BERDEPAN dengan ketentuan hidup satu
kemestian yang mahu tidak mahu perlu ditelan dengan
penuh rasa redha. Seikhlas hati. Setulus jiwa. Sedih yang tak
terhitung, pilu yang tak tergambar itu lumrah manusia. Kita
insan lemah. Namun, ketentuan hidup itu kenyataan yang
tertulis. Itu noktah perjalanan sang empunya diri yang sudah
sampai ke destinasi sementaranya. Itu kalam janji yang
tersimpul sejak roh ditiup antara sang peminjam dan pemberi
pinjam. Janji tetap janji. Sampai waktu, tiba detik perlu kembali
pada yang hak. Sesaat tidak akan tergelincir. Itu pasti.
Segalanya sudah tersurat.
Takdir itu janji. Janji yang Esa.
Wajah penuh pengharapan Joe ditatap dengan
penuh gundah yang bergayut. Bagaimana harus dimulakan
bicara yang bebanannya mengalahi segala gunung-ganang
yang terbentang di benak. Qistina rasa dia sudah tewas.
Tersungkur sebelum melangkah ke gelanggang. Kaki tidak akan
mampu memecut lari. Terpasung anggota semua ke
kerusi kaku. Air liur sudah tidak terhitung terjun ke rongga
namun yang terasa jadam. Lelaki di hadapannya ini masih
takzim penuh luhur menanti bibir Qistina mengungkap
kalam rahsia. Rahsia yang maha dahsyat buat sang suami.
Bagaimana harus diterjemahkan sebuah kesimpulan
yang cukup onak untuk ditelan. Sang isteri sudah kembali pada
yang hak. Kembali yang takkan menyusul lagi. Buat selamalamanya.
Qistina tunduk memandang riba. Seketika. Ya
Tuhan. Beratnya sebuah tanggungjawab. Beratnya bibir
mahu mengungkap kata-kata yang terkandung kebenaran
yang kesannya pasti akan meragut seluruh jiwa lelaki yang
sedang tenang bersandar menanti jawapan daripadanya.
Ya Allah… kuatkan semangatnya untuk menerima takdir
dariMu ini. Kuatkan jiwa untuk redha dengan pemergian
Maya. Kuatkan hatinya untuk tidak menyalahkan dirinya
sendiri atas segala yang terjadi. Kuatkan Joe, Ya Allah.
Tolong berikan kekuatan kepadanya, Ya Allah. Aku mohon
kepadaMu dengan setulus jiwa. Mata dihala ke wajah
yang sedikitpun terjejas ketampannya dek luka-luka yang
terpancar di wajah.
“Joe…begini. Aku mahu kau tahu aku sangat
sayangkan kau sebagai sahabat,” keluh berat terluncur.
Bagaikan tergantung bata nan berat di kantuk suara.
Nafas dalam-dalam terlepas. Dada berombak. Laju, deras,
kendur, tegang. Sebelah tapak tangan hinggap di wajah.
Diraup. Lama bertakhta. Dalam hela nafas, dipanjatkan
kekuatan. Jika ini jalan. Jika ini caranya. Tiada lain yang
mampu dilakukan. Lepaskan semua. Bongkar. Biar pedih.
Biar luruh. Qistina tahu Joe berhak. Sangat-sangat.
“Qis…aku tahu kau tahu tentang Maya.” Bilah
kalam pertama Qistina pantas dipancung oleh Joe. Mata
enggan berkedip. Terlongo. Ada yang tersekat di salur
kerongkong. Joe… aku tak tahu macam mana harus aku
kan kepada kau. Aku tak sangguh nak lihat wajah kau bila
aku beritahu kebenaran ini, Joe. Ya Allah...
“Please, Qis. Tolonglah beritahu aku. Aku tanya
mama, mama bisu. Aku tanya papa, papa tunduk dan suruh
aku jangan fikir banyak sekarang. I…” Suara Joe tersekat.
Serak. Qistina ketap bibir. Kuat. Empangan sudah
bergoncang. Ditahan sekuat daya.”…smell something. I
knew something happened to my Maya. Qis, tolonglah.
Tolong beritahu aku, mana Maya, Qis. What happened to her,
Qis. Please, Qis... I’m begging you. Please tell me where is my
wife. Where is Maya, Qis. What happened to her, Qis. Tolonglah,
Qis. Jangan seksa perasaan aku.”
