DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 4

SATU hentakan kuat kedengaran. Tumbukan di
meja perbincangan itu membuat kesemua yang hadir kecut
perut melihat wajah serius Ketua Pegawai Eksekutif atau
lebih dikenali dengan panggilan CEO di hadapan mereka,
lantas semua tunduk menekur meja. Tidak berani melawan
pandang dengan sepasang mata hazel yang lebih tajam
daripada pedang samurai panglima askar lama Jepun.
“Macam mana tanah tu boleh jatuh ke tangan orang
lain?” Nada suara itu tidak tinggi. Tapi cukup tegang dan
keras sehingga menggetarkan jantung tiga lelaki yang masih
tunduk di hadapannya. “Kita dah bincang hal ni. Tanah tu
penting untuk projek kita! That land is a prime piece of
land!!! Awak semua kan tahu betapa lamanya kita terpaksa
tunggu untuk tuan tanah tu setuju nak jual tanah tu? Macam
mana awak semua berurusan dengan tuan tanah sehingga dia
tak jadi jual pada kita?”
Sekali lagi meja ditumbuk. Terangkat bahu
ketiga-tiga lelaki tadi.
“Err… err… tuan tanah tu kena pujuk untuk jual
pada orang lain, bos. Dia termakan pujukan tauke yang datang
dengan deposit RM300,000 cash, walaupun agreement tak
sign lagi.” Saleh Ali memberanikan diri bersuara. Sebagai
orang yang dilantik menjadi ketua projek, dia merasakan
dirinya bertanggungjawab untuk menjelaskan segalanya
kepada Ameer Aazad.
“Tuan tanah tu tergoda tengok cash sekali banyak
macam tu. Dia pun setuju nak jual pada tauke tu, walaupun
kita yang dulu tawar nak beli tanah tu daripada dia. Kita
semua dah ready bos, tapi legal department yang masih
belum siapkan perjanjian yang kita dah lama minta sebelum
ni. Finance department pun dah standby dengan deposit
yang kita minta. Legal yang lembap!” Saleh Ali terpaksa
menyalahkan jabatan undang-undang untuk membela
mereka bertiga yang tidak bersalah.
Ameer Aazad mengeluh kesal.
“Tulah masalahnya kalau satu department tak
boleh nak support department yang lain. Because of the
inefficiencies of one department, syarikat kita pulak yang
menanggung rugi! Benda macam ni tak seharusnya terjadi!!!”
Ameer Aazad mencapai gagang telefon. Ucapan ‘helo’
daripada setiausahanya tidak diendahkan.
“Call Head of Legal to the meeting room now!” tegas
Ameer Aazad memberi arahan. Belum sempat setiausahanya
membalas, gagang telefon sudah dihempas ke tempatnya.
Terkejut lagi Saleh Ali bersama rakan-rakan sekerjanya.
CEO baharu mereka ini sungguh tegas dan sentiasa
serius. Tidak pernah sekali pun tersenyum. Namun sejak
dua bulan bekerja dengan seorang yang bernama Ameer
Aazad, mereka tahu bahawa CEO mereka ini cukup beretika
orangnya. Seorang yang amat bertanggungjawab dan sangat
menitikberatkan kecekapan dalam kerja dan juga sifat
team-work.
Walaupun baru berusia dua puluh sembilan tahun
dan lebih muda daripada kebanyakan pekerja dalam syarikat
Warisan Investment Sdn. Bhd. ini, Ameer Aazad bukan
calang-calang CEO, jawatan yang dipegang sejak syarikat ini
diambil alih sepenuhnya oleh pemegang saham baru, Dwi
Holdings Berhad.
Tidak lama kemudian pintu bilik mesyuarat diketuk.
Wajah cemas Puan Angeline Tan muncul di muka pintu.
“Encik Aazad nak jumpa saya?” Sedikit terketar
suara Puan Angeline Tan menegur Ameer Aazad.
“Duduk, Mrs. Tan. We have an urgent matter to
discuss!”
