DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 14

KEJUTAN dalam hidup ini merupakan satu
perjalanan yang sudah tercatat dalam diari diri seseorang
dan tidak mungkin mampu ditepis. Biar sekuat dan
sedaya mana pun tidak akan mampu dielak. Hidup ini juga satu
perjanjian. Tiba masa harus dikembalikan kepada yang hak.
Sudah termaktub di lohmahfuz. Dan kejutan yang diterima
Qistina pagi ini sesuatu yang tidak pernah diduganya.
Sungguh tidak diduga. Dan benarlah hidup ini penuh
dengan kejutan.
Rempuhan tiba-tiba Zura di depan bilik kala diri
sedang asyik berdiri di muka kabinet meneliti dokumen
laporan projek di Borneo membuatkan Qistina terkesima.
Tubuh yang masih tegak menjamah wajah di depan
dengan pelbagai andaian. Melihat pucat air muka yang
terpancar di wajah manis Zura membuatkan hati pantas
meniup kencang angin cemas.
Apa yang sudah berlaku agaknya ini? Dan kata-kata
yang terluncur dari bibir berona bronze berry pearl Zura
meragut segala ceria dan ketenangan pagi Jumaat yang
penuh rahmat dan barakah. Damai perasaan yang sedaya dibina
sejak malam tadi kesan kejutan dari rancangan yang
direncanakan oleh Zita dan pagi ini satu kejutan yang
menghempap diri. Dan kejutan pagi ni sesungguhnya telah
merenggut segala urat nadi.Gusar tentang masalah diri bagai
terbang dibawa bayu. Seraut wajah yang sering mengintai
hatinya sejak dahulu mengepung segala rasa yang bergumpal
di jiwa terus berjuntaian di layar kelopak mata bundarnya.
Kaki dan tubuh yang berdiri sejak tadi seakan-akan
kaku. Sekakunya!
Joe dan Maya kemalangan!
Maya gagal diselamatkan!
Maya, isteri Joe sudah tidak ada!
Kata-kata itu berulang tayang di kotak fikiran. Kata
yang menghentak naluri. Chocolate Magnolia bersaiz satu
liter di tangan kiri sejak tadi terlepas dari cengkaman.
Terhendak di atas muka meja kabinet. Wajah Zura dengan
hujung kolam mata yang basah ditatap. Mata Qistina bulat.
Tidak berkelip. Dada bergelombang. Turun naik memacu
aliran nafas yang sudah kelam-kabut. Sungguh dia terkejut
dengan apa yang baru sahaja disampaikan Zura. Lafaz
istirjak meluncur daripada bibirnya. Dari Allah kita datang dan
kepada-Nya jugalah kita akan kembali.
“Zu… be… betul ke Maya dah…?” Bibir menggigil
kala melafaz kata. Seakan-akan ada belati yang menghiris.
Wajah tampan Joe laju menerpa minda. Joe?
Zura mengangguk kepala. Laju. Ada esakan kecil
berlagu di hujung suara. Qistina kemam bibir. Khali.
“Bi… bila, Zu?”
“Malam tadi.”
“Allahuakbar .”
Khali. Bibir dikemam. Wajah pilu Zura yang
Lafaz Cinta Di Jari Manis
148
tersandar pada daun pintu ditatap.
“Macam mana perkara ini boleh jadi?”
“Bertembung dengan pemandu mabuk. Remaja.
Honda City Maya berpusing sebelum melanggar pembahagi
jalan.”
“Ya Allah...” Qistina geleng kepala. Tapak tangan
singgah di bibir. Mata terpejam. Seketika. Nafas yang masih
tersangkut digagahi untuk dihela. Ada persoalan yang
mengoncang dinding hatinya dan perlu diperolehi kepastian.
“Joe…? macam mana, Zu?”
Zura hempas nafas. Dalam. Tangan meraup wajah
licinnya. Raut wajah penuh gusar yang polos di hadapan
ditatap. Seperti diri Qistina, Zura juga terpalit duka.
Johan Khusairy itu teman akrab mereka berdua sejak
bertahun. Joe Romeo yang sangat mengambil berat.
Joe yang prihatin. Joe yang romantisnya tidak mengenal
siapa.
“ICU… tapi dia dah stabil. Cuma belum sedar lagi.”
“Joe…” Tubuh kurus Qistina langsung terhenyak ke
dada kerusi baldu di belakang. Wajah tampan Joe terlayar
di mata. Segala kenangan bersama lelaki itu kembali
menergah ruang fikirannya. Johan Khusairy. Lelaki yang
dikenali di sini.
Lelaki yang menyertai dia dan Zura sebagai jurutera
dan menjadi rakan akrab di dalam tugas. Joe yang amat
berani menyatakan perasaannya kepada Qistina secara terus
terang walhal sudah dia tahu Qistina ada Khal di hati. Joe yang
cukup memahami kala Qistina menyatakan tidak pada
suara hatinya. Joe teman yang istimewa. Dan sebagai teman
dia amat menyayanginya temannya itu. Dilepaskan nafas
berulang kali. Ada pilu yang bergayut.
