TENGKU Iskandar melangkah masuk ke
dalam rumah sambil berlagu riang. Bibirnya yang sedikit
kemerahan itu merekah dengan senyuman. Hari ini dia balik
lebih awal memandangkan malam ini dia ada janji bersama
Fira. Gadis yang sudah sebulan dikenalinya. Fira nampak saja
jinak-jinak merpati, namun dia tahu Fira juga sama seperti
perempuan-perempuan yang pernah didampinginya. Sedikit
masa lagi, dia yakin dapat menakluki gadis itu.
Kunci kereta diletakkan ke atas meja. Bibirnya
masih lagi mengukir senyuman menawan. Wajah cantik
jelita Fira terbayang di depan mata. Suara menggoda Fira
ketika menelefonnya tadi terngiang-ngiang di telinga. Betapa
dia tak sabar hendak berjumpa dengan Fira, gadis seksi
yang telah lama dia dambakan. Dalam ramai-ramai gadis,
Fira merupakan gadis yang paling sukar untuk ditawan.
Disebabkan itulah dia jadi teruja hendak menghabiskan
malamnya bersama Fira.
Tengah otaknya memikirkan Fira, matanya jatuh
pada sekujur tubuh yang terbaring di atas sofa. Terus
senyuman pada bibirnya mati. Entah bagaimana dia boleh
tidak sedar ada sekujur tubuh di sofa itu. Lupa bahawa di
kondonya ini sudah ada penghuni lain selain dirinya. Melihat
gadis kampung yang sedang enak tertidur di atas sofa, dia
mendengus. Kasar dan kuat!
“Huh!!!” bentaknya, kemudian dengan kaki yang
dihentak-hentak dia melangkah naik ke atas.
Aisyah yang terdengar suara dengusan kasar
terbangun. Terpisat-pisat dia menenyeh mata. Kelibat lelaki
yang sudah melangkah naik ke tingkat atas itu sempat
ditangkap. Cepat-cepat dia bangun dari perbaringan. Bibirnya
digigit.
“Dah lama ke dia balik?” Aisyah tertanya-tanya. Lantas
matanya memandang kain baju kurung yang dipakainya.
Mujurlah tidak tersingsing naik ke atas. ‘Selamat!’ Hatinya
melepaskan rasa lega.
Kakinya melangkah ke dapur. Dia perlu
memberitahu Tengku Iskandar barang-barang keperluan
di kondo ini sudah tiada. Jika tidak, tidak makanlah dia.
Perutnya benar-benar sudah lapar. Ingatkan apabila dia tidur,
kelaparan tahap menggila itu tidak akan mengganggunya
lagi. Rupanya dia silap. Perutnya masih kuat berkeroncong
seperti tadi. Kepalanya juga kian pening kerana tenaga yang
kian menghilang.
Tiga puluh minit kemudian, hidungnya menangkap
haruman yang dipakai Tengku Iskandar. Lelaki itu menuruni
anak tangga sambil bersiul-siul. Bukan main bergaya lagi lelaki
itu. Biarpun hanya berkemeja biru petak-petak dan berseluar
jean, namun ketampanan Tengku Iskandar tetap terserlah.
Wajahnya yang masam itu langsung tidak mencacatkan
ketampanan yang Allah anugerahkan kepadanya.
Buat seketika, Aisyah terpegun melihat wajah
tampan suaminya.
Kruttt… krutttt… Perutnya yang berbunyi minta
diisi itu menyedarkan Aisyah dari panahan arjuna Tengku
Iskandar. Cepat dia menggeleng. Cuba menghalau bayangan
Tengku Iskandar dari mata. Sudah tertulis dalam peraturan
ke dua puluh satu, dia dilarang memandang wajah Tengku
Iskandar.
Dengan rasa takut-takut berani, Aisyah menghampiri
Tengku Iskandar yang sedang mengatup butang lengan baju
kemeja yang tersarung pada tubuh sasanya.
“Ehem… awak…”
Dengar suara itu, Tengku Iskandar berpaling. Tajam
matanya merenung Aisyah, membuatkan Aisyah tidak jadi
meneruskan ayatnya.
“Siapa benarkan kau panggil aku macam tu? Panggil
aku Tengku Iskandar. Ingat siapa diri kau kat sini. Kau tu
orang suruhan aku! Jangan sesuka hati nak panggil aku ikut
sedap kau aje!”
Aisyah menunduk, sedar akan keterlanjurannya.
Sepatutnya dia ingat peraturan ke tiga belas. Dia tidak boleh
menggunakan nama panggilan lain kepada Tengku Iskandar
selain memanggilnya dengan panggilan ‘Tengku’. Tanda
berbezaan darjat antara mereka.