SUDAH DUA jam Ameer Aazad memandu. Keluar dari
pejabat tadi pun sudah pukul lapan malam. Dari pejabat, dia
terus memandu untuk pulang ke kampung. Syukur dia sudah
siap berkemas segala pakaian yang hendak dibawa sejak pagi
tadi. Tidak perlu pulang ke rumahnya sebelum memulakan
perjalanan.
Tangan kiri di stereng, tangan kanan memicit
belakang leher yang tegang. Penat betul dia hari ni. Sejak
Tan Sri Khir Razak melantik dia sebagai CEO di Warisan
Investment Sdn. Bhd. dua bulan yang lalu, inilah kali pertama
dia dapat pulang ke kampung.
Bukan senang hendak mengambil alih syarikat yang
sedia ada. Lagi-lagi pula syarikat yang sudah berusia lebih
dua puluh tahun. Sukar untuk menyuntik semangat baharu
dan cara kerja yang lebih efektif kepada tenaga pekerja yang
sudah biasa dengan cara kerja yang lama. Mereka sudah biasa
dengan cara pihak pengurusan lama bekerja, yang bagi Ameer
Aazad sudah tidak berkesan lagi di dunia siber baharu ini.
Cabaran yang paling utama untuknya adalah untuk
menukar cara pemikiran semua pekerjanya untuk mengikut
cara kerja dan pemikiran yang diterapkan syarikat pemegang
saham, Dwi Holdings Berhad. Sesungguhnya dia sudah
berjanji untuk tidak menghampakan harapan bapa angkatnya,
Tan Sri Khir Razak, merangkap Pengerusi syarikat Dwi
Holdings Berhad dan juga Warisan Investment Sdn. Bhd. Tan
Sri Khir Razak juga merupakan pemegang saham terbesar
Dwi Holdings Berhad.
Ameer Aazad meneruskan pemanduan walaupun
perut terasa lapar. Namun dia terus memandu. Tidak mahu
singgah di mana-mana R&R untuk mengisi perut. Dia pasti
ibunya telah memasak untuknya, seperti selalu. Walaupun
selewat mana dia tiba di kampung atau sepenat mana pun
dia, dia pasti tidak akan mengecewakan ibunya. Akan dijamah
apa-apa pun yang dihidangkan, sebagai membalas kesudian si
ibu memasak untuknya.
Esok pagi, mereka akan menghadiri kenduri kahwin
Munirah, adik kepada Maimunah atau nama singkatannya
Munah yang suatu ketika dulu membawa pulang skandal
terhebat pada abad ini ke kampungnya. Munirah dan
Maimunah merupakan anak saudara kepada arwah Haji
Zainal Abidin.
Walaupun dari segi kekeluargaan mereka langsung
tiada hubungan darah dengan keluarganya, namun sudah
menjadi tradisi keluarga besar mereka untuk bersatu,
tidak kira dua pupu atau tiga pupu, mahupun hubungan
jauh sekadar bau-bau bacang sahaja, mereka tetap akan
berkumpul bagi meraikan apa-apa pun jenis keramaian.
Mengikut pendirian ibu Ameer Aazad, anak saudara Hajah
Amirah, walaupun dari sebelah arwah suaminya, merupakan
anak saudaranya juga. Jadi dia wajib menghadirkan diri ke
majlis perkahwinan Munirah. Begitu rapat hubungan antara
ibunya dengan Hajah Amirah!
Kereta yang dipecut laju membuatkan perjalanan
pulang ke kampung mengambil masa kurang tiga jam sahaja.
Puan Shima sudah sedia menunggu kepulangan anak lelaki
tunggalnya. Puas hatinya dapat memaksa Ameer Aazad untuk
pulang menghadiri majlis perkahwinan Munirah. Walaupun
diberikan pelbagai alasan, Ameer Aazad akhirnya pulang jua.
Akur dengan kehendak ibunya. Dengan siapa lagi ibunya
hendak bergantung harap? Hanya dia seorang sahaja.
“Mama… tak tidur lagi?” tegur Ameer Aazad seraya
menyalami dan mencium tangan ibunya.
