“ASSALAMUALAIKUM…” Suara Timah di talian
menerbitkan sekuntum senyuman di bibir Qistina.
“Waalaikumussalam, Tim. Aku ni. Kau dapat mesej
aku sebelum ni tak? Aku call ni nak tahu kau dapat ke tak je,
sebab aku tak dapat balasan kau pun.”
“Sorry Ina, aku tak sempat nak balas. Tapi aku dapat
mesej kau. Nombor telefon dengan alamat kau pun aku dah
simpan.”
“Okey. Alamat tu aku minta daripada pembantu rumah
bos aku ni. Nasib baik dia tahu. Kalau kau nak e-mel macam
biasa pada aku pun takpe, Tim. Bolehlah kita berhubung macam
biasa… err… kau okey, Tim? Mak Esah dengan Pak Atan sihat?”
“Kita orang kat sini semua sihat, Ina. Kau tak payah
risau… kau cuti ke hari ni?”
“Hari Ahad aku cuti… aku keluar cari barang
keperluan sikit tadi. Sekarang aku duk lepak kat taman. Kejap
lagi baru balik… Okey, Tim. Aku hang up dulu. Saja nak call
tanya tu je tadi. Kalau ada apa-apa, kau mesejlah aku, ek?
Assalamualaikum.”
Qistina mematikan talian sebaik mendengar balasan
salam daripada Timah. Lega dapat menghubungi temannya itu.
Qistina percaya Timah akan merahsiakan lokasi Qistina daripada
pengetahuan keluarganya. Setahun akan berlalu dengan cepat.
Pejam celik, pejam celik sudah setahun. Sementara itu, Qistina
harus memastikan yang dia bakal mendapat tempat di manamana
syarikat di London yang memerlukan khidmat akauntan
sepertinya.
Alangkah bahagianya sekiranya dia dapat melanjutkan
lagi pelajarannya dan mengambil peperiksaan ACCA agar
dia boleh menjadi seorang akauntan bertauliah suatu hari
nanti. Namun papanya mahu dia segera pulang sebaik sahaja
tamatnya majlis penerimaan ijazah baru-baru ini. Papanya tidak
mahu dia menyambung pengajiannya di London dan mahu dia
mengambil peperiksaan ACCA di Malaysia sahaja. Rupa-rupanya
papanya mahu dia berkahwin dengan Remy. Itulah sebabnya
mengapa papanya begitu tegas tidak mahu dia menyambung
pelajarannya di London, walaupun sudah mendapat tawaran di
sini.
Qistina kembali menyaksikan suasana di sekitar
taman. Sengaja melengahkan waktu pulangnya. Tidak mahu
bertembung dengan Ian Iskandar yang tentunya menghabiskan
hari Ahad di rumah sahaja. Sejak makan malam yang sedikit
tegang bersama Ian Iskandar dua malam lepas, Qistina cuba
menjauhkan diri daripada Ian Iskandar. Namun sedikit sukar
memandangkan Ian Iskandar bertegas mahu makan malam
dengannya. Ian Iskandar masih cuba mahu mengorek cerita
peribadinya, walaupun tidak disukai Qistina. Buat masa ini,
Qistina masih berjaya menepis pertanyaan demi pertanyaan
daripada Ian Iskandar tetapi sampai bila? Itu yang paling
dirisaukannya.
Akhirnya, Qistina tiada alasan lagi. Dengan perlahan
dia bangun dari bangku di taman itu dan mula mengatur
langkah pulang ke rumah.
SUDAH LEBIH tiga minggu Qistina menjadi seorang peneman.
Hari ini Dr. Ilyas Khan akan datang untuk memeriksa Puan
Mariam lagi. Kehadirannya, seperti biasa ditemani Ian Iskandar
dan Natalie Brown. Qistina membalas senyuman dan ucapan
helo daripada doktor kacak itu. Seperti lazimnya, Qistina
bangun untuk meninggalkan bilik namun kali ini ditahan Puan
Mariam.
“No, don’t go dear. Tunggu sini dengan saya...” pinta
Puan Mariam. Qistina menurut tetapi memilih untuk berdiri
sedikit jauh dari katil Puan Mariam dan berhampiran dengan
pintu bilik, agar kehadirannya tidak mengganggu pemeriksaan
yang akan dijalankan ke atas Puan Mariam.