Khali.
“Qis...”
Mata diangkat. Sayu masih menghambat jiwa. Dua
pasang mata yang bergenangan bertembung. Qistina pantas
meraup wajah.
“You nak pergi melawat dia? Jomlah ikut I. Kamal
dengan I nak pergi ni.”
Qistina menelan nafas. Sesak. Kepala diangguk.
Perlahan. Doa dipanjat agar teman akrabnya yang satu
itu selamat dalam perjuangannya. Moga Dia yang Maha
Pengasih memanjangkan perjalanan Joe di dunia ini.
Memberinya kesempatan untuk terus berbakti kepada
manusia. Terus bernafas untuk memberi semangat dan
ceria kepada yang lain. Beg Coach di atas kabinet rona
terracotta di belakang dicapai dengan rakus. Tubuh tegak
pantas. Zura yang masih mematung di depan pintu didekati.
Bahu Zura disentuh dengan perlahan.
“Jom.”
TIGA pasang kaki deras melangkah memasuki ruang unit
rawatan rapi TTMC. Beberapa wajah yang Qistina kenali di
perkarangan ruang dihampiri. Salam dan pelukan
bertukar ganti. Zura dan Kamal tidak ketinggalan. Esak
tangis yang masih menderu di cuping menggamit rasa
sayu. Mata memandang pada sesusuk tubuh yang sedang
berlabuh di kerusi bersebelahan bilik yang menempatkan Joe.
Dihela nafas.
Qistina ucap salam kepada Datuk Kamarul yang
tenang memaut tangan di hujung pelipis. Anggukan lemah
lelaki yang bergelar papa kepada Joe itu sudah cukup
menyatakan hujan sedih yang lebat di jiwa. Senyum kecil yang
dihulur mungkin sekadar mahu meredakan perasaan pilu
yang menghempas jiwanya barangkali. Qistina mengerti. Joe
anak tunggal kesayangan Datuk Kamarul dan Datin Khalida.
Pastinya musibah ini terlalu berat buat mereka berdua.
Usai bertanya serba sedikit tentang musibah yang
melanda.
Qistina lantas menerpa ke arah Datin Khalida, ibu Joe
di sebelah yang ternyata cukup lemah. Dakapan kedua-duanya
erat berpaut. Wanita lemah lembut ini sudah bagai hilang
semangat. Hilang menantu tunggal dalam sekelip mata.
Dan kini terpaksa melihat anak tunggalnya bertarung nyawa
demi sebuah kehidupan.
“Qis… Joe, Qis… Joe… Joe.” Dipaut bahu wanita
yang sangat dihormatinya ini. Kepala dianggukkan. Mahu
menyatakan betapa dia begitu memahami apa yang sedang
dirasai oleh wanita ini.
“Sabar ya, mak cik. Kita doakan moga Joe selamat.
Qis tahu Joe kuat semangat orangnya.” Memang sejak
dahulu Datin Khalida disapa dengan panggilan demikian. Itu
pinta wanita ini. Mama Joe ini sangat merendah diri.
Katanya dia lebih senang dipanggil begitu. Lebih mesra. Lebih
dekat di hati.
“Qis, Maya dah tak ada. Maya dah tak ada, Qis. Maya
dah tinggalkan, Joe.” Kepala diangguk. Bibir kuat dipaut.
Menahan rasa pilu. Cuba dikuatkan semangat di hadapan
wanita ini. Digenggam erat kedua-dua tapak tangan
separuh abad ini. “Kita semua sayangkan Maya, mak cik tapi
Allah lebih sayangkan Maya daripada kita semua. Relakan dia
pergi, mak cik. Ikhlaskan dia pergi pada Penciptanya.
Redhakan semua takdir ini. Moga Maya ditempatkan di
kalangan insan yang mendapat rahmat Allah,insya-Allah.”
Esak terus berlagu dari bibir pucat di sebelah. Hati
halus Qistina turut pilu.
“Tapi... Joe tak tahu lagi, Qis. Joe tak tahu lagi
Maya dah tak ada. Maya dah tinggalkan dia. Kesian Joe, Qis.”
Kepala diangguk. “Insya-Allah kita doakan moga Joe kuat
ya mak cik. Qis kenal Joe. Qis tahu Joe kuat semangat. Qis
tahu Joe kuat.” Genggaman tangan makin erat dipaut. Mahu
dipinjamkan semangat yang tidak sekuat mana kepada
wanita di sebelahnya ini. Dipanjatkan doa pada Yang
Khaliq moga Joe akan tabah dengan dugaan ini. Moga Joe akan
redha dengan takdir yang tertulis. Ditundukkan wajah.
Dikucup pelipis wanita yang sudah dianggap bagaikan ibu
sendiri apatah lagi diri memang sudah lama kehilangan ibu
kandung. Biarpun ibu tirinya tidak pernah membezakan
Qistina dan dua adik lelakinya yang lain, tapi entah mengapa
jiwanya lebih dekat dengan mama Joe ini.
