Puteri.’
“Yang terbaik untuk aku?” Aisara ketawa mengejek
dan menyambung lagi bicaranya, “Mana ada lagi. Semua
puan sri dah musnahkan.”
Puan Sri Marina menjeling geram. Aisara sengaja
memperbudak-budakkan dirinya.
“Puan sri lupa? Bukan ke puan sri sendiri yang
sebabkan aku jadi macam ni?” Aisara tersenyum sinis. “Jadi
jangan haraplah aku yang patuh dan baik hati tu akan hidup
kembali untuk mematuhi semua arahan puan sri.” Dia
rasa dengan pelbagai mimik muka yang ditunjukkan, Puan
Sri Marina sudah boleh kategorikan dia sakit jiwa. Tapi,
lantaklah. Jiwanya memang sedang memberat menanggung
semua perbuatan Puan Sri Marina pun.
“Sedihnya... aku tak boleh gadaikan sisa hidup
aku yang ada ni macam dulu,” persenda Aisara. Rasa
macam mahu keluarkan saja semua yang terbuku di
hatinya selama ini. Tetapi dia kena sabar lagi. Tidak
seronok mendera perasaan perempuan terhormat tu secara
terburu-buru. Biar perempuan itu sakit perlahan-lahan
sebelum mati! Hatinya tersenyum jahat.
“Kamu ni memang degil!” Puan Sri Marina
menjegilkan mata. Penafasannya terasa semakin sesak.
‘Yeah! Akhirnya berjaya juga aku naikkan
kemarahan kau. Marahlah lagi puan sri, tunjukan rasa hati
kau yang membengkak dengan kata-kata aku tu.’ Aisara
ketawa mengejek sebelum menukar muka sedih semula.
“Degil aku ni datang daripada puan sri, baik
Puteri pula datang daripada daddy. Tapi buat apa nak
cakap pasal orang yang dah mati, kan? Sebab dia orang
dah bawak baik tu mati sama,” sindir Aisara tanpa belas
kasihan.
Puan Sri Marina cuba bersabar semula. Aisara
semakin hebat bermuka-muka dan berdrama.
“Pandai kamulah! Kamu dah besar. Buatlah apa
yang kamu suka,” balasnya mengalah. Tak kuasa nak marahmarah.
Dadanya semakin sakit. Dia tersandar di sofa
menahan rasa.
Dengan muka jahat Aisara tergelak menang.
Pantas iPhone dikeluarkan dari saku seluar jeans yang
dipakai. Buat apa melambat-lambatkan waktu memberi
jawapan kepada RY. Dunia sudah canggih, manusia boleh
dihubungi di pelusuk mana saja. Kalau dua minit tadi
keluarga RY datang meminang, tidak perlulah tunggu
jawapan dua minggu lagi macam zaman dulu-dulu.
Panggilannya dijawab. RY terlebih dulu menyapa.
“Helo, sayang...” Ceria dan riang saja suara lelaki itu.
Aisara rasa jengkel dipanggil begitu. ‘Tak apa kejap
lagi kita tengok aku sayang kau ke tak?’
“Tak payahlah nak sayang-sayang. Geli aku dengar,”
balasnya meluat.
“Alah... apasal tak romantik ni?” usik RY. Dia
peduli apa kalau Aisara hendak terjerit-jerit. Bukan
tekaknya yang sakit nanti. Dia menggunakan speaker bebas
tangan untuk menjawab panggilan itu. Malaslah hendak
melekapkan telefon bimbit ke telinga di saat sedang
bermain PSP II. Lagipun dalam bilik tidurnya itu bukan
ada siapa pun yang akan mendengar perbualan mereka.
“Kau jangan nak mengada-adalah.”
“Sayang, kenapa ni? Sakit perut ke? Nanti abang
hantarkan ubat, ya?”
Aisara buat muka geli-geleman.
RY terkekeh-kekeh menahan tawa. Tidak ada
hal Aisara telefon dia, saja bosan mahu ajak bergaduhlah,
apa lagi.
“Eh, aku malas nak layan kau merapulah. Kau
tolong cermin muka kau sekarang...” arah Aisara garang.
“Muka abang kenapa sayang? Handsome ke?”
“Eiii... Kau ni bodoh ke apa?” jerkah Aisara
sekuat hati. Tidak fahamkah dia hendak bagi tahu yang dia
tidak mahu kahwin. Pinangannya ditolak!
Puan Sri Marina yang dari tadi memerhati
menggeleng.
RY ketawa geli hati. Puas hati dapat mempermainkan
Aisara.
“Aisara! Kenapa cakap macam tu dengan RY?” celah
Puan Sri Marina. Kepalanya mendadak sakit, diserang
penyakit darah tinggi. Pandangannya berbalam. Namun
sempat terasa kesal dengan wasiat yang ditinggalkan arwah
suaminya. Kalau bukan Aisara yang berkuasa, pasti anak
itu boleh diatur.
