DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 18

SUDAH seminggu kejadian antara Aisyah dan
Tengku Iskandar berlalu. Walaupun sukar untuk Aisyah
menerima kesuciannya dirampas suami sendiri, namun
dia pasrah dengan apa yang terjadi. Seperti kata Tengku
Iskandar kepadanya, memang sepatutnya hak itu diberikan
kepada Tengku Iskandar sejak awal pernikahan mereka lagi
memandangkan ikatan mereka berdua memang sah.
Sandwich dan jus oren diletakkan ke atas meja.
Sebenarnya Aisyah sedikit pelik dengan selera Tengku
Iskandar. Tidak jemukah lelaki itu asyik bersarapan pagi
dengan hidangan sebegini? Jika bukan sandwich, pasti roti
bakar kaya yang menjadi pilihan lelaki itu. Ikutkan tekak
Aisyah yang berselera kampung ini, menu begitu bukanlah
pilihannya. Dia lebih gemarkan nasi lemak dan bihun goreng.
Derap kaki Tengku Iskandar kedengaran. Setiap kali
derap kaki Tengku Iskandar menuruni anak-anak tangga
untuk ke ruang bawah, dada Aisyah mula berdebar-debar.
Perasaannya bercampur baur.
Tengku Iskandar kelihatan ringkas dengan seluar
sukan dan t-shirt jenama Polo. Hari Sabtu begini dia memang
gemar keluar berjoging. Mengeluarkan peluh dan dapat
memberi stamina pada tubuhnya. Asyik mengeluarkan peluh
di gim pun tak seronok juga. Sesekali dia mahu berjoging
sambil menikmati kesegaran alam. Manalah tahu kut ada
gadis-gadis berdahi licin yang turut berjoging di tempat yang
sama. Boleh juga dia menjual ayat-ayat cinta.
Tengku Iskandar menarik kerusi. Jus oren yang
sudah tersedia di dalam gelas diteguk perlahan. Dia memang
gemar minum jus di awal pagi.
“Malam ni aku tak balik makan malam kat rumah.
Kau masak untuk diri sendiri aje.” Ujar Tengku Iskandar
lalu mencapai sekeping sandwich yang terhidang di dalam
pinggan di depannya. Dikunyah perlahan sandwich itu.
Seperti biasa, Aisyah tidak menjawab. Hanya
mendengar apa yang dibicarakan lelaki itu. Begitulah dia
setiap kali berdepan dengan Tengku Iskandar. Lidahnya kelu
berbicara. Takut andai bicaranya mengundang amarah si
suami.
“Hoi! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni hah???”
bentak Tengku Iskandar sambil menepuk meja dengan kasar.
Geram melihat Aisyah yang membisu. Pekak ke apa?
Terkejut Aisyah dengan tindakan Tengku Iskandar.
Dia yang memang terkenal dengan sikap latah terus terloncat.
Mulut pula mulalah merapu.
“Oh mak kau… hoi-hoi la-la hoi!”
Latah Aisyah membuatkan Tengku Iskandar
merenung tajam ke arah gadis itu. Sudah sebulan mereka
tinggal bersama. Memang dia perasan Aisyah jenis yang kuat
melatah. Pantang disergah, ada saja ayat-ayat keramat yang
keluar dari mulut gadis itu. Kadangkala dia rasa ingin ketawa,
namun ego lelakinya menghalang dia berbuat demikian.
Siapalah yang tak berasa lucu apabila melihat dan mendengar
orang melatah. Sikap latah Aisyah itu mengingatkan dia
kepada nenda. Nenda juga kaki latah seperti Aisyah. Dia
suka mengusik nenda agar melatah dan dia boleh ketawa
terbahak-bahak.
“Kau ni belum tua dah melatah, kan. Macam
nenek-nenek!” komen Tengku Iskandar.
Aisyah ketap bibir. Dia bukannya suka-suka hendak
melatah. Sudah penyakit melatah itu diwarisi daripada arwah
emaknya, terima sajalah. Ikutkan hati Aisyah sendiri, dia
tidak mahu melatah. Penat sebenarnya menjadi seorang yang
kaki latah ini.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?” soal
Tengku Iskandar lagi.
Aisyah mengangguk. “Dengar Tengku.”
“Bagus kalau kau dengar. Jadi nanti takdelah si
Haziq tu bising-bising kat telinga aku fasal kau yang nyaris
nak pengsan gara-gara tak makan. Kau kan suka report
apa-apa aje kat dia.” Sindir Tengku Iskandar.
Wajah Aisyah dikerling. Gadis itu masih seperti
tadi. Tunduk memandang lantai. Entah apalah yang menarik
di lantai itu. Nampak gaya, Aisyah begitu takut kepadanya,
sehingga mahu mengangkat muka bertentang mata dengannya
pun tidak berani. Dia suka begitu. Sekurang-kurangnya
Aisyah akan mengikut setiap arahannya.