“Maafkan saya Tengku. Saya tak sengaja.”
“Hah… kau nak apa?” acuh tak acuh Tengku
Iskandar bertanya. Malas hendak melayan gadis kampung itu
lebih-lebih.
“Errr…”
Belum sempat Aisyah memberitahu apa yang ingin
diperkatakan, telefon bimbit Tengku Iskandar pula berdering
minta dijawab. Lantas tangan lelaki itu mencapai telefon
bimbitnya yang terletak di atas meja kopi. Lebar senyuman di
bibirnya tatkala terpandang nama pada skrin. Fira!
“Yes honey... I dah siap la ni.” Ujar Tengku
Iskandar tidak mempedulikan Aisyah. Dia bergerak ke pintu,
menyarungkan kasut ke kaki. “Okay, okay… please wait a
while, I will come to fetch you.” Begitu mesra dia berbual
dengan Fira. Langsung tidak menghiraukan Aisyah yang
ingin memperkatakan sesuatu.
Aisyah hanya mendengar tanpa kata. Bukannya
dia tidak faham Bahasa Inggeris. Meskipun dia sekadar
berkelulusan SPM sahaja, tetapi keputusan Bahasa Inggerisnya
memang baik. Cuma nasib saja tidak menyebelahinya
melanjutkan pengajian memandangkan Mak Su Ainin tidak
membenarkan.
Aisyah mengeluh. Kelibat Tengku Iskandar sudah
menghilang di sebalik muka pintu utama. Lelaki itu langsung
tidak menghiraukan keadaannya. Makan minum dan sakit
peningnya langsung tidak dipedulikan. Lelaki itu lebih
mengutamakan janjinya untuk keluar berhibur bersama
teman wanitanya itu.
Mengenangkan nasib dirinya yang malang, air mata
Aisyah mengalir lesu. Dia benar-benar lapar. Namun Tengku
Iskandar langsung tidak mempedulikan dirinya. Dengan
senang hati lelaki itu keluar tanpa mendengar kata-katanya
terlebih dahulu.
Kruttt… krutttt… Perutnya berbunyi lagi. Lantas
dia membawa langkah ke dapur. Mengambil air mineral di
dalam peti ais bagi mengisi perutnya yang kelaparan sejak
siang tadi.
Ting tong! Ting tong!
Bunyi loceng memaksa Aisyah bergerak ke ruang
depan. Air mata yang mengalir dikesat dengan belakang
tangan. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Di depannya,
terlayar wajah Tengku Haziq yang sedang tersenyum mesra.
“Assalamualaikum,” ucap Tengku Haziq.
“Waalaikumussalam,” jawab Aisyah. Pintu yang tadi
hanya dibuka sedikit sudah dibuka luas.
“Is ada?” tanya Tengku Haziq. Tidak berani hendak
melangkah masuk. Jika dulu, terbuka saja pintu kondo milik
abang sepupunya itu, dia akan masuk tanpa diundang. Tetapi
kini dia sudah tidak boleh keluar masuk ke dalam kondo itu
sesuka hati lagi. Dia perlu menghormati Aisyah sebagai isteri
abang sepupunya.
“Takde. Tengku Iskandar baru aje keluar.” Beritahu
Aisyah. Kepalanya kian pusing. Perut juga kian berbunyi.
“Laaa… ye ke? Saya tak perasan pulak. Entah-entah
kami berselisih jalan tadi. Awak tahu dia ke mana?”
Aisyah menggeleng. Tengku Iskandar tak kata pun
dia hendak pergi ke mana. Aisyah juga tidak berani hendak
bertanya. Takut nanti tangan lelaki itu naik pula ke wajahnya.
Tingkah Tengku Iskandar yang berubah-ubah itu bukannya
boleh dijangka.
“Kalau macam tu takpelah. Saya balik du…”
kata-kata Tengku Haziq mati di situ. Terkejut apabila melihat
Aisyah yang hampir terjelepok jatuh. Mujur dia sempat
memaut bahu gadis itu lalu memapahnya masuk ke dalam.
Tubuh Aisyah yang lemah didudukkan ke atas sofa.
“Aisyah… awak kenapa?” Tengku Haziq bertanya.
Baru dia perasan wajah pucat gadis itu. Sedari tadi
bersembang, dia langsung tak perasan air muka Aisyah yang
tidak bermaya.
“Saya…”
Kruttt… krutttt… Ayatnya tidak habis apabila
perutnya terlebih dahulu menjawab. Bukan main kuat
bunyinya sehingga Tengku Haziq dapat mendengar dengan
jelas.
