DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 13

Syed Redza tidak dapat melelapkan matanya.
Masih terngiang-ngiang perbualan antara dia dan mamanya.
Hatinya jadi sakit semula apabila mengingatkan kisah bekas
tunangnya, Lisa.
Selama ini memang dia sengaja menutup mulut
dari bercerita kisah antara dirinya dan juga bekas tunangnya
itu. Biarlah ia menjadi rahsia dan sejarah buat dirinya.
Namun, akibat terperangkap dengan soalan-soalan mamanya,
akhirnya pecah juga rahsia yang disimpan utuh selama ini.
Syed Redza sendiri tidak tahu di mana dan
bagaimana keadaan bekas tunangnya itu sekarang. Sebolehbolehnya
dia ingin memadamkan nama itu dari hati dan
kotak fikirannya.
Sepanjang tempoh perkenalan dan pertunangan
mereka, sememangnya hati dan perasaannya hanya untuk
Lisa seorang. Walaupun dirinya sering dianggap playboy,
namun cinta dan kasih sayangnya memang tidak pernah
berbelah bagi.
Lumrah kehidupan. Bila diri dilahirkan dalam
keluarga yang berada, dikurniakan wajah yang agak menarik,
memandu pula kereta sport Mazda RX-8, maka diri akan
dicop sebagai playboy! Semuanya hanya kerana perasaan
cinta tidak berbalas, walaupun hakikat sebenarnya dirinya
bukanlah spesies itu.
Dengan status dirinya sebagai jurutera kanan
sebuah syarikat multinational di Wilayah Pembangunan
Iskandar, Nusajaya, dirinya memang sentiasa dihimpit ramai
wanita dan yang lebih menghairankan dirinya apabila wanitawanita
itu juga multiracial! Namun, semuanya dilayan hanya
seperti kawan biasa dan mungkin disebabkan cara layanannya
menyebabkan kesemua mereka salah sangka. Biasalah, bila
luahan hati dibalas dengan jawapan yang tidak seperti
diharapkan, mulalah keluar cerita yang tidak enak mengenai
dirinya.
Pertemuan dengan Lisa, seorang model sambilan
telah mengubah segalanya. Entah kenapa hati terus terpikat.
Mungkin kerana terpesona dengan kejelitaannya, hatinya
menjadi buta. Ayah Lisa pula kebetulan kawan kepada
papanya, dan segalanya menjadi mudah apabila melibatkan
persetujuan kedua-dua pihak keluarga.
Tali pertunangan diikat. Dalam tempoh setahun,
perkahwinan mereka akan dilangsungkan. Namun, baru tiga
bulan berada di alam pertunangan, pelbagai dugaan datang
ingin menguji kesetiaan. Benarlah kata orang, alam
pertunangan memang banyak dugaannya!
Selama ini tidak pernah ada seorang wanita pun
yang berpeluang duduk di sebelah tempat duduk pemandu
kereta sportnya walaupun ramai yang terhegeh-hegeh
inginkannya. Hanya Lisa yang bebas keluar masuk dari
keretanya. Itupun setelah memegang status sebagai
tunangnya. Sememangnya itulah prinsipnya. Dia tidak mahu
menjadikan keretanya sebagai alat untuk mengangkut
perempuan!
Sangkanya dia telah menemui cinta sejati, tetapi
rupa-rupanya cinta plastik!
“Damn you Lisa!!”
Serentak dengan itu bantalnya dibalingkan ke
dinding. Api kemarahannya meluap-luap seperti lava gunung
berani yang sedang meletus!
“Jangan harap aku nak layan baik mana-mana
betina pun lepas ni!” luahnya dengan penuh geram.
Pagi-pagi lagi Zureen sedah terjaga. Tepat jam enam pagi,
matanya sudah terbuntang. Mungkin akibat tidur dan rehat
yang cukup, dirinya dirasakan amat bertenaga sebaik sahaja
terjaga pagi ini.
Dia bingkas bangun dan terus ke bilik air. Dia
teruskan sahaja menunaikan solat subuh. Usai solat,
dilihatnya jam dinding.
Hmm... baru pukul 6.30 pagi. Nak buat apa ya? Nak
mulakan tugas, rasanya masih awal lagi. Rasa-rasanya lelaki
sejuk beku kepala batu tu mesti belum bangun lagi. Tengok
aje semalam, dah pukul sembilan lebih pun masih tak
bangun-bangun lagi.