“Qis…” Suara yang menyapa cuping buat dirinya
menggeletar. Suara itu begitu dekat di jiwa. Suara yang
terlalu sinonim bagi dirinya. Perlahan-lahan diangkat
wajah yang menunduk. Dua pasang mata bertembung.
Hangat di tubir mata kian melambai. Dikemam bibir.
Perlahan dilepaskan genggaman tangan. Dibisikkan sesuatu
kepada mama Joe. Wanita itu mengangkat wajah. Anggukan
berpadu tanda terima kasih atas kunjungan. Perlahan-lahan
tubuh diangkat dari duduk. Kaki yang menggeletar digagahi
untuk berdiri.
Dan sesungguhnya hari jumaatnya hari ini
penuh dengan pelbagai kejutan. Dan Kejutan yang sedang
terhidang di depan matanya saat ini tidak mampu ditolak.
Tidak mampu dibawa diri untuk melarikan diri. Di depan
matanya ini..di depan bilik kaca yang menempatkan teman
akrabnya yang masih bertarung nyawa berdiri insan yang paling
istimewa dalam hidupnya sejak dia menjengah dunia.
“Ayah.” Hanya itu yang mampu terlafaz.
Qistina khali. Dan mata kembali terpegun pada sesusuk
tubuh yang sedang menapak perlahan dari luar pintu masuk
menghampiri ayah. Dua pasang mata mereka bertembung.
Debar di dada makin laju memukul. Nafas kian kencang. Khal!
CAWAN kapucino di hadapannya hanya dibiarkan sepi.
Tidak berganjak dua pasang bola mata melontar tatapan
kembali memerhatinya. Dilepaskan nafas dengan tenang.
Suasana di Dome Suria KLCC nampak tenang di pagi
Jumaat yang penuh barakah. Mata dilontar seketika kepada
pengunjung yang lalu-lalang di luar premis sebelum
kembali jatuh pada dua wajah di hadapan yang masih lagi
tunak merenungnya.
Sungguh tidak menduga bahawa akan berjumpa
ayahnya. Setelah bertahun-tahun menjauhkan diri.
Dan tambah mengejutkan Qistina bila memikirkan bertemu
ayah juga Khal di sini. Qistina tidak pasti sejauh mana
hubungan antara ayah, Khal dan Joe juga keluarganya.
Mungkinkah sepergiaannya, ada hubungan erat yang
terjalin antara ayah dan Joe sekeluarga. Tapi Khal?
Sudah berbaikkah dia dengan Joe? Melihatkan kehadiran
Khal di sini Qistina merasakan kemungkinan itu wajar
namun akal bagai meningkah apabila fikiran menggali
semula pertemuan kedua-duanya di pejabat Qistina beberapa
minggu lalu.
Nampak tegang sahaja kedua-duanya. Mungkinkah
kehadiran Khal di sini sekadar menemankan ayah. Qistina
tahu eratnya hubungan ayah dan Khal sejak dahulu. Khal
pilihan ayah. Khal lelaki yang ayah amat percaya mampu
memberi bahagia dan menjaga Qistina hingga akhir hayat.
“Qis…” Sapaan lembut ayah mengembalikan diri
di Dome semula. Kenangan yang hinggap sudah bertempiran
dihembus arus masa.
Senyum. “Umi sihat, ayah? Iqbal dan Rifqi?”
Anggukan perlahan lelaki ayah dilihat sayu. Qistina
tahan rasa di dalam hati yang bergetar hebat.
“Alhamdulillah. Semua sihat. Umi rindu sangat
kepada Qis.” Mata redup ayah menampar pandangan mata.
Qistina telan nafas. Dalam-dalam. Wajah manis umi terlakar di
fikiran. Maafkan Qis, umi. Maafkan, Qis.
Jeda.
“Ayah tahu Qis masih marah kepada ayah. Dan ayah…”
Helaan nafas tua ayah menjentik deras hati kecil Qistina. “Tahu
ayah tak berhak nak tanya apa-apa lagi pada Qis. Ayah yang hukum
Qis. Ayah yang...”
“Ayah...” Kura tangan ayah yang kian dimamah usia
diusap perlahan. Digenggam.
“Qis tak salahkan ayah. “ Kepala digeleng. “Semua
yang dah berlaku Qis terima. Mungkin ada hikmahnya. Qis
redha, ayah.”
“Ayah tahu ayah terlalu ikutkan hati yang marah.”
“Sudahlah ayah. Qis tak pernah salahkan ayah.
Ayah tak bersalah.”
“Qis tak mahu balik duduk dengan ayah? Dengan
umi macam dulu. Qis tak dapat maafkan kami, kan. Ayah
tahu kami banyak lukakan hati Qis. Ayah banyak berdosa
kepada Qis. Ayah tak patut hukum Qis.”
Kepala digeleng. Kura tangan ayah digenggam. Erat.
