“ASSALAMUALAIKUM, Encik Nuh.”
Setelah mengetuk pintu bilik pejabat Nuh Qays, Afiah
memberi salam. Dia menjengulkan diri kerana Nuh Qays
ingin berjumpa dengannya.
“Oh ya Afiah. Come, have a sit.” Nuh Qays
mempelawa Afiah untuk duduk di kerusi hadapan mejanya.
“Terima kasih Encik Nuh,” ucap Afiah lembut.
“Kita belum berkenalan secara informal ya Afiah?
Jadi untuk saya memperkenalkan diri rasanya Afiah juga
sudah sedia maklum siapa nama saya. Di sini saya cuma ingin
memberitahu tentang cara saya bekerja. Saya harap awak
selesa dengan cara saya. Tapi sebelum tu, saya nak awak
beritahu saya serba sedikit tentang diri awak. Berapa lama
sudah awak bekerja di sini dan sebagainya,” jelas Nuh Qays.
Dia kenal wanita di hadapannya ini cuma ingin memastikan
saja lagi.
“Saya Nadia Afiah. Hampir tiga tahun saya bekerja
di sini. Tidak jauh bezanya kerja saya dengan kerja setiausaha
yang lain. Sama saja skop kerja saya dengan dia orang. Dulu
sebelum Encik Sufi bersara, saya mesti ikut dia meeting
mahupun berjumpa dengan klien di dalam syarikat mahupun
luar syarikat. Jadi tidak menjadi masalah untuk saya, jika
Encik Nuh juga ingin berbuat demikian kerana saya tahu itu
adalah tugas saya,” jawab Afiah. Dia berasa puas dengan
jawapan yang diberikannya. Dia mahu Nuh Qays berpuas hati
kerana mempunyai setiausaha seperti dirinya.
Nuh Qays mengangguk perlahan. Dia nampak
wajah Afiah yang begitu yakin menjawab pertanyaannya itu
tadi.
“Itu awak tak payah risau, saya tak akan membawa
awak keluar dari syarikat untuk menemani saya berjumpa
dengan klien atau meeting di luar syarikat. Itu prinsip saya.
Kerja dengan saya ni senang saja, saya bukan jenis yang
banyak songeh cuma saya mahu awak cepat melaksanakan
apa yang saya suruh. Itu saja. Saya paling tak suka orang
yang lalai dan lambat melakukan kerja yang saya arahkan.
Saya harap awak faham.”
“Saya faham Encik Nuh.”
“Baiklah kalau macam tu. Awak boleh keluar. Kalau
ada apa-apa, nanti saya panggil awak.”
Pada mulanya Nuh Qays ingin bertanyakan sesuatu
pada wanita di hadapannya itu tapi hatinya melarang keras.
Jangan gelojoh sangat Nuh, masih banyak masa lagi, satu
suara ibarat menyapa telinganya.
“Err.. Encik Nuh... Saya nak tanya sikit boleh tak?”
Afiah sedikit takut untuk memulakan pertanyaan. Tapi dia
harus bertindak awal agar misinya akan berjalan dengan
lancar.
“Ya, kenapa Afiah? Kalau sesuatu yang tidak
membebankan untuk saya menjawab, pasti soalan awak akan
saya jawab dengan senang hati.” Nuh Qays memberikan
sedikit senyuman untuk Afiah. Dia tidak mahu dikatakan
ketua yang tidak tahu beramah mesra dengan pekerja
bawahan.
“Err... Saya rasa saya kenal Encik Nuh ni. Saya
merupakan junior Encik Nuh ketika di universiti dulu
sebelum Encik Nuh melanjutkan pengajian master ke UK
dulu. Encik Nuh merupakan ketua pelajar ketika tu.”
Nuh Qays tersenyum, inilah yang ditunggutunggunya.
“Ohh... Patutlah saya macam pernah nampak awak
ni. Rupanya satu U dulu.” Helah Nuh Qays, dia tidak mahu
menyatakan secara terang-terangan bahawa dia mengenali
Afiah.
