DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 8

TENGKU Iskandar merengus. Sakit hatinya tidak
terkata. Tidak sudah-sudah gadis itu menyusahkan hidupnya.
Nasib baik dia sempat menekan brek, jika tidak macam mana?
Bukankah nanti namanya akan tercemar kerana dituduh
melanggar orang? Padahal gadis ini yang tak pandang kiri
kanan jalan. Main rempuh aje!
“Macam mana ni?” soal Tengku Haziq kepada
Tengku Iskandar yang berpeluk tubuh dengan muka masam.
“Macam mana apa? Manalah aku tahu. Kau yang
baik hati sangat suruh bawak dia ke sini. Pandai-pandai kau
la buat apa.” Balas Tengku Iskandar sambil melangkah keluar
dari bilik tamu itu.
Dia tidak mahu masuk campur. Sudah Tengku
Haziq yang beria-ia nak bawak gadis kampung itu ke sini,
pandai-pandai Tengku Haziq la buat apa yang patut. Dia malas
nak masuk campur. Awal-awal lagi dia dah kata. Biarkan saja
gadis kampung itu di situ tetapi Tengku Haziq kata dia tak
berhati perut. Sekarang ikut pandai Tengku Haziq nak buat
apa.
Tengku Haziq mendengus. Geram mendengar
jawapan Tengku Iskandar.
“Is… kau ni takde rasa kesian ke? Tak simpati ke
tengok Aisyah tu? Cubalah berperasaan sikit.”
Decitan kasar keluar dari mulut Tengku Iskandar.
Selamba dia melabuhkan punggung di atas sofa.
“Habis tu, kau nak suruh aku buat apa? Nak suruh
aku tukarkan baju perempuan kampung tu? Kalau itu yang
kau nak suruh aku buat, aku takde hal. Perkara tu memang
dalam kocek aku.”
Geram Tengku Haziq mendengar jawapan poyo
Tengku Iskandar. Bercakap dengan Tengku Iskandar ini hanya
menaikkan marahnya saja. Ada baiknya dia segera memanggil
Kak Jah, isteri kepada Abang Sani pemilik homestay ini.
Untung-untung, ada baju Kak Jah yang muat dengan saiz
tubuh Aisyah. Lagipun hanya Kak Jah yang dapat membantu
menukar pakaian Aisyah yang basah. Nanti demam pula gadis
itu kerana berada dalam keadaan lencun begitu.
“Kau nak ke mana tu?” tanya Tengku Iskandar
setelah melihat langkah Tengku Haziq menonong ke pintu
utama.
“Aku nak panggil Kak Jah. Nak minta dia tolong
tukarkan baju Aisyah. Takkan nak biarkan dia basah macam
tu aje.”
Malas hendak memberi sebarang respons, Tengku
Iskandar menekan remote Astro. Dia tidak mahu mengambil
tahu soal gadis kampung bernama Aisyah itu. Tiada
kena-mengena pun dengannya.
Bunyi benda jatuh dari bilik tetamu mengejutkan
Tengku Iskandar.
“Hesy… apa pulak tu?” dengusnya. Kemudian dia
bangun dari duduknya, melangkah ke bilik tetamu yang
menempatkan Aisyah.
“Apa lagi ni?” sergah Tengku Iskandar kasar.
Aisyah yang sudah sedar daripada pengsannya
tersentak. Terkejut melihat Tengku Iskandar yang berdiri di
muka pintu dengan wajah garang. Sebiji macam singa jantan
kelaparan.
“Sa… saya kat mana ni?” tanya Aisyah takut-takut.
“Kau kat rumah aku la. Kat mana lagi.” Bosan pula
Tengku Iskandar melayan gadis kampung itu.
“A… apa a… awak dah buat kat saya?” soal Aisyah lagi.
Takut andai lelaki itu telah melakukan sesuatu kepadanya.