“Demi Allah Qis tak pernah salahkan ayah dan umi.
Percayalah. Qis cuma mahukan pengertian ayah. Berilah diri
Qis ruang untuk seketika. Qis mohon izin ayah. Insya-Allah Qis
akan kembali ke rumah bila Qis sudah bersedia nanti. Qis harap
ayah faham.” Kepala diangguk memohon restu sambil tangan
erat memaut genggaman tangan lelaki di hadapan.
Pandangan Khalish masih tidak berganjak dari
menatap wajah ayu di hadapan. Perbualan dua beranak ini
dihadam dengan penuh rasa bersalah. Kalaulah dia tidak
melayan rasa ego dan cemburu yang menggila dahulu
pasti takkan begini kesudahan mereka. Aku memang bodoh!
Ditelan nafas dengan penuh rasa yang bersalah yang tidak
pernah lenyap dari kolam jiwa.
“Qis…”
Senyum kecil Qistina cukup membuatkan Khalish
terpukul untuk ke sekian kalinya.
“Qis, maafkan I.”
“Khal...” Qistina laju menggeleng. “Sudahlah. I tak
mahu kita cakap lagi hal tu. Please.”
“Semua ni salah I, Qis. Semua ni berpunca daripada I.
Kalau bukan I..” Pantas kepala Qistina digeleng lagi bagi menghentikan
bicara lelaki di sebelah ayah.
“Khal… I’m okay. I’m fine. Ini takdir buat kita...buat
you...buat I. Kita kena redha, Khal.”
“Maafkan I, Qis.” Kepala diangguk. Senyum halus
dilontar. Senyum ayah dilihat terukir lembut.
“Qis...” Terasa genggaman tangannya dibalas ayah.
“Ya, ayah..”
“Janji dengan ayah Qis akan balik ke rumah. Janji Qis
akan balik kalau benar Qis dah maafkan ayah. Ayah rindu sangat
dengan Qis. Rindu dengar suara Qis di rumah. Rindu dengar
jerit Qis kepada Iqbal dan Rifqi. Rindu ketawa Qis dengan umi
di dapur. ”
Bibir dikemam perlahan. Perlahan-lahan kepala
diangguk. Senyum segaris dilontar. Dan kilasan matanya
bertembung dengan renungan Khalish. Renungan yang
sangat dalam. Renungan yang dirasakan melontar
makna. Debaran di dada kian dirasakan.
Lontaran kata-kata akhir Khal sewaktu pertemuan
di Alexis kembali memenuhi kotak fikiran. Dan bibir itu dilihat
mengukir senyum manis. Manis sekali. Jiwa dan hati Qistina
kembali kucar-kacir. Bercelaru. Puas diusir. Tetap enggan
berganjak dari pintu naluri.
Qistina lepas keluhan kecil. Ah… kenapa perasaan
sebegini yang harus dia rasakan. Dia tidak mahu lagi
mengingatinya. Dia tidak ingin lagi memikirkan semua itu.
QISTINA tarik tombol pintu bilik perlahan. Rapat.
Kunci di tangan disorong ke lubang. Diputar kemas. Gugus
kunci dimasukkan cermat ke dalam perut Michael Kors
yang ternganga. Fail putih di tangan dikepit ke dada. Ada
yang perlu disambung dan perlu dibereskan di rumah.
Laporan yang sepatutnya disediakan Joe harus
diambil alih oleh Qistina. Tas tangan Michael Kors coklat tua
disangkut kemas ke bahu. Langkah bersarung kurung coklat
muda bersama tudung yang berona agak gelap sedikit
perlahan. Mata diangkat memandang ke hadapan.
Sepi sedikit. Kawasan sekitar ‘work station’ di luar
bilik sudah sunyi. Pasti ramai yang sudah pulang. Dia sahaja
yang lewat hari ini. Itu getus hati kecil Qistina.
Pergelangan kanan diangkat. Muka Tag Heuer ditatap.
Dilepas nafas. Patutlah, pukul 10.00 pun! Dilepaskan nafas
dalam-dalam. Langsung tidak sedar akan pantasnya masa
berlepas dari paksinya.
Tapak tangan dibawa ke tengkuk. Diurut lembut
sambil kaki terus diseret. Langkah longlai diteruskan ke
destinasi. Ketiadaan Joe yang masih dalam ‘cuti sakit’
menyebabkan Qistina menjadi sibuk. Tugas-tugas Joe perlu
ditanggung sama.
Mengingatkan Joe, jiwa perempuan Qistina
meruntun pilu. Joe yang baru sedar kelmarin selepas tiga
minggu bertarung nyawa masih tidak lagi dimaklumkan
perihal Maya. Semua pihak sudah diminta untuk
merahsiakan buat sementara waktu. Itu pinta Datuk
Kamarul. Itu mohon Datin Khalida. Kata mereka biarlah
sehingga keadaan Joe mengizinkan.
Biarlah Joe benar-benar sudah kembali pulih.