“Bik... tengok puan sri ni,” jerit Aisara sebaik
menyedari Puan Sri Marina semakin lemah tak berdaya.
Pembantu rumah berlari mendapatkan Puan Sri
Marina.
Aisara menekup iPhonenya seketika.
“Kalau teruk sangat, call aje ambulan,” arahnya
kepada pembantu rumah sebelum berlalu ke tingkat atas
menuju bilik yang sudah lama tidak dihuni. Perbualannya
dengan RY masih belum tamat.
Puan Sri Marina memejam mata, tidak terdaya
hendak bersuara lagi. Aisara benar-benar melampau.
Secara terang-terangan menunjukan sikap tidak peduli
kepadanya.
“Helo!” sambung Aisara mahu memastikan RY
masih di hujung talian.
“Sayang... kenapa jerit-jerit macam ayam baru
lepas bertelur?” tanya RY perlahan dan bersahaja. Teguran
Puan Sri Marina dan jeritan Aisara memanggil pembantu
rumahnya tadi dia dengar dengan jelas. Bergema suara itu
memenuhi ruang sepi bilik tidurnya itu. Kalau disambung
ke alat pembesar suara pasti gempa rumahnya seketika.
Aisara tarik nafas dalam-dalam menahan geram. RY
ni kalau lagi dimarah-marah, lagi suka. Hmm... Dia berfikir
sejenak. Dia tidak mahu kalah. Seketika kemudian akal
kancilnya menyala terang. Dia tersenyum nakal.
“Sayang...” panggil Aisara lembut dan menggoda
secara tiba-tiba.
RY terhenti bermain PSP II. Pandangannya beralih
ke telefon bimbit. Alahai! Merdunya suara Aisara bila
dalam keadaan manja. Tergoda hati lelakinya. Dia diam
seketika. ‘Betul ke perempuan ni? Tadi marahnya berapi,
sekarang dah dilanda salji pulak,’ Ish! Hatinya mula
dilanda curiga.
“Sayanggg...” rengek Aisara manja. Kemudian dia
menekup mulut dengan tangan, menahan tawa yang
hampir terburai. Padan muka kau setan!
“Ya... ya... saya ada. Dahlah jangan main-main
lagi. Ada apa awak call malam-malam ni? Hal pejabat cakap
esok ajelah. Saya nak rehat,” ngeri pula mendengar
rengek manja Aisara itu. Buang tebiat ke apa Aisara ni?
Sejak mereka kenal, tidak sekali pun suara manja macam
itu pernah didengar. Hari-hari suara singa lapar yang
menyakitkan gegendang telinganya saja. Alih-alih malam
ini jadi manja semacam. Hari ini Aisara ada salah makan ke?
“Alah, sayang... janganlah nak mengelak dengan
Ai. Ai rindu... Seminggu tak jumpa, kan? Huk huk
huk...” rengek Aisara. Kejap lagi mesti hati RY mencair dan
tergoda. Dia sangat berpengalaman menggoda lelakilah.
“Awak salah makan ke? Seminggu hilang. Balik
aje jadi macam ni?” RY menukar tetapan alat pembesar
suara telefon bimbitnya kepada biasa.
“Ai rindulah. Abang tak rindu Ai ke?” Aisara
berdiri di tingkap biliknya sambil melihat titik-titik
hujan membasahi kaca luar tingkap itu.
“Aisaraaa... Sudahlah jangan main-main lagi!”
bantah RY perlahan sambil merebahkan diri atas katil.
Hati lelakinya seronok mendengar rengekan macam tu.
Suara Aisara dalam keadaan macam tu memang ada aura
menggoda. Lemah-lembut membelai jiwa, walaupun
ketika hari-hari biasa kelihatan sangat teruk.
“Mana ada Ai main-main. Mummy Ai cakap, nak
kita kahwin. Kenapa abang tak cakap awal-awal I love you
dulu. Ai tertunggu-tunggu tau,” rengek Aisara. Terasa loya
pula tekaknya mahu berlakon begitu. Tetapi sudah alangalang
bermain, biarlah sampai menang. Hujung bibirnya
digigit.
Terkelip-kelip mata RY memandang siling.
Dia tersengih sambil berguling atas katil. Gayanya
sudah macam kucing tengah bergolek-golek gatal di atas
pasir. Miang!
Memang perasaan miang sedang merasuk
dirinya. Langsung tidak sangka Aisara sudah lama tunggu
dia melafazkan kata cinta itu. Mendengar Aisara
memanggilnya abang, lagilah runtuh jiwa lelakinya. Terbayangbayang
wajah jelita Aisara di matanya. Mulalah dia nak
berangan.