Tengku Iskandar bangun dari duduk. Bersiap sedia
pergi berjoging.
TENGKU MARIA mengarah Nona dan Noni menghidangkan
makanan ke atas meja makan. Sekejap lagi pasti tetamu akan
datang. Janji pukul lapan dan sekarang sudah pukul tujuh
empat puluh lima minit malam. Pasti Ku’ Za dan Megat
Sufian dalam perjalanan sekarang ini.
“Bukan main banyak lagi mummy masak. Siap ada
menu spesial.” Tegur Tengku Iskandar yang menjenguk
masuk ke ruang dapur. Buah tembikai merah ranum yang
sudah dibuang kulit itu dicapai lalu dikunyah. Manis sungguh
rasa buah tembikai itu.
Tengku Maria mengalih pandangan pada wajah anak
bujang yang sedang enak menikmati buah tembikai. Sudah
lama anak kesayangannya itu tidak pulang ke rumah. Sesekali
Tengku Iskandar balik ke rumah, dia teringin hendak masak
yang sedap-sedap. Terutama daging masak rendang hitam
yang dicampurkan dengan kismis. Memang makanan itu
merupakan kegemaran Tengku Iskandar.
“Sesekali mummy nak masak yang sedap-sedap
untuk anak-anak mummy, apa salahnya kan.” Balas Tengku
Maria.
Selain masak makanan kegemaran Tengku Iskandar,
Tengku Maria tidak lupa makanan kesukaan Tengku Haziq.
Anak seorang itu tidak cerewet seperti Tengku Iskandar.
Tengku Haziq makan saja apa yang dia masak. Namun sesekali
anak-anaknya balik, dia mahu masak makanan kegemaran
masing-masing. Untuk Tengku Haziq telah dikhaskan ayam
masak kicap.
“Lama lagi ke nak makan ni mummy? Perut Is dah
lapar ni.”
“Sabarlah. Kejap lagi Auntie Ku’ Za dengan Uncle
Megat sampai, bolehlah kita makan sama-sama.”
Jika bukan disebabkan desakan Tengku Maria, jangan
harap Tengku Iskandar akan balik makan malam bersama
keluarga itu. Dia berusaha mahu menjarakkan diri dengan
keluarga Megat Sufian tetapi mummynya pula bersemangat
mendekatkan hubungannya dengan keluarga itu. Kalaulah
mummynya tahu apa yang telah dikatakan Puteri Waiduri
kepadanya tiga tahun yang lalu, tentu mummy tak akan
berusaha menyatukan mereka berdua. Cuma dia tidak mahu
memberitahu mummy kerana dia tahu betapa sayangnya
mummy kepada Puteri Waiduri.
“Haziq mana?” tanya Tengku Maria. Tadi Tengku
Iskandar rancak berbual dengan Tengku Haziq di ruang tamu.
“Ada kat depan tu. Tengah sembang dengan daddy.”
“Habis tu Is kenapa tak join sembang sekali?”
“Malaslah. Asyik cakap pasal kerja dua puluh empat
jam. Malam minggu macam ni, sepatutnya daddy tak perlulah
tanya pasal kerja lagi. Kerja, kerja, kerja!”
Menggeleng Tengku Maria mendengar rungutan
anaknya itu. Kalau pasal kerja memang Tengku Iskandar
selalu melarikan diri. Tapi kalau pasal perempuan, anak
seorang itulah yang laju ke hadapan. Berbeza sungguh
sikapnya dengan Tengku Haziq.
“Tetamu dah sampai!” beritahu Tengku Yusuf dari
ruang tamu.
Tengku Maria tersenyum mendengar laungan
suaminya. Pantas dia mengarahkan Noni membawa puding
yang berada di dalam peti sejuk ke ruang makan. Sambil
mengemas tudung Fareeda yang dipakainya, dia melangkah
masuk ke ruang tamu. Bibir tak lepas dengan senyuman
manis.
“Kak Ma! Rindunya Ku’ Za kat Kak Ma. Dah lama tak
jumpa.” Sapa Ku’ Za sambil memeluk Tengku Maria. Mereka
berlaga pipi melepaskan rasa rindu.
“Akak pun rindukan Ku’ Za. Dah lama sangat tak
jumpa.” Balas Tengku Maria. Tangannya masih bertaut erat
dengan Ku’ Za yang kelihatan bergaya dengan dress hitam
labuhnya. Ku’ Za memang gemar bergaya. Sejak zaman
mereka muda remaja hinggalah sudah menjangkau usia awal
lima puluhan ini, penampilan Ku’ Za tetap nampak anggun
bergaya.
“Haah la Kak Ma… dah dekat dua bulan kan kita tak
jumpa.” Ujar Ku’ Za lagi.