Dapat dirasakan beban yang ditanggung kedua-dua orang tua
Joe ini. Qistina yang turun melawat semalam seperti hari-hari
sebelumnya hanya menjenguk dari jauh. Rasa syukur yang
tidak terhingga bila dikhabarkan oleh mama Joe yang dia suLafaz
dah sedar dari koma. Wajah Joe yang jelas masih terawangawangan
hanya diintai dari jauh. Tidak mahu mengganggu
masa kaum keluarga Joe yang begitu terhad memandangkan
keadaan Joe yang masih belum pulih sepenuhnya.
Melihat Joe yang seakan-akan masih mamai bagaikan
baru dikejutkan dari lena yang panjang membuatkan kolam
matanya bergenang. Tidak sanggup dilihat wajah yang jelas
masih berbalut kepalanya itu. Joe yang masih lemah di
mata mengundang gundah di hati Qistina. Entah apa reaksi
lelaki ini nanti jika khabar Maya sambil ke telinganya.
Kuatkah Joe untuk menghadapi kehilangan Maya
yang tiba-tiba? Mampukah Joe untuk menerima kenyataan
tentang diri yang sudah ditinggalkan Maya tanpa salam
selamat tinggal? Penyatuan yang hanya berusia kurang
15 bulan tu berakhir dengan penuh tragis. Raut wajah yang
tidak putus memberikannya semangat selama ini terlayar
di minda. Joe, please be strong…
Dan ketiadaan Joe yang tiba-tiba membuatkan
Qistina mahu tidak mahu harus memikul dua tugas
serentak. Tugas-tugas Joe yang tergendala diletakkan
di bawah tanggungjawabnya. Mahu menolak tidak sanggup
disuarakan waima diri sendiri rasa tidak terdaya dengan
beban tugas sendiri. Amanah daripada Kamal yang
memohon sungguh-sungguh daripadanya untuk mengambil
alih tugas Joe buat sementara waktu membuatkan langkah
kakinya dalam seminggu dua ini agak tidak jejak tanah.
Seperti kata Zita, sibuk mengalahkan presiden!
Stereng BMW diperlahan tatkala memasuki
simpang ke banglo Zita. Dari jauh mata menangkap jelas
ada kenderaan yang terparkir di luar pagar banglo. Lampu
kenderaan yang terpasang menandakan ada orang di
dalam kenderaan tersebut. Makin didekati, hati berdegup
kencang. BMW hitam yang terparkir di depan cukup diketahui
pemiliknya. Kenapa pula dia ada kat sini ni? Ada hal apa lagi
lelaki ini agaknya? Tidak cukup-cukup lagikah gangguan
di pejabat yang dikirim setiap hari kepada Qistina. Air liur
ditelan. Jari telunjuk hinggap di pelipis. Dielus perlahan.
Sebuah keluhan berat terluncur dari rongga. Lelah jiwa kala
harus berhadapan dengan keadaan begini. Entah sampai bila
agaknya lelaki ini akan faham akan apa yang telah Qistina
sampaikan lewat makan malam mereka beberapa minggu
sudah.
Sepanjang tiga minggu ini hari-harinya dihujani
dengan kunjungan jambangan lili putih. Hatta di hujung
minggu juga jambangan itu akan hadir menemani harinya.
Zita sedikit tidak selesa. Qistina jelas tentang itu. Memang
Zita dari dahulu begitu anti dengan Khal. Azhar yang cool
hanya mengulas dengan senyuman yang manis. Qistina
sememangnya tahu jambangan lili nan indah itu daripada
Khal.
Biar tiada sebarang tanda disisipkan, Qistina cukup
tahu jambangan itu sememangnya kiriman daripada Khal.
Dia takkan bertanya pada empunya tangan yang memberi.
Dia maklum akan jawapannya nanti. Khal pasti ada
agendanya.
Agenda untuk merapati dirinya dengan Qistina itu dia
sedia maklum. Agenda mahu merapatkan kembali hubungan
mereka yang terlerai itulah tujuan utamanya. Qistina cukup
pasti tentang itu. Dan Qistina belum bersedia untuk apa-apa
pun jawapan pada niat yang terselindung di sebalik rumpun
jambangan nan indah itu. Sejak dahulu hanya Khal yang tidak
pernah putus mengirimkan jambangan lili nan putih buatnya
hatta di hujung minggu! Kata Khal, lili itu seperti Qistina.
Yang cantiknya begitu istimewa. Cantik yang tidak
mudah diperolehi di mana-mana. Cantik yang bukan biasa!
Ha’ah, Khal… bicara indah daripada bibirnya sememang
mampu membuai hati seorang Annur Qistina yang
polos dan rapuh. Memori kala menyulam kisah cinta dahulu
kembali menyapa kotak fikiran. Dan sepanjang dua minggu
ni Khal bagai mahu mengulangi kenangan manis mereka
dahulu. Mahu mengembalikan saat-saat itu… barangkali.
Bohong jika dikhabar jiwa halus Qistina tidak terusik.
Getarannya mengusik hingga ke jantung!
