DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 12 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab4

SEGALA persiapan sudah disediakan. Beg yang baru
dibeli dipenuhi baju, seluar yang kebanyakannya jeans, beberapa
pasang baju kurung, seluar slack dan beberapa helai blaus, juga
tudung-tudung yang baru dibeli. Waktu penerbangan pukul
11.00 pagi nanti. Syukur abang Khairul yang mempunyai
sedikit tugasan di Kuala Lumpur selama beberapa hari ini sudi
menghantarnya ke KLIA. Dapatlah Timah turut menghantarnya
sehingga ke lapangan terbang.
“Tim, kau jangan lupa pesanan aku.” Wajah sugul
Timah yang duduk di sebelah begnya dipandang sayu.
Timah mengangguk lemah. Dia tidak akan lupa.
Pesanan yang sama diucapkan Qistina semenjak Timah pulang
dari kampung.
“Aku ingat. Aku tak dibenarkan beritahu sesiapa pun
pasal kau lari ke mana. Kau akan dapatkan nombor telefon baru
bila dah sampai di London nanti. Aku langsung tidak dibenarkan
beritahu sesiapa pun nombor telefon kau kat London kecuali
famili aku… Ada lagi yang tertinggal?”
“Aku tak tahu sama ada aku boleh e-mel kau ke tak
macam dulu. Kalau aku susah nak dapat access, aku akan
tulis surat pada kau, macam orang dolu-dolu,” Qistina cuba
berjenaka. “Alamat aku pun kau tak boleh bagi sesiapa, okey?”
Qistina mencapai tangan Timah. “Tim... kau okey,
kan?”
“Aku okey. Aku at least ada mak dan ayah. Along pun
ada. Tapi aku sedih sangat mengenangkan nasib kau. Dah lama
sangat kau bersendirian, Ina. Aku doa sangat-sangat yang kau
akan jumpa jodoh kau cepat-cepat. Sekurang-kurangnya nanti,
kau tak lagi keseorangan dan ada suami yang akan lindungi kau
daripada segalanya.”
Qistina terharu. Tangan Timah digenggamnya erat.
“Aku ada kawan macam kau pun dah cukup, Tim. Dan
Allah sentiasa ada dengan aku. Selama ni Allah yang jaga aku
daripada keburukan keluarga aku sendiri. Aku tak risau, Tim.
Insya-Allah aku akan okey. Kau doakan aku, ya.”
Timah masih lesu.
“Tim, jaga diri kau baik-baik. Aku pergi Insya-Allah
setahun je, melainkan aku dapat cari kerja kat sana. Pejam
celik, pejam celik dah setahun. Entah-entah aku balik nanti,
kau dah kahwin pun. Manalah tahu, kan?”
“Hesy, kau ni!” Timah pantas mencubit lengan Qistina.
“Aku tak lakulah beb.” Qistina mencebikkan mukanya. Tidak
suka mendengar Timah berkata begitu.
URUSAN DAFTAR masuk bagasi telah pun selesai. Kelibat
majikan Qistina masih belum kelihatan.
“Tim, abang Khairul, kalau nak balik dulu, baliklah…
takpe. Ina boleh tunggu bos Ina tu. Mungkin dia check-in
lambat, kot. Kalau naik Business Class memang boleh lambat.”
“Eh, mana boleh tinggal Ina macam tu je. Kita tunggu,
takpe.” Khairul membantah. Qistina tersenyum.
“Takpe ke abang Khairul? Dahlah ambik time off untuk
hantar Ina ke sini.”
“Takpe, Ina. Small matter.” Wajah halus gadis itu
ditatapnya lama. Hatinya telah lama menyatakan bahawa
jodohnya tiada dengan Qistina, namun sukar benar untuk
dirinya menghapuskan rasa sayang yang sudah sekian lama
terpupuk dalam hatinya, sejak pertama kali matanya terpandang
wajah gadis itu. Ketika itu Qistina baru berusia sembilan belas
tahun. Rasa bagai baru semalam ia terjadi.