Qistina hanya menjadi pemerhati. Tekanan darah Puan
Mariam diambil. Kedua belah kaki Puan Mariam diangkat dan
dibengkokkan. Dahi Puan Mariam berkerut menahan sakit.
Anggota tubuh badan yang lain juga diangkat dan dibengkokkan.
Ian Iskandar juga sepi tidak berbicara. Matanya mengamati
wajah ibunya. Jelas terpancar rasa kasihan terhadap ibunya.
Qistina merasa sedikit cemburu akan hubungan rapat antara
Ian Iskandar dengan ibunya. Suatu yang hanya ada antara
Qistina dengan Mak Esah dan tidak dengan ibu kandungnya
sendiri.
“Mariam, I believe your leg is strong enough to go
through your next operation. Have you thought about what I
said last week?” Dr. Ilyas Khan menyoal Puan Mariam.
“Doc, I have told you again and again. No more
operations!” Puan Mariam membantah. Qistina dan Ian Iskandar
saling berpandangan. Qistina teringat akan pertolongan
yang dipinta Ian Iskandar dulu. Qistina masih belum lagi
berkesempatan memujuk Puan Mariam untuk menjalani
pembedahan yang ketiga. Dia tahu, dia harus memulakan sesi
memujuk dengan segera.
Dr. Ilyas Khan mengeluh dan melabuhkan
punggungnya di atas kerusi yang selalu diduduki Qistina.
“Mariam, what are you afraid of? You do want to walk
again, don’t you?”
Puan Mariam tidak membalas. Matanya mula berkaca.
“Mummy, what are you afraid of?” Ian Iskandar pula
bersuara dengan nada lembut. Puan Mariam masih menyepi.
Ian Iskandar mengalihkan pandangannya kepada
Natalie Brown.
“Natalie, could you please excuse us?”
Natalie Brown mengangguk dan mengambil langkah
untuk keluar dari bilik Puan Mariam. Qistina merasa serba
salah. Dia memilih untuk menyusul langkah Natalie Brown
kerana dia merasakan hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang
perlu berada di dalam bilik ketika itu.
“Saya tak cakap yang awak pun perlu keluar, Qistina!”
Suara dalam Ian Iskandar menahan langkah Qistina.
Qistina memandang Ian Iskandar. Sedikit terkejut
dengan larangan keras daripada lelaki itu. Wajah Ian Iskandar
kelihatan sedikit tegang. Qistina kembali ke tempatnya sebentar
tadi. Ian Iskandar masih merenung gadis itu. Dia tahu gadis
itu cuba menjauhkan diri daripadanya. Dia mengerti mengapa,
tetapi dia tidak akan berputus asa dengan cubaannya untuk
mendekati gadis itu.
Natalie Brown tertanya-tanya mengapa gadis itu
diminta kekal di dalam bilik dan dirinya diminta keluar. Panas
hatinya dengan lelaki yang tidak pernah memberikan sebarang
perhatian kepadanya walaupun sudah hampir dua tahun dia
menjadi jururawat peribadi ibu Ian Iskandar. Lelaki itu kekal
menganggap hubungan mereka atas dasar professional sahaja.
Tetapi sejak Qistina diambil bekerja, pandangan matanya hanya
bertumpu kepada gadis itu seorang.
Di hati kecilnya dia merasa cemburu, namun tidak
menyalahkan gadis itu. Daripada pemerhatiannya selama ini,
gadis itu langsung tidak menyedari maksud dari pandangan
yang dilemparkan Ian Iskandar kepadanya. Dan gadis itu sendiri
tidak pernah cuba untuk menarik perhatian Ian Iskandar. Pelik!
“Mariam, we only want what’s best for you, you know
that right?” Lembut suara Dr. Ilyas Khan. Masih cuba memujuk
Puan Mariam.
“Doc, I don’t want to talk about it right now!” Puan
Mariam masih berdegil.
Qistina telah pun dimaklumkan bahawa pembedahan
ketiga ini bakal memungkinkan Puan Mariam berjalan semula.
Namun Qistina mengesyaki sebab sebenar mengapa Puan
Mariam tidak mahu meneruskannya. Teringat penerangan
daripada Ian Iskandar, bagaimana dia nyaris-nyaris kehilangan
ibunya semasa pembedahan kedua sebelum ini. Puan Mariam
tentunya takut untuk menghadapi risiko kematian sekali lagi.