“Belum. Tunggu Aazadlah. Meh masuk, meh.
Makan,” ajak Puan Shima. Dia tahu anaknya pasti belum
makan malam kalau masih dalam pakaian pejabat begini.
Ameer Aazad menarik kemeja keluar dari seluar
sleknya dan membuka dua butang kemeja yang teratas.
Rimas!
Walaupun badan terasa amat letih dan dia mahu
terus baring di dalam bilik sahaja, dia menggagahkan diri
untuk menghabiskan sepinggan nasi. Tidak banyak yang
dibualkan bersama ibunya. Ibunya itu sudah biasa dengan
kelakuan anak terunanya. Perubahan ketara yang melanda
anaknya sejak pulih daripada kemalangan suatu ketika dulu
dan hingga kini dia tidak tahu apakah puncanya. Mengapa
anaknya berubah menjadi terlalu serius dan pendiam begini?
Tiada siapa pun tahu. Anaknya terlampau berahsia.
“Zad, Min dah balik.”
Suapan nasi ke mulut terhenti mendengar kata-kata
ibunya.
“Hmmm…” balas Ameer Aazad ringkas. Dia kembali
menyuap nasi ke dalam mulut. Tiba-tiba nasi itu dirasakan
keras seperti pasir. Dia mencapai gelas air sirap bandung di
sebelah pinggannya dan lantas meneguk dengan rakus. Dia
bangun lalu mengangkat pinggan ke dapur.
“Eh, tak tambah nasi ke Zad?” terpinga-pinga Puan
Shima dibuatnya. Bukan ke tadi dia makan dengan cukup
berselera sekali? Kenapa tiba-tiba saja anaknya berhenti
makan?
“Dah kenyang, ma,” balas Ameer Aazad dari dapur.
Selepas pinggannya dibasuh, Ameer Aazad kembali ke meja
makan. “Ma... Aazad masuk bilik dulu, ya? Nak mandi, lepas
tu tidur. Penat sangat! Esok ma nak pergi kenduri tu pukul
berapa?”
“Emmm… kita pergi awal sikitlah, dalam pukul
sepuluh. Tolong apa-apa yang patut. Takkan nak pergi makan
je? Tak manis pulak kalau saudara kita tengok nanti,” jelas
Puan Shima.
Ameer Aazad mengangguk. Dia mencapai beg
pakaian dari atas sofa di ruang tamu.
“Aazad masuk dulu, ma…” ulang Ameer Aazad
kepada ibunya.
“Ha, yalah. Pergilah rehat.” Puan Shima menghantar
langkah Ameer Aazad dengan ekor mata. ‘Kenapalah anak aku
ni boleh jadi dingin sampai macam ni sekali? Sampai bila dia
nak jadi macam ni?’ Puan Shima mengeluh sebelum bangun
untuk mengemas meja makan.
Di dalam bilik tidurnya, Ameer Aazad
menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Tangan kanan
disilangkan ke atas dahi. Matanya dipejamkan.
‘Min dah balik…’ kata-kata ibunya tadi kembali
menerjah ke dalam minda. Terus sahaja e-mel yang dihantar
oleh gadis itu diingat kembali. Bagaimana hendak berhadapan
dengan Aina Yasmin nanti? Tentu sahaja gadis itu akan
ditemuinya esok. Dia malu dengan gadis itu! Malu dengan
kata-kata yang pernah dilemparkannya dulu.
Pasti gadis itu ingin berjumpa dengannya untuk
mengetahui syarat yang akan dikenakan bagi ‘membeli’
persetujuan daripadanya. Apa pun, dia rasakan apa yang akan
dilakukannya ini betul. Dia perlu menebus kembali segala
kesalahannya terhadap Aina Yasmin. Kesalahan dari segi tutur
kata, sehinggalah kepada kesalahan dari segi tingkah lakunya.
Dia tidak pernah berlaku adil terhadap Aina Yasmin. Sebagai
seorang tunang, dia tidak pernah mempedulikan kehadiran
gadis itu, langsung tidak pernah ingin mengambil tahu dan
langsung tidak pernah cuba menghubungi Aina Yasmin.