“Ya betul, Encik Nuh. Saya dulu memang ambik
course setiausaha ni. Saya memang kagum dengan Encik
Nuh sebab menjadi ketua pelajar yang sangat baik dan
berdedikasi,” puji Afiah. Senang hatinya bila Nuh Qays
mengingati dirinya walaupun tidak secara keseluruhan.
“Jangan puji saya berlebihan. Saya biasa saja.
Anyway, secretary Encik Kamal itu pun rasanya saya macam
pernah nampak. Dia sama U jugakan? Sama course dengan
awak?” Nuh Qays cuba berhati-hati mengutarakan soalan.
Takut rahsia yang disimpan rapi dapat dihidu oleh Afiah.
“Maksud Encik, Qisya Zulaikha?” Berubah terus
wajah Afiah. Niatnya mengungkit tentang kisah Nuh Qays
dulu adalah untuk kebaikan dirinya. ‘Apa kena-mengena dia
ungkit tentang Ikha ni?’ bentak hatinya.
“Ya, Zulaikha. Saya macam pernah nampak dia
jugalah. Mungkin dia juga sama U dengan kita.”
“Ikha sepupu saya. Ya mungkin juga Encik Nuh
mengenali dia sebab dulukan Ikha pernah cuba nak rampas
Abang Izdiyad daripada Kak Rina. Ramai juga yang jadi saksi
bila Kak Rina datang serang dia.” Sekarang tibalah masanya
untuk dia menghancurkan reputasi Qisya Zulaikha.
Nuh Qays terasa dengan kata-kata Afiah itu. Kenapa
Afiah berkata sebegitu sedangkan Qisya Zulaikha adalah
sepupunya sendiri? Hatinya tertanya-tanya.
“Oh... Dia rupanya. Perkara yang lepas tu saya tak
kisah dah. Mungkin bukan niat dia ataupun mungkin
disebabkan salah faham. Saya kenal perangai Izdiyad macam
mana, begitu juga dengan Qairina. Jadi saya tidak
menyalahkan Zulaikha seratus peratus.”
“Saya yang mengenali Zulaikha, Encik Nuh. Jadi
saya tahu perangai dia yang sebenar. Mungkin Encik Nuh
mengatakan sebegitu tapi apa yang Kak Rina katakan dulu tu
memang benar. Berkali-kali saya nasihatkan dia tapi sampai
sekarang perangai dia tak berubah. Sekarang memanglah dia
tak kacau Abang Diyad lagi sebab dia dah ada orang baru.
Entahlah, risau saya dibuatnya Encik Nuh.” Afiah cuba
berlagak risau dengan sikap Qisya Zulaikha yang
dikatakannya tadi. Harap-harap Nuh Qays mempercayai katakatanya.
Wajah Nuh Qays berubah sebaik saja Afiah berkata
begitu. Selain daripada Qairina, tidak ada orang lain pun
yang menceritakan tentang keburukan Qisya Zulaikha tapi
kini Afiah, sepupu Qisya Zulaikha sendiri memberitahu
tentang keburukan perangai wanita yang telah lama dia
impikan.
“Err... Hal peribadi seseorang, saya malas nak
masuk campur. Itu dah di luar bidang saya. So, nice to meet
you again Afiah. Boleh awak berikan saya dokumen
pemasaran yang latest punya?”
“Baik Encik Nuh. Saya keluar dulu ya.”
“Yes, you may go now.”
Nuh Qays mengeluh. Kenapa Afiah berkata
sedemikian? Adakah benar kata-kata wanita itu?
“Sebab aku tahu, betina ni memang gatal! Dia layan
juga Si Diyad tu.” Terimbau kembali kata-kata yang pernah
Qairina lemparkan pada Qisya Zulaikha. Betul ke tekaan
Qairina selama ini? Adakah dia sudah salah menilai
keperibadian Qisya Zulaikha?
“Asal kau ni? Kau ingat perempuan yang macam tu
tak berani ke nak approach? Jangan pandang luaran saja bro.
