DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 1



Sekilas Darriz Imdad mengerling jam yang
melekat kemas di pergelangan tangan. Ayunan langkah yang
kemas dihalakan terus ke arah lif yang berada di tengah-tengah
ruang bangunan dua puluh enam tingkat itu.
Dalam pada melangkah ke hadapan, jari-jemari ligat
memeriksa e-mel yang diterima melalui telefon bimbitnya.
Walaupun sudah beberapa minggu dia meletakkan jawatan di
tempat kerja lama, dia masih juga menerima e-mel daripada
client-client yang menuntut perhatian dan balasan daripadanya.
Dia bukan mahu berkira kalau pandangan dan
nasihat yang ditagih mereka, cuma kadangkala hati gagal
menolak perasaan rimas. Apa yang sepatutnya dia lakukan
sekarang adalah dengan melapangkan kepala untuk menyerap
input-input baru di sini, bukan memeningkan kepala dengan
kerja-kerja yang sudah ditinggalkan.
Ketika berdiri betul-betul di hadapan pintu lif, Darriz
Imdad masih leka membelek telefon bimbit. Orang ramai
yang ikut sama berdiri di ruang itu langsung tidak menarik
perhatiannya. Dia tidak berminat mahu melihat sesiapa biarpun
menyedari ada beberapa pasang mata begitu galak mengerling
dan mencuri pandang ke arahnya.
Ting! Pintu lif terbuka luas.
Setapak Darriz Imdad mengundur ke belakang,
memberi laluan kepada kaum wanita untuk masuk terlebih
dahulu. Ketika pandangan berlaga dengan beberapa pasang
mata yang ceria memandangnya, kepala ditundukkan sekali lagi.
Sedikit senyuman diukir sekadar membalas rasa penghargaan
gadis-gadis yang berada di dalam perut lif tersebut.
Tidak menunggu lama, Darriz Imdad segera
melangkah masuk lalu menekan butang menuju ke tingkat 19.
Dia kemudian terus mengambil tempat di bahagian belakang
memandangkan tingkatnya masih jauh di atas. Pandangan
kembali ditumpukan pada skrin telefon bimbit.
Pintu lif yang hampir tertutup rapat kembali terlapang
luas apabila ada tangan yang menghalang dari luar. Seorang
gadis kelihatan tergesa-gesa masuk dengan senyuman kelat
terhala kepada semua yang berada di ruang itu.
“Sorry, thanks.”
Suara lembut yang meminta maaf itu tiba-tiba saja
mencuri tumpuan Darriz Imdad. Dia yang sejak tadi menunduk,
perlahan mengangkat muka. Perhatian sedikit terusik, hati pula
tercari-cari pemilik suara lunak yang didengari sebentar tadi.
Menyedari sesusuk tubuh yang berdiri di tempat paling
hadapan itu, pandangan melekat lama. Seketika dia mengamati
gadis yang berdiri menghadap ke pintu lif itu. Jarak antara
mereka tidaklah terlalu jauh, hanya beberapa kaki sahaja.
Anak mata masih menilik nakal dari hujung rambut
ke hujung kaki. Dengan rambut keperangan yang panjang
mengurai, hati mula berdegup kencang. Melihat gadis itu
menggerak-gerakkan kepala ketika mencari sesuatu di dalam
beg tangannya pun sudah cukup membuatkan Darriz Imdad
kaku terpesona.
Matanya melorot pula pada pakaian korporat yang
tersarung di tubuh gadis itu. Sut lengan panjang berwarna
putih yang dipadankan dengan pencil skirt separas lutut
berwarna hitam begitu menyerlahkan kulit yang cerah itu.
Tampak kemas, bersih dan rapi. Melihat kesempurnaan di
bahagian belakang, jiwa lelakinya mula meronta-ronta mahu
melihat raut pemilik tubuh itu. Dia yakin orangnya pasti cantik
menawan, jelita dan mempesona.
Setelah melewati beberapa aras tingkat yang terdahulu,
ruang di dalam lif mulai lengang. Kini hanya tinggal Darriz
Imdad dan si gadis tadi yang masih berdiri menghadap ke
pintu lif. Sekali lagi Darriz Imdad memandang butang lif yang
menyala merah di angka 19 dan 20.