“Awak lapar?” tanya Tengku Haziq.
Aisyah menundukkan wajah. Pelupuk matanya
digenangi air. Memang dia lapar. Dan dia sudah tidak malu
untuk mengakuinya. Kepalanya dianggukkan.
“Kalau lapar kenapa awak tak makan?” Tumpah
simpati Tengku Haziq kepada Aisyah.
“Takde apa-apa yang boleh saya makan kat rumah ni.”
Jawab Aisyah perlahan. Kepalanya masih tunduk memandang
karpet tebal.
“Is tak bagi awak makan ke?”
Aisyah menggeleng.
“Bukan tak bagi... cuma takde bahan mentah kat
peti sejuk. Sekeping roti pun takde. Lagipun… saya tak
pandai nak guna peralatan elektrik dalam rumah ni. Semua
canggih-canggih. Saya takut kalau saya tersalah tekan,
peralatan elektrik tu akan rosak. Saya takut kena marah.”
Tulusnya Aisyah membalas.
Tengku Haziq yang duduk di sofa bertentangan
dengan Aisyah mengeluh. Lurus benar gadis itu. Kasihan
pula dia. Dalam masa yang sama, hatinya dipalu rasa geram
yang tak bertepi kepada Tengku Iskandar. Tergamak sungguh
lelaki itu membiarkan isterinya kelaparan sedangkan dia
keluar berhibur di luar.
Dia tahu ke mana hala tuju Tengku Iskandar. Ke
mana lagi jika bukan ke kelab malam. Lagipun dia dengar
perbualan Tengku Iskandar dengan gadis bernama Fira
tengah hari tadi. Jadi tak mustahil Tengku Iskandar keluar
berhibur dengan Fira malam ini.
“Kalau macam tu, jom kita keluar makan. Kebetulan
saya pun belum makan lagi ni. Lepas makan, saya bawak
awak beli barang-barang dapur. Nanti saya akan ajar awak
guna peralatan elektrik dalam rumah ni.”
Aisyah mengesat air matanya. Dia angkat kepala
memandang Tengku Haziq. Ada senyuman pada wajah lelaki
itu.
“Dah. Awak pergi tukar pakaian dulu. Saya tunggu
awak kat sini.” Sambung Tengku Haziq lagi.
Aisyah sekadar mengangguk. Cepat-cepat dia bangun
meninggalkan Tengku Haziq di ruang tamu dan berlalu ke
biliknya. Dia perlu bersiap dengan segera walaupun badannya
terasa longlai tak bertenaga. Tak elok membiarkan Tengku
Haziq menunggunya lama-lama. Lelaki itu terlalu baik.
TENGKU HAZIQ memandang Aisyah yang makan dengan
penuh berselera. Tumpah rasa simpatinya kepada gadis
kampung itu. Jika dia tiada tadi, tentu Aisyah sudah pengsan
kelaparan. Sampai hati Tengku Iskandar membiarkan Aisyah
tanpa makanan di kondonya.
Dia cuba menghubungi Tengku Iskandar, namun
panggilannya tidak dijawab. Dia yakin tentu Tengku Iskandar
tengah berseronok menari terkinja-kinja bersama Fira.
Sebab itulah panggilannya tidak berjawab. Oleh itu dia hanya
meninggalkan pesanan ringkas kepada abang sepupunya itu,
memberitahu bahawa dia membawa Aisyah keluar makan.
Mengenangkan Tengku Iskandar, dia mengetap
bibir. Entah sampai bila perangai abang sepupunya itu akan
berubah. Sudah banyak nasihat yang dia beri. Namun satu
nasihat pun tak pernah lekat di kepala Tengku Iskandar.
Hidup lelaki itu masih penuh dengan keseronokan.
“Bruppp!”
Bunyi itu mematikan lamunan Tengku Haziq.
Aisyah di hadapan sudah menekup mulut dengan kedua
belah tangannya. Wajahnya yang putih bersih sudah bertukar
kemerah-merahan. Malu bukan kepalang apabila sendawanya
terlepas di depan Tengku Haziq.
‘Hesy… macam mana boleh terlepas bunyi macam
biawak hidup ni? Malunya…’ Aisyah menggumam dalam hati.
Tidak semena-mena Tengku Haziq ketawa. Kelakar
pula rasanya mendengar sendawa besar Aisyah. Kenyang
sangat agaknya sampai terkeluar bunyi itu. Ketawanya
berterusan sehinggalah…
“Bruppp!!!”
Serta-merta ketawa Tengku Haziq mati. Matanya
membulat. Aisyah yang duduk di depan juga sudah tayang
muka terkejut separuh pitam. Mungkin tidak sangka Tengku
Haziq akan mengeluarkan bunyi yang serupa dengannya.