Aku yang bercakap dengan dia tadi, jadi aku tahulah. Kau
cuma tengok saja tapi tak tahu jalan cerita yang sebenar.”
Kini kata-kata Izdiyad juga kembali menerjah di benak
telinganya.
Nuh Qays meraup wajahnya perlahan dan hatinya
tiba-tiba berasa ragu, ragu dengan perasaan yang
dipendamnya selama ini. Dia hanya mengenali Qisya
Zulaikha secara luaran sahaja. Tidak mustahil apa yang
Qairina, Afiah dan juga Izdiyad katakan itu benar belaka.
Argh...! bentak hati Nuh Qays. Tak! Aku mesti dekati dia dulu
baru aku tahu perangai dia yang sebenar. Jangan mudah
percaya kata orang Nuh! Dengar kata hati kau, hatinya
berkata-kata lagi.
Tok! Tok!
“Masuk!” laung Nuh Qays.
Afiah sudah membawa beberapa dokumen yang
diminta oleh Nuh Qays. Dengan sedaya upaya, dia akan
bekerja keras demi mengambil hati Nuh Qays. Dia
memberikan senyuman manis buat lelaki itu.
“Ini dia beberapa dokumen yang latest Encik Nuh.
Kalau encik nak kan apa-apa lagi, bagitahu saya ya.”
“Ya, terima kasih Afiah.”
“Sama-sama,” jawab Afiah seraya meninggalkan
bilik pejabat Nuh Qays.
Afiah tersenyum-senyum sambil menyanyi kecil,
rasanya kali ini dia ada harapan untuk mendekati Nuh Qays
bukan seperti ketika di universiti dulu, Nuh Qays menjadi
rebutan tetapi akibat perangai Nuh Qays yang tidak suka
melayan perempuan dan selalu berlaku tegas, maka banyak
perempuan yang berputus asa terhadap lelaki itu
termasuklah dirinya. Afiah juga tahu bahawa Qisya Zulaikha
juga menyukai Nuh Qays kerana dia pernah terbaca diari
Qisya Zulaikha yang menyatakan bahawa sepupunya itu
menyukai Nuh Qays.
Afiah berfikir, antara dia dan Qisya Zulaikha tidak
jauh beza sebenarnya dari segi kecantikan cuma lesung pipit
yang menghiasi wajah Qisya Zulaikha itu yang membuatkan
wanita itu kelihatan lebih cantik berbanding dengannya.
Keperibadian mereka juga berbeza. Qisya Zulaikha seorang
yang lemah lembut dan berhijab manakala dia seorang yang
kasar melainkan dia mempunyai hajat yang tertentu saja dia
akan berlagak lemah lembut. Dia juga tidak mengenakan
hijab.
Ifa meluat melihat telatah Afiah. Baginya Afiah
seorang yang hipokrit, dengan orang-orang tertentu saja
wanita itu akan berlagak baik. Jika dengan dia dan Qisya
Zulaikha ataupun dengan pekerja yang taraf bawah daripada
Afiah pasti wanita itu akan menyombong. ‘Macamlah pangkat
dia tu besar sangat!’ bentak hati Ifa.
Nuh Qays mengeluarkan dompetnya. Tersenyum
dia melihat gambar yang terselit di dalam dompetnya. Qisya
Zulaikha nampak comel ketika di universiti dulu. Nampak
seperti keanak-anakan. Bila dikenang balik kerja ‘gila’nya
yang sanggup mengambil gambar Qisya Zulaikha dari
majalah universiti mereka dulu itu pasti dia akan tersenyum.
“Kau buat apa tu Nuh?” soal Izdiyad. Dia hairan bila
melihat Nuh Qays yang seperti orang bersalah saja lagaknya.
Tertoleh-toleh selalu.
“Hah?” tersentak Nuh Qays dengan teguran Izdiyad
dari belakang itu. Majalah universiti ditutup cepat dan
gunting terus dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.
