“ZULAIKHA, sekejap lagi kita nak ke bilik
mesyuarat. Hari ni merupakan perlantikan ketua pemasaran
yang baru.”
Qisya Zulaikha hanya mengangguk. Hatinya tidak
berapa enak dengan kemunculan Nuh Qays ini. Dia takut
kejadian dulu itu berulang kembali. Takut dengan
kemunculan Nur Qairina dan sudah pasti dia tidak mahu
adanya kemunculan Izdiyad.
Sebaik saja sampai ke tingkat atas, di bahagian
pemasaran, Ifa menarik lengan Qisya Zulaikha.
“Saya pinjam Ikha sekejap Encik Kamal ya. Sekejap
saja.” Dengan wajah yang ala-ala comel Ifa pamerkan pada
Encik Kamal.
“Kamu ni ada-ada saja Ifa. Jangan lama, Pukul
sembilan, masuk ke bilik mesyuarat.” Qisya Zulaikha dan Ifa
mengangguk faham.
“Mana minah kerek tu? Dah masuk la tu. Semangat
betul dia hari ni. Siap kemaskan bilik bos baru tu.” Sebaik
saja Encik Kamal masuk ke dalam bilik Tuan Haji Yusuf, Ifa
sudah memuntahkan rasa tidak puas hati tentang Afiah.
“Biarlah dia. Yang penting dia tak kacau kita.
Lagipun memang patut dia buat macam tu, yang bakal
dilantik ni kan bakal bos dia. So tak ada hallah.” Memang
Qisya Zulaikha akui, hari ini Afiah bersemangat. Awal benar
wanita itu pergi ke pejabat pagi ini. Pakaian juga cantik,
berbeza dengan yang dulu.
Ifa mencebik. Dia benci melihat gaya gedik Afiah.
Gaya Afiah seperti ‘ahli jawatankuasa’ saja lagaknya.
“Meluatlah aku tengok dia. Harap-harap bos baru ni tak
termakan cakap dia. Nanti lagi dia besar kepala.”
Qisya Zulaikha ketawa kecil. Walau apapun tentang
Afiah, pasti Ifa tidak menyukai. Walau berkali-kali Qisya
Zulaikha cuba untuk menasihati agar Ifa tidak menghiraukan
Afiah tapi setiap hari juga pasti akan ada pertelingkahan
antara mereka.
“Gelak pula minah ni. Eh, kau tahu tak, aku dah
nampak bos baru kita tu. Fuhh! Memang tak syak lagi, lepas
ni mesti Si Peah tu menggedik sakan. Masa dia datang tadi,
dia tengok aku, lepas tu dia senyum tau... Lemah jantung den
ni dibuatnya.”
“Dia dah datang?”
“Dah datang pun, dia masuk bilik Tuan Haji Yusuf
dulu.”
Bergetar hati Qisya Zulaikha bila terkenangkan
wajah Nuh Qays. Adakah dia perlu buat tidak kenal dengan
Nuh Qays atau sebaliknya? Tapi jika dia memberitahu siapa
dirinya pasti lelaki itu akan ingat kembali tentang perkara
dulu. Itu sudah pasti!
Qisya Zulaikha melihat jam di tangan seraya
menarik tangan Ifa untuk pergi ke bilik mesyuarat. “Jomlah.
Lima minit lagi nak pukul sembilan. Aku tak nak jadi
perhatian pula nanti.”
“Aku tak dijemput la cik adik oii... Ketua-ketua
bahagian dan setiausaha saja yang dijemput. Kalau mereka
jemput semua pekerja, tak muat aku rasa bilik mesyuarat tu.
Masa jamuan baru kita orang join sekali.”
“Oh ya ke? Okeylah kalau macam tu. Aku masuk
dulu.” Laju kaki Qisya Zulaikha melangkah meninggalkan
Ifa.
Pintu bilik mesyuarat dibuka perlahan. Qisya
Zulaikha melihat rata-rata yang ada di dalam bilik itu
kebanyakan setiausaha dan ketua dari bahagian yang
berlainan. Qisya Zulaikha memberikan senyuman, semua
yang ada membalas senyuman Qisya Zulaikha kecuali Afiah.
Cuma Afiah saja yang serius memandangnya. Qisya Zulaikha
malas mahu ambil pusing dengan perangai Afiah. Dia sudah
lali dengan perangai sepupunya itu.