Malah lebih kuat daripada bunyi sendawanya tadi.
Langsung mereka berdua ketawa serentak. Kelakar
dengan apa yang berlaku. Mata-mata yang memandang tidak
dihiraukan. Seronok benar mereka ketawa terbahak-bahak.
Aisyah juga sudah hilang rasa malunya kepada Tengku Haziq.
Rasa seperti lelaki itu sudah lama dikenalinya.
Melihat wajah putih bersih Aisyah yang sudah
kemerah-merahan ketawa, membuatkan hati Tengku Haziq
dibuai satu perasaan halus. Itulah pertama kali dia melihat
gadis itu ketawa. Hatinya rasa gembira dan bahagia. Tengku
Iskandar memang beruntung dapat memperisteri Aisyah
yang polos.
Aisyah yang seronok ketawa menghentikan tawanya
apabila mata Tengku Haziq merenungnya tanpa kerdip.
Marahkah lelaki itu kepadanya? Aduh… susahlah kalau
Tengku Haziq marah. Hanya lelaki itu saja teman yang dia
ada di ibu kota Kuala Lumpur ini. Dia tidak punya sesiapa di
sini.
“Errr… maaf.” Mohon Aisyah akhirnya. Wajahnya
ditundukkan. Rasa bersalah kerana tawanya terlepas sebentar
tadi.
“Kah… kah… kah….” besar ketawa Tengku Haziq.
Wajah pucat Aisyah menggeletek hatinya.
Aisyah yang kehairanan sudah mengerut kening.
Pelik melihat Tengku Haziq yang ketawa terbahak-bahak
bagai orang hilang akal. Apa yang kelakar sangat?
“Awak ni kelakar la Aisyah. Tak pasal-pasal nak minta
maaf pulak. Awak takut saya marah ye? Jangan risau la. Saya
tak marah awak. Saya suka tengok awak ketawa. Takdelah
saya asyik menghadap muka murung awak tu setiap masa.”
Ujar Tengku Haziq dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Lega hati Aisyah mendengar kata-kata lelaki itu.
Pantas dia menarik senyuman manis. Mujur juga Tengku
Haziq tidak sepesen dengan Tengku Iskandar. Jika tidak,
memang susah hidupnya.
“Awak nak order apa-apa lagi tak?”
Aisyah menggeleng. Dia sudah kenyang.
Alhamdulillah atas rezeki yang ada.
Suara azan maghrib yang berkumandang dari
masjid berdekatan dengan restoran tempat mereka makan
membuatkan mereka senyap. Memberi laluan kepada
suara bilal yang mendayu-dayu menusuk ke dalam jiwa.
Subhanallah… betapa merdunya suara bilal itu! Usai saja
azan dilaungkan, Tengku Haziq dan Aisyah masing-masing
membaca doa selepas azan.
“Saya nak pergi solat kat masjid depan tu. Lepas solat
nanti saya bawa awak pergi beli barang-barang dapur ya.” Ujar
Tengku Haziq. Dia sudah bangun dari duduknya.
Aisyah sekadar mengangguk.
“Awak tak solat ke?” Tengku Haziq bertanya. Manalah
tahu kalau-kalau gadis itu mahu ikut solat bersama.
“Errr… nak, tapi saya tak bawa telekung.” Jawab
Aisyah jujur.
“Takpe. Nanti kat masjid ada. Awak boleh guna.
Biasanya dekat masjid-masjid memang diaorang sediakan
telekung wakaf. Yalah… mana tahu kan ada pengunjung nak
tumpang bersolat. Senanglah sikit.” Terang Tengku Haziq.
Aisyah yang mendengar sekadar mengangguk. Jika
itu sudah dikata, eloklah dia tumpang bersolat di masjid
berdekatan. Lagipun waktu maghrib singkat. Tak elok dia
melambat-lambatkan waktu.
“Kalau macam tu, awak tunggu sini kejap. Saya nak
pergi bayar bil.” Pantas Tengku Haziq beredar menuju ke
kaunter pembayaran.
Aisyah hanya menyoroti langkah lelaki itu. Tengku
Haziq memang lelaki yang baik. Beruntung siapa yang dapat
memiliki hati lelaki itu. Tengku Haziq lelaki sempurna
untuk dijadikan seorang suami. Dia pernah berangan-angan
mahukan suami seperti Tengku Haziq yang taat pada perintah
Ilahi. Namun apakan daya jodohnya sudah ditetapkan bersama
Tengku Iskandar.
No comments:
Post a Comment