Qistina bawa tapak tangan ke bibir. Ditutup rapat.
Kolam mata kian hangat dan membuak. Menanti saat
untuk tumpah.Lengan yang tersarung kemeja putih lengan
panjang The Audrey terasa disentuh. Dan serentak dua biji
mata jatuh melorot ke lengan. Tangan sasa yang masih
berbekas calar ditatap. Kelopak mata diangkat perlahan.
Dua pasang mata saling memanah. Saling memandang.
Saling merenung. Bisu. Fikiran sedang saling bertukar bisik.
Qistina jeda. Wajah lelaki ini mohon pemahamannya.
Dilafazkan ucapan basmallah. Hati yang berdegup kencang
dimohon bertenang.
“Hmm... Joe, listen.” Dianggukkan kepala
memandang raut wajah di sisi. Mahu meniup semangat
diri yang kian goyah. Joe dilihat kejap merenungnya. Tidak
berkelip. Be strong, Joe. Be strong. Aku tahu kau boleh.
“Joe...kau sayang Maya, kan? Sangat-sangat, kan?”
Angguk. Qistina balas angguk. Bibir dikemam.
Kuat. Degup jantung kencang berlari. Dilepaskan nafas yang
menyelimuti diri perlahan-lahan.
“Mama papa kau dan mama papa dia juga semua yang
lain pun sayang Maya. Termasuk aku, Joe.”
“Qis...” Joe resah. Bicara Qistina dirasakan bagai
penuh tersirat. Hati berkocak. Ada apa sebenarnya. Apa yang
dah berlaku? Maya..Mana Maya? Apa yang dah terjadi kepada
Maya? Maya kenapa, Qis?!
Senyum cuba ditabir dalam penuh kepayahan.
“Kau sangat kasihkan Maya kan, Joe?”
“She’s my wife, Qis.”
Angguk. Diteguk liur yang terasa sembilu.
“Semua yang lain pun kasih sangat pada dia. Aku
juga walau punaku tak begitu mengenali Maya. Tapi aku
pasti dia istmewa. Jika tidak takkan mungkin dia mampu
tawan hati kau. Kan, Joe.”
“Qis...what is going on? Where is Maya? Tell me,
Qis. Where is my wife!” tempik Joe bergema. Bersahut
dengan pecah suara yang kian serak. Bibit sedih mula
memancar. Qistina rasa tubuhnya bergegar.
Khali.
“Qis...sorry. I’m sorry. Aku...” Lengannya
digoncang. Dua pasang mata bertentang. Sayu. Qistina laju
menggeleng. Faham. Aku faham, Joe. Aku tak marah kau. Aku
sungguh faham apa yang kau rasa saat ini. Ya, Allah.
“Qis, tolonglah. Cakap kat aku apa yang dah berlaku
kepada Maya. Tolong, Qis.”
Mata dikedip perlahan. Dada rasa terhentak. Berat
bagai seketul bongkah bata.
“Joe, aku tahu kau sayang dia. Sangat-sangat, kan?”
Angguk. Mata Joe tidak berkalih pandang.
Butir bicara dari ulas delima Qistina dinanti tanpa sabar.
Debar di hati makin memuncak. Yang terlintas di minda cuba
disangkah. Tidak sanggup! Riak wajah juga tutur kata Qistina
sejak dari mengundang-gundah jiwa yang bukan kepalang.
Dia menghidu sesuatu. Mindanya terhidu yang tidak enak.
Sesuatu yang membuatkan jantungnya kencang berdegup.
Tidak! Tak mungkin! Ya Allah, tolong selamatkan isteri aku.
Tolong selamatkan Maya, Ya Allah. Tolong Ya Allah…
“Tapi...” Qistina lepas nafas. Wajah Joe direnung.
“Sayang dan kasih kau, aku dan semua yang lain kepada
Maya takkan sama dengan besarnya sayang dan kasih ‘Dia’
terhadap Maya. Dan kerana janji kasih sayang Dia pada insan
yang terpilih, Dia pasti akan tunaikan. Takkan mungkir. Dan
kita...takkan mampu menghalang. Takkan dapat, Joe. Tak
kan...”