Dihentikan enjin. Sedikit jauh di belakang enjin
buatan Jerman di hadapannya ini. Jelas dilihat pintu
pemandu BMW dibuka perlahan. Sesusuk tubuh yang
cukup dikenali sedang berdiri. Wajah itu melontar
pandangan ke arah BMW putih Zita yang sedang
didudukinya ini. Dia hanya memandang seketika.
Bermacam-macam lintasan sedang singgah di fikiran.
Dilontar lagi pandangan ke hadapan. Wajah itu masih takzim
memandang ke arah belakang. Memandang ke arah Qistina.
Pasti menanti Qistina keluar dari perut kereta. Huluran mata
yang terarah ke belakang cukup menyampaikan maksud
lelaki ini. Qistina sedang berkira-kira tentang apa yang perlu
dilakukan. Ah...turun sajalah, Qis. Sampai bila kau nak
larikan diri daripada dia. Makin kau lari, makin galak dia
mengejar.
Jadi biarkan sahaja dia mengejar bayang hingga lelah.
Dikemam ulas delima yang terpalit rona merah samar.
Mata masih takzim memandang susuk tubuh di hadapan.
Dihela nafas panjang seraya lafaz bismillah terluncur kemas
daripada ulas delima. Dicapai pemegang pintu. Perlahan tubuh
dilolos keluar dari perut kereta.
Khalish tunak memandang langkah Qistina yang
sedang menghayun gerak kaki ke arahnya. Langkah yang
penuh hati-hati. Sudah tiga minggu dia hanya mengirim
lili sebagai pengganti diri. Petanda betapa Qistina sentiasa
segar di hati. Petanda Qistina sentiasa istimewa di hati dan
di jiwa Khalish. Petanda bahawa dia tidak pernah melupakan
Qistina hingga kini. Qistina pasti akan jadi miliknya. Itu
tekadnya.
Sejak kejadian dahulu, dia tidak lagi dibenarkan
lagi bertemu Qistina di pejabat. Kata Ray, Shima sudah
diberi amaran oleh Kamal. Tiada urusan peribadi di
pejabat. Jumpa sahaja di luar. Jumpa di luar? Tidak tahu
agaknya atau pura-pura tidak tahu si Kamal itu tentang sikap
Qistina lewat kepulangannya ini. Susahnya mahu mengatur
janji. Pantas sahaja ditolak. Qistina sungguh-sungguh mahu
menjauhinya. Qistina bagai mahu menderanya kali ini.
Qistina mahu dia menikmati apa itu makna disakiti
dan dilukai. Qistina tidak tahu barangkali biar disakiti
beribu sekalipun dia tidak akan undur. Kesilapan silam
tidak akan diulangi. Tidak apa jika menyakiti itu mampu
meredakan amarah Qistina. Mata masih pegun memandang
ke belakang. Dalam samar malam pekat, susuk tubuh
tinggi berkurung coklat lembut itu nampak ayu sekali.
Wajah damainya menggamit senyum di bibir makin mekar.
Salam yang dihulur sang Barbie Doll pujaannya ini disambut
lancar berserta senyum manis. Wajah itu turut mengukir
senyum kecil. Manisnya dia!
Desir angin malam yang bertiup menampar pipi.
Ditelan nafas untuk ke sekian kalinya. Wajah tampan di
hadapan yang jelas masih segak dengan kemeja berlengan
panjang biru berjalur yang sudahpun dilipat hingga ke
paras lengan. Pasti dari pejabat ini! Salam yang dihulur tadi
dijawab jelas dengan senyum yang tidak langsung hilang
daripada bibir. Qistina membalas seadanya.
“Dah lama tunggu di luar ni?”
Khalish toleh pergelangan tangan. Mata kembali
dilontar ke wajah mulus di hadapan. Wajah yang jelas
terukir garis-garis keletihan.
“Hmm… ada dalam setengah jam.”
“Kenapa tak masuk dulu? Zita dengan Azhar ada kat
dalam.”
Khalish senyum seraya ketawa kecil.
“You nak I kena bambu dengan si Zie ke?.
Macamlah you tak tahu kawan baik you tu anti sangat dengan
I ni dari azali lagi.” Khalish hembus nafas sebelum kembali
meneruskan bicara.” Menyampah sungguh dia kat I, kan.
Agaknya muka I ini buat dia ingat kat budak lelaki comel yang
pernah buli dia masa sekolah dulu kut. Budak itu pula dia minat
dalam diam. Isy...tragis betul.” Khalish geleng kepala.
Pecah ketawa Qistina dengan kata-kata spontan
Khalish yang lucu. Khalish turut ketawa.
Jeda.
Qistina hela nafas. Wajah di hadapan ditentang tenang.
“Hmm… anything, Khal? Apa yang buat you
tunggu I sampai lewat macam ni. Kan elok balik rehat
sahaja di rumah.” Tubuh yang tersandar dipintu kereta
ditatap tenang. Sedikit dijarakkan tubuh. Senyum di bibir
itu belum usai. Qistina membalas sekadar-kadar. Hati
gundah jika berduaan begini. Sudahlah menumpang di
rumah orang, berkelakuan tidak manis pula di malam hari!