Ketika Qisya Zulaikha mahu duduk, tiba-tiba pintu
mesyuarat terbuka luas. Muncul Tuan Haji Yusuf bersama
dengan ketua yang lain. Mata Qisya Zulaikha memerhatikan
setiap manusia yang masuk itu tapi matanya terpaku pada
seseorang. Itulah dia, Nuh Qays Bin Haji Qaid. Masih sama
seperti dahulu cuma kematangan itu yang menjadikan dia
semakin segak dengan penampilannya kini.
Qisya Zulaikha menundukkan sedikit wajahnya
kerana dia sudah tertangkap oleh Nuh Qays disebabkan
terlalu leka merenung lelaki itu. Pipi sudah membahang,
malu dengan keterlanjurannya. Qisya Zulaikha memberi
ruang untuk Encik Kamal duduk di sebelahnya.
“Segak Nuh tu ya, berebut-rebut la nanti orang nak
ke bahagian pemasaran. Jangan pula awak yang minta tukar
nanti, sudah la,” bisik Encik Kamal. Qisya Zulaikha
tersenyum mendengar gurauan bosnya itu.
“Bos saya tetap Encik Kamal, lainlah kalau encik
dah tukar atau bersara. Lagipun biasalah Encik Kamal, orang
mudakan... Pandai bab-bab bergaya ni. Tapi Encik Kamal pun
bergaya juga, itu sebab Puan Hayati sayang lebih tu,” balas
Qisya Zulaikha juga bernada gurauan.
“Macamlah dia tu bukan orang muda. Saya tengok,
bukan main berseri lagi wajah wanita-wanita bahagian
pemasaran ni. Kuat juga penangan Nuh ni ya.”
Tanpa dapat ditahan Qisya Zulaikha tergelak kecil
seraya mengundang perhatian sebahagian manusia yang
berada di bilik mesyuarat itu. Qisya Zulaikha bukan apa, dia
tergelak kerana mengenangkan Ifa dan juga Afiah yang
bergaya sakan hanya kerana hari ini merupakan hari pertama
Nuh Qays bekerja.
“Maaf,” Qisya Zulaikha memohon maaf. Dia
menoleh ke arah Encik Kamal, mengharapkan orang tua itu
akan membela dirinya.
“Maaf Tuan Haji, Zulaikha ni salah dengar apa yang
Tuan Haji katakan tadi. Bila saya bagitahu dia, rupanya salah
information pula.” Ahh...! Sudah, aku pula yang kena! Desis
hati Qisya Zulaikha.
“Apa yang Zulaikha salah dengar tu ya?” tanya Tuan
Haji Yusuf ramah. Qisya Zulaikha menelan liur. Kini dia
sudah menjadi perhatian semua orang dan sudah pasti Nuh
Qays juga sedang memandangnya kini.
“Pasal kerja di bahagian saya dengan pemasaran
Tuan Haji. Malu pula Zulaikha ni, alah biasalah... Ada orang
baru, itu sebab dia malu-malu tu.” Hampir kesemua tergelak
mendengar kata-kata Encik Kamal itu. Tuan Haji Yusuf
menggeleng, faham benar dengan perangai Encik Kamal
yang suka menyakat pekerja bawahan. Malu Qisya Zulaikha
sehingga dia tidak mampu berkata-kata. Inilah dia Encik
Kamal, menyakat tidak kira tempat!
“Tak apa Zulaikha.. Saya tahu Kamal cuma
bergurau. Bukan saya tak kenal dengan Kamal ni. Pasal kerja
tu pula, seperti biasa, bahagian pentadbiran sememangnya
akan selalu berurusan dengan pemasaran. Jadi, jika Nuh
memerlukan sebarang dokumen tentang pentadbiran maka
Zulaikha buat macam biasa, sama seperti ketika adanya Sufi.
Begitu juga sebaliknya Afiah ya?”
“Ya, Tuan Haji,” jawab Afiah bersemangat. Qisya
Zulaikha mengangguk. Dia sudah biasa dengan kerjanya.
Dulu, bukan saja Encik Kamal yang menjadi bosnya, Encik
Sufi juga kadang-kadang memerlukan bantuannya.
Kini tibalah sesi memperkenalkan diri. Nuh Qays
bangun dan secara rawak dia memperkemaskan kemeja dan
tali lehernya. Baginya penampilan itu sangat penting, lebihlebih
lagi dia merupakan salah seorang ketua bahagian dalam
syarikat ini.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat
pagi semua. Saya Nuh Qays. Saya akan mengambil alih tugas
sebagai ketua pemasaran. Saya masih baru dalam bidang ni
walaupun saya mempunyai pengalaman selama setahun
setengah ketika bekerja di UK setelah tamat pengajian
master saya. Bagi saya, saya masih cetek dalam bidang ni
berbanding dengan ketua-ketua yang lain. Saya
mengharapkan tunjuk ajar daripada anda semua. Sebarang
teguran, pasti akan saya terima untuk meningkatkan lagi
mutu kerja saya. Terima kasih.”