Sebelum pulang ke kampung, sempena cuti
semesternya, Khairul telah singgah ke rumah agam papa
Qistina untuk bertemu ibu dan bapanya. Qistina yang juga
baru pulang bercuti dari London sedang menolong Mak Esah
di dapur. Hatinya terus terpaut kepada gadis itu. Sungguh
manja di sisi ibunya. Sungguh mesra dan berbudi bahasa.
Amat menghormati Mak Esah dan Pak Atan, walaupun mereka
merupakan orang gaji sahaja di rumah itu.
Khairul mengeluh perlahan. Mungkin apabila Qistina
kembali ke Malaysia nanti, pada waktu itu Khairul sudah pun
mendirikan rumah tangga. ‘Eloklah begitu’, fikirnya.
Tidak jauh dari tempat mereka berdiri, Ian Iskandar
yang sedari tadi duduk di kerusi di celah-celah orang ramai,
memerhatikan Qistina bersama dua orang kenalannya itu.
Qistina sungguh santai mengenakan seluar jeans berwarna
biru dan kemeja berlengan panjang berwarna biru muda. Ian
Iskandar sudah lama sampai dan sudah lama menyelesaikan
urusan bagasinya. Hanya menunggu kedatangan gadis itu saja.
Siapakah jejaka di sebelah Qistina yang merenung
Qistina dengan penuh rasa kasih dan sayang itu? Bukankah
Qistina sudah menyatakan bahawa dirinya tiada teman lelaki?
Ian Iskandar mengilas pandang jam di tangannya. Dia bangun
dan menggalas beg komputer ribanya. Dia berjalan dengan
perlahan mendekati Qistina.
“Assalamualaikum,” Ian Iskandar menyapa.
Serentak mereka bertiga menjawab salam Ian Iskandar.
Ian Iskandar memandang Qistina dan dengan pergerakan
kepalanya, dia bertanya, “Ready?”
“Errr… yes. Encik Ian, saya dah sedia. Sebelum tu
kenalkan dulu kawan saya Timah dan abangnya Khairul…Ni
bos Ina, Encik Ian.” Hairan Qistina melihat Timah yang sedikit
ternganga memandang Ian Iskandar.
Qistina tidak pula menceritakan kepada Timah tentang
majikannya ini. Timah terpaksa mendongak untuk memandang
wajah tampan Ian Iskandar. Kini barulah dia mengerti apa
sebenarnya maksud ‘God’s gift to women!’ Ian Iskandar
menepati maksud ayat itu. Khairul pula kelihatan tidak selesa,
namun tangan dihulurkan juga untuk menyalami Ian Iskandar.
Ian Iskandar mengangguk dan mengukirkan senyuman
kepada Timah dan Khairul. Kemudian dia pantas mengalihkan
pandangannya ke wajah Qistina.
“Kita dah kena masuk sekarang. You’d better say your
goodbyes now.”
Qistina memeluk Timah sekuat hatinya dan Timah
juga begitu. Lama. Tiada ucapan perlu diungkapkan antara
mereka lagi. Kedua-dua pipi Qistina dikucup lembut.
“Aku akan rindu kau, Ina.”
Qistina mengangguk. Tangan Timah masih dalam
genggaman. “Abang Khairul... selamat tinggal, ya? Tolong jaga
baik-baik kawan Ina sorang ni.”
“Ina… abang… errr… abang sayangkan Ina. Ina jaga
diri, ya?” Khairul terlepas kata. Dia tidak tahu mengapa dia
mengucapkan kata sayang itu namun dia tidak menyesal.
Qistina terkedu. Segan dia dengan Ian Iskandar yang
masih berdiri tercegat di situ menantikannya. Wajah lelaki itu
berubah seketika tatkala Khairul mengucapkan rasa sayangnya
sebentar tadi.