“Lambat you balik..banyak kerja?”
Pertanyaan Qistina dibalas dengan pertanyaan.
Senyuman di bibir itu tetap tidak berganjak. Qistina sedaya
upaya mengawal tenang. Penat yang terus bergayut di tubuh
kian menghambat. Dia mahu segera menamatkan perbualan
ini.
“Banyak kerja sikit. Kena tengok kerja Joe sama.
I’m handling both. You pun tahu kan I dengan Joe satu
pasukan. I need to look after his unit too.”
Khalish angguk. Ya, satu pasukan. Pasukan yang
sangat rapat. Dan itulah yang sangat dia risaukan. Sejak
dahulu lagi. Joe itu macam lebah yang mencari madu
istimewa dan Qistina si kembang lili yang sangat istimewa.
Kumbang mana yang tidak tertarik.
Joe. Johan Khusairy. Nama itu bagai memberikan
isyarat yang tidak nyaman di hati. Hakikat. Dari dahulu
seteru antara mereka tidak akan mungkin padam. Bara
yang sudah suam pasti akan kembali hangat jika ia
dihangatkan dengan simbahan api pergeseran.
Dan musibah yang menimpa lelaki itu biarpun
mengundang simpati di hati namun dalam masa yang sama
pintu jiwa tetap digoncang rasa gusar. Joe sejak dahulu
memang sukakan sangat Barbie Dollnya ini. Dan kini
keadaan Joe mengundang prihatin yang lebih daripada
Qistina. Jiwa lelakinya berantakan bimbang. Bayu cemburu
kuat berdesir.
“Everything okay?”
Qistina angguk. Perlahan. “Alhamdulillah.”
“Good.”
“Khal, sorry… tapi I penat sangat. Dah tiga minggu I
tak rehat. Please…kalau tak ada apa-apa yang penting, I wanna
excuse myself. Hmm... I need a rest. Tak isyak pun lagi ni.”
Khalish angguk. “You dah dinner?”
Geleng. “ I tak ada selera. Penat macam ni nak cari
bantal aje. Tu sahaja yang dapat legakan I.”
Sungguh dia hilang selera sejak dua minggu
ni. Makan pun hanya bila dipaksa. Dan Zita satu-satunya
insan yang mampu membuatkan dia membuka mulut
dan menelan apa sahaja yang disorongkan ke rongga yang
ternganga secara paksa! Kata Zura, dia rindukan Joe
barangkali.
Yalah selama dia jejak kaki ke lantai pejabat
ini, memang Joe temannya untuk sesi makan. Baik pagi,
tengahari, petang mahukan malam. Kadangkala kerap dia
marah kepada Joe kerana tidak pulang makan bersama
Maya. Alasan Joe, Maya memang perempuan yang jenis tidak
makan malam.
Jenis yang fobia dengan makan malam. Alasan kuno
yang tertanam dalam akar fikiran, makan malam penyebab
kegemukan. Ah, Joe malas nak layan. Nanti dia yang
terkulat-kulat di meja makan sendiri. Kata Joe, makan
bersama Qistina buat kegembiraannya berganda. Qis tanya
apa yang berganda. Joe angkat kening. Senyum.
Dapat melayan selera dan ditemani pula gadis pujaan
hati sepanjang zaman. Dua kegembiraan yang tidak dapat
diucapkan dengan kata-kata. Joe...Joe… Kalau menyusun
mengayat memang juara. Bibir tanpa sedar menguntum
senyum.
Khalish tegakkan tubuh yang tadinya disandarkan
ke bahu kereta. Dua tangan disilangkan ke tubuh. Bibir
Qistina yang menguntum senyum menangkap pandangan.
Sukar ditebak apa yang membuatkan bibir itu tiba-tiba
mengukir senyum.
“Kena makan juga sikit, Qis. You need it. Wanna eat
anything? I get it for you. Just name it, Qis.”
Geleng. Senyum lagi. “Thanks. I sungguh tak ada
selera, Khal. Cuma nak mandi, solat and tidur. Itu aje
yang I perlukan. Rasa dah tak larat betul. Non stop for
almost two weeks.”
“Okey.” Khalish menelan nafas. Dalam-dalam.
“I was thinking...”
Dimamah wajah redup namun jelas kepenatan
Qistina. “Wanna asked you out for dinner. Tiga minggu nak
dapatkan you macam kejar PM, Qis. Call I pun you tak jawab.
My inbox message was empty. Well, I try to understand your
situation. Tapi Qis, tolong jangan pinggirkan I. You tahu kan
you tak pernah hilang dalam diri I. Dan I tak mampu nak hilang
you sekali lagi, Qis.”