Dia mahu ke tingkat 19, jadi dia yakin yang gadis itu
bekerja di tingkat 20. Setahunya syarikat Palaco Group Berhad
memang berada di aras 19 sehingga ke aras 21. Dan dia yakin
yang perempuan ini bekerja di bawah syarikat yang sama
dengannya.
Bravo Darriz!
Dan ketika lif berhenti di tingkat 19, langkah diatur
perlahan menuju ke hadapan. Entah dari mana tiba-tiba saja idea
nakal muncul dalam kepala tanpa dipinta. Otak berkompromi,
segera mengarahkan si tubuh untuk bereaksi.
Dengan sengaja dan berniat, Darriz Imdad pura-pura
terlanggar bahu si gadis. Serentak itu juga fail yang dipegang
mangsanya terlepas dari tangan dan jatuh ke lantai. Bertaburan
beberapa helai dokumen dan risalah dari fail tersebut.
“Oh god, I’m so sorry!” Luah Darriz Imdad dengan nada
bersalah. Melihat gadis itu tunduk mengutip dokumen-dokumen
yang bertaburan di lantai, dia segera menghulurkan bantuan.
“No worries, it’s okay.” Lembut suara itu membalas.
Dalam debar, Darriz Imdad mencuri pandang ke arah
wajah misteri yang sejak tadi jenuh cuba dibayangkan. Dan
tatkala pandangan bertembung dengan sepasang mata bundar
yang turut merenung, hati lemah longlai tidak berdaya. Terpaku
dia melihat keindahan yang terhidang di hadapan mata.
Detik ke detik berlalu penuh debar, mahu mengerdipkan
kelopak mata pun dia terasa bagaikan kerugian yang amat besar.
Ternyata telahan akalnya tidak silap, imaginasinya berkata yang
benar!
“Err… excuse me sir, are you alright?”
Darriz Imdad tersentak dengan pertanyaan itu.
Sepasang mata bundar yang masih merenung tepat membuatkan
dia menggelabah tidak kena gaya. Menyedari lantai lif itu sudah
bersih tanpa sebarang kertas, bibir diketap rapat. Malu! Dia
langsung tidak membantu mengutip kertas-kertas tadi kerana
asyik sangat dengan pesona di hadapannya.
“Again, sorry sebab terlanggar you.” Luahnya apabila
mereka sudah sama-sama berdiri. Kekok namun mata masih
berdegil mahu menatap selama mungkin.
“It’s okay sir, perkara kecil. And I’m totally fine.”
“Are you sure? Tak ada dokumen yang hilang?”
“Insya-Allah tak ada.” Balas si gadis dengan senyuman
yang melengkapkan kesempurnaan paras bujur sirih itu.
“Anyway lif ni dah naik sampai ke tingkat 20, you dah
terlepas level you tadi.”
“Oh, really?” Laju pandangan Darriz Imdad berlari ke
kotak kecil di atas pintu lif.
Tanpa sempat menitipkan sebarang pesan, dia hanya
mampu memandang gadis itu keluar di tingkat 20 tersebut.
Bibir terkunci, lidah pula keras membeku. Dan sehingga
pintu lif tertutup rapat, dia masih termangu-mangu bagaikan
dipukau. Dada disentuh perlahan, getaran yang ada masih kekal
pada rentak yang sama. Sedikit pun tidak mahu reda.
Masalahnya bukan dia tidak pernah menghadap
perempuan cantik atau jelita, sudah selalu benar dia ditemukan
dengan perempuan-perempuan begitu. Cuma kali ini perasaan
itu begitu berbeza, getarannya tidak sama langsung. Takkanlah
dia sudah jatuh cinta pandang pertama pula?
Sekali lagi Darriz Imdad mengeluh. Keliru dan tidak
faham dengan gelojak jiwa yang entah apa. Beberapa saat
termenung, dia tersentak dengan kenyataan di hadapan mata.
Dia baru tersedar lif yang dinaiki kini sudah turun semula ke
Ground Floor.
‘Ya Allah… what’s wrong with me?’
“Zen!”
Zenia menoleh ke belakang apabila terdengar suara
Nadzirah melaung kuat. Senyuman segera terukir di bibir
apabila langkah temannya itu kian menghampiri.
“Kau lambat lagi ya hari ni?”
