DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 6

Usai menunaikan solat asar, Zenia turun
membantu ibu saudara Fakhry di dapur tatkala ahli keluarga
yang lain berehat dan membersihkan diri di tingkat atas. Begitu
meriah kediaman Mak Usu dengan kehadiran keluarga mereka.
Sebahagian daripada ahli rombongan sudah pun
pulang ke Kuala Lumpur selepas majlis tadi. Hanya keluarga
Fakhry yang datang menyinggah ke sini untuk menjenguk Mak
Usu dan Pak Usu.
“Zenia... Zenia dah bincang dengan Fakhry pasal
cadangan Mak Usu tu?”
Zenia yang sedang menyusun cawan di atas dulang
mengangkat muka. Raut wajah wanita berusia lewat 50-an
itu dipandang tepat. Perlahan bibir mengorak senyuman.
Senyuman yang pasti tidak semanis biasa.
“Err... belum lagi Mak Usu. Saya rasa Fakhry pun tak
berapa kisah sangat pasal tu.”
“Tak kisah? Biar betul dia tak kisah?” Sanggah Mak Usu
dengan nada tidak percaya. Kepala digelengkan beberapa kali.
“Dah dua tahun kamu bernikah, takkanlah dia tak
teringin nak menimang anak? Kita ni kadang-kadang tak
tahu kita sakit, Zenia. Jadi kamu berdua kenalah pergi check,
berubat, ikhtiar apa yang patut. Kalau tidak... sampai ke tualah
tak dapat zuriat.”
Pedih sungguh hati Zenia dengan apa yang diluahkan
oleh ibu saudara Fakhry itu. Apa yang diluahkan seolah-olah
menuduh silap itu datang daripadanya. Padahal tidak seorang
pun tahu yang sepanjang perkahwinan dia bersama Fakhry,
tidak pernah walau sekali mereka tidur sekatil.
Semua orang tidak mengerti, tidak pernah tahu yang
ikatan pernikahan ini tidak mengikat hati mereka bersama.
Masih jauh, dan boleh dikatakan terlalu jauh jaraknya.
“Kamu tak nak anak ke Zenia?”
Zenia tersenyum kelat biarpun hati begitu perit
disakiti.
“Hmm… mestilah nak, Mak Usu. Cuma Allah belum
bagi rezeki lagi. Lagipun sekarang saya dan Fakhry sibuk sikit
dengan kerja.”
“Huh, itu memang alasan orang zaman sekarang.
Kalau ikutkan sibuk, sampai ke tua pun kamu sibuk Zenia.
Kerja memang takkan pernah habis. Orang lain pun sibuk kerja
jugak, tapi elok ada empat lima orang anak. Ke kamu takut
body dah tak cantik lepas beranak?” Bebel Puan Kalsom yang
masih ligat menyenduk bihun goreng ke dalam mangkuk.
“Eh, bukan macam tu Mak Usu…” Balas Zenia dengan
senyuman tawar. Walaupun ditembak dengan pelbagai sindiran,
namun dia tahu hati Mak Usu amat baik dan penyayang.
“Mak Usu ni bukan apa, Mak Usu cuma risau tengok
kamu berdua aje. Kahwin dah lama, tapi tang tu jugak
duduknya. Asyik hidup berdua, tak bertambah langsung.”
Zenia mengangguk dengan riak dimimikkan masih
tenang. Mata hanya memerhati ibu saudara Fakhry menyusun
pinggan di atas meja makan.
“Kamu jangan kecil hati pulak dengan apa Mak Usu
cakap ni, Zenia.”
Pantas Zenia menggeleng dengan senyuman masih di
bibir. “Eh tak adalah Mak Usu, saya okey aje. Lagipun apa Mak
Usu cakap tu memang betul.”
“Hmm… kamu bawak-bawaklah berbincang dengan
Fakhry pasal cadangan Mak Usu tu ya?”
“Tapi saya tak rasa Fakhry setuju untuk ambil anak
angkat, Mak Usu.”
“Kenapa pulak dia tak nak setuju? Benda elok,
bukannya suruh buat benda tak elok.”
Perlahan Zenia melepaskan keluhan. Takkanlah
Mak Usu tidak tahu sikap Fakhry yang tidak pernah sukakan
budak-budak? Dengan anak saudara sendiri pun tidak pernah
dipeluk-peluk, inikan pula anak angkat yang dari keturunan
entah siapa.
Silap-silap melambung budak itu didera Fakhry nanti.
Daripada membiarkan anak kecil yang tidak berdosa menjadi
mangsa, biarlah dia saja hidup bersama Fakhry. Aman tak aman
hidupnya, dia yakin dia masih boleh bertahan seorang diri.
