DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 12 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab5

RASA baru semalam Qistina meninggalkan
Lapangan Terbang Heathrow, London. Kini dia kembali
menjejakkan kakinya ke bumi England ini, tempat di mana dia
belajar menjadi seorang dewasa. Lima tahun adalah suatu jangka
waktu yang lama untuk menumpang hidup di negara orang.
Lima tahun jugalah dia rasa terasing daripada keluarganya dan
lima tahun jugalah dia terseksa merindui Mak Esah, Pak Atan
dan Timah. Namun pulang bercuti setahun sekali seolah-olah
tidak membawa sebarang makna kepadanya apabila jiwanya
turut berasa terseksa tinggal bersama keluarga yang begitu
asing dengannya.
Ketika umurnya baru berusia lapan belas tahun, dia
dihantar papanya ke sini. Dibenarkan pulang setahun sekali
ketika cuti musim panas. Pada usia yang masih mentah, dia
belajar hidup berdikari. Belajar berkawan dengan orang asing,
juga belajar membetulkan lidah agar accent bahasa Inggeris
dipakari agar mudah baginya berkomunikasi dengan warga
British. Tidak begitu sukar bagi dirinya, memandangkan
sejak kecil lagi dia dikelilingi warga asing ketika bersekolah di
sekolah antarabangsa aliran British di Kuala Lumpur. Namun
di sebalik kesunyian yang dirasakan, Qistina bersyukur dapat
melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Ilahi tanpa rasa
gentar atau secara bersembunyi. Biarlah dia merasa sunyi,
asalkan dia tidak tertekan dalam melakukan ibadahnya.
Qistina mengekori langkah Ian Iskandar keluar dari
pintu utama Terminal 4, Lapangan Terbang Heathrow. Troli
bagasi ditolak perlahan. Seorang lelaki yang sedikit berumur
dan berkulit putih siap beruniform berlari-lari anak mendekati
Ian Iskandar. Tangkai beg roda di tangan Ian Iskandar dicapainya
dan dibawa ke kereta yang sedia diparkir di ruang menunggu.
Qistina mengikut sahaja langkah mereka.
Usai beg-beg Ian Iskandar dimasukkan ke dalam but
kereta, lelaki tadi mencapai pula beg Qistina di atas troli. Qistina
ingin membantu, namun tangannya ditepis lembut.
“It’s alright, love. I can manage.” Garau suara lelaki
itu. Begitu biasa orang di sini menggunakan perkataan ‘love’
ketika berbicara. Tiada maksud yang tersirat. Memang adat
mereka begitu. Qistina tidak menjawab. Takut terkeluar accent
bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan lidahnya setiap kali
bercakap dengan warga British di sini.
Qistina berjalan menghampiri pintu hadapan kereta
BMW hitam, dengan niat untuk duduk bersebelahan dengan
pemandu tua tadi. Namun tidak dibenarkan. Qistina diminta
duduk di belakang bersebelahan dengan Ian Iskandar. Qistina
menelan air liurnya. Akhirnya dengan teliti, dia bersuara.
“I should sit in front with you.”
“No, no. You sit at the back, love,” bantah lelaki tadi.
Qistina masih lagi teragak-agak. Ian Iskandar yang
sedari tadi memerhati Qistina mencelah.
“Awak nak berjemur ke kat luar tu? Tak puas lagi
berjemur masa kat KL? Masuk!” Laju sahaja dia menyindir
Qistina yang terkulat-kulat di luar kereta.
Qistina menutup pintu hadapan dan beralih ke tempat
duduk bahagian belakang kereta. Cuaca memanglah panas pada
bulan Julai ini. Nanti bila dah masuk bulan Ogos cuaca akan
menjadi lebih panas. Tetapi lebih panas hatinya ditegur begitu
oleh Ian Iskandar.
‘Nasib baik pak cik tua kat depan tu tak faham.’ Qistina
mencebik dalam diam.
Kereta mula bergerak keluar dari perkarangan
Lapangan Terbang Heathrow. Suasana sepi di dalam kereta.
Hanya ditemani bunyi siulan pemandu tadi. Qistina langsung
tidak teruja memandang ke luar tingkap. Mungkin kerana
telah banyak kali dia melihatkan pemandangan dan panorama
yang sama ketika berulang dari Kuala Lumpur ke London
dan sebaliknya. Namun, pandangan kosong itu tidak terlepas
pandang oleh Ian Iskandar.