Tersenyum kelat Zenia dengan pertanyaan dari bibir
Nadzirah. Beg tangan dimasukkan ke dalam laci, kemudian
jari meraba-raba pula punat CPU untuk menghidupkan
komputernya.
“Lambatlah, Azie. Kau bukan tak tahu yang aku ni
menumpang orang. Kalau dah menumpang tu, nak tak nak
kenalah ikut jadual orang tu.”
Melihat wajah keruh Zenia, perlahan Nadzirah
melepaskan keluhan tanda berkongsi simpati. Dia kemudian
melabuhkan duduk di birai meja Zenia.
“Memanglah kau menumpang dia, Zen. Tapi dia pun
kenalah fikir jugak yang kau tu bekerja dengan orang, ada bos
semua. Takkanlah kau nak tunjuk perangai buruk pada majikan
kau, kan?”
“Hmm… masalahnya dia tak mahu fikir dan tak pernah
cuba nak fikir pun.” Balas Zenia acuh tidak acuh. Malas mahu
menyambung mood yang terganggu gara-gara lelaki seorang
itu, bibir pantas mengukir senyuman manis.
“Eh, kau dah breakfast ke Azie?”
“Of courselah belum. Maklumlah, aku ni mana reti
nak makan sorang-sorang. Kena ada dayang temankan baru
berselera sikit tekak aku.”
Terlepas gelak kecil di bibir Zenia apabila mendengar
jawapan temannya itu. Sejak dia bekerja di Palaco Group
Berhad dua tahun yang lalu, Nadzirah merupakan teman yang
paling rapat dengannya. Banyak yang telah mereka kongsikan
bersama sepanjang tempoh tersebut. Tidak kira kisah suka atau
duka, Nadzirah sentiasa berdiri teguh di sisinya.
“Tapi nasib baiklah kau tak lambat sangat Zen. Hari ni
bos baru nak turun melawat kawasan, memang naya kalau dia
nampak kau masuk waktu-waktu macam ni.”
Zenia tersenyum lega. Memang ada benarnya kata-kata
Nadzirah itu. Maklum sajalah, beberapa hari kebelakangan ini
memang jabatan mereka agak kecoh dengan peletakan jawatan
Mr. Joseph secara mengejut. Masing-masing melahirkan rasa
bimbang dan takut sekiranya pengganti ketua mereka nanti
datang daripada kelompok ‘diktator’ atau juga majikan kuku
besi yang gemar menindas orang bawahan. Memang naya!
“Bos baru tu dah masuk ke, Azie?”
“Belum kut. Alah, dia bos. Mestilah tak kisah nak
masuk lambat ke cepat. Yang kau ni, bos ke bukan?”
“Amboi-amboi… tak payah nak perli aku sangatlah
Azie!” Pantas Zenia mencubit lengan Nadzirah sehingga
temannya itu menyeringai kesakitan.
“Eii… jari kau ni macam ketam. Sakitlah!” Adu
Nadzirah seraya menggosok-gosok lengannya yang pedih.
Zenia hanya tertawa dan menaikkan ibu jarinya. “Lain
kali, sila sindir lagi. Habis tu, nak pergi makan dulu tak ni?”
“Naklah. Eh, tapi kau belanja aku ya?”
“Aku pulak yang kena belanja?”
Tersengih-sengih Nadzirah dengan pertanyaan Zenia.
“Alah Zen, duit belanja aku macam cukup-cukup aje nak sampai
hujung bulan ni.”
“Aik? Cepatnya habis gaji? Kau buat online shopping
lagi ya?”
“Ohoooi… mana kau tahu ni, Zen?”
Zenia menggelengkan kepala dengan senyuman masih
terukir di bibir. “Aku ni bukan baru sehari dua kenal kau Azie,
dah bertahun-tahun. Kau memang rela ikat perut asalkan
handbag dan kain baju dalam almari kau tu bertambah!”
“Alamak, macam dah ada aura-aura nak kena bebel aje
ni. Eh, jomlah pergi breakfast!”
“Haa… pandai nak mengelak!” Zenia tergelak kecil.
Dia kemudian bangun dan menuruti Nadzirah untuk turun ke
kafe di tingkat bawah.