“Fakhry belum bersedia nak jadi ayah lagi, Mak Usu.”
Luahnya perlahan.
“Belum bersedia? Huh, kalau nak tunggu dia bersedia
memang entah tahun bilalah Zenia.” Komen Puan Kalsom
seraya menggelengkan kepala.
“Macam inilah Zenia, nanti biar Mak Usu sendiri
beritahu Fakhry. Lagipun si Melati tu memang dah dekat
benar nak bersalinnya, takut tak sempat kamu berdua nak buat
persiapan untuk anak tu nanti.”
Terkebil-kebil Zenia mendengar apa yang dikatakan
oleh ibu saudara Fakhry itu. Bibir diketap menahan rasa.
Dia memang tidak begitu bersetuju dengan cadangan untuk
mengambil anak Melati sebagai anak angkat mereka. Dalam
keadaan rumah tangga yang goyah dan sikap Fakhry yang
suka mabuk-mabuk, dia tidak fikir suasana itu baik untuk
perkembangan bayi tersebut.
“Mak Usu...”
Tersentak, pandangan Zenia beralih ke muka pintu
dapur. Terpacul tubuh Fakhry yang kini mengenakan t-shirt
dan seluar jeans berwarna biru. Tatkala pandangan mereka
bertembung, pantas Zenia melarikan anak mata ke meja makan.
Pura-pura sibuk mengelap pinggan. Entah kenapa dia berasa
takut kalau-kalau Fakhry ada terdengar perbualan dia bersama
Mak Usu sebentar tadi.
“Hah, Fakhry. Kamu bersiap-siap nak ke mana ni?”
“Saya nak ikut Pak Usu pergi memancing kat sungai
sekejap lagi. Tapi Pak Usu suruh tanyakan mana joran yang dia
simpan kat bangsal belakang tu. Mak Usu ada nampak tak?”
“Laa… memang kat situlah joran Pak Usu kamu tu.
Mak Usu memang tak ada alih-alih pun barang dia. Cuba kamu
tanya si Daus, manalah tahu dia ada guna hari tu.” Balas Puan
Kalsom merujuk kepada anak bongsunya, Daus.
Zenia pura-pura tidak mendengar perbualan yang
sedang berlangsung. Dia memang sudah masak dengan hobi
Fakhry yang gemar memancing. Lelaki itu memang suka
memancing ikan, dan suka juga memancing perempuan! Bibir
terjuih kecil dengan kutukan hati sendiri.
“Fakhry, sebelum kamu keluar ni Mak Usu nak cakap
sikit.”
Dada Zenia mula berdebar-debar dengan ayat pembuka
Mak Usu. Sempat juga mata mengerling ke wajah Fakhry yang
berkerut kehairanan.
“Hmm… ada apa Mak Usu? Macam serius aje bunyinya.”
Soal Fakhry seraya melabuhkan duduk di kerusi di meja makan.
Sempat tangan mencapai sepotong betik sebelum dimasukkan
ke dalam mulut.
“Ini, kamu pun tahu yang Melati anak Pak Long tu nak
bersalin hujung bulan ni, kan?”
“Ada jugaklah saya terdengar mama bercerita pasal
Melati tu. Kenapa Mak Usu?”
“Anak Melati tu makin ramai Fakhry, nak masuk lapan
orang dah pun. Suami dia si Kamal pulak bukannya kerja
senang, setakat kerja kampung berapa sangatlah gajinya.”
Luah Puan Kalsom tenang. Wajah Fakhry yang masih kelihatan
bersahaja ditatap tepat.
“Kamu tak nak ke tolong dia Fakhry?”
“Tolong apa Mak Usu? Saya pun kerja makan gaji
jugak…”
“Bukan tu maksud Mak Usu…”
“Hmm… habis tu?”
“Kamu tak nak ambik anak Melati jadi anak angkat
kamu?”
Dada Fakhry tersentak. Pandangan tertancap tepat
kepada ibu saudaranya yang kini sibuk menyusun sudu dan
garpu di atas meja. Hati dihembus angin panas. Kurang senang
apabila soal zuriat singgah ke telinga.
Bayi, kanak-kanak, semua itu bukan kategori manusia
yang dia mahu dalam hidupnya. Pada pandangan Fakhry,
anak-anak kecil itu terlalu menyusahkan. Dia tidak mahu tinggal
di rumah yang bising, atau juga rumah yang tunggang-langgang
dengan barang-barang permainan. Dia tidak suka!
“Kamu pun dah pernah tengok anak-anak Melati, kan?
Semua cantik dan comel-comel belaka. Apa salahnya kamu
tolong jaga baby dia yang baru lahir ni, tak adalah sunyi rumah
kamu dekat KL tu nanti.”