“Awak macam tak kelihatan teruja pun dah sampai di
kota London ni... Kenapa? Tak suka?”
“Penat agaknya. Tapi mestilah excited…” Qistina cuba
berpura-pura.
“Bila sampai rumah nanti, awak rehat dulu. Esok pagi
baru awak jumpa ibu saya.” Ian Iskandar memberi arahan. Ini
bermaksud, Qistina akan memulakan kerjanya pada keesokan
harinya, hari Khamis.
Qistina mengangguk. Memang dia keletihan kerana
tidak dapat tidur lena sepanjang berada di dalam pesawat tadi.
Fikirannya terganggu. Mungkin emosinya juga tidak berapa
stabil. Takut dia tidak boleh berlakon ceria di hadapan ibu Ian
Iskandar nanti.
“Encik, apa saya nak panggil ibu encik?” Soalan yang
patut ditanyanya ketika sesi temu duga dahulu terkeluar juga
akhirnya.
“Nama ibu saya Mariam. Pekerja saya semua panggil
dia madam je. Okey. Pemandu yang kat depan ni namanya
Matthew.” Ian menepuk-nepuk lembut bahu Matthew yang
duduk di hadapannya.
“Matthew, this is Qistina. She will be mummy’s
companion.”
Matthew mengangguk. Siulannya terhenti seketika
sebelum disambung kembali. Qistina tersenyum.
Perjalanan pulang ke rumah Ian Iskandar mengambil
masa lebih kurang empat puluh lima minit. Akhirnya, kereta
berhenti di hadapan sebuah rumah di Southwick Mews, Hyde
Park.
‘Wow! Kayanya keluarga Ian Iskandar ni!’ Tinggal di
satu daripada kawasan yang dianggap sebagai prime location
di kota London ini. Berdekatan pula dengan Hyde Park, taman
yang begitu terkenal di sini.
Rumah besar dua tingkat diperhati dari luar kereta.
Perlahan-lahan, Qistina melangkahkan kaki untuk keluar dari
perut kereta. Pintu rumah dibuka. Seorang wanita yang berumur
dalam lingkungan lima puluhan berdiri di muka pintu. Wanita
itu kelihatan seperti daripada keturunan Pakistan. Qistina
membalas senyumannya. Dia ingin mengambil beg pakaiannya
dari dalam bonet kereta namun telah terlebih dahulu dibawa
masuk ke dalam rumah oleh Matthew tadi.
Qistina berjalan mengikut Ian Iskandar menuju ke
pintu masuk. Wanita tadi menyambut mesra Ian Iskandar.
“Welcome home, sir!”
“Thanks Naseem. This is Qistina. Qistina, this is the
housekeeper, Naseem.”
Qistina menyalami tangan Naseem sambil tersenyum.
“Come in, come in, miss.” Pertuturan bahasa Inggeris
Nasim masih berulit pelat Pakistan.
“Please, just call me Ina,” Qistina tidak selesa dipanggil
dengan sebarang gelaran, memandangkan dia juga seorang
pekerja di situ. Tiada bezanya.
Qistina dibawa masuk ke dalam rumah. Sungguh luas
dan selesa. Naseem membawanya ke serata bilik di dalam rumah
tersebut. Qistina diberitahu tentang bilik ibu Ian Iskandar yang
bersebelahan dengan bilik bacaan di tingkat bawah rumah.
Kemudian Qistina dibawa naik ke tingkat atas. Qistina menelan
air liurnya apabila mengetahui biliknya berhadapan dengan
bilik Ian Iskandar.
“Have a good rest, dear. Dinner is at 7.30. I’ll see you
then.” Dengan itu, Naseem kembali ke tingkat bawah.
Qistina memulas tombol pintu dan mengangkat beg
yang ditinggalkan Matthew di muka pintu. Setelah pintu dibuka
Qistina menarik nafas.
‘Cantiknya bilik ni…’ Untuk seketika dia tidak
merasakan dirinya seorang pekerja di dalam rumah itu, tetapi
seorang tetamu. Biliknya luas dan dihias indah. Katil empat
tiang bersaiz queen terletak di tengah-tengah bilik dengan
kepala katil rapat ke dinding. Cadar dan langsir sekata berwarna
emas, seakan sama dengan warna perhiasan di bilik tidurnya di
Kuala Lumpur.