“Fine, Mariam. We’ll do it your way… so what will
you be up to today?” Dr. Ilyas Khan mengalah dan pantas
mengalihkan topik perbualan.
Puan Mariam memandang Qistina.
“To the park again, of course!”
Dr. Ilyas Khan dan Ian Iskandar turut memandang
Qistina. Qistina mula kalut menjadi tumpuan jejaka-jejaka
kacak di hadapannya.
“So, Qistina… Have you been around London since
you got here?” Soal Dr. Ilyas Khan.
“Not yet, doc,” Qistina membalas. Memang sejak
Qistina tiba di kota London ini, dia masih tidak berpeluang
bersiar-siar ke tempat-tempat yang selalu dikunjungi pelawatpelawat
dari serata dunia. Tetapi, tempat-tempat itu bukanlah
asing bagi Qistina. Dia sudah banyak kali mengunjungi tempattempat
tersebut selama lima tahun hidup di celah-celah
kesibukan kota London ini.
“Well... in that case, why don’t I show you around
London this weekend?” Pelawa Dr. Ilyas Khan.
Qistina terkedu. Puan Mariam tersenyum. Ian Iskandar
terasa panas.
“Errrr…” Qistina tidak tahu bagaimana untuk menolak
dengan baik pelawaan Dr. Ilyas Khan itu.
“Go ahead, dear.” Puan Mariam menyampuk. Suka dia
melihat wajah Ian Iskandar yang sedikit kemerahan.
“Doc is a true Londoner! He’ll be the best tourist guide
you’re ever going to get!”
Qistina tersenyum. ‘Apa salahnya, kan? Dia nak bawak
aku jalan-jalan je… taklah aku boring sangat hujung minggu
nanti…’
“Oh how kind of you to say so, Mariam!” Dr. Ilyas Khan
ketawa senang menerima pujian daripada Puan Mariam.
Qistina masih diam.
“How about this Saturday? I’ll come by to pick you up
after you’re done for the afternoon?”
Ian Iskandar mengetap bibir. Dia merenung Qistina
tajam. Seolah-olah memberikan bahasa isyarat. Dia tidak mahu
gadis itu keluar dengan Dr. Ilyas Khan. Dia tidak suka! Tidak
suka!
Qistina buat-buat tidak mengerti.
“Okay, doc. I’ll see you on Saturday! Thanks…”
Dr. Ilyas Khan tersenyum puas. Puan Mariam juga
begitu. Ian Iskandar mendengus perlahan.
Tidak lama kemudian, Qistina ditinggalkan
berseorangan dengan Puan Mariam. Dia tekun melakukan
tugasnya seperti biasa. Pada waktu petang, Qistina membawa
Puan Mariam ke taman dan mereka berlabuh di tempat biasa
sambil menikmati angin petang. Mereka berbual-bual kosong
sambil bergelak ketawa.
“Qistina, tengok situ.” Puan Mariam menunjukkan
ke arah sepasang warga tua yang sedang berjalan berpimpin
tangan mengelilingi kolam kecil di hadapan mereka.
“Dulu, my parents macam tu… sampai tua loving
macam tu…”
Qistina kembali memandang wajah Puan Mariam. Terbit
garis-garis kesayuan di wajah Puan Mariam. Sesungguhnya
Qistina memahami erti rindu kepada ibu dan bapa.
“Diaorang ada lagi, madam?”
Puan Mariam menggelengkan kepalanya.
“Dah takde, Qistina. Hargailah your parents, kalau
diaorang masih ada.”
Qistina mengalihkan pandangannya. Qistina memang
sentiasa menghargai segala pengorbanan papa dan mamanya
selama ini. Jasa mereka mungkin tidak dapat dibalasnya.
Menyekolahkannya, menyediakan segala makan dan pakainya
dan juga menyara pembelajarannya selama lima tahun di kota
London ini. Tetapi bukan atas kehendak Qistina sendiri untuk
menjauhkan dirinya daripada mereka.
Mata Puan Mariam masih mengamati wajah Qistina.
“Ian beritahu saya, keluarga Qistina tidak tahu Qistina
di sini. Kenapa begitu, dear?”