Tengku Iskandar yang mendengar bicara Ku’ Za
mencebik.
‘Baru dua bulan tak jumpa sudah dikatakan lama.
Ingatkan dah dua tahun!’ hatinya mencemuh. Tengku
Iskandar memang tahu benar sikap Ku’ Za yang suka
bermuka-muka itu.
“Tu la. Ku’ Za tu yang dah jarang datang rumah Kak
Ma. Sibuk sangat travel sana sini.”
Ku’ Za ketawa manja.
“Alaaa… Kak Ma. Ku’ Za bukan pergi mana
pun. Melawat Wai aje kat Paris tu. Rindu sangat kat dia.
Sambil-sambil tu Ku’ Za pergilah jalan-jalan dengan Wai.”
“Wai bila balik Malaysia?” Tengku Maria juga
sudah lama tidak berjumpa Puteri Waiduri. Anak saudara
kesayangannya itu sudah hampir dua tahun menyambung
pengajian di oversea.
“Tak lama lagi Kak Ma. Tinggal enam bulan aje lagi
dia nak habiskan pengajian dia kat sana. Balik sini nanti, dia
kata nak buka butik. Budak tu memang gila sangat dengan
fesyen.”
Tersenyum Tengku Maria mendengarnya. Lagi
enam bulan dia menunggu masa kepulangan Puteri Waiduri.
Balik saja anak gadis itu ke sini nanti, dia bercadang hendak
menyatukan Tengku Iskandar dengan Puteri Waiduri. Dah
tak nak tunggu lama-lama. Semakin lama menunggu,
semakin naik kepala pula Tengku Iskandar nanti. Anaknya itu
perlu diikat agar perangainya berubah. Dan dia yakin, Puteri
Waiduri mampu mengubah perangai Tengku Iskandar.
Ku’ Za beralih kepada anak muda yang berdiri di sisi
Tengku Maria. Kacak orangnya. Dia yakin itu ialah Tengku
Iskandar yang sudah tiga tahun tidak ditemuinya. Jika
Tengku Haziq, memang kerap mereka bertemu.
Tengku Iskandar lama di luar negara menyebabkan
dia sudah lama tidak nampak kelibat anak muda itu. Balik ke
Malaysia pun dia tak pernah bertemu Tengku Iskandar. Anak
lelaki Tengku Maria itu sibuk memanjang sampaikan tiada
kesempatan mereka bersua.
“Tengku Iskandar... dah besar panjang anak saudara
Auntie Ku’ Za ni. Makin hensem pula tu.” Ku’ Za memuji.
Tengku Iskandar diperlakukan seperti kanak-kanak apabila
pipi lelaki itu dicubit manja.
Tengku Iskandar hanya merelakan walaupun
perbuatan Ku’ Za itu merimaskannya.
“Dah la tu Ku’ Za. Jom kita ke ruang makan. Nanti
lepas makan, kita sembang panjang. Lauk tengah panas lagi
tu.” Tengku Maria mempelawa tetamu mereka ke ruang
makan.
“Bagus juga tu. Ku’ Za pun dah lapar ni.” Balas Ku’
Za senang.
LAWAK JEPP Sepah dalam rancangan Liga Spontan
memecahkan tawa Aisyah. Kelakar sungguh Jepp membuat
lawak. Tak perlu bersuara, hanya dengan mimik mukanya
pun Aisyah sudah mampu ketawa. Sudah lama Aisyah tidak
ketawa begini. Dulu dengan Ros, dia selalu juga bergelak tawa
dengan lawak sahabat baiknya itu.
Mengenangkan sahabat baik yang ditinggalkan
tanpa pesanan itu membuatkan Aisyah mengeluh kecil.
Dia tak patut pergi begitu saja. Namun disebabkan keadaan
ketika itu kelam-kabut, Aisyah pergi tanpa pamitan. Entah
apalah tanggapan Ros kepadanya. Ingin sekali dia bertemu
sahabatnya itu untuk menceritakan segalanya tentang
kejadian malam itu.
“Maafkan aku Ros.” Ucapnya sendirian.
Bunyi dentuman perlahan membuatkan pandangan
Aisyah tertala ke muka pintu. Kelihatan kelibat Tengku
Iskandar memasuki ruang tamu. Seperti biasa, lelaki itu terus
melabuhkan punggungnya di atas sofa panjang. Kakinya
diangkat ke atas meja.
Aisyah kerling jam dinding. Pukul sembilan lima
belas minit malam.
“Awal pula ‘Tengku Harimau ni balik. Selalunya
takdelah seawal ini dia balik kalau dah keluar. Tambah-tambah
malam minggu macam ni.” Aisyah berkata perlahan.