“Tak adalah.” Nuh Qays cuba berlagak selamba. Dia
tidak menyangka bahawa Izdiyad akan pulang ke rumah
dengan secepat itu.
“Cepat kau balik? Tak jadi date dengan Rina ke?”
tanya Nuh Qays. Dia memandang Izdiyad yang sudah
terbaring malas di sofa hadapannya.
“Entahlah dia tu. Masih nak merajuk dengan aku
pula. Nak tunggu aku pujuk, alamat dia recover sendirilah
tu.”
“Biasalah dia tu. Macam kau tak kenal.”
“Eh yang tu apa? Bukan majalah U kita ke? Sejak
bila kau minat baca majalah U ni?” Kini Izdiyad sudah beralih
tempat duduk. Majalah yang berada di tangan Nuh Qays
diambil. Wajah Nuh Qays berubah saat majalah universiti itu
sudah beralih tangan.
“Err... Rasanya dah lama benar aku tak baca
majalah kita ni. Kut ada perubahan dengan yang dulu.
Lagipun, ni kan tahun akhir kita. Sajalah buang boring.”
‘Ahh..! Bodoh! Apa pula kena-mengena dengan
tahun akhir?’ bentak Nuh Qays dalam hati.
“Itulah yang aku hairankan. Bukan aku tak kenal
dengan kau tu. Benda yang remeh-temeh ni memang kau tak
baca pun,” ujar Izdiyad. Dia menyelak setiap helaian majalah
itu tapi tangannya terhenti pada helaian yang mengandungi
gambar Qisya Zulaikha.
“Cantikkan minah ni? Kenapa dia ada setelah aku
dengan Rina?” Izdiyad menunjukkan gambar Qisya Zulaikha
itu pada Nuh Qays. Nuh Qays menelan liur, dia cuba
menahan hatinya yang sarat dengan rasa sakit hati.
“Inikan minah yang kau kata nak berkenalan
dengan kau tu kan?”
“Hah? Err.. Haah. Memang betul dia, Qisya
Zulaikha dari secretary course. Kau rasa dia cantik tak? Bagi
aku lah, dia memang cantik, kalah Rina.” Tersenyum-senyum
Izdiyad memuji Qisya Zulaikha pada Nuh Qays.
“Aku rasa biasa saja. Mungkin kalau nak
dibandingkan dengan kecantikan, Rina pun okey juga.”
Mendatar saja suara Nuh Qays. Dia tidak mahu memuji
kecantikan Qisya Zulaikha itu pada Izdiyad. Biarlah ia hanya
tersimpan dalam hati. Jika diikutkan kata hati, memang katakata
Izdiyad itu benar belaka.
“Aku nak masuk bilik la. Letih! Meh majalah tu,
aku belum habis tengok lagi la.” Cepat saja Nuh Qays
menyambar majalah itu dari tangan Izdiyad.
“Ehh.. Kejap la Nuh, aku belum puas pun tengok
gambar minah tu. Tak sedar pula aku, gambar dia cantik
dekat majalah ni.” Nuh Qays malas mahu menghiraukan
tegahan Izdiyad. Dia menutup pintu biliknya seraya
mengunci terus. Laju saja tangannya mengeluarkan gunting
yang tersembunyi di dalam kocek seluar dan meneruskan
kerjanya yang terbengkalai sejak Izdiyad muncul. Nasib baik
tak kantoi, bicara hatinya.
Tergeleng-geleng Nuh Qays bila mengingatkan
peristiwa itu. Sampai hari ini dan sampai bila-bila, gambar
Qisya Zulaikha akan tetap berada di dalam dompetnya. Dia
mengambil dokumen yang diberikan Afiah itu tadi, jika nak
dilayan kenangan dulu, pasti kerjanya akan terbengkalai.
Yang pasti kini dia sudah semakin dekat dengan Qisya
Zulaikha dan dia akan memastikan bahawa apa yang
didengarnya tentang kisah buruk wanita itu hanyalah fitnah
semata-mata. Itulah harapannya.
No comments:
Post a Comment