Dia berjalan menuju ke tingkap biliknya. Tingkap
dibuka. Udara pagi menyerbu masuk ke biliknya. Sejuknya
hingga mencecah ke tulang hitam!
Tiba-tiba terasa pula nak berjoging.
Daripada aku duduk melahu macam ni, lebih baik
aku bersenam. Getus Zureen.
Zureen terus sahaja menyalin baju tidurnya. Dia
menyarung tracksuitnya.
“Tak payah mandi dulu.... lepas joging nanti baru
mandi,” putusnya.
Setelah bersiap, Zureen segera turun ke bawah.
Masih tiada sesiapa di ruang tamu. Hanya kedengaran
pinggan mangkuk berlaga di dapur. Mungkin Kak Siti sedang
memasak sarapan pagi. Datin Raja Fatimah masih belum
kelihatan. Mungkin masih di biliknya.
Pintu gelangsar ditarik perlahan. Dia menyarung
kasut sportnya yang memang dibawa bersama. Kemudian
pintu gelangsar ditutup kembali. Seboleh-bolehnya dia tidak
mahu mengejutkan penghuni banglo mewah itu di awal pagi
begini.
Zureen membuat stretching di halaman banglo
mewah itu sambil meninjau-ninjau kawasan sekitarnya.
Rasanya tak perlu joging di luar. Di dalam kawasan banglo
mewah ini sahaja sudah memadai memandangkan
kawasannya cukup luas.
Selesai melakukan stretching ringan, Zureen mula
joging di sekitar banglo mewah itu. Sesekali matanya melirik
ke arah balkoni bilik Syed Redza. Dia bimbang jika peristiwa
petang semalam berulang lagi akibat terleka dengan diri
sendiri hingga tidak sedar dirinya sedang diperhatikan.
Matanya sentiasa mengawasi balkoni bilik Syed Redza
walaupun dia amat pasti lelaki sejuk beku kepala batu itu
pasti belum bangun tidur lagi! Yakin lelaki itu pasti belum
bangun, Zureen merasa bebas untuk melakukan apa sahaja!
Terasa diri unfit! Sekejap sahaja nafas dah
termengah-mengah. Sememangnya sudah lama dia tidak
bersenam semenjak menamatkan pengajiannya. Tiga bulan
duduk di rumah sebagai penganggur terhormat, menjadikan
dirinya malas. Asyik makan... tidur... makan.... tidur. ‘Spare
part’ pun mula terbentuk di sana sini!
Lebih kurang setelah setengah jam berjoging,
Zureen memutuskan untuk berhenti. Rasa-rasanya cukuplah
bersenam setakat ini untuk hari ini. Tidak boleh terlalu
mendadak dan agresif sangat. Nanti badan terkejut. Lain pula
jadinya.
Dia ingin melangkah kembali masuk ke biliknya
untuk bersiap-siap bagi memulakan tugasnya untuk hari ini.
Tetapi entah kenapa, terasa dirinya ditarik-tarik apabila
melalui kawasan kolam renang. Seolah-olah kolam renang
itu memanggil-manggil dirinya untuk turun berenang.
Sekali lagi dia melihat ke arah balkoni bilik Syed
Redza. Ternyata pintu gelangsar bilik lelaki itu masih
tertutup rapat.
“Takkanlah aku nak berenang dengan baju ni aje
kut? Ah, lantaklah! Bukan ada sesiapa nampak pun! Dapat
berenang 10 minit pun jadilah!”
Setelah pasti Syed Redza belum bangun lagi,
Zureen menanggalkan sweater yang dipakainya. T-shirt yang
dipakainya dibiarkan lepas keluar. Tudung dan kasut sportnya
dibuka dan diletakkan bersama-sama sweater di atas kerusi
rehat yang terletak berhadapan dengan kolam renang itu.
“Takkanlah aku nak berenang dengan tudung pula!
Tak apalah, mamat tu pun belum bangun lagi. Kalau setakat
auntie dan maid dia yang nampak, tak kisahlah. Asalkan
jangan mamat tu nampak sudahlah!” bisik Zureen.
Tanpa melengahkan masa, Zureen terus terjun ke
dalam kolam.
Wow! Seronoknya dapat berenang. Rasa lepas
segala tension!
Berbagai-bagai gaya renang dilakukannya. Puas
berenang free style, butterfly stroke, dia berenang gaya
backstrock pula. Akhir sekali dia mengapungkan dirinya
secara terlentang. Mata dibukanya merenung ke langit yang
biru. Mentari masih malu untuk menunjukkan dirinya ketika
itu.