Sebaik saja Nuh Qays mengakhiri ucapannya,
tepukkan gemuruh diberikan. Nuh Qays tersenyum dengan
penerimaan itu dan dia menundukkan sedikit badannya
tanda menghargai. Matanya pula memandang Qisya Zulaikha
yang sedari tadi banyak menundukkan diri. Tentu wanita itu
malu akibat gurauan Encik Kamal, desis hatinya.
Selesai saja acara perlantikkan itu, seperti biasa
jamuan kecil akan diadakan. Itu sudah lumrah jika ada
mesyuarat ketua-ketua bahagian, pasti akan ada jamuan kecil
untuk semua pekerja. Itulah cara Tuan Haji Yusuf untuk
mengeratkan hubungan sesama pekerja. Sekali lagi, Nuh
Qays memperkenalkan dirinya pada semua pekerja di
Syarikat Bina Perdana.
Mata Qisya Zulaikha sudah terpandang makanan
kegemarannya. Dia menyiku Ifa dan dia berkata tanpa
bersuara, “kuih kegemaran aku.”
“Aku tahulah. Aku yang suruh Jannah tempah kuih
ni. Jomlah,” jawab Ifa seakan-akan mengerti apa yang Qisya
Zulaikha sampaikan kepadanya.
“Thank you. Dah lama benar aku tak makan kuih
onde-onde ni.”
Mata Qisya Zulaikha hanya memberi tumpuan pada
kuih onde-onde itu sehingga dia tidak menyedari ada tangan
lain, yang turut mengambil penyepit kuih tersebut. Laju
tangannya melepaskan, dia mendongak. Terkaku dia seketika.
“Maaf! Saya tak sengaja.” Laju saja Qisya Zulaikha
memohon maaf. Nanti dia dikatakan ingin mengambil
kesempatan untuk mendekati Nuh Qays.
“It’s okay,” balas Nuh Qays. Dia juga tergamam bila
tanpa isyarat Qisya Zulaikha terpegang tangannya.
Qisya Zulaikha membatukan diri, tidak tahu
hendak buat apa lagi. Pinggan kecil di tangannya kini sudah
berisi kuih onde-onde. Sekali lagi dia mendongak. Nuh Qays
melemparkan senyuman.
“Saya rasa, awak nak sangat kuih ni. Selamat
menjamu selera.” Qisya Zulaikha malu sendiri. Menyesal pula
berbuat begitu tadi. Nampak sangat dia gelojoh untuk
mengambil kuih onde-onde.
Ifa tergelak melihat reaksi spontan Qisya Zulaikha.
Dia menghampiri Qisya Zulaikha yang sudah kalut itu.
“Itulah kau... Mata tengok kuih tu aje. Manusia yang ada
dalam ni pun kau dah tak hiraukan.”
Qisya Zulaikha mengetap bibirnya. Geram dengan
kata-kata Ifa walaupun ada benarnya apa yang dikatakan itu.
“Maaf ya Encik Nuh, Ikha ni memang... Kalau bab
makanan kegemaran dia, memang tak hengat dunia,” jelas
Ifa pada Nuh Qays.
“Tak mengapa. Enjoy your kuih ladies,” ujar Nuh
Qays seraya meninggalkan dua wanita itu. Niat hati memang
ingin berlama lagi untuk berhadapan dengan Qisya Zulaikha
tapi dia tidak mahu banyak mata yang memandang
perilakunya itu. Biarlah semuanya berjalan dengan perlahan
dan sempurna untuk dia mendekati Qisya Zulaikha.
Di satu sudut, Afiah menahan geram. Benci melihat
Qisya Zulaikha cuba mendekati Nuh Qays. Tidakkah dia sedar
tentang kisah dulu tu? ‘Takkan Nuh Qays tidak mengenali
Qisya Zulaikha?’ bentak hati Afiah. Dia tidak akan
membenarkan Qisya Zulaikha sewenang-wenangnya
menghampiri Nuh Qays. Dia juga ada cara tersendiri untuk
membuatkan Nuh Qays membenci Qisya Zulaikha. Itu adalah
matlamatnya kali ini
No comments:
Post a Comment