“Ina pun sayangkan abang Khairul…” Ikhlas Qistina
melahirkan perasaannya terhadap Khairul. Memang dia
sayangkan Khairul. Sayang kepada seorang abang dan juga
kepada seorang teman.
Khairul mengangkat beg kecil dari atas lantai dan
menghulurkannya kepada Qistina. Qistina menyambutnya.
Qistina memandang Timah. Timah telah berjanji tidak akan
menangis dan Timah sedang berusaha sedaya upayanya untuk
berpegang kepada janjinya itu. Merah-merah matanya menahan
tangis.
“Ina pergi dulu. Assalamualaikum.” Qistina mengekori
langkah panjang Ian Iskandar. Dia melambai ke arah Timah dan
Khairul hingga melepasi pintu pelepasan antarabangsa. Qistina
mengambil nafas dalam-dalam. Dia harus tabah. Dia harus kuat.
QISTINA ASYIK memandang ke luar tingkap. Matanya masih
tidak mengantuk walaupun malam tadi dia tidak boleh tidur.
Syukur dia hanya berseorangan duduk di barisan tempat duduk
itu. Senang untuk keluar masuk. Tidak perlu mengganggu
orang yang duduk bersebelahan dengannya.
Setelah meninggalkan Timah dan Khairul tadi, Ian
Iskandar langsung tidak berbicara dengannya. Qistina tetap
mengekorinya sehinggalah Ian Iskandar masuk melalui pintu
Golden Lounge yang dikhaskan untuk penumpang Business
Class sepertinya. Qistina meneruskan perjalanan berseorangan
ke pintu pelepasan.
Wajah mama dan papanya kini bermain di ruangan
matanya. Kata-kata terakhir yang diucapkan papanya masih
terngiang-ngiang di telinga. Terlalu menggores hatinya.
‘Kenapa Remy, papa? Kenapa dia?’ Sekiranya seorang
manusia itu dibenarkan membenci seorang insan yang lain,
pastinya Remylah orang yang paling dibencinya dalam dunia
ini.
Spoilt brat, arrogant, selfish, irresponsible… semuanya
itu mencerminkan diri Remy yang sebenarnya. Walaupun
umurnya sudah menjangkau dua puluh lima tahun, namun
tiada tanda-tanda dia mahu berubah daripada cara kehidupan
yang diamalkan sejak zaman remajanya. Mengunjungi parti
dan kelab malam sudah sebati dengan jiwanya. Rokok, arak dan
perempuan merupakan nadi kehidupannya.
Sejak Qistina pulang dari London, dia sering dipaksa
keluar bersama Remy oleh kedua orang tuanya. Mama dan
papanya tidak membantah dengan cara kehidupan Remy, malah
menggalakkan Qistina untuk melayan sahaja permintaan
Remy yang gemar mengheretnya ke tempat-tempat yang tidak
disukainya itu.
Janji temu yang pertama, masih okey. Mereka hanya
keluar makan malam berdua di sebuah restoran di Hotel
Hilton. Sejak pertemuan pertama lagi Qistina tidak menyukai
Remy namun ditelan sahaja perasaan itu. Remy terlalu angkuh
dan memandang rendah kepada golongan yang tidak setaraf
dengannya. Malu melihatkan kesombongannya melayan
pelayan yang bekerja di restoran pada malam itu. Terlalu
bongkak apabila mahu dilayan mengalahkan putera raja.
Pada janji temu yang kedua, Remy membawanya
mengunjungi kelab malam. Suasana yang bingit dengan
muzik yang membunuh gegendang telinganya membuatkan
Qistina memaksa Remy untuk menghantarnya pulang atas
alasan pening kepala. Remy menurut walaupun kelihatan
merajuk kerana terpaksa meninggalkan kawan-kawannya di
kelab malam itu. Meluat Qistina melihatkan Remy yang asyik
memuncungkan mulutnya sepanjang perjalanan pulang ke
rumah papa Qistina.