Setelah puas dapat berenang, Zureen segera keluar
dari kolam renang itu. dia perlu bersiap-siap untuk
memulakan tugasnya.
Alamak! Takkanlah aku nak masuk ke dalam rumah
dengan keadaan basah lencun macam ni! Kalau nampak
Datin Raja Fatimah, nanti apa pula katanya. Dia tidak mahu
dikatakan kaduk naik junjung walaupun dari awal lagi
sewaktu dia menjejakkan kaki di banglo mewah ini, Datin
Raja Fatimah sudah memberi kebenaran untuk
menggunakan apa sahaja kemudahan yang ada di banglo
mewah itu.
Datin Raja Fatimah sudah meminta dia
menganggap banglo mewah itu seperti rumahnya sendiri.
Tidak perlu rasa malu atau takut untuk menggunakan apaapa
kemudahan di banglo mewah itu. Namun, itu tidak
bermakna dia boleh melakukan apa sahaja sesuka hati. Kalau
uminya tahu yang dia berenang di banglo mewah ini, sudah
pasti teruk dirinya dileteri uminya. Sememangnya dari kecil
dia sudah dididik untuk menghormati hak orang lain. Tidak
bermakna jika tuan punya sudah mengizinkan, maka dia
boleh melakukan apa sahaja, tetapi jiwanya tidak tahan
dengan godaan kolam renang itu tadi! Hehe....
Zureen menunggu seketika di luar sambil berjalanjalan
perlahan di halaman banglo itu sementara untuk
mengeringkan bajunya. Dia hanya akan masuk ke dalam
banglo itu setelah pasti air tidak menitik-nitik lagi.
Ya Allah.... sejuknya. Huh! Padan muka aku. Siapa
suruh aku berenang tadi?
Lebih kurang sepuluh minit terpacak di luar
banglo, Zureen segera berlari anak menuju ke biliknya.
Bimbang jika lantai banglo mewah itu akan basah akibat
perangai tidak senonohnya itu!
Fuh! Lega...
Zureen menarik nafas lega apabila dia berjaya
meloloskan dirinya ke dalam biliknya tanpa dilihat oleh
penghuni-penghuni banglo mewah itu.
“Zureen... Zureen.... janganlah kau buat perangai
tak senonoh ni lagi.” Zureen memberi amaran kepada dirinya
sendiri.
Tepat jam lapan pagi, Zureen telah lengkap
beruniform. Terasa diri amat bersemangat untuk bertugas
walaupun dia sedar cabaran hari ini pasti lebih challenging!
Jika mengenangkan sikap anak majikannya itu,
memang semangat kerjanya telah jatuh merudum awal-awal
lagi. Namun, dia cuba sedaya upaya untuk berfikiran positif.
Teringat motivasi pagi yang disampaikan oleh pakar
motivasi, Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah mengenai
petua untuk berasa seronok di tempat kerja. Menurutnya kita
harus berasa seronok untuk bekerja. Mesti cintakan kerja
kita. Ikhlas cintakan kerja dan ikhlas untuk bekerja dan
bukannya merasa terpaksa untuk ke tempat kerja. Kemudian,
barulah boleh datang aura positif dalam diri kita. Barulah
rakan sekerja atau orang-orang yang berjumpa kita di tempat
kerja juga berasa seronok melihat kita disebabkan aura
positif yang terbit dari wajah kita.
“So, as a conclusion I have to love my job no
matter what happen.....” bisiknya dengan penuh azam.
Zureen melangkah dengan penuh semangat ke
dapur. Mesti isi perut sendiri dahulu sebelum memulakan
tugas. Kalau tidak, silap-silap gaya kena serang migrain lagi.
Mungkin juga semalam dia telah mengabaikan waktu
makannya, dan disebabkan itulah dia diserang sakit kepala.
Datin Raja Fatimah dilihatnya sudah siap
menunggu di meja makan. Nampaknya wanita itu juga sudah
bersiap sedia untuk ke butiknya.
“Assalamualaikum... good morning auntie...” sapa
Zureen.
“Waalaikumsalam... good morning Zureen. Jom
kita breakfast,” jawab Datin Raja Fatimah sambil tersenyum
ke arah Zureen.