Qistina berbelah bahagi. Belum sampai sebulan dia
berada di sini, dia sudah merasakan amat rapat dengan Puan
Mariam. Kasih dan sayangnya sudah pun tertumpah kepada
wanita ini. Dia tidak sanggup membohongi Puan Mariam. Dia
merasakan seolah-olah dia membohongi ibunya sendiri.
“Panjang ceritanya, madam. Saya tak mahu terlalu
memikirkan kisah lalu tetapi atas dasar rasa hormat saya kepada
madam, saya akan cuba berterus terang dengan madam, mana
yang saya mampu.”
Qistina mengeluh.
“Saya sebenarnya anak terbuang, madam. Saya dihalau
dari rumah semata-mata sebab saya tidak mahu menurut
arahan papa untuk mengahwini lelaki yang telah dipilihnya
untuk saya…”
Puan Mariam tergamam mendengar penjelasan
Qistina. Dia tidak menyangkakan begitu perit nasib gadis di
hadapannya ini.
“Tak payahlah saya ceritakan latar belakang keluarga
saya. Tu tak penting. Lagipun ia hanya akan membuka aib
keluarga saya juga. Tapi saya tak boleh kahwin dengan lelaki
yang papa pilih tu, madam. Saya tak sanggup… Jadi papa halau
saya dari rumah. Tak lama lepas tu, saya mendapat peluang
pekerjaan ni. Jadi tanpa berfikir panjang, saya terus terima.
Saya tak rasa selamat kalau saya masih berada di Malaysia.
Eloklah saya di sini saja…”
“Sebab tu saya tak beritahu ahli keluarga saya,
terutama papa dan mama saya pasal pekerjaan ni. Saya mintak
maaf madam kerana terlalu merahsiakan perkara ini, terutama
daripada pengetahuan Encik Ian. Tapi lagi banyak saya berkongsi
cerita saya, lagi banyak soalan Encik Ian akan tanyakan kepada
saya. Saya tak selesa. Jadi biarlah kisah peribadi saya kekal
menjadi hal peribadi saya…”
“Qistina, I’m so sorry for your pain…” Puan Mariam
menggenggam tangan Qistina.
“Terima kasih, madam.” Qistina turut memegang
tangan Puan Mariam. Sedikit terpujuk dengan genggaman
tangan wanita itu.
“Qistina, awak seorang yang berpelajaran. Betul, tak?
Awak pernah belajar di sini, kan?”
Qistina terkesima mendengar tekaan Puan Mariam.
“Macam mana madam tahu?”
“Bukannya susah, Qistina. Cara Qistina membaca surat
khabar untuk saya dan cara Qistina bercakap, macam Qistina
dah lama tinggal di sini. Your accent and your intonation are
both perfect!”
Qistina mengeluh.
“Saya ingat saya dapat simpan accent tu tapi nampaknya
saya tak berjaya nak sorokkan daripada madam.”
“Berapa lama Qistina tinggal di London?”
“Lima tahun, madam. Saya ada degree in accounting…
cita-cita nak sambung buat ACCA tapi masih belum tercapai…”
“Keluarga Qistina pasti bangga dengan Qistina.”
“Entahlah madam… kalau diaorang rasa bangga pun,
diaorang takkan cakap…” Puan Mariam melihat garis-garis
kesedihan pada wajah Qistina yang selama ini diulit keceriaan
dan senyuman. Ternyata gadis ini menyimpan seribu rasa duka.
“Qistina, mana-mana parents pun akan rasa bangga
dapat anak macam Qistina. Kadang-kadang perasaan ini tidak
perlu diluahkan…”
Qistina hanya diam. Papa dan mamanya bukan begitu.
Sekiranya mereka bangga dengan pencapaiannya, mengapa
mereka tidak hadir untuk majlis konvokesyennya? Mungkin
mereka hanya akan merasa bangga dengannya sekiranya dia
berkahwin dengan Remy dan dengan itu, dapat meluaskan
empayar perniagaan papanya.
“Qistina, apa silapnya lelaki yang sepatutnya
dijodohkan dengan awak itu?”
Qistina mengalihkan pandangannya namun sempat
Puan Mariam melihat perubahan pada riak wajah itu.