Tunang apalah dia ni? Terlampau ego dan sombong!
Terlalu mementingkan paras rupa dan kecantikan luaran
sehingga dia sanggup melafazkan kata-kata hinaan yang
pasti telah melukakan hati tunangnya sendiri. Bukan orang
lain, tetapi anak kepada arwah Haji Zainal Abidin yang begitu
disanjung dan disayangi. Kejamnya dia!
Namun setelah kesedaran menjelma, dia begitu
takut dan begitu malu untuk memulakan langkah untuk
menghubungi tunangnya itu. Pada ketika itu juga, dia tidak
tahu bagaimana hendak memulakannya. Walaupun dia
amat rapat dengan kedua-dua abang Aina Yasmin, dia tidak
pernah mahu merapati gadis itu, yang baginya terlalu tomboi
dan lasak. Gadis itu tidak pernah ditegurnya, walaupun
dia selalu melepak di rumah arwah Haji Zainal Abidin. Dia
juga buat-buat tidak tahu pabila menyedari gadis itu selalu
curi-curi memandangnya. Dia tidak mahu melayan kerenah
budak sekolah seperti Aina Yasmin, sehinggalah dia diminta
bertunang dengan gadis itu.
Ah, seperti baru semalam arwah Haji Zainal Abidin
memanggilnya datang ke rumah. Permintaan arwah Haji
Zainal Abidin untuk dia menjadi suami kepada Aina Yasmin
begitu berat untuk diterima.
“Bukan nak kahwin sekarang, Zad. Zad dengan Min
bertunang dulu, lepas Min dah habis belajar nanti, baru
kahwin…” kata-kata arwah Haji Zainal Abidin suatu ketika
dahulu masih terngiang-ngiang di telinga.
Atas dasar sayang dan hormat yang cukup tinggi
kepada arwah Haji Zainal Abidin, Ameer Aazad terpaksa
bersetuju. Lelaki inilah yang telah mencurahkan kasih
sayang seorang bapa sejak kematian arwah bapanya ketika
dia berumur enam belas tahun. Dia tidak tergamak menolak
permintaan arwah Haji Zainal Abidin pada ketika itu,
namun dalam diam, dia telah berniat untuk memutuskan
pertunangan sebaik sahaja Aina Yasmin pulang ke tanah air.
Dia tidak ingin beristerikan gadis tomboi itu. Itu tekadnya.
Kini segalanya telah berubah. Dia bagai terikat
dengan janjinya kepada arwah Haji Zainal Abidin untuk
menjaga Aina Yasmin suatu ketika dahulu.
“Abah harap Aazad boleh jaga Min dengan baik. Abah
yakin Zad takkan sia-siakan Min tu. Min tu, satu-satunya anak
perempuan abah.”
Panggilan ‘abah’ itulah yang membuatkannya tewas.
Walaupun Hajah Amirah hanyalah sepupu kepada ibunya,
namun arwah Haji Zainal Abidin telah menganggap dirinya
sebagai seorang anak, dan membahasakan dirinya sebagai
‘abah’ kepada Ameer Aazad.
‘Maafkan Aazad, abah. Aazad dah kecewakan abah
dan semua orang…’ keluh Ameer Aazad sendirian. ‘Tapi
Aazad janji akan perbetulkan segala kesilapan Aazad. Aazad
janji!’
Dengan suatu semangat baharu, Ameer Aazad
bangun lalu melangkah ke bilik mandi. Rasa malu untuk
berhadapan dengan Aina Yasmin ditolak ke tepi. Walau
bagaimanapun rupa dan kelakuan Aina Yasmin sekarang
sudah tidak penting lagi baginya. Gadis itu merupakan
amanah arwah Haji Zainal Abidin kepadanya. Maka dia akan
menerima gadis itu seadanya dan dia akan cuba menanam
perasaan yang sewajarnya yang layak bagi seseorang yang
bergelar tunang!

No comments:

Post a Comment