Suara Mak Usu sekali lagi melantun ke telinga Fakhry.
Perlahan dia melepaskan keluhan. Masih berasa rimas.
“Saya tak naklah Mak Usu. Suruh ajelah Melati
bagi orang lain.” Ujarnya dengan nada serius. Jelas mahu
menunjukkan reaksi menolak dan tidak bersetuju.
“Bagi orang lain buat apa? Kamu tu lebih elok jaga
anak sepupu kamu sendiri.” Balas Puan Kalsom meyakinkan.
“Mak Usu bukan nak menyibuk hal kau orang berdua,
tapi risau jugaklah bila tengok Zenia tak mengandung-ngandung
lagi. Kamu berdua ni dah dua tahun kahwin, tak risau ke kalau
tak ada anak?”
Zenia menelan liur apabila kata-kata ibu saudara
Fakhry kembali menyengat hati. Walaupun terluka, dia masih
mampu bereaksi bersahaja dan terus mengelap pinggan. Kali
ini biarlah Fakhry pula yang menadah telinga, bahagiannya
sudah pun selesai.
“Mak Usu ni pun, kalau belum ada rezeki lagi nak buat
macam mana? Tak payahlah nak bincangkan sangat pasal ni.”
Luah Fakhry dengan wajah masih kelat.
“Iye, memang bergantung pada rezeki Allah tapi
sekurang-kurangnya ikhtiarlah jugak. Ada kamu pergi jumpa
doktor minta pendapat dan nasihat? Kalau dah dua tahun
berkahwin belum ada zuriat, mestilah ada terkurang kat
mana-mana. Tak salah kalau kamu berusaha cari penawarnya
Fakhry.”
Dalam sembunyi, Zenia menahan senyum. Kalau
mengadu dengan doktor masalah mereka berdua sekalipun,
dia yakin doktor itu akan tergelak terbahak-bahak. Memanglah
sudah dua tahun mereka berkahwin, tapi tidak pernah walau
sekali mereka bermesra seperti pasangan suami isteri yang lain.
Menjeling tubuhnya pun Fakhry tidak ada selera, lagi
mahu mengharap mereka bermesra dan bermanja? Memang
taklah!
“Ini bukan soal tak subur ke apa, Mak Usu. Cuma saya
dan Zenia tak ready lagi nak ada anak buat masa ni. Tunggulah
kami stabil dulu, nanti beranaklah si Zenia tu.”
Terkejut sungguh Zenia mendengar balasan Fakhry.
Mata menjeling geram apabila ayat itu kedengaran jelas seperti
menyindir. Agaknya Fakhry fikir dia pun dah kemaruk benar
nak beranak.
“Hmm... kau orang ni bukannya muda lagi, nanti kamu
dah tua anak-anak belum habis sekolah. Nak ke macam tu?”
Melihat mulut Mak Usu masih tidak henti-henti
menyoal, perlahan Zenia bangkit berdiri. Dia sudah selesai
mengelap pinggan, dan sekarang dia mahu melarikan diri ke
ruang depan. Tak sanggup dia mahu berlama-lama di sini.
Terseksa!
“Sayang, you nak pergi mana tu?”
Langkah Zenia terhenti. Dia menoleh kepada Fakhry
dengan senyuman dibuat-buat. Lelaki ini memang sengaja
mahu mengheret dia untuk terus menghadap bebelan Mak Usu!
“Err… I nak panggil semua orang makan, dinner is
ready.”
“Buatkan I air.”
Mata Zenia mengecil sedikit. Sakit hati melihat reaksi
bersahaja Fakhry yang masih membelek telefon bimbit di meja
makan. Air satu jag depan muka, minum ajelah air tu. Banyak
cengkadak!
“I nak milo panas.”
Ah, sakitnya hati dia! Zenia tahu Fakhry sengaja
mahu menarik semula langkah dia ke dapur. Lelaki itu tidak
mungkin sanggup menghadap bebelan Mak Usu seorang diri.
Kalau disindir, biar dua-dua sekali yang kena. Tapi ketika
mama bersoal jawab dengan dia pagi tadi, pandai pula Fakhry
melarikan diri. Nak adil konon!
“Hah, buatkanlah suami kamu air. Biar Mak Usu ke
depan panggil diaorang makan.”
Terdengarkan arahan Mak Usu itu, Zenia mengangguk
dengan senyuman kelat. Apabila wanita itu beredar ke ruang
depan, dia segera membancuh minuman yang dipesan oleh
Fakhry. Secawan milo panas diletakkan di atas meja, betul-betul
di hadapan Fakhry. Lelaki itu mendongak, menghantar
pandangan tajam dengan wajah mencuka.