Pada janji temu yang ketiga pula, Remy membawanya
menghadiri parti hari jadi rakannya yang diadakan di sebuah
hotel terkemuka di ibu kota. Qistina menolak namun terpaksa
menurut juga apabila kereta Remy sudah pun diparkirkan di
hadapan lobi hotel. Majlis yang sesak dengan asap rokok dan
bau alkohol amat meloyakan tekak Qistina. Tubuh-tubuh
yang berpelukan dan terenjut-enjut menari di atas lantai tari
menyesakkan pandangan mata Qistina. Tidak putus-putus
Qistina beristighfar dalam hati dan berdoa agar Allah tidak
mencabut nyawanya, pada saat dia berada di tempat yang penuh
dengan kemaksiatan itu.
Entah berapa kali Qistina terpaksa menepis tangan
Remy yang sering menggatal hendak berlabuh di bahu, pinggang
atau pahanya. Ketika Remy menghulurkan segelas minuman
keras kepadanya, Qistina sudah hilang semua kesabarannya.
Dia lantas bangun dan mahu beredar daripada kesesakan itu.
Namun Remy yang sudah mula mabuk, terhuyung-hayang
mengejarnya sehingga ke dalam lif. Di dalam lif hanya ada
mereka berdua. Remy mendekati Qistina dan menghimpitnya
hingga ke dinding lif. Qistina panik dan cuba menolak tubuh
Remy, namun apalah dayanya. Ternyata Remy terlalu kuat
untuknya.
Tiada gunanya dia menjerit, bukan boleh didengar
manusia lain. Cubaannya untuk menekan butang kecemasan
di dalam lif juga tidak berjaya. Remy terlebih dahulu dapat
meneka akan niat Qistina itu dan pantas menghalangnya.
Tangannya dikunci ke belakang tubuhnya. Dalam hati, Qistina
hanya mampu berdoa agar lif berhenti dengan segera agar dia
boleh mendapatkan pertolongan. Allah terlalu menyayanginya.
Doanya dimakbulkan dan Qistina dapat meloloskan dirinya, lalu
lari keluar dari perut lif.
Tubuh lelaki yang dilanggarnya di pintu lif tidak
dihiraukannya. Jeritan Remy memanggil namanya juga
tidak diendahkan. Qistina pantas berlari… lari ke dakapan
Timah yang setia memujuknya. Namun tidak sanggup dia
mengenangkan kembali apa yang terjadi kepada dirinya di
dalam lif ketika masih dalam pelukan Remy. Dirinya terasa
jijik dan kotor. Ingatannya dikaburkan. Itulah kali terakhir dia
keluar dengan Remy, ketiga-tiganya dalam tempoh kurang dua
minggu, sebelum dipaksa berkahwin oleh papanya.
Suara pramugara membuat pengumuman di dalam
pesawat mengembalikan Qistina ke alam nyata. Matanya
dibuka. Ketika dia menoleh ke kiri, terkejut melihat kelibat Ian
Iskandar yang duduk bersandar di tempat duduk, selang satu
tempat duduk daripadanya. Mata biru Ian Iskandar melekap
pada wajahnya, entah sudah berapa lama begitu. Qistina tidak
senang duduk ditenung begitu. Dia menelan air liur.
“Encik… kenapa duduk kat situ?” Hesy mamat ni.
Kenapa dia mengadap muka aku ni? Bukan ke dia patut duduk
kat Business Class?
“Kenapa awak menangis?” Soalan Qistina dibiar tanpa
jawapan, sebaliknya soalan yang diajukan.
Sudah hampir sepuluh minit dia duduk di situ, namun
Qistina langsung tidak sedar akan kehadirannya itu. Bermacammacam
riak bermain pada wajah Qistina, mengalahkan
pertukaran adegan di layar perak. Air mata yang mengalir di
pipi halus gadis itu juga tidak diseka. Dibiarkan sahaja mengalir.
Mungkin gadis itu tidak pun menyedari tangisannya sendiri.