Qistina memandang sekeliling. Lega bilik tidurnya
dilengkapi kamar mandi. Kalau tidak, susah untuk dia ke luar
bilik untuk mandi dan sebagainya, lebih-lebih lagi bilik Ian
Iskandar berhadapan dengan biliknya.
Qistina memandang jam di pergelangan tangannya.
Masih ada satu jam sebelum makan malam, seperti yang telah
diberitahu Naseem kepadanya tadi. Qistina membuka beg
pakaiannya dan mula berkemas. Sesudah itu dia mandi dan
membersihkan diri. Sesudah berpuas hati dengan arah kiblat di
kompas, Qistina menunaikan solat asar dan zuhur secara jamak
dan mengqada’ semua solat yang tertinggal semasa di dalam
pesawat tadi.
Tinggal lima belas minit sebelum makan malam.
Qistina baring di atas tilam dengan niat untuk merehatkan
matanya. Matanya terpejam. Dia terus hanyut.
Bunyi ketukan di pintu membuatkan Qistina terkejut.
Jam di tangan menunjukkan pukul 7.45 malam. Walaupun
begitu, hari masih cerah dan matahari masih belum berlabuh.
Tergopoh-gapah Qistina melompat dari katil dan mengenakan
tudungnya. Pintu dikuak. Ian Iskandar berdiri terpacak di
hadapan biliknya.
“Maaf encik, saya tertidur,” Qistina cepat-cepat
meminta maaf sebelum sempat Ian Iskandar bersuara.
Ian Iskandar memandang wajah Qistina yang ternyata
lesu serta keletihan dan tidak jadi menegurnya. Dia sekadar
mengangguk.
“Masa untuk makan malam.” Ian Iskandar berkata
sambil berlalu. Qistina berasa hairan.
‘Takkan aku makan malam dengan dia kot? Dia kan
majikan aku…’ Qistina mengikut Ian Iskandar turun ke bawah.
Di ruang makan, makanan telah siap terhidang. Kelihatan
dua pinggan tersusun di atas meja. Qistina semakin kalut. Ian
Iskandar sudah menarik kerusinya ke belakang.
“Errr… encik,” Qistina memanggil. Ian Iskandar
mengangkat muka. “Takkan saya makan dengan encik kat sini?
Sayakan pekerja je… Boleh tak saya makan dengan Naseem kat
dapur je?”
Muka Qistina yang terkulat-kulat dipandang lama. Geli
hati Ian Iskandar namun perasaan itu dipendam begitu sahaja.
Riak wajahnya dikekalkan bersahaja. Memang sebelum ini dia
tidak bercadang untuk menikmati makan malam bersama
orang yang dipilih menjadi peneman ibunya. Dia tidak mahu
melibatkan diri secara peribadi dengan pekerjanya itu. Namun,
apabila Qistina dipilih menjadi peneman ibunya, cadangan
asalnya itu diketepikan begitu sahaja. Segalanya mengenai
gadis itu ingin diketahuinya dan yang paling penting, dia ingin
meluangkan masa bersama Qistina.
“No! Awak makan dengan saya.” Serius Ian Iskandar
bersuara.
Qistina masih tidak puas hati. Dia tahu dia tidak
akan berselera makan sekiranya harus duduk semeja dengan
lelaki itu. Qistina menelan air liurnya. Dia masih berdiri. Dia
mencuba sekali lagi.
“Saya tak selesa, encik. Berdua dengan encik macam
ni. Saya harap encik faham.”
Ian Iskandar memandang Qistina tajam. Suka betul
dia dengan gadis di hadapannya itu. Siapalah agaknya ibu dan
bapanya? Sangkanya ibu dan bapa Qistinalah yang berjaya
membesarkan dan mendidik Qistina menjadi gadis yang begitu
bersopan dan beradab. Gadis yang tahu akan batas-batas
pergaulannya.
“Wahai Cik Qistina, kita bukan berdua je dalam rumah
ni. Ibu saya ada di dalam biliknya dan Naseem juga ada di dapur.
Jadi awak tak perlu risau, ya. Bukan saya nak apa-apakan awak.
Saya nak makan je dengan awak. At least ada kawan bercakap.
Faham?” Sinis nada suara Ian Iskandar.
Terkebil-kebil Qistina memandang Ian Iskandar.