“Madam, dia bukan seorang lelaki yang baik… tidak
patuh pada perintah agama malah sering melakukan perkaraperkara
yang diharamkan agama. Jadi saya rasa saya tak berdosa
kalau mengingkari perintah papa saya tu.” Qistina tidak sanggup
lagi untuk berbicara tentang Remy. Cukuplah sekadar itu.
“Madam, saya rayu pada madam. Tolonglah jangan
beritahu Encik Ian pasal saya…” Qistina tidak tahu mengapa
dia tidak mahu Ian Iskandar tahu pasal perkara ini. Dia sendiri
berasa hairan…
“Kenapa Qistina?”
“Jujurnya... saya pun tak pasti kenapa, madam…
mungkin saya tak mahu simpatinya…”
“Apa pendapat Qistina tentang anak lelaki saya tu?”
“Apa maksud madam?”
Puan Qistina mengeluh dalam hati. Gadis ini masih tidak
menyedari perhatian yang diberikan Ian Iskandar kepadanya
selama ini. Ian Iskandar sudah lama memerlukan teman
istimewa dalam hidupnya. Telah terlalu lama dia menjauhkan
diri daripada cinta. Telah lama dia hidup bersendirian. Puan
Mariam dapat merasakan yang gadis ini cukup sempurna buat
anaknya itu. Cuma Ian Iskandar terlampau lambat mengambil
tindakan. Puan Mariam tidak sanggup melihat gadis ini terlepas
begitu sahaja.
“Takde apa-apa, Qistina. Qistina, if you want to talk
about this, you know you can talk to me right?”
“I’m not supposed to, madam. Encik Ian pernah
berpesan, saya tak boleh membiarkan masalah saya bercampuraduk
dengan tugas saya… sebab itu sebenarnya saya tak mahu
bercerita apa-apa pun pasal saya pada madam. Bak kata Siti
Nurhaliza, Biarlah Rahsia…” Qistina cuba berjenaka.
Puan Mariam tersenyum tawar.
“Qistina, kadang-kadang sekadar berkongsi cerita tak
salah, kan? Mungkin Qistina boleh merasa lega dapat berkongsi
cerita dengan saya?”
Qistina telah pun bercerita segalanya kepada Timah.
Mak Esah, Pak Atan dan Khairul juga sudah tahu segalanya,
kecuali apa yang Remy pernah cuba lakukan terhadapnya.
Biarlah kisah itu cuma dikongsi bersama Timah sahaja.
“Terima kasih, madam.” Itu sahaja yang diucapkan
Qistina. Dia tahu sekiranya Puan Mariam tidak bertanya, dia
tidak akan dengan sendirinya bercerita kepada Puan Mariam.
Puan Mariam tidak perlu ditambah kerisauannya.
“Madam, boleh saya tanya satu soalan pada madam?”
Teragak-agak Qistina bersuara. Puan Mariam mengangguk.
Senyuman manis terukir di bibir melihatkan keresahan Qistina.
“Madam, errr… madam tak nak operation kaki lagi
sebab apa yang pernah terjadi masa operation yang kedua dulu
ke?”
Senyuman Puan Mariam terus mati dari wajahnya.
“Maafkan saya madam, sebab bertanya soalan ni.”
Qistina mula rasa bersalah.
“Qistina, awak seorang sahaja yang tahu isi hati saya.
Orang lain asyik paksa saya tapi diaorang tak tahu apa yang saya
rasa. Banyak lagi yang saya nak tengok semasa hayat saya ni,
Qistina. Saya nak tengok cucu saya membesar. Saya nak tengok
anak lelaki saya mendirikan rumah tangga dan mempunyai
zuriat sendiri… banyak lagi benda yang mustahak daripada
ingin berjalan semula, Qistina. Sekurang-kurangnya sekarang,
saya masih bernyawa walaupun tidak boleh berjalan. Saya
masih boleh melakukan ibadat saya. Saya masih diberi peluang
menjalani kehidupan saya bersama anak, menantu dan cucu
saya… Tu lebih penting pada saya, Qistina.”
Mata Qistina mula berkaca. Sedih mendengarkan suara
lirih Puan Mariam.
“Saya faham, madam. Tapi ajal maut di tangan Tuhan.
Hanya Allah yang tahu apa terbaik untuk kita. Anak-anak
madam semua nak tengok madam kembali sihat macam biasa.