Tatkala melihatkan air mata tumpah dari mata gadis itu
yang masih terpejam, suatu perasaan halus menerpa ke dalam
hatinya. Dia sendiri tidak tahu apakah sebenarnya perasaan
itu, tetapi yang pasti, dia tidak suka melihat gadis itu bersedih.
Sedih meninggalkan lelaki yang bernama Khairul tadi ke?
Qistina tersentak mendengar pertanyaan Ian Iskandar.
Spontan tangannya naik ke pipi yang baru disedarinya
sedang basah. Malu dia ditangkap dalam keadaan begitu. Tu
la, terlampau melayani perasaan sampai menangis pun tak
perasan. Pipinya dikesat dengan belakang tangannya.
“No, nothing!”
“Crying over nothing? Pelik…” Sinis nada suara Ian
Iskandar menyindirnya. Keningnya dijungkitkan.
“Who was that guy at the airport? I thought you said
you didn’t have a boyfriend?”
Qistina kehairanan. Mengapa bunyinya seolah-olah
menuduh sahaja?
“He is not my boyfriend. Just a friend…”
“Somehow I don’t believe it…” Masih dia ingat
cara renungan Khairul terhadap Qistina tadi. Panas hatinya
mendengar ucapan sayang lelaki tadi kepada Qistina dan juga
ketika Qistina membalas ucapan sayangnya kepada lelaki itu.
Tetapi kenapa?
Qistina diam tidak menjawab. Baginya, lagi banyak
yang dijelaskan, lagi banyak persoalan bakal menyusul. Dia
tidak mahu Ian Iskandar mengenali dirinya lebih daripada yang
seharusnya. Lagi sedikit maklumat mengenai dirinya yang
diketahui Ian Iskandar, lagi selamat.
“Oh ya, memandangkan awak tak beri resume awak
pada saya masa interview minggu lepas, saya terpaksa tanya
awak beberapa soalan lain.”
Dahi Qistina berkerut. Kontrak sudah pun
ditandatangani. Bukankah sudah terlambat untuk menyambung
sesi temu duga sekarang?
Ian Iskandar terus mengamati wajah Qistina. Gadis
itu tidak bijak menyembunyikan perasaannya. Semuanya jelas
terpampang.
‘Tak boleh main poker minah ni. Takde poker face
langsung! Tapi bagus jugak. Senang aku nak baca perasaannya.’
“Kenapa? Ada masalah?” Keningnya dijungkitkan
sebelah. Bertambah menawan. Qistina pantas mengalihkan
pandangannya. Takut dengan perasaannya yang tidak tentu
arah sejak Ian Iskandar duduk di sebelahnya.
“Eh, tak… cuma isn’t it a bit too late? Encik dah ambik
saya bekerja pun…”
Ian Iskandar tesenyum.
“Saya bukan nak batalkan kontrak. Saya cuma nak
tahu awak ni orang macam mana. Saya lupa nak minta resume
awak sebab terdesak nak cari orang hari tu.”
Qistina mula merasa cuak. Takut sekiranya Ian Iskandar
bertanyakan hal-hal peribadi, terutama perihal keluarganya
atau tahap pelajarannya. Dia tidak mahu menipu namun kalau
terpaksa, dia sanggup asalkan tiada siapa tahu yang dia anak
kepada Tan Sri Ali Saifuddin.
Daripada perbualan ringkas dengan Lisa, setiausaha
Ian Iskandar tempoh hari, dia sempat bertanya serba ringkas
mengenai pekerjaan Ian Iskandar. Qistina diberitahu bahawa
Ian Iskandar merupakan seorang ahli perniagaan, seperti
papanya juga. Walaupun perniagaannya beribu pejabat di
kota London, syarikat Ian Iskandar mempunyai rangkaian di
serata negara-negara Asia, dan pejabatnya di Kuala Lumpur
merupakan pejabat singgahan untuknya. Jadi tidak mustahil
sekiranya Ian Iskandar mengenali papa Qistina, kalau pun tidak
secara peribadi, tetapi daripada namanya.