Jeda. Joe paling wajah ke dinding. Sebelah tapak
tangan hinggap di bibir. Dipaut kuat. Gelora rasa yang
membuak menunggu masa melimpahi tebing. Katakata
Qistina sudah menoktahkan jawapan. Yang terlintas di
minda tadi benar belaka. Benar belaka!
“Maya... Qis, Maya dah..” Joe ketap bibir. Mata
bundar Qistina direnung kembali. Menagih kepastian.
Qistina angguk. Bibir dikemam. Kuat. Genang di
empangan pecah.
Joe hela nafas. Mata dipejam. Ada rasa yang
menghiba di jiwa. Hujan mencurah-curah di ujana hati.
Lebat. Seraut wajah cantik berlesung pipit sedang
tersenyum. Manis. Ketawa kecil. Lambaian tangan makin jauh.
Jauh. Langkah lenyap. Bayang hilang. Perlahan-lahan. Joe
terkapar. Sendu berlagu.
Khali.
“Qis...” Lengan terasa kuat dicekak.
“Joe...” Ditahan sendu yang bertamu. “Aku tahu.
Aku faham. Sabar, Joe. Sabarlah dengan dugaaan ini.
Redhakan dia. Lepaskan dia pergi dengan tenang dan aman.”
“Qis... aku... aku...” Cengkaman sasa di lengan
kurusnya makin kuat. Qistina hembus nafas. Angguk.
Mata dibenamkan pada raut wajah tampan di depan. Cuba
menjelajah ruang jiwa lelaki yang kehilangan sebelah
nyawanya. Kehilangan yang tidak pernah diduga. Hadir
ketika bunga-bunga bahagia baru mengulit halaman hidup.
Dan saat fikirannya jauh menerawang membawa bayu sedih
yang berkibaran di jiwa, esak tangis Joe tertampar di telinga.
Mata diangkat. Susuk tubuh Joe sudah terhingut-hingut.
Tertunduk. Qistina kemam bibir. Dihala wajah ke arah lain.
Tidak sanggup memandang hempasan rasa seorang lelaki yang
kehilangan separuh daripada nyawanya.
Khali. Hanya bunyi nyanyian pilu dari hati Joe
yang terdesir. Qistina tunduk. Sabarlah, Joe. Kuatkan
semangatkan kau, Joe. Tolonglah, Joe. Aku, aku tidak
sanggup lihat kau sedih begini. Aku tidak sanggup!
Joe usap kelopak mata yang masih bergenangan. Nafas
dihela berserta sendu yang mengiringi.
“Qis…”
“Sabarlah, Joe. Sabar banyak-banyak.” Sungguh
Qistina tidak tahu lagi mahu berkata apa. Otak bagaikan
gagal berfungsi menyalurkan kata-kata yang mampu
menenangkan jiwa lelaki di sisinya ini. Dia sudah kematian
kata-kata. Ranting–ranting semangat di jiwanya sendiri
sedang luruh ditiup bayu pilu yang hinggap di hati Joe.
“Kenapa Maya, Qis. Kenapa bukan aku?”
“Joe...” Dipejamkan mata. Ya Allah, ampuni dia
Kasihani dia. “Jangan cakap macam tu. Tak baik. Ini takdir
Allah. Ikhlaskan Maya di sana. Kau tentu tak mahu dia
sedih lihat kau macam ni kan.”
“Qis..Maya..Maya..aku...aku..”
“Lepaskan dia dengan redha, Joe. Biar dia tenang di
sana. Biar dia damai dialam sana. Kasihani dia, Joe. Kau sayang
Maya kan. Tolonglah dia. Lepaskan dia seikhlas hati kau.”
Jeda.
“Qis...” Mata Qistina ditenung sayu. Bibir Joe sedikit
mengeletar di mata Qistina. “Bila?”
Qistina tunduk memandang lantai. Bibir bergetar.
“Qis, please. Tolonglah beritahu aku!”
“Malam yang sama.”
“Dan aku waktu tu?”
“Kau tak sedarkan diri selama dua hari Joe.”
Joe geleng kepala. Tubuh sasa Joe bergegar.
Tapak tangan kukuh di bibir. Menahan tangis dari terhambur.
Gagal.
“Aku..aku yang salah, Qis. Aku yang bersalah.
Kalau aku yang pandu, mungkin... mungkin...” Esak terus
berlagu. Nafas Joe turun naik.
Qistina tunduk sejenak. Mencari nafas yang
tersangkut.