“Aku buat apa? Aku takde buat apa-apa la! Setakat
perempuan kampung macam kau, bukan taste aku!” Bongkak
Tengku Iskandar menjawab.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan bertalu-talu di muka pintu kedengaran.
Lantas Tengku Iskandar bergerak ke muka pintu. Tentu
Tengku Haziq pulang bersama Kak Jah, fikirnya. Namun
sebaik saja pintu dibuka luas, kelihatan beberapa orang lelaki
lengkap berkopiah dan berjubah berdiri di depannya. Dadanya
berdebar hebat memandang kelima-lima lelaki itu.
“Assalamualaikum.” Sapa salah seorang daripada
mereka.
“Waalaikumussalam. Encik semua ni siapa?”
Tengku Iskandar bertanya dengan rasa hati yang mula tidak
sedap. Bagai ada sesuatu yang buruk akan menimpa nasibnya.
“Saya Haji Samsul Haji Marullah. Imam dekat
kampung ni. Saya dapat aduan kat sini ada maksiat. Boleh
kami masuk untuk buat pemeriksaan?” ujar Haji Samsul.
Tadi dia menerima panggilan telefon daripada seseorang
yang tidak dikenalinya. Menurut si pemanggil, di rumah
ini berlakunya maksiat. Sebagai imam kampung, dia datang
untuk membuat pemeriksaan sama ada berita itu benar atau
palsu.
Tatkala itu, jantung Tengku Iskandar berlari laju.
Dia ingin menghalang lima lelaki berkopiah itu daripada
masuk. Namun dia tidak berdaya apabila kelima-lima mereka
sudah menyerbu ke dalam. Memeriksa satu per satu bilik
dalam homestay tersebut.
“Tok imam! Kat sini. Ada perempuan kat sini.” Salah
seorang daripada pengikut Haji Samsul bersuara. Membuat
jantung Tengku Iskandar bagai berhenti berdegup.
Haji Samsul meluru ke arah bilik yang dimaksudkan
Imran, anak buahnya. Benar bagai dikata, memang di dalam
bilik itu ada seorang gadis. Dan dia memang kenal gadis itu.
“Astaghfirullahal'azim… Aisyah? Apa kamu buat kat
sini?” tanya Haji Samsul dengan nada terperanjat. Setahunya
Aisyah anak gadis yang baik. Tapi… untuk apa gadis itu ke
mari? Dengan pakaian yang basah kuyup dan rambut yang
tidak terurus. Keadaan yang cukup mencurigakan.
Soalan Haji Samsul tidak terjawab. Aisyah tunduk
merenung lantai. Dia takut dan panik. Lidahnya seolah-olah
kelu mahu memberikan jawapan.
“Mak su kamu mana? Dia tahu tak kamu kat sini?”
tanya Haji Samsul lagi.
Aisyah menggeleng berulang kali. Tiada siapa yang
tahu dia di situ. Malah dia sendiri tidak tahu bagaimana
dia boleh sampai ke situ. Apa yang dia ingat, dia cuba
menyelamatkan diri daripada nafsu serakah Farid sebelum
sebuah kenderaan datang merempuhnya. Waktu itu mak su
dan Fasha mungkin masih berada di majlis perkahwinan Ujie
di Kampung Raja.
“Imran, kamu telefon Puan Ainin. Beritahu dia hal
ni. Hal macam ni bukannya boleh dibawa main-main. Dia
perlu tahu.”
“Tok imam, tolonglah. Jangan beritahu mak su
Aisyah. Aisyah tak salah.” Rayu Aisyah. Air matanya sudah
mula berlinangan. Wajah garang mak su terbayang depan
matanya.
“Kalau tak salah, buat apa kamu ke sini? Dalam
keadaan macam ni, tok rasa ragu-ragu dengan kamu.”
Aisyah diam lagi. Tiada jawapan untuk soalan itu.
“Apa nak jadi dengan anak-anak muda zaman
sekarang ni? Buat maksiat tak ingat hari akhirat.” Ujar Haji
Samsul lebih kepada diri sendiri.