“Khal...” Mata bundar Qistina memanah. Kalam
terhenti. Ada rasa yang sukar diungkap. Bergumpalan di
dalam dada. Bibir dikemam. Perlahan-lahan dilontar helaan
nafas. Dikawal setenangnya. Beberapa kali lafaz istighfar
berlagu di sanubari.
Khalish angguk. Senyum cuba diukir. Payah.
“Sorry to disturb you, Qis. I faham. I tak paksa you, Qis.”
“Khal...” sekali lagi dilafaz dialun. Kedua-dua saling
memandang. Desir bayu menyapa raut wajah kedua-duanya.
Ada detik rasa yang menarik-narik tangkai hati. Qistina
kemam bibir. Perasaan jadi huru hara sejenak. Mengapa
mudah benar rasa belas buat lelaki ini singgah di takhta
hatinya. Khalish yang tenang tertunduk ditatap.
“Khal..” Pandangan mereka kembali bersatu.
“Nasi lemak Tanglin for breakfast tomorrow. Boleh
temankan I?” Senyum disimbah ke wajah tampan di depan. Dan
senyum yang dihiasi sepasang lesung pipit itu mekar indah. Dia
terpesona seketika.
“Anything for you, dear.”
Senyum mekar lagi di bibir Qistina.
“Bawak duit lebih tau. Nak makan banyak-banyak.
Tak kira!”
Angguk. Dua pasang mata saling tersenyum.
“APA dia nak tu?”
Senyum.
“Missed me.”
Cebik.
“Mengada-ngada. Menyampah.”
“Apasal dia tak nak masuk?”
“Hmm… kat dalam ni ada pembuli nombor satu
negara. Dia tak mahu pergi kerja esok dengan mata lebam
sebelah.”
“Qis!!!”
Ketawa. Langkah deras dibawa mendaki tangga.
SENYUM dan sapaan salam juga ucapan selamat dihulur
penuh mesra tapi perlahan sebelum tubuh tenggelam di
lantai kerusi di sebelah katil. Tenang Qistina rasakan
suasana di dalam bilik yang menempatkan Joe sendirian.
Pasti ini permintaan kedua orangtua lelaki ini. Pasti
mahukan Joe tenang tanpa sebarang gangguan.
“Rindu kat kau, Qis... rindu nak menyakat kau.”
Joe buka bicara. Wajah cantik ayu bertudung rona firus
dijamah. Ada sesuatu yang terlukis di wajah cantik Qistina.
Simpati mungkin dengan musibah yang menimpa dirinya
dan Maya.
Menyebut nama isterinya itu hati kecil Joe dipaut
gusar… bimbang. Dia perasaan tidak seorang pun yang
datang melawatnya menyebut dan bertanya tentang Maya.
Papa dan mama juga langsung tidak membuka mulut.
Paling dirasai keluarga mertuanya juga seakan-akan
mengelak. Lebih banyak membisu dari berbicara. Entah apa
yang dah terjadi agaknya. Jiwa Joe dipaut gundah. Mungkin
Qistina tahu jawapannya. Joe nekad mahu bertanya nanti
daripada gadis yang sedang takzim di sisinya ini.
Dikerdipkan kelopak mata. Senyum terus meniti
di bibir. Kata-kata yang terlontar dihadam tenang.
Melihat sedikit cahaya diwajah tampan ini hati dibalut
syukur. Alhamdulillah. Hari ini Qistina minta izin Kamal
untuk berikan dia masa sejam dua untuk mengunjungi
teman baiknya ini. Sejak sedar dari koma, Qistina
hanya mampu memandang dari jauh.
Tidak mahu mengganggu masa kaum keluarga
dan sanak saudara lelaki ini yang datang dari jauh. Qistina
tahu ibu saudara dan bapa saudara Joe di sebelah papa dan
mamanya memang kebanyakkannya menetap di luar negara.
Dan Joe satu-satu anak saudara lelaki tunggal yang begitu
disayangi oleh semua. Wajah yang masih terbias calar-calar
di pipi ditatap lagi.
“Semua kat ofis rindu kau, Joe. Hmm… sihat
cepat. Tak larat buat kerja kau. Pengsan aku. Hari-hari aku balik
lambat. Langit malam pun dah jemu tengok asyik-asyik muka
aku aje yang dia orang tengok.”
Ketawa.
“Qis..”
“Hmm...”
Joe tarik nafas perlahan. “Aku nak tanya kau sesuatu.
Harap kau boleh bagi jawapan.”
Qistina telan liur. Jantung laju berlari kencang.
“Maya. Maya macam mana, Qis? Is she okay?”
Nafas seakan-akan berhenti. Jantung Qistina
direntap kencang. Mata terhenti berkelip! Dan air liur tersekat
disalur kerongkong.
“Qis?” Wajahnya ditatap tunak oleh sepasang mata
indah milik Joe. Jawapan yang ditagih terlalu berat untuk
dilontar. Dua pasang mata saling berbicara. Qistina kemam
bibir. Sepasang kakinya terasa menggigil. Titis peluh merasa
merembas keluar dari liang.
Ya Allah.

No comments:

Post a Comment