“Takdir bukan untuk disalahkan, Joe. Takdir perlu
diterima dengan seikhlas jiwa. Percayalah. Dia tahu yang
terbaik untuk tiap hamba-Nya.”
“Ta…tapi aku sayang Maya, Qis. Aku tak tahu
bagaimana harus aku teruskan hidup tanpa Maya di
sisi aku, Qis.”
“Allah sayang Maya lebih daripada kita semua, Joe.
Ingatlah. Setiap yang terjadi ada hikmahnya. Bersabarlah,
Joe. Aku tahu semangat kau kuat. Aku yakin kau mampu atasi
dugaan ini dengan penuh rasa ikhlas.”
Joe geleng kepala untuk kesian kali. Esak makin
kuat terdesir. Singgah menyapa cuping Qistina. Cengkaman di
lengan makin utuh. Tubuh sasadi hadapannya bergegar.
Ketap di bibir Qistina kian perit. Dan segala sendu Qistina
runtuh.
Di luar pintu yang kecil terkuak, dua tubuh separuh
abad turut sama mengusung pilu.
“HMM… kenapa tak makan?” Khalish sorong mangkuk
wild mushroom soup ke depan Qistina. Wajah suram sang
Barbie Doll kesayangannya ini sejak dari pejabat tadi masih
belum surut. Jemari runcing yang bermain-main dengan
garfu di lantai kaca yang terisi fettuccine carbonara ditatap
takzim.
Qistina angkat wajah. Khalish yang belum usai
memujuk dengan senyum direnung. Entah mengapa fikiran
jauh melayang mengingati pertemuannya dengan Joe
semalam. Dan pagi ini tika Qistina tiba, jururawat
bertugas menghalang. Dia diberitahu Joe enggan bertemu
sesiapa. Hatta Datuk Kamarul dan Datin Khalida. Langkahnya
bungkam di depan pintu bilik yang rapat tertutup. Pasti
Joe terlalu sukar menerima kenyataan ini. Qistina
menyaksinya kala dia membongkar rahsia yang dilipat
kemas daripada bibir setiap anggota keluarga. Dia akur
dengan rayuan Joe.
Qistina tak sampai hati melihat Joe terpinga-pinga
dalam pencarian. Hakikat tetap kenyataan. Mereka berdua
sudah terpisah. Berpisah selama-lamanya dengan belahan
jiwa. Ditinggalkan kekasih hati tanpa salam selamat tinggal.
Beginikah agaknya rasa di jiwa lelaki di hadapannya
ini kala mereka ‘berpisah’ dahulu. Atau sebenarnya tiada
rasa itu di ujana hati lelaki ini hatta bila semuanya sudah
terbongkar. Salah jelas di pihak yang mana. Qistina gali igau
semalam. Tiada kunjungan warkah dan berita jauh sekali
ungkapan maaf daripadanya selama dia menumpang teduh
di tanah ratu. Tidak pernah bersedihkah lelaki ini dengan
‘perpisahan’ mereka dahulu.
“Khal..”
“Hmm...” Kunyahan potongan rib eye yang disalut
mushroom sauce sebentar tadi diperlahan. Mata menjunam
pada wajah comel di depan. Dalam suram lampu di
Toowoomba raut keanak-anakan ini tetap memukau.
“Can I ask you something.”
Angguk. Senyum. “Sure.”
“You sedih tak masa I ‘pergi’ dulu. You sebenarnya
tak sedih, kan. Not even a bit. Sebab tu you tak cari I.
Sekalipun tak pernah, kan. You hanya tunggu I balik sahaja kan.
You tak usaha pun cari I di sana.”
Khalish teguk liur. Terasa jadam. Lantai kaca rib
eye yang terhidang sama dengan potongan kentang yang
menggiurkan dan brokoli yang menyegarkan bagai terbang
lazatnya. Soalan Qistina yang bertubi-tubi menerjah benak.
Diangkat wajah. Dua bebola bundar yang dibaluti maskara
tipis pada kelopak ditatap tidak berkelip.
Rasanya masa yang dia nanti sudah tiba. Sang Barbie
Dollnya ini perlu tahu segala yang tersimpan di jiwa lelakinya
selama lima tahun ‘perpisahan’ mereka. Ditinggalkan belahan
jiwa yang melumpuhkan separuh nyawanya.
“Qis...”
No comments:
Post a Comment