Pagi itu suasana di Jabatan Perakaunan jelas berbeza dari
pagi-pagi sebelumnya. Hati Zenia dicuit rasa lucu apabila
melihat semua rakan sekerja di jabatannya begitu tekun di
workstation masing-masing. Badrul dan Izam yang kaki
memonteng juga kelihatan cukup komited menghadap
komputer dan menekan-nekan kalkulator penuh bersemangat.
Dan bagi diri Zenia pula, dia tetap melakukan
kerja-kerja seperti kebiasaannya. Tidak ada apa yang berbeza
biarpun hari ini merupakan hari yang agak mendebarkan buat
mereka. Ketua baru bakal diperkenalkan sebentar lagi, dan dia
hanya mampu berdoa agar ketua terbabit mampu memimpin
mereka sebaik Mr. Joseph. Bukan setakat memimpin, malahan
menjaga kebajikan serta memberi perhatian terhadap
keluh-kesah pekerja-pekerja bawahan.
Keriuhan di ruang hadapan menggamit perhatian
Zenia yang sejak tadi leka menyiapkan kerja. Leher dipanjangkan
sedikit, mahu menjenguk kekecohan yang sedang berlaku di
hujung sana. Dan apabila melihat isyarat ketua jabatannya,
Puan Mira, dia segera bangkit berdiri. Dia tahu CFO baru kini
telah tiba ke jabatan mereka untuk sesi suai kenal.
Mata kini tertancap kepada segerombolan manusia
berpakaian kemas yang melangkah masuk. Kebanyakan
wajah-wajah di situ memang sudah biasa dilihat kerana
mereka semua merupakan pekerja Palaco Group Berhad yang
bertugas di jabatan Human Resourse dan juga Corporate and
Communication.
Dan tatkala pandangan melekat kepada seorang lelaki
yang mengenakan sut berwarna hitam, dada serta-merta disapa
debar halus. Riak tenang bergaris serius pada raut itu seperti
pernah dilihat, tapi di mana? Dan sesaat kemudian otak segera
memproses jawapan. Insiden perlanggaran tanpa sengaja di
dalam perut lif awal pagi tadi kembali terbayang di ruang mata.
Oh Tuhan, harap-harap dia tidak ada tersalah cakap ketika
pertemuan tanpa sengaja itu.
Biarpun dada semakin berdebar kencang, namun
Zenia sedaya upaya menunjuk sikap tenang. Dia lihat lelaki
itu diiring ke setiap workstation untuk sesi suai kenal dengan
setiap kakitangan di jabatannya.
Walaupun menyapa dengan ramah, namun aura
sebagai seorang ketua terlihat jelas dari gerak-geri dan bahasa
tubuh lelaki segak itu. Cara menghulur salam, memandang,
tersenyum dan menganggukkan kepala memang berbeza
daripada cara kebanyakan mereka di sini.
Mungkin lelaki itu memberi isyarat dan gambaran
yang perlu ada satu garis besar yang membatasi kedudukan
seorang ketua dengan pekerja bawahannya. Memang perlu
begitu supaya setiap kakitangan menunjuk rasa hormat dan
tidak mengambil kesempatan terhadap majikan sendiri.
Dan ketika rombongan tersebut berada di tempat
kerja Nadzirah, hati Zenia mula gelisah. Dia tidak pasti CFO
baru itu masih mengingati wajahnya atau tidak. Dan ketika
kaki lelaki itu betul-betul berhenti di hadapan workstationnya,
sedaya upaya bibir mengukir senyuman manis. Perlahan kepala
diangkat, menatap sepasang mata yang telah dilihatnya awal
pagi tadi.
Dan di pihak Darriz Imdad, dia terpempan tatkala
wajah yang dicari akhirnya ditemui di sini. Sepanjang lawatan
suai kenal yang berlangsung, anak matanya begitu liar mencari
gadis yang telah berjaya mencuri perhatiannya pagi tadi. Sudah
banyak jabatan diredah, sudah pelbagai muka dipandang mata,
namun hati masih berasa hampa. Dan berada di Finance
Department yang menjadi jabatan terakhir untuk dilawati, dia
akhirnya menemui apa yang dicari. Lega!
“Hi, welcome sir. Saya Zenia, nice to meet you.”
Darriz Imdad tersentak. Kerana terlalu leka dengan
fikiran sendiri, telinga terlepas untuk mendengar dengan jelas
seulas nama itu. Zaniah? Zalia?
“Sorry, what’s your name again?”
