DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 24 June 2016

Perangkap Dua Hati - Prolog








QISYA ZULAIKHA terkejut dengan pesanan
ringkas yang baru saja dibaca melalui telefon bimbitnya.
Tidak pernah sekalipun Nuh Qays, ketua di bahagian
pemasarannya itu beramah mesra dengannya. Kalau adapun,
cuma hanya bertegur sapa bila lelaki itu hendak berjumpa
ketuanya atau bertanyakan tentang kerja. Itu sahaja! Tidak
lebih daripada itu. Inikan pula menginginkan dia untuk
menghantar dokumen penting kepada lelaki itu. Qisya
Zulaikha membaca sekali lagi pesanan itu.
Tolong hantar dokumen Alam Jaya ke rumah
saya. Ketua awak bagitahu saya yang
dokumen itu ada pada awak. Saya nak kan
malam ini juga! – Nuh
Qisya Zulaikha melihat jam di dinding. Sudah 8.30
malam. Sepupunya juga masih belum pulang ke rumah, mak
su pula ada kelas mengaji di masjid berhampiran dengan
rumah mereka. Dia hilang punca. Mengenangkan dia adalah
setiausaha Encik Kamal, dia harus ikut apa sahaja yang
disuruh walaupun daripada ketua bahagian lain. Dia akan
menghubungi Nuh Qays kerana dia tidak sanggup untuk
datang ke rumah lelaki itu hanya kerana satu dokumen.
“Assalamualaikum,” sapa Qisya Zulaikha.
Sememangnya hatinya tidak pernah duduk diam bila
ternampak Nuh Qays apatah lagi mahu berbicara dengannya.
“Waalaikumsalam.” Lemah kedengaran suaranya di
hujung sana.
“Ini saya, Zulaikha. Setiausaha Encik Kamal. Encik
nak kan dokumen Alam Jaya kan? Tapi boleh tak kalau saya
serahkan pada encik, esok pagi sebab sekarang dah malam.
Rasanya tak elok kalau saya datang ke rumah encik malammalam
macam ni,” jelas Qisya Zulaikha berhati-hati. Dia
selalunya tidak membantah apa yang disuruh melainkan ia
tidak ada kena-mengena dengan hal kerja.
“Maaf, tapi saya nak kan dokumen tu malam ni juga
sebab esok pagi saya nak hantar sendiri ke Putrajaya. Kalau
tak disebabkan saya demam, saya sendiri akan mengambilnya
di rumah awak. Kita dah kesuntukan masa ni, Zulaikha.”
Qisya Zulaikha mengetap bibirnya. Apalagi yang
harus dia katakan. Dokumen ini sangat penting untuk
syarikatnya dan dia juga tahu syarikatnya kesuntukan masa
jika dia cuba melengah-lengahkan penghantarannya.
“Kalau saya send through email, boleh tak encik?
Saya scan aje.” Qisya Zulaikha mencuba nasib, mana tahu
Nuh Qays mempertimbangkan cadangannya itu.
“Awak tahu kan apa yang terjadi pada syarikat kita
tahun lepas. Akibat tersalah e-mel kepada orang lain, syarikat
kita terpaksa menanggung kerugian kerana idea kita diambil
oleh syarikat lain. Saya tak nak jadi macam tu lagi.”
Walaupun lemah suara Nuh Qays menjawab namun terselit
juga nada ketegasan.
“Baiklah encik, saya akan hantar dokumen ni ke
rumah encik. Tolong SMS alamat rumah encik.”
“Okey. Awak jangan risau, rumah awak tak jauh
manapun dengan kondo saya. Terima kasih.” Qisya Zulaikha
terkedu bila Nuh Qays tahu di mana dia tinggal. Mungkin
daripada Nadia Afiah, sepupunya merangkap setiausaha Nuh
Qays. Tanpa menunggu lama, Qisya Zulaikha terus menukar
pakaiannya. Dia tidak mahu berlengah lagi. Jika dia terusterusan
berfikir, semakin lewat dia akan sampai ke kondo
Nuh Qays.
Kini Qisya Zulaikha sudah sampai di hadapan
kondominium Nuh Qays. Memang tidak jauh dari rumah
tempat tinggalnya. Dia juga sempat menghantar pesanan
ringkas kepada mak su supaya tahu akan ketiadaannya.