“Errr… tok salah faham. Kami tak buat apa-apa.
Kami tak buat maksiat.” Tengku Iskandar menghampiri Haji
Samsul. Dia menerangkan keadaan yang sebenar setelah
berdiam diri sedari tadi. Sempat dia mengerling tajam kepada
Aisyah.
“Dengan kamu yang berpakaian macam ni dan
si perempuan yang basah kuyup, itu kamu kata tak buat
maksiat?” Haji Samsul menghala pandangan kepada Tengku
Iskandar, hanya bersinglet putih dan berseluar pendek paras
lutut. Dia ragu-ragu kebenaran kata-kata lelaki itu.
“Betul tok. Saya tak bohong. Kami tak buat apa-apa.
Saya pun tak kenal dia ni siapa.” Beria-ia Tengku Iskandar
memberitahu.
“Kalau tak kenal, macam mana boleh berdua-duaan
dalam rumah ni?”
“Kami tak berdua-duaan tok. Ada sepupu saya
bersama.”
“Habis tu mana sepupu kamu?”
“Dia… pergi panggil tuan rumah ni.”
“Dan tinggalkan kamu berdua-duaan?”
Tengku Iskandar kematian kata. Tidak tahu
bagaimana hendak menerangkan keadaan yang sebenar.
Jika dia bercerita pun, dia yakin Haji Samsul tidak percaya.
Apatah lagi buat masa ini dia tiada seorang saksi pun kerana
Tengku Haziq masih belum balik dari tadi. Entah ke mana
dia melencong. Takkanlah setakat ke rumah Encik Sani yang
hanya beberapa langkah dari homestay ini pun mengambil
masa yang lama?
“Tok, Puan Ainin dalam perjalanan ke sini.” Beritahu
Imran setelah berjaya menghubungi Puan Ainin seperti yang
disuruh.
Haji Samsul sekadar mengangguk. Mereka perlu
menunggu kedatangan Puan Ainin untuk menyelesaikan kes
ini. Aisyah itu di bawah jagaan Puan Ainin. Maka lebih elok
Puan Ainin diberitahu hal ini. Biar dia yang buat keputusan.
“Bagi kad pengenalan?” pinta Haji Samsul.
“Tapi tok…”
“Lebih baik kamu beri kerjasama. Jika tidak, saya
terpaksa bawak kamu berdua ke balai polis atas tuduhan
berkhalwat. Itu akan lebih memalukan.”
Mendengar perkataan berkhalwat itu, jantung
Tengku Iskandar berdetak laju. Bayangan mummy dan
daddy berlegar-legar dalam mindanya. Silih berganti dengan
ekspresi wajah yang menggerunkan. Bayangan kerusi CEO
TG Holdings yang bakal disandang juga bagai sudah menjauhi
dirinya.
Tidak! Tidak! Tidak! Dia tak boleh kehilangan apa
yang ingin dimilikinya. Dia tidak sanggup. Oleh itu dia perlu
memberi kerjasama kepada lelaki tua berkopiah dan berjubah
putih itu.
Sementara menunggu kedatangan Puan Ainin, Haji
Samsul sempat memberi ceramah kepada pasangan muda
itu. Jenuh juga dia memberi ceramah berunsur nasihat agar
anak muda berdua itu kembali ke pangkal jalan. Jika sudah
suka, lebih baik perasaan itu diikat dengan tali perkahwinan.
Bukannya dengan berbuat maksiat seperti ini. Dosa besar
hukumnya.
“Assalamualaikum.” Suara memberi salam
mematikan ceramah Haji Samsul. Mereka semua
memalingkan wajah ke arah suara di muka pintu.
“Waalaikumussalam.” Jawab mereka serentak.
“Apa dah jadi ni?” tanya Tengku Haziq terpinga-pinga.
Terkejut melihat ruang tamu homestay itu dipenuhi orang
yang tidak dikenali. Dia terlambat kerana terpaksa menunggu
Kak Jah balik dari kedai jahitnya tadi. Sementara menunggu,
dia berbual seketika bersama Encik Sani, suami wanita itu.