Zenia menelan liur, kemudian tersenyum kelat pula.
Anak mata lelaki tampan itu yang galak merenung membuatkan
dia sedikit kurang selesa.
“Zenia. Nama saya Zenia.”
Mata Darriz Imdad bersinar. Bibir mengukir senyuman
yang jelas lebih lebar berbanding senyuman-senyuman yang
dihadiahkan kepada kakitangan lain. Hati berbunga ceria.
“Nice to meet you, Zenia. Nama I Darriz Imdad, you
can call me Darriz.”
“Nice to meet you too, Encik Darriz.” Balas Zenia
dengan menambah gelaran ‘encik’ di pangkal nama sebagai
tanda penghormatan. Tautan tangan mereka bersatu seketika,
dan kemudian terlerai dengan pantas.
Darriz Imdad masih berdiri tidak berganjak. Dan ini
jelas berbeza dengan perkenalan dengan kakitangan lain yang
lebih ringkas dan cepat. Hi-hi, bye-bye saja.
“Well, I rasa macam pernah jumpa you. Have we met
before?” Soalnya berpura-pura.
Payau senyuman terukir di bibir Zenia apabila
mendengar pertanyaan Darriz Imdad. Menyedari begitu banyak
mata memerhati perbualan mereka, Zenia disapa rasa segan.
“Mungkin Encik Darriz tak ingat, tapi kita ada
terserempak di lif pagi tadi.”
“Oh, you yang I terlanggar pagi tadi, kan?”
Lambat-lambat Zenia menganggukkan kepalanya.
Berapa lama agaknya CFO baru ni mahu bersembang
dengannya? Kekok sungguh!
“I’m sorry for that.” Ucap Darriz Imdad dengan nada
kesal. Biarpun pengiring-pengiringnya masih kekal menunggu
di sisi, dia sengaja pula melengahkan waktu.
“So, apa tugas you dalam jabatan ni Zenia? You handle
intercompany jugak?”
Sedikit terkejut dengan soalan mendadak itu, Zenia
segera menggelengkan kepalanya. Gementar juga kerana dia
tidak membuat apa-apa persediaan untuk disoal siasat oleh bos
baru mereka. Anehnya orang lain tak ada pula disoal begini.
“No, Encik Darriz. I dalam bahagian Treasury. So kerja
I banyak liaised dengan bankers untuk Trade Loan dan Bank
Guarantee yang direquest oleh semua anak syarikat Palaco
Berhad. Semua request akan dihantar kepada Nadzirah terlebih
dahulu, then I akan check dan allocate accordingly.”
“Hmm… berapa banyak bank yang you dah liaised
setakat ni?”
“So far tujuh buah bank, Encik Darriz.”
Kepala Darriz Imdad terangguk-angguk mendengar
penjelasan Zenia. Jelaslah gadis itu memikul tanggungjawab
yang agak besar di syarikat mereka. Dan dia memang sukakan
ciri-ciri hebat begini. Seorang perempuan yang menyerlah
dalam kerjaya pasti saja kelihatan bijak dan seksi pada
pandangannya. Dan ya, Zenia menang satu mata lagi kali ini.
“Great. I hope we can work well together.”
Zenia mengangguk dan tersenyum.
“Insya-Allah, Encik Darriz.”
Dan bagi Darriz Imdad, hati dan kaki begitu berat
mahu melangkah pergi. Begitu banyak yang ingin dia ketahui
tentang diri Zenia. Namun kini dia perlu akur kepada keadaan.
Dia tidak mahu sikap terburu-burunya akan menimbulkan
fitnah atau menjadi buah mulut kakitangan di sini. Air muka
dan kredibiliti dirinya sebagai seorang ketua tetap perlu dijaga.
Ketika langkah diatur ke hadapan, hati meronta-ronta
ingin menoleh ke belakang. Darriz Imdad mahu memandang
sekali lagi, menatap untuk kali terakhir bagi hari ini, namun
ego segera menghalang. Bukan sedikit mata yang masih
memandang dan dia tidak mahu terlalu jelas menunjukkan
reaksi terhadap Zenia.
Tak mengapalah, dia percaya pada peluang kedua,
ketiga dan seterusnya. Takkan lari gunung dikejar, apatah lagi
gunung yang memang berada di bawah jajahannya…

No comments:

Post a Comment