“Nak ke mana, cik?” Tanya sekuriti yang bertugas.
Mungkin untuk memastikan tujuannya ke kondominium
tersebut.
“Saya nak serahkan dokumen penting kepada Encik
Nuh.”
“Oh.. Ya, ya. Encik Nuh dah beritahu saya. Dah
tahu nombor kondo dia?”
“Ya, dah tahu.”
“Silakan cik.” Terus sekuriti itu menekankan
butang lif. Sebelum masuk ke dalam lif, Qisya Zulaikha
sempat memberikan senyuman kepada sekuriti itu.
Berkali-kali bell ditekannya, pintu masih belum
dibuka. Qisya Zulaikha mengeluh panjang. Macam-macam
betul la mamat ni, bebelnya. Dia cuba menghubungi Nuh
Qays tapi masih tidak berjawab. Tanpa berfikir panjang, dia
cuba menyelitkan dokumen itu di bawah pintu. Itu saja idea
yang dia ada. Sebaik saja dia hendak bangkit berdiri, tiba-tiba
pintu kondo dibuka dari dalam.
Terkaku Qisya Zulaikha bila melihat Nuh Qays yang
lemah berpaut pada pintu. Peluh sudah membasahi seluruh
wajah lelaki itu. Nampak benar Nuh Qays kurang sihat.
“Encik... Encik okey ke tak ni?”
“Saya tak okey. Tolong papah saya masuk ke dalam.
Saya tak larat.” Satu-persatu perkataan terbit daripada lelaki
itu. Hati Qisya Zulaikha tersentuh.
Qisya Zulaikha teragak-agak mahu memegang
lengan lelaki itu walaupun Nuh Qays memakai baju lengan
panjang. Dia sempat mengambil dokumen yang diselitnya
tadi dan meletakkan di atas meja yang berdekatan. Dia
memapah Nuh Qays dan membaringkan lelaki itu di atas
sofa.
“Errr... Tolong ambilkan tuala dan sweater saya.
Saya nak tukar baju. Rasa tak selesa.” Sambil mata terpejam,
Nuh Qays meminta pertolongan.
“Dekat mana ya encik?” Terpaksa juga Qisya
Zulaikha turuti, kalau Nuh Qays berkeadaan sihat walafiat,
sememangnya dia tidak akan menurutinya. Lebih baik dia
terus balik ke rumah.
“Wardrobe, bilik hujung sekali.” Terus kaki Qisya
Zulaikha melangkah menuju ke bilik wardrobe. Nasib baik
semuanya telah tersusun dengan rapi dan menyenangkan dia
mencari apa yang dimahukan oleh lelaki itu.
Sebaik saja menyerahkan tuala dan sweater kepada
Nuh Qays, dia menuju pula ke dapur untuk membasahi tuala
kecil yang diambilnya tadi untuk diletakkan pada dahi Nuh
Qays bagi meredakan suhu badannya yang panas.
TING! TONG!
Qisya Zulaikha melihat pintu kondo yang tertutup
rapat itu. ‘Astaghfirullah, asal aku tutup pintu tu?’
Gumamnya.
Cepat-cepat pintu kondo itu dibuka. Seakan-akan
sebuah batu yang besar menghempap kepalanya, tangannya
terketar-ketar melihat beberapa orang lelaki yang berkopiah
di hadapannya.
“Assalamualaikum, kami dari pejabat agama, kami
mendapat aduan bahawa tuan rumah ini sedang
bersekedudukan tanpa ikatan yang sah. Saya harap cik dapat
memberikan kerjasama. Kami nak jumpa dengan tuan
rumah.”
Setiap perkataan yang keluar dari mulut lelaki di
hadapannya ini bagaikan peluru yang menembusi tangkai
hatinya.
“Tak, tak.. Tuan Haji. Tuan Haji dah salah faham ni.
Saya datang sini cuma untuk menghantar dokumen. Dan bos
saya pada masa yang sama tak berapa sihat. Saya tak
bersekedudukan dengan dia, Tuan Haji.” Laju Qisya Zulaikha
cuba menjelaskan kepada lelaki-lelaki di hadapannya itu.
“Maaf cik, kami tak boleh nak kata apa. Cik kena
juga memberikan kerjasama dengan kami. Sememangnya
kalau sudah jadi perkara sebegini, bermacam-macam alasan
yang diberikan.” Qisya Zulaikha tersandar ke dinding. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali,
mengharapkan semua ini hanya sekadar mimpi tapi apakan
daya, segalanya nyata belaka. Dia melihat Nuh Qays yang juga
kelihatan begitu terkejut dengan kedatangan empat orang
lelaki itu.
Entah apa yang dikatakan oleh pegawai agama itu
kepada Nuh Qays, Qisya Zulaikha tidak tahu kerana dia hanya
meratapi apa yang berlaku ini. Air mata diseka berkali-kali
tapi ia mengalir laju tanpa henti.
Dua orang pegawai agama itu memapah Nuh Qays.
Seharusnya mereka tahu keadaan sebenar kami tapi.... Ahh!
Rintih hati Qisya Zulaikha.
“Ikha... Kita terpaksa ikut mereka. Nanti kita
bincang,” beritahu Nuh Qays.
“Tapi encik.. Kita tak salah. Kita di pihak yang
benar! Saya datang sini pun atas dasar kerja encik!” bentak
Qisya Zulaikha.
“Semakin cik berkeras, perkara ini tak akan selesai.
Kami harap cik dapat ikut kami.”
QISYA ZULAIKHA hanya duduk di tempat yang disediakan
sebaik saja sampai ke pejabat agama. Nuh Qays dibawa
masuk ke dalam bilik, mungkin untuk berbincang sesuatu
atau dengan kata sebenar merayu daripada didakwa. Kepala
Qisya Zulaikha terasa berdenyut laju, dia memicit kepalanya
perlahan.
“Zulaikha...” Qisya Zulaikha menoleh ke sisi bila
namanya disebut. Nuh Qays duduk selang sebuah kerusi
darinya.
“Saya minta maaf dengan apa yang terjadi. Tapi kali
ni saya merayu dengan awak, tolong terima saya jadi suami
awak... Saya...”
“Apa yang encik merepek ni?! Apa kena-mengena
dengan hal nikah ni hah? Kalaupun kita didakwa, kita akan
buktikan pada mereka yang kita berdua tak salah.” Laju Qisya
Zulaikha memotong kata-kata Nuh Qays.
“Semua ini adalah sebab maruah Zulaikha. Maruah
saya, maruah awak. Maruah keluarga kita. Awak kena fikirkan
semua tu. Kita tak ada masa untuk mempertahankan diri bila
maruah kita sudah di hujung kaki. Tolonglah... Saya merayu
dekat awak, kita nikah saja. Saya tak pernah merayu pada
sesiapa tapi kali ini tolonglah...”
Terenjut-enjut badan Qisya Zulaikha menahan
sendu. Kenapa akhirnya jadi sebegini? Dia menekan butang
telefon bimbitnya. Nuh Qays hanya memerhatikan, setia
menanti jawapan daripada Qisya Zulaikha.
“Assalamualaikum mak su.. Tolong Ikha mak su.
Ikha kena nikah malam ni juga. Tolong datang ke sini. Ikha
perlukan kekuatan.” Semakin teresak-esak Qisya Zulaikha
sebaik saja mendengar suara mak su.
“Ikha kenapa ni nak? Nikah? Apa yang dah jadi?”
tanya mak su cemas.
“Rasanya ada yang dah salah faham dengan kami
mak su. Tolonglah datang ke sini dengan cepat. Ikha betulbetul
perlukan mak su.”
Nuh Qays yang berada di sisi menarik nafas lega.
Bukan dia gembira dengan apa yang terjadi cuma dia
bersyukur Qisya Zulaikha sanggup menerimanya sebagai
suami. Semua ini bukan saja hanya kerana maruah tapi di
sudut hatinya ada satu agenda yang tersembunyi yang sudah
bertahun-tahun dia menyimpan. Dia mahukan dua bukti
iaitu menidakkan apa yang didengarnya selama ini dan bukti
sesuatu yang dia rasa selama ini adalah benar belaka.

No comments:

Post a Comment