“Soal kahwin tu cadangan mak abang aje. Abang
tak fikir lagi,” beritahunya jujur. “Tapi kalau Ai setuju, abang
pun tak menolak,” tambah RY yakin. Sedikit pun
tidak mengesyaki apa-apa. Kalau boleh mendapat isteri
secantik Aisara, buat apa buang-buang waktu
membiarkan umurnya yang sudah 38 tahun itu jadi lebih
tua. Aisara pun bukannya garang sangat, ada juga sikap
manjanya. Tidak ada masalah mahu menjinakkan singa
lapar tu. Kerja senang.
“Ooo... macam tu ke? Maknanya yang nak kahwin
tu mak abang. Ai ingat abang betul-betul cintakan Ai.”
Aisara bersuara hampa. Pandai sungguh dia berdrama.
Maklumlah, dia kan penulis. Mencipta watak dalam novel
sama saja bagaikan bermain dengan pelbagai emosi
manusia.
“Eh, tak... abang yang nak kahwin.” Cepat-cepat RY
membetulkan kata-katanya.
“Habis, tadi abang kata belum terima cadangan
mak abang. Itu apa? Sampai hati abang buat Ai macam ni.
Ai ingat abang betul-betul cintakan Ai tadi,” rajuk Aisara.
Dia naikkan kening buat muka jahat, dalam hati sudah ada
rasa aura hendak menang. ‘Kau ingat aku ni calang-calang
perempuan ke kau nak ajak bermain perasaan? Ambik
kau! Lepas ni mesti kau malu nak tengok muka aku lagi,’
omel Aisara sendiri lantas dia ketawa dalam hati.
“Alah, Ai... janganlah merajuk,” pujuk RY.
Yes! Itu yang Aisara mahu. Dia memang suka
dipujuk rayu. Seronok. Rasa dibelai dan disayang-sayang.
Hehehe.
“Tak apalah. Ai ni dah liat. Elok abang cari
perempuan lain yang masih bergetah kat luar sana tu.”
Sengaja kata-kata RY di hospital dulu diungkit. Biar RY
mengelabah.
Aduh! RY terkena. Mulalah dia diburu rasa
bersalah. Kesal pula hatinya melemparkan kata-kata itu
dulu. Sepantas boleh dia memerah akal mencari cara untuk
memujuk. Rugi. Ikan sudah makan umpan dia pula yang
tidak pandai bermain tali untuk menariknya ke darat.
“Ai, abang dah lama suka Ai. Tapi Ai garang
sangat, susah abang nak dekat. Tu yang abang selalu cari
fasal. Nak dapatkan perhatian daripada Ai. Janganlah
merajuk, sayang...” Jujur saja tutur RY kedengaran.
Reaksi muka Aisara bertambah nakal. Semakin
besar gelak di hatinya. RY sukakan dia selama ini? Jangan
mimpilah! Dia diam membisu membiarkan RY terus
meluahkan perasaan. Jahat sungguh tindakannya. Tetapi
dia tidak rasa bersalah pun.
“Ai, janganlah diam. Cakaplah...” pujuk RY. “Ai,
dengar apa yang abang nak cakap ni, ya? Aisara... I love
you,” ucap RY tanpa ragu. Tidak semena-mena ketawa
besar Aisara yang diterimanya. Dia kehairanan. Apa yang
berlaku?
Mungkihkah...
“Ai...”
Aisara terus tergelak.
“Ai...” panggil RY mula geram.
Tiba-tiba Aisara diam.
“Aisara!”
“Raja Ahmad Yusuf Bin Raja Abdullah! Tolonglah
jangan pernah bermimpi yang aku sudi jadi isteri kau.
Mati hidup semula pun aku tak ingin!” Aisara yang lemah
lembut dan menggoda tadi hilang ditiup taufan. Yang
kedengaran sekarang Aisara yang asal, singa lapar yang harihari
perlu RY hadapi.
Tercengang RY diperlakukan sebegitu.
Kecewa!
Benih-benih indah yang baru hendak berputik
dalam taman hatinya terus mati disiram racun perosak
gred satu. Tanpa belas kasihan Aisara membuat dia malu.
Mulalah dia rasa, Aisara tu bukan sahaja singa lapar yang
pandai mengaum, tetapi juga ular yang bersembunyi di
sebalik daun. Kata-kata manis dari mulut Aisara
mampu buat senyum menguntum, namun sekelip mata
boleh bertukar menjadi racun. Dan sekarang dia sudah
hendak mati keracunan.
“Aisara!!!” jerit RY. Perempuan itu sudah menjatuhkan
maruahnya. Melampau!
Aisara ketawa semahunya sebelum mematikan
panggilan. Puas hatinya. Itulah balasan kerana cuba
mencium pipinya di pantri dulu dan amaran supaya tidak
gatal-gatal menyimpan impian pada orang yang tidak sudi!
RY melepaskan beberapa tumbukan ke bantal.
Marah betul hatinya dengan perempuan berhati kering
dan tidak berperasaan tu. Pasti mimpinya malam ini akan
menjadi ngeri. Siapa yang setan sekarang? Dirinya atau
perangai Aisara yang memang setan?

No comments:

Post a Comment