“Puas hati you?”
“What do you mean?” Soal Zenia pura-pura tidak
mengerti.
“Kenapa you mengadu dengan mama pasal I tak bawak
you pergi klinik masa you kena air panas hari tu?”
Perlahan Zenia menghela nafas apabila terkenangkan
perbualannya dengan mama tengah hari tadi. Memang mama
ada bertanya tentang parut di lengannya, dan dia sekadar
berterus terang. Bukan dia sengaja mahu mengenakan Fakhry
atau mencari fasal. Lagipun ketika kejadian itu memang Fakhry
tidak ada di rumah, keluar merambu entah ke mana.
“Kenapa diam? You suka dengar mama bebelkan I,
kan?” Marah Fakhry lagi.
“Habis tu memang I pergi klinik sendiri, you nak I
cakap apa? Nak I menipu mama pulak?”
Fakhry mengetap bibir menahan geram. “You memang
tak reti nak coverline langsung kan, Zenia? Lembab!”
“You pun tak pesan suruh I coverline.” Jawab Zenia
selamba.
Fakhry menaikkan sebelah keningnya dengan perasaan
berbuku. Semakin sakit hati dengan sikap Zenia yang suka
menjawab. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia memekik dan
mengherdik. Namun dia tidak mahu mama berlari ke dapur
apabila terdengar menantu kesayangannya ini dimarah atau
dijerkah. Meluat sungguh!
“You memang sengaja nak suruh mama marah I, kan?
Sekarang dah puas hati you?”
Zenia menjuihkan bibir seraya merungut.
“Hal kecil ajelah, yang you nak marah sangat ni
kenapa?”
“Hal kecil kata you? Bernanah telinga I ni dengar mama
membebel tadi! I ni bukan budak-budak, I tak suka dengar
orang berleter macam tu. Sebagai isteri, you sepatutnya jaga
aib suami you. Janganlah sampai mama nampak I ni macam
suami tak guna!”
Terdengarkan kata-kata Fakhry, Zenia menjulingkan
matanya ke atas. Oh, tahu pula tak nak dilabel sebagai suami
tak guna. Tapi cakap-cakap itu semua hanya di mulut, bukannya
Fakhry terfikir mahu berubah pun!
“Hal-hal macam ni pun tak boleh handle, isteri jenis
apa you ni?” Gerutu Fakhry geram.
“Habis tu, you ni suami jenis apa pulak ya?”
Tersentak Fakhry dengan soalan dari bibir Zenia. Darah
di dada mula menggelegak. Kebelakangan ini memang lantang
benar Zenia membantah dan menyindir. Berbeza seperti pada
awal-awal perkahwinan mereka dahulu, Zenia lebih banyak
akur dan mendengar kata.
“You jangan nak cari pasal kat sini boleh tak? You ingat
I tak berani nak marah you kat sini?”
“I bukan cari pasal, I cuma tanya. Lagipun you sibuk
sangat dengan peranan I sebagai isteri, tapi peranan you sebagai
suami tak nak pulak you ambil tahu.”
Mata Fakhry membulat, layaknya dia seperti mahu
menelan Zenia hidup-hidup!
“Zenia, sekali lagi you buka mulut, memang I...” Bibir
diketap rapat, bimbang perkataan tidak sepatutnya melantun
keluar. Dan jika kata sudah terlajak, memang teruk dia
dikerjakan oleh mamanya nanti.
“You akan apa Fakhry?”
“Shut up! Jangan melampau, jangan cabar I Zenia.”
“I tak cabar you, I’m just asking.”
“Shut up, just shut up!”
Deringan telefon bimbit mematikan perbualan tegang
dan hangat antara mereka berdua. Fakhry merengus geram
sebelum pandangan jatuh ke skrin telefon bimbitnya. Kemudian
dia menoleh pula ke arah pintu dapur, bimbang kalau-kalau
mama atau Mak Usu masuk ke ruang ini. Melihat keadaan yang
selamat, dia segera menjawab panggilan yang diterima.
“Hai sayang...”
Sapaan lembut itu membuatkan Zenia mencebik tanda
meluat. Mana pernah nada romantis seperti itu ditujukan
kepadanya. Yang lelaki itu tahu buat, hanyalah melayan
dia seperti sampah! Berasa muak dan sakit hati mendengar
ayat-ayat rindu dendam antara Fakhry dan perempuan yang
entah siapa itu, Zenia segera berlalu ke ruang depan.
Jika dia sentiasa menjaga batas-batas pergaulannya
kerana status perkahwinan mereka, mengapa Fakhry tidak
mahu melakukan perkara yang serupa? Ah, lelaki itu memang
kejam!

No comments:

Post a Comment