‘Dia ni biar benar. Serius ke sinis?’ Akhirnya Qistina
mengalah. Tidak mahu bertekak dengan bosnya itu. Lalu kerusi
ditarik perlahan dan dia menghenyakkan punggungnya di
atas kerusi berhadapan Ian Iskandar kerana di situ sahaja ada
pinggan yang terhidang.
Lima minit berlalu dan masing-masing menikmati
makan malam tanpa sebarang bicara. Qistina rasa macam
hendak tercekik sahaja ketika menelan ketulan ayam panggang
di atas pinggannya. Ayam yang empuk dan bersos cendawan
dirasakan tawar sahaja.
‘Yang si mamat ni asyik pandang aku je kenapa? Hesy!
Macam mana aku nak makan ni?’
“So, dah siap berkemas? Bilik awak okey?”
Qistina menelan cebisan ayam panggang yang terakhir
sebelum menjawab. “Selesa sangat, encik. Terima kasih.”
“Esok pagi awak turun, saya akan kenalkan pada ibu
saya.”
“Baik, encik.”
“Awak pernah datang London?”
Gulp! Qistina melangut dan memandang wajah Ian
Iskandar. Fikirannya berputar ligat untuk mencari jawapan
yang paling sesuai untuk diberikan kepada Ian Iskandar. Dia
cuba untuk berkata dengan benar.
“Pernah, encik.”
“Bila?”
“Errr… masa umur saya lima belas tahun, encik.”
Memang pertama kali Qistina menjejakkan kakinya ke bumi
England ini ketika dia berusia lima belas tahun. Papanya yang
ketika itu baru mendapat durian runtuh, membawa mereka
satu keluarga bercuti ke London. Jadi dia tidak menipu, bukan?
Tidak perlu agaknya bercerita dengan lebih lanjut lagi.
“Awak ni memang susah betul nak elaborate ya. Saya
tanya sepuluh patah, awak jawab sepatah…” Kata Ian Iskandar
sedikit bengang. Gadis itu direnungnya tajam. Qistina tunduk.
‘Mamat ni tak ingat ke aku kata tak suka cakap pasal
benda-benda yang melibatkan peribadi. Tak faham bahasa
betullah!’
“Encik... saya kemas dulu pinggan ni, ya?” Qistina
bangun dan mula mengangkat pinggan. Tidak mahu berlama
dengan Ian Iskandar. Lelaki itu boleh membuatkan perasaannya
huru-hara.
“Awak housekeeper saya ke atau Naseem?” Ian
Iskandar menyindir Qistina. Dia tahu gadis itu cuba melarikan
diri daripadanya.
“Dah. Tinggal je kat situ. Nanti Naseem kemas.” Seperti
mendengar namanya dipanggil, Naseem tiba-tiba muncul.
“Eh takpe, encik. Tak salah kan kalau saya tolong
Naseem. Lagipun saya dah biasa.” Cepat-cepat Qistina membawa
pinggannya ke dapur.
‘Huh! Degil betul!’ Dengus Ian Iskandar.
Di dapur, Naseem tidak membenarkan Qistina mencuci
pinggan. Dihulurkan kepada Qistina dulang berisi kopi berserta
dua cawan kosong untuk dibawa masuk ke ruang makan.
Qistina mengeluh. Ingatkan sesi makan malam sudah habis.
Rupanya kena minum kopi lagi.
Ian Iskandar tersenyum sumbing melihat Qistina
masuk kembali dengan membawa air kopi. Dia tahu gadis itu
lekas-lekas mahu naik ke bilik tidurnya, namun hasratnya itu
terbantut seketika. Dia hanya melihat Qistina menuangkan
kopi ke dalam satu cawan dan satu cawan lagi dibiarkan kosong.
Qistina masih berdiri. Dihulurkan cawan yang sudah berisi
kepada Ian Iskandar.
“Minum, encik. Saya nak naik dulu.”
Hilang terus senyuman di bibir merah Ian Iskandar.
“Awak tak minum sekali?”
Qistina menggelengkan kepalanya.
“Saya cuba tak minum kopi pada waktu malam,
encik. Nanti susah nak tidur. Saya minta diri dulu, encik.
Assalamualaikum.”
Dapat juga Qistina melarikan dirinya.
‘Takpe. Larilah buat masa ni. Aku ada setahun nak
korek rahsia kau. Aku boleh bersabar,’ bisik Ian Iskandar
sendirian.

No comments:

Post a Comment