“Kenapa your parents tak hantar you ke airport tadi?”
‘Ya Allah! Apa nak jawab ni?’ Qistina mula meramasramas
tangan di atas pahanya.
“Diaorang takde kat KL.” Okey, itu belum dianggap
menipu sebab memang mama dan papanya tiada di Kuala
Lumpur. Dia ada terbaca di surat khabar tentang pemergian
papanya, yang diiringi mamanya ke Singapura untuk
menandatangani suatu perjanjian usaha sama dengan sebuah
syarikat di Singapura. Fuh! Lega tak perlu tipu.
“Siblings?”
“Sibuk.” Okey. Yang ini pun bukan suatu penipuan.
Memang abang dan kakaknya sentiasa sibuk. Sibuk bersosial!
Ian Iskandar tidak berkenan dengan cara Qistina
menjawab pertanyaannya. Sudahlah tidak membuat eyecontact.
Tangan kirinya pula asyik meramas tangan kanannya,
seakan menggambarkan perasaannya yang sedang gemuruh.
Adakah gadis itu menyembunyikan sesuatu?
“Awak pernah kerja sebelum ni?”
“Tak pernah, encik.” Jawapan ini juga jujur.
“Awak ni cakap dengan saya atau dengan kerusi kat
depan awak tu?” Ian Iskandar sudah mula hilang sabar dengan
kegelisahan gadis di sebelahnya itu. Qistina menoleh dan
memandang wajah Ian Iskandar yang sedikit tegang. Dia tidak
tahu mengapa Ian Iskandar mampu membuat dia kehilangan
sikap tenangnya selama ini.
“Maaf, encik. Encik ada apa-apa soalan lagi nak tanya
saya? Kalau takde, saya nak tidur kejap.” Pandai Qistina cuba
melarikan dirinya.
“Ye, banyak lagi soalan,” balas Ian Iskandar tegas. Dia
cuba menyembunyikan senyumannya tatkala Qistina mengeluh
kecil sejurus mendengar balasan Ian Iskandar.
“Kenapa mengeluh?”
“Encik, sebenarnya I am a very private person. Saya
tak suka soalan berbentuk peribadi. Soalan-soalan yang encik
tanya ni takde kena-mengena pun dengan tugas saya sebagai
peneman ibu encik.” Qistina memberanikan diri menyuarakan
pendapatnya.
Kening Ian Iskandar dijungkitkan lagi.
“Awak ada sembunyikan sesuatu daripada saya?” Rasa
macam hendak tersembul biji mata Qistina mendengar soalan
itu.
“Kenapa encik tanya macam tu? Salah ke saya cakap
saya tak suka kongsi hal peribadi saya? Tak semestinya saya
menyembunyikan sesuatu, kan?”
Ian Iskandar tidak percaya. Daripada reaksi Qistina
sebentar tadi, jelas Qistina ada menyembunyikan sesuatu.
Kalau tidak, takkan sampai terkejut begitu sekali?
“Lagipun, saya akan pastikan kehidupan peribadi saya
tidak akan menjejaskan tugas saya nanti.”
“Ah! Jadi memang awak ada personal issueslah ni?”
Tajam pandangan yang dihalakan Ian Iskandar kepada Qistina.
Terkulat-kulat gadis itu mencari balasan yang sesuai.
“Sebab itu ke awak menangis tadi?”
“Encik… jangan salah faham. I was just making
a general statement. Saya pun tak sedar saya menangis
tadi, encik. Saya tak ingat kenapa.” Penipuan yang pertama
diucapkan Qistina. Habis tu, takkan nak cakap dia menangis
sebab teringatkan apa Remy pernah buat kat dia?