Malas memikirkan punca lelaki itu balik awal, Aisyah
bangkit dari duduknya. Menghampiri Tengku Iskandar yang
sedang memejamkan mata. Seperti biasa, rutinnya pasti akan
membuka stoking lelaki itu. ‘Tengku Harimau’ itu memang
pemalas. Stoking sendiri pun tak boleh buka sendiri. Aisyah
juga jadi kadam Tengku Iskandar.
Merasa pergerakan pada hujung kakinya, Tengku
Iskandar membuka mata. Kelihatan Aisyah membuka stoking
yang dia pakai penuh berhati-hati. Mungkin gadis itu takut
dia tersedar. Perlakuan Aisyah menarik matanya untuk terus
memerhati.
Ingatan Tengku Iskandar singgah pada kejadian
seminggu lalu. Kehangatan tubuh itu membangkitkan
keinginannya yang satu. Pantas dia menarik Aisyah dekat
kepadanya. Bibirnya mendaratkan ciuman di pipi mulus itu.
Tindakan spontan Tengku Iskandar menyentak hati
Aisyah. Jantungnya berdegup laju. Hatinya mula gelisah.
Wajahnya dipalingkan ketika bibir Tengku Iskandar mahu
mencari bibirnya.
“Tolonglah Tengku, jangan buat saya macam ni.
Saya merayu pada Tengku. Tolonglah…” Aisyah merayu.
Ketakutan membuatkan air matanya sudah mahu merembes
keluar.
“Aku buat apa? Aku cuma nak hak aku. Tak salah
kan?” balas Tengku Iskandar bersahaja.
Wajah Aisyah kembali menjadi sasaran bibirnya.
Keinginannya membuak-buak. Bagaikan ada sesuatu
membuatkan dia ketagih mahukan Aisyah. Sedangkan malam
itu dia mabuk tetapi kehangatan bersama Aisyah segar dalam
ingatan.
“Saya tahu Tengku berhak ke atas saya… tapi
tolonglah jangan buat saya begini. Saya rasa jijik.”
Perkataan ‘jijik’ yang keluar dari mulut Aisyah
mematikan tingkah Tengku Iskandar. Dia mendengus. Pipi
Aisyah dicengkam dan wajah itu dipaksa agar memandang
wajahnya. Tajam matanya merenung Aisyah.
“Apa yang kau jijik? Kau jijik dengan aku? Hei… kau
dengar sini ya. Aku ni boleh dapat lebih ramai perempuan
kalau aku mahu. Tapi… memandangkan kau ni isteri aku,
tak salah kalau aku nak kau, kan. Sedar sikit, kau kena ikut
cakap aku. Apa yang aku mahu, kau kena bagi! Atau kau nak
tanggung dosa tak layan kehendak suami? Macam tu?”
Pandai pula Tengku Iskandar menyebut perkataan
dosa. Sedangkan perbuatannya selama ini yang gemar
berpeluk-pelukan, tidur dengan perempuan bukan
mahramnya itu tidak pula dia sedar perbuatan itu satu dosa.
Boleh pula dia menghalalkan yang haram. Tapi apabila
Aisyah enggan mengikut kehendaknya, laju dia mengugut
memandangkan kedudukan gadis itu sebagai seorang isteri
yang kena patuh kepada arahan suami.
“Boleh tak jangan cengeng sangat?” Tengku Iskandar
membentak tatkala melihat air mata yang mengalir di pipi
Aisyah. Keinginannya membuak-buak tetapi gadis itu pula
hendak membantutkan kehendaknya. Betul-betul spoil!
“Kau dengar sini! Takde sesiapa yang boleh menolak
kemahuan aku terutamanya kau! Kalau aku kata aku nak, itu
maknanya aku nak! Tangisan kau ni tak akan melembutkan
hati aku!” Pipi Aisyah dilepaskan dengan kasar. “Dah! Kesat
air mata kau. Aku naik atas dan tunggu kau dalam bilik.” Dia
memberi kata putus sambil bangkit dari duduknya. Hendak
bermesra pun bukan di sini tempatnya.
“Oh ya... sebelum kau naik tu, off dulu televisyen.
Jangan ingat aku bayar bil elektrik guna daun.” Pesan Tengku
Iskandar yang sudah menapak ke anak tangga pertama.
Wajah Aisyah yang masih berendam dengan air mata di atas
sofa dipandang.
“Aku tunggu kau dalam bilik. Kalau kau tak naik,
nahas kau aku kerjakan!” sempat dia mengugut sebelum
kelibatnya hilang ke atas.
Aisyah tahu dia sudah tiada pilihan lagi. Lelaki itu
sudah mengeluarkan arahan dan dia harus patuh dengan
arahan yang diberikan. Jika dia menolak keinginan lelaki
itu, dia takut lelaki itu akan mengamuk pula. Lantas dengan
berat hati, Aisyah melangkah naik ke atas. Berdebar hatinya
menanti apa yang bakal terjadi.

No comments:

Post a Comment