DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Prolog



“KAK long! Mari datang sekolah, sekarang!” Pintu
rumah digegar. Aminah membuka pintu dengan kelam-kabut
seusai dia menyarungkan tudung. Baru dia nak lelapkan mata
tadi.
“Apa yang kecoh sangat ni, teh?” Aminah mengurut
dada. Terkejut dia apabila rumahnya tiba-tiba digegar.
“Anak kau. Buat kecoh kat sekolah. Satu kampung dah
kecoh.” Pak teh hampir terjerit-jerit bercakap. Mungkin kerana
berita yang disampaikan agak sensasi.
“Ijat?” Aminah terperanjat. Anaknya tak pernah buat
masalah di sekolah. Tak pernah langsung! Meskipun Aizat agak
nakal di rumah, tapi belum pernah lagilah dia dipanggil ke
sekolah.
“Kau ada berapa orang anak?” sempat lagi Pak teh
menyoal.
“Ijat cari gaduh dengan siapa?” Aminah mula rasa tak
sedap hati. Janganlah anak Zaiton. Doanya dalam hati. Selalu
juga dia dengar Aizat kata benci kepada anak Zaiton itu.
“Dengan budak-budak kelas lain... anak Zaiton... kes
polis dah ni.”
Mendengarkan berita itu, Aminah sudah menangis.
Tentu besar masalah yang dicetuskan anaknya. Bila dah
melibatkan kes polis, pasti anaknya dalam masalah besar.
“Hati aku rasa tak sedaplah, teh. Jom cepat. Kita tengok
sendiri.” Tergesa-gesa Aminah turun ke tanah. Pedulilah kalau
dia hanya berkain batik dan berbaju t-shirt besar sekalipun.
“IJAT TAK buat!!! Bukan Ijat yang tolak! Dia yang jatuh.”
Pertahan Aizat apabila dia disoal benda yang sama berulang
kali. Daripada menangis, kini dia mula membentak.
“Tiga-tiga cakap awak yang tolak.” Pegawai polis yang
menjalankan siasatan itu bersuara tidak puas hati.
“Aduh! Dah cakap, kan? Memang bukan aku yang
tolak. Tak percaya lantak kaulah! Percaya sangat dekat budak
tiga ekor tu.” Bentak Aizat semakin kasar.
“Ijat, tak baik marah-marah. Lagi orang syak Ijat yang
buat.” Tegur Aminah lembut. Aizat menjeling. Maknya pun dah
nampak macam percaya saja kata-kata polis di hadapan mereka
ini.
“Mak... Ijat tak ada masalah, buat apa nak tolak orang.”
Kali ini Aizat berpeluk tubuh.
“Aizat, lebih mudah awak mengaku.”
“Dah dia yang buli aku... takkanlah aku nak tolak?
Diaorang bertiga, kan? Siapa yang buli siapa, takkan tak boleh
nak fikir?” Aizat tidak menghiraukan kata-kata emaknya. Dia
memang tak puas hati dengan pegawai polis yang seakan-akan
sengaja mencari kesalahannya.
“Kes buli bukan terletak pada berapa orang lawan
berapa orang, tetapi pada siapa yang menjadi mangsanya. Awak
dah buat kaki Jali patah. Dia dan kawan-kawannya mengaku
awak yang tolak. Mungkin itu motif awak sebab awak berdendam
dengan diaorang yang dah lama buli awak.” Pegawai polis itu
masih berkata dengan nada tenang.
“Heee Ya Allah, sakitnya hati!” Aizat sudah memicit
kepala.
“Aizat...” tegur maknya. Aizat mengeluh.
“Mak... Ijat tak buat.” Lirih sekali suara anak jantannya.
Tubuh gempal Aizat diraih ke dalam pelukan emaknya. Air mata
Aminah bergenangan. Kepala anaknya diusap-usap.
“Mak tahu, sayang.”
“Akak, saya ada benda nak cakap dengan akak...”
kata-kata pegawai polis itu membuatkan hati Aminah semakin
tak tenteram.
“ANAK KAU memang akan masuk neraka jahanam!” jerkah
Zaiton. Automatik tangan Aminah mengusap dada. Terperanjat
dimaki hamun di khalayak ramai.
“Hei tolong sikit. Mentang-mentanglah anak kau yang
jatuh, tak semestinya anak aku yang buat!” Aminah membalas