Entah kenapa dia dapat melihat wajah Zureen yang
agak berbeza pada pagi ini. Wajah gadis itu dilihatnya
berseri-seri. Suka pula rasanya untuk memandang wajah
gadis comel itu berkali-kali.
“Wah, Zureen nampak happy sangat pagi ni. Muka
Zureen pun auntie tengok berseri-seri. Ada apa-apa ke?”
“Muka Zureen berseri-seri? ya ke auntie? Ada-ada
ajelah auntie ni.....” balas Zureen malu. Mekap aku tebal
sangat ke? Eh, aku mana pernah bermekap? Paling dahsyat
pun aku cuma berbedak dan bergincu nipis.
Zureen tiba-tiba rasa malu apabila dipuji Datin Raja
Fatimah begitu. Adakah wanita itu ikhlas memujinya?
“Awal auntie siap hari ni? Auntie dah nak ke butik
ke?” soal Zureen cuba menukar topik.
“Hmmm... ya... memang auntie nak keluar awal
sikit hari ni. Hari ni stok baru banyak sampai. Nak harapkan
staf auntie aje, kasihan pula. Kelam-kabut dia sampai tak
menang tangan dibuatnya...”
“Zureen sarapanlah dulu. Jangan skip time makan.
Nanti sakit kepala lagi. Kejap lagi dah nak mula sesi
fisioterapi kan? Zureen okey ke buat sendiri? Auntie memang
tak dapat nak tunggu....”
“Eh, it’s okay auntie.... Zureen boleh buat sendiri.
Semalam kan Dr. Rashdan dah terangkan kepada Zureen.
Lagipun, Zureen dah belajar fasal fisioterapi ni masa kat kolej
dulu. Cuma sekarang Zureen kena aplikasikannya. Auntie
janganlah risau. Zureen boleh buat sendiri semua tu....”
“Okeylah kalau macam tu. Auntie cuma minta satu
aje.... Auntie harap apa pun Redza buat kepada Zureen,
auntie harap Zureen boleh bersabar ya.....” pesan Datin Raja
Fatimah sebelum meninggalkan Zureen bersarapan
sendirian.
“Insya-Allah auntie...”
Apa lagilah yang mampu diungkapkannya? Dalam
hatinya berdoa semoga segalanya berjalan lancar hari ini dan
hari-hari seterusnya tanpa sebarang masalah.
Usai sarapan pagi, Zureen sudah sedia untuk
memulakan tugas untuk hari ini. Dia memeriksa jadual
tugasnya.
Sekali lagi doa dipanjatkan dalam hati memohon
agar dirinya diberikan kesabaran yang tinggi dalam
menghadapi apa jua kerenah lelaki sejuk beku kepala batu
itu.
Zureen memutuskan untuk membawa bersama
sarapan pagi untuk Syed Redza kerana biasanya Kak Siti yang
akan menghantarnya ke bilik lelaki itu.
Pintu bilik Syed Redza diketuk beberapa kali.
Kemudian dia terus masuk tanpa menuggu jawapan daripada
lelaki itu. Zureen agak terkejut melihat keadaan bilik itu
sebaik sahaja melangkah masuk.
Bersepah! Bantal bertaburan di lantai. Namun, apa
yang lebih menghairankan Zureen ialah Syed Redza tiada di
dalam biliknya. Sarapan pagi itu diletakkan seketika di atas
meja. Zureen memeriksa bilik air. Manalah tahu kalau-kalau
Syed Redza sedang mandi. Bilik air juga kosong. Dia dah
bangun ke? Kalau dah bangun, ke mana pula perginya? Di
balkoni kut? Tapi pintu gelangsarnya tertutup rapat!
Tiba-tiba sahaja perasaan bimbang menerjah
dirinya. Bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini
kerana dia memang tahu Syed Redza sedang marahkan
dirinya sewaktu dia meninggalkan bilik lelaki itu petang
semalam dan selepas itu dia langsung tidak menjenguk lelaki
itu sehinggalah pagi ini.
Zureen memberanikan dirinya untuk membuka
pintu gelangsar di bilik itu. Langsir yang menutupi pintu
gelangsar itu disingkap ke tepi. Kemudian pintu gelangsar
itu ditariknya pula.
Hampir gugur jantung Zureen sebaik sahaja dia
menarik pintu gelangsar itu. Bagaikan tidak percaya dengan
apa yang dilihatnya. Mujur dia dapat mengawal dirinya. Jika
tidak pasti dia sudah terjerit di situ.

No comments:

Post a Comment