“We’ll see. I will be watching you very closely! Saya
tak nak ibu saya kecewa dengan prestasi awak. Depan ibu saya,
awak kena sentiasa ceria, sentiasa happy. She has had enough
sadness in her life. Awak kena jaga tingkah laku awak depan
ibu saya. Jangan sebab masalah peribadi awak, awak tunjukkan
mood awak depan ibu saya, faham?”
Qistina mengangguk. “Saya faham, encik. Encik tak
perlu risau. Saya tahu tugas saya.”
“Good! Rutin ibu saya senang saja. Pagi pukul 8.30,
awak sarapan dengan ibu saya dan bacakan surat khabar untuk
dia. Lepas tu berbual-bual pasal apa saja. Pukul 11.00, awak
temankan dia minum teh. Pukul 12.00 sampai pukul 2.00 dia
makan tengah hari dan berehat. Lepas tu, ikut suka ibu nak
buat apa. Pukul 5.30 awak boleh rehat.”
Qistina pantas memasukkan semua maklumat yang
diberi di dalam kotak memorinya. Semua yang dimaklumkan
tadi, tiada dalam kontrak yang baru ditandatanganinya.
“Dah, I’ll see you later. Makan dulu baru tidur. Kejap
lagi diaorang akan hidangkan makanan. Saya tak nak awak
sampai London je terus sakit sebab tak makan.” Ian Iskandar
bangun dan berlalu dari kelas ekonomi menuju ke tempat
duduknya di Business Class. Qistina mencebikkan mukanya
ke arah Ian Iskandar sebaik sahaja Ian Iskandar berlalu. Terasa
berani kerana mengetahui Ian Iskandar tidak mungkin dapat
melihat aksinya.
‘Eeee… membebel. Dahlah banyak soalan!’ Getus
Qistina dalam hati. Namun lega segala rahsia masih kekal rahsia.
Nyaris-nyaris terkantoi sebentar tadi, tetapi pantas ditutup
Qistina. Kedatangan pramugari dan pramugara yang bertugas
sambil menghulurkan dulang makanan melegakannya. Harapharap
Ian Iskandar tidak akan mengganggunya lagi selepas ini.
Di ruang hadapan, Iskandar melabuhkan punggungnya
di kerusi yang empuk dan selesa. Kerlingan pramugari jelita
yang sejak tadi cuba bermain mata dengannya, tidak dihiraukan.
Wajah Qistina juga yang masih dikenangkannya.
Pada usianya yang sudah mencecah tiga puluh tahun,
Ian Iskandar sudah lama tidak merasakan tarikan di hatinya
untuk seorang wanita. Apatah lagi gadis yang dia rasakan masih
terlalu muda untuknya. Namun sejak gadis itu hadir dalam
ruang pejabatnya minggu lalu, hanya wajah gadis itulah yang
hadir di depan matanya siang dan malam. Sehingga terasa lama
menantikan hari Rabu dan terasa sedikit kebudak-budakan bila
tidak sabar-sabar untuk bertolak ke KLIA pagi tadi.
Apa istimewanya gadis itu? Wajahnya ayu, cantik,
menawan tetapi matanya memancarkan cahaya kesedihan.
Mengapa? Lesung pipitnya, yang muncul di sebelah pipinya
sahaja, sungguh mengasyikkan. Jarinya terasa gatal hendak
menyentuh lekuk di wajah gadis itu. Kulitnya putih kemerahan
serta halus mulus. Perwatakannya lembut, mempesonakan.
Apa yang cuba disembunyikan gadis itu? Apa rahsianya?
Ah, semua orang ada rahsia mereka tersendiri. Namun mengapa
hatinya meronta-ronta ingin tahu segala-galanya tentang gadis
itu. Terasa segala yang tersembunyi dalam hati gadis itu ingin
dikupasnya satu demi satu. Selama setahun, mereka akan
duduk di bawah bumbung yang sama. Ian Iskandar tersenyum.
Dia mempunyai banyak masa dan ruang untuk lebih mengenali
Qistina. Dia mampu bersabar.

No comments:

Post a Comment