semula. Zaiton mencemik.
“Kalau anak aku mati, memang mati anak kau aku
kerjakan!” Zaiton mengamuk.
“Mulut kau cantik sikit ye. Aku doakan, semua ni
bakal terjawab! Tak kira cepat atau lambat. Paling aku nak
tengok sekali, kalau betul bukan salah anak aku... aku nak
tengok sangat anak kau tak jadi apa-apa besar nanti melainkan
menyusahkan hidup kau sampai ke tua! Aku sumpah anak kau
akan menyusahkan kau kalau anak aku tak salah! Allah Maha
Mendengar!” Aminah terjerit-jerit mengamuk.
Limah yang menjadi saksi itu sudah puas
menenteramkan Aminah dengan memeluk bahunya.
“Tak payahlah nak berdoa sumpah-sumpah anak orang.
Aku takut anak kau yang membesar tak jadi apa. Jadi gengster!
Kau tengoklah nanti!” Jerkah Zaiton pula sambil berlalu.
“Limah, aku kenal anak aku...” Rintih Aminah.
Limah memujuk kakaknya. Sedih dia mendengar
berita tentang apa yang berlaku kepada Aizat. Dia membuat
keputusan untuk pulang ke kampung menemani kakaknya dan
meninggalkan anak-anaknya bersama suaminya, Zamri.
“Aku kenal anak sedara aku. Sabarlah. Ujian dari Allah
ni, long...” Limah mengesat air matanya.
“AIZAT... JAGA diri ya.” Menitis air matanya apabila menitipkan
pesanan itu. Aizat turut menangis. Berpisah dengan emaknya
bukanlah kehendak dia.
“Mak. Ijat tak nak pergi. Tolonglah. Bukan salah Ijat.
Sumpah mak! Sumpah! Mak percaya, kan?” soal Aizat yang
teresak-esak itu.
“Mak tahu... sayang... mak...” dia kehilangan kata-kata.
Aizatlah satu-satunya anak yang dia ada. Selepas kematian
suami, dia tidak ada sesiapa lagi selain Aizat. Sekarang Aizatnya
akan dibawa pergi ke juvana.
“Mak...” semakin lirih suara anaknya. Tubuh gempal
Aizat berkali-kali dipeluk.
“Tak apalah sayang. Kita dianiaya. Allah ada. Ingat
tu. Jangan tinggal solat. Belajar rajin-rajin. Buktikan Ijat
boleh berjaya... dan... mak doakan satu hari nanti, Allah akan
tunjuk semuanya.” Aminah berkata dengan sebak. Beberapa
kali dia menyapu air mata dengan hujung tudungnya. Pedihnya
berpisah dengan anak...
Beberapa bulan kemudian...
“AIZAT, SAYA ada sesuatu nak cakap dengan awak.” Aizat
mendongak.
“Saya harap awak bersabar dengan berita yang akan saya
sampaikan ni.” Wajah wardennya dipandang. Dia ternanti-nanti
berita apa yang hendak disampaikan. Tapi berdasarkan ayat itu,
dia tahu ada sesuatu yang tak kena. Mak dia sakit ke?
“Mak saya?” soal Aizat dengan mata berkaca.
Warden itu menelan liur. Dia mengangguk perlahan.
Padanya Aizatlah antara pelajar yang paling berdisiplin dan baik
di situ. Dengan Aizat saja dia boleh berlembut. Jadi, berita itu
pasti terlalu berat untuk dia sampaikan dan pasti lebih payah
untuk Aizat terima.
“Aizat, mak awak... meninggal siang tadi.”
Serta- merta Aizat menangis. Dia sudah cukup susah
hati membayangkan yang mak dia sakit. Rupa-rupanya berita
yang disampaikan ini seribu kali lebih menyayatkan hati.
“Warden... sekarang hari dah malam. Kenapa baru
beritahu saya?” soal Aizat teresak-esak. Dia kesal. Terkilan...
Dia mahu melihat emaknya buat kali terakhir. Patutlah hati dia
berasa tak sedap sepanjang hari.
“Saya pun baru tahu tadi. Takziah, Aizat. Saya harap
awak...”
“Tinggalkan saya...” arah Aizat. Semakin lebat air
matanya apabila tangan warden singgah di bahunya sebelum
beredar.

No comments:

Post a Comment