Kak Jah dan anaknya Safiah yang nyata terkejut
dengan kehadiran Haji Samsul dan pengikut-pengikutnya ke
rumah penginapan mereka itu segera mendapatkan Aisyah.
Gadis itu lencun dengan air mata. Entah apa yang telah
berlaku. Setahunya dia ke mari hendak menolong Tengku
Haziq menukar pakaian basah seorang gadis.
Menurut Tengku Haziq, dia dengan sepupunya
Tengku Iskandar telah terlanggar gadis itu sehingga
membuatkan gadis itu pengsan. Tidak tahu apa yang hendak
dilakukan, dia memerlukan bantuan Kak Jah. Tak sangka
pula gadis yang dimaksudkan itu ialah Aisyah. Anak arwah
Encik Latiff dan Puan Ainon.
“Tok… ini… ini sepupu saya. Dia tahu saya tak
bersalah.” Tengku Iskandar menarik tangan Tengku Haziq.
Dia perlukan sokongan sepupunya itu untuk melepaskan diri
daripada tuduhan berkhalwat. Hanya Tengku Haziq dapat
membantunya.
Namun belum sempat Haji Samsul berkata,
kedengaran suara Puan Ainin menerpa pendengaran semua
orang. Nyaring bukan main suara itu.
“Mana? Mana anak tak tahu malu tu? Tak guna! Dia
conteng arang ke muka aku ya!” serang Puan Ainin tanpa rasa
malu. Dia meluru masuk ke dalam rumah. Mencari kelibat
Aisyah sebelum datang menyerang gadis itu.
Fasha pula hanya melihat dengan senyuman puas
hati apabila maknya memukul-mukul tubuh Aisyah. Padan
muka! Itulah yang dia luahkan dalam hati.
Aisyah yang ketakutan tidak mampu melawan.
Hanya menangis menahan kesakitan. Nasib baik Kak Jah ada,
dialah yang berusaha menepis libasan tangan Puan Ainin
daripada terusan memukul Aisyah.
“Errr… sabar Ainin. Sabar. Kita duduk dulu bawa
berbincang.” Kata Haji Samsul yang terkejut melihat Puan
Ainin naik hantu.
“Nak bincang apa lagi tok? Dah dia ni memalukan
nama keluarga. Baik bagi kahwin aje terus!” dengan wajah
garang Puan Ainin membalas. Turun naik nafasnya dek
kerana marah yang tidak bertepi.
“Tak! Saya tak nak kahwin dengan dia.” Jerit Tengku
Iskandar. Dia bertegas dengan pendiriannya.
Mendengar jeritan Tengku Iskandar, Puan Ainin
mencerlungkan mata.
“Oooooh… kau tak nak kahwin dengan anak sedara
aku ye? Dah kamu buat maksiat, conteng arang ke muka aku,
lepas tu tak nak bertanggungjawab?” Tangan sudah naik ke
pinggang.
“Saya tak salah. Saya tak kenal perempuan tu.”
Mendidih darah Puan Ainin mendengar jawapan
lelaki di hadapannya. Rasa nak cincang mulut lelaki itu.
“Kalau kau tak kenal anak sedara aku yang gatal ni,
macam mana dia boleh ada kat sini dengan kau?” tidak mahu
mengalah, Puan Ainin menjerkah.
“Diam! Diam! Tolonglah. Perkara ni akan bertambah
rumit jika kamu semua tak beri kerjasama. Kita duduk
berbincang.” Haji Samsul mula bertegas. Rimas mendengar
perdebatan Puan Ainin dan Tengku Iskandar.
“Kamu… kalau kamu rasa tak nak kahwin dengan
perempuan ni, sila berikan saya nombor telefon keluarga
kamu di Kuala Lumpur. Saya nak maklumkan hal ni kepada
mereka.”