Kita hanya mampu berusaha dan berdoa, madam.”
Puan Mariam mengangguk.
“Saya tahu, Qistina. Entahlah… biarlah saya fikirkan
semula.”
Qistina menggenggam tangan Puan Mariam.
“Saya akan selalu doakan yang terbaik untuk madam.
Saya sayang pada madam. Saya nak madam sentiasa bahagia di
samping keluarga madam.”
Puan Mariam terharu dengan kata-kata Qistina.
Bagaimana harus dia menyampaikan hasrat hatinya kepada
Qistina dan harapannya untuk melihat Qistina menjadi ahli
keluarganya? Yakni menantunya?
“Jom, madam. Kita balik sekarang, ya.” Qistina bangun
dan mula menolak kerusi roda Puan Mariam. Langkah diatur
perlahan.
QISTINA MENGANGKAT pinggan ke dapur. Hari ini sudah
masuk tiga hari Qistina makan malam secara bersendirian.
Berselera dia makan tanpa sepasang mata biru merenung setiap
gerak-gerinya. Sejak Qistina menerima pelawaan Dr. Ilyas Khan
untuk keluar bersiar-siar pada hari Selasa lepas, Ian Iskandar
seakan merajuk. Dari hari Selasa hingga ke hari ini, Ian Iskandar
tidak pulang untuk makan malam dengannya.
Namun jauh di dasar hatinya, dia ada merasakan suatu
kehilangan. Adakah dia merindui lelaki itu? Mengapa terasa ada
ruang kosong dalam hatinya apabila tidak bersama lelaki itu?
Selama ini, hanya Qistina yang cuba menjauhkan diri daripada
Ian Iskandar. Kini apabila lelaki itu cuba menjauhkan dirinya
daripada Qistina, dia pula yang rasa seperti kehilangan. Ya, dia
merasa lain tanpa ditemani Ian Iskandar ketika makan malam.
Dia berani mengakuinya. Tetapi apakah maksud perasaannya
ini?
Seusai solat maghrib, Qistina mencapai surah yasin
dari atas meja di dalam biliknya. Sebelum sempat dia kembali
duduk di atas sejadah, pintu biliknya diketuk. Qistina bangun
dan membukanya. Kelihatan Naseem di muka pintu.
“Madam wants to see you in her room.”
“Okay, Naseem. Thanks! I’ll be down shortly.”
Qistina menanggalkan telekung dan menyarungkan
tudung di kepalanya. Dia pantas turun menuju ke bilik Puan
Mariam dengan surah yasin masih di tangan. Tidak pernah
Puan Mariam memanggilnya malam-malam sebegini. Pintu
bilik Puan Mariam diketuk dan dibuka. Puan Mariam sedang
baring di atas katil.
“Madam nak jumpa saya? Ada apa yang boleh saya
bantu?”
“Qistina, saya rindu nak mendengar bacaan surah
yasin. Malam ni malam Jumaat, kan? Boleh tak Qistina bacakan
surah yasin untuk saya?” Pinta Puan Mariam.
Qistina terharu. Dia mengangguk.
“Boleh, madam. Saya pun baru je nak baca surah
yasin.”
Qistina mendahulukan bacaan surah yasin dengan
membaca surah Al-Fatihah dan kemudian berselawat ke atas
Nabi Muhammad s.a.w. Surah yasin dibaca perlahan, lancar
dan penuh teliti. Tajwid dijaga. Alunan bacaan begitu merdu.
Tersentuh jiwa Puan Mariam mendengar alunan bacaan surah
yasin daripada Qistina. Tanpa disedari, air matanya mengalir ke
pipi. Rindu sungguh dengan bacaan Al-Quran selama ini.
Sudah lebih lima minit Ian Iskandar berdiri di
luar pintu bilik ibunya. Alunan suara gadis itu benar-benar
merentap hatinya. Ian Iskandar memejamkan mata. Pada saat
itu, hatinya bulat. Nekad. Gadis itu akan menjadi miliknya.
Isterinya. Permaisurinya. Dia akan lakukan apa sahaja untuk
memiliki gadis itu. Dia tidak akan lepaskan begitu sahaja gadis
yang telah berjaya mengetuk pintu hatinya yang telah sekian
lama terkunci… yang telah lama tidak berpenghuni…
No comments:
Post a Comment