Mendengar ayat yang keluar dari mulut Haji Samsul,
Tengku Iskandar kematian kata-kata. Bayangan dan kata-kata
mummy mula terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Remember Is! Mummy dah bagi warning
pada Is. Jangan malukan mummy dan
daddy. Kalau ada perkara buruk yang
mencemarkan nama baik family kita,
jangan harap Is akan pegang jawatan CEO.
Segala keistimewaan Is pun mummy akan
tarik balik.”
Tidak! Dia tak boleh membiarkan apa yang bakal
dimiliki terlepas hanya kerana kes ini. Tidak! Dia tak boleh
membiarkan mummy tahu perkara ini. Tidak sama sekali!
Dia perlu buat keputusan demi kepentingannya.
SEMUA ORANG telah pun pulang sebaik sahaja selesai
akad nikah antara Tengku Iskandar dan Aisyah. Ruang
tamu rumah itu hanya ditemani esakan halus Aisyah yang
menangis teresak-esak mengenangkan nasib diri. Dia tidak
pernah menyangka begini akhirnya perjalanan hidup yang
perlu ditempuhi. Berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak
pernah hadir dalam kamus hidupnya. Semua terjadi dengan
cara mendadak dan terlalu pantas.
Tengku Iskandar yang duduk di atas sofa merenung
tajam wajah Aisyah yang lencun bermandikan air mata.
Amarahnya kepada gadis itu meluap-luap. Api bencinya
membuak-buak. Ikutkan amarahnya, mahu diseretnya gadis
kampung itu keluar malam itu juga. Dia benci melihat wajah
itu.
“Kau sengaja nak perangkap aku, kan?” soal Tengku
Iskandar tiba-tiba. Suaranya perlahan namun cukup jelas
kasar pada suaranya itu. Sedari tadi dia memendam perasaan
untuk melontar soalan itu kepada Aisyah.
Tiada jawapan daripada Aisyah. Dia masih tunduk
dengan linangan air mata yang tidak ada tanda mahu berhenti.
“Kau sengaja perangkap aku, kan???” kali ini suara
Tengku Iskandar sudah memetir. Wajahnya berang dengan
kebisuan Aisyah.
Terkejut Tengku Haziq mendengar pekikan abang
sepupunya itu. Bertambah terkejut apabila melihat Tengku
Iskandar meluru ke arah Aisyah dan tangan besar itu sudah
mencekik batang leher jenjang gadis itu. Terkapai-kapai gadis
malang itu minta dilepaskan. Wajahnya yang putih bertukar
merah akibat sesak nafas.
“Is! Lepaskan dia. Lepaskan!” halang Tengku Haziq.
Tangan Tengku Iskandar ditarik-tarik supaya melepaskan
leher Aisyah.
“Kau memang sengaja nak perangkap aku, kan?”
soalan yang sama diulang dengan tangan yang makin kejap
mencekik leher Aisyah. Dia bagai dirasuk. Tidak sedar
perbuatannya itu boleh mengundang kematian.
Aisyah terkapai-kapai. Nafasnya sesak. Air mata
makin laju mengalir. Ketakutan kian mencengkam jiwa
dengan tindakan tidak terduga Tengku Iskandar.
“Hei… Is! Kau dah gila ke? Kau nak bunuh dia
ke? Bawa mengucap Is. Jangan bertindak macam orang tak
siuman!” marah Tengku Haziq yang masih cuba sedaya upaya
melarikan tangan Tengku Iskandar dari leher Aisyah.
Pantas Tengku Iskandar melepaskan tangannya.
Tubuh Aisyah ditolak kasar sehingga gadis itu jatuh
tersungkur di atas lantai. Pedih hatinya melihat wajah itu.
Jika di dunia ini tiada hukuman bagi seorang pembunuh,
sudah lama gadis itu mati di tangannya.
Aisyah terbatuk-batuk. Merah padam wajahnya.
Nafas yang sesak sudah mula mencari rentaknya semula.
Gementar tubuhnya dengan tindakan tidak disangka lelaki
itu.
“Kau dah gila ke? Nak jadi pembunuh?” jerkah
Tengku Haziq dengan wajah berang. Dia tahu Tengku
Iskandar tertekan dengan apa yang baru terjadi. Tetapi ini
bukan cara untuk dia melampiaskan rasa marah. Aisyah tidak
bersalah. Gadis itu juga teraniaya.
“Ya! Memang aku dah gila. Aku gila sebab perempuan
kampung ni perangkap aku!” melengking tinggi suara
Tengku Iskandar menjawab pertanyaan Tengku Haziq. Benci
benar dia melihat keprihatinan yang Tengku Haziq berikan
kepada gadis kampung itu. Padanya, gadis kampung seperti
Aisyah tidak perlu dikasihani. Dasar orang kampung tak ada
harga diri!
“Astaghfirullahal'azim… apa yang kau merepek ni
Is? Kau sendiri tahu kan Aisyah tak bersalah. Kita yang nyaris
langgar dia. Bila masa dia perangkap kau. Tak baik menuduh
tanpa usul periksa.”
Sedih hati Aisyah apabila dituduh begitu. Demi
Tuhan, dia tak pernah berniat hendak memerangkap lelaki
itu untuk menikahinya. Dia sendiri tidak tahu siapa yang
membuat onar. Siapa yang memfitnah sehingga tok imam
datang menyerbu.
Merah menyala mata Tengku Iskandar memandang
Aisyah. Dadanya berombak kencang dengan api kemarahan
yang masih menyala-nyala.
“Kalau bukan dia, siapa lagi yang buat laporan? Dia
memang sengaja nak perangkap aku!”
Aisyah menggeleng-gelengkan kepalanya dengan air
mata yang lebat bercucuran.
“Tidak! Saya tak perangkap awak. Saya tak tahu
siapa yang buat laporan. Demi Allah... saya tak berniat nak
perangkap awak. Percayalah.” Dalam keadaan itu, Aisyah
masih cuba membela diri.
Mendidih hati Tengku Iskandar mendengar jawapan
Aisyah. Lantas dia kembali menerpa ke arah gadis itu. Pipi
halus Aisyah menjadi sasarannya. Dicengkam sekuat hati.
“Hoi perempuan kampung! Kau dengar sini
baik-baik. Jangan ingat kau dah sah jadi isteri aku, aku akan
layan kau sama seperti isteri-isteri lain di luar sana. Kau tak
ubah seperti melukut di tepi gantang. Kalau bukan sebab aku
nak jaga maruah aku dan keluarga aku, jangan harap aku
nak kahwin dengan kau! Perempuan macam kau bukan taste
aku la!!!” jerit Tengku Iskandar dengan api kemarahan yang
meluap-luap terhadap Aisyah. Sekali lagi tubuh itu ditolak
kasar.
“Is!!!” jerit Tengku Haziq. Tubuh Tengku Iskandar
ditolak menjauhi Aisyah. Geram sungguh dia dengan sikap
angkuh dan bongkak sepupunya itu. Cakap tak guna otak!
Tengku Iskandar beredar dari situ. Masuk ke dalam
bilik dengan hati yang berang. Berdentum bunyi pintu yang
dihempas sekuat hati. Melepaskan rasa marah yang tak ada
surutnya.
Aisyah yang sudah terjelepok di atas lantai menangis
teresak-esak mengenangkan nasib diri. Entah sampai bila
kisah-kisah duka dalam hidupnya ini akan terhenti. Dia letih
dengan semua ini, namun dia perlu reda dengan takdir yang
telah tersurat untuknya. Kalaulah arwah abah dan mak masih
ada, tentu dia tidak perlu melalui kesukaran ini.
Tumpah rasa simpati Tengku Haziq kepada Aisyah.
Dia tahu gadis malang itu tidak bersalah. Mungkin… inilah
dugaan buat Aisyah dan Tengku Iskandar